BAB 13
BERTUNANG untuk tempoh enam bulan. Itu perancangan awal mereka setelah
mengikat janji untuk menyatukan kedua-dua manusia itu. Biarpun janggal, Jannah
berusaha juga untuk menerima kehadiran lelaki itu dalam hidupnya. Hidupnya kini
lebih tenang tanpa gangguan. Namun seperti yang diingatkan sebelum ini, dia
harus selalu berhati-hati. Gangguan itu mampu datang bila-bila masa saja.
Awal pagi itu ketika dia tiba di kamar
kerjanya, Jannah terlihat sejambak bunga ros terletak di atas satu bungkusan
berbentuk empat segi di atas mejanya. Dia terpaku seketika. Kemudian dia
memandang ke arah kamar Rayland. Lelaki itu sudah kembali bertugas setelah
berada di Amerika Syarikat selama dua minggu. Lelaki itu sedang sibuk
menyelongkar kabinet di belakang mejanya.
Jannah duduk di kerusinya. Kuntuman ros
itu dibelek seketika. Ketika dia memandang semula ke arah kamar Rayland. Lelaki
itu baru sahaja melabuhkan duduk di kerusinya. Spontan mereka berpandangan.
Jannah mengangkat ganggang lalu mendail nombor sambungan ke kamar lelaki itu.
Buat permulaan dia terdengar sapaan lembut, ucapan selamat sejahtera dari sang
lelaki. Jannah menjawab perlahan.
“Awak sihat, sayang?” tanya lelaki itu
lunak.
“Sihat. Alhamdulillah. Awak?” balas
Jannah perlahan.
“Saya sihat. Awak dah lihat hadiah itu?”
“Belum. Sekejap.”
Sambil mengepit ganggang dengan bahu,
Jannah mengoyakkan kertas bungkusan itu. Namun baru separuh tersiat, dia sudah
terpaku. Sebuah bingkai gambar kelihatan. Jannah terus mengoyak kertas pembalut
bahagian hadapan.
“Itu potret awak. Saya hadiahkan khas
untuk awak.”
Kening Jannah berkerut. Ini foto sebenar
atau lukisan? Dia keliru.
“Gambar itu nampak asli, kan? Sama
seperti dalam foto.” Suara Rayland kedengaran. Macam sudah tahu apa yang sedang
difikirkan tunangnya itu.
“Ia. Ini hasil lukisan tangan?” tanya
Jannah sedikit teruja. Pertama kali dirinya dipotretkan seperti itu.
“Ia. Saya tempah lukisan itu pada
seorang pelukis ketika saya berada di sana.” Suara Rayland kedengaran lembut
melalui corong.
Jannah terdiam ditekan rasa kagum dan
teruja. Macam tidak puas memandang. Indah hasil tangannya.
“Awak suka?”
“Suka. Terima kasih banyak. Saya tak
tahu nak cakap apa. Kagum. Cantik hasil tangan pelukis ni,” ujar Jannah lembut.
“Sepanjang saya di sana, saya rindukan
awak. Saya tak tahu nak buat apa dengan perasaan ni. Kemudian saya terjumpa
pelukis itu. Dia seorang pelukis jalanan yang ada bakat besar. Saya terfikir
untuk mengabadikan seseorang yang saya sayang dalam bentuk lukisan,” ujar
Rayland lunak.
Tanpa sedar Jannah tersenyum sendiri
mengusap cermin bingkai itu.
“Ana..” panggil Rayland lembut.
“Ia..” spontan pandangan Jannah terhala
ke arah kamar Rayland. Lelaki itu sedang tunduk merenung mejanya.
“Saya masih ingat awak menegur tentang
tatu di dada saya. Kali ini saya faham, seseorang yang saya sayangi saya hanya
perlu letakkan dia di dalam hati. Bukan sekadar di luaran. Di situlah tempat
yang istimewa. Di situlah saya letakkan awak selama ini,” ujar Rayland tanpa
menyedari rupanya gadis itu sedang memerhatikan dia dari dalam kamar sana.
“Mentera apa awak baca ni?”
“Ha?” Rayland pantas mengangkat
pandangan. Dia terlihat Jannah tersenyum-senyum sambil menekup mulut.
“Awak berbisik dari tadi. Saya ni pakai
hijab. Saya tak berapa dengar bila awak berbisik,” ucap Jannah sambil cuba
mengawal rasa nak ketawa. Bukan main jiwang lagi lelaki seorang ini.
Rayland ketawa kecil sambil menggaru
kepalanya. Malu mukanya melihat Jannah masih memandang dia. Namun entah kenapa
indah rasanya melihat Jannah tersenyum kepadanya.
“Saya hargai apa yang awak buat untuk
saya. Terima kasih untuk hadiah yang istimewa ni. Saya suka, Rayland. Maaf,
saya tak sediakan apa-apa untuk awak.” Jannah bersuara pula seketika kemudian.
“Tak apa. Senyuman awak sekarang ni dah
cukup besar maknanya buat saya.”
Spontan Jannah memandang lagi ke arah
lelaki itu. Rayland sedang merenungnya. Sungguh, hari ini terasa ada
keistimewaannya.
“Saya hargai apa yang awak buat untuk
saya. Saya sedar awak sentiasa cuba memberi layanan terbaik untuk saya. Dan
saya akui awak seorang lelaki yang baik, Rayland.”
“Saya selalu mengharapkan awak akan
menerima saya akhirnya. Saya ingin diri saya diterima, diletakkan di tempat
yang istimewa. Tapi saya faham. Saya tak boleh paksa awak.”
“Saya percaya akan sampai masanya saya
kena akur dengan takdir. Cuma buat masa ini, saya minta diberikan masa. Hati saya
bukan hak mutlak saya.”
“Tak apa. Saya faham. Saya akan tunggu,
Ana. Jangan risau tentang itu. Saya tak merasa kecewa sekarang. Saya yakin
suatu hari nanti awak akan melihat siapa saya sebenarnya,” balas Rayland
lembut.
Sesungguhnya sepanjang masa itu, matanya
sering sahaja menjeling potret itu. Cantik dan unik. Jannah bercadang untuk
meletakkan bingkai itu di dalam pejabatnya sahaja.
Petang itu, ketika mahu pulang Jannah
berdiri di hadapan lobi bersama ayahnya. Menunggu Abduh tiba. Rayland muncul
tidak lama kemudian.
“Baru turun?” sapa Ariff.
“Saya baru lepas solat,” jawab Rayland
lembut.
“Kamu tak lagi pulang bersama Saad?”
tanya Ariff sambil memandang dari atas ke bawah. Terpandangkan Rayland sedang memeluk
topi keledar dan tubuhnya sudah tersarung jaket, dia semakin tertanya.
“Saya naik motorsikal, pak cik. Saya
lebih senang ingat jalan di sini kalau saya sendiri yang memandu.” Rayland
menjawab sambil menjeling Jannah di sebelah ayahnya.
“Kamu beli motorsikal?”
Rayland sekadar memuncungkan mulutnya ke
arah sebuah motor besar terpakir di tempat pakir motor tidak jauh dari situ.
Ternganga Ariff memandang motor anak muda itu. Kalaulah Farouqe nampak,
berpinar biji mata anaknya itu.
“Kamu akan berkahwin sedikit masa lagi.
Pastikan kedua-dua kaki kamu nanti tidak berbalut dengan plaster akibat dari
motor itu,” pesan Ariff.
Rayland ketawa sedikit sambil menggaru
kepalanya. Sekali lagi dia mengerling buah hatinya. Jannah buat-buat memandang
ke arah lain. Tapi sudahnya terjeling-jeling juga.
“Saya balik dulu, pak cik.”
“Ia. Berhati-hatilah.” Ariff membalas
biasa.
“Sayang, saya balik dulu ya?” ucap
Rayland kepada Jannah.
“Emm.. ia. Err.. hati-hatilah.” Tidak
tentu arah Jannah saat dipanah pandangan ayahnya. Merah mukanya.
Sehingga lelaki itu bertenggek di atas
motornya, dua manusia itu terus memandang. Ngauman enjin motor itu menarik
perhatian orang sekeliling. Jannah terus memandang sehingga motor itu menderu
pergi.
Bestnya kalau dapat naik motor tu, ucap
hatinya teruja. Tak pernah merasa naik motor besar. Sentuh pun tidak pernah!
Selalu dia terpandang wanita-wanita yang membonceng motor besar seperti itu
bersama suami. Alangkah seronoknya!
“Ehemmm..” deheman itu segera membuatkan
Jannah kembali memandang ayahnya.
“Kamu tidak boleh keluar dengan Rayland
selagi tidak bernikah,” ucap Ariff dengan kerlingan ekor mata.
“Ia. Ana tahu, daddy. Pandang aja pun,”
cebir Jannah perlahan.
“Jangan mimpi nak membonceng sambil
berpeluk-pelukan di belakang dia! Macamlah daddy tak boleh baca apa yang ada
dalam fikiran kamu tu,” balas Ariff lantas menarik pipi anaknya.
“Sakitlah, daddy!” rengus Jannah manja.
Lengan ayahnya segera dipukulnya. Tahu aja apa ada dalam fikiran dia. Tiada can
untuk dia nak cari alasan!
“Daddy ada terfikir untuk mempercepatkan
saja hari pernikahan kamu. Apa kata kamu?”
Berderau darah Jannah mendengar itu. Cepat-cepat
dia berjalan ke arah kereta yang baru berhenti di hadapan mereka.
“Ana?” Ariff tersenyum melihat Jannah
begitu pantas mengalihkan duduk di belakang Abduh.
“Ana tak dengar apa-apa, daddy. Lalalalalala..
tak mahu dengar apa-apa!” Jannah menjawab sambil menekup kedua-dua belah
telinganya.
Ariff ketawa kecil sambil menggeleng. Punggungnya
dilabuhkan di kerusi belakang. Kereta itu berlalu pergi setelah pintu ditutup.
Ariff menoleh kepada anak gadisnya kemudian.
“Cepat atau lambat, sama saja, kan? Lebih
baik cepatkan saja.”
“Daddy... tak mahulah!” rengus Jannah
sambil menghela nafas panjang.
“Daddy tahu kamu sukakan Rayland
sebenarnya.”
“Ialah. Memanglah suka. Suka macam tu
aja. Perasaan Ana biasa-biasa aja pada dia,” jawab Jannah bersungguh.
“Ia?” kening lelaki tua itu terjongket
sebelah saat merenung sisi tampang sang anak.
“Apa?”
“Atau kamu sebenarnya suka bila tahu dia
tergila-gilakan kamu?”
Jannah terdiam sekejap. Lambat-lambat
dia menoleh kepada sang ayah. “Apa maksud daddy?”
Ariff ketawa kecil sambil mengalihkan
pandangan ke hadapan. “Tak ada apa-apa maksud. Itu cuma tekaan daddy saja. Tapi
wajah kamu berubah pula. Daddy masih ingat dulu, kamu pernah menunjukkan reaksi
yang kamu tertarik kepada dia waktu Rayland cuba mengorat kamu. Kalau bukan
kerana kamu pernah disihir oleh lelaki tua itu, mungkin keadaan akan pergi
lebih jauh. Bukan begitu?”
Jannah terdiam habis mendengar itu. Dalam
otaknya berfikir. Ia ke dia pernah melayan Rayland dulu? Bila? Entah! Dia tidak
tahu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan