BAB 6
SESAMPAI di rumah, Ariff naik ke atas untuk mencari anak
perempuannya. Anak gadisnya ditemukan di dalam kamar. Jannah tersandar di katil
dalam keadaan lemah.
“Ana..” panggil Ariff lembut.
Melihat ayahnya air mata anak itu terus
berderai entah kenapa. Jannah menangis teresak-esak. Ariff duduk di sisi
Jannah. Anak itu didakapnya erat.
“Jangan menangis, nak. Insya-Allah kamu
tidak akan apa-apa.” Sang ayah memujuk lembut.
“Ana tak mahu macam ni. Ana rasa nak
mati!”
“Astaghfirullah.. tak baik cakap begitu.
Ingat pada Allah. Hanya DIA yang dapat membantu kita sekarang. Tiada apa yang
akan berlaku tanpa izin Allah,” pujuk Ariff.
Jannah longlai setelah puas menangis. Tubuhnya
tersandar begitu saja. Insyirah segera mencuit bahu suaminya.
Ariff menoleh. Wanita itu menarik kaki
seluar Jannah ke atas untuk dilihat oleh sang ayah. Hampir tidak terkata lelaki
tua itu melihat kesan lebam kebiruan itu sudah kelihatan di kaki Jannah.
“Masya-Allah..” Ariff memegang kepalanya
sambil menggeleng. Dia tahu apa sebabnya tanda kebiruan itu ada pada tubuh
Jannah. Jasad sang anak bebas diapa-apakan oleh iblis yang mendampinginya.
“Sakit?” tanya Ariff sambil kesan lebam
itu dipegangnya.
“Sakit,” jawab Jannah sambil mengusap
pipinya.
“Umarul ada menelefon saya tadi. Ada
orang akan datang ke rumah kita ke rumah kita malam ini. Lelaki.”
“Apa yang lelaki tu cakap dengan awak
tadi? Kenapa Ana tiba-tiba jadi begini?”
“Entahlah. Saya tak tahu, Syira.” Ariff
bangun semula. Tidak ingin bercakap tentang lelaki seorang itu di depan Jannah.
“Kamu berehatlah. Jangan banyak fikir. Lebih
baik banyakkan zikir daripada berfikir tentang lelaki itu,” ucap Ariff kepada
anaknya. Jannah hanya diam.
“Baring, Ana. Badan Ana panas tu. Dalam keadaan
begini penyakit pun senang hinggap.”
“Awak tengokkan dia. Jangan biar dia
seorang diri,” pinta lelaki tua itu kepada isterinya pula. Insyirah mengangguk
akur.
Sehelai tuala basah dilekapkan ke dahi
Jannah. Namun anak itu merengus tidak suka. Tuala itu ditepisnya sehingga
tercampak ke bawah.
“Ana nak tidur,” tegas Jannah.
“Ialah..” balas si ibu perlahan. Rambut sang
anak diusap penuh kasih sayang sehingga mata Jannah terpejam. Melihat anak itu
sudah tidur, Insyirah turun mendapatkan suaminya.
Mereka tidak sedar, di dalam kamar itu..
mata Jannah kembali celik. Dia masuk ke dalam kamar mandi lalu duduk di dalam
sana. Merenung lantai kamar mandi tanpa jemu. Dalam fikirannya hanyalah kekasih,
kekasih dan kekasih!
SEPANJANG hari itu, keadaan kembali tenang. Namun keadaan kesihatan
Jannah sedikit terganggu. Seorang lelaki asing tiba di rumah itu selepas
maghrib bersama anaknya dan Umarul. Suaranya lembut sekali memberi salam kepada
seisi rumah.
Lelaki bernama Syeikh Marwan itu
merupakan pengetua kolej islam, tempat Umarul mengajar setiap hujung minggu.
Apabila diceritakan masalah mereka, lelaki itu segera mengangguk faham.
“Dulu anak saya juga diganggu orang
seperti anak tan sri. Mujurlah dia cepat perasan. Alhamdulillah, gangguan yang
datang tu tak diizinkan Allah meruntuhkan rumahtangga anak perempuan saya,”
cerita Syeikh Marwan.
“Saya harap sangat anak saya dapat
sembuh dari sakit seperti ini, syeikh. Saya ni pengetahuan tak banyak. Saya tak
tahu apa yang perlu dibuat,” balas Ariff lembut.
“Insya-Allah. Kita jangan putus asa
kepada Allah. Kalau boleh dipanggilkan anak tuan ke mari. Saya nak tengok dia.”
