Isnin, 22 Ogos 2016

BAB 10 YANG TERINDAH UNTUKNYA (TAJUK SEMENTARA)

BAB 10
SETELAH Syeikh Marwan tiba di rumah pagi itu, Farouqe dirawat sehingga keluar segala macam barang yang tajam dari tubuhnya. Dia kembali sedar namun fizikalnya amat lemah. Tidak mampu menelan makanan seperti biasa. Abduh pula kembali pulih setelah diberi minum air penawar syifa.
Melihat keadaan Farouqe, lelaki tua itu termenung seketika. Banyak persoalan yang bermain dalam fikirannya. Masih belum ada jawapan.
“Biarkan dia rehat. Kalau boleh beri makanan yang lembut kepada dia untuk sementara waktu,” ucap Syeikh Marwan kepada Ariff dan Insyirah. Kemudian lelaki berpakaian kurta berwarna kuning cair itu bangun dari birai katil.
“Tadi tuan katakan yang jiran ternampak sesuatu malam tadi?”
“Ia.”
“Kita jumpa dia sekejap,” ajak Syeikh Marwan lembut.
Mereka berkumpul di hadapan rumah. Sayangnya kawasan yang ditunjukkan lelaki Cina itu tidak terdapat sebarang tanah gembur. Rumputnya elok sahaja seperti tidak terusik.
Syeikh Marwan tetap meminta kawasan itu digali. Umar dan Mirza mengerjakan tanah itu sehinggalah timbul satu bungkusan kain kuning yang masih elok.
Ariff terpaku. Agak terkejut dengan penemuan itu. Mirza segera membawa kepada ayahnya. Setelah dibuka, satu objek berupa patung kecil yang diperbuat daripada kain kelihatan di dalamnya bersama kaca halus dan jarum peniti.
Lama lelaki tua itu membelek patung itu. Ada sebatang jarum peniti tertusuk tepat di dada patung itu sehingga ke belakang.
“Pelik. Kenapa dia menghantar benda ini ke sini? Ini bukan hal biasa-biasa,” ucap Syeikh Marwan. Setahunya, objek-objek tajam dihantar untuk mematikan seseorang. Masakan ini dihantar untuk Jannah? Atau sebenarnya kepada orang lain sementelah patung itu menyerupai seorang lelaki.
“Tolong panggilkan Jannah sekejap,” pinta Syeikh Marwan kepada Umarul. Umarul terus berlalu tanpa menjawab.
“Apa yang Syeikh fikirkan?”
“Entahlah. Saya agak keliru,” ucap Syeikh Marwan sambil patung itu terus dibeleknya. Pandangannya terkalih saat Umarul tiba di situ bersama Jannah.
“Lelaki yang menyukai kamu itu, adakah dia kenal Farouqe?”
Jannah menggeleng pula. Spontan Syeikh Marwan menoleh ke arah Ariff.
“Mana mungkin ada dua individu sedang cuba menganiaya anak-anak tuan. Saya tertanya.. mengapa Farouqe pula kali ini?”
Ariff diam tidak terjawab.
“Atau mungkin ada orang cuba menganiaya tuan,” ucap Syeikh Marwan lagi.
“Saya?” ucap Ariff terkejut.
“Ia. Agak aneh kalau ini ditujukan kepada anak gadis tuan. Benda seperti ini bertujuan menghancurkan seseorang,” ucap Syeikh Marwan tanpa mengalihkan pandangan dari patung itu.
“Tapi kalau benar sihir dihantar kepada saya, mengapa pulak Farouqe yang terkena?” tanya Ariff seketika kemudian.
“Saya tak ada jawapan yang tepat tentang itu. Ini hanya andaian saya saja,” ucap Syeikh Marwan perlahan. Jawapan yang tepat sudah pastilah kepada pemilik objek ini. Dan dia harus mencari tahu siapa penghantarnya.
“Kita pagar rumah ini sekali lagi malam ini. Selepas isyak nanti,” ucap Syeikh Marwan lagi seketika kemudian.
“Apa sebenarnya yang berlaku, tan sri?” Mr. Lim yang mendengar saja dari tadi tiba-tiba menyampuk.
“Ada orang cuba menganiaya keluarga saya,” jawab Ariff perlahan.
“Anjing kamu.. apa jadi kepadanya?” tanya Syeikh Marwan kepada lelaki Cina itu pula.
“Saya pun tak tahu. Booby mati tiba-tiba. Sangat pelik. Semenjak beberapa hari lalu, anjing saya suka buat bising. Selalunya bila ada orang yang dia tidak kenal, dia hanya menyalak. Dia tidak mahu menyerang. Tetapi semalam lain. Dia cuba keluar dari kawasan rumah saya. Macam ada sesuatu yang dia nampak di sini semalam. Kalau betul ada orang, mesti alarm sudah berbunyi. Tapi tidak. Waktu saya suluh lampu ke sini semalam, saya nampak itu makhluk terbang jadi api. Saya betul-betul takut. Tak pernah lihat hal seperti itu,” cerita Mr. Lim bersungguh.
Syeikh Marwan diam. Simpati mendengar nasib anjing itu.
“Adakah ini yang orang selalu kata black magic?”
“Ia. Manusia biasa tak mampu melihat melainkan makhluk itu menjelmakan diri. Tetapi binatang macam anjing, mereka ada deria yang lebih tajam dari manusia. Dengan izin Allah mereka boleh merasa ada sesuatu yang tak kena,” jawab Syeikh Marwan.
“Kenapa ada orang mahu hantar benda macam tu pada keluarga tan sri? Saya kenal tan sri sebagai orang yang baik.” Mr. Lim memandang ke arah Ariff. Bagai tidak percaya setelah mendengar apa yang berlaku. Lebih tidak percaya yang dia ternampak hantu rupanya semalam!
Syeikh Marwan hanya diam. Sebabnya hanya satu saja. Semakin tua dunia, semakin lupa sesetengah hamba Allah untuk bersedia menyambut kedatangan hari akhirat.

LELAKI itu dapat merasakan rancangannya telah berjaya. Bukan main tenang lagi hatinya. Tidak terucap bahagia. Yakin, sedikit masa lagi keinginannya untuk memiliki gadis itu akan menjadi nyata.
Malam itu Tan Sri Malik keluar dari pejabat agak lewat. Tidak terasa mahu pulang ke rumah isteri-isterinya malam ini. Dia mahu berhibur sakan di dada kota.
Bersendirian mendekatinya keretanya yang terpakir di hadapan lobi, Tan Sri Malik terperasan ada dua lelaki sedang berdiri dekat dengan keretanya sambil memandang ke arahnya. Salah seorangnya tersenyum.
“Apa?”  sergah Tan Sri Malik hairan. Pintu kereta dibuka dan beg kerjanya disimpan di bahagian belakang. Kemudian dia mengambil satu minyak dari dalam kocek jaketnya lalu isinya dituang sedikit ke atas hujung jari. Kemudian dicalitkan di kedua-dua keningnya. Tidak sedar lelaki itu masih memerhatikan tindak tanduknya.
“Assalamualaikum..” sapa Syeikh Marwan.
Tan Sri Malik sekadar memandang tanpa menjawab salam itu. Hairan mengapa lelaki itu masih belum pergi.
“Lambat pulangnya?” Syeikh Marwan tetap menyapa lembut biarpun sambutan lelaki itu hambar.
“Nak apa?” Tan Sri Malik menoleh ke tepinya. Keningnya berkerut melihat dua lelaki asing itu. Di tangannya ada senaskah Al Quran kecil berwarna emas. Di sebelah tangan lagi ada tasbih. Jarinya terus mengira buah tasbih.
“Saya baru di sini. Saya ingin meminta tolong. Hantarkan kami ke masjid terdekat. Boleh?”
Tan Sri Malik memandang sekeliling seketika sebelum menyeluk poket seluarnya. Wang lima ringgit dihulurkan kepada Syeikh Marwan. “Teksi banyak sana. Pergi tahan teksi.”
Syeikh Marwan memandang duit itu tanpa mengambilnya. “Kalau encik hantarkan saya, bolehlah kita solat bersama di masjid nanti.”
“Aku ada hal ni. Pergilah minta tolong dengan orang lain!” dengus lelaki itu tanda malas mahu melayan.
Syeikh Marwan memandang anaknya. Mirza mendekat lalu satu beg plastik jernih diletakkan di atas bumbung kereta Tan Sri Malik.
“Saya datang untuk bertanya. Adakah itu milik kamu?” ujar Syeikh Marwan lembut.
Tan Sri Malik segera memandang objek itu. Dia terpaku lama. Lambat-lambat dia menoleh kepada lelaki tua itu.
“Mana kau dapat ni?”
“Kamu bertanya semula seolah-olah kenal dengan barang itu. Sudah pasti kamu juga tahu di mana saya jumpai benda itu. Tidak ke begitu sepatutnya?” ujar Syeikh Marwan tetap dalam nada lembut.
Terpaku Tan Sri Malik memandang wajah Syeikh Marwan.  
“Saya pulangkannya semula benda itu kepada tuan. Benda itu tidak elok dihantar kepada orang lain. Memberi mudarat yang besar kepada pemilik rumah itu. Atau mungkin anak perempuannya,” ucap Syeikh Marwan lagi.
“Apa kau merepek ni? Apa bukti aku yang hantar benda tu pada orang?? Kau sebenarnya tak tahu siapa punya benda ni, kan? Kau hanya main tuduh aja!” ucap Tan Sri Malik kasar.
Syeikh Marwan tersenyum sedikit. “Memang benar saya tidak tahu siapa empunya barang itu. Saya datang bertanya di sini agar semuanya jelas. Kalau barang itu bukan milik tuan, tentu tiada masalah untuk menunaikan kehendak saya.”
Tan Sri Malik terpandangkan Al Quran yang diunjukkan oleh lelaki seorang itu.
“Bersumpahlah yang benda itu memang bukan milik kamu. Bersumpahlah di hadapan Al Quran ni.”
Melihat Al Quran yang dihulurkan oleh lelaki itu, Tan Sri Malik mula berundur sedikit. “Kau jangan nak sibuk urusan akulah! Tak kuasa aku nak layan kau! Gila!” bentaknya.
“Kenapa kamu takut? Ini hanyalah senaskah Al Quran. Naskah ini tidak akan mengapakan sesiapa jika tidak di atas kehendak Allah. Atau kamu tidak boleh menyentuh naskah ini? Ada pantang larang mungkin,” duga Syeikh Marwan tenang.
“Kalau dah aku tak mahu, kenapa kau nak paksa aku pegang benda tu? Suka hati akulah! Eh! Aku tak ada masalah nak layan orang macam kau ni!” tengking Tan Sri Malik berang.
Syeikh Marwan menghela nafas perlahan sambil menggeleng.
“Kami berhajat untuk membuat solat hajat selama berberapa malam. Keluarga itu sudah dua kali diganggu makhluk jahat. Kami tidak reda sekiranya berlaku untuk kali ke tiga.”
“Apa kena mengena dengan aku? Lantak dialah nak jadi apa pun!” bentak Tan Sri Malik kasar.
“Tanyakan kepada khadam-khadam kamu itu, adakah mereka itu mampu melawan kuasa Allah? Manusia yang menyembah iblis selalunya merasakan tidak mengapa berbuat begitu. Kerana kita merasakan sebelum mati kita boleh bertaubat. Tidak sedar, semakin lama semakin jauh kita disesatkan iblis. Iblis tidak akan mati sehinggalah tiba hari kiamat. Tetapi kita manusia, akan sampai masanya ajal menjemput kita. Sama ada dalam keadaan kita bersedia atau kufur kepada Allah. Tidak akan tercepat atau terlambat barang sesaat pun! Dosa syirik adalah dosa tertinggi yang tidak akan mendapat keampunan dari Allah di akhirat nanti. Kekal dalam neraka jahanam selama-lamanya. Tidak takutkah azab Allah? Tidak cukup itu kamu menganiaya orang lain. Kamu sedar, bukan. Dosa sesama manusia hanya manusia yang kamu aniaya itu yang layak memaafkan kamu. Allah tidak akan memberi keampunan selagi kamu masih berdosa kepada insan lain. Dan doa orang teraniaya, tiada hijab! Doanya sampai terus kepada Allah. Bertaubatlah sebelum terlambat.”
Tan Sri Malik ketawa galak. “Kau membebel apa panjang-panjang ni? Aku malaslah nak dengar ceramah kau. Pergilah membebel dengan orang lain. Aku ada urusan sekarang ni!”
Syeikh Marwan tiba-tiba menangkap pergelangan tangan Tan Sri Malik. Bahagian tengah lengannya dipegangnya sehingga lelaki itu merintih sakit.
“Kamu memakai susuk?”
“Lepaslah!!!” pekik Tan Sri Malik. Tangannya cuba ditarik dari lelaki itu. Tidak berjaya!
“Barang ini adalah larangan dalam agama. Kamu merasa hebat dengan membiarkan barang terlarang ini berada dalam tubuh kamu. Kamu tidak ingin meminta dari Allah sebaliknya bergantung harap kepada benda ini. benda ini masih ada kelemahannya jika kamu tidak sedar,” ujar Syeikh Marwan sambil tangan lelaki itu dipegang kuat.
“Diamlah!!” jerkah Tan Sri Malik. Matanya terbeliak melihat satu besi halus tiba-tiba keluar begitu sahaja dari kulitnya.
Setelah dilepaskan oleh Syeikh Marwan, lelaki itu terdorong ke belakang. Besi halus yang tersembul itu dicabutnya lalu dipandang dengan mata terbutang.
“Apa kau dah buat? Macam mana kau boleh.. tak guna!!!” jerit lelaki itu benar-benar marah.
“Masih mahu berdusta? Sudah tawar. Susuk itu tidak ada gunanya lagi,” ucap Syeikh Marwan.
Tan Sri Malik mula mahu mengamuk.
“Kau ingat kau aja ada ilmu??” Dia menerpa pantas ke arah lelaki itu. Syeikh Marwan berundur sedikit. Bacaan surah Al Ikhlas dari mulut lelaki tua itu, membuatkan Tan Sri Malik kaku serta merta. Tubuhnya keras tidak mampu bergerak biarpun sedaya upaya cuba untuk menyentuh lelaki itu.
“Mana khadam kamu? Tidakkah dia mahu membantu? Atau dia sendiri tidak berupaya sebenarnya,” ucap Syeikh Marwan sambil tersenyum sendiri.
Tan Sri Malik terpaku memandang raut lelaki tua itu. Sekali lagi dia cuba mendekat, mahu mencekik lelaki tua itu. Tetapi setelah dibacakan surah Al Ikhlas, sedikit pun dia tidak berdaya merapati lelaki tua itu. Seperti ada sesuatu menjadi dinding antara dia dan lelaki itu.
