Selasa, 23 Ogos 2016

BAB 14-FASAD

BAB 14
PULANG ke rumah petang itu, Farouqe terintai-intai ke dalam. Terpandangkan ayahnya, dia cuba berjalan sebaik-baiknya.
“Kamu pergi mana sampai selewat ini baru balik?” tegur Ariff yang sedang duduk di ruang tamu. Hairan melihat kepala Farouqe bertutup hud bajunya.
“Tadi pergi rumah abang Rayland, daddy. Dia ajak pergi makan.” Farouqe sekadar memandang sekilas ayahnya. Sebelah kakinya disilang ke belakang bagi menyembunyikan lutut yang sudah koyak.
Ariff mengangguk. Matanya kembali memandang tv tanpa bertanya. Tidak sedar dengan gelagat Farouqe. Sebaik sahaja sampai di tangga, Farouqe menyeringai menahan sakit. Kakinya terhencot-hencot semula. Namun cuba juga sedaya upaya berjalan selaju mungkin ke tingkat atas. Tidak sabar mahu menyorok dalam bilik.
Sebaik sahaja masuk, Farouqe terus merapatkan pintu. Perlahan-lahan baju lengan panjangnya ditinggalkan dari tubuhnya.
“Aduh..” Farouqe merintih saat luka di belakang lengan dan belakangnya bergesel dengan baju.
Farouqe berdiri di hadapan cermin. Belakangnya diintai. Ada kesan luka agak besar di belakang. Dan di kepalanya juga ada terkoyak. Itu baru bahagian atas. Belum lagi bahagian bawah.
“Apa nak buat ni? Sakitnya..” ucap Farouqe sendiri. Takut mahu memberitahu ayahnya apa yang sudah berlaku. Kemungkinan pertama yang bakal berlaku ialah, dia akan dimarahi teruk kerana cuai. Kedua, dia akan dimarahi teruk kerana pandai-pandai meminjam harta orang. Ketiga, dia akan dimarahi teruk kerana membonceng motor sedangkan sudah ditegah ayahnya semenjak dulu. Pendek kata, semua kemungkinan memang teruk untuknya!
Namun sedang dia terbelek-belek luka pada tubuhnya, namanya sudah diseru dari luar. Sekalian itu pintu diketuk.
“Farouqe, bukak pintu ni! Amboi.. kunci pintu pulak ya?” jerit Jannah.
“Apa?? Orang sibuk ni. dah. Syuh! Syuh! Pergi sana,” jawab Farouqe dari dalam.
Jannah yang terdengar, serta merta menyirap darah rasanya. “Dia ingat aku ni ayam ke apa?” bebel Jannah sendiri.
“Daddy, Farouqe, kan.. dia jatuh motor!!” laung Jannah agak lantang dari hadapan pintu kamar Farouqe.
Farouqe di dalam sudah tidak tentu arah dalam keadaan terhencot-hencot. Nak menyorok, rasanya tidak kena pula. Sudahnya dia memakai semula baju dan pintu terus dibuka. Kelibat ayahnya sudah terpacak di hadapan pintu kamarnya.
“Apa jadi dengan kamu?” tanya Ariff sambil menurunkan pandangan ke lutut seluar Farouqe sudah koyak. Farouqe sempat menjegilkan matanya kepada Jannah. Jannah tersengih sambil menayang telefonnya tanda berita itu sudah dikutipnya lebih awal daripada Rayland.
“Farouqe jatuh motor Abang Rayland tadi.”
Ariff terus masuk. “Buka baju.”
Mahu tidak mahu anak itu membuka juga bajunya. Ariff terpaku melihat luka agak teruk di badan anak itu. Dan ada kesan dara di tengkuk Farouqe. Mulalah wajahnya berubah ketat.
“Turun bawah. Pergi hospital sekarang!”
Terkebil-kebil mata Farouqe memandang ayahnya keluar dari kamar itu. Sudahnya dia akur juga untuk turun ke bawah. Di dalam kereta, dia hanya pegun menadah telinga dibebel oleh ayahnya.