Ariff segera memandang isterinya. Wanita
itu segera bangun untuk mendapatkan Jannah. Tidak lama kemudian dia membawa
Jannah turun ke bawah.
“Tidak sihat ya?” tanya lelaki tua itu
setelah melihat keadaan Jannah.
“Dia demam.”
“Kasihan kamu. Orang cantik ni
kadang-kala membawa susah kepada hati manusia yang lemah iman,” ujar Sheikh
Marwan setelah Jannah duduk di hadapannya.
“Boleh solat ya? Tidak uzur?”
“Boleh.” Jannah menjawab perlahan.
“Ada rasa dada macam sempit? Macam susah
nak bernafas?” tanya lelaki tua itu lembut.
Jannah mengangguk tanpa memandang lelaki
itu.
“Tidur malam macam mana? Ada mimpi yang
tak elok? Mimpi yang kotor dengan lelaki itu?”
Jannah diam pula. Langsung tidak mahu
mengangkat wajah.
“Mungkin dia segan dengan orang ramai.
Ada kamar terdekat yang boleh saya gunakan untuk bercakap dengan anak tuan?”
ujar Syeikh Marwan lantas memandang Ariff.
“Silakan, syeikh.” Ariff segera bangun
menuju ke arah Jannah. Anak itu dipapahnya ke kamar terdekat.
“Emak dan ayahnya boleh tunggu di sini,”
ucap Syeikh Marwan setelah mereka masuk ke dalam kamar.
Insyirah duduk di belakang Jannah
sementara Ariff duduk di sebelah anaknya.
“Pak cik nak tahu, ada kamu mimpi yang
tidak elok bersama lelaki itu? Mimpi bersetubuh. Kamu dapat melihat dengan
jelas wajahnya dalam mimpi itu.”
“Ada.” perlahan sekali suara Jannah
menjawab. Malu benar mahu mengakui itu.
“Saya panggil anak saya sekejap. Kita
bacakan ayat suci. Kalau ada sesuatu yang tidak elok dalam tubuh kamu, mohon
Allah bantu kamu segera lepas darinya.”
Jannah hanya tunduk saat ditinggalkan
dalam kamar itu oleh lelaki tua itu. Seketika kemudian Syeikh Marwan kembali
semula ke situ bersama Mirza, anak lelakinya. Satu besen diletakkan di hadapan
Jannah.
“Saya minta izin untuk sentuh kepala
anak tuan ya?” ucap Syeikh Marwan penuh hemah.
“Silakan, syeikh.”
Bacaan dimulakan dengan surah Al
Fatihah. Kemudian diikuti surah tiga Qul. Berlanjutan lagi dengan beberapa ayat
dari surah Al Baqarah. Sehinggalah ketika dibacakan surah Al-Jin, Jannah mula
menangis tanpa sebab. Dua lelaki itu terus membaca tanpa mempedulikan Jannah
mula mengubah kedudukannya. Lututnya dilipat dan wajahnya disembunyikan antara
dua lututnya. Meraung-raung dia menangis sehingga Ariff mula memegang bahunya.
“Dahlah! Diam..” rayu Jannah sambil
menangis. Dek kerana terlalu kuat meraung, dia mahu muntah pula. Mirza
mengisyaratkan agar didekatkan besen itu kepada Jannah.
“Tak nak..” Jannah menggeleng sambil
memusingkan kedudukannya ke arah lain. Namun saat lelaki tua itu mencengkam
kuat kepalanya, bacaan ayat suci terus berlagu, Jannah terus mencapai besen itu.
Tertunduk-tunduk dia memuntahkan apa yang hendak keluar dari perutnya.
Insyirah membantu menepuk belakang
anaknya sehingga Jannah mula longlai. Tanpa segan silu dia terjelepuk di tengah
semua orang. Dua lelaki itu terus membaca ayat-ayat penawar sehingga sudah.
“Biar dia rehat sekejap,” ucap Syeikh
Marwan sambil memandang anak itu.
“Keluar air berwarna kuning?” tanya
lelaki itu sambil memandang besen itu. Insyirah sekadar mengangguk.
“Alhamdulillah..” keluhnya sambil meraup
wajah.
“Apa maksudnya, syeikh?” tanya Ariff.
“Keluar muntah seperti itu petanda sihir
pengasih. Sihir ni lumrah untuk orang yang mahu mendapatkan seseorang dengan
cara mudah,” jawab Syeikh Marwan perlahan.
“Allah..” Ariff meraup wajahnya sambil
menggeleng.
“Biarkan dia rehat dulu. Badan dia
sakit-sakit itu dah tentu,” ucap Syeihk Marwan.
Insyirah segera ke dapur. Meminta
hidangan dibawa ke hadapan untuk tetamu. Ariff duduk berbual dengan lelaki tua
itu di ruang tamu.
“Saya rasa rumah saya sudah pun
dicerobohi oleh makhluk lain,” ucap Ariff perlahan.
“Itu petanda biasa bila terkena gangguan
seperti ini. Makhluk itu ada disekeliling kita. Perlu banyakkan zikir. Mengaji
Al quran. Itu pendinding diri dan kediaman kita. Rumah ini perlu dipagarkan. Ada
makhluk yang mampu lepas pagar rumah orang. Semua itu dengan izin Allah,” balas
Syeikh Marwan perlahan.
“Ujian ini agak berat untuk saya tak
begitu pandai ilmu-ilmu syifa, Syeikh.”
“Jangan gusar, tuan. Tiada ujian yang
datang melebihi kemampuan manusia di atas dunia ini. Jangan putus asa. Allah
pasti akan bantu kita,” balas Syeikh Marwan lembut.
“Bagaimana dengan anak saya?”
“Tentang Jannah, ada beberapa hal yang
perlu diberi perhatian serius. Selagi dia dapat jauhkan diri dari lelaki itu,
insya-Allah dia tidak apa-apa. Tapi perasaan tidak menentu itu tetap akan ada.
Bila akan hilang, itu kita kena berserah kepada Allah. Sebagai ayah, tuan mesti
selalu memperhatikan dia. orang yang terkena ilmu ini sangat mudah
membelakangkan keluarga. Lari apabila kehendak hati tidak ditunaikan.”
“Apa patut saya buat untuk bantu anak
saya, sheikh?”
Sheikh Marwan diam sekejap sebelum
memandang lelaki di sebelahnya.
“Kalau ada calon suaminya, kahwinkanlah.
Supaya dia lupa. Salah satu sebabnya, kebiasaan orang yang terkena ilmu
cinta-cinta ni sangat mudah terjerumus ke arah zina. Nafsunya sentiasa ada. Dia
akan resah sentiasa, mahu pergi mencari kekasihnya. Perasaan itu kadang kala
tidak terkawal membawa dia kepada tindakan yang bodoh. Jadi lebih baik kalau
dicarikan suami. Sesetengah orang, mengambil masa agak lama untuk sembuh dari
penyakit seperti ini. selebihnya kita serahkan saja pada Allah.”
Berubah sedikit wajah Ariff mendengar
itu. Adakah anak perempuannya begitu? Benar dia selalu melihat Jannah resah.
Adakah.. ah! Serabut otaknya.
“Jangan lupa apa yang saya pesan tadi.
Banyakkan zikir. Ada masa mengaji. Hanya itu sahaja yang kita perlukan
sebenarnya untuk lepas dari semua itu. Tiada sihir yang mampu melawan kuasa
Allah,” ucap Syeikh Marwan lagi.
Ariff terus berdiam mendengar itu. Masih
terbayang-bayang dalam fikirannya. Anaknya disuruh kahwin? Masalahnya dengan
siapa?
“Janganlah tuan bimbang. Kadang kala
kita ditimpa sesuatu ujian, itu kerana Allah mahu mengangkat hijab antara kita
dan Allah. Letakkan keyakinan yang kukuh kepada Allah. Tiada satu makhluk pun
di atas dunia ini mampu menandingi kekuatan Allah,” ujar Syeikh Marwan tenang.
Ariff menghela nafas perlahan.
Selesai makan malam di rumah itu, Syeikh
Marwan meminta untuk bercakap dengan Jannah. Anak itu masih lemah namun sudah
mampu duduk.
“Kamu semestinya sedar apa yang berlaku
tadi, kan?” ucap lelaki tua itu lembut.
Jannah hanya mengangguk tanpa memandang
tampang lelaki tua itu.
“Pak cik nak kamu sedar juga, yang
lelaki itu sudah menghantar sesuatu yang tidak elok kepada kamu supaya kamu
akur kepada kehendak dia. Sebelum ini kamu tidak percaya apabila diberitahu
tentang itu. Tetapi kalau dalam tubuh kamu tiada makhluk halus, kamu tidak
perlu menangis macam tu sekali saat mendengar ayat suci. Kamu tidak akan
muntah. Dan tubuh kamu banyak kesan lebam, itu petanda ada makhluk begitu
selesa menetap bersama kamu selama ini.”
Jannah hanya mendengar tanpa merasa
terkejut atau sedih. Kesedarannya seperti sedang terbang melayang.
“Dengar apa yang pak cik nak cakap ni.
Pandang sini. Pak cik tahu masih ada sisa-sisa dalam jiwa kamu tidak percaya dengan
apa yang pak cik cakap tadi, kan? Kamu masih rasa dia itu lelaki yang baik. Kamu
masih mencintainya.”
Jannah mula mengangkat pandangan. Namun wajah
lelaki itu hanya mampu dipandang sekejap saja.
“Kerja iblis adalah untuk sesatkan kita,
umat manusia. Yang sudah sesat, itulah teman akrab iblis. Iblis sudah menjadikan
mereka itu khadam. Tetapi iblis tidak akan senang hati selagi tidak dapat
menyesatkan lebih ramai umat manusia. Kerana itu dalam hati kamu ada ragu
dengan apa yang pak cik cakapkan tadi. Ada bisikan di telinga kamu untuk
menolak kebenaran. Kamu perlukan kekuatan iman untuk keluar dari perangkap ini.
Selagi kamu tidak bantu diri sendiri, kamu akan terus begini. Faham tak apa pak
cik cakap ni?” ucap Syeikh Marwan bersungguh.
“Faham..”
“Dalam keadaan begini, iblis akan suruh
kamu buat sesuatu yang Allah larang. Kamu sendiri yang akan binasakan diri
kamu. Lama kelamaan kamu akan lupa kepada Allah kerana tertipu dengan keasyikan
yang dusta. Cinta yang sebenar, adalah cinta yang ikut seperti apa yang
dikehendaki oleh Allah. Cinta yang membuatkan kita melanggar perintah Allah,
yang membuatkan kita tak mampu memilih antara yang benar dan salah, itu bukan
cinta yang sebenar. Itu semua kerja iblis. Berhati-hati dengan hati kamu
sendiri. Ada satu masa kamu akan mula ragu kepada Allah. Itu saat yang paling
tepat untuk kamu jatuh ke dalam kesesatan. Biar apa pun keadaannya, keyakinan
kepada Allah jangan sesekali goyah. Jangan berhenti meminta perlindungan Allah
dan jangan kamu letakkan makhluk ciptaan Allah mengatasi kedudukan Allah dalam
hati kamu. Kalau kamu ikut cakap pak cik ni, insya-Allah Allah akan bawa kamu
ke jalan keluar.”
Jannah mengangguk perlahan.
“Perlu kamu ingat.. dalam apa pun
keadaan, yang berhak dan yang mampu mengubah hati kamu adalah Allah. Jadi
jangan sesekali kamu terputus hubungan dengan Allah. Isikan jiwa dengan
zikrullah. Banyakkan mengaji, banyakkan solat sunat. Itu makanan jiwa kita.
Sebelum tidur pastikan kamu berwuduk. Pak cik akan selalu doakan semoga kamu
selamat dari kejahatan iblis. Semoga kamu beroleh kehidupan yang diberkati
Allah.” Bicara itu diakhiri dengan nada lembut oleh Syeikh Marwan.
“Terima kasih, pak cik.” Jannah berkata
perlahan.
“Sama-sama.”
Sebelum berlalu dari rumah itu, Syeikh
Marwan memberikan nombor telefonnya kepada Ariff. “Telefon saya jika ada
apa-apa masalah. Insya-Allah, saya akan cuba membantu semampu saya.”
“Insya-Allah.”
Sepeninggalan lelaki itu, Ariff pergi
menjenguk anak perempuannya. Jannah terbaring lesu sambil memejamkan mata.
"Panas badan dia makin naik,"
adu Insyirah perlahan.
Ariff menghela nafas perlahan. Punggung
dilabuhkan di sebelah Jannah. Kepala anak itu diusapnya lembut. Di hati dia merayu
kepada Allah. Semoga anaknya terus dilindungi dan diberikan kesihatan yang
baik. Kerana hati seorang ayah sepertinya, tidak mampu bertahan saat melihat
anaknya dirundung derita.
Allah...
BalasPadamAllah...
BalasPadamKesian nyer
BalasPadamKesiannyaa...
BalasPadam