Jumaat, 19 Ogos 2016

PROLOG-YANG TERINDAH UNTUKNYA

PROLOG
“ASSALAMUALAIKUM. Selamat pagi.”
Asrina menjawab lembut salam itu. Lelaki itu diekorinya sehingga ke dalam kamar kerjanya.
“Ada apa dengan hari ini?” tanya Ariff sambil mengerling setiausahanya itu.
“Tetamu yang tan sri katakan semalam sudah ada di sini. Dia sedang menunggu,” ucap Asrina setelah berdiri di hadapan meja lelaki itu.
“Boleh panggil dia ke mari,” jawab Ariff lembut.
Asrina mengangguk sebelum berpaling menuju ke pintu. Di ruangan menunggu, dia menjemput tetamu jauh itu hadir ke pejabat Pengarah yang juga merangkap CEO. Lelaki muda itu bangun mengekori Asrina.
“Silakan masuk,” ucap Asrina berbahasa Inggeris dengan lelaki asing itu yang sememangnya sepatah pun tidak faham Bahasa Melayu.
“Terima kasih.” Lelaki itu mengangguk sedikit kepada Asrina.
Ariff mengangkat pandangan sebaik sahaja dua manusia itu masuk ke kamarnya. Langkah lelaki itu dipandang tanpa jemu. Seingatnya ketika dia bertemu dengan anak ini, Rayland baru berusia 11 tahun. Sudah lama.
“Selamat pagi, tuan.” Lelaki itu menyapa sopan. Terlupa mahu mengukir senyum dikala hati sedang gementar.
Ariff sekadar mengangguk. “Duduk.”
Lelaki muda itu mengangguk akur. Kerusi ditarik. Beg diletakkan di atas paha sambil duduk tegak.
“Selesa di sini?” tanya Ariff lembut.
“Memadai dengan apa yang diberikan. Saya selesa di sini, tuan. Terima kasih atas sambutan yang baik,” jawab anak muda itu perlahan. Sedikit senyum terukir menarik di bawah kumis nipisnya.
“Pernah berada di Kuala Lumpur sebelum ini?”
“Tidak pernah. Ini pertama kali.”
Ariff mengangguk sedikit. Sudah diberitahu apa sebabnya lelaki ini diminta Celine agar mencarinya. Dan dia bersedia untuk menerima kehadiran anak muda ini.
“Kamu ada membawa resume?” tanya Ariff.
“Ada.” Satu sampul segera dikeluarkan dari begnya. Lalu diberikan kepada lelaki berusia setengah abad itu.
Lelaki asing itu membisu. Sesekali dia memandang raut lelaki yang sering diceritakan ibu angkatnya. Serius. Kening lelaki itu berkerut sedikit saat membaca resume miliknya.
“Kamu tidak sebutkan bangsa dan agama di sini. Kamu Yahudi?” suara Ariff kedengaran tidak lama kemudian.
“Tidak. Saya Bosnia. Saya lahir di sana sebelum dihantar ke rumah perlindungan di Geneva ketika perang dulu,” jawab lelaki asing itu sopan.
“Kamu beragama apa? Nama kamu Rayland Izetbegovic. Macam nama orang islam.”
Lelaki muda itu tunduk seketika. “Saya islam ketika lahir.”
Jawapan serba ringkas itu lantas membuatkan Ariff mengangguk faham akan maksudnya. Islam hanya pada nama. Praktikalnya tidak lagi. Resume lelaki itu terus diselak. Hening kamar itu tanpa suara.
Keheningan itu dicelahi oleh kehadiran Asrina membawa minuman buat tetamu itu. Kemudian dia berdiri di sebelah bosnya. Ariff menoleh seketika. Asrina meletakkan helaian kertas putih di hadapan Ariff.
Lelaki bernama Rayland itu memerhatikan lelaki separuh abad itu membaca kertas itu sebelum dia meletakkan tandatangan pada hujung setiap helaian kertas itu. Seterusnya setiausahanya mengambil semula kertas itu dari bosnya.
“Panggil Zahir ke sini,” ucap Ariff kepada gadis itu.
“Baik, tan sri. Emm.. sebelum tu, ada seorang lelaki mempelawa tan sri makan tengahari bersamanya hari ini. Penting katanya.”
“Siapa?” kening Ariff berkerut merenung wajah Asrina.
