BAB 4
BOSAN makan tengah hari di restoran yang sama setiap hari, Jannah
akhirnya memilih untuk makan di luar bersama teman yang paling akrab dengannya
di dalam pejabat itu. Memandangkan waktu rehat agak panjang pada waktu
sembahyang Jumaat, dia mengajak Vanida ke Crystal Plaza. Cadangnya selepas
makan nanti dia mahu mencuci mata di sana.
Mereka berdua memilih makan di sebuah
restoran di lantai bawah pusat membeli belah itu. Namun sedang rancak berborak,
kehadiran seorang lelaki menggugah keralikan mereka berdua. Jannah tergadah
memandang lelaki yang tiba-tiba muncul berdiri di tepi mejanya.
“Hai..” sapa lelaki itu.
Jannah mengerut kening dalam pada dia
terpaku. Begitu juga Vanida.
“Kenapa Ana tak jawab call dari abang?
Abang rindukan Ana,” ucap lelaki itu sambil mengusap pipi Jannah.
“Ha?” Jannah tersedar tiba-tiba. Spontan
dia memegang tangan lelaki itu.
Membulat mata Vanida melihat Jannah
memegang tangan lelaki itu. Tahu dek bapak kau, matilah kau kena siang.. ucap
Vanida mula tidak senang.
“I nak bercakap dengan Ana,” ucap Tan
Sri Malik kepada Vanidah.
“Ha? Makanan saya belum sampai, encik.”
“Tan sri Malik. Meja lain banyak.
Please?” ucap Tan Sri Malik. Menghalau cara halus.
Masam kelat wajah Vanida. Kala itu
Jannah juga langsung tidak pedulikan dia. Matanya ralik merenung lelaki itu
dengan penuh rasa rindu dendam.
Mendongkol geram hati Vanida melihat
Jannah hanya membiarkan dia dihalau dari situ. Sudahnya dia mengambil meja
lain. Matanya asyik menyaksikan gelagat sepasang kekasih yang tidak sepadan
langsung itu. Bertambah hairan melihat Jannah yang dikenalinya sangat sopan dan
menjaga diri, telah bertukar watak menjadi orang lain apabila bersama lelaki
itu.
Kemudian dia terlihat lelaki itu
mengambil telefon milik Jannah. Ada panggilan masuk ke telefon itu. Dengan
selamba lelaki itu mematikan telefon itu lalu dimasukkan ke dalam kocek
seluarnya. Dan Jannah hanya membiarkan.
Tidak lama kemudian telefon bimbitnya
pula yang dipanggil seseorang. Tertera nama Rafael.
“Ya, bos.”
“Ana mana? Ada dengan you tak?”
“Ada. Tapi saya di meja lain. Tengah
rancak berborak dengan lelaki. Boyfriend dia kut,” jawab Vanida. Mengadu cara
halus. Inilah masanya nak membalas dendam atas sakit di hatinya. Biar Jannah
kena marah!
“Lelaki?”
“Tan Sri Malik namanya,” jawab Vanida
selamba.
“You all kat mana sekarang?” nada Rafael
mula kalut.
“Crystal Plaza. Kat Restoran Asian.”
“Tunggu sana! Jangan bagi Ana pergi
mana-mana.”
“Okay.” Habis berbual Vanida sekadar
memandang telefonnya.
Hampir lima belas minit dia menanti, dua
manusia itu mula bersiap mahu beredar.
“Alamak! Mana pulak dia orang nak pergi
ni?? Encik Rafael ni pun mana??” getus hatinya resah dalam pada terlihat lelaki
itu menarik Jannah pergi. Vanida pantas bangun melunaskan bayaran. Namun
pelayan teramatlah lambat sehingga bayang dua manusia itu lenyap di celahan
orang ramai.
Jannah dibawa Tan Sri Malik keluar dari
bangunan itu.
“Ana ikut abang ya?” pelawa lelaki itu
ketika berada di tepi keretanya.
Jannah diam. Ketika lengannya ditarik
agar masuk ke dalam kereta, dia mematungkan diri. Berdebar. Otaknya menjadi
kosong.
“Abang akan jaga Ana baik-baik. Abang janji,”
pujuk Tan Sri Malik lembut.
“Tak nak..”
“Kenapa pulak? Ana sayang abang, kan?”
“Tan Sri..”
Tan Sri Malik menoleh ke belakang. Gadis
tadi sedang berjalan ke arah Jannah.
“Maaf ya? Ana tak boleh pergi mana-mana.
Abang dia baru aja call. Dia suruh Ana balik sekarang,” ujar Vanida sambil
memegang tangan Jannah. Pelik dia melihat Jannah hanya terkebil-kebil begitu
saja.
“Dia nak ikut aku. Kau tak payah sibuk. Aku
tahu jaga dia. Ana nak ikut abang?” Tan Sri Malik segera memegang kedua-dua
belah pipi Jannah. Terbeliak mata Vanida melihat gelagat lelaki itu.
“Apa tan sri buat ni?? Ana!!” bentak
gadis itu. Di hadapan matanya lelaki itu sedang meniup seluruh wajah Jannah. Dan
Jannah hanya diam!
“BRO,
tu adik kau! Tu dia!” Syah pantas menepuk paha Mikhael yang sedang
tertoleh-toleh mencari tempat parkir.
“Mana? Mana??” Mikhael segera
memperlahankan kenderaan.
“Tu. Kat depan starbucks. Dah lepas.
Rasanya itu adik kau,” ucap Syah sambil memandang ke belakang.
Mikhael terus memberhentikan keretanya
di tepi jalan. Setelah memanjangkan leher ke tempat yang diucapkan Syah, dia
terpandangkan Jannah sedang berdiri di tepi kereta mewah bersama seorang lelaki
sebaya bapanya. Menyirap darahnya melihat lelaki itu mengusik pipi adiknya.
“Kau tunggu sini. Tunggu sini! Memang
nak mampus budak ni,” ucap Mikhael bengang.
“Kau nak pergi mana pulak ni??” tanya
Syah. Mikhael langsung tidak peduli biarpun keretanya sedang terpakir di
kawasan larangan. Laju kaki Mikhael menjejaki Jannah. Amarah di dalam dadanya
menjulang tinggi melihat lelaki itu memegang wajah adiknya.
“Ana, buat apa kat sini??” tengking
Mikhael lantas merentap tangan Jannah sehingga terdorong ke arahnya.
“Abang!!” terkejut besar Jannah melihat
abangnya ada di situ.
“Hei, orang tua! Siapa suruh kau pegang
adik aku? Aku tumbuk kau!!” jerit Mikhael terus naik berang. Hampir sahaja dia
meluru ke arah lelaki tua itu. Namun sempat dihalang Jannah.
“Abang, jangan!!” jerit Jannah mula
panik. Malu mukanya apabila pelanggan di kedai kopi terdekat mula memandang
mereka.
“Balik!!” tengking Mikhael kepada
adiknya pula. Ikutkan hatinya Jannah mahu ditamparnya. Betul-betul sakit
hatinya melihat apa yang berlaku tadi.
“Ni mana kau dapat??” ucap Mikhael kuat.
Belum sempat Jannah menjawab, dia merampas beg kertas di tangan adiknya lalu
dilempar kepada lelaki tua tadi. Lelaki itu terpaku melihat perbuatan Mikhael.
Dia cuba mendekat untuk memujuk. Namun Mikhael kembali menengkingnya.
“Kau dekat dengan adik aku lagi, kau
jaga! Tua kutuk nak mampus! Kain kapan dah beli ke belum?? Dah berbini buat
cara dah berbini. Jangan ganggu anak orang!!” tengking Mikhael sambil menunding
lelaki itu.
“Abang Mika!!” bentak Jannah meninggi.
Mahu meletup dadanya oleh rasa sebak.
“Balik sebelum abang tampar Ana depan
orang ramai ni. Tak tahu malu ke biarkan lelaki tu pegang Ana?” ucap Mikhael
tajam.
Berderai air mata Jannah dimarahi oleh
Mikhael. Sudahnya dia hanya mampu merelakan lelaki itu menyeretnya menuju ke
kereta. Sempat dia menoleh ke arah kekasih hatinya itu. Tan Sri Malik hanya
berdiri memerhatikan dia.
“Kau balik naik teksi,” arah Mikhael
kepada Syah.
Melihat Mikhael sedang angin satu badan,
Syah terus meloncat keluar dari kereta itu.
“Masuk,” arah Mikhael lantas menolak
Jannah ke tempat duduk Syah tadi.
“Janganlah buat macam ni!” rayu Jannah.
“Diam!!” tengking Mikhael.
“Bro, sekejap.” Syah mencuit Mikhael
sambil memandang ke arah lelaki tua itu tadi. Vanida sedang berlari anak ke
arah mereka.
“Ni telefon dia. Orang tua tu ambik
tadi. Rasanya dia nak bawak Ana lari,” ucap Vanida.
“Eh! Eh! Orang tua ni memang nak kena
dengan aku!” Bertambah geram Mikhael mendengar itu. Laju kakinya menuju ke arah
Tan Sri Malik yang sedang tercegat memandang mereka.
Tan Sri Malik segera berlari ke arah
kawasan yang ramai orang di cafe starbucks. Bekas minuman yang ditinggalkan
orang terus dicapai Mikhael lalu dilemparnya ke arah lelaki itu. Balingannya mengena
tepat ke arah Tan Sri Malik. Sisa air dari bekas minuman itu turut terkena
pelayan di pintu masuk. Masih tidak puas, Mikhael mengejar lelaki itu.
“Kau memang nak mampus! Kau nak bawak
lari adik aku ya? Langkah mayat aku dulu!! Mana kau nak lari???” pekiknya
setelah kolar baju Tan Sri Malik berjaya dicapainya.
“Saya cuma berbual sekejap dengan Ana.
Saya dah lama tak jumpa dia. Percayalah. Saya sayangkan dia. Saya ikhlas nak
memperisterikan dia,” tekan Tan Sri Malik bersungguh.
“Bini kau empat! Mana kau nak sumbat
adik aku lagi? Sedar diri sikit. Bapak aku tak bagi adik aku kawan dengan kau.
Kau tak reti bahasa?? Kau nak apa lagi dari Ana??” balas Mikhael garang.
Amarah Mikhael semakin menggila. Kolar
baju lelaki tua itu lalu ditarik ke belakang sekuat-kuat hatinya sehingga
lelaki itu terjatuh ke lantai. Sebahagian butang bajunya terlucut. Belum sempat
diberikan penyepak padu, beberapa lelaki datang cuba meleraikan. Sehingga dia
terasa seseorang datang memeluknya.
“Mika!”
“Bini kau dah empat, orang gila!! Dah
empat!! Kau cuba nak bawak lari adik aku? Jangan ganggu adik aku!!!” jerit
Mikhael.
“Mika, sudah. Istighfar..” pujuk Rafael
sambil memeluk erat adiknya. Kawasan itu mula dipenuhi orang ramai. Mikhael terus
memberontak saat ditarik Rafael menjauhi kawasan itu.
“Dia pegang Ana! Mika nampak! Hey!!
Memang mencari kemarahan betullah,” luah Mikhael masih tidak berpuas hati.
“Sudah. Kita selesai di rumah. Abang
bawak Ana balik. Bertenang. Jangan ikut hasutan iblis,” pujuk Rafael lantas
membawa Mikhael kembali ke kereta. Rafael membuka pintu kereta Mikhael. Tangan
Jannah terus dicapainya.
“Ana balik dengan abang!” ucap Rafael
serius.
Bengkak mata Jannah melihat kekasih
hatinya dibelasah abangnya. Tersedu-sedu dia menangis tanpa mampu berbuat
apa-apa.
“Kalau hal ni bersepah di ofis, I tahu
siapa yang buka mulut. Dia akan terima akibatnya,” ucap Rafael sambil memandang
Vanida. Vanida terangguk-angguk faham. Gentar melihat raut serius Rafael.
Mikhael menghempas diri ke kerusinya
setelah kereta Rafael berlalu. Syah ikut masuk ke dalam kereta. Temannya itu
dipandang lama.
“Bro, sabar.” Syah cuba menenangkan
lelaki itu.
“Kau drive. Aku tak ada mood ni,” ucap
Mikhael serius.
Mereka bertukar tempat. Mikhael
bersandar di kerusi sambil memandang luar. Syah segera memandu meninggalkan
tempat itu.
“Adik kau macam kena bodoh aja aku tengok?
Sampai bagi handphone pada lelaki tu,” ucap Syah seketika kemudian.
Mikhael terus berdiam memandang ke luar.
Hati masih panas mengenangkan adik perempuannya itu.
“Bawak jumpa ustazlah. Selalu dia tak
macam tu, kan?” ujar Syah lagi.
Kali itu Mikhael menoleh. “Maksud kau?”
“Ana tu selalunya tak begitu. Dia tulah
yang paling pemalu, pendiam antara adik-adik perempuan kau yang lain. Tiba-tiba
berubah disebabkan orang tua macam tu. Takkan kau tak pelik? Takut dia kena
ilmu guna-guna. Orang kena ilmu ni bukannya dia sedar betul ke tidak. Kalau
sampai lelaki dah ada 4 bini pun dia nak jugak. Pelik betul tu,” ujar Syah
sambil menoleh sekilas.
Mikhael menghela nafas sambil meraup
wajah. Mula terfikir hal yang sama.
“Takkan lelaki tu pakai ilmu guna-guna?”
“Kau kenal adik kau melebihi dari aku,
Mika. Selalu dia begitu ke? Tak mustahil, Mika. Dalam dunia sekarang masih ada
orang yang suka gunakan iblis untuk dapatkan sesuatu dengan mudah!” balas Syah
bersungguh.
Mikhael menghela keluhan sambil menggeleng.
Kalau benar begitu, cubaan apa yang sedang melanda keluarganya ini? Di mana
jalan keluarnya?
SAMPAI saja di rumah, Rafael menyuruh adiknya masuk ke dalam.
Jannah menonong pergi sambil menangis.
“Ada apa ni?” tanya Insyirah lantas
menahan Jannah di muka pintu.
Jannah hanya mampu menggeleng sambil
menangis.
“Jawab mummy tanya tu!” ucap Rafael agak
keras nadanya.
“Ana jumpa Abang Malik tadi. Abang Mika
mengamuk. Sampai hati Abang Mika pukul Abang Malik!” luah Jannah sambil
tersedu-sedu.
“Astaghfirullah.. kan daddy dah cakap
jangan jumpa dia?” tekan Insyirah amat terkejut.
“Dia yang cari Ana. Ana dah lama tak
jumpa dia. Ana rindu!”
“Rindu?? Tak reti bahasa yang dia tu
suami orang??” bentak Rafael keras.
Jannah terus terduduk di sofa. Tiada
siapa yang mahu faham perasaannya. Bukan mudah untuk dia melupakan lelaki itu.
Hatinya terlalu seksa dijeruk oleh rasa rindu.
“Unlock telefon ni,” ucap Rafael lantas
menghulur telefon milik Jannah.
“Abang nak buat apa?” tekan Jannah
semakin kuat dia menangis.
“Unlock telefon ni sekarang!” tegas
Rafael.
Terketar-ketar tangan Jannah menunaikan
kehendak abangnya. Insyirah hanya mampu terduduk memandang anaknya. Risau
memikirkan keadaan setelah suaminya dapat tahu nanti. Pasti Ariff mengamuk.
Rafael membelek telefon adiknya. Di
kotak mesej dia terbaca bermacam-macam ayat yang tidak menggembirakan hatinya.
Mesej di aplikasi what’s App itu tidak pernah dibaca oleh Jannah walaupun sudah
beberapa minggu dikirimkan.
“Nah. Hadiah dari empat isteri,” ucap
Rafael lantas menyerahkan telefon itu kepada Jannah.
Jannah turut membaca setiap mesej itu.
Berderai lagi air matanya. Sudahnya telefon itu dicampak ke bawah begitu
sahaja. Rafael bercekak pinggang memandang Jannah.
“Abang sungguh-sungguh tak faham kenapa
Ana sanggup buat macam ni,” ujar Rafael.
Jannah hanya tunduk sambil mengusap
pipinya yang basah. Semua orang memang tidak akan faham. Hati kalau sudah
cinta, dia tidak peduli lagi apa pun halangannya. Dia tetap mahu mengahwini
lelaki itu.
“Kenapalah Ana buat macam ni? Sebelum ni
Ana dah janji dengan mummy akan lupakan lelaki tu. Ana dah lupa ke?” ucap
Insyirah pula.
“Ana tak boleh lupakan dia. Ana sayang
dia, mommy. Anak nak kahwin dengan Abang Malik.”
“Astaghfirullah. Masalahnya Ana tak
boleh kahwin dengan Malik! Dia dah ada empat isteri, Ana. Ana faham tak?
Berdosa buat rumahtangga orang roboh, Ana. Macam mana lagi mommy nak jelaskan
supaya Ana faham??” tekan Insyirah.
Jannah menggeleng sambil menekup
wajahnya. Tangisannya masih tidak mampu berhenti. Rafael duduk di salah satu
sofa sambil menghela nafas. Pening kepalanya dengan masalah Jannah.
Petang itu setelah Ariff pulang, dia
terus mencari isterinya. “Panggil Ana turun,” ucap Ariff serius. Insyirah akur
tanpa menjawab.
Setelah isterinya berlalu, Ariff mendekati
anak sulungnya di ruang tamu.
“Apa jadi tadi?”
“Abang call Ana. Dia matikan panggilan.
Bila abang call Vanida, dia kata Ana ada dengan lelaki tu. Abang tak sempat nak
pergi. Abang suruh Mika yang pergi cari Ana. Mika mengamuk depan orang. Dia
nampak Ana dengan lelaki tu.”
“Ana pergi berjumpa dia?” tanya Ariff
lantas memandang wajah anak lelakinya.
Rafael menggeleng pula. “Katanya lelaki
tu yang datang jumpa dia. Abang belum tanya Vanida apa yang berlaku sebenarnya.
Kelam kabut sikit tadi,” jawab Rafael lembut.
“Mana telefon Ana?”
“Ni, daddy. Baca ni,” pinta Rafael
sambil menekan butang unlock telefon itu.
Ariff sempat memandang ke arah tangga.
Jannah turun bersama isterinya. Tajam matanya memandang wajah murung anaknya.
Jannah duduk di satu sofa tanpa mampu mengangkat pandangan kepada ayahnya.
Turun naik dada si ayah membaca satu
persatu mesej dari lelaki miang itu. Penuh manis madu membuatkan dia rasa mahu
terjeluak muntah. Di satu bahagian anaknya dijadikan bahan cercaan empat isteri
yang tidak berpuas hati. Menuduh Jannah perempuan miang, sundal dan macam-macam
lagi kata-kata yang jelek.
Ariff memandang Jannah pula. Bengkak
mata anak itu akibat menangis.
“Daddy dah beritahu kamu banyak kali
supaya jangan lagi menganggu suami orang. Kamu degil. Sekarang tengok apa
akibatnya,” tegas Ariff.
Jannah diam mengusap pipinya.
“Kenapa kamu begitu naif? Lelaki yang
baik tidak akan mencerca isteri-isterinya semata-mata untuk meraih perhatian wanita
lain. Kamu fikir suatu hari nanti dia tidak buat perkara seumpama itu kepada
kamu bila dia sudah bosan?? Kamu tak boleh kahwin dengan dia, Ana. Daddy tak
benarkan!” ujar Ariff tetap tegas nadanya.
Jannah tetap diam. Air matanya jatuh
lagi tanpa dapat diseka. Ariff menggeleng perlahan. Sesak dadanya memikirkan
anak ini. Sepanjang masa dia ketakutan. Bimbang anaknya berkahwin lari dengan
lelaki itu. Tapi apa yang perlu dia buat? Sejauh mana dia mampu menahan anak
ini dari mencintai lelaki yang tidak boleh dikahwininya?
“Daddy tak izinkan, tak apa. Ana nak
pergi jauh dari sini. Ana tak mahu jumpa dia. Ana tak mahu dia cari Ana lagi.”
Suara Jannah kedengaran seketika kemudian. Air mata merembes jatuh. Paling
sukar untuk dileraikan sudah tentulah ketika cinta sedang menggebu-gebu.
Ariff diam pula. Sedih hatinya mendengar
kata-kata Jannah. Sanggupkah dia membiarkan anaknya pergi jauh dalam keadaan
begini? Dah sejauh mana dia mampu percaya lelaki itu tidak akan pergi mencari
anaknya di sana nanti? Atau itu satu tiket besar untuk mereka bernikah tanpa
memerlukan keizinan wali.
