BAB 5
LAMA lelaki itu membilang tasbih di atas sejadah di pertengahan
malam itu. Tidak putus-putus hati memohon kepada Yang Esa agar dipermudahkan
kehidupan mereka, diberikan petunjuk. Sunyi. Isteri dan anak-anak sudah terlena
semenjak tadi lagi.
Usai mengerjakan solat tahajjud, Ariff
bangkit dari atas sejadah. Sejadah disangkut semula. Kemudian dia mendekati
katil. Sang isteri dikejutkan.
“Awak nak solat malam?” tanya Ariff
setelah isterinya terjaga.
Lambat-lambat Insyirah mengangguk.
“Bangunlah. Solat sekejap. Saya nak
turun bawah ni,” ujar Ariff. Setelah isterinya bangun, dia terus keluar dari
kamar. Ruang tamu malap. Sebahagian lampu sudah dimatikan. Ariff memandang ke
arah sofa seketika. Bantal yang selalu berada di atas sofa, bertaburan di atas
karpet.
Lelaki itu mendekati ruang tamu. Bantal
itu dikutip satu persatu lalu disusun seperti biasa semula. Namun dia
terperasan seperti ada orang sedang berdiri di ambang dapur memandang
kepadanya. Ariff menoleh. Lengang! Tiada sesiapa di situ.
“Astaghfirullah..” bisiknya perlahan.
Hati terdetik sedikit. Adakah itu petanda ada makhluk lain sedang hidup di
dalam rumah itu bersama mereka? Namun Ariff memilih untuk tidak memikirkan hal
itu.
Kemudian lelaki tua itu ke dapur. Air
kosong diteguk. Ketika pandangan dihalakan ke hadapan, sekali lagi ekor matanya
seperti terlihat ada sesuatu bergerak tidak jauh darinya. Setelah dia menoleh,
lengang juga!
Ariff memandang persekitaran dapur itu
seketika. Tiada apa yang pelik. Sudahnya dia menggeleng sedikit. Perasaannya
sahaja agaknya.
Ketika melintasi ruang makan, Ariff
memadamkan lampu di bahagian itu. Kemudian dia terus ke tangga. Namun baru tiga
anak tangga didakinya, langkahnya terhenti. Ariff berpaling semula. Ruang tamu
itu dipandangnya. Bantal yang disusun tadi, tidak lagi sama seperti mana dia
tinggalkan.
Ariff terpaku agak lama di situ.
Memerhatikan ruang bawah itu. Keliru dengan apa yang ada dalam fikirannya.
Lambat-lambat dia berpaling semula untuk naik ke atas. Di dalam kamar tidurnya,
Insyirah sedang bersolat.
Dia mengambil naskah Al Quran.
Senyap-senyap dia keluar semula dari kamar lalu turun ke bawah. Setelah lampu
dihidupkan, Ariff duduk di ruang tamu seorang diri. Naskah itu dibuka pada
surah Al Baqarah. Surah itu dialunkan perlahan. Ketika dia mengangkat
pandangan, pada skrin tv terbias sesuatu. Seperti ada bayang sedang bergerak di
belakangnya.
Dia
menoleh sedikit ke kanan. Kala itu terlihat pula isterinya sedang menuruni
tangga sambil memandang kepadanya.
“Awak buat apa di bawah?” tanya Insyirah
setelah berada dekat dengan suaminya.
“Tak ada apa. Saya nak baca Al Quran.
Takut menganggu awak sedang solat. Jadi saya baca di sini.” Ariff tersenyum
sedikit kepada sang isteri.
“Awak nak minum ke?”
“Tak apalah. Saya baru aja minum tadi.”
Insyirah mengangguk sambil menuju ke
dapur. Ariff kembali memandang ke skrin tv itu. Gelap. Bayang tadi sudah tiada.
MENDENGAR ada masalah sedang meruncing dalam keluarga, anak-anak sepakat
pulang ke rumah orang tua.
Namun salah seorang yang perasan sesuatu
tentang Jannah adalah Umarul. Wajah kusam gadis itu membuatkan dia mula
terfikirkan ada unsur lain sedang melingkari gadis itu. Gadis itu akan
melarikan diri saat dipandang olehnya.
“Ana tu tak sihat nampaknya, daddy.”
“Dia kecewa. Putus cinta.”
“Bukan itu.”
Ariff pantas memandang Umarul. “Maksud
kamu?”