“Tan Sri Malik dari Global Holding. Maaf, dia enggan beritahu apa urusannya untuk bertemu tan sri. Dia mahu bercakap dengan tan sri sendiri. Boleh saya tetapkan temujanji tu?”
Ariff diam sekejap. Global Holding? Dia tidak pernah ada urusan apa-apa dengan syarikat itu? Ah! Kalau dia tidak bertemu dengan lelaki itu, macam mana dia mahu tahu apa urusannya lelaki itu mahu bertemu dengannya.
“Okay. Di sini. Tengahari ini.”
Asrina mengangguk sebelum berlalu dari situ. Ariff kembali menumpukan perhatian kepada Rayland.
“Pengalaman kerja kamu dalam bidang korporat sangat baik. Sangat berguna untuk kamu berkerja di sini,” komen Ariff setelah puas meneliti resume milik lelaki itu.
“Terima kasih banyak, tuan.” Rayland menyambut dengan sedikit senyuman.
“Tetapi perlu kamu tahu banyak hal selama kamu digajikan di sini. Pertamanya, peraturan ketat hotel kita, alkohol tidak disediakan kepada sesiapa pun yang menginap di sini. Mana-mana kakitangan yang secara sukarela membawa masuk alkohol ke sini untuk memenuhi kehendak pelanggan atau untuk kegunaan sendiri, dia akan dipecat serta merta. Melarang mana-mana kakitangan bawahan untuk hadir solat jemaah, pegawai itu juga akan dipecat serta merta. Dan kita membuka laluan yang luas untuk pegawai dari jabatan agama islam untuk membuat pembersihan di dalam kamar hotel, sesiapa yang melarang mereka masuk ke sini, juga akan dipecat. Boleh faham?” ucap Ariff bersungguh.
“Faham, tuan.” Namun wajah anak muda itu berubah sedikit.
“Ada soalan?”
“Tidak ada. Cuma, saya tak pernah mendengar peraturan seperti itu di hotel-hotel lain.”
“Hotel adalah tempat menginap. Di sini kita alu-alukan keluarga yang datang berkunjung dengan baik. Sebahagian dari mereka membawa anak kecil dan anak remaja. Kita sediakan persekitaran yang selamat untuk semua yang singgah di sini.”
Rayland mengangguk sedikit. Sekarang dia percaya apa yang diucapkan oleh emak angkatnya itu benar.
Sedang mereka berdua berbual di dalam kamar itu, Zahir masuk bertemu dengan bosnya.
“Bagaimana dengan kediaman yang saya minta kamu sediakan sebelum ini? Sudah siap?”
“Ini orangnya?” balas Zahir tanpa terus menjawab soalan Ariff.
Ariff mengangguk lantas memandang Rayland. “Anak saudara saya dari Geneva. Dia akan mula bertugas di sini dalam bahagian pemasaran global.”
Zahir terus menghulurkan tangan kepada Rayland. Dua lelaki itu berbalas senyuman.
“Rumah tu dah siap dibaiki, tan sri. Tapi masih dalam kerja pembersihan. Esok baru selesai,” jelas Zahir lembut.
“Tak apa. Untuk sementara kamu akan kekal di kamar kamu sekarang. Kita ke kamar kerja kamu.” Ariff bangun dari kerusinya.
Rayland ikut bangun. Sepanjang menuju ke kamarnya, liar matanya memandang sekeliling. Sambil itu dia diperkenalkan dengan Rafael sebagai timbalan pengerusi juga merangkap sebagai ketua eksekutif bahagian kewangan.
“Kita tak pernah berjumpa sebelum ini?”
“Saya hanya selalu berjumpa dengan Mikhael ketika dia berada di Geneva dulu,” balas Rayland dengan senyum ramah.
Seterusnya dia dibawa berkenalan dengan seorang lagi anak kepada lelaki ini.
“Nurul Jannah. Ketua pegawai sumber manusia,” ucap Ariff saat anak itu berada dekat dengannya.
“Hai..” mata Rayland singgah lama di raut itu.
Jannah hanya mengangguk dengan sedikit senyum buat lelaki ini. Sempat dia menilik fizikal lelaki itu. Rambutnya berwarna keperangan. Tetapi kumis dan jambang nipisnya berwarna hitam pekat. Renungan dalam dari bola mata berwarna kehijauan itu membuatkan wajah Jannah berubah sedikit.
“Siapa ni, daddy?” bisik Jannah sambil mencuit ayahnya.
“Anak angkat Auntie Celine kamu. Dia akan berkerja di sini,” balas Ariff perlahan.
“Oh.” Jannah terlopong sedikit. Tidak tahu menahu tentang itu. Tanpa sengaja pandangan matanya singgah lagi di wajah lelaki asing itu. Rupanya lelaki itu masih tidak puas merenung wajahnya. Cara lelaki itu memandangnya membuatkan perasaannya berubah tidak senang. Tak pernah jumpa perempuan ke dia ni? ucap hatinya sendiri.
Dan saat dibawa ke kamar kerjanya, Rayland masih tertoleh-toleh mahu memandang lagi.
Jannah? Sengaja menayang muka tidak berperasaan sebagai isyarat yang dia tidak tertarik sedikit pun kepada kepada lelaki itu.
“Takdelah handsome sangat pun!” ucapnya sendiri.
Selesai menguruskan Rayland, Ariff berbual seketika dengan pembantunya.
“Saya nak tahu mengenai Tan Sri Malik dari Global Holding. Tolong cari maklumat tentang dia sebelum sampai waktu makan tengahari nanti. Saya ada janji dengan dia.”
“Kenapa dengan dia?” balas Zahir hairan.
“Saya Cuma nak kenal orangnya sebelum saya berurusan dengan dia,” jawab Ariff lembut.
“Baik, tan sri.”
Sejam kemudian Zahir kembali semula ke kamar itu bersama tablet di tangan.
“Ini orang yang tan sri katakan tu. Tak banyak maklumat yang saya dapat dari media tentang dia,” ucap Zahir sambil meletakkan gadjetnya di atas meja Ariff.
Ariff segera mengambil gadjet itu. Lama matanya memandang berita di dalam blog itu. Keningnya berkerut sendiri.
“Ini berita yang sahih?” tanya Ariff agak terkejut.
“Wallahualam, tan sri.”
“Tak apalah. Terima kasih,” ucap Ariff lembut.
Zahir terus berlalu setelah mendapatkan gadjetnya semula.

TENGAHARI itu seperti yang telah dijanjikan, Ariff bertemu dengan seorang lelaki lebih kurang sebaya dengannya. Rambutnya sudah mencacak putih tanda usia sudah banyak. Namun orangnya masih segak dan tampan. Tubuhnya sasa tanda sentiasa menjaga penampilan diri. Rautnya tidak sepadan dengan warna rambut dan usia.
“Kita tak pernah bertemu sebelum ini. Syarikat kita tak pernah ada kerjasama,” ucap Ariff dengan senyum ramah kepada tetamunya.
“Ia.” Lelaki itu menjawab perlahan. Masam kelat wajahnya memandang lelaki di hadapannya. Lelaki itu membiarkan janggut dan jambang tetapi misainya dicukur bersih. Petanda orang alim, mengamalkan sunnah.
“Saya rasakan tan sri ada hal yang penting nak dibincangkan dengan saya.” Suara Ariff kedengaran lagi setelah pelayan menghidangkan makanan.
“Saya rasa keberatan. Bimbang tan sri tak suka dengan apa yang saya nak beritahu ni,” jawab Tan Sri Malik perlahan.
Kening Ariff berkerut sedikit. “Saya sedia mendengar.”
Tan Sri Malik berdeham sedikit. Kemudian air dihirup bagi membuang resah.
“Saya sebenarnya datang membawa hajat, tan sri. Di samping saya sebenarnya nak kenal dengan tan sri sendiri.”
Ariff mengangguk sambil terus menadah telinga.
“Beberapa bulan sebelum ni saya berkenalan dengan anak tan sri. Di sini saya berjumpa dia pertama kali dulu.”
“Anak saya?”
“Jannah..”
“Oh..” Ariff mengangguk sedikit.
“Semenjak itu saya selalu berhubung dengan dia.”
Ariff mula tersandar ke kerusinya. Ada rasa tidak enak menikam dadanya.
“Saya minta maaf kalau apa yang saya katakan ni membuatkan tan sri rasa terganggu. Saya sukakan anak tan sri. Dan saya berhajat nak melamar dia.”
