Rabu, 28 Ogos 2013

1-Si Kolot Suami Ku

Kudin memandang lama ke arah belukar di belakang rumahnya itu. Bicara sang emak melintas bagaikan deruan angin petang di telinganya, membawa jauh menungannya. Ada seribu rasa sedang membadai hebat jiwa anak muda berusia 28 tahun itu dengan tiap baris ayat yang dituturkan Mak Kunah. Sikap pendiamnya semakin menjadi-jadi pula saat itu.
“Bila lagi, Din? Mak ni teringin nak benar nak tengok kamu ada anak. Merasalah mak ada cucu. Mak ni dah tua, kamu tu pulak satu-satunya anak mak,” ucap Mak Kunah lembut sahaja dari arah dapur. Diam anaknya itu mengelirukan dirinya. Entahkan suka, entahkan tidak apabila isu kahwin dihidupkannya.
“Belum ada jodoh, mak..” jawab Kudin amat perlahan tanpa mengalihkan pandangan dari arah belukar itu. Seolah-olah belukar di belakang rumahnya itu sejelita Lisa Surihani sehinggakan tidak jemu matanya memandang.
“Kamu tu bila mak bercakap pasal ni, itu ajalah jawapan kamu. Mana nak ada jodohnya kalau kamu tu berat mulut benar? Janganlah begitu, Din. Takkanlah kamu nak tunggu orang perempuan yang datang mengorat kamu? Jodoh ni takkan datang macam tu aja. Kita kena usaha juga mencarinya.” Suara Mak Kunah kedengaran lagi menasihati anaknya itu. Entah apa malangnya anaknya ini liat benar jika diajak berbicara soal perempuan. Setahu Mak Kunah seumur hidup Kudin dia tidak pernah mempunyai kekasih hati. Buruk benar ke rupa anak aku tu sampai takde perempuan yang mahu? Rasanya tidak pulak. Kudin biarpun tidak berkulit cerah namun tetap manis dipandang. Jadi apa yang tidak kena lagi? Mak Kunah sering tertanya sendiri.
“Kalau ada adalah, mak. Dah takde nak buat macamana,” jawab Kudin mudah. Serentak itu dia terus bangun dari duduknya. Malas mahu menadah telinganya kepada ceramah emaknya bab perkahwinan.
Menggeleng Mak Kunah melihat Kudin. Keras benar hati anaknya itu. Entah apa kenanya dia sendiri tidak tahu. Masakan lelaki macam Kudin takutkan perempuan? Entah! Semakin tidak faham wanita tua itu melihat sikap anak lelakinya itu.
“Kebun, duit.. tak boleh dibawa ke mati, Kudin. Doa anak-anak yang akan mengiringi kita ke alam sana nanti. Macamana nak ada anak kalau baru aja mak sebut soal kahwin kamu dah mula angkat kaki, bosan.” Mak Kunah sempat lagi menitipkan nasihatnya sebelum anak lelakinya itu menghilangkan diri.
Kudin tidak menjawab bebelan Mak Kunah. Terus dia mencari motorsikalnya untuk ke kebun. Bukannya dia sengaja mahu berkurang ajar dengan emaknya itu, tetapi dia serik! Serik dengan pengalaman yang lepas. Ejekan sinis yang dilemparkan Maya kepadanya masih melekat utuh dalam memorinya. Membuatkan dia menutupkan pintu hatinya kepada setiap gadis kampung yang melintas di hadapan matanya. Cukuplah! Dia tidak ingin berbicara soal perempuan lagi. Jika ada jodoh untuknya diberikan Tuhan maka dia terima. Jika tidak maka beginilah dia sehingga ke akhirnya.

“Abang Kudin ni bukannya tak hensem langsung tapi Maya tak berminat. Maya tak minat lelaki yang takde masa depan ni. Maya ada kehidupan di KL. Takkanlah Maya nak tinggalkan kerjaya Maya kemudian balik menetap dengan abang kat sini. Tak mahulah! Kat kampung ni nak cari intenet pun susah. Macamana nak hidup? Maya sendiri hairan kenapa abang masih nak duduk sini? Setakat kerja kebun mana boleh hidup, bang. Perempuan macam Maya nak lebih dari itu.” Seiring dengan keselambaannya Maya ketawa kecil bagaikan mengejek Kudin sekadar lelaki kampung.
Kudin tertunduk mendengar bicara gadis itu. Terlalu mudah untuk Maya meluahkan pendiriannya namun tidak bagi Kudin yang mendengar. Dia merasa dirinya terlalu rendah tarafnya di mata Maya. Seolah-olah lelaki seperti dia hanya layak untuk gadis yang rendah tarafnya. Atau dalam erti kata lainnya.. dia hanya layak untuk gadis kampung yang kolot dan tidak berpelajaran. Berpelajaran sangatlah si maya ni. Setahu Kudin si Maya ni cuma lepasan SPM aja pun. Itu pun beratur C dengan D dalam sijil SPM dia. Nasib baik E dia tak lengkapkan sekali. senang esok nak ajar anak belajar ABC. Tunjuk aja sijil SPM mak.. confirm anak pandai ABC nanti. Jauh melalut fikiran Kudin saat itu.
“Abang tengoklah sendiri anak-anak dara kampung ni. Semuanya dah nak ke bandar. Siapa nak duduk kat sini? Kahwin dengan lelaki kampung pulak tu. No way! Maya lebih berminat pada lelaki yang open minded dan berpelajaran. Berduit juga salah satu dari kriteria lelaki idaman semua perempuan. Tak ketinggalan Maya.” Maya menambah lagi apabila Kudin hanya berdiam tidak lagi bersuara.
Kata-kata Maya segera diakui Kudin dalam diam. Memang benar kebanyakan anak muda di Kampung ini, baik yang lelaki mahu pun perempuan semuanya sudah berhijrah ke KL untuk meneruskan hidup. Tidak ramai lagi yang mahu menjadi pekebun seperti dirinya. Kebun-kebun penduduk kampung ini kebanyakan dikerjakan sendiri oleh pemiliknya yang sudah berusia lanjut dengan dibantu buruh dari Indonesia.
“Maya harap abang janganlah kecil hati dengan Maya..”
Kudin menoleh kepada Maya. “Abang tak ambil hati. Terima kasihlah sebab Maya sedarkan abang tentang ini semua. Tapi Maya janganlah terasa macam abang ni dah nak ajak Maya kahwin sangat. Abang datang sini bukannya nak bercakap pasal tu. Takde kena mengena langsung,” jawab Kudin biasa sekadar mahu menutupi maruahya sendiri.
Berubah wajah Maya mendengar kata-kata Kudin itu. “Habis tu buat apa abang datang sini jumpa Maya?” soal Maya keliru.
Kudin tersenyum sinis sendiri. kau fikir aku hairan dengan gelaran gadis bandar yang kau galas ni? Memang taklah! “Abang datang sini sebab nak jumpa ayah Maya. Bukannya nak jumpa Maya. Abang pun dah takde perasaan lagi pada Maya.” Kudin berkata selamba sambil mengerling tampang Maya sekilas. Biarlah dia hipokrit kepada dirinya sendiri saat ini asalkan maruahnya tidak jatuh menyembah bumi. Hakikatnya kasihnya kepada gadis ini masih terpasak kukuh di tempatnya.
Memang pada mulanya tadi dia berhasrat nak berjumpa Maya, gadis pujaannya ini. Namun sekarang entah kenapa dia hilang selera pula. Maya sudah tidak seperti dulu. Maya sudah pandai bermake-up. Maya berlagak. Maya sudah lupa dialah yang paling banyak bersusah payah untuk gadis itu selama ini. Belum pun sempat Kudin membuka mulut bercakap apa-apa, Maya sudah menunjukkan kejelikkan diri sendiri seolah-olah dia gadis paling rupawan sehingga jejaka-jejaka lain semuanya meleleh air liur melihatnya. Maya sudah memandang rendah kepadanya.
Sekali lagi kata-kata Kudin membuatkan wajah Maya berubah. Kali ini warna wajahnya juga ikut berubah. Malunya! Sangkanya Kudin ke sini untuk menagih cintanya. Maya tahu selama ini Kudin ada hati kepadanya. Kudin selalu memberi perhatian kepadanya kerana dia istimewa kepada Kudin. Dia sengaja bercakap begitu dengan Kudin supaya Kudin faham-faham sendiri penolakannya. Tetapi sekarang? Dia yang malu balik!
“Ayah Maya ke pekan..” ucap Maya dengan rasa malu yang sudah tidak tertahan. “Baguslah kalau abang dah takde perasaan pada Maya lagi sebab Maya pun takkan terima abang. Maya tak pernah cintakan abang selama ini. Maya just bagitahu je sebab Maya tak suka abang datang-datang sini cari Maya lagi.” Maya menambah lagi kata-katanya. Sama seperti Kudin, dia juga tidak ingin kalah dalam menegakkan air mukanya.
“Okaylah.. abang balik dulu.” Kudin terus bangun. Tanpa memandang atau menanti jawapan Maya, Kudin terus berlalu daripada halaman rumah gadis itu. Dia ingin segera membawa pergi hatinya yang sudah tidak seceria semenjak dia berhasrat untuk menjejakkan kaki ke rumah itu tadi. Tidak sangka telinganya ini akan diperdengarkan kebongkakkan gadis kebanyakkan seperti Maya. Tidak sangka Kuala Lumpur akhirnya mengubah Maya yang tidak ada apa-apa selama ini kepada gadis yang cukup angkuh di matanya.

Kahwin..
Soal itu yang diperdengarkan oleh emaknya tadi membuatkan Kudin mula membawa diri ke kolam ikannya itu. Dia berdiri memandang kolam ternakan ikan keli miliknya itu. Dalam pada itu kenangan hampir 3 tahun itu terus mengasak hebat benaknya. Dia terus berfikir tentang hasrat emaknya itu. Fobiakah dia dengan perkataan itu? Kerana apa dia jadi begini sebenarnya? Atau apakah kerana kesibukan menguruskan ladang dan kolam ikannya menyebabkan dia menyendiri begini?
Entahlah.. Kudin tidak tahu apa puncanya. Cuma yang dia tahu, sudah tidak banyak anak-anak dara yang boleh dingoratnya di kampung ini. Kalau ada pun yang masih sekolah.. ish! Takkanlah aku nak ambil budak bawah umur buat bini. Silap-silap bertambah lagi satu tanggungjawab aku sebagai suami. Tak cukup kena sediakan nafkah zahir dengan batin, aku kena tolong siapkan kerja sekolah bini. Memang taklah! Getus hati Kudin sendiri. Dahlah nak kahwin pun susah. Kena mintak kebenaran mahkamah semua. Ish! Mengarut betul idea ni..
Akhirnya Kudin meluahkan keluhan sendiri. Dia tahu emaknya mahu sangat dia berkahwin segera. Dia pun bukannya tidak mahu berkahwin. Tetapi calon belum ada. Calon macam si Maya tu berlambaklah. Masalahnya yang spesis si Maya tu bukannya nak pandang sangat dia dengan baju comotnya ini. Bukannya rela nak menunggang lori buruknya itu. Malu nak menjejakkan punggung di atas kusyen motor cabuknya itu. Apalah sangat lelaki seperti dia yang membanting tulang di tanah berbanding lelaki-lelaki yang segak bertali leher di KL sana?
Kudin terus memikir sendiri sambil memandang di hujung sana pekerja-pekerjanya  yang sedang sibuk membersihkan persekitaran kolam sebelum habis waktu berkerja. Memandang kolam ternakan ikan kelinya ini, terdetik rasa bangga dalam diri Kudin. Ini adalah hasil titik peluhnya sendiri. Siapa kata anak kampung macam dia, miskin duit? Siapa kata orang KL sana lebih berfikiran terbuka? Bukan semua lelaki di KL sana tu berkelulusan tinggi seperti dia? Kudin memang tidak hebat zahirnya. Tetapi anak muda itu lulusan sarjana daripada luar negara dalam bidang perniagaan. Cuma dia tidak pernah berhasrat untuk mencari kerja di KL semenjak dia mula pulang dari US dulu. Pendiriannya lain. Kampung ini.. ruang untuk dia mencari rezeki sangat besar. Tanah-tanah peninggalan arwah neneknya yang sudah lama terbiar mula diusahakan dengan tanaman longan Brazil dan longan tempatan semenjak 4 tahun lalu. Kolam ikan kelinya juga sudah mula mendapat perhatian. Ramai pemborong asyik berulang alik ke situ untuk mendapatkan bekalan. Semua usaha Kudin sudah memberi pulangannya sangat-sangat memberansangkan, walaupun agak payah untuk dia mahu memulakan semua itu dahulu. Emaknya pernah menggadai gelang dan barang kemas untuk menjayakan impiannya.

Alhamdulillah.. dia tidaklah miskin sebenarnya. Dia cuma hidup seadanya. Dia hanya berdua dengan emaknya. Dia tidak perlukan kereta berjenama mahal dan rumah banglo untuk terus hidup. Apa yang dia ada sudah memadai. Tidak adakah wanita yang sudi menerima dirinya seperti ini? Kalau ada.. siapakah wanita itu. hati Kudin terus merusuh sendiri.

Si Kolot Suami Ku-Sinopsis

Tengku Nur Edrina seorang anak yang terlalu degil. Egonya melangit tinggi hanya kerana ayahnya berketurunan raja dan emaknya dilahirkan di kalangan bangsawan. Angkuh dan bangga dirinya membawa hidupnya jauh dari nilai murni seorang wanita Melayu. Dia lupa siapa pun manusia di atas dunia ini, darah tetap merah dan semuanya hamba Allah yang sama sahaja darjatnya.
Kudin seorang jejaka tinggal di Kampung Permatang. Membesar di kampung dia seorang lelaki yang hidup dalam kesederhanaan. Namun dia punya kisah hidupnya sendiri. Maya gadis yang pernah cuba didekatinya menolak dirinya bersama dengan seribu penghinaan hanya kerana dia lelaki kolot yang membanting tulang kepada tanah untuk mendapatkan sesuap nasi. Tidak sesuai dengan gadis kampung yang mula dirasuk kenikmatan hidup di bandar. Lalu Kudin meminggir diri, menjalani hidup berdua sahaja bersama emaknya tanpa mahu memikirkan lagi tentang mana-mana gadis kampung yang rata-ratanya sudah lelah menetap di kampung mereka itu.
Namun pertemuan dua manusia yang berbeza bak langit dan bumi mencetuskan seribu konflik jiwa apabila kehadiran Tengku Ahmad Ehsan mengunjungi Mak Kunah, emak Kudin untuk melunaskan janji lama yang pernah tersimpul kukuh antara moyang mereka dahulu. Kedatangan lelaki itu untuk membuka cerita yang terperuk 25 tahun lalu, agar segala amanah dan wasiat dapat diselesaikan tanpa ada hutang piutang yang tidak dilunaskan sebelum dia menutup mata.
Tetapi agak-agaknya, bagaimana untuk Edrina memaksa diri menerima Kudin sebagai suami jika di hati tidak terucap betapa jijiknya dia untuk menerima lelaki kampung itu sebagai sebahagian dari hidupnya. Baginya terlalu mustahil untuk dia mengubah dirinya menjadi gadis kekampungan yang sederhana. Dan agaknya memang bergegak gempitalah dunia jika si kolot itu pula yang dibawa ke dalam dunianya yang penuh dengan darjat dan protokol sebagai orang yang berdarah mulia. Sedangkan lelaki itu lelaki kampung!
 Bagi Kudin pula sikap Edrina semakin menjelakkan rasa setelah sekian lama dia tidak berminat berbicara soal perempuan. Untuk menerima si bongkak sebagai isteri yang sebenar? Memang taklah kut! Lebih baik dia berkahwin dengan Munah gadis terencat akal anak Wak Salimun daripada menerima Edrina itu. Biarpun kejelitaan Edrina boleh membuatkan dia meleleh air liur tetapi tidak mungkin dia membiarkan maruahnya sebagai lelaki dicalarkan oleh mulut longkang gadis berdarjat tinggi itu.
Jadi bagaimana? Kata orang ikan di laut asam di darat akhirnya ke dalam kuali bersatu juga. Tetapi itu ikan dan asam, mereka bukan ikan dan asam yang tidak tahu berkata-kata dan tidak memiliki hati. Hidup mereka juga bukanlah sekadar satu resepi masakan ikan dan asam. Lalu setiap cerita yang berkisah dalam hidup mereka hanya berlandaskan benci antara satu sama lain. Tidak terjangkau oleh mereka ikatan suci yang diangkat untuk menyatukan manusia dua darjat itu.
Tetapi Tuhan melihat setiap perlakuan hamba-Nya. Mereka terlupa dunia ini ada putarannya begitulah juga dengan hati mereka. Akan sampai satu masa Tuhan akan menunjukkan betapa tiada apa yang membataskan kuasa Allah. Segala yang mustahil bagi manusia, adalah mungkin bagi Allah yang Maha Berkuasa. Lalu dalam biar pun tidak berada dalam istana yang mewah bersama Kudin hati Edrina mula terusik resah. Entah kenapa lelaki itu dirasakan terlalu kacak di matanya sedangkan selama ini lelaki kampung itu cukup hodoh dirasakannya.
Bagi Kudin pula, dalam kebencian masih ada rasa tanggungjawabnya kepada kaum Hawa yang lemah. Lalu perasaannya mula berubah seru apabila Edrina mula didekati sebagai suami. Tetapi sayangnya antara mereka masih ada tembok yang tinggi menghalang mereka dari saling mencapai tangan masing-masing.

Edrina tidak mahu terus menetap di kampung dan mula berkain batik sebagai wanita kampung. Kudin pula enggan meninggalkan lubuk rezekinya di kampung untuk menyarung tuksedo dan sut untuk menjadi lelaki bandar. Jadi bagaimanakah asam di darat itu akan bersatu dengan ikan yang mahu terus berada di laut? Apa yang pasti, Tuhan akan menunjukkan jalan kepada setiap hamba-Nya. 

Ahad, 25 Ogos 2013

Prolog BIMA

Prolog- BIMA
Suasana Kampung Paya Keli, Masjid Tanah tenang sekali. Namun tidak di rumah pasangan muda itu..
“Berambus!!!!!!!!!” pekikan itu cukup-cukup menggegarkan rumah kampung sederhana besar itu. Dumm!! Lantai papan itu terus mengeluarkan dentumannya apabila ada sesuatu yang terjatuh di atasnya. Serentak itu kedengaran suara anak kecil meraung dari salah sebuah bilik di dalam rumah itu.
Raduan lekas-lekas naik ke rumah apabila terdengar raungan anak kecil itu. Dentuman yang kedengaran sebentar tadi sudah diagak apa puncanya. Apabila dia masuk ke bilik matanya melihat tubuh anak kecil berusia sembilan bulan itu sudah terlentang di atas lantai papan sambil menangis. Tangan mungil itu terkapai-kapai seakan meminta tolong.
“Apa ni, Nab? Apa awak buat pada budak ni?” soalnya kesal. Matanya masih menadah bayi kecil itu yang masih meraung sehingga kemerahan mukanya.
“Aku benci tengok budak ni. Bawa dia berambus. Jangan menyemak depan mata aku ni!! Anak haram bejadah! Kalau aku tahu masa lahir dulu aku cekik-cekik dia biar mampus! Buat malu akau aja ada anak macam ni!!!” wanita bernama Jurinab itu memekik kepada Raduan pula. Tangannya ditundingkan kepada anak kecil yang terkapar tidak berdaya akibat ditolak olehnya.
Raduan menggeleng dalam menahan hati yang terhiris. Terlalu bisa kata-kata sang isteri. Perlahan anak kecil itu diambilnya. Tubuh anak pertama mereka itu ditepuk perlahan. Belakang kepala bayi itu juga diusapnya bagi menghilangkan kesakitan anak itu. Kesal benar dia dengan kekasaran isterinya itu kepada anak yang tidak tahu apa-apa ini.
“Jangan buat macam tu, Nab. Dia tak salah apa-apa. Awak tak kasihan ke pada dia?” keluh Raduan sedih melihat anak kecil itu diperlakukan sebegitu oleh isterinya. Entah apa sebabnya Jurinab bersikap begitu dia sendiri tidak tahu.
“Tak salah? Awak tengok muka dia tu! Tengok!!! Aku tak boleh terima anak aku macam tu...” pekik Jurinab bagaikan hilang pedoman.
Raduan menggeleng perlahan. Dikumpulkan segenap kesabarannya untuk menadah kelakuan isterinya itu. Perlahan pipi bayi itu dikucupnya penuh kasih. Belas hatinya melihat nasib anak sulungnya itu. “Sayang.. sayang.. abah ada sini. Diam ya?” pujuknya perlahan kepada bayi itu agar tidak menangis lagi.
“Bukan salah dia, Nab. Kenapa awak hukum dia? Dia pun tak minta dilahirkan macam ni..” keluh Raduan perlahan. Sekali lagi dia menggeleng. Tidak ada perasaankah isterinya itu? Apalah yang diketahui oleh anak sekecil ini hingga dia perlu dihukum seperti ini?
“Habis tu salah siapa? Salah kita? Anak haram bejadah!!! Buat malu aku aja anak macam ni...” Jurinab terus menghamburkan kebenciannya kepada bayi itu.
“Jangan awak maki-maki dia. Dia tak salah langsung. Dia pun tak minta dilahirkan ke dunia ni macam ni. Apa yang dah berlaku biarlah lepas. Jangan awak hukum dia lagi. Apa pun keadaannya dia tetap anak kita..” lawan Raduan enggan membiarkan Jurinab terus tenggelam dengan keegoan sendiri.
“Anak awak! Binti awak! Awak belalah dia! Kita tak mahu. Buat malu aja ada anak macam ni...” dengan sombongnya Jurinab meluahkan bicara sehingga menggeleng Raduan dibuatnya. Susah benar dia mahu mengubah sikap isterinya itu. Semenjak dia menikahi Jurinab kira-kira setahun lima bulan yang lalu semakin hari dia semakin melihat kelakuan Jurinab sebenarnya. Apa yang paling jelas di matanya adalah setiap hari kata-kata Jurinab semakin lancang memaki hamun cahaya mata mereka ini. Tidakkah Jurinab sedar bahawa cahayamata ini adalah anugerah ALLAH biar bagaimana pun rupanya. Sekurang-kurangnya anak ini sihat walafiat tanpa sebarang penyakit. Susah benarkan untuk isterinya itu menerima segala ketentuan ALLAH. Mengapa anak ini harus dihukum sedangkan dia tidak tahu apa-apa?


Di tangga hadapan rumah Raduan merenung masa hadapannya sambil memangku bayi yang baru beberapa bulan mengenali dunia ini. Bayi kecil yang dinamakan Intan Nur Darina binti Ahmad Raduan itu dibelainya. Diberikannya kasih sayang dan pujukan agar anak itu kembali tenang. Namun memikirkan sikap Jurinab yang begitu Raduan tidak tahu apakah sinar di hari muka akan terus menerangi anaknya ini. Raduan tidak tahu. Cuma dia agak kesal. Jurinab tidak mahu mengakui kesalahan sendiri sebaliknya menyalahkan Intan yang dilahirkan tidak seperti anak-anak yang lain. Sedangkan anak yang baru dilahirkan umpama sehelai kain putih tanpa dosa. Perlahan Raduan mencium kepala anaknya itu. “Takpelah. Abah ada, sayang. Abah akan sayangkan Intan. Sabar ya, nak?” bisiknya tulus. 

Sabtu, 24 Ogos 2013

Bab 8-10 Janji Pada-Nya

Bab 8

Pergi ke pasar dengan si Sabtu
Singgah menyembang di rumah Jumat
Hidayah sampai ke depan pintu,
Tandanya Allah memberi rahmat.

Sudah hampir seminggu aku berada di Kuala Lumpur. Sepanjang minggu itu setiap hari aku membuat solat istikharah bagi meminta pertunjuk dari Allah atas apa yang sedang aku lalui. Hasilnya.. tiada mimpi yang datang kepada ku. Tetapi naluri hati ku semakin kuat ditarik untuk menerima lamaran itu. Berlandaskan naluri itu aku akhirnya memberi kata putus seperti yang diharapkan oleh ayah Estaban.
Walaupun sudah diketahui yang kami akan berkahwin, aku lihat Estaban seperti patung bernyawa sahaja lagaknya. Ikut sahaja apa yang diarahkan oleh ayahnya. Malah saat diberitahu yang dia harus memeluk agama islam sebelum mengahwini ku, dia akur begitu sahaja tanpa sedikit pun pertikaian. Namun jauh dari sudut hati ku, aku tahu hati lelaki itu tiada keinginan untuk memiliki pegangan dan agama yang bakal dianutinya ini. aku tidak mampu membayangkan apa yang bakal berlaku esok.. lusa.. dan seterusnya. Namun aku sandarkan harapan yang ikhlas agar ini menjadi jalan yang terbaik buat kami semua. Termasuklah diri ku juga.
Anehnya.. walaupun sudah mahu berkahwin aku dan Estaban tidak mesra seperti orang yang bakal mendirikan rumahtangga. Kami jarang bercakap atau berbual mesra seperti pasangan yang lain. Seorang membisu.. seorang lagi pula hanya diam tidak peduli. Alangkah peliknya hubungan ini.
Minggu ke tiga itu selesai juga segala urusan dengan pejabat agama. Kebenaran bernikah juga sudah kami perolehi. Aku dan Estaban dijadualkan bernikah selang sehari selepas upacara pengislaman lelaki itu. Petang Khamis itu sebaik sahaja selesai solat zohor kami semua sudah berada di Masjid Negara. Aku sememangnya tidak mahu ketinggalan melihat sendiri upacara yang cukup bersejarah itu. seorang lelaki yang tidak mahu beragama kini akan mengucapkan kalimah tauhid mengesakan Allah. Semoga Allah memberikan dia hidayah.
Buat yang pertamanya imam menguji pengetahuan Estaban mengenai rukun islam dan rukun iman. Dia dapat menjawabnya dengan baik seperti yang sudah dihafalnya sebelum ini. Estaban sudah menghadiri kursus pendek mengenai asas-asas pengetahuan dalam islam sebelum ini di PERKIM setiap hari selama tiga minggu ini. Semua itu sudah ada di dalam kepalanya. Tetapi apabila diminta membacakan surah hafazan iaitu surah Al-Fatihah, dia sudah tergagap-gagap. Ada yang diingatnya dan ada yang dia lupa. Tajwid tak usah cakaplah.. lintang pukang habis semua dilanggarnya! Sehinggalah imam itu membantu dengan ikut membacakan surah yang amat termudah itu.
Setelah imam itu berpuas hati dengan pengetahuan Estaban mengenai asas-asas pengetahuan agama islam lelaki itu segera mengajarnya mengucapkan kalimah mentauhidkan Allah yang Esa, berserta dengan maknanya.
“Aku naik saksi tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah. Dan aku juga naik saksi Nabi Muhammad itu adalah pesuruh Allah..” mudah sahaja Estaban mengucapkan kalimah itu.
Sesungguhnya hati ku sebak entah kenapa sebaik sahaja menyaksikan Estaban mengulangi apa yang disebutkan oleh imam itu. Air mata tanpa dapat ku tahan, mengalir laju di pipi. Ada rasa halus datang menyelit di sanubari ku sehingga aku menjadi begitu sayu. Aku seperi tidak jejak di bumi saat melihat semua itu di hadapan mata ku sendiri. Dengan nama yang dipilih oleh ku, kini Estaban bergelar Muhammad Ariff Buhler bin Abdullah.

Keesokan harinya pula pernikahan kami..
Aku mula berhias sederhana dengan baju kurung berkain lace putih yang baru dibeli oleh emak di Masjid India dan Estaban  aka Ariff dengan baju melayu warna yang sama yang dipilih oleh ayahnya. Usai solat Jumaat, kami mula berkumpul di masjid yang sama. Buat pertama kali selama aku mengenalinya, aku mahu memuji ketampanannya apabila melihat Ariff mengenakan songkok hitam di kepalanya. Teringat aku akan cerita Nabi Yusuf  As itu.  
Cuma apa yang membuatkan aku meluat, si romeo itu masih tidak mahu memotong rambutnya walaupun aku sudah berpesan supaya memotong rambutnya. Masih juga mahu mengekalkan watak romeonya itu. Menyampah betul!
Gelihati ku melihat Celina yang tidak senang duduk di dalam masjid itu. Agaknya takut menderhakalah tu, duduk dalam masjid orang islam! Diakan biarawati..
Tidak cukup itu dia berkipas kepanasan pula. Yalah.. Malaysia panas. Kena pulak pakai jubah dan bertudung penuh bagi menghormati kemuliaan rumah Allah ini. Mana tidak berkipasnya. Cuma Samuel aja yang cukup tenang ku lihat. Dia asyik memandang segala perbuatan imam di hadapan kami. Beberapa orang pegawai dari pejabat agama dilantik untuk menjadi saksi kepada upacara itu.
Buat permulaannya kami berdua diceramah panjang oleh kadi itu. Kepada bakal suami ku itu, banyak sekali pesanan demi pesanan yang diberikan untuk melengkapkan ilmu sebagai seorang yang beragama islam dan sebagai suami. Walaupun pesanan itu ditujukan buat Ariff namun aku ikut mendengar. Tidak ketinggalan imam itu mengingatkan aku akan tanggungjawab ku untuk mengemudi arah hidup lelaki ini setelah bergelar isterinya nanti. Kata imam itu.. ini seumpama ‘janji kepada-Nya’ yang tidak boleh diabaikan dengan sewenang-wenangnya. Janji kepada Allah sama sekali tidak boleh dimungkiri sewenang-wenangnya. Mendidik akidah Ariff adalah sebahagian daripada tanggungjawab ku kerana selepas selesai akad itu nanti, akulah orang yang paling hampir dengan Ariff. Aku cukup sedar betapa besarnya tanggungjawab itu. Namun aku tetap mahu mengikhlaskan hati untuk menerimanya.
Untuk upacara akad nikah pula, imam itu yang dipilih mewakili abah kerana Ariff tidak memahami bahasa melayu. Walaupun akad nikah boleh menggunakan bahasa melayu, namun abah tetap meminta imam itu menikahkan kami berdua dengan lafaz akad yang mampu difahami oleh Ariff. Abah mahu Ariff sedar dan faham apa yang telah diterimanya dan apa yang digalasnya bersama akad itu.
Imam itu mula memandang ku. “Nur Insyirah binti Syawal, sudi atau tidak aku nikah kamu dengan Muhammad Ariff bin Abdullah?”
“Sudi..” aku menjawab lembut.
Imam itu mengangguk. Tumpuannya mula diberikan kepada Ariff yang duduk di hadapannya. “Sambut akad ini dengan jelas dan lancar. Tak mahu tergagap-gagap, faham?” imam itu berkata kepada Ariff. Ariff sekadar mengangguk. Aku lihat dia sudah mula resah. Dahinya digaru beberapa kali.
Rentak jantung ku mulai berubah deras sebaik sahaja melihat Ariff menyambut huluran tangan imam itu. Lelaki itu sempat memandang ku seketika sebelum dia kembali menumpukan perhatian kepada imam di hadapannya itu. Seketika kemudian aku mulai mendengar lafaz akad disebutkan oleh imam itu dalam bahasa inggeris.
Ariff cuba menyambutnya dengan sekali lafaz seperti yang telah diajarkan kepadanya sebelum ini. Tetapi lafaz itu ditolak saksi dan akad nikah terpaksa diulangi sekali lagi. Sekali lagi aku melihat Ariff resah. Duduknya tidak lagi aman. Dia meraup wajahnya berkali-kali. Beberapa kali abah mengosok belakangnya meminta dia agar bertenang.
Sekali lagi imam itu mengingatkan agar Ariff menyambut akad itu dengan lancar. Tidak boleh tergagap-gagap lagi seperti tadi. Dia hanya mengangguk sahaja. Hingga akhirnya kali ke enam imam itu melafazkan akad, barulah Ariff dapat menyambut dengan kabul yang lancar. Dengan pengesahan saksi barulah akad nikah itu diterima oleh imam itu.
Melihat itu tiba-tiba aku merasa teramat sedih. Tidak dapat ditahan air mata ku mengalir laju di pipi. Di dalam pelukan emak, aku melepaskan perasaan yang bercampur baur saat ini. Aku sendiri tidak tahu apaa yang sedang aku rasa. Gembirakah? Atau berduka? Entah! Tidak terduga oleh ku, saat pertama kali aku mengenali Estaban dahulu.. lelaki inilah yang telah ditakdirkan menjadi suami ku. Tidak pernah juga termimpi oleh ku yang aku akan mengahwini seorang lelaki dalam keadaan tergesa-gesa begini. Tidak pernah aku angankan untuk dinikahi lelaki yang ku anggap musuh. Lebih dari itu.. aku langsung tidak pernah menduga yang takdir telah tertulis, aku akan mengahwini seorang lelaki dalam keadaan diri ku telah pun hamil!
Selepas berlangsung pernikahan itu, imam meminta Ariff membuat lafas taklik kepada diri ku memandangkan terlalu banyak risiko bagi perkahwinan antara dua bangsa dan dua negara seperti aku dan dia. Ini adalah jaminan bagi diri di masa hadapan. Dan aku sememangnya tidak mahu Ariff ingkar dari tanggungjawabnya. Ariff mula mengerti dengan tujuan apa lafaz taklik itu dilakukan setelah diterangkan oleh jurunikah itu. Setelah menerangkan sedikit sebanyak hak diri ku sebagai isteri, imam itu meminta Ariff menyebut sumpah itu dengan rela hati.
“Saya Muhammad Ariff Buhler bin Abdullah dengan ini mengakui sekiranya saya meninggalkan isteri saya Nur Insyirah binti Syawal selama empat bulan berturut-turut tanpa nafkah zahir atau batin, sekiranya dia pergi membuat aduan kepada mahkamah syariah di Malaysia ini.. maka gugurlah talak khuluk kepada isteri saya. Kecuali sekiranya isteri saya meredakannya. Saya juga mengakui sekiranya saya menikahi wanita lain tanpa keinzinan isteri saya maka gugur juga talak satu kepada isteri saya.” Dengan tenang Ariff menyebut lafaz taklik berbahasa inggeris itu.
“Ambil perhatian dengan lafaz sumpah ini. Lafaz ini jangan sesekali awak lupakan selagi dia masih isteri awak. Lafaz ini bertujuan untuk menjamin hak isteri agar tidak dianiaya oleh pihak suami. Kewajipan isteri adalah taat kepada suaminya. Tetapi mereka juga mempunyai hak dalam perkahwinan yang telah ditetapkan oleh agama islam. Suami tidak boleh sesuka hati menggunakan kuasa yang ada ditangannya sehingga menganiaya isteri. Sekiranya awak ingkar dengan apa yang awak lafazkan tadi maka awak dan dia terlepas dari ikatan suami isteri ini tanpa perlu lafaz talak lagi. Begitu juga sekiranya awak ada melafazkan untuk kembali semula kepada agama asal awak atau bertukar kepada agama lain. Secara automatik hak awak kepada dia akan gugur dengan sendirinya kerana awak tidak lagi beragama islam,” jelas imam itu lembut.
Ariff mengangguk-angguk tanda memahami kata-kata imam itu. Aku nampak bapa Ariff yang mendengar juga ikut mengangguk. Wajah lelaki itu cukup ceria setelah segalanya berjalan dengan baik seperti yang dirancangkan.
Kun Fa Ya kun..
Suatu masa dahulu aku pernah mengatakan lelaki ini tidak akan mendapat tempat dalam hidup ku. Ternyata apa yang aku katakan, tidak sama lagi dengan apa yang sedang aku kotakan. Lelaki yang amat ku benci itu sudah pun menjadi suami ku. Aku sedar aku hanyalah manusia biasa yang hebat merancang namun tidak berkuasa untuk mengotakan. Moralnya kini.. perjalanan hidup ini bukan ketentuan manusia semata-mata. Semuanya berlaku dengan izin Allah. Sesungguhnya inilah tanda kekuasaan Allah.
Muhammad Ariff terpinga-pinga menggelabah apabila diminta mengerjakan solat sunat nikah seorang diri. Aku sempat tersenyum sinis melihat Ariff cuba memberitahu abah yang dia masih tidak tahu bersolat. Dia cuba meminta tolong abah. Tanpa segan silu dia mencuit-cuit abah seolah-olah meminta abah memberitahu imam itu yang dia masih belum pandai bersolat.
Mujurlah abah ku itu mengerti. Kata abah solat itu hanya sunat. Kalau tidak berkemampuan maka tidak perlulah dilakukan. Tetapi tidak bagi imam yang melihat keadaan itu.
“Sebagai ketua keluarga kamu mesti sentiasa ada kemahuan untuk mendalami agama islam. Kerana sebagai lelaki Allah sudah memberatkan lelaki dengan tanggungjawab tertentu terutamanya tanggungjawab mendidik isteri dan anak-anak kamu nanti. Jika kamu abaikan tanggungjawab ini maka kamu akan menanggung dosa kerana gagal menunjukkan jalan yang benar kepada orang-orang di bawah jagaan kamu. Bukan sekadar itu, sebagai suami kamu juga akan menanggung dosa isteri dan anak-anak kamu sekiranya kamu membiarkan mereka berbuat dosa tanpa mendidik mereka. Solat sunat nikah memang hukumnya sunat tetapi tidak dengan solat fardhu yang harus kamu tunaikan lima kali sehari semalam. Solat itu hukumnya wajib! Sekiranya kamu meninggalkannya kamu harus menggantikannya nanti. Itu penting untuk kehidupan seharian kamu! Kamu mesti memulakannya dari sekarang. Belajar sikit-sikit pun takpe, asalkan berterusan. Tapi jangan abaikan begitu sahaja.” Imam itu berceramah lagi kepada Ariff. Agaknya sebab dah malu, Ariff terangguk-angguk kepada imam itu.
Akhirnya tiba pula kepada upacara menyarungkan cincin dan pemberian mas kahwin. Di atas dulang yang dihias sederhana terletak senaskah Al Quran kecil dan juga mas kahwin. Sebentuk cincin emas putih disarungkan lelaki itu ke jari manis ku dan dulang itu turut diserahkan kepada ku. Aku tunduk mengucup tangan lelaki itu tanda memulakaan ketaatan sebagai isteri kepada lelaki itu. Kami sempat berpandangan seketika. Ariff tenang sahaja memandang wajah ku. Tetapi apa yang ada di dalam hati ku ini membuatkan aku tertanya-tanya. Mengapa aku tidak merasa apa-apa lagi? Tidak merasa terpaksa.. tidak merasa suka.. tidak juga merasa sedih. Jiwa ku kosong! Aku sendiri tidak faham apa yang sedang aku alami.

Selesai urusan di masjid ada satu lagi urusan yang masih belum diselesaikan. Urusan itu sebenarnya teramat penting iaitu berkhatan! Rupanya mereka sudah merancang senyap-senyap untuk mengkhatankan Ariff. Atas sebab-sebab tertentu bapa mertua ku itu sengaja membiarkan urusan itu dilakukan selepas bernikah. Kata bapa Tuan Christopher.. kalau diberitahu awal-awal kepada Ariff, lelaki itu pasti akan melarikan diri. Malah ketika kami dalam perjalanan ke hospital itu, Ariff sebenarnya tidak tahu apa yang sedang menunggunya di sana!
Huh! Anak manja betul. Baru nak kena potong sikit, dah menggelabah macam budak lima tahun nak kena cabut gigi. Aku sempat mencemuh lelaki itu di dalam hati. Terlupa sekejap yang itu adalah suami ku.
Untuk menyelesaikan hal itu hanya aku sahaja perempuan yang mengikuti mereka ke hospital. Abah memang mahu aku ikut sekali. Kata abah, hanya aku sahaja yang boleh memujuk Ariff. Aku faham apa yang abah maksudkan. Ni memang nak pujuk sangatlah ni!
Setiba di perkarangan hospital, Ariff sudah mula buat hal. Aku mahu tergelak melihat kegelabahan lelaki itu. Wajahnya merah padam apabila diberitahu yang dia harus dikhatankan. Dia mulai cemas dan tidak tentu arah. Memang benar kata bapa mertua ku itu.. Ariff sudah bersiap sedia mahu melarikan diri saat namanya mahu didaftarkan oleh ku. Kecoh jadinya perkarangan hospital itu dengan lagak kebudak-budakkan Ariff.
“Saya tak mahu!” ucapnya keras. Terus dia mengatur langkah ke pintu utama hospital itu untuk pergi.
“Estaban!” Tuan Christopher cuba menghalang anaknya itu. Namun Ariff tiba-tiba agresif pula.
Aku ikut memanggilnya untuk menenangkannya. Aku pula yang mulai cemas dengan kelakuan lelaki itu. Jeritan kerasnya tadi sudah menarik perhatian orang-orang di situ. Takut nanti hospital ni runtuh pula dibuatnya. Padahal bukannya baru lepas kemalangan ngeri.. nak kena bersunat aja pun kecoh sekampung!
Ariff bertempik marah apabila Samuel memeluknya erat, tidak membenarkan dia berlalu. Dia berkeras mahu melepaskan diri namun pelukan abangnya itu semakin kuat. Mereka berdua bergelut seketika di hadapan kaunter pendaftaran itu sebelum abah juga ikut membantu memegang Ariff.
“Estaban, kamu kena bertenang!” tegas Tuan Christopher kepada anaknya itu.
“Apa semua ini? Saya tak mahu berkahatan ni semua! Ini akan menyakitkan saya!” tempiknya benar-benar marah. Wajahnya merah padam entahkan menahan marah ataupun takut. Pertama kali sepanjang aku mengenalinya aku melihat lelaki itu benar-benar takut. Tahu takut rupanya lelaki ini.. hati ku mengejek sendiri.
“Kamu kena berkhatan. Semua lelaki islam berkhatan, Estaban. Ini untuk kebaikan kamu berdua,” pujuk Tuan Cristopher masih cuba untuk berlembut.
“Tidak! Saya nak balik! Lepaskan saya!” tempiknya semakin kuat. Matanya buntang bagaikan mahu ditelannya semua yang ada di sekelilingnya.
Aku jadi malu kepada kakitangan hospital yang mula berkerumun memandang sketsa kami semua. Melihat perangai lelaki yang baru menikahi ku itu, aku hanya mampu memegang kepala sambil memandang. Aku sendiri tidak tahu mahu berbuat apa.
“Saya sudah buat segala yang papa suruh selama ini. Itu tidak cukup? Kenapa saya kena berkhatan pula? Saya tak mahu! Ini akan menyakitkan saya!” tempik Ariff kepada ayahnya.
Menggeleng aku melihat sikap lelaki itu. Seingatnya adik-adik lelakinya tidak sedasyat ini bila mahu dikhatankan dahulu. Lelaki dewasa ini pula mengamuk sehingga satu hospital datang melihatnya. Estaban benar-benar memalukan aku!
 “Kamu kena lakukan ini, Estaban. Berkhatan sangat diperlukan dalam islam. Kamu sendiri sudah diberitahu tentang itu, bukan? Ini tak begitu menyakitkan, Estaban. Dengar cakap papa. Kalau tidak hari ini, suatu hari nanti kamu harus lakukan juga.” Tuan Christopher memujuk lagi.
“Saya nak balik, papa. Saya takkan lakukan ini!” bentaknya semakin marah. Semakin meninggi suaranya kepada ayahnya itu. Semakin itu juga dia cuba melepaskan diri dari pelukan Samuel. Abah terus memegangnya tidak membenarkan dia pergi.
Aku mula hilang sabar dengan kelakuan Ariff. Malu tak usah cakaplah. Semakin ramai orang memandang kami di situ.
“Estaban, dengarlah cakap papa. Ini kali terakhir..”
“Tidak! Lepaskan saya!” semakin lantang Ariff memintas kata-kata ayahnya itu.
Lantang suara lelaki itu membuatkan darah ku ikut mendidih. “Muhammad Ariff!” aku mulai menengking melawan kekerasan suara Ariff. “Lepaskan dia!” ucap ku nekad kepada kesemua lelaki yang sedang menahan suami ku itu. Seketika kemudian aku terus menarik lelaki itu ke arah pintu utama.
“Nak balik? Pergilah! Saya tak kisah kalau awak nak balik. Tapi ingat, selagi awak tidak lakukan ini.. saya bersumpah tidak akan membenarkan awak menyentuh tubuh badan saya. Saya tidak rela awak membawa kekotoran itu ke dalam tubuh saya! Awak nak saya ikut cara awak, boleh! Tapi awak kena siap untuk menanggung akibatnya! Pilihlah antara dua, awak lakukan ini atau saya takkan tidur sekatil dengan awak sehinggalah awak berkhatan nanti!” ucap ku tegas sambil menunding ke arah lelaki itu.
“Pergilah kalau awak nak pergi. Saya takkan halang awak. Tapi macam saya katakan tadi, kita takkan pernah hidup macam orang lain sehinggalah awak ubah pendirian awak!” tambah ku serius.
Mendengar itu Ariff  tiba-tiba menjadi jinak pula. Dia terdiam memandang wajah ku lama bagaikan mencari kebenaran kata-kata ku sebentar tadi. “Er.. awak serius ke?”
“Terlalu serius! Kalau awak berdegil saya juga akan ikut cara yang sama. Pilihlah yang mana awak suka! Saya dah malas nak tengok ragam kebudak-budakan awak lagi,” balas ku amat tegas.
“Saya cuma perlu lakukan inikan?” dia bertanya perlahan dengan ekspersi wajah polosnya. Upah yang ditawarkan aku memang lumayan untuk lelaki sepertinya. Hilang terus rasa takutnya saat itu.
Dasar lelaki! hati ku sempat menggerutu melihat kemiangannya.
“Ya. Hanya ini sahaja.” Aku akhirnya membalas kelat.
Ariff terdiam seketika sebelum kembali memandang wajah ku. “Err.. nanti mereka akan beri ubat bius? Banyak ke dos yang mereka akan beri?” tanyanya perlahan sahaja.
Aku memandang seketika lelaki itu sambil menggeleng perlahan. “Sikit aja sakit awak tak boleh tahan ke? Awak tahu, dua adik lelaki saya dikhatankan melalui cara tradisional ketika mereka berusia sepuluh tahun. Mereka berdua tak diberikan bius macam yang akan awak dapat di hospital ini. Tapi mereka tak menjerit memekik macam orang gila. Awak ni betul-betul memalukan saya! Semua orang tengok kita!” desis ku teramat geram.
Muhammad Ariff terdiam sambil memandang sekeliling. “Awak temankan saya ya?” pintanya lembut.
“Awak ni bukan budak-budak lagi, Ariff!” bentak ku semakin geram.
“Tolonglah... saya bukannya takut cuma..” lelaki itu tergagap-gagap sedikit saat mahu menghabiskan kata. “Saya cuma ngeri aja..” akhirnya dia juga melengkapkan bicara.
Aku tergelak sinis. “Bagi saya, semua tu kedengaran sama aja!” desis ku selamba. Tanpa menunggu lagi aku meninggalkan Ariff di situ sambil mendekati semula kaunter pendaftaran. Semua kakitangan yang tercegat memerhatikan kami tadi sudah mula bersurai. Malu bagaikan tidak dapat ku tahan kerana hampir semua kakitangan ruangan itu terjenguk-jenguk memandang gelagat kami tadi. Ada yang kelucuan melihat gelagat Ariff. Dalam pada itu sempat aku melihat senyuman bapa mertua ku itu yang menyatakan kegembiraannya melihat aku sudah berjaya menjinakkan anak lelakinya itu. Memang tidak susah untuk memujuknya jika upahnya nanti lumayan. Ariff memang pantang jika ditawarkan tentang itu. Lekas sahaja mood dia baik! Dasar gatal!
Demi menunaikan kehendak si penakut itu, aku menemankan juga Ariff di dalam bilik rawatan tanpa kehadiran orang lain. Sementara Ariff disiapkan untuk menjalani pembedahan kecil itu oleh beberapa kakitangan lelaki, pegawai perubatan itu cuba menenangkan Ariff dengan mengatakan yang pembedahan ini hanya pembedahan kecil yang tidak akan mengambil masa yang lama. Namun saat ditanyakan samaada Ariff mahu menggunakan teknik laser yang kurang menyakitkan, aku pantas menjawab bagi pihak suami ku itu.
“Buat aja cara biasa! Tak payah guna laser semua..” ucap ku selamba. Sengaja bercakap bahasa melayu agar Ariff tidak faham apa yang aku katakan kepada pegawai perubatan itu.
“Awak cakap apa dengan dia?” Ariff yang sudah berbaring segera menyampuk.
“Awak baring aja kat situ! Jangan banyak cakap!” tegas ku dengan sinar mata yang sengaja ditajamkan kepada lelaki itu.
Salah seorang lelaki itu memandang ku lama. “Betul ke nak buat cara yang biasa? Kalau pakai laser kurang sedikit darah yang keluar dan tak berapa sakit. Lagipun kalau gunakan laser luka akan lebih cepat baik,” sekali lagi petugas perubatan itu berkata untuk meminta kepastian. Ada rasa hairan dipamerkan di wajahnya. Mana tak hairan, ya tak? Ada cara yang mudah aku sengaja mahukan cara yang susah. Aku tersenyum sendiri mengenang itu.
“Asalkan dia tak mati aja cukup! Tak payah pakai laser tu semua. Pakai aja pisau macam biasa! Kalau ada pisau yang tumpul itu lagi baik!  Biar dia rasa!” balas ku tetap dengan keputusanku. Inilah masanya aku membalas dendam kepada perbuatan jahatnyaa dulu. Ini baru sikit!
Sebahagian kakitangan lelaki itu sudah tergelak mendengar kata-kata ku tadi. “Karang kalau pakai pisau tumpul takut tak boleh pakai terus lepas ni, puan. Siksa dia nanti,” balas salah seorang kakitangan itu sedikit berjenaka. Mereka tergelak serentak mendengar kata-kata lelaki itu.
Aku ikut tergelak sama. Namun dalam hatinya hanya Tuhan sahaja yang tahu. Potong aja semua lagi baik! Biar tak boleh pakai terus.. desis hati ku yang masih bersisa dendam kesumat.
Namun ketika bahagian bawahan lelaki itu diselak aku mula memandang ke arah lain. Aku cuba sedaya upaya untuk tidak memberi perhatian kepada apa yang berlaku. Sehinggalah setelah selesai lima minit lelaki itu dibiarkan sendirian setelah diberikan ubat bius barulah pembedahan dimulakan. Tidak tertahan aku mahu tergelak apabila mendengar Ariff dengan panik menegur perbuatan pegawai perubatan itu.
“Jangan pandang! Baring aja di situ. Ini hanya sekejap sahaja. Lepas lima minit semuanya akan baik. Bertenang saja.” Dr. Ahmad yang mengetuai pembedahan itu berbicara lembut dengan Ariff.
“Apa yang kamu buat pada dia? Oh! Tuhan.. banyaknya darah!” seketika kemudian jeritan lantang Ariff sudah memenuhi ruangan itu membuatkan aku mula tergelak sendiri. Dalam hati aku amat gembira kerana sudah berjaya menyakitkan lelaki itu akhirnya!
Laser? Sama sekali tidak perlu!





Bab 9
Bulu ayam si bulu biri-biri,
Bulu biri-biri si bulu ungka,
Janji pada-Nya jangan dimungkiri,
Kelak musibah kan menimpa muka.

Malam itu buat pertama kalinya aku terpaksa sebilik dengan lelaki itu. Tetapi apa yang membuatkan hati ku mahu tertawa puas adalah setelah melihat Ariff tidak berdaya untuk menyentuh ku. Ariff hanya mampu memandang sahaja walaupun aku tahu dalam mata lelaki itu keinginan jantannya memang sedang meluap-luap. Aku hanya buat tidak tahu sahaja dengan pandangan mata Ariff yang asyik menyoroti pergerakan ku di dalam suit bulan madu itu.
Masih tidak dapat aku lupakan saat melihat Ariff keluar dari bilik rawatan petang tadi. Dia berjalan terkengkang-kengkang dalam berkain pelekat dan yang paling menggelikan hati, Ariff menangis seperti budak kecil sebaik sahaja bertemu ayahnya. Baru kena sunat, macam dah nak mati sangat sakitnya! Rasa benci dan meluat yang masih bersarang membuatkan aku asyik mengejeknya.
“Saya sakit ni. Tolonglah saya..” Ariff mula bersuara meminta perhatian ku.
“Awak nak saya tolong macamana? Tahan jelah sikit sakit tu,” jawab ku bersahaja. Aku sekadar memandang kosong Ariff yang terkedang di atas katil itu. Dengan riak selamba aku duduk di sofa. Namun dalam hati aku terus mendongkol benci dengan perangai lelaki itu yang mengada-ngada minta dilayan itu dan ini. Dia ingat aku ni takde perasaan agaknya! Bisik ku dalam diam.
“Kalaulah saya tidak sakit.. dah tentu saya takkan sia-siakan saat ini,” ujar Ariff agak nakal. Dia tersengih-sengih memandang ku yang langsung tidak teringin mahu tersenyum atau terhibur dengan usikan nakalnya itu.
Aku mencebik sendiri tanpa mempedulikan Ariff yang sedang memandang kepada ku itu. Biarpun sudah menjadi suami ku tetapi rasa menyampah memang amat sukar untuk dikikis dari hati ku biarpun sedikit. Entah berapa timbunlah dosa ku kerana berperasaan begini kepada lelaki yang seharusnya aku hormati.
Tetapi sebenarnya jauh di lubuk hati ku ini, aku amat berharap lelaki itu akan berubah suatu hari nanti. Jika tidak sepantas esok yang datang, mungkin suatu hari nanti. Harapan itu terlahir secara tiba-tiba saat melihat Ariff mengucapkan kalimah syahadah semalam. Tiada kata yang dapat aku gambarkan betapa sayunya hati saat melihat lelaki itu mengucapkan pengakuan untuk mengesakan Allah itu. Mungkin sampai bila-bila aku tidak akan melupakan saat itu.
“Insyirah, marilah sini..” Ariff memanggil lagi. Kali ini cukup lembut mendayu-dayu.
Aku mendecit geram sendiri. Macam-macam pula mahunya dia ini. Mengada-ngada betul! Menyampahnya... hati ku menjerit sendiri. Namun dalam rasa tidak ikhlas itu aku tetap juga mendekati Ariff yang terdampar di atas katil macam orang sakit tenat.
“Nak apa?” soal ku teramat hambar setelah duduk di birai katil bersebelahan dengan Ariff yang sedang berbaring. Walaupun berdekatan dengan suami sendiri tetapi seluruh hati ku mula menolak untuk menerimanya. Aduhai.. susah sungguh. Berdosakah aku jika aku tidak mampu mengikhlaskan diri ku kepada lelaki ini? Aku sendiri tidak tahu berapa lama aku harus berkeadaan begini kepada Ariff.
Ariff memandang aku sambil tersenyum gembira. Terus sahaja dia mencapai jemari ku lantas diletakkan di atas tubuhnya. “Sekarang awak dah kahwin dengan saya..” katanya lembut sambil mengelus-elus jemari ku. Paling menyakitkan hati ku apabila melihat lagak selambanya. Dia bagaikan tidak pernah teringat apa yang pernah dilakukannya kepada aku sebelum ini. Langsung tidak pernah terpamer rasa bersalah lelaki ini tentang peristiwa itu. Malahan semua itu seolah-olah tidak pernah berlaku sedangkan saat ini jiwa ku terus bergolak, masih tidak mampu menerima dia. Aku masih tidak mampu melepaskan semua itu. Bukan semudah itu!
“Dasar tak sedar diri!” tanpa dapat ditahan meluncur perkataan itu dari mulut ku mencemuh lelaki itu. Sengaja aku menggunakan bahasa Melayu supaya Ariff tidak tahu yang aku sedang mengutuknya.
“Awak cakap apa tu?” soal Ariff.
“Takde apa-apa..” balas ku segera mengelak dari memanjangkan hal itu. Aku buat-buat tersenyum semoga Ariff tidak terus bertanya. Terlupa langsung yang perbuatan ku ini mt tidak patut. Tidak seharusnya aku mencemuh lelaki yang seharusnya aku taati. Tetapi apakah lelaki ini layak mendapat penghormatan dari ku setelah apa yang berlaku?
“Awak tak suka kahwin dengan saya ke?” soal Ariff perlahan sahaja.
“Awak suka ke kahwin dengan saya? Kahwin selepas buat saya mengandung. Awak pernah kata yang perkahwinan hanya suatu yang sia-sia. Jadi kenapa awak kahwini saya?” aku membalas dalam nada ejekan. Sebuah jelingan ku hadiahkan kepada lelaki itu.
Ariff terdiam pula. Keriangan di wajahnya mula memudar setelah melihat sikap dingin ku.
“Kita masih muda. Awak baru 22 tahun. Dah bersedia ke untuk pikul tanggungjawab seorang suami dan ayah? Dalam islam tanggungjawab suami dan ayah amat berat. Suatu hari nanti segala kelebihan dan kekurangan kita dalam menunaikan kewajipan akan dihitung dan dibalas,” ujar ku lagi sambil mengerlingnya.
“Awak pulak? Kenapa awak kahwin dengan saya sedangkan awak bencikan saya?” kali ini Ariff pula menyoal kepada ku. Dia pula yang mahu menguji pendirian ku tentang itu.
Aku tersenyum sinis sendiri. “Kalau bukan sebab anak ini..” namun tiba-tiba aku tidak jadi untuk meneruskan kata-kata apabila ‘janji’ itu kembali melintasi memori ku. Perlahan aku segera beristighfar dalam hati. Aku tidak harus terlebih mengikutkan perasaan dalam meluahkan kata. Aku tidak patut untuk mengungkitnya biar semarak mana pun rasa benci ku kepada lelaki ini. Sekarang bukan masanya untuk aku kesal dengan segala yang berlaku. Kekesalan tidak akan membawa kami semula ke masa lalu. Aku ada tanggungjawab yang harus dilunaskan. Ariff tidak harus ku biarkan mengemudikan hidup sendirian walaupun dalam hati tiada sekelumit rasa untuk mendewakan lelaki yang harus ditaatinya.
“Awak memang tak pernah sukakan saya selama ini?” soal Ariff lagi. Nadanya amat rendah. Jika tidak aku tersalah tafsir, nada itu jelas menunjukkan yang dia kecewa. Untuk apa kecewa? Bukankah dia pernah mendendami aku sehingga tergamak mencela maruah perempuan ku?
“Entahlah. Saya tak tahu apa yang patut saya cakap. Awak suami saya. Tanggungjawab saya adalah menggembirakan hati awak. Kalau berbohong mengatakan yang saya memang sukakan awak selama ini itu mampu membahagiakan awak maka saya akan lakukan. Tapi ke mana hala tuju hidup kita jika semua yang kita ada takde satu pun yang berlandaskan keikhlasan,” jelas ku tanpa memandang lelaki itu. Bukan tentang Ariff yang sedang ku perkatakan saat ini sebaliknya tentang diri ku sendiri. Aku yang paling tidak ikhlas di sini!
“Awak tetap akan bersama saya walaupun awak tak cintakan saya? Kalau awak tidak hamil, awak memang tak akan menerima semua inikan?” soalnya lagi masih tidak puas menduga perasaan ku.
Aku mula memandang Ariff yang terlentang sahaja di atas katil itu. Sebuah jawapan yang terbaik cuba digali sedalamnya dari pemikiran ku ini. Aku terus terdiam dalam pada menghela nafas perlahan. Apa pilihan yang aku ada saat ini? Menggembirakan hati lelaki ini sedangkan suatu masa dahulu lelaki ini pernah menganaiya diri ku tanpa belas kasihan? Berpura-pura suka sedangkan hati benci? Begitukah sebaiknya?
Ah! Tidak perlulah aku menyulitkan keadaan ini. Lakukan sahaja apa yang termampu. Jawab sahaja apa yang perlu.. tulah kata hati ku.
“Kewajipan isteri adalah taat pada suami samaada cinta atau tidak, Ariff. Taat tidak memerlukan rasa cinta tetapi keikhlasan dan keredaan. Selagi awak tidak menceraikan saya.. selagi itulah saya tetap akan taat walaupun saya tak cintakan awak. Perkahwinan ni wujud kerana saya percaya jodoh kita telah diaturkan oleh Allah. Allah lebih tahu apa yang terbaik untuk kita semua,” balas ku pasrah.
“Awak memang tak pernah cintakan saya ke, Insyirah? Awak hanya melakukannya kerana anak inikan? Kalau awak tidak hamil mungkin saya tidak akan memiliki tempat dalam hidup awak. Betulkan?” sekali lagi Ariff bertanya soalan yang sama sehingga aku merenungnya dengan rasa hairan. Dia mahu jawapan yang jujur, aku agak.
“Kalau saya berlaku jujur itu akan menyebabkan awak kecil hati dengan saya, saya lebih rela memilih untuk tak menjawab soalan tu. Itu lebih baik. Saya percaya kita berdua perlukan masa untuk menyesuaikan diri. Itu sahaja yang perlu awak tahu buat masa ini,” balas ku sedikit serius. Memang mudah memilih untuk berada dalam perkahwinan ini setelah apa yang telah berlaku. Mudah untuk memerima perkahwinan ini untuk menutup kecelaan masa lalu. Tetapi tidak mudah untuk aku menyayangi dengan setulus hati lelaki yang telah menghina maruah ku. Susah untuk aku mendewakan seorang suami jika tiada rasa di hati untuk meletakkan lelaki itu di tempat yang paling istimewa dalam hati ku. Sukar!
Ariff mengeluh sendiri. “Memang menyedihkan kalau kita mencintai orang yang tak mencintai kita,” ujarnya hambar dalam menahan rasa kecewa. Dengan perlahan dia melepaskan jemari ku dari genggamannya.
Memang pun semenjak tadi hanya dia sahaja yang memegang jemari ku sedangkan aku langsung tidak berminat untuk membalas sentuhannya. Aku bukannya patung yang tidak berperasaan. Aku boleh merelakan diri kepada suami atas dasar tanggungjawab namun aku tidak mampu memaksa hati untuk mencintai lelaki yang pernah menghancurkan hidup ku.
“Lebih menyedihkan kalau kita menganiaya orang yang kita cintai tanpa sedikit pun rasa belas kasihan, kemudian meninggalkannya seperti sampah. Lebih sadis kalau kita memalukan orang yang kita mengaku sayang setekah puas kita mencela kehormatannya. Paling tidak pun.. mungkin sesekali kita perlu juga belajar untuk menyebut perkataan maaf bila kita sudah menyakitkan hati seseorang. Bukannya membiarkan begitu sahaja seolah-olah semua itu tidak pernah berlaku! Tak semua kesalahan boleh dilupuskan begitu sahaja macam sampah di tempat pelupusan!” aku pula mengambil giliran untuk membalas rasa hati yang bengkak bernanah dengan mengungkit semula perbuatan Ariff dahulu. Semoga dia sedar.. perbuatannya yang satu itulah yang telah membuatkan hati ku menjadi keras begini.
Ariff diam sahaja tidak terkutik. Malas mahu menghadapnya lagi, aku terus bangun dari situ lalu kembali semula ke sofa. Untuk apa kami saling duduk berdekatan jika hanya mahu saling menyakitkan? Eloklah.. kami berdua memang pasangan suami isteri yang unik. Ariff begini aku pula begitu.
“Awak marahkan saya kerana peristiwa malam itu ke?” tiba-tiba kedengaran lagi suara Ariff saat aku sudah mula memandang tv di hadapan mata ku.
“Awak rasa?” balas ku sengit. Bebal pula lelaki ini ku rasakan.
“Awak mahu saya minta maaf?” soal Ariff lagi sambil merenung aku dari pembaringannya.
Saat itu aku segera menghela nafas perlahan demi menghimpunkan sedikit kesabaran untuk menangani kebebalan lelaki ini. Sedikit sebanyak kata-kata dan sikap Ariff saat ini sudah membuatkan aku merasa amat terhina. Aku menggeleng seketika sambil memandang ke arah lain.
“Muhammad Ariff, suatu hari nanti awak juga akan melalui saat-saat yang menyakitkan seperti yang saya lalui sebelum ini. Mungkin bila awak dah rasa perasaan tu, barulah awak putuskan samaada awak harus meminta maaf pada saya atau tidak!”
Sekali lagi Ariff terdiam. Namun dia kelihatan sedang memikirkan apa yang dibicarakan oleh ku tadi. Tetapi itu hanya untuk seketika. Agaknya kerana malas mahu melayan bicara ku, dia segera memejamkan matanya.

Keesokan paginya selepas solat subuh, aku menghidangkan Ariff sarapan pagi yang  ku pesan dari bilik. Hanya ada roti kosong dengan jem strawberi dengan kopi hitam yang dihantar oleh pihak hotel kepada kami.
“Ini sahaja?” soal Ariff teramat jengkel sambil merenung makanan di hadapannya itu.
“Awak tak boleh makan telur, ayam dan makanan laut. Jangan lupa luka tu kena jaga dengan baik kalau awak nak benda tu sihat semula. Kalau awak tak jaga makan nanti luka tu akan bernanah. Awak juga yang akan rasa sakitnya,” ucap ku berusaha berlembut untuk mengingatkan lelaki itu tentang keadaannya.
“Saya tak suka ini!” Ariff mula mengomplen dalam bentakannya.
“Makan ajalah, Ariff. Ini cuma untuk sementara sahaja. Bersyukurlah dengan apa yang ada,” keluh ku lekas bosan dengan perangai lelaki itu. Entah berapa lamalah aku mampu bertahan dengan lelaki yang berperangai begini?
“Bawa makanan lain. Saya tak mahu makan benda-benda macam ni! Mereka patut beri saya lebih! Hotel ni keluarga saya yang punya!” bentakkan lelaki semakin kuat. Sengaja mahu menunjukkan sikap keras kepalanya. Masam kelat wajahnya saat memandang makanan itu. Seolah-olah rendah benar taraf makanan itu di matanya.
Sekali lagi aku terpaksa menghela nafas sabar dengan gelagat suami mithali ku itu. Kalau ikutkan hati yang sakit mahu sahaja aku sepak lelaki itu. hai.. sabar, Syira.. itu suami kau! Bisik ku sendiri mengingatkan diri agar tidak melebihi batas. Tetapi sikap Ariff semakin lama semakin memualkan perasaan ku yang dah sedia kala mual ini.
“Saya tahulah hotel ni bapak awak yang punya. Tapi awak tu sakit! Kalau tak jaga makan, saya jugak yang nak kena hadap muka awak nanti. Bukannya hotel ni boleh jaga awak pun,” keluh ku merendah. Janganlah hendaknya dia sakitkan hati aku lagi. Aku dah rasa macam nak meletup dah ni!
“Saya tak suka benda ni semua. Saya nak salad!”
Malas untuk mendengar lelaki itu memekak lagi aku segera memesan ceaser salad dan set lengkap sarapan pagi untuk santapan ‘tuan putera’ yang baru bersunat ini melalui talian. Sempat juga aku berpesan agar kandungan yang tidak boleh diambil oleh Ariff tidak diletakkan ke dalam hidangan itu. Mujurlah sesampai sahaja hidangan itu, Ariff makan juga walaupun keenakannya sudah berkurangan dari ceaser salad yang asal. Begitu juga set sarapan pagi yang tidak diletakkan telur dan daging. Nampak macam lapar benar tuan putera ni..
Tetapi yang membuatkan aku bertambah menyampah dengan Ariff, selepas menikmati salad itu.. roti yang dikatanya dia tak suka sebentar tadi itu juga disebatnya sampai tinggal habuk. Kepala roti pun dia bahan sekali. Mungkin apabila sudah lapar, terlupa pula Ariff yang pemilik hotel seperti dia juga boleh memakan makanan yang ringkas dan murah seperti itu. Sama juga kenyangnya!
“Ariff..” panggil ku setelah Ariff selesai membersihkan dirinya. Sesudah kenyang lelaki itu lebih suka bersantai di atas katil. Aku mula mendekatinya lalu duduk bersebelahan dengan suami ku itu.
“Saya tak suka awak memanggil saya dengan nama itu. Boleh panggil saya Estaban? Bila kamu sebut nama itu, saya terasa awak macam memanggil lelaki lain,” ucap Ariff dengan nada yang cukup menyakitkan hati. Selamba sahaja tanpa mengira apa yang sedang diluahkan oleh lidahnya itu.
“Astaghafirullah-al-adzim.. awak ni bercakap ikut sedap mulut aja, Ariff. Estaban itu bukan nama orang islam. Kita digalakkan untuk mempunyai nama yang baik-baik,” tegur ku dalam rasa terkejut yang amat sangat. Kurang ajar betul mulut lelaki ini! Kena panah petir baru dia tahu!
“Itu hanya sekadar nama saja. Apa salahnya?” balas Ariff bersahaja.
“Memanglah tak berdosa tapi kita digalakkan ada nama yang baik-baik. Sebab nama yang ada maksud baik tu, seumpama kita didoakan oleh orang yang menyeru nama kita. Saya takkan panggil suami saya dengan nama orang bukan islam. Awak orang islam! Apa yang tidak kena dengan nama Ariff? Ariff tu bermaksud bijak. Saya mahu awak juga begitu!” tegas ku serius kepadanya.
Ariff hanya menjungkit bahu kepada kata-kata ku itu. Sedikit pun dia tidak mengambil berat akan apa yang sedang aku perkatakan kepadanya. Aku dapat merasakan yang Ariff hanya mengimpikan keseronokan batin di sebalik perkahwinan ini. Selebihnya dia tidak mahu memelihara kesuciannya.
“Awak tahu kenapa nama awak ada dua. Satu Estaban dan satu lagi Joseph?” soal aku kembali berlembut dengan lelaki itu. Nak bercakap dengan dia ni kena membayangkan yang aku sedang bercakap dengan budak 5 tahun. Tak reti bahasa! Aku memang kena banyak sabar. Kalaulah sabar itu ada dijual di kedai.. aku dah pergi borong dah!
“Tak tahu. Siapa yang pilihkan nama itu?” dia masih dengan reaksi biasa-biasanya itu.
“Nama yusuf itu mama awak yang pilih untuk awak.”
“Ha?” spontan lelaki itu terkejut. Dia mula memandang aku tajam. “Awak jangan nak bergurau dengan saya! Mama saya dah lama meninggal!” bentaknya marah tiba-tiba. Aku memandangnya hairan. Apa dia ingat aku sedang bergurau senda ke?
“Ya.. saya memang dah tahu mama awak meninggal waktu awak berumur 14 tahun. Saya cakap yang benar. Nama itu ada kisahnya sendiri. Mama awak yang pilih nama itu untuk awak. Kalau awak tak percaya awak tanya papa.” Aku masih menjawab tenang.
“Macamana mama saya dalam kubur tu boleh bercakap dengan awak dan papa? Awak ingat saya ni bodoh? Saya tak suka awak mempersendakan mama saya!” bentak Ariff kian lantang.
“Siapa pulak yang kata dia bangun dari dalam kubur untuk bercerita tentang itu? Awak ni nama aja pelajar universiti tapi akal fikiran awak terlalu sempit, Ariff! Perkara semudah ini pun awak masih tak boleh memahaminya! Awak malas nak berfikir! Perkara mudah yang saya sampaikan jadi susah bila masuk kat otak awak tu. Sebab tulah saya ni selalu sakit jiwa dengan awak.  Bila saya cakap saya tak nak, otak awak tafsir lain,” tekan ku mulai geram dengan lelaki itu. Kalau mama dia bangun dari dalam kubur, memang mendiang mama tu takkan dapat bercakap dengan aku sebab waktu itu aku dah pun lari!
Kali ini Ariff terdiam pula apabila dimarahi oleh ku. Riak ketegangan juga memudar sedikit.
“Mama awak pilih nama Joseph untuk awak sempena kisah Nabi Yusuf AS yang pernah didengarinya dari seseorang sewaktu mengandungkan awak dulu. Nama Yusuf adalah untuk orang islam tetapi  di dalam ktab bible Nabi Yusuf ditulis dengan nama Joseph. Nabi Yusuf adalah manusia yang dikatakan sebagai manusia yang teramat cantik paras rupanya. Sehinggakan pernah diceritakan di dalam kitab-kitab lama, beberapa wanita di Mesir pada zaman itu sampai terpotong jari-jari mereka hanya kerana terlalu taksub melihat rupa paras Nabi Yusuf AS. Baginda juga seorang nabi yang memiliki pekerti mulia dan penyabar semenjak kecil. Nabi Yusuf AS pernah dianiaya oleh saudara-saudara kandungnya dan pernah dipenjarakan kerana fitnah isteri tuan yang memiliki Nabi Yusuf , hanya kerana cintanya telah ditolak oleh nabi ALLAH itu. Wanita itu mengatakan nabi Yusuf AS cuba menggodanya padahal dialah yang cuba menggoda Nabi Yusuf agar menzinainya. Kisah Nabi Yusuf AS itu dijadikan contoh oleh mama awak untuk menjadikan awak manusia yang berguna. Tetapi hayat dia tak panjang bersama awak. Dia mahu awak juga mengikut keperibadian seperti itu. Kerana itu nama Joseph diletakkan pada awak.” Aku bercerita lembut kepada lelaki itu.
“Joseph itu nama seorang nabi yang beragama islam?” tanya Ariff seolah baru tersedar semua itu. Riak terkejut jelas dipamerkan di wajahnya saat itu.
“Awak tak pernah tahu semua itu?”
Ariff lantas menggeleng. Bersungguh benar gelengannya menandakan dia sememangnya tidak tahu dan tidak pernah mengambil tahu selama ini. “Papa tidak pernah memberitahu saya apa-apa tentang itu. Kenapa papa beritahu awak?” ucapnya sambil memandang ku.
 “Ada sebabnya. Biarlah saya saja yang tahu apa sebabnya. Tapi sekarang awak dah tahukan? Siapa yang beritahu awak itu tak penting. Yang penting harapan mama pada awak selama ini. Dia mahu awak jadi orang yang baik. Kita takkan mampu menandingi budi pekerti seorang nabi atau rasul. Tapi kita wajib beriman kepadanya.”
“Tapi saya memang orang baik selama ini!” sambut Ariff pantas.
Terkedu aku mendengar kata-kata lelaki itu. Baik? Baik apa kejadahnya kalau sanggup merogol?
“Jadi macamana dengan kita ni selepas ini?” tanya ku malas mahu melayan ragam suami ku itu. Lebih baik aku terus ke pokok persoalan yang mahu dibincangkan segera daripada melayan lelaki ini merapik yang bukan-bukan. Kalau sekali lagi dia mengaku dia baik, memang muntahlah aku kat tepi katil ni..
“Macamana apa?” soal Ariff masih tidak serius. Rambut ku mula diambilnya dan diciumnya lembut. Aku mula kelemasan dengan kelakuan lelaki itu tetapi aku sekadar membiarkan sahaja, walaupun hati membentak tidak suka. Tidak wajar pula rasanya aku menolak kemahuan lelaki itu kalau hanya setakat itu yang mampu dia lakukan kepada ku.
Tetapi apabila dibiarkan.. Ariff mula semakin miang. Pinggang ku mula dipeluknya dan leher ku terus dicumbunya. Aku semakin lemas. Hati yang masih bengkak segera menghasut agar menolak aku sahaja Ariff. Tetapi aku tidak sanggup pula untuk berbuat begitu. Ariff adalah suami ku dan tidak berdosa dia menyentuh isterinya sendiri. Sebaliknya akulah yang berdosa sekiranya menolak kehendak suami yang tidak semana.
“Hmm.. cantik rambut awak. Saya suka. Saya rasa macam bermimpi pula bila melihat awak berbaring di sebelah saya semalam,” bisik Ariff dalam keasyikan.
“Ariff, kita perlu berbincang..” tekan ku semakin kelemasan. Harap-harap lelaki ini akan menghentikan perbuatannya segera.
“Bincang apa?” soal Ariff dalam suara yang teramat jauh.
“Tentang kita selepas ini. Masakan kita hanya di hotel ini selama-lamanya. Awak kena teruskan pengajian nanti. Saya ni macamana?” sambut ku pantas.
“Awak akan ikut saya balik ke Londonlah!” putusnya mudah.
“Tapi..” aku tidak jadi meneruskan kata-kata.
Ariff mula menghentikan sentuhannya apabila mendengar aku masih bertapi dengan keputusannya. Dia memandang ku tajam seperti tidak berpuas hati. “Apa masalahnya?” soal Ariff hairan.
“Saya mahu lahirkan anak kita di sini,” ujar ku sambil memandang tepat ke dalam mata suami ku itu. Tetapi seketika kemudian pandangan segera ku larikan segera. Entah kenapa aku takut dia dapat menyelami isi hati ku yang sebenar,
“Apa masalahnya kalau awak lahirkan anak kita di London?” soal Ariff pula sengaja mahu bertelagah ku.
“Ini anak pertama kita. Saya mahu lahirkannya di sini. Saya berjanji akan ikut awak setelah itu. Tolong izinkan saya. Biarlah saya di sini buat sementara dengan mak saya,” ucap ku selembut yang boleh. Mana tahu Ariff cair dengan kelembutan ku itu. Aku harus bijak mengampu Ariff agar dia bersetuju dengan kemahuan ku yang satu itu.
 Ariff terdiam seketika. Tiada jawapan diberikan saat itu. Pada pengamatan ku.. memang amat penting untuk aku melahirkan anak di sini. Di masa hadapan, hak anak akan terus berada di tangan ku sekiranya apa-apa terjadi antara aku dan Ariff. Aku tidak mahu hak anak ku jatuh ke tangan orang yang tidak tentu agamanya. Aku tahu kelebihan akan berpihak kepada ku nanti kerana pernikahan kami didaftarkan di Kuala Lumpur. Tidak mudah Ariff mahu merebut anak kami nanti jika lelaki itu melepaskan aku dari ikatan ini. Kuasa menentukan hak penjagaan kanak-kanak warganegara Malaysia, terletak kepada mahkamah syariah di Malaysia.
Bukannya aku mahu menafikan hak Ariff sebagai ayah tetapi sudah terang dan nyata suami ku ini memeluk agama islam sekadar menurut permintaan ayahnya. Rasanya tidak salah jika aku melakukan ini untuk menjaga masa depan kami anak beranak nanti. Apa yang penting soal akidah sesuatu yang tidak boleh dibuat main.
“Kalau awak di sini macamana dengan saya? Masakan saya harus bersendirian di London?” Ariff pula yang mula tidak berpuas hati dengan kemahuan ku itu.
“Ini anak pertama kita. Saya bukannya pandai jaga anak. Saya perlukan emak saya untuk mengajar saya tentang itu semua. Cuma untuk sementara sahaja, Ariff. Bolehlah.. saya janji selepas itu saya akan ikut ke mana saja awak pergi,” rayu ku lembut.
“Hmm.. pertama kali saya dengar suara awak manja begini. Baiklah, awak boleh lahirkan anak kita di sini. Tetapi setelah itu jangan lupa untuk kembali semula ke London bersama dengan saya,” ujarnya dengan senang hati.
Bersinar mata ku mendengar jawapan dari lelaki itu. Tidak dapat ditahan bibir ku terus tersenyum kegembiraan. Kini aku sudah mula mengerti. Bukan susah untuk memujuk lelaki ini jika kena dengan caranya. Manja-manja sikit aja!
“Tapi dengan syarat!” belum habis lagi aku meraikan kegembiraan itu, Ariff sudah meletakkan syaratnya.
“Apa syaratnya?”
Ariff mula memuncungkan bibirnya. Aku mengerutkan kening, hairan melihat kelakuan lelaki itu. Tidak faham aku tentang apa maksudnya mulut yang sedang termuncung sebegitu. “Apa tu? Macam muncung itik aja?” getus ku tidak mengerti.
“Cium saya dulu..” pinta Ariff sambil tersengih miang.
“Erk??” Aku terus terkaku dalam kegelabahan. Eeii.. Macam-macam pulak naknya dia ni.. dalam diam hati ku mendongkol menyampah.  “Saya tak pandailah semua benda tu..” balas ku pantas untuk mengelak.
Ariff spontan menarik tubuh ku sehingga aku melekap di badannya. Dia segera mendapatkan apa yang dimahukannya tanpa sempat aku bersedia. Akhirnya sedikit pun tidak aku membalas perlakuannya itu. Aku hanya terdaya mengeraskan diri dengan kelopak mata yang dipejamkan rapat.
Seketika kemudian Ariff melepaskan aku dengan sebuah keluhan hampa. Entah mengapa terhiris benar hati ku mendengar keluhan itu. Namun aku hanya diam sahaja tanpa berkata apa-apa. Kalau dilayan fiil suami ku ini, memang bergaduh besarlah kami nanti. Lebih baik aku mengalah sahaja.
“Saya akan balik dengan papa nanti. Awak tinggallah di sini. Selepas melahirkan anak nanti awak boleh memilih apa yang awak mahu. Samaada mahu bersama saya atau tidak,” ucap Ariff perlahan setelah puas melayan rajuk di hatinya.
Aku segera menoleh kepada Ariff. Dalam kebisuan sendiri aku cuba memahami apa maksud Ariff setepat-tepatnya. Apakah Ariff mahu menolak aku pergi dari hidupnya? Secepat itu pendirian suami ku ini berubah, sedangkan sebentar tadi Ariff yang meminta aku ke London bersamanya. Inilah akibatnya jika tidak memiliki pedoman. Cakap pun selalu lintang pukang. Sekejap begitu sekejap begini. Telinga yang mendengar inilah yang pening dibuatnya.
“Kenapa awak cakap macam tu? Awak tak mahukan saya?” soal ku dengan keberanian yang tidak seberapa.
“Kita memang tak sama. Saya perlukan wanita yang pandai membuat saya gembira. Awak hanya kaku dan dingin semenjak dulu. Awak tak pernah rela kalau dengan saya,” keluh Ariff kehampaan.
Tersirap darah ku mendengar itu. Tersiat pedih hati ku mendengar bicara yang cukup mudah diluahkan tanpa mengira perasaan ku. “Ya! Saya memang tak sama dengan semua perempuan-perempuan yang selalu menghurung awak. Saya bukan seorang perempuan yang pandai beraksi di atas katil dengan awak. Awak jangan samakan saya dengan mereka sebab saya tak boleh ikut cara mereka.” Pahit bunyi jawapan ku.
Ariff mencebik dengan jawapan ku. Wajahnya diselambakan semata-ata untuk menyakitkan hati ku. Angkuh benar! Sebentar tadi dia begitu mesra sekarang dia amat sombong pula. Sakit betul hati aku melihatnya. Kalau dilayan desakan hatinya ini, memang banyak kata-kata yang mahu dihamburkan kepada lelaki itu. Tetapi akal ku menahan.. meminta aku supaya bersabar sahaja.
“Saya juga tak boleh ikut cara awak,” balas Ariff selamba cuba menghidupkan pertengkaran kami berdua.
“Apa maksud awak ni, Ariff?” soal ku dengan mata terbeliak. Cara apa yang dia maksudkan?
“Saya memang tak biasa beragama semenjak dahulu. Jadi awak tak boleh memaksa saya mengikuti semua ajaran agama ini. Saya kahwini awak sebab papa yang mahu saya buat begitu. Begitu juga untuk menganuti agama ini. Papa mahukan cucunya.. saya pula mahukan awak. Awak tahu yang saya memang mengangankan ini semenjak dulu. Inilah peluangnya!” kata-kata itu meluncur kejam dari mulut Ariff tanpa rasa bersalah, sedangkan kata-kata itu amat menyakitkan untuk ku dengar sebegitu sahaja. Seolah-olah sebelum ini akulah yang terhegeh-hegeh meminta Ariff bertanggungjawab kepada bayi yang sedang berada dalam kandungan ku ini.
“Saya boleh dapat sesiapa sahaja yang saya mahu.. Masih ingat apa yang saya katakan dulu? Saya akan buat apa sahaja untuk dapatkan awak,” ucap Ariff bagaikan memulangkan paku buah keras kepada ku. Nadanya terserlah bangga seolah-olah dia telah memenangi pertandingan ini kerana akhirnya aku yang terpaksa tunduk kepadanya sebagai seorang isteri.
“Oh! Begitu ke sikap awak selama ini. Jadi awak kahwini saya sebab nak membuktikan yang awak dah menanglah? Permainan kita baru bermula, Ariff.” Aku mula membalas tajam.
“Apa maksud awak?” dia pula yang bertanya kepada ku.
“Maksud saya, awak belum menang lagi kalau awak rasakan ini adalah satu permainan. Bukan saya yang datang cari awak tapi awak yang datang cari saya. Jangan lupa.. bukan ayah saya yang melamar awak tapi ayah awak yang merayu pada saya. Satu perkara lagi awak jangan sesekali lupakan yang ini tempat saya! Sekarang ini kalau yang perlu memilih, itu awak! Bukannya saya. Kerana untuk diri saya.. jalan yang masih tinggal untuk saya menang, sedang terbentang luas di hadapan mata saya! Tak perlu awak bersusah payah meminta saya berfikir dalam-dalam ke mana harus saya pergi jika awak buang saya dari hidup awak. Saya sedia maklum semenjak dari pertama kali saya kenal awak, saya tahu apa yang awak nakkan sangat dari saya. Dan saya pun tahu, awak sedar apa yang saya mahukan pulak untuk saya. Masih ingat? Saya hanya memerlukan lelaki sejati dalam hidup saya. Kehadiran bayi ini tidak mencacatkan sedikit pun impian saya, kalau awak nak tahu. Jalan kita memang tak sama. Tapi takpe! Saya sedia beri awak masa untuk memilih apa sahaja yang awak mahu, okay?” balas ku dalam keselambaan yang dibuat-buat. Padahal aku hanya menunggu masa sahaja untuk menangis.
Spontan berubah merah wajah Ariff. Dia mahu membalas kata-kata ku itu. Namun aku terlebih dahulu bangun dari situ. “Awak berehatlah. Tak perlu nak bertegang urat dengan saya. Agama islam ni agama yang adil. Pegang kata-kata saya itu sehingga awak terjumpa dengan bukti yang mengatakan apa yang saya katakan ini benar!” ujar ku selamba sebelum terus masuk ke dalam bilik air.
Di dalam ruangan kecil itu aku memandang diri ku melalui cermin. Berkali-kali nafas ku hela untuk menghilangkan sesak di dada. Kata-kata Ariff sebentar tadi terus terngiang-ngiang di telinga ku. Sebegitu rendahkah nilai ku pada mata suami ku itu? Aku sekadar teman untuk dia berseronok. Dan kemudian nanti, setelah puas madu dihirup aku tidak lagi berharga kepada lelaki itu.
Jadi apa ertinya semua ini? Ke mana perginya perkahwinan ini akhirnya? Baru sehari dua aku bersamanya, hati ku sudah dijeruk semasam-masamnya oleh lelaki itu. Mampukah aku bertahan nanti? Aku menggeleng buntu. Aku tidak tahu!



















Bab 10

Anak burung terbang di awan,
Emak burung terbang di kayangan,
Hati yang marah harus dilawan,
Kerja syaitan untuk menyesatkan.
Petang selepas asar  itu aku cuba berbual lagi dengan Ariff setelah kedinginan melanda kami untuk beberapa ini. Tidak tahan dengan keadaan itu aku nekad mengalah sahaja kepada suaminya itu. Aku sudah tidak sanggup lagi meneruskan kekeruhan, sedangkan kami baru beberapa hari berkahwin. Tidak syoklah kami terus bermasam muka. Bukankah seharusnya saat ini kami meraikan bulan madu? Nama aja dalam suit bulan madu. Kami berdua asyik dengan muka mencuka antara satu sama lain.
Walaupun tak berapa nak ikhlas.. aku layan jugaklah angin manja-manja dia. Nak meriba segala. Biarlah.. Ariff pun memang dah lama takde ibu. Jadi aku ni selain jadi bini dia, jadi mak dia jugaklah!
“Apa yang awak fahami dengan erti perkahwinan sebenarnya, Ariff?” soal ku perlahan. Mood Ariff yang agak baik berbanding sebelum ini. Mudahlah aku untuk berbual dengan lelaki itu.
“Perkahwinan hanya mengikat seorang lelaki dan wanita di dalam ikatan suami isteri. Ada anak dan menjadi tua dengan kerenah masing-masing,” jawab Ariff sedikit pun tidak serius. Dia ters bermain dengan jemari ku tanpa  mahu memberi perhatian kepada sesungguhnya.
“Lagi? Takkan itu sahaja yang awak tahu?” aku terus memancing minat Ariff lagi supaya lebih banyak bercakap dengan ku.
“Itu sahaja..” Ariff tetap menjawab acuh tidak acuh.
Aku menghela nafas perlahan mendengar persepsi Ariff yang terlalu serong mengenai erti sebuah perkahwinan. Sudahlah pengetahuannya teramat sikit malahan apa yang dipegangnya itu ternyata salah. Kasihan jika suami ku ini terus berada dalam keadaan naif begini. “Itu sahaja persepsi perkahwinan dalam agama kristian atau awak yang tak tahu sebenarnya?” soal ku lagi.
“Saya tak tahu untuk apa perlu wujudnya perkahwinan. Kita masih boleh berseronok tanpa berkahwin. Lebih mudah kalau hubungan itu tidak melibatkan perasaan dan ikatan seperti ini. Apabila kita bosan dengan seseorang kita bebas memilih apa yang lebih baik untuk kita. Tetapi dengan perkahwinan segalanya sukar kerana kita perlu bercerai dahulu sebelum membuat pilihan yang lain. Memang rumit dan membuang masa!” ujar Ariff tanpa sebarang rasa bersalah mengucapkan kata-kata itu.
Oh! Sekarang aku sudah mengerti. Mungkin aku akan diceraikan oleh lelaki ini apabila dia sudah bosan. Agaknya dia fikir aku juga sama macam dia.. bila-bila terasa nak cuba lelaki lain, pergi macam tu aja! “Jadi selepas ini bila awak dah bosan dengan saya awak akan ceraikan sayalah, ya?” soal aku agak mendatar. Lelaki itu aku kerling melalui ekor mata.
“Bukan begitu maksud saya. Saya tak maksudkan awak, sayang. Awak dah jadi isteri saya. Takkan saya nak ceraikan awak..” ucap Ariff lembut sambil menyeringai.
“Yalah tu..” sambut ku malas mahu mendengar lagi.
“Sebelum ini saya memang selalu tertanya perlunya berkahwin? Tanpa perkahwinan pun kita masih boleh memiliki anak dan keluarga. Semua orang di barat ada anak tapi tak semestinya mereka berkahwin.” Ariff sekali lagi menjelaskan pendiriannya tentang hal itu.
“Memang betul tapi pendirian seperti itu tidak diamalkan oleh agama kita, Ariff. Anak yang datang dari hasil perhubungan yang tidak sah, hilang banyak keistimewaan seperti yang berhak didapati oleh anak yang lahir dalam perkahwinan. Perkahwinan ini Allah tekankan di kalangan manusia untuk menjaga hak dan keturunan manusia supaya tidak bercampur aduk. Juga supaya dapat dibezakan hubungan di dalam sesebuah keturunan. Anak luar nikah tidak berhak mendapat nafkah dan pewarisan harta daripada ayahnya biarpun ayah kandungnya sendiri. Anak perempuan pula tidak boleh diwalikan pernikahannya oleh si ayah tadi. Dan kewajipan untuk menyara keperluan anak luar nikah telah dijatuhkan ke atas ibu sepenuhnya. Ayah sudah tidak berhak lagi kepada anak itu. Berbeza dengan anak yang lahir di dalam sesebuah hubungan yang dihalalkan Allah. Ayahnya bertanggungjawab menjaga kebajikan anak itu sehinggalah mereka dewasa nanti dan ayah berhak mendapat ketaatan anak itu sepenuhnya. Apabila anak itu dewasa anak itu juga ada kewajipan untuk menjaga kebajikan ayahnya itu. Kerana itu perkahwinan dianggap amat penting bagi kita semua. Sebab hidup kita tidak akan selamanya begini. Hidup atas dunia ini ada kitarannya. Hari ini kita muda, sampai satu masa kita pula yang akan tua. Kita semua memerlukan antara satu sama lain. Orang itu sudah tentulah anak-anak yang sah dilahirkan dari perhubungan yang sah.
Di dalam agama islam berzina itu ditakrifkan sebagai persetubuhan antara lelaki dan perempuan yang bukan pasangan suami dan isteri yang sah. Hukumnya berdosa besar, Ariff. Firman Allah ada menyatakan.. perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah disebat tiap-tiap seorang dari kedua mereka dengan seratus kali sebat, dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum Allah jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat. Dan hendaklah disaksikan hukum siksa yang dikena kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman. Firman Allah tentang hukuman zina terdapat dalam Surah An-Nur ayat 2. Hukuman yang disebut dalam surat an-Nur ayat 2 ini adalah secara umum, tetapi dalam hadis-hadis Rasulullah SAW dijelaskan satu persatu hukumannya, iaitu jika lelaki atau perempuan yang berzina itu pernah menikmati persetubuhan yang halal iaitu dengan isteri-isterinya, maka hukuman bagi tiap-tiap seorang di antaranya ialah direjam. Sebaliknya jika mereka belum pernah merasa kenikmatan persetubuhan, maka hukumannya ialah disebat seratus kali sebat dan dibuang negeri.
Kerana itu seluruh umat islam dilarang mendekati zina kerana ianya amat terkutuk dan amat keji di sisi Allah. Pergaulan bebas antara lelaki dan wanita amat dilarang kerana akan memberikan natijah yang buruk seperti anak yang tidak diketahui nasabnya dan juga penyakit kelamin. Bagi lelaki mahu pun perempuan amat penting bagi semua manusia menjaga ‘kemaluannya’ kerana Allah sudah menjanjikan hukuman yang berat bagi siapa yang ingkar. Allah telah berfirman yang bermaksud sesiapa yang menjaga kemaluannya melainkan kepada isterinya maka mereka tidak akan tercela. Tetapi barang siapa yang telah melakukan dosa besar itu maka dia adalah orang yang telah melanggar batasan. Memang amat sukar untuk mengawal syahwat tetapi dalam islam setiap kita dituntut agar menjaga mata kerana ada disebut di dalam hadis Rasullullah SAW yang berbunyi, mata akan memulakan segalanya. Mata akan melihat dan nafsu berahi akan bergejolak dan kemaluan pula akan membenarkan. Ketika nafsu sudah menguasai diri tidak ramai orang yang mampu berfikir di mana halal haramnya lagi. Allah menetapkan hukuman pagi penzina akan diperlipatgandakan siksanya pada Hari Kiamat dan penzina akan menetap di sana dalan keadaan yang sungguh hina kecualilah dia telah bertaubat kepada Allah atas dosanya itu.” Aku menjelaskan dengan hati-hati agar suami ku ini mengerti tentang apa yang sedang aku bicarakan. Terkedip-kedip mata Ariff memandang diri ku.
Melihat Ariff diam aku menyambung lagi. “Seorang wanita wajib menjaga maruah dirinya daripada pandangan lelaki-lelaki yang bukan muhrimnya. Tubuh badan wanita adalah larangan pada mata lelaki asing kecuali kepada suaminya dan muhrimnya seperti ayah dan adik beradiknya yang lelaki. Kerana itu Allah wujudkan perkahwinan dalam islam. Ikatan perkahwinan adalah perhubungan yang amat suci dan ada ganjaran yang besar bagi lelaki dan perempuan yang menjaga kesucian hubungan ini. Kita berdua wajib menjaga kesucian hubungan ini. Di dalam perkahwinan wujud kasih sayang yang terjalin antara lelaki dan wanita yang menghalalkan hubungan seks antara suami dan isteri. Memang bagi sesetengah orang menganggap perkahwinan ini amat melecehkan kerana banyak tanggungjawab yang harus dipikul sebagai suami dan isteri tetapi Allah sudah meletakkan ganjaran yang tertentu bagi yang ikhlas menjalaninya. Walaupun perbuatan itu sekecil-kecil perbuatan tetapi jika ianya mendatangkan kebaikan untuk pasangannya Allah tetap akan membalasnya.”
“Hanya itu sebabnya mengapa manusia disuruh berkahwin? Untuk apa bersusah payah memikul tanggungjawab tu sedangkan kita masih boleh memilih untuk bebas dari tanggungjawab tu?” bidas Ariff tetap enggan menerima penjelasan itu.
“Ariff, semua orang tahu.. lelaki dilahirkan dengan hanya satu nafsu iaitu nafsu kepada perempuan. Sedangkan perempuan nafsunya berbilang-bilang dan tidak hanya tertumpu kepada yang satu itu. Kerana itu Allah menyuruh kita berkahwin. Malahan lelaki islam dibenarkan beristeri lebih dari seorang dan tidak lebih dari empat orang isteri jika dia berkemampuan dari segi batin dan zahirnya. Berzina ni antara dosa-dosa yang paling dasyat, Ariff.”
“Apa kelebihannya dengan perkahwinan? Sama sahaja! Awak sendiri kata dalam perkahwinan banyak tanggungjawab yang menyusahkan!” desis lelaki itu enggan menerima kata-kata ku.
“Banyak kelebihannya, Ariff. Dalam hidup ini bukan hanya keseronokan sementara yang perlu kita kejar. Apa yang paling penting ialah kehidupan yang kekal abadi nanti. Perkahwinan adalah medan untuk mengumpul pahala. Memberi makan pakai kepada anak isteri itu adalah salah satu dari ibadah dan Allah memandang tinggi seorang yang ikhlas dan sabar dalam dia melunaskan tanggungjawabnya. Mendidik anak-anak dan isteri juga salah satu dari ibadah dan amat besar ganjarannya bagi lelaki yang istiqamah melakukannya. Allah menjadikan wanita dari satu tulang rusuk lelaki. Setiap wanita memerlukan seorang lelaki untuk melindungi dan menyayanginya kerana wanita adalah hamba Allah yang lemah. Wanita bukan tempat untuk lelaki melepaskan kemahuannya atau kemarahannya kerana setiap manusia dilahirkan dengan satu hati. Dalam islam setiap suami dituntut supaya berlaku adil kepada isteri dan wajib bagi setiap suami menjaga kebajikan isteri-isterinya. Banyak tanggungjawab sebagai suami jika saya nak ceritakan.”
“Kalau suami diminta berlaku adil kepada isteri dengan semua tanggungjawab itu, apa pula tanggungjawab isteri pada suami?” tanya Ariff lagi.
“Allah Maha Adil, Ariff. Dalam hidup ini, kita memberi dan kita menerima. Allah tidak hanya memberatkan sebelah pihak sahaja dengan tanggungjawab di dalam perkahwinan. Besar hak suami di atas bahu seorang isteri dan bagi isteri yang menunaikan hak suami amat besar pahala yang Allah berikan bagi isteri tersebut. Manakala bagi isteri yang ingkar akan mendapat dosa besar. Nabi Muhammad SAW pernah berkata, sekiranya mampu aku akan menyuruh seorang isteri itu untuk menyembah seseorang yang lain maka aku akan menyuruhnya menyembah suaminya’. Tetapi Allah sudah menetapkan kita hanya boleh menyembah Allah. Jadi suami itu hanya boleh ditaati tetapi tidak boleh disembah. Tinggi kedudukan seorang suami itu kerana dia adalah tunggak sesebuah keluarga dan dia adalah pemikul amanah untuk menjaga seluruh kehidupan isteri dan anak-anaknya selain daripada memberikannya makan pakai dan rumah untuk berteduh. Selain itu.. mendidik isteri dan anak-anak supaya menjadi orang yang baik juga adalah tanggungjawab suami. Sebabnya hak suami amat besar di atas pundak isteri adalah kerana fitrah lelaki dan wanita tidak sama. Sabda Nabi SAW yang lain ada mengatakan, sekiranya seorang perempuan itu sembahyang lima waktu, berpuasa sebulan dibulan ramadhan, memelihara kehormatannya daripada lelaki ajnabi dan mentaati suaminya akan dikatakan kepadanya diakhirat nanti.. Masuklah engkau ke dalam syurga melalui mana-mana pintu yang engkau mahu. Sabda nabi SAW yang lain juga ada mengatakan, Allah tidak akan memandang seorang isteri itu dengan pandangan rahmat jika dia tidak mensyukuri suaminya sedangkan suaminya tidak pernah menghampakannya. Dan jika seorang suami itu mengajak isterinya ke tempat tidur tetapi si isteri menolak untuk memenuhi kehendak suami dan membiarkan suaminya tidur dalan keadaan yang marah para Malaikat akan menyumpahnya sehinggalah ke pagi,” cerita ku lembut.
Ariff terus memandang ku dengan mata terkelip-kelip. Entahkan masuk ke benaknya apa yang ku katakan tadi entahkan tidak. Tetapi aku dapat lihat dia Ariff mendengar dengan bersungguh apa yang aku katakan sebentar tadi.
“Perkahwinan akan mencegah umat manusia daripada berbuat dosa terutama sekali dosa zina. Kerana Allah mahu kita mendekati yang halal dan menjauhi yang haram. Fitrah manusia sentiasa mahukan kasih sayang juga bertepatan dengan objektif perkahwinan itu sendiri. Itulah sebabnya Allah wujudnya perkahwinan ni, Ariff. Kerana itu jugalah Allah menetapkan hak suami amat besar dan isteri wajib memenuhinya kerana jika dia sengaja tidak memenuhinya itu boleh menyebabkan lelaki akan pergi mendapatkan kepuasan batinnya di tempat yang haram. Dalam islam setiap isteri itu diminta berusaha bersungguh-sungguh untuk memenuhi kehendak suami agar beroleh keredaan Allah.” Aku terus berbicara lembut sebelum menutup bicara mengenai yang berkaitan dengan hal itu.
“Awak pernah lihat Tuhan?” soal Ariff sambil menatap mata ku.
“Tiada siapa yang pernah melihat bagaimana rupa Allah. Tetapi Dia wujud berdasarkan sifat Allah yang pertama ialah wujud.”
“Apa buktinya Allah wujud kalau awak benar?” soal Ariff mahu berdebat pula dengan aku tentang itu.
 Perlahan aku mengambil tangan suami ku itu lalu ku letakkan di atas perut ku. Aku mahu Ariff merasai apa yang sedang wujud di dalam itu, kerana itulah tanda pemberian Allah yang paling dekat dengan kami berdua. “Anak yang sedang hidup di dalam rahim saya ini adalah salah satu bukti kewujudan Allah, Ariff. Semua benda di dalam dunia ini ada penciptanya. Allah yang menjadikan semua manusia, saya.. awak dan juga anak ini. Awak hidup dengan udara yang segar siapa yang mencipta udara yang segar itu? Malah udara yang segar ini sentiasa ada untuk awak, tidak pernah habis biar di mana awak berada. Seperti mana sebuah kereta tidak akan terjadi sebuah kereta jika tidak manusia yang menciptanya. Macam tulah juga dengan kita semua. Hanya Allah sahaja yang tidak dicipta oleh sesiapa. ALLAH terjadi dengan sendirinya dan berdiri dengan sendirinya. Seperti yang dikatakan dalam Surah Al-Ikhlas ayat 3 hingga 4, Allah tidak beranak dan tidak diperanakkan. Tiada sesiapa pun yang mampu menyerupai-Nya. Begitulah sifat Allah untuk awak kenali,” balas ku cuba untuk meyakin lelaki itu.
Ariff diam lagi. Nampak seperti dia sedang memikirkan apa yang aku katakan tadi atau mungkin dia sednag mencari idea untuk mematahkan hujah ku.
“Untuk apa kita kena menyembah Allah kalau kita tak nampak Dia? Allah tak boleh dilihat. Kalau Tuhan mahu kita mengagungkan-Nya, Tuhan kena menjelmakan diri. Jika tidak, kita hanya seperti orang bodoh menyembah sesuatu yang kita tidak dapat lihat dengan mata.” Ariff lantas bersuara setelah beroleh idea untuk mencabar apa yang diperkatakan oleh ku.
Aku tersenyum seketika sebelum menjawab. “Allah maha besar, maha tinggi kedudukannya, Ariff. Awak lihat bintang di langit. Apabila malam awak nampak kerdipannya kecil sahaja tetapi kelihatan tidak begitu tinggi di atas sana. Tetapi apabila ahli astronomi pergi mengkaji bintang itu rupanya bintang itu amat besar dan jaraknya dari kita berjuta-juta kilometer. Berjuta-juta kilometer itu kalau kita berkereta sekali pun mungkin sampai kita sudah bercucu-cicit nanti kita takkan sampai sejauh itu. Tetapi itu bintang yang saiznya masih boleh diukur dan jaraknya masih boleh disukat dengan jentera ciptaan manusia. Tetapi Allah lebih dari itu! Allah maha besar. Terlalu besar sehingga tiada siapa yang mampu membayangkan betapa besarnya Allah. Kalau kita merasakan bintang itu cukup besar, Allah jauh lebih besar dari itu. Awak tanya saya mengapa Allah tidak kelihatan tetapi saya katakan Allah itu ada. Saya contohkan pada awak tentang bumi ini supaya mudah untuk awak faham. Bumi ini antara planet yang terkecil di dunia. Tetapi biarpun kecil terlalu banyak negeri-negeri dan benua-benua di atasnya. Jika saya minta awak nampakkan kepada saya bandar London tanpa menggunakan apa-apa alatan daripada tempat awak duduk sekarang, boleh awak buat?”
“Dah tentulah tak boleh! Mana saya tahu arahnya ke mana. London tu jauh dari sini.” Ariff menyambut pantas.
“Kerana apa tak boleh?” soal ku kembali.
“Apa awak cuba cakap ni?” tekan sang lelaki mula lemas. Mungkin malas mahu berfikir teka teki yang sedang diberikan oleh ku.
“Jawab dulu soalan saya kenapa tak boleh awak tunjukkan saya dimana letaknya London dari sini? Apa sebabnya?” pinta ku bersungguh.
“Yalah, sebab bumi ni luas. Dah tentulah London tak kelihatan lagi dari sini kerana jaraknya amat jauh.” Ariff menjawab juga biarpun acuh tidak acuh sahaja.
“Tetapi dari sini awak tahu London memang wujud dalam peta duniakan? Cuma kita sahaja yang tidak nampak, betulkan?” uji ku lagi sambil tersenyum.
“Yalah!”
“Kenapa bila saya kata yang London tu memang wujud di atas dunia ini sedangkan kita tidak mampu nampak dari sini, awak percaya? Tapi bila saya kata yang Allah tu maha besar dan maha tinggi kedudukannya, awak pertikaikan? Sebab awak pernah berada di London, maka awak percaya yang London tu ada dan masih wujud sehingga sekarang. Tapi awak tak tahu yang kita manusia sentiasa berurusan dengan Allah setiap hari walaupun kita tak nampak Dia. Suatu masa dulu sebelum ditiupkan roh ke dalam jasad kita, kita pernah berjanji kepada Allah untuk taat pada Allah. Tapi hari ini awak pertikaikan kewujudan Tuhan, ” ucap ku serius.
Ariff terus terdiam menyedari perangkap yang aku bina sudah dimasukinya dengan mudah. Dia terkumpal-kumpal tidak mampu mematahkan kata-kata ku.
“Kita ni hamba Allah yang berkeupayaan terbatas, Ariff. Jika bumi yang tak sebegitu luas ni saja pun kita tak mampu melihat ke semuanya, bagaimana kita nak lihat Allah yang maha besar dengan keupayaan mata kita yang amat terbatas ni? Allah maha besar kerana itu kita tidak mampu melihatnya kerana Allah sudah mencipta dua bola mata kita ini dengan keupayaan yang sedikit. Jangan awak pertikaikan pulak kenapa Allah mencipta mata kita macam ni. Sebab itu semua rahsia Allah,” balas ku pantas. Bicara ku itu sudah cukup membuatkan Ariff terdiam tidak mampu membidas lagi. Riak tegang di wajah Ariff mula mengendur seperti sudah kalah.
“Allah tak perlu menjelmakan diri-Nya untuk membuktikan yang Dia amat berkuasa dan wujud. Kalau kita mempunyai mata pada hati sudah tentu kita akan melihat bukti kekuasaan Allah setiap hari. Lumrah manusia memang hanya mahu sesuatu yang mudah sepanjang hidupnya. Jika kita dengan mudah melihat Tuhan, manusia tidak akan mampu menyelami apa erti hidup di atas dunia ini. Allah lebih tahu apa yang ada di atas dunia ini, Ariff. Kita tidak boleh mempertikaikan segala sifat-sifat Allah. Awak kaya raya kalau bukan dengan izin-Nya, awak tidak akan kaya seperti sekarang. Bukankah itu sahaja sudah menunjukkan Dia memang wujud selama ini?” kata ku lagi.
“Saya kaya kerana papa memang otak bussiness. Orang lain tidak kaya mungkin kerana mereka malas,” bidas Ariff selamba dalam nada yang berbaur keangkuhan.
“Siapa yang mahu hidup miskin di atas dunia ni, Ariff?”
“Tentulah semua orang mahu kaya,” jawab lelaki itu pantas.
“Tapi mengapa bukan semua orang di atas dunia ni kaya? Manusia sentiasa berkejar-kejaran di atas dunia ini untuk mencari kesenangan hidup tetapi mengapa tidak semuanya yang dapat begitu? Kalau awak anggap semua ini tidak bergantung sedikit pun kepada Allah, cakap dengan saya mengapa ada manusia yang sudah berusaha untuk jadi kaya tetapi masih ada yang gagal dalam hidupnya,” duga ku mudah.
“Manalah saya tahu..” Ariff kembali semula kepada habitnya, malas berfikir!
“Sebab semuanya yang kita mahukan kita usahakan tetapi hanya dengan izin Allah semua itu akan kita dapati. Allah maha memakbulkan. Kita manusia hanya perancang tetapi yang memakbulkan masih juga Allah. Kuasa kita sebagai manusia tidak sebesar mana, Ariff. Tanda Allah itu wujud yang paling mudah untuk awak faham ialah tentang mati. Mengapa kita harus mati suatu hari nanti? Kalau Allah tidak wujud ke mana perginya kehidupan kita selepas mati? Kenapa kita tak mampu hidup selama-lamanya atas dunia ini? Kenapa kita akan tua suatu hari nanti? Kenapa ada masanya kita akan jatuh sakit? Kenapa ada manusia yang boleh menjadi saintis dan ada yang tidak? Kalau Allah tidak ada dengan kita selama ini, kenapa hidup ini tidak mampu berlalu seperti yang kita mahukan selama-lamanya? Mengapa?”
Sekali lagi suami ku itu terkedu tidak mampu menjawab. Banyak sangat agaknya soalan aku tadi? Tak lekat kat otak dia!
 “Tuhan tu wujud, Ariff. Awak wajib percaya yang kita akan menempuhi kiamat kecil iaitu kematian. Kematian ialah gerbang utama untuk kita bertemu Allah suatu hari nanti. Di akhirat nanti kita akan pergi bertemu Allah bersama setiap amalan kita di atas dunia ini,” ujar ku sambil memandang mata suami ku itu dalam-dalam.
Ariff diam mendengar itu. Masih cuba memikirkan kelogikan apa yang aku katakan. Aku tahu Ariff masih mahukan hujah yang tepat bagi membenarkan apa yang ku katakan sebentar tadi. Tapi nak dalil yang sahih.. contoh yang mudah sahaja aku bagi dia dah lintang pukang tak boleh fikir.
“Sesungguhnya orang yang beriman itu akan mencintai Allah dan para Rasul terlebuh dahulu, kemudian barulah yang lain. Kerana segala nikmat yang didatangkan kepada kita di atas dunia ini datangnya dari Allah. Allah juga boleh mengambil semua kenikmatan itu bila-bila masa yang Dia suka. Awak jangan lupa tentang itu!” tegas ku.
“Jadi kamu akan mencintai Tuhan melebihi dari saya?” soal Ariff dalam pada dia merenung bola mata ku.
“Awak juga harus mencintai Tuhan melebihi dari saya, Ariff. Kerana saya cuma isteri awak. Kemampuan saya terhad! Saya tak mampu memberi kebahagiaan kepada awak melebihi daripada apa yang Allah mampu beri. Sungguh merbahaya bagi orang yang memiliki perasaan was-was kepada keesaan Allah. Nilailah semula perasaan itu. Kerana Allah hanya mahu kita taat pada Dia. Bukannya Allah meminta wang ringgit kita. Redalah kepada Allah, Ariff. Kerana Allah sedang dan sentiasa melihat kita,” ujar ku lembut namun bersungguh, cuba menyedarkan lelaki ini. Aku tidak rela dia terus memegang pendiriannya yang dahulu.
“Allah terlalu sayangkan kita selama ini, Ariff. Hanya kita aja yang selalu lupa pada dia.”
“Kata-kata awak semua tu terlalu mendalam, Insyirah. Awak memang taat beragama. Semua perkara awak tahu,” komen Ariff agak rendah.
“Saya bukan orang yang terlalu arif tentang hal agama ini, Ariff. Saya sendiri masih banyak kekurangan dan perlu terus belajar. Taat kepada Allah amat dituntut kepada semua orang, Ariff. Perlahan-lahanlah.. Awak boleh mendalami agama islam sekiranya awak mahu. Ada ramai orang yang boleh membantu awak jika awak mahu. Di masjid juga selalu ada kuliah agama. Jika awak selalu ke masjid, banyak yang awak akan dapat tahu. Kalau awak akur dengan ini semua awak akan mendapat ketenangan yang abadi. Awak akan merasa lebih bahagia daripada sebelum ini. Kalau kita kenal Allah dengan baik, kita akan cintakan Dia melebihi dari segala-galanya, Ariff. Percayalah cakap saya ni,” ujar ku cuba memancing minat suami ku itu.
Ariff hanya diam sahaja tanpa berkata apa-apa. Berminat tidak, tidak berminat juga tidak. Reaksinya begitu-begitu sahaja.
“Takpelah. Suatu hari nanti saya berdoa awak akan berada jalan yang sama seperti yang orang islam yang lain. Waktu itu awak akan berjalan dengan hati yang reda dan bahagia, Ariff. Walaupun mungkin waktu itu Allah menentukan saya tidak lagi bersama awak, awak akan tetap menjalani hidup ini dengan sabar. Saya percaya Allah akan menemukan awak dengan waktu itu suatu hari nanti,” ujar ku dengan harapan yang amat tulus.
Ariff mengamati segala perbuatan ku dengan penuh keasyikan sehinggalah aku menoleh kepadanya. Aku cuba menghadiahkan senyuman kepada dia apabila melihat pandangan mata Ariff yang tidak berkelip pada diri ku. Mungkin Ariff tidak tahu apa yang aku lakukan tadi. Namun senang hati ku melihat gelagatnya.
“Awak nak cuba bersolat, Ariff?” soal ku apabila melihat pandangan mata Ariff masih ralik memandang kepada ku.
“Untuk apa bersolat?” soal Ariff kembali. Pertanyaan itu tidak kedengaran seperti dia sedang mempertikaikan kewajipan bersolat. Sebaliknya ada rasa mahu tahu mengapa semua orang mesti bersolat.
“Awak masih ingat kata-kata imam yang menikahkan kita dulu? Solat lima waktu ni wajib bagi kita. Solat yang ditinggalkan mesti diganti semula. Awak juga wajib bersolat tetapi saya saya faham.. sekarang ni awak tak pandai bersolat. Nanti saya akan ajarkan awak caranya. Saya nak awak tinggal lebih lama di sini, sementara awak masih bercuti dari pengajian.” Aku memandang suami ku itu sambil marhana ku tanggalkan dari tubuh ku.
Namun mata Ariff masih terus melekap memandang perbuatan ku. Aku segera menyidai sejadah dan telekung bersebelahan dengan kloset. Setelah itu aku terus mendekati Ariff lantas duduk bersebelahan dengan lelaki itu di sofa. Mata Ariff masih memandang ku bagaikan ada yang benar-benar menarik pada wajah ku ini.
“Kenapa awak pandang saya macam tu?” soal ku hairan dengan sikapnya.
“Awak nampak cantik sangat dengan pakaian tadi tu,” luah Ariff perlahan. Aku lantas mengukirkan sedikit senyuman tanda senang dengan pujian lelaki itu.
“Awak masih tak beritahu saya kenapa kita kena lakukan solat lima kali setiap hari,” Ariff berkata lagi. Kelembutan nadanya saat ini menunjukkan ada sedikit kemahuannya untuk belajar tentang sesuatu dalam hidupnya. Aku senang sekali melihat sedikit minatnya itu. Alhamdulillah.. sikit-sikit lama-lama jadi bukit.
“Solat fardhu lima waktu sehari semalam, diwajibkan kepada semua umat islam yang mencapai baligh. Orang yang cukup umur atau baligh, suci dari hadas besar dan tidak gila memang wajib bersolat. Solat adalah salah satu dari cara kita mendekatkan diri kepada Allah. Dengan menyembah Allah kita akan ingat pada Allah. Bacaan dalam solat itu sendiri sudah bersifat memuji dan menyebut nama Allah. Tanpa solat lima waktu, kita akan lekas lupakan Allah. Kerana itu kita amat dituntut agar meninggalkan perkerjaan lain kerana yang paling penting dalam hidup kita adalah ingat kepada Allah. Solat juga mengejar kita erti kehambaan kepada pemilik kita, Ariff. Kita kena sedar yang kita ini hamba Allah, bukan hamba wang atau hamba nafsu. Sifat kehambaan itu sangat penting dalam hidup kita sehari-hari kerana sifat itulah yang mengajar kita merendahkan hati kepada orang di sekeliling kita. Solat akan membuatkan hati kita tenang dan aman. Selain dari itu dengan bersolatlah kita mempunyai peluang untuk menyampaikan doa kita kepada Allah. Lima kali sehari kita melakukan solat bermakna tujuh belas kali kita membaca surah Al-Fatihah. Bermakna kita ada meminta kepada Allah agar mempertemukan kita dengan jalan yang benar kerana ayat ke-6 bermaksud, Ya Allah tunjukkanlah kami jalan yang lurus.
Jadi.. tujuh belas kali itu awak darabkan dengan berapa kali solat fardhu yang awak kerjakan dalam masa sebulan, darabkan pula dengan setahun, kemudian darabkan lagi dengan sebanyak mana solat yang dah awak lakukan sepanjang hidup ini. Dengan jumlah doa sebanyak itu awak rasa Allah akan makbulkan atau tidak doa awak tu? Tak susah kalau kita selalu mengamalkannya,” jelas ku menurut pengertian ku tentang solat.
“Lima kali tidak susah?” soal Ariff kabur.
“Lima kali saja awak tidak sanggup? Awak menikmati kehidupan disetiap minit hidup awak, takkan lima kali sehari Allah minta awak menghadap Dia, awak tak sanggup? Awak tak malu menikmati segala pemberian Allah begitu sahaja sedangkan semua itu Allah yang punya? ALLAH dah berikan awak kehidupan yang baik, awak kaya raya, awak ada segala yang awak perlukan dalam hidup ni.. takkan awak tak mahu bersyukur?” pujuk ku lembut sahaja.
“Susah. Saya tak tahu bersolat.” Ariff menjawab mudah. Semacam beralasan untuk tidak mahu mengamalkannya.
“Kalau awak tak tahu saya boleh ajarkan. Allah kasihankan kita.. hanya 13 rukun sahaja yang wajib bagi kita. Sedangkan yang lain tu semuanya sunat. Kita nak buat.. kita boleh buat. Kalau tidak mahu pun tak berdosa. Tapi tinggalkan solat ni berdosa, Ariff. Ketika di depan Allah nanti, solat dulu yang Allah akan kira daripada amalan kita.”
Ariff terus berdiam tidak terkutik. Matanya merenung ke hadapan seolah-olah sedang memikirkan sesuatu.
“Hidup awak akan lebih baik dengan bersolat, Ariff. Kalau awak dapat keredaan Allah, yang lain juga akan Allah berikan,” luah ku lagi cuba memujuk suaminya itu.
“Nantilah. Saya belum bersedia sekarang.” Ariff menjawab hambar.

“Jangan lupa mati itu tak menunggu sehingga kita bersedia..” tanpa mahu memaksa lelaki itu aku sempat mengingatkan Ariff akan hakikat itu sebelum bangun dari situ. Ariff sempat memandang ku sehingga aku menghilangkan diri ke dalam bilik air.