Umarul diam seketika. “Tindak tanduk dia
aneh. Ini bukan tentang kekecewaan dia. Tapi macam ada hal lain yang lebih berat
dari itu. Maksud saya, ada makhluk lain bersama dengan dia sepanjang masa.”
Raut Ariff berubah serta merta. “Apa
yang kamu nampak?”
“Dia tak mahu pandang mata bila bercakap
dengan orang. Ada waktunya pandangan matanya liar. Dan suka menjauhi keramaian.
Dia suka berkurung sendiri di atas. Itu bukan dia selama ini.”
Ariff menghela keluhan panjang sambil
menggeleng.
“Kita kena berjumpa dengan lelaki tu
segera. Berbincang,” ucap Umarul lagi.
“Berbincang tentang apa?”
“Supaya dia boleh melepaskan Ana dengan
cara baik,” ucap Umar lembut.
“Daddy berat hati nak jumpa dia, Umar.”
“Saya boleh temankan daddy. Kita bukan
hendak mencari musuh. Kita hanya mahu berbincang dengan baik,” balas Umar
bersungguh.
“Bila?” Ariff memandang Umarul.
“Kalau boleh hari ini juga. Saya
bimbangkan Ana. Bimbang dia buat tindakan yang buruk. Dalam keadaan begini
bukan senang untuk dia juga. Sesetengah perbuatan dia, dia tak sedar, daddy,”
ucap Umar lembut.
Ariff mengangguk perlahan sambil
memandang halaman rumah itu. Teringat apa yang berlaku malam tadi. Dia percaya
apa yang dikatakan Umarul itu benar.
DAN ketika dihubungi, tiada masalah langsung untuk lelaki
seorang itu menyambut pelawaan Ariff untuk bertemu.
Ariff hanya pergi bersama Umar untuk
bertemu dengan Malik di tempat yang mereka janjikan. Lelaki itu sudah tiba
rupanya. Pantas dia bangun menghulurkan tangan untuk berjabat mesra. Namun saat
memandang renungan Umarul kepadanya, dia terpaku. Riak di wajahnya berubah
sedikit.
“Kita pernah berjumpa ke?” tanya Tan Sri
Malik.
“Ini Umar. Menantu saya,” ucap Ariff
perlahan.
Sedikit senyum hambar diukir buat
Umarul. “Silakan duduk, tan sri.”
Ariff akur tanpa sedikit senyuman di
wajah. Umar hanya diam memandang lelaki itu terus-terusan. Tiba-tiba dadanya
berdebar. Mulutnya tidak berhenti mengalunkan istighfar. Dalam hati dia meminta
perlindungan Allah dari gangguan makhluk terlaknat itu.
“Minum?”
“Tak apa. Kita teruskan sahaja kepada
pokok perbualan. Saya ke mari untuk berbincang tentang Ana,” jawab Ariff
perlahan.
“Tan sri, maafkan saya atas apa yang
berlaku semalam. Sebenarnya saya terserempak dengan Ana di Crystal Plaza. Saya
hanya berbual dengan Ana. Saya rindukan dia. Dan saya tahu dia pun rindukan
saya. Saya janji tak akan sia-siakan dia. Tolong beri saya peluang untuk
buktikan keikhlasan hati saya pada Ana. Izinkan kami bernikah.”
Ariff diam pula. Tan Sri Malik terus
memandang lelaki sebayanya itu dengan penuh harapan. Menanti jawapan. Sayangnya
lelaki itu hanya membisu pula. Membuatkan dia serba salah.
“Tan sri, saya akan berikan apa sahaja
untuk bahagiakan Ana. Sebagai ayah masakan tan sri sanggup lihat anak tan sri
kecewa? Percayalah pada saya. Saya akan jaga dia baik-baik,” ucap Tan Sri Malik
lagi.
Ariff diam lagi sambil merenung ke luar
restoran itu. Fikirannya ligat memikirkan apa yang perlu diucapkan kepada si
tua itu.
“Kalau boleh saya mencelah, pak cik.”
“Tan sri Malik!”
“Pak cik, kami ada orang-orang kami. Pak
cik pun ada orang-orang pak cik. Tugas kami melawan perkara syirik.”
“Apa kau mengarut ni?” tekan Tan Sri
Malik. Meluat pula dengan anak muda ini. Sedap aja panggil dia pak cik. Dah tua
benar ke dia? Syirik apanya??
“Saya nampak apa yang pak cik gunakan
untuk diri pak cik. Benda tu akan susahkan pak cik waktu sakaratulmaut datang
menjengah nanti. Bertaubatlah sebelum terlambat,” nasihat Umar.
“Kau jangan nak tuduh-tuduh sembarangan.
Apa yang kau nampak?”
“Susuk. Saya tahu benda tu ada di mana,”
ucap Umar lantas tersenyum sedikit.
Tan Sri Malik terdiam serta merta. Tak
guna punya budak! Dengusnya dalam hati. Tidak terpandang dia wajah lelaki di
hadapannya itu.
“Kami datang dengan cara baik. Kami
merayu, pak cik tolonglah lepaskan Jannah. Dia anak yang baik. Kesayangan ibu
bapanya. Pak cik sendiri pun dah ada begitu ramai isteri. Bersyukurlah dengan
apa yang ada. Cukuplah tu. Kita hidup atas dunia ni sementara aja, pak cik. Tak
baik buat macam ni pada anak dara orang.”
“Nak lupa macam mana? Aku sayangkan
dia.” Tan Sri Malik menggumam sambil memandang ke arah lain.
“Sayang pun tak semestinya kena kahwin,
pak cik. Walinya tak izinkan. Pak cik kena terimalah. Pak cik tak ada hak untuk
buat macam ni.”
Ariff terus pegun. Sepatah pun dia tidak
bercakap dari tadi. Memandang wajah lelaki tua itu juga tidak. Sungguh dia
tidak mampu menerima apa yang dilakukan lelaki ini kepada anak gadisnya.
“Tan sri.. semua ni tak benar. Saya tak
pernah gunakan apa-apa ilmu untuk pikat Jannah. Cinta kami ikhlas. Saya tak ada
gunakan apa-apa ilmu. Itu semua fitnah. Ini zaman moden.”
Ariff terus menggeleng tanda tidak mahu
mendengar apa-apa pujukan lagi. Saat itu barulah dia memandang wajah Tan Sri
Malik.
“Isteri saya perasan kelainan Jannah
semenjak kebelakangan ini. Selama ini dia bukan anak yang ingkar. Tetapi
semenjak dia mengaku mencintai kamu, dia begitu berani biadap kepada ibunya.
Saya kenal anak saya,” luah Ariff.
“Saya tak berniat nak biarkan dia jadi
begitu, tan sri..”
“Jika benar kamu menggunakan jin dan
iblis untuk mendapatkan Jannah, saya tidak akan maafkan kamu sampai bila-bila
atas apa yang kamu lakukan pada anak saya. Saya tidak akan berhenti berdoa agar
sesiapa yang mencelakakan hidup anak saya akan segera ditimpakan bala. Saya
lebih rela bergantung sepenuhnya kepada Allah untuk melepaskan anak saya dari
cengkaman iblis daripada membiarkan hidup anak saya musnah di tangan kamu. Mari
kita balik, Umar. Tiada apa yang hendak kita bincangkan lagi.” Ariff terus
bangun tanpa membalas pandangan Tan Sri Malik.
“Doa orang yang teraniaya ni bahaya.
Makbul. Bertaubatlah, pak cik.” Umar sempat memberi nasihat sebelum ikut
bangun.
“Err.. Tan sri, nanti dulu,” pujuk
lelaki tua itu bersungguh. Namun dia hanya mampu terkebil-kebil memandang dua
lelaki itu berlalu. Seram pula dia mendengar sumpah lelaki itu. Tan Sri Malik
memandang sekeliling. Perasaannya tiba-tiba berubah lain. Naik kereta takut,
takut accident. Naik lif pun takut. Takut lif jatuh terhempas. Lalu bawah
pokok, takut mati dihempap pokok. Mulalah dia ditimpa perasaan sendiri. Sedar,
kesalahan yang dikatakan oleh anak muda itu memang ada dilakukannya.
“Hantar saya ke rumah Rayland, Abduh.
Umar, kamu pulang ke rumah selepas ini. Daddy nak jenguk Rayland sekejap,” ucap
Ariff kepada pemandunya setelah mereka berdua masuk ke dalam kereta.
Umar mengangguk. “Rayland dah selesai berkhatan?”
“Semalam. Daddy nak tengok keadaan dia.
Kesian dia hanya seorang di rumah.”
“Kirimkan salam saya pada dia,” jawab
Umar.
Ariff hanya mengangguk. Pandangan
dihalakan keluar. Fikirannya lebih banyak berkisar tentang anaknya berbanding
Rayland. Ariff menoleh semula kepada Umarul.
“Apa yang kamu katakan tadi, itu benar?”
tanya Ariff.
“Tentang susuk tu benar. Saya nampak,
daddy.”
“Macam mana kamu boleh nampak?”
“Saya ada belajar sedikit tentang itu,”
jelas Umar.
Ariff diam pula. Gusar benar hatinya mendengar
itu. Dia juga biasa mendengar amalan memakai susuk atas sebab tertentu. Tidak
sangka hari ini dia dihadapkan dengan masalah itu.
“Ada sesuatu di rumah. Daddy rasa
sesuatu perlu dibuat segera,” ujar Ariff perlahan.
“Maksud, daddy?” kening Umarul berkerut
merenung sisi wajah mentuanya itu.
“Ada makhluk lain di dalam rumah itu.
Mungkin. Daddy tak tahu adakah sangkaan ini benar atau tidak. Petanda yang dia
ada di dalam rumah kita sudah jelas.”
Umarul menghela nafas perlahan. Bermakna
‘sesuatu’ itu perlu dilakukan segera agar makhluk itu lekas pergi. Lelaki tua
itu kembali membisu sehingga tiba di rumah Rayland.
“Pukul berapa saya nak jemput tan sri?”
tanya Abduh kepada majikannya.
“Saya akan call kamu nanti,” balas Ariff
lembut.
Abduh hanya mengangguk. Kereta terus
digerakkan pergi setelah Ariff melangkah ke arah rumah Rayland.
Sehingga tiba di rumah, Umar terus
berfikir. Mencari jalan apa yang harus dibuat untuk membantu Jannah. Isterinya
terus datang menyambut kepulangannya.
“Daddy mana, abang?” tanya Imanina
hairan melihat suaminya hanya sendiri.
“Daddy ada di rumah Rayland.”
“Habis tu macam mana dengan pertemuan
tadi? Ada apa-apa perkembangan? Apa kata lelaki tu?” soal Imanina sudah tidak
sabar.
Umarul menggeleng sedikit. “Mommy mana?”
tanya Umarul kepada sang isteri.
“Ada kat atas. Iman panggilkan.”
Umarul sekadar mengangguk. Sebaik sahaja
isterinya berlalu, dia duduk di sofa. Insyirah muncul di bawah itu bersama
Imanina tidak lama kemudian. Sudah tidak sabar mahu mengutip berita.
“Dia masih macam tu jugak. Dia tetap
nakkan Ana,” jelas Umarul kepada emak mentuanya. Melurut kehampaan bahu
Insyirah mendengar kata-kata Umar.
“Apa masalah orang tua tu??” getus
Imanina geram. Menyirap darahnya serta merta.
“Mommy, kurung Ana dalam rumah. Jangan
biarkan dia jumpa lelaki tu lagi. Lelaki tu ada pakai ilmu. Keadaan ni tak
berapa baik untuk Ana. Juga untuk kita semua.”
“Ha? Sungguh ke, Umar?” terbeliak mata
Insyirah mendengar itu. Semakin melaut rasa bimbangnya mendengar itu.
“Ilmu apa, bang?” tanya Imanina pula.
Rugi pula tidak pergi berjumpa lelaki keparat itu. Mahu sahaja disagat-sagat
muka lelaki itu ke jalan tar.
Umarul menghela nafas perlahan.
“Dia ni lain sikit, mommy. Lelaki ni
yang ada pakai ilmu. Perempuan yang tengok dia jadi lembik hati.”
Bahu Insyirah melurut jatuh mendengar
itu.
“Umar ada beritahu daddy ke?”
“Dah.”
“Apa daddy kata?”
“Dia diam aja. Susah hati agaknya,”
balas Umar lembut. Simpati juga melihat lelaki itu.
“Ilmu apa, bang? Ilmu pengasih ke?”
tanya Imanina bersungguh.
“Dia pakai susuk.”
Terbuntang luas mata Imanina mendengar
itu. Selalunya dia mendengar orang perempuan yang memakai susuk untuk kelihatan
manis selalu. Ini lelaki! Biar betul?
“Siapa pakai susuk?” satu pertanyaan
menerpa dari tangga mengejutkan mereka semua. Terus sahaja mereka menoleh.
Jannah menapak satu persatu anak tangga untuk turun ke bawah.
“Istighfar, Ana. Semoga Allah bukakan
pintu kebenaran untuk Ana lihat. Lelaki tu bukan orang yang baik. Dia tidak
jujur pada Ana. Dia gunakan ilmu hitam ke atas Ana untuk buat Ana tunduk pada
dia,” ujar Umar bersungguh.
“Ana tak percaya! Dia tak macam tu!”
tegas Jannah.
“Ana memang tidak akan percaya. Dia akan
sentiasa baik di mata Ana. Orang yang normal bercinta sekalipun, akan ada
masanya dia mampu merasa benci kepada pasangannya. Tapi kamu berdua tidak
begitu. Biar seburuk mana dia lakukan pada Ana, kamu tetap akan sukakan dia. Kamu
hanya mahu ikut perintah dia. Ana tidak sedar kelainan itu. Kami yang berada di
sekeliling Ana yang sedar,” ucap Umar bersungguh.
“Betul cakap Abang Umar tu. Ana dah lain
sangat akak tengok. Bawak mengucap, dik. Takkan kerana lelaki tu Ana nak
melawan cakap daddy dan mummy?” ujar Imanina pula.
“Tak mungkin dia macam tu. Tak! Ana tak
percaya!” tegas Jannah seperti mahu menangis pula.
“Ana ingat lagi tak apa yang daddy kata
semalam? Kami bukan sengaja nak menyusahkan anak-anak. Apa yang kami buat
adalah untuk kebaikan kamu. Dia orang luar. Kami ni ibu bapa Ana. Ini kakak
Ana, abang ipar Ana. Kami semua sayangkan Ana,” ucap Insyirah pula.
“Tak! Ana tak mahu dengar. Mummy cakap
begini sebab mummy bencikan dia, kan??” ucap Jannah meninggi.
“Kau cakap apa tentang Abang Malik ha??”
jerit Jannah kepada Umarul.
“Istighfar, Ana..” tekan Umar. Hampir
sahaja dia mahu mencapai lengan Jannah.
“Sudah! Diam!!! Biar aku mati aku aja
daripada hidup macam ni! Aku rasa macam nak gila! Kau orang tak faham!!!!”
Jannah tiba-tiba memekik sambil menekup telinganya. Suaranya mengejutkan Rafael
di atas. Pantas dia menjenguk ke bawah. Dia ternampak adiknya sudah berguling
di atas lantai.
“Astaghfirullah, Ana!” jerit Rafael
lantas berlari ke bawah.
“Pegang dia!”
Umar berlari ke dapur di kala Jannah
dipeluk oleh Rafael. Kakinya menendang-nendang tidak tentu hala. Tidak terdaya
mahu dipegang Rafael.
“Panggil Abduh, mommy. Iman, call daddy
sekarang!”
Abduh masuk ke dalam setelah dipanggil.
Melihat Jannah seperti histeria, dia meluru untuk membantu.
Umar membacakan ayat suci dan surah tiga
Qul di telinga Jannah. Semakin kuat dibacanya semakin kuat Jannah meronta.
Insyirah hanya mampu memandang dengan deraian air mata. Setelah surah Al Ikhlas
dibaca berkali-kali, keadaan Jannah kembali tenang.
“Istighfar, Ana. Istighfar,” pujuk Umar
setelah jeritan Jannah mereda. Gadis itu menangis tersedu-sedu dalam keletihan.
“Astghafirullah-al-adzim. Ikut apa yang
abang Umar baca ni,” pujuk Umar. Kemudian dibacakan ayat kursi dan surah tiga
Qul sambil diikuti Jannah.
Sehingga selesai ayat itu dibacakan,
Jannah longlai tiba-tiba. Namun tangisannya masih tidak reda setelah dilepaskan
dari pegangan dua lelaki itu.
“Tunggu di rumah. Abang panggilkan orang
ke mari,” ucap Umar lantas bangun dari situ. Imanina tidak terkata saat memandang
suaminya berlalu.
Rafael cuba membangunkan adiknya itu.
Namun Jannah tidak mampu berdiri. Tenaganya habis. Tubuhnya kesakitan. Sudahnya
dia dicempung oleh Rafael lalu dibawa naik ke atas.
“Ana?”
“Sakit, mommy. Badan Ana sakit,” adu
Jannah amat lemah.
“Mommy tahu. Sabar ya?” ucap Insyirah sayu.
Air matanya jatuh tidak tertahan. Tidak sanggup melihat keadaan Jannah terus
begini.
Haishhh....kuang aja btl la si malik ni....eeeeiii geram lak haku
BalasPadamHaishhh....kuang aja btl la si malik ni....eeeeiii geram lak haku
BalasPadamUmmm...Ada lagi manusia macam ni
BalasPadamUmmm...Ada lagi manusia macam ni
BalasPadam