Ariff terus-terusan berdiam merenung wajah lelaki itu. Namun seketika kemudian dia kembali bersuara.
“Melamar dalam erti kata apa?”
“Saya nak jadikan dia isteri saya.” Tan Sri Malik menjawab rendah.
Berubah serta merta wajah Ariff mendengar itu. Teringat semula apa yang dibaca di media masa pagi tadi. Disamping memiliki ketokohan sebagai usahawan berjaya, ada sesuatu yang membuat dia merasa amat tidak senang dengan lelaki ini.
“Saya biasa mendengar orang lelaki dibenarkan berpoligami. Tak menjadi kesalahan. Tetapi kebiasaannya lelaki hanya dibenarkan memiliki empat orang isteri dalam satu masa,” komen Ariff tanpa terus mahu menyatakan penolakan.
“Oh! Err..” Tan Sri Malik berdeham seketika.
“Sebenarnya saya sedang ada masalah dengan isteri saya yang nombor dua. Kami dalam proses bercerai.”
Ariff mengangguk berkali-kali mendengar itu. “Bercerai supaya anak gadis saya boleh dinikahi?” duga Ariff.
“Bukan begitu. Saya memang dah ada masalah dengan isteri saya tu. Orang perempuan ni maklum sajalah. Ada yang kahwin tak ikhlas. Nak kesenangan aja..”
“Lelaki juga ada yang bernikah kerana nafsu semata-mata. Berpoligami hanya dengan wanita muda. Mempermainkan rukhsah demi menegakkan nafsu. Itu sudah selalu berlaku sekarang. Tidakkah begitu lazimnya zaman sekarang?” Ariff terus memintas.
Tersentak Tan Sri Malik terasa diperli lelaki itu. Tiba-tiba dia kehilangan kata-kata. Kalau selalunya dia seorang lelaki yang teramat bijak mengatur ayat, kali ini dia kelu pula. Lebih dari itu, dia tidak sangka lelaki ini sudah tahu yang dia berpoligami.
“Tidak salah cintakan sunnah. Tetapi menipu atas nama Allah dan rasul, itu berdosa besar. Adakah anak saya tahu tentang ini?” ucap Ariff seketika kemudian.
“Ana tahu. Dan dia juga ada perasaan yang sama kepada saya. Tan sri, saya bersungguh sayangkan Ana. Saya hanya perlukan restu dari tan sri. Saya akan jaga Ana sebaik mungkin. Saya sungguh-sungguh sayangkan dia.”
Betapa sakit hati Ariff mendengar ucapan lelaki itu. Seolah-olah lelaki ini telah menghinanya. Sabarnya jadi menipis. Ariff mengambil napkin di atas pahanya lalu diletakkan di atas meja.
“Saya sedia terima sekiranya Allah menentukan anak saya terpaksa bermadu dengan wanita lain. Tetapi saya tak reda sekiranya anak saya menyebabkan wanita lain menjadi janda. Saya tak izinkan Ana bernikah dengan dalam keadaan begini dan menjadi pemuas nafsu kepada lelaki seusia ayahnya sendiri! Saya tak restukan. Tolong jauhkan diri dari anak saya.”
“Tan sri, jangan begitu. Saya ikhlas dengan Ana. Saya terpaut kepada keperibadian dia. Sejujurnya saya tak pernah berjumpa dengan wanita seperti dia. Saya benar-benar sukakan dia.”
“Makanya didiklah isteri anda supaya menjadi wanita yang mulia. Bukannya terus menceraikannya sekiranya dia ada kekurangan. Itu hanya alasan orang munafik!” tegas Ariff tanpa mahu menunggu lagi di situ.
Di atas Ariff terus meminta Jannah datang ke kamarnya. Hanya selepas selesai waktu makan tengahari barulah anak itu muncul.
“Kamu tahu daddy bertemu dengan siapa tadi?”
Jannah hanya mengangguk.
“Kamu rahsiakan tentang dia daripada daddy selama ini?”
“Kalau Ana berterus terang mesti daddy tak suka,” jawab Jannah rendah.
“Kamu sukakan lelaki itu?? Kamu mahu kahwini lelaki seperti itu??” Mencanak rasa marah lelaki itu kepada anaknya. Butakah anaknya ini? Lelaki itu sudah memiliki empat isteri. Tiada ruang lagi untuk dia menikah dengan lelaki itu.
Jannah diam pula. Takut mahu menjawab walaupun banyak yang ingin diluahkan. Bimbang dapat penampar sedas dua.
“Daddy tak faham macam mana kamu boleh jatuh cinta pada dia,” ujar Ariff lagi.
“Dia baik. Dia tak pernah berkasar dengan Ana. Dia gentleman.”
Ariff ketawa entah kenapa. “Kamu masih terlalu naif untuk faham dengan sebaik-baiknya maksud kata-kata kamu tadi. Lelaki itu akan menceraikan salah seorang isterinya untuk bernikah dengan kamu, itu kamu katakan dia gentleman? Perbuatan ini salah! Kamu tidak boleh menjadi sebab keruntuhan rumahtangga orang lain,” ucap Ariff agak keras nadanya.
“Ana tak pernah masuk campur dalam urusan dia dengan isteri dia. Lagipun dia selalu kata dia dan isteri dia dah tak sefahaman.”
“Jadi kamu tumpang simpati? Tolong mendengar masalah rumahtangga dia sehingga kamu terjerat dengan perasaan kamu sendiri. Sekarang dia mahu menceraikan isterinya demi membolehkan kamu berdua bernikah. Kamu rasa, ini kehendak Allah atau kamu berdua sudah lama termasuk dalam perangkap iblis?” sanggah sang ayah dalam nada meninggi.
Jannah tersentak dikatakan begitu oleh ayahnya.
“Kalau kamu terfikir daddy akan memberi izin dengan senang hati, kamu fikir semula dengan baik. Lelaki yang baik tidak akan memburukkan isterinya di hadapan orang lain. Apatah lagi menggunakan kekurangan isterinya untuk memerangkap wanita lain. Kalau kamu mahu berkahwin, silakan. Tapi bukan dengan lelaki seperti itu! Kamu lupakan dia mulai sekarang. Jangan sesekali kamu berhubung dengan dia. Atau kamu akan lihat apa yang daddy akan buat sehingga kamu rasa menyesal, Jannah!” tegas Ariff kian lantang suaranya.
“Daddy memang tak faham perasaan Ana!” ditengking Ariff, Jannah sudah mula mahu menangis.
“Lelaki itu hanya mahukan kamu kerana kamu masih muda. Hampir semua isterinya sebaya dengan kamu. Buka mata kamu luas-luas. Jangan kamu hanya mengenang kata-kata dia yang manis sahaja. Suatu hari nanti apabila dia sudah muak dengan kamu, kamu juga akan dimadukan lagi dengan wanita lain. Entahkan kamu akan diceraikan. Cuba kamu letakkan perasaan kamu di tempat daddy. Adakah seorang ayah akan merelakan anak gadisnya membiarkan dirinya berada situasi begini? Seorang lelaki mampu menjadi sesiapa sahaja demi nafsu walaupun terpaksa berlakon sebagai orang alim. Kamu jangan jadi bodoh!”
“Ana memang bodoh sebab jatuh cinta pada lelaki macam dia. Tapi tolong jangan pandang dia hanya pada bahagian yang tak baik aja, daddy. Daddy tak kenal dia. Ana kenal dia,” rayu Jannah.
“Sudah! Kamu memang betul-betul naif!!!” tengking Ariff membuatkan Jannah tersentak. Matanya berkaca serta merta.
“Daddy memang tak sayangkan Ana. Selama ni Ana tak minta apa-apa dari daddy. Hanya kali ni..”
“Kali ini kamu meminta sesuatu yang daddy tak boleh tunaikan. Putuskan hubungan kamu dengan dia. Daddy benar-benar maksudkan apa yang daddy katakan sekarang ini. Selagi daddy masih hidup, jangan kamu sebut nama lelaki itu depan daddy. Kamu faham??” sekali lagi tengkingan itu menerpa kepada sang anak membuatkan air mata Jannah berderai.
“I hate you, daddy!” ucap Jannah sambil dia mengangkat punggung berlalu.

Ariff terus memandang tajam pemergian anaknya itu. Berkali-kali dia beristighfar untuk meredakan rasa marahnya. Namun dia hanya terus diasak oleh bayangan lelaki itu. Membuatkan sepanjang hari moodnya mencicit lari entah ke mana.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan