BAB 12
AWAL pagi itu, dia membawa makanan naik untuk Farouqe. Adiknya
itu sudah semakin sihat. Ketika dia masuk, Farouqe sedang berbual di telefon.
Jannah terus meletakkan mangkuk bubur di atas meja Farouqe. Sempat dikerling
adik lelakinya itu.
“Abang belum sihat lagi ni..”
Jannah mencebi. Meluat dengar nada lemak
merdu tanda sedang mabuk asmara.
“Itulah. Sayang tak balik ziarah abang
pun? Macam mana nak sihat? Abang belum boleh bangun lagi ni. Sakit teruk,” ucap
Farouqe sambil memandang atas.
Sakit teruklah sangat! Jannah yang
mendengar rasa seperti mahu disimbahnya Farouqe dengan bubur panas itu. Semakin
lama semakin larut Farouqe melayan kekasih hatinya di telefon. Langsung tidak
peduli Jannah sedang menunggu di kerusi.
“Apa dia? Tak apa. Abang cuti lagi ni.
Dapat MC.”
Bosan menunggu, sudahnya Jannah bangun
lalu telefon itu dirampasnya.
“Hello! Call balik tahun depan ya?” ucap
Jannah kepada Adeline di hujung sana. Panggilan terus dimatikan dan telefon itu
dicampak ke atas tilam.
“Tu. Makan cepat! Meluat tahu? Menyampah
nak tunggu lama-lama,” bentak Jannah.
Terkebil-kebil Farouqe melihat kakaknya
naik angin tiba-tiba. Jannah terus keluar dari kamar itu. Terus dia masuk ke
dalam kamarnya. Punggung dihempas ke tilam.
Tiba-tiba dia merasakan dunianya terlalu
sepi. Rasa kehilangan. Tetapi kehilangan entah siapa. Sunyi. Sedih. Tertekan.
Semuanya bercampur gaul membuatkan dia merasa hidup benar-benar tiada erti.
Tidak tertahan lagi, Jannah menangis
sayu. Tanpa sebab. Semua rasa itu kiat kejam menekan jiwanya membuatkan dia
tidak tertahan. Jannah menangis semahu-mahunya sehingga suaranya kedengaran di
luar kamar.
Insyirah terhenti melangkah. Pantas
pintu kamar anak gadinya itu ditolaknya. Dia terpandangkan Jannah sedang
tertiarap di atas katil sambil menangis.
“Ana..” Insyirah terus masuk. Laju
langkahnya mendekati anak itu.
“Kenapa menangis, sayang?” tanya
Insyirah