Ariff membawa Farouqe ke hospital terdekat. Anak itu terus diberikan rawatan segera setelah mengadu baru sahaja jatuh motorsikal. Mujurlah setelah dix-ray, tiada tulang yang patah. Namun meraung-raung dia apabila lukanya dicuci.
Bertambah meraung apabila sebahagian rambut kesayangannya dicukur bagi membolehkan luka di belakang kepalanya dijahit. Setelah selesai diberikan rawatan, mereka pulang. Namun sampai di rumah Ariff tidak segera menyuruh dia masuk. Tidak lama kemudian ayahnya keluar membawa gunting dan pencukur eletrik.
“Daddy nak buat apa?”
“Potong rambut kamu tu,” jawab Ariff selamba.
“Jangan, daddy..” Farouqe mula tercebik-cebik melihat ayahnya mendekat.
“Duduk di situ,” arah Ariff tanpa mempedulikan reaksi anaknya. Semenjak tadi anaknya merayu-rayu agar rambutnya tidak dicukur. Rela membiarkan luka itu tidak berjahit asalkan rambutnya tidak dicukur. Terlalu sayangkan rambutnya konon. Sekarang dia sendiri akan membuang kesemuanya!
Saat yang paling sadis dalam hidupnya, adalah saat ini! Saat menyaksikan rambutnya gugur ke tanah segumpal demi segumpal. Lebih sadis lagi apabila kakak-kakaknya menyaksikan upacara bersejarah itu dengan reaksi sedih dibuat-buat.
“Selamat tinggal rambut meggi yang tersayang,” ucap Imanina sambil melambai seolah-olah melambai orang tersayang pergi jauh.
Insyirah sudah ketawa gelihati melihat Farouqe diejek.
“Peliknya rupa Abang Farouqe, mommy. Botak. Abang Farouqe tak handsome. Kita dah dah tak boleh panggil Abang Farouqe sebagai abang kawasan lagi,” ucap Rania yang memandang dengan mata membulat.
“Diam, Nia! Nangis abang tu nanti.” Insyirah segera menekup mulut celupar Rania.
Sesungguhnya memang benar air mata Farouqe bercucuran di pipi melihat rambutnya sudah berkumpul di tepi kakinya.
“Baru elok sikit macam ni. Daddy lebih suka kamu begini,” puji Ariff puas hati.
“Farouqe rasa hidup ni dah gelap, daddy.”
“Itu akibatnya bila kamu tak mahu dengar cakap orang tua,” jawab Ariff selamba.
Farouqe mencebik. Kecewa. Entah berapa tahun lagi barulah dia akan dapat memiliki rambut sesempurna dulu. Kalaulah dia tahu rambutnya akan menjadi korban, sumpah dia tidak akan menunggang motor besar Rayland tadi. Sungguh!

MACAM mana dengan motor awak?” tanya Jannah sebaik sahaja terlihat wajah Rayland tiba di pejabat pagi itu.
“Saya dah hantar ke bengkel. Esok atau lusa dah boleh guna semula. Tidak begitu teruk kerosakannya. Bagaimana dengan Farouqe?” Rayland membalas lembut. Dia lebih risaukan Farouqe berbanding motor itu.
Jannah menggeleng sambil menghela nafas panjang. “Dia dapat cuti sakit. Malam tadi dia demam sampai tak boleh bangun. Kaki dia sakit sampai tak boleh berjalan,” jawab Jannah.
“Kasihan dia. Saya tak sepatutnya benarkan dia naik motor saya semalam. Saya minta maaf. Saya nak bawa dia ke klinik. Tapi dia tak mahu. Dia takut pak cik dapat tahu.”
“Bukan salah awak. Dia memang dah lama mengidam sangat nak motor macam tu. Daddy tak bagi. Macam mana daddy nak bagi. Baru pegang sekejap, dah jadi macam tu.”
Rayland diam pula. Teringat semalam. Motor itu tiba-tiba melompat ketika Farouqe sedang duduk di atasnya. Kebetulan enjin sedang menyala. Sudahnya Farouqe terseret sekali. Keadaan Farouqe jadi teruk akibat dihempap motor itu.
“Saya masuk dulu. Saya nak ke bawah sekejap lagi. Awak dah sarapan pagi?”
“Belum. Jam 10 nanti baru saya turun,” ujar Rayland lantas memandang jam di pergelangan tangannya.
Mereka berpisah arah untuk melunaskan tanggungjawab masing-masing. Jannah turun semula ke lobi. Ada kerja yang harus diselesaikan di bawah. Sementelah Vanida sedang bercuti. Kerja yang seharusnya dilakukan Vanida terpaksa dilakukannya sendiri. Dalam keadaan dirinya sibuk, Jannah tidak sedar ada seseorang sedang mendekatinya.
Kata orang untung sabut timbul. Begitulah lelaki itu. Cadangnya dia mahu mencari Jannah di pejabatnya. Tidak sangka rupanya gadis itu sedang berada di situ. Tan Sri Malik berdiri seketika tidak jauh dari gadis itu. Sebotol minyak dikeluarkan dari saku seluarnya. Kemudian minyak itu dicalitkan di kedua-dua belah keningnya. Setelah minyak itu dikembalikan ke dalam saku, Tan Sri Malik mula menghayunkan tongkatnya untuk mendekati Jannah yang berdiri menghadap ke kaunter daftar masuk.
“Sayang..”
Jannah segera mengangkat wajah mendengar suara itu. Kemudian dia berpaling ke belakang. Pandangan Jannah singgah tepat di wajah seorang lelaki tua. Sedetik dua detik dia hanya memandang.
Sayang? Siapa sayang? Detik hatinya hairan. Sempat dia memandang ke arah kakitangan yang sedang menghurungnya. Masing-masing terpinga-pinga.
“Encik bercakap dengan saya ke?” tanya Jannah hairan.
Wajah Tan Sri Malik berubah. Encik?
“Ini abang, sayang. Ana tak kenal abang?” ucap Tan Sri Malik bersungguh.
Jannah terus terpaku memandang lelaki bertongkat itu. “Saya tak kenal, encik. Encik salah orang agaknya ni. Ada urusan apa di sini?” balas Jannah sambil menggeleng sedikit.
Tan Sri Malik mula memegang rautnya. Adakah Jannah tidak mampu melihat dirinya sekarang ini? Apa lagi yang tidak kena? Adakah jampi menteranya tidak menjadi?
“Encik perlukan bantuan ke?” tanya Jannah semakin hairan dengan gelagat lelaki itu.
“Ini Abang Malik. Takkan Ana dah lupa abang?” ujar Tan Sri Malik lembut.
Berderau darah Jannah mendengar nama itu. Wajahnya terus berubah seperti sedang berhadapan dengan hantu.
“Jagan dekat dengan saya!” tegas Jannah. Pantas dia menjauhi lelaki itu. Kawasan yang dirasakan paling selamat sudah tentulah di sebalik kaunter daftar masuk itu. Jannah segera masuk ke situ.
“Tolong.. tolong pergi dari sini, tan sri. Jangan ganggu saya.”
“Kenapa Ana buat abang macam ni? Abang rindukan Ana. Abang nak bercakap dengan Ana sekejap.” Tan Sri Malik mula berjalan ke hujung kaunter itu.
“Stop!!!” jerit Jannah panik. Lelaki itu benar-benar menakutkannya.
“Tolong panggil pengawal sekarang!” arah Jannah kepada kakitangan yang terpaku memandang. Seorang pegawai lelaki ditolaknya agar membantu menghalang lelaki tua itu.
“Encik, ini kawasan larangan.” Kakitangan lelaki itu cuba menahan Tan Sri Malik daripada masuk untuk mendapatkan Jannah.
“Kau diam! Aku bercakap dengan kekasih aku.” Tan Sri Malik menunding lelaki itu dengan tongkatnya.
“Ana.. sinilah, sayang. Abang nak jumpa Ana. Abang rindukan Ana. Ana dah janji nak kahwin dengan abang,” rayu lelaki tua itu penuh kelembutan.
“Saya tak kenal pak cik!! Jangan dekat dengan saya!” tegas Jannah. Pantas dia mengangkat ganggang. Sambungan ke kamar ayahnya didail. Menggigil kakinya saat menanti talian berjawab.
“Daddy! Ada orang ganggu Ana. Tolong turun ke lobi sekarang!” suara Jannah terus meninggi sebaik sahaja terdengar suara ayahnya menyapa.
Tan Sri Malik tidak jadi mahu mendekat. Tahu siapa yang sedang dipanggil Jannah.
“Ana, sampai hati Ana buat abang macam ni. Abang terlalu sayangkan Ana. Abang dah lama menunggu. Abang nak kahwin dengan Ana,” rayu lelaki itu bersungguh. Penuh harap.
“Saya tak kenal encik ni siapa. Tolonglah jangan ganggu saya! saya sungguh-sungguh tak kenal encik!” bentak Jannah masih diburu ketakutan kepada lelaki tua itu.
Terpandangkan Rayland baru keluar dari lif, Jannah terus menjerit memanggil lelaki itu. Rayland menoleh mencari dari mana datangnya suara Jannah. Terlihat keadaan agak aneh di kawasan itu, dia berlari ke arah lobi.
“Ada apa ni?” tanya Rayland lantas memandang lelaki tua itu.
“Ini suami saya, pak cik. Saya tak pernah janji nak kahwin dengan pak cik! Saya tak kenal pak cik!” ucap Jannah meninggi.
Rayland segera memandang tunangnya dengan kerutan di kening. Akalnya segera menangkap lelaki tua itulah yang telah mengenakan Jannah dengan ilmu hitamnya. Spontan Tan Sri Malik memandang Rayland. Tercabar dengan kehadiran lelaki muda itu.
“Mari sini, sayang..” panggil Rayland kepada tunangnya. Kemudian dia mendekati Tan Sri Malik. Laluan keluar masuk itu sedang terhalang oleh tubuh lelaki itu.
“Sila ke tepi, encik. Bahagian ini hanya untuk kakitangan sahaja,” ucap Rayland lantas menarik tangan lelaki tua itu. Sayangnya lelaki tua itu terus mengangkat buku limanya. Sebelah mata Rayland menerima hadiah.
Rayland terdorong ke belakang sehingga jatuh. Dia mengeliat di atas lantai sambil menekup sebelah wajahnya. Sakitnya seolah-olah sebelah tengkorak kepalanya sudah pecah.
Tan Sri Malik ketawa kecil sambil menapak untuk mendekati lelaki muda itu. Tidak dipedulikan dua pengawal keselamatan berlari ke arahnya. Belum sempat pengawal itu memegangnya, Tan Sri Malik mencekak kolar uniform salah seorang pengawal itu.
“Kau nak rasa penangan aku? Aku boleh matikan kau dan seluruh keturunan kau kalau aku nak. Setakat kau ni celah gigi aku aja. Jangan sibuk urusan aku!” ancam lelaki itu dengan pandangan tajam. Lelaki itu ditolaknya begitu saja. Pengawal itu terdorong sehingga menggelusur di atas lantai.
“Mari dekat..” ugut Tan Sri Malik sambil menunding hujung tongkatnya kepada seorang lagi pengawal yang cuba datang kepadanya. Tidak tahu apa yang sedang berhadapan dengannya, pengawal itu berundur. Tidak berani mahu menyentuh lelaki tua itu.
Tan Sri Malik kembali memandang Rayland yang masih terbaring di lantai. Kali itu dia kembali mendekati Rayland. Hujung tongkatnya diletakkan di atas dada Rayland lalu ditekannya.
“Kau rampas apa yang aku suka. Kau nak mati ya?” ucap Tan Sri Malik geram.
“Arghh!!!” Rayland mengerang keras. Cuba dialihkan tongkat itu tetapi tidak mampu. Semakin lama semakin kuat tongkat itu ditekan. Tulang dadanya seperti mahu pecah.
“Jangan dekati Ana. Dia cintakan aku!”
Rayland terus terkapai-kapai tidak terdaya untuk melepaskan diri dari lelaki itu.
“Abang, jangan apa-apakan dia. Ana kat sini..” rayu Jannah tiba-tiba.
Tan Sri Malik ketawa perlahan. Matanya terus memandang anak muda itu. Masih belum puas untuk melampiaskan dendamnya. Suara Jannah merayu kepadanya itu semakin membuatkan dia teruja. Lelaki muda itu diseksanya.
“Jangan apa-apakan dia. Tolonglah. Dia bukan sesiapa dengan Ana. Ana tipu abang. Jangan ganggu dia. Dia hanya pekerja di sini. Ana cintakan abang.” Walaupun gentar yang teramat sangat, Jannah cuba juga mengalihkan perhatian lelaki tua itu daripada Rayland. Lembik lututnya menahan takut saat Tan Sri Malik menoleh kepadanya dengan senyum jahat.
“Ana kena ikut abang. Abang nak kahwin dengan Ana,” ucap Tan Sri Malik bersungguh.
“Ia. Ana ikut abang,” jawab Jannah sambil memandang ke arah lif. Ligat otaknya mencari akal untuk melengahkan masa. Betapa dia mengharapkan ayahnya akan segera turun ke bawah. Tiba-tiba pintu lif itu terbuka dan dua lelaki keluar serentak. Salah seorang adalah Ariff.
Rafael segera berlari mendekati adiknya. Jannah ditarik jauh dari lelaki itu.
“Bangun, Rayland. Jauhi lelaki ini,” arah Ariff kepada anak muda itu. Rayland mengengsot ke belakang untuk menjauhi lelaki tua itu. Berkerut wajahnya menahan sakit sambil matanya tidak berhenti memandang Tan Sri Malik. Hairan. Mengapa lelaki tua itu kuat benar tenaganya sehingga dia tidak mampu menandinginya.
“Anda masih di sini?” ucap Ariff setelah berhadapan dengan lelaki tua itu.
“Aku datang nak jumpa Ana. Aku masih cintakan dia. Aku nak dia jadi hak aku. Aku akan bawa dia pergi dengan aku. Kami akan berkahwin jauh dari sini,” jawab Tan Sri Malik selamba.
Ariff diam merenung tampang lelaki tua itu. Masih tidak putus asa rupanya lelaki ini. Bercakap seolah-olah seluruh dunia ini mampu dijentik dengan hujung jarinya.
“Jadi kenapa Ana tidak ikut kamu?” ucap Ariff lantas mencari wajah anak gadisnya
“Ana, ke mari, sayang.” Panggil Tan Sri Malik.
Jannah menggeleng perlahan sambil menjadikan abangnya sebagai perisai. Tan Sri Malik cuba menapak mendekati Jannah. Namun Ariff menahan dadanya.
“Dia akan datang kepada kamu jika dia mahu. Kali ini pilihan dibuat dalam keadaan fikirannya waras. Kamu tidak boleh pergi kepadanya. Saya sedang memberi dia peluang untuk memilih,” ucap Ariff.
“Tepilah! Bedebah kau! Kau memang batu penghalang yang paling besar di sini! Aku akan jahanamkan seluruh keluarga kau kalau aku tak dapat Ana. Kau yang pertama!” tekan Tan Sri Malik dengan mata terbeliak garang. Tangan Ariff ditepisnya kasar.
“Saya percaya Ana sudah menerima kenyataan yang antara kamu berdua tidak boleh diteruskan. Rayland tunang Jannah. Mereka akan berkahwin dalam masa terdekat ini. Saya ingatkan sekali lagi agar kamu tidak lagi menganggu anak gadis saya. Beritahu kepada pendamping kamu itu bahawasanya saya tidak takut kepadanya. Dia juga adalah hamba Allah sama seperti saya. Keupayaannya terbatas,” ujar Ariff tenang. Sedikit pun tidak gentar biarpun semenjak tadi dia terlihat ada ‘geng’ yang dibawa oleh lelaki ini bersama. Bayang gelap itu sentiasa bergerak setiap kali Tan Sri Malik menggerakkan anggotanya.
“Apa kau cakap ni?”
“Tolong ke mari,” ucap Ariff kepada seseorang di pintu masuk lobi itu. Tan Sri Malik menoleh. Tiga lelaki muda sedang berjalan mendekatinya.
“Mereka ini penghafal Al Quran. Kekuatan yang ada pada mereka tidak seberapa berbanding kamu. Tetapi saya percaya Allah telah beri kelebihan kepada mereka ini melalui ilmu-Nya untuk membuat sahabat kamu itu terkurung di satu tempat. Dia tidak akan berjumpa dengan tuannya semula,” ucap Ariff.
Tan Sri Malik menoleh sekejap kepada Ariff. Ugutan penuh hemah itu membuatkan dia menelan liur.
“Jangan buat kacau di sini, pak cik.”
“Apa pak cik?? Kau ingat aku pak cik kau?? Tan Sri Malik!!” balas Tan Sri Malik berang. Dia menepis saat salah seorang anak muda itu cuba memegang lengannya.
“Tak apa. Pada batu nesan nanti tak tulis tan sri ni semua.”
“Kau jangan nak kurang ajar dengan aku!” tengking Tan Sri Malik. Sudah tidak peduli biarpun semua orang di lobi hotel itu sedang memerhatikan mereka.
“Saya tahu pak cik guna ilmu untuk jadi kebal. Tapi jangan buat kacau di sini. Tolong pergi ya? Kalau tidak saya panggil semua kawan-kawan saya turun sini. Tak cukup tanah nak kambus pak cik nanti,” ucap seorang lagi dalam nada lembut.
Tan Sri Malik sempat menoleh ke arah Ariff. “Aku akan tetap dapatkan dia!”
Ariff sekadar tersenyum kepada lelaki itu. Kalau sebelum ini dia tidak tahu apa-apa, kali ini dia sudah bersedia sedikit sebanyak. Ugutan itu tidak lagi menganggu fikirannya. Dia tahu Allah bersama orang yang benar.
Buat seketika mereka semua pegun memandang Tan Sri Malik dibawa pergi.
“Naiklah ke atas,” suruh Ariff kepada anak gadisnya.
“Takutnya, daddy. Mana Ana pergi, dia tahu,” rintih Jannah tanpa terus mahu beredar dari situ.
“Jangan takut. Makhluk itu akan merasa hebat apabila manusia takut kepadanya,” ujar Ariff. Kemudian dia memandang Rayland. Sebelah mata Rayland lebam kebiruan. Bajunya sudah tidak sekemas tadi. Sebelah tangannya asyik memegang dada.
“Kamu tak apa-apa?” tanya Ariff lembut.
“Tak apa-apa, pak cik. Sikit aja.” Rayland menjawab perlahan.
“Sambung kerja seperti biasa!” ucap Ariff kepada para pekerja yang masih bercakap sesama sendiri. kemudian dia terus berpaling untuk ke lif semula. diikuti oleh Jannah, Rayland dan Rafael.
“Jangan dekati lelaki tua itu. Dia menggunakan jin untuk membantu dia menjadi kuat.”
“Dia dah tua. Tapi rupa dia masih muda. Kacak. Dan dia memang kuat,” komen Rayland perlahan. Jannah terus memandang Rayland.
“Awak cakap dia muda? Kacak?” tanya Jannah sedikit terkejut.
“Ia.” Rayland mengangguk sedikit. Apa yang silap dengan kata-katanya tadi. Wajah Jannah berubah sedikit. Keliru.
