BAB 7
UNTUK sementara waktu dia dipaksa sang ayah bercuti sehingga
kesihatannya benar-benar pulih. Ariff juga bercuti. Selain menguruska masalah Jannah,
lelaki itu turut berulang alik menjenguk Rayland.
Hari itu sepanjang hari, Jannah hanya
termenung di kamar. Puas juga Insyirah berulang alik memujuk Jannah agar turun
ke bawah. Namun dia hanya mampu keluar dari kamarnya sekejap sahaja. Sukar
benar untuk berasa gembira apabila berada di celahan orang biarpun keluarga
sendiri. mendengar keriuhan, jiwa lekas memberontak, resah, mahu marah. Jadi dia
lebih senang berada di dalam kamarnya.
Petang itu sekali lagi Insyirah mengajak
anaknya turun. Ariff pulang membawa tetamu. Mahu tidak mahu Jannah keluar juga.
Dari atas tangga dia terpandangkan seseorang sedang berada di meja makan
bersama anak saudaranya, Firdaus.
Dia ni rupanya.. bisik hati Jannah
sendiri. Terus sahaja dia ke ruang tamu. Duduk di sofa dan mengambil alat
kawalan jauh televisyen.
Terpandangkan gadis itu sudah turun,
Rayland mula memerhati penuh minat. Hatinya bagai tidak tertahan mahu mendekati
Jannah. Berkali-kali dia menoleh sehingga akhirnya dia bangun setelah
menurunkan Firdaus dari kerusi sebelahnya. Anak itu terus berlari ke dapur
mencari neneknya.
Rayland melabuhkan duduk tidak jauh dari
Jannah. Matanya terus memandang reaksi gadis itu. Tidak manis langsung
wajahnya.
“Saya dengar berita yang awak tak sihat,”
sapa Rayland lembut.
Jannah hanya mengerling kepada lelaki
itu sekilas. Tiada mood mahu berbual dengan lelaki ini.
“Pak cik ada ceritakan apa yang terjadi
sebelum ni. Saya tumpang simpati. Saya pun tak berapa sihat sekarang ni,” ujar
lelaki itu lagi.
Jannah terus membisu. Tidak terusik
sedikit pun apa yang diucapkan lelaki itu. Rayland tunduk seketika sebelum
kembali memandang gadis idaman hatinya.
“Ana, saya tumpang simpati. Saya harap
awak akan segera sembuh.”
Tiada terima kasih. Tiada apa-apa.
Jannah terus membisu. Seolah-olah langsung tidak mendengar. Hatinya mendongkol
benci didekati lelaki ini.
Melihat gadis itu tidak mahu bercakap
dengannya, Rayland bangun semula. Sempat juga Jannah memandang lelaki itu
berjalan. Lain macam. Terkengkang-kengkang dengan kain pelekatnya. Macam baru
lepas berkhatan aja?? Detik hatinya sendiri.
Jannah terus pegun di hadapan tv sambil
membiarkan lelaki itu dilayani oleh ahli keluarganya yang lain. Siaran tv
ditukar sesuka hati. Ketika terpandangkan alunan zikir kedengaran di salah satu
saluran, laju dia menukar ke siaran lain.
Ariff segera mendekati Jannah. Alat kawalan
jauh diambil dari tangan sang anak. Ariff menekan semula siaran tv yang
menayangkan bacaan zikir tadi. Jannah memandang ayahnya. Sorotan mata ayahnya
yang tajam menyentaknya dari kelalaian.
“Pergi ke meja makan sana. Kita ada tetamu.
Jangan biadap dengan tetamu!” tekan Ariff dalam nada tertahan.
Gentar melihat raut serius ayahnya,
Jannah akur juga. Dengan langkah longlai dia ke meja makan. Emaknya sedang
menghidangkan makan untuk lelaki itu. Firdaus bukan main galak lagi bermesra
dengan Rayland. Mesra alamlah katakan! Anak itu berdiri di atas kerusi sebelah
Rayland sambil memegang bahu lelaki itu.
“Duduk, sayang. Uncle nak makan,” tegah
Insyirah lembut kepada cucunya itu.
Firdaus membebel. Dia mahu duduk di atas
ribaan lelaki itu. Dengan selamba dia mengalihkan kaki dan memijak antara dua
paha Rayland. Sudahnya lelaki itu terbangun serta merta. Kerusinya terdorong ke
belakang.
“Apa Fir buat ni? Kesian uncle sakit,”
marah Insyirah. Ariff terus mengambil cucunya.
“Tak mengapa. Sikit aja,” ucap Rayland.
Sikit, tapi wajahnya sudah merah.
Berkerut kening Jannah melihat gelagat
Rayland. Namun lidahnya berat mahu bertanya. Biarpun di meja makan itu rancak
orang berbual, dia hanya mendengar. Tiada mood mahu ikut sama berbual. Dalam kebisuan
itu dia sebenarnya sudah tidak sabar mahu segera pergi dari situ. Berkali-kali
pandangan Rayland singgah kepadanya. Namun dia hanya membalas hambar.
Selesai makan, Rayland mendekati Jannah
sekali lagi. Kali itu hanya mereka berdua di luar rumah. Melihat Jannah enggan
memandangnya, dia merasa sedih. Seperti bercakap seorang. Namun dia faham.
Keadaan itu tidak mampu diubah dengan sekelip mata.
“Awak tahu tak yang saya saya sukakan
awak?” ucap Rayland setelah beberapa detik mereka hanya bungkam.
“Jangan buang masa dekati saya. Saya tak
sukakan awak,” balas Jannah amat perlahan.
Rayland tunduk menghela nafas. “Saya
faham. Dalam hati awak ada orang lain. Saya sedia menunggu sehingga awak
lupakan dia,” ujar Rayland lembut.
“Nak buat apa bersusah payah? Carilah
perempuan lain, Rayland. Saya tak mahu dipaksa!” ucap Jannah lantas dia bangun
menjauhi lelaki itu.
Terkebil-kebillah mata si Rayland
memandang gadis pujaannya menjauhkan diri. Namun kemudian dia bingkas bangun.
“Ana!” panggil Rayland.
Langkah Jannah terhenti. Dia sekadar
menoleh sedikit. Rayland sedang mendekatinya.
“Saya akan berterus terang dengan pak
cik tentang perasaan saya pada awak. Saya hanya akan mengalah sekiranya dia
tidak mengizinkan saya mencintai awak. Saya sedia terima awak dalam apa keadaan
sekali pun, Ana. Saya bersungguh,” ucap Rayland.
Jannah berpaling sambil tersenyum sinis.
“Saya bencikan awak.”
“Kenapa? Sebab dalam fikiran awak masih
ada lelaki jahat tu?”
“Dia tak jahat!” tegas Jannah.
“Ayah awak kata awak masih keliru. Suatu
hari nanti awak akan sedar juga apa yang alami saat ini tidak benar. Ini bukan
diri awak yang sebenarnya. Awak perlukan masa untuk pulih, Ana. Saya mahu
selalu dekat dengan awak. Saya mahu bantu awak lupakan dia.”
“Suka hati awaklah!” jawab Jannah lantas
menonong pergi.
Rayland menghela nafas perlahan. Akur. Yang
jalan ini tidak semudah yang dibayangkan.
MALAM itu Rayland diminta menginap di rumah itu. Makan dan
minumnya dijaga oleh Insyirah. Bahagia rasanya setelah beberapa bulan ini dia
hanya sendirian, dirinya kembali dimanjakan dengan kasih sayang seorang ibu.
“Awak nak baca surah apa, sayang?”
“Surah Al Baqarah.” Insyirah menjawab
sambil menoleh. Ariff mengangguk.
“Saya baca di sini ya? Awak di sana.
Saya nak sambung surah Al Imran.”
Insyirah mengangguk. Lebih baik mereka
duduk berasingan. Ariff duduk bersandar di sofa dan dia di atas sejadah.
Bimbang terganggu oleh suara masing-masing.
Sedang ralik melagukan ayat suci, bacaan
lelaki itu terhenti tatkala terdengar anjing jiran melolong. Disambut juga
dengan lolongan dua tiga ekor anjing namun bunyi itu kedengaran agak jauh.
Keadaan itu agak aneh dirasakan.
Ariff memandang ke arah tirai yang
menutupi pintu gelangsar di hadapan balkoni kamar tidurnya. Insyirah terus
membaca seolah-olah tidak mendengar walaupun sebenarnya dia juga mendengar.
Pada mulanya Ariff sekadar memandang
dari sebalik cermin pintu gelangsar untuk melihat jika ada kehadiran penceroboh
di kawasan itu. Namun dia mula keluar ke balkoni apabila lolongan anjing itu
kedengaran lebih kuat. Tidak berhenti semenjak tadi. Tetapi tiada apa-apa yang
dilihatnya di dalam gelap itu.
Seketika kemudian, Ariff masuk semula.
Pintu gelangsar dirapatkan. Kemudian dia keluar dari kamar menuju ke kamar
anak-anaknya. Rania masih lena tidak sedar.
Namun saat dia menjengah Jannah, dia
lihat anak itu sedang mengigau teruk.
“Ana.. bangun!” Ariff segera mengejutkan
anak itu.
Jannah tersentak dengan mata terbeliak. Wajahnya
berpeluh lebat.
“Bangun. Pergi ambil wuduk. Solat
sekarang,” pinta Ariff bersungguh. Tangan anak itu ditariknya agar Jannah
meninggalkan tilam. Longlai langkah Jannah menuju ke kamar mandi. Selesai
membersihkan diri, dia mengambil wuduk. Sedikit demi sedikit rasa kosong yang
dirasainya selama ini, mula berganti dengan rasa ringan. Aman.
Ketika dia keluar dari kamar mandi,
ayahnya sudah tiada di kamar itu. Tetapi dia mendengar bunyi anjing melolong. Jannah
terkaku memasang telinga kepada bunyi anjing yang cukup aneh. Tiba-tiba dia
merasa amat takut dengan bunyi anjing itu. Takut yang tidak pernah dirasakan
selama ini.
Jannah menapak perlahan mendekati
jendela. Mahu juga tahu apa yang sedang berlaku di luar sana. Langsir
diselaknya sedikit. Betapa saat itu dia benar-benar terkejut melihat susuk seorang
lelaki sedang berdiri di halaman rumah sambil memandang kepadanya. Dadanya
disentak kuat oleh rasa takut dan terkejut yang teramat sangat.
“Daddy!!!” Jannah memekik sekuat-kuat
hati sambil menjauhi jendela itu. Spontan dia berlari ke arah pintu. Belum
sempat dia tiba di pintu, seseorang terlebih dahulu membukanya dari luar.
Jannah terus menerpa lalu memeluk lelaki itu.
“Ada orang kat luar!!! Daddy!!! Dia
pandang Ana!!!” meraung-raung Jannah tidak terkawal. Lelaki itu dipeluknya
erat.
“Ana??” Ariff dan Insyirah tiba-tiba
muncul di situ.
“Ana, daddy kat sini..” Ariff menarik
tangan Jannah.
Rayland hanya kaku tidak berkata sepatah
pun. Jannah terus meraung biarpun sudah ditarik Ariff.
“Ada orang kat luar, daddy..” rayu
Jannah semakin tidak tentu arah.
“Siapa?”
“Lelaki tu. Dia cari Ana! Tolong Ana,
daddy. Ana takut!!” bentak Jannah meninggi.
Ariff pergi ke arah jendela. Insyirah
terus memeluk anak gadisnya. Ketika lelaki itu menjengah ke luar, tiada
sesiapa. Dan.. lolongan anjing itu juga sudah berhenti.
“Kenapa ni?” Farouqe pula muncul. Memandang
semua orang di dalam kamar kakaknya itu.
“Ada seseorang di luar tadi. Bangunlah semua.
Jangan hanya fikir nak tidur di malam hari. Kita dalam masalah besar,” ucap
Ariff kepada anak-anaknya.
“Ada siapa, daddy?” tanya Farouqe tidak
begitu mengerti.
“Ada sesuatu telah datang ke sini. Daddy
tidak tahu apa dan siapa. Ambil wuduk. Solat. Baca Al Quran! Ini semua
peringatan dari Allah supaya kita banyakkan amal. Dunia ini sudah terlalu
banyak kerosakan. Dan kita berada di celahannya! Jangan lalai lagi! Siapa yang
lemah dia akan terkena,” tegas Ariff kepada anak-anaknya itu.
Farouqe sekadar terkebil-kebil tidak
membalas kepada si ayah. Melihat kakaknya masih menangis, dia dapat mengagak. Mungkin
ada gangguan makhluk terlaknat itu lagi.
“Ana solat ya? Jangan takut. Cukuplah Allah
sebagai pelindung kita semua. Lepas solat mengaji,” ucap Insyirah kepada sang
anak.
Jannah mengangguk sedikit.
“Pergi ambil wuduk semula.” Insyirah
sempat memandang Rayland. Lelaki itu berundur mahu keluar dari kamar itu. Diikuti
oleh Farouqe.
Sepasang suami isteri itu masih berada
di kamar Jannah ketika gadis itu berada di kamar mandi. Ariff duduk di hujung
katil.
“Saya tahu awak susah hati fikirkan Ana,
Ariff.”
“Dia anak kita. Saya tak akan biarkan
sesiapa ganggu dia terutama sekali lelaki itu!” ucap Ariff sedikit meninggi
suaranya.
Insyirah memandang ke arah kamar mandi
itu seketika. Jannah sudah keluar dari sana.
“Temankan Ana, mommy.”
“Jangan kamu biarkan diri kamu takut
kepada sesuatu selain Allah, Ana. Makhluk itu tetap makhluk. Keupayaannya terbatas.
Ketakutan itu adalah kelemahan. Jangan biarkan semua itu menjadi sebab untuk
dia mengalahkan kamu. Ana, kelemahan itu seharusnya membuatkan kamu lebih
banyak meminta kepada Allah. Sujudlah kepada-Nya. Merayu kepada-Nya supaya kamu
dilepaskan dari genggaman iblis. Jangan kamu lalai, hanyut oleh perasaan lagi,”
ujar Ariff.
Jannah tunduk mendengar kata-kata sang
ayah. Terus sahaja dia mencapai marhana. Bersiap sedia untuk menghadap Tuhan. Dan
setelah dua tangan diangkat bersama kalimah Allahuakbar.. ketakutan yang
meresap jiwa tadi bagaikan asap yang dihembus pergi.
Dugaan.....
BalasPadamLambat lagi ke bab seterusnya???
BalasPadam