“Surah Al Ikhlas sangat mujarab untuk menundukkan iblis dan sekutu-sekutunya. Pendek saja surah itu. Mudah dikhafal. Namun keajaiban yang diberikan Allah kepada surah itu, manusia yang lemah seperti kita tidak akan mampu melawannya. Iblis yang mengaku dirinya kuat juga tidak ada upaya,” ucap Syeikh Marwan lembut.
Tan Sri Malik berundur sedikit untuk mejauhi lelaki itu. Matanya memandang sekeliling. Cuba mencari peluang untuk melarikan diri.
“Saya biasa mendengar orang yang mengamalkan ilmu seperti ini ada pantang larangnya. Kalau ilmu kamu biasa menyusahkan orang, makanya saya akan berusaha membuat ilmu itu menjadi tawar. Pegang dia, Mirza..”
“Apa ni? Hei!! Hei!!” terpekik-pekik Tan Sri Malik mahu lepas. Betapa kuat dia meronta. Mirza hanya menekan bahunya ke badan kereta.
Mata Tan Sri Malik membulat saat melihat lelaki tua itu mengeluarkan beberapa ulas labu dari dalam satu plastik. Labu yang sudah direbus itu sudah digumpal menjadi sambil Syeikh Marwan membaca sesuatu dalam mata terpejam. Kemudian labu itu disumbat ke dalam mulutnya. Menjadi sangat mudah apabila Tan Sri Malik memekik tak henti-henti. Kemudian bahagian bawah mulutnya ditolak naik ke atas. Tanpa sengaja, sebahagian labu yang disumbat itu itu telah ditelannya. Makin kuat Tan Sri Malik meronta.
Seketika kemudian Mirza melepaskan lelaki itu. Tan Sri Malik jatuh terduduk di tepi keretanya. Sebahagian labu itu diludahnya keluar. Namun sudah terlewat. Labu itu masih terasa di tekaknya.
Syeikh Marwan bercangkung di hadapan lelaki itu sambil memegang kepala Tan Sri Malik. Dahi lelaki itu ditekan ke badan kereta. Mulutnya terkumat-kamit membaca beberapa ayat.
“Tolong, jangan buat aku macam ni!” rayu Tan Sri Malik. Tangan lelaki tua itu cuba dialihkan namun dia tidak berdaya. Makin kuat pula ayat-ayat suci dibacakan oleh Syeikh Marwan.
“Keluar kau dari badan lelaki ini!” bentak Syeikh Marwan tiba-tiba.
Pandangan Tan Sri Malik kelam untuk beberapa saat. Seperti ada asap kelabu keluar dari bola matanya dan asap itu terbang ditelan kelam malam. Tubuhnya tiba-tiba merasa longlai. Saat dia memandang tangannya, dia terlihat kedutan tanda tua sudah lama menjengah. Tidak lagi tegang kulitnya seperti dahulu. Dan saat dia meraba dadanya, baru dia perasan.. perutnya tidak lagi cantik dihiasi otot kental. Sebaliknya buncit melayut.
“Apa dah jadi dengan aku??”
“Susuk itu sekadar sihir mata. Mata yang memandang akan tertipu dengan keadaan kamu sebenarnya. Inilah zahir kamu yang sebenarnya,” ucap Syeikh Marwan.
“Pergi!! Pergi!! Jahanam kau. Aku akan balas semuanya pada kau. Pergi!!!” Tan Sri Malik memekik seperti orang gila. Tubuhnya cuba dibangunkan. Lututnya sakit. Dia jatuh tersungkur.
“Bertaubatlah sebelum terlambat. Tak ada satu makhluk pun mampu membuat kamu hidup kekal atas dunia ni,” ucap Syeikh Marwan.
“Diam kau!! Celaka punya manusia. Aku akan balas dendam pada kau!!” pekik Tan Sri Malik. Terkial-kial dia masuk ke dalam kereta. Mahu segera lari dari lelaki tua itu.

Syeikh Marwan segera menarik anaknya agar menjauhi kereta itu. Mereka berdua hanya memandang kereta itu dipandu melulu oleh Tan Sri Malik sehingga hilang dari pandangan mereka.

4 ulasan:

  1. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.

    BalasPadam
  2. seramnya...tetapi masalah ini memang terjadi di depan mata.

    BalasPadam
  3. seramnya...tetapi masalah ini memang terjadi di depan mata.

    BalasPadam