Ahad, 3 November 2013

Melukut di tepi gantang.

Aku terus menanti kepulangan Ariff dengan perasaan yang bercampur baur. Cuba ku pujuk lagi hati dengan penuh kesabaran walaupun masuk hari ini bermakna sudah empat hari Ariff tidak pulang ke rumah. Telefon bimbitnya juga tidak dapat ku hubungi sehingga kini.
Hati ku kian resah tidak menentu memikirkan ke mana Ariff menghilang. Sudah dua hari cuaca di luar memburuk. Suhu semakin rendah dan dari dalam rumah aku lihat jendela rumah kami sudah diliput salji tebal. Daripada berita kaji cuaca di tv aku dimaklumkan suhu di kotaraya London akan terus menurun dalam sehari dua ini. Aku semakin bimbang mengenangkan apa yang sedang berlaku di rumah ini. Anak-anak ku sudah tidak aman.
“Ariff, manalah awak pergi ni..” keluh ku kian kebimbangan.
Namun kebimbangan yang paling utama saat ini bukan lagi tentang di rumah siapa Ariff bermalam, sebaliknya ragam anak-anak yang enggan tidur dan hanya menangis sahaja semenjak siang tadi. Aku dapat merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan dua kembar kesayangan ku itu.
Apabila menjelang malam badan Rafael mula terasa cukup panas. Kini Mikhael juga sudah mengikut jejak abangnya. Memikirkan suhu yang dingin aku yakin anak-anak ku sudah sudah menghidap demam kerana dia merasakan tubuh mereka berdua agak panas. Rafael dan Mikhael hanya menangis dan tidak mahu menyusu lagi. Tidak tertanggung rasanya beban kerungsingan ini sendirian. Aku sangat-sangat memerlukan Ariff saat ini.
“Mereka demam ni, puan. Suhu badan mereka masih tak menurun. Saya rasa kita tak harus menunggu Tuan Ariff lagi. Mereka harus segera dibawa ke hospital,” kata Malika yang juga sudah gusar dengan keadaan bayi-bayi ku itu.
Berkali-kali kami meletakkan tuala basah ke dahi anak-anak itu tetapi hasilnya masih tidak seperti yang ku harapkan. Malahan ada kesan-kesan kemerah mula timbul di tubuh anak-anak itu.
“Saya juga rasa macam tu. Saya rasa saya mesti ke klinik segera tanpa menunggu Ariff lagi. Saya tak boleh biarkan mereka begitu sahaja. Badan mereka terlalu panas. Saya bimbang..” balas ku kian resah.
“Kalau begitu saya akan panggilkan pemandu. Saya juga boleh temankan puan ke klinik. Susah kalau puan seorang diri di klinik nanti.” Malika lantas menawarkan bantuannya. Mungkin dia kasihan mengenangkan aku tidak ditemani suami saat itu.
Aku terus mengangguk. Sebetulnya aku amat mengharapkan bantuan Malika. Akhirnya aku memutuskan untuk menghantar Rafael dan Mikhael ke klinik yang paling hampir dengan rumah itu. Tidak dapat ku tahan lagi kesedihan ku apabila mendengar raungan anak ku itu yang sudah lain macam. Rafael dan Mikhael serba tidak kena dalam dukungan aku dan Malika. Anak-anak ku tidak mampu ku pujuk lagi. Keadaan itu semakin membuatkan aku tertekan. Dengan kecetekan ilmu dan kurang pengalaman, ditambah pula Ariff tiada bersama, aku merasakan perasaan ku semakin rapuh kala ini. Mujurlah aku pembantu yang ada amat berguna pada saat-saat seperti ini.
Tetapi sebaik diperiksa oleh doktor di klinik itu aku diarahkan agar terus membawa membawa dua anak ku itu ke Evalina Children Hospital kerana suhu tubuh Mikhael sudah hampir mencapai tahap maksimum. Mendengar itu bertambah cemas aku jadinya. Kami dihantar ke hospital itu dengan ambulan. Sesampai di hospital kedua-dua bayi ku dibawa pergi oleh petugas bilik rawatan kecemasan dengan pantas.
Melihat Mikhael asyik menangis aku sudah tidak mampu lagi menahan diri. Akhirnya aku menangis sayu saat berada di ruangan menunggu di dalam wad kecemasan itu. Dari tempat aku menanti itu aku masih boleh mendengar suara anak-anak ku biarpun doktor sudah membataskan pandangan ku dengan mengembangkan tirai mengelilingi katil dua anak kecil itu.
“Bersabarlah. Insya-Allah mereka berdua akan sembuh nanti.” Malika segera memujuk aku yang kesayuan.
Sesungguhnya hanya Rafael dan Mikhael yang masih tinggal untuk ku. Mereka berdua adalah alasan kenapa aku masih bertahan dalam kehidupan seperti ini. Tanpa mereka aku tidak tahu apa akan terjadi kepada ku.
Sejam kemudian aku telah diberitahu bahawa Rafael dan Mikhael terpaksa di tempatkan di wad ICU kerana telah mendapat demam panas. Doktor lelaki itu menerangkan demam panas itu mesti dikawal segera untuk mengelakkan kerosakan saraf yang boleh membawa kepada kecacatan kekal. Aku hampir pingsan mendengar itu. Namun Malika di sisi ku terus meminta aku bersabar dan berdoa kepada Allah.
“Kamu harus mencari suami kamu biar apapun yang berlaku, puan. Dia mesti tahu keadaan anak-anak dia.” Malika berkata kepada ku setelah kami keluar dari wad kecemasan itu.

Menghubungi Ariff? Bagaimana? Telefon bimbitnya setiasa dimatikan. Aku tidak tahu apa cara lagi yang ada untuk aku mencari lelaki itu.