“Kamu tak boleh ke mana-mana. Dia tidak
akan boleh mencari kamu.”
“Daddy nak buat apa? Paksa Ana kahwin?”
balas Jannah pantas.
“Antara dua! Sama ada kamu akur kepada
kehendak daddy atau kamu jangan pulang lagi ke sini setelah kamu mengahwini
lelaki itu tanpa pengetahuan daddy. Jangan anggap daddy sebegitu bodoh, Ana!”
tekan Ariff.
Jannah tiba-tiba membuang pandang.
Kata-kata bapanya merupakan satu hentakan yang amat besar di atas jemalanya.
Kata dua! Itu yang paling dia takut akan keluar dari mulut ayahnya. Mengahwini lelaki
itu bermakna dia akan dibuang keluarga. Ah! Dia tahu Malik tidak akan
mensia-siakannya.
“Ana, kami menegah untuk kebaikan
bersama. Terutama sekali Ana. Tak ada sebab kami nak menghalang kalau itu mampu
beri kebaikan pada anak. Cubalah faham apa yang kami katakan ni,” ucap Insyirah
pula.
“Ana faham, mummy. Tapi Ana tak boleh
lupakan dia. Ana tak boleh!”
Ariff menghela nafas panjang mendengar
itu.
“Nombor ini daddy akan padamkan. Kamu
tak boleh lagi bertemu dengan dia, kamu faham atau tidak, Ana?”
Jannah hanya pegun tidak menjawab.
Memandang juga tidak. Hatinya memberontak keras dengan keputusan ayahnya.
“Kamu faham atau tidak??” tegas Ariff
lantas mencekak lengan anaknya.
“Daddy, sakit!” tegas Jannah. Berderai
air matanya serta merta.
Ariff pantas meleraikan pegangannya.
Lengan baju anaknya diselak. Lebam kebiruan begitu ketara di sebahagian lengan
Jannah.
“Mana kamu dapat ni? Siapa yang pukul
kamu sampai jadi begini?” tanya Ariff bersungguh.
“Tak tahu.”
Ariff terpaku memandang lengan anaknya.
Ada sesuatu yang aneh menerpa ke hatinya. Seketika kemudian dia memegang kepala
anaknya. Ubun-ubun anak itu dikucup berkali-kali.
“Kamu tahu tak yang mommy dan daddy
teramat sayangkan kamu? Bukan mudah untuk memelihara maruah anak gadis dalam
dunia serba mencabar sekarang. Daddy hanya mahu anak-anak perempuan daddy jauh
dari kesengsaraan atas dunia ini,” ucap Ariff seketika kemudian.
Jannah hanya tunduk sambil tersedu-sedu.
“Kalau kamu masih ingat mommy dan daddy,
daddy merayu kepada kamu. Jangan ikutkan kehendak hati kamu. Daddy tak mahu
hidup kamu musnah, Ana. Tolonglah dengar cakap daddy kali ni.” nada Ariff mula
mula bertukar sayu.
Teresak-esak Jannah menangis saat
kepalanya diusap sang ayah.
“Janji dengan daddy, kamu tak akan pergi
berjumpa dia lagi. Daddy mahu dengar sekarang. Janji dengan daddy,” ucap Ariff
lantas memegang wajah anak itu. Wajah Jannah diusap lembut.
“Dia tak sebenar-benarnya sayangkan
kamu. Daddy dan mommy yang sebenarnya sayangkan kamu. Daddy tak mahu terjadi
apa-apa yang buruk kepada kamu. Sekurang-kurangnya jangan susahkan hati mommy
kamu. Janji ya? Jangan pergi lagi kepada dia.”
Tanpa dapat berkata-kata Jannah hanya
mengangguk. Namun tangisannya semakin kuat saat dirinya didakap sang ayah.
Rafael hanya memandang sayu. Kasihan melihat emak dan ayahnya yang semakin hari
semakin tersepit oleh masalah ini.
Aduhhh 😢😢😢😢😢
BalasPadamUlasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.
BalasPadamUlasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.
BalasPadam