Selasa, 9 Disember 2014

Bab 9 Labuhkan Tirai Semalam


"Dapat ke alamat di Batu Pahat tu?" Tanya Haji Said melalui talian itu.
"Alamat lengkap saya tak dapat, pak cik. Tapi saya ada nama kampungnya dengan nama orang tu," ujar Salman.
"Bolehlah. Pak cik cuba cari di sana nanti," ujar Haji Said. Apa yang sudah diusahakan Salman sudah memadai.
"Saya SMS sekejap lagi."
Setelah memandu hampir empat jam dari Kuala Lumpur, pekan Batu Pahat sudah dijejakinya. Bertambah mudah apabila dia terlihat nama kampung yang diberikan oleh Salman tertera di papan tanda di tepi jalan. Setengah jam memandu akhirnya simpang masuk ke Kampung Parit Haji Sulong 9 ditemuinya. Haji Said segera membelok. Namun dek kerana alamat dia tidak punya, pencarian Haji Said menjadi sukar. Beberapa orang yang ditanya masing-masing menjawab tidak kenal kepada sepasang suami isteri bernama Jiman dan Wok. Mengenangkan perut sudah kelaparan Haji Said akhirnya memberhentikan kereta di sebuah gerai. Gerai itu lengang tanpa pengunjung.
"Ada lauk lagi ke?" Tegur Haji Said ramah kepada pemilik gerai itu.
"Ini aja yang ada, bang. Dah Pukul 3 petang. Lauk banyak dah habis orang datang makan tengahari tadi," jawab lelaki penjual itu lembut.
"Bolehlah ni.." Haji Said memandang lauk di dalam dulang itu. Masih ada yang mampu membangkitkan seleranya.
"Orang sini ke? Macam tak pernah nampak?" Tanya lelaki itu sambil memberikan sepinggan nasi putih kepada Haji Said.
"Saya dari Kuala Lumpur," jawab Haji Said lembut.
"Nak beli tanah ke?" Lelaki itu bertanya lagi.
"Taklah.. Saya mencari orang. Belum berjumpa lagi rumahnya."
"Saya buatkan air dulu. Nak minum apa, bang?"
"Air masak aja. Saya kurang minum manis-manis ni. Maklumlah.. Usia begini penyakit lekas datang," jawab Haji Said sambil tersenyum.
"Boleh.. Ambillah lauk tu, bang. Saya siapkan air abang," sambut lelaki 40-an itu lembut.
Seketika kemudian lelaki tadi tiba di meja bersama air yang dipesan oleh Haji Said.
"Terima kasih," ucap Haji Said lembut. Air itu dihirup seteguk sebelum mula menyuap. Dan tanpa diminta pemilik gerai itu menarik kerusi di hadapan Haji Said.
"Nama kamu siapa?" Haji Said terlebih dahulu bersuara kepada lelaki itu.
"Daud."
"Saya Said."
"Abang Said kata tadi cari orang, siapa orang yang dicari tu?"
"Saya cari orang nama Jiman."
Lelaki bernama Daud itu tercengang serta merta. "Jiman mana ni? Arwah Jiman ke?"
Kali ini Haji Said pula yang tercengang. Suapannya ikut terhenti. Arwah? Alahai..
"Isterinya nama Wok," ucap Haji Said.
"Arwah Jiman lah tu. Nak cari dia buat apa? Dah lama meninggalnya pun!" Tukas Daud dalam kehairanan.
"Alamak.. Saya ada hal penting nak tanyakan pada dia."
"Isteri dia adalah. Tapi dah tak berapa sihat benar," ujar  Daud tanpa mengalihkan pandangan daripada wajah Haji Said.
"Tahu rumahnya di mana?" Soal Haji Said penuh kelegaan.
"Tahu. Abang makanlah dulu. Nak tunjuk sekarang pun, bukannya dekat-dekat sini rumahnya."
"Yalah.." Balas Haji Said akur.
Setelah membayar harga makanan, Daud memberi sedikit panduan kepada lelaki tua itu untuk mencari rumah wanita bernama Wok itu. Dia diminta mencari rumah seorang lelaki bernama Ismail sekiranya rumah Wok tidak ditemuinya. Namun sebelum berlalu Daud sempat berpesan kepadanya.
"Mak cik Wok tu bukan jenis mahu berlembut dengan orang. Nak kena sabar ajalah bila bercakap dengan dia. Silap-silap dihalaunya terus," ujar  Daud.
"Lah.. Kenapa begitu pulak?"
"Entah.. ,memang begitu perangainya, bang. Dia tu susah bergaul dengan orang. Semua orang nak dimusuhnya. Kedekut pulak tu. Agaknya itulah yang cepat benar kena penyakit nyanyuk."
Haji Said diam seketika. "Takpelah.. Saya cuba cari dulu. Terima kasih banyak." Haji Said berkata sambil menepuk bahu Daud.
Dengan panduan yang diberikan lelaki tadi, Haji Said menemui juga sebuah rumah papan yang dicat dengan warna kuning terang. Ada tersadai satu kereta buruk di halaman rumah itu seperti yang diberitahu oleh Daud tadi. Haji Said keluar untuk bertanyakan tentang lelaki bernama Ismail tersebut.
Seorang remaja perempuan segera memanggil datuknya di dalam rumah itu. Tidak lama kemudian keluar seorang lelaki berkopiah.
"Saya Ismail. Encik ni siapa?"
Haji Said segera menghulurkan tangan kepada lelaki itu. "Saya Said. Saya sebenarnya mencari seseorang bernama Wok. Mana rumahnya?"
"Itu ha.." Spontan lsmail menunjukkan sebuah rumah lain hanya beberapa meter dari situ. Kedudukannya agak kebelakang berbanding rumah Ismail yang dekat dengan lorong tar.
"Ada apa cari Wok? Dia tu bukannya betul sangat lagi dah. Dah nyanyuk. Orang sekeliling pun dia tak ingat," jelas Ismail.
"Saya ada hal sikit nak tanya pada dia. Kalau boleh nak jumpa dia," ucap Haji Said lembut.
"Marilah.. Saya bawakan ke sana. Dia ni bukannya boleh tengok orang sangat. Habis semua nak disemburnya. Dia tak berapa suka orang datang rumah dia," ujar  Ismail sambil menyarung selipar.
Kata-kata yang kedengaran daripada lelaki hampir sama dengan cerita Daud. Membuatkan hati Haji Said kembali tidak aman. Namun langkah lelaki itu terus diekorinya.
Seperti yang diperkatakan, wanita bernama Wok itu agak kurang senang menyambut kehadiran mereka berdua.
"Kamu ni siapa sibuk datang rumah aku?" Wanita itu merenung lama lelaki di hadapannya itu.
"Nama saya Said, kak. Ini rumah Kak Wok ya? Saya nak jumpa dengan Kak Wok."
"Wok tu siapa? Mana ada orang nama Wok tinggal sini," jawab wanita itu agak kasar nadanya.
Haji Said terkedu mendengar soalan wanita itu.
"Saya dah kata tadi dia dah nyanyuk," ujar Ismail lantas tersenyum sendiri.
"Siapa kata aku nyanyuk?? Aku belum nyanyuk lagilah!" Melengking naik suara wanita tua itu.
"Takdelah. Saya kata saya ni yang dah nyamuk," jawab Ismail pantas.
Haji Said menelan liur seketika. Satu-satunya orang yang mampu menemukan dia dengan Mariam sudah ditimpa penyakit nyanyuk pula. Buntu seketika otaknya.
"Engkau ni dari mana? Cari siapa?" Tanya wanita tua itu  kepada Haji Said.
"Saya datang dari KL. Saya cari Mariam. Akak tahu dia di mana sekarang?" Tanya Haji Said penuh hemah.
"Siapa Mariam? Yang engkau ni siapa pulak?"
"Ya Allah.. Saya Ismail, Kak wok. Saya jiran Kak wok."
"Ooo.." Wanita tua itu terlopong seketika. "Kau ni siapa pulak?" Tanya Wok kepada Haji Said semula.
"Said! Dia dah sebut nama dia tadi. Dia cari Kak wok!" Tekan Ismail.
"Siapa wok tu?"
"Ya Allah.. Bila dikata nyanyuk, marah!" Dengus Ismail sambil menggeleng.
Haji Said hanya mampu menghela nafas sabar. Memang sahlah wanita ini nyanyuk!
"Mariam tu bukan ke adik ipar Kak Wok? Dulu waktu Abang Jiman masih ada, dia selalu ke sini dengan anak dia," Ujar Ismail lantas memandang Haji Said.
"Ya. Mariam ada anak perempuan seorang."
"Si Yam tu.. Takkan Kak Wok tak ingat langsung?"
"Ayam aku tahulah!" Jawab Wok selamba.
"Dah ayam pulak perginya. Mariam.. Yang Kak Wok halau dulu tu!" Ujar Ismail agak meninggi suaranya kepada wanita tua itu.
"Hish! Kenal Mariam pun aku tak! Bila masa pulak aku ada adik ipar?" Getus Wok pantas.
Ismail mula menggaru kepalanya. Kemudian dia menggeleng sendiri. "Tak membantu benarlah kalau tanya dia ni."
Haji Said hanya mampu mengeluh sendiri. "Saya dah tak tahu di mana nak cari Mariam."
"Marilah ke rumah dulu. Kita sembang," ajak Ismail lembut.
Haji Said akur tanpa perasaan. Hampa benar hatinya dengan hasil pencariannya hari ini.
"Dah lama benar Mariam tak ke mari. Kali terakhir saya jumpa dia.. dia bawa anak dia tu nak ditumpangkan di rumah kak Wok ni. Saya dah lupa nama anaknya. Sandy ke apa entah namanya."
"Dara nama anaknya."
"Bukan Dara. Sandy saya rasa. Entahlah! Saya dah lupa. Dah lama sangat. Anak saya mungkin ingatlah. Anak Yam tu muda setahun dua aja dengan anak sulung saya."
Haji Said sekadar memandang lelaki itu untuk mendengar lagi.
"Kali terakhir Mariam datang bawa anak dia tu, Kak Wok halau dia berdua. Katanya budak tu bawak sial mengandungkan anak haram. Demi Allah.. Ini Kak Wok sendiri yang cakap depan saya waktu tu. Saya cuba tolong Mariam. Kak Wok maki hamun dia dengan si Sandy tu. Katanya Yam tak tahu jaga anak sampai kena rogol dek orang. Mana bapak budaknya pun tak tahu. Kesian benar saya tengok anak Yam tu. Menangis aja dikutuk macam-macam dek Kak Wok. Cerita si Sandy tu mengandung anak luar nikah habis dijaja orang satu kampung sebab ramai yang dengar dia maki hamun Yam. Saya pun tak tahu apa masalah Kak Wok tu dengan Yam. Sedangkan arwah Jiman tu abang kandung Yam."
Haji Said menggeleng sambil meraup wajahnya. Kasihannya Mariam..
"Lepas tu mana Mariam pergi?" Tanya Haji Said.
Ismail diam seketika cuba mengingati semula kejadian waktu itu.
"Saya dengan orang rumah saya hantar dua beranak tu ke pekan Batu Pahat. Saya temankan dia sampai dia naik bas. Bas tu menghala ke Melaka. Saya ada tanya dia nak tuju ke mana di Melaka tu. Katanya nak cari rumah perlindungan untuk si Sandy tu. Sekejap ya.. Saya call anak sulung saya. Mungkin dia masih ingat nama penuh si Sandy tu. Manalah tahu pernah bertembung di mana-mana."
Haji Said sekadar mengangguk. Lelaki bernama Ismail itu segera bangun mendekati meja telefon. Sementara menunggu Ismail habis berbual Haji Said memandang ruang tamu rumah itu.
"Darasandra Binti Ibtisam. Anak saya panggil dia Sandra. Bukan Sandy. Maaf.. Saya lupa tadi."
"Di kampung saya budak tu orang panggil Dara." Haji Said menyambut pantas. Jadi memang benarlah cerita Salman yang Darasandra diperkosa. Masalahnya sekarang.. Adakah anaknya Benjamin Affendi itu yang melakukannya?

10 ulasan: