BAB 1
PULANG petang itu Insyirah melihat kelainan antara anak dan ayah
itu. Jannah masam mencuka. Menonong berlari naik ke kamarnya tanpa menegur
mereka berdua. Wajah suaminya juga ketat.
“Daddy..” sapa Rania ceria sambil
mendakap ayahnya.
“Dah buat homework?” tanya Ariff sambil
mengusap kepala anaknya.
“Dah.”
“Bagi daddy rehat, sayang. Daddy penat
tu,” ucap Insyirah lembut.
“Farouqe belum balik?” tanya Ariff
kepada isterinya.
“Belum.”
“Saya nak naik atas.” Ariff sempat
mengusap kepala anaknya sebelum dia berlalu ke tangga.
“Nia jangan keluar. Dah nak maghrib ni.
Mummy nak tengok daddy sekejap.”
“Okay, mummy.”
Insyirah terus pergi mengejar langkah
suaminya. Di hati ada rasa tidak enak. Di dalam kamar, lelaki itu sedang
menanggalkan butang kemejanya satu persatu. Tetapi dia sedar fikiran sang suami
sedang berada di tempat lain.
“Saya nampak muka Ana masam tadi. Ada
apa, Ariff?” tanya Insyirah setelah mendekati lelaki itu.
“Dia merajuk dengan saya.” Ariff
menjawab hambar.
"Kenapa, Ariff? Awak marah
Ana?" tanya Insyirah lantas memegang tangan suaminya.
"Saya memang marah dia." Ariff
mendengus kesal. Sampai menangis anak itu dikerjakannya. Biarkan! Dia lebih
rela melihat anaknya menangis sekarang daripada menangis setelah tersalah
langkah.
"Kenapa?" tanya Insyirah lagi.
"Saya berjumpa seorang lelaki
ketika makan tengah hari tadi. Dia datang nak berkenalan dengan saya. Tapi
kemudian dia bercakap tentang sesuatu yang saya benci. Ikutkan hati saya, saya
dah marah dia. Tapi saya lebih marahkan Ana!"
"Ada apa sebenarnya?" tanya
Insyirah semakin tidak sabar.
Ariff menghela nafas sambil duduk di
tilam. Perlahan dadanya diusap. Cuba membuang rasa amarah.
"Dia beritahu saya dia nak melamar
Ana. Dia berkenankan anak kita," ujar Ariff seketika kemudian.
Insyirah mengerut kening seketika.
"Bukankah seharusnya kita gembira mendengar itu? Ada orang berkenankan
anak kita."
Ariff terus menoleh kepada isterinya.
"Ya. Selain dari lelaki berusia sebaya saya dan mahu menjadikan Ana
isterinya yang nombor empat selepas dia menceraikan salah seorang isterinya
bagi membolehkan dia menikahi Ana! Dan anak kita juga setuju bermadu dengan
wanita lain! Saya tak izinkan!" tegas Ariff.
Spontan mata Insyirah membulat mendengar
itu. Okay, dia pun rasa nak marah Ana sekarang! Tidak terkata dia mendengar
itu.
“Saya tak sangka sama sekali dalam
diam-diam dia ada hubungan dengan suami orang. Saya tak pernah terfikir sama
sekali! Pandai dia sembunyikan semua itu dari saya.” Ariff terus meluahkan rasa
tidak senangnya.
“Astaghfirullah.. Habis tu apa yang
patut kita buat sekarang?”
“Saya akan beri dia masa untuk lupakan
lelaki itu. Sekali sahaja ingkar cakap saya selepas ini, saya akan ajar dia!”
ucap Ariff serius.
“Selama ni saya tak perasan dia rupanya
sedang bercinta dengan seseorang. Pandai dia berselindung dari kita,” balas
Insyirah kesal.
“Dia dah tahu kita tak akan suka. Sebab
tu dia berahsia. Yang saya kesalkan, dia tahu kita tak akan suka. Tapi dia
tetap teruskan. Ini salah. Saya tak akan restui hubungan seperti ini. Kalau
lelaki itu orang yang baik-baik, saya tak akan halang. Tetapi lelaki itu.. Ah!
Sakit hati saya pandang muka dia.”
“Saya akan cuba bercakap dengan dia
nanti,” ucap Insyirah lembut. Mana tahu dengan nasihatnya anak itu mahu lembut
hati.
“Saya nak mandi ni. Hati saya panas, badan
saya pun ikut panas.” Ariff mengeluh sambil menggeleng. Pening dengan kerenah
anak-anak.
Ketika makan malam pada malam itu,
Jannah tidak turun. Masih tidak habis melayan rajuk.
“Kak Ana kenapa, mummy?” tanya Farouqe
hairan. Di dalam kamar tadi, dia terlihat kakaknya menangis depan ibunya sampai
bengkak mata. Macam ada masalah. Sekarang tidak mahu makan pula.
“Kak Ana tak sihat,” jawab Insyirah
perlahan.
“Sakit apa? Tadi Kak Ana cakap apa sampai
menangis, mummy?” tanya Farouqe masih tidak puas hati.
“Tak ada apalah.”
Farouqe mula memandang ayahnya. Ariff
hanya membisu sambil menikmati makanannya. Namun tampang keruh ayahnya
memaksudkan sesuatu. Cuma, dia tidak ingin terus bertanya kalau emaknya sudah
jawab begitu.
SETIA menunggu. Saad meluru ke arah pintu masuk kelab hiburan itu
saat terpandangkan Rayland dipapah seorang perempuan.
“Tuan Rayland..”
“You siapa?” tanya wanita itu hairan.
“Saya pemandu dia. Biar saya bawa dia
balik.”
“Ikut saya pulang?” pelawa Rayland dalam
keadaan mamai kepada gadis itu.
“Jangan! Awak pergilah,” tegah Saad
sambil menarik Rayland dari pegangan gadis itu. Rayland terus ditarik pergi.
“Hei! Mana awak nak pergi? Kita masih
belum habis berbual,” laung Rayland saat dia dipapah menuju ke kereta.
Saad terus menarik lelaki itu tanpa
mempedulikan Rayland sedang tidak tentu arah disebabkan mabuk. Lelaki itu
ditolaknya masuk ke dalam kereta. Rayland terbaring di kerusi belakang.
“Saya mahu perempuan itu ikut saya.”
“Tak boleh. Kalau tan sri tahu, bukan
setakat tuan aja yang kena marah. Saya pun kena.”
Rayland membebel lagi entah apa-apa
sepanjang dibawa pulang ke rumah. Saad hanya menggeleng sendiri. Seketika
kemudian lelaki itu senyap. Dah tidur agaknya.
Setiba
di rumah, Rayland terpaksa dikejutkan berkali-kali. Lena singkat itu
mengembalikan sedikit kewarasan Rayland. Lelaki itu duduk sambil meraup wajah di
antara pintu kereta yang sedang terbuka luas.
“Saya mabuk.”
“Ia.” Saad menjawab sepatah. Lelaki muda
itu diperhatikan tanpa jemu.
“Maafkan saya. Saya nak masuk dulu.”
Rayland terus keluar dari kereta itu.
“Tuan Rayland, maaf kalau saya menegur.”
Rayland kembali memandang Saad.
“Keadaan ni takkan disukai oleh tan sri.
Kalau dia tahu, buruk akibatnya. Saya tak mahu masuk campur dalam kehidupan
peribadi tuan. Tapi ini salah. Saya tahu tuan sunyi di sini. Ini bukan caranya
kita menghiburkan diri. Ingat sesuatu.. Tuhan tu wujud. Dosa pahala itu juga
wujud. Kehidupan selepas mati juga wujud. Malah akan kekal. Di mana kita berada
selepas mati nanti, bermula dari segala perbuatan kita atas dunia ini. Kita ni
hamba Tuhan. Kena sedar yang kita tak boleh buat sesuka hati kita. Hidup mesti
dalam batasan.”
Rayland sekadar memandang Saad. Namun kemudian
dia berpaling semula menuju ke rumahnya tanpa menjawab apa-apa. Saad terus berdiri
di situ sehingga bayang Rayland menghilang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan