BAB 3
“MOMMY, kenapa Kak Ana tu asyik diam aja?” tanya Rania hairan melihat
kelainan kakaknya.
“Kak Ana penat. Jangan ganggu dia,”
jawab Insyirah.
Rania mencebik. Sudahlah selalunya dia
tinggal bersama pembantu rumah dan Ummu Malika ketika orang lain sibuk. Bila
ada di rumah, dia tidak dilayan juga oleh kakak dan abangnya. Abang Farouqenya
sudah tentulah sibuk dengan buku pengajiannya.
Insyirah membisu. Namun fikirannya ralik
memikirkan perubahan sang anak. Biarpun ada di rumah, seperti tiada saja.
Jannah tidak suka berdekatan dengan ahli keluarga yang lain. Runsing fikirannya
memikirkan sang anak. Mungkin Jannah masih belum dapat melupakan kisah cintanya
dengan suami orang itu.
Sebelum naik ke atas malam itu, Insyirah
terpandangkan anak gadisnya sedang menggosok baju di kamar bawah.
“Ana,” sapa Insyirah.
Jannah menoleh sekilas. Emaknya masuk ke
kamar itu.
“Ana dah kurang bercakap dengan mommy
sekarang ni. Kenapa, Ana?”
“Tak ada apa,” jawab Jannah perlahan.
“Ana masih belum boleh lupakan dia tu
ya?”
Jannah diam lagi.
“Mommy nampak Ana dah banyak berubah.
Mommy tak suka keadaan ni, sayang. Mommy faham, kita akan rasa kecewa bila
sesuatu yang kita mahukan tu tak dapat kita miliki. Tapi kita kena ingat. Tak
semua yang kita mahukan sesuai untuk kita.”
“Tak sesuai untuk mommy dan daddy. Yang
penting daddy dan mommy happy. Ana terima aja. Apa nak jadi dengan Ana,
biarlah!” sambut Jannah selamba.
Tersentak Insyirah mendengar jawapan
sang anak. Macam memulangkan paku buah keras. Anak ini tidak selalu melawan
kata-katanya. Tapi kerana cinta, Jannah berubah.
“Daddy boleh sekat Ana dari jumpa dia.
Tapi Ana tetap sayangkan Abang Malik,” ucap Jannah lagi.
“Dia suami orang, Ana! Apalah perasaan
isteri-isteri dia bila tahu tentang ini?”
“Ana tak peduli pun apa dia orang nak
rasa.”
“Nurul Jannah!” tegas Insyirah.
Jannah sekadar memandang kosong raut
ibunya itu.
“Mommy tak tahu cinta jenis apa yang
boleh membuatkan Ana jadi tidak berperasaan. Mementingkan diri sendiri begini.
Sedarlah, Ana. Ini salah!”
“Ini takdir, mommy.”
“Ia. Ada takdir yang buruk dan ada yang
baik. Tetapi kita berhak memilih untuk lari dari takdir yang buruk kepada yang
baik. Ini yang kami sedang buat untuk Ana. Mommy tak mahu Ana tempah neraka
dunia untuk diri Ana sendiri.”
Jannah diam. Selesai menggosok tudung,
dia terus berlalu tanpa mempedulikan Insyirah yang sedang memerhatikan dia.
Melurut jatuh bahu si ibu melihat reaksi sang anak. Apa kena dengan anaknya itu
sebenarnya? Jannah benar-benar sudah berubah.
Setelah semua anak-anak naik ke atas,
Insyirah ikut naik. Dia menjengah kamar Farouqe seketika.
“Tak habis lagi?”
Farouqe sekadar menoleh. “Belum, mommy.”
“Jangan tidur lambat sangat ya? Badan tu
perlukan rehat juga.”
Farouqe sekadar mengangguk sambil
menyambung membuat kerjanya. Kemudian si ibu menjengah kamar Rania pula.
Anaknya sudah tidur. Esok perlu ke sekolah. Tetapi ketika dia menjengah Jannah
di bilik tidurnya, Insyirah terkejut melihat Jannah berdiri di jendela sambil
mengirai rambut. Jendela itu terbuka luas.
“Ana!” Insyirah terus masuk. Langsir
ditariknya sehingga tertutup. Dia sempat terpandang, bulan sedang mengambang
elok di luar sana.
Jannah tersenyum kepada si ibu. Kemudian
dia berlalu ke katilnya dan terus berbaring di situ. Gelagat anak itu terus
terusan diperhatikan Insyirah. Aneh benar. Jannah terus menarik selimut tanpa
berkata sepatah pun kepadanya.
Insyirah menghela nafas perlahan.
Jendela itu dipandang lagi. Apa yang dibuat oleh Jannah di situ tadi pun dia
tidak tahu. Setelah mengunci semula jendela itu, Insyirah terus keluar dari
kamar itu.
“Awak
tak perasan ke perangai pelik Ana semenjak kebelakangan ini?” tanya Insyirah
sebaik sahaja masuk ke dalam kamar itu. Ariff segera mengalihkan perhatian dari
buku di tangannya.
“Apa yang peliknya?” tanya Ariff hairan.
Dia nampak Jannah biasa saja.
“Tadi saya nampak dia berdiri di tingkap
memandang ke luar. Gelagat dia pelik.”
Ariff mengerut kening merenung wajah
isterinya. Apa yang pelik dengan itu? Mungkin anaknya sekadar mahu memandang ke
luar.
Insyirah diam seketika. “Tadi saya ada
bercakap dengan dia. Dia sedang memberontak dalam diam. Saya risaukan dia,
Ariff.”
“Beri dia masa. Semua ini normal.”
“Tak normal bila dia menempelak saya. Selama
ini perangai dia tidak begitu. Bercinta dengan suami orang? Saya percaya anak
kita tidak sebodoh itu.”
Ariff memandang permukaan tilam itu
seketika. “Apa yang awak cuba beritahu saya ni?”
“Entahlah. Saya takut nak sebut. Bimbang
saya salah sangka,” keluh si ibu perlahan. Menuduh orang menggunakan ilmu
guna-guna kepada anaknya? Buatnya tidak, jenuh dia mahu pergi meminta maaf
kepada orang yang dituduh itu.
“Berikan dia masa. Dia memberontak, itu
sudah tentu. Kita menghalang sesuatu yang sangat penting kepada diri dia. Bukan
mudah untuk kita memaksa dia melupakan kekasihnya,” luah Ariff lembut.
“Saya susah hati, Ariff. Saya bimbang
dia akan ambil tindakan yang kita tak jangka.”
“Syira, kita tak mampu kawal anak-anak
kita sepenuhnya. Apatah lagi hatinya. Tapi Allah tahu hati kita bagaimana.
Allah ada,” pujuk sang suami lembut.
Insyirah terdiam semula. Ada benar juga
kata-kata Ariff.
“Saya akan selalu perhatikan dia. Awak
jangan bimbang. Saya tak mahu awak terlalu stress. Tak baik untuk kesihatan
awak,” pujuk lelaki itu lagi.
Sudahnya Insyirah mengangguk. “Awak
belum nak tidur?” tanya Insyirah.
“Saya nak membaca sekejap. Awak
tidurlah. Matikan lampu di sebelah sana,” balas sang lelaki lembut.
Kata-kata lelaki itu dipatuhi tanpa
banyak kira. Namun di saat sang isteri sedang terlena, Ariff termenung pula
memikirkan si anak. Apa sebenarnya yang telah berlaku kepada Jannah? Entahlah.
Dia sebenarnya tidak tahu.
KAMAR kerja mereka berdua sebenarnya teramat dekat. Dari tempat
duduknya dia boleh melihat gadis itu. Kebetulan cermin yang menjadi dinding
kamar Jannah tidak dilindungi tirai. Makanya dia boleh melihat dengan jelas
setiap pergerakan Jannah. Dan Jannah juga boleh melihatnya.
Teringat dia seloroh dari Saad pagi
tadi. Dia terlewat bangun.
“Kan bagus kalau orang perempuan dalam
rumah ni. Rumah sebesar ini barulah ada seri kalau tuan ada isteri. Tak adalah
bangun lewat lagi. Tuan pun tak akan mengadu sunyi lagi.”
Rayland tersenyum sendiri entah kenapa.
Segar perasaannya. Isteri? Namun senyum Rayland memudar. Teringat satu masa
dulu hidupnya bergelumang dosa. Teman wanita melayannya di ranjang seperti
isteri. Sedangkan dia lihat gadis itu amat susah untuk didekati. Senyumannya mahal.
Sedang Rayland ralik memandang, Jannah
tiba-tiba mengangkat pandangan. Spontan gadis itu memandang ke arahnya sekilas
sebelum mengalihkan pandangan. Terperasan dirinya sedang diperhatikan, Jannah
memandang Rayland semula.
Dan entah kenapa sekadar dari jauh,
mereka bermain mata pula. Jannah juga tidak melarikan pandangan. Namun kemudian
gadis itu tunduk semula menyambung kerja membiarkan Rayland terkapai-kapai
sendiri.
Lelaki itu mengeluh kecewa. Baru sekejap
dia merasa ada sedikit reaksi baik dari gadis itu. Kini Jannah sudah melarikan
diri semula. Mulalah dia berfikir untuk mendekati Jannah dengan cara lain pula.
Namun baru sahaja dia berangan-angan
mahu mengajak gadis itu makan tengahari bersama. Bapa saudaranya sudah mengajaknya
makan tengah hari bersama.
Jam 1 sepuluh minit tengah hari itu, dia
tiba di restoran. Ariff sedang menunggu anak muda itu di meja sambil memandang
ke luar.
“Pak cik..” sapa Rayland sambil menarik
kerusi.
Ariff menoleh pantas. Susuk anak muda itu
terus dipandangnya sehingga Rayland duduk di kerusinya. Kemudian dia melambai
pelayan.
“Pak cik ada hal penting ke nak jumpa
saya?”
Ariff mengangguk sambil mencapai cawan
kopinya. Rayland sekadar memandang raut lelaki di hadapannya itu. Dia tahu
lelaki itu sedang memikirkan sesuatu.
“Berapa usia kamu ketika tiba di
Geneva?” tanya Ariff seketika kemudian.
“Kalau tidak salah saya empat tahun, pak
cik.” Rayland menjawab perlahan.
“Tak ada adik beradik lain?” tanya Ariff
lagi.
Rayland menggeleng perlahan. “Saya tak
adik beradik. Ibu bapa saya mati akibat perang. Saya tahu tentang asal usul
saya pun dari ibu . Ibu yang ceritakan serba sedikit tentang saya. Katanya,
saya dibawa lari dari tempat asal saya oleh orang. Kemudian saya dihantar ke
rumah perlindungan. Ibu jumpa saya di sana.”
Ariff mengangguk sedikit. Simpati
mendengar itu.
“Ibu kamu ada menelefon pak cik semalam.
Dia bercakap tentang sesuatu.” Ariff menghela nafas perlahan.
“Tentang apa?” tanya Rayland pantas.
“Kamu masih belum berkhatan. Betul?”
kening Ariff terangkat sedikit memandang anak itu.
“Ha?” spontan berubah wajah Rayland.
Merah! Pantas dia memandang sekeliling. Tiada orang. Nasib baik!
“Betul ke?”
“Err..” Rayland mengangguk akhirnya.
“Kamu tahu, kan? Semua lelaki islam
mesti berkhatan. Di sini ada hospital baik untuk kamu menunaikan keperluan
itu,” ucap Ariff perlahan.
“Saya tak rasa saya mahu..”
“Perempuan Melayu tidak akan suka lelaki
yang tidak berkhatan,” pintas Ariff lembut.
“Okay. Di mana hospital tu?” pantas
Rayland menyambut.
Ariff tersenyum sendiri dengan reaksi
anak muda itu. “Kamu ada sukakan mana-mana perempuan Melayu ke?” duga Ariff
selamba.
Rayland menggaru kepala seketika. Tidak
sengaja terlepas laku tadi. Namun dalam bayangannya ada seseorang yang sering
menarik perhatiannya semenjak mula dia tiba di sini.
“Ambillah cuti beberapa hari. Pak cik
akan bantu kamu. Perlahan-lahanlah berubah. Jangan sampai tidak berubah
langsung,” ujar Ariff dalam nada memujuk.
“Saya nak belajar agama, pak cik. Tolong
ajarkan saya tentang agama,” ucap Rayland rendah.
Betapa lapang jiwa lelaki tua itu
mendengar keinginan itu. Dia tidak menyuruh apatah lagi memaksa. Apa yang dia
mahukan keinginan itu datang dengan sendiri. Petanda hati itu telah dibuka oleh
Allah.
“Pak cik akan bantu apa yang terdaya.
Abang Umar juga boleh bantu kamu. Di sini banyak peluang untuk kamu pelajari
agama, Rayland. Persekitaran juga sangat membantu. Kerana itu ibu kamu meminta
kamu ke sini. Supaya kamu bergaul dan melihat negara luar,” ujar Ariff lembut.
“Saya faham. Ibu dah lama nasihatkan
saya. Dia mahu saya memiliki pegangan dalam hidup. Dia kata pak cik adalah
contoh terbaik untuk saya ikut. Sekarang saya faham apa maksud ibu selama ni,”
ujar Rayland pula.
Sepanjang waktu makan tengah hari dua
lelaki itu rancak bersembang. Kemudian Ariff mengajak Rayland berjemaah
bersama. Dengarnya lelaki muda itu sudah mampu menghafal surah Al Fatihah.
Sudah ingat rukun sembahyang. Itu sudah memadai untuk menunaikan solat.
Namun ketika keluar dari surau, mereka
berdua terserempak dengan Jannah. Gadis itu juga baru keluar dari surau.
“Daddy..” sapa Jannah perlahan.
“Hmm..” Ariff sempat memandang anaknya
berlalu. Sekilas dia ternampak Jannah memandang Rayland di sebelahnya.
“Pak cik, saya ke bilik dulu?” pinta
Rayland lembut.
Ariff sekadar mengangguk. Dari tempat
dia berdiri dia melihat Rayland berjalan laju ke arah Jannah sehingga mereka
bersaing berdua. Kemudian langkah dua manusia itu terhenti di hadapan kamar
Rayland. Ariff terus memerhati penuh minat.
Entah apa yang dibualkan berdua.
Sehingga Jannah menoleh ke belakang, dia terlihat ayahnya sedang memandang.
Pantas dia meminta diri. Rayland hanya mampu menggaru kepala memandang Jannah
berlalu.
“Ehemm..”
Rayland menoleh sebaik sahaja mendengar
deheman keras itu.
“Jangan lupa. Kamu perlu ke hospital,”
ucap Ariff saat berjalan di hadapan Rayland.
“Ia, pak cik.”
Namun kemudian Rayland kembali mencari
bayang gadis itu di dalam kamar kerjanya. Berdegup kencang jantungnya saat
terpandang Jannah sedang memandangnya. Namun kemudian gadis itu pura-pura sibuk
membuat kerja pula.
Sedikit respond yang diterima sudah
cukup membuat Rayland tersenyum sepanjang hari. Kerana.. dalam sehari ini,
entah berapa kali mereka berdua dapat bermain mata. Tiada kata-kata. Hanya
bermain mata!
Wow...Ada respon
BalasPadamWow...Ada respon
BalasPadam💓💓💓👍👍👍
BalasPadamSuke la tuwww...best2
BalasPadam