“Err.. saya tak bermaksud apa-apa. Selain rambut dia yang sedikit beruban tu, dia memang nampak muda,” ujar Rayland lagi.
“Kamu nampak wajah dia muda atau tua, abang?” tanya Ariff kepada anak lelakinya pula.
“Sama macam dulu. Tak ada beza,” ujar Rafael pula.
“Kamu berdua perlu banyakkan zikir dan mengaji Al Quran,” komen Ariff lantas keluar dari lif itu.
“Apa maksud, daddy? Daddy nampak apa tadi?” tanya Rafael masih tidak puas hati.
“Tanya Ana. Dia sudah melihat rupa sebenar lelaki itu.” Ariff menjawab selamba sebelum berlalu untuk kembali ke kamarnya.
Namun Jannah terus berdiam. Sungguh dia seperti tidak percaya apa yang baru sahaja berlaku. Seperti mimpi. Dan dia tahu, setelah sekian lama tertipu, kini kebenaran sudah pun Allah bukakan untuk dia lihat sendiri.
Setelah Rafael masuk ke kamarnya, tinggal mereka berdua. Jannah lihat lelaki itu asyik memegang dada.
“Awak sakit?”
“Dada saya ditekannya dengan tongkat tadi. Betul-betul kuat. Saya rasa macam nak mati tadi,” ujar Rayland dalam keluhan.
“Pergilah klinik.”
“Nantilah. Saya nak duduk sekejap.”
Jannah sempat memandang Rayland masuk ke dalam kamarnya. Lelaki itu duduk di kerusi. Kerusi itu dibalikkan menghadang pintu. Rayland membuka satu persatu butang bajunya. Dadanya dibelek. Sudah ada kesan timbul akibat perbuatan lelaki tua tadi. Namun sedang dia ralik, Jannah tiba-tiba muncul di tepinya.
“Awak sakit ya?” tanya Jannah. Dia terpandangkan kesan lebam di dada lelaki itu. Bukan sekadar itu, ada parut di atas dada Rayland. Tatu berbentuk love dahulu sudah tiada.
“Dada saya rasa macam nak pecah,” jawab Rayland lantas mengancing bajunya semula.
“Pergilah klinik. Kemudian balik rehat. Mata awak dah lebam.”
Rayland diam. Selesai mengancing bajunya dia berpaling memandang tunangnya itu.
“Jangan risau. Saya tak apa-apa.”
“Saya tetap risau sebab saya tahu apa yang dia buat tadi bukan main-main. Dia nak sakitkan awak,” balas Jannah.
“Tapi Allah tak izinkan. Saya tak apa-apa,” pujuk Rayland lembut.
Jannah menggeleng sambil berpaling. “Saya akan beritahu ayah saya.”
“Sayang.. tak perlu buat begitu,” panggil Rayland agak kuat. Namun Jannah terus sahaja dia meninggalkan kamar itu.
Sudahnya seketika kemudian telefon di meja Rayland berdering. Ariff meminta Rayland turun ke bawah. Abduh sudah menanti untuk membawa dia pulang.
“Jumpa petang nanti,” ucap Rayland sambil menjengah kamar buah hatinya.
“Awak kan tak sihat? Tak perlu tunggu saya. Rehat aja di rumah,” jawab Jannah agak tidak senang membiarkan lelaki itu datang ke sini petang nanti semata-mata untuk bertemu dengannya.
“Ayah awak suruh saya balik ke rumah awak. Petang nanti kita jumpa,” ucap Rayland sambil tersenyum. Disuruh bermalam di rumah pak ciknya, sudah tentulah dia mahu. Peluang besar untuk berdating dengan Jannah sedang terbuka luas. Tidak sia-sia dia ditumbuk tadi.

Jannah hanya tersenyum sedikit sambil memandang lelaki itu berlalu. Eloklah tu.. adalah kawan si Farouqe yang sedang terkedang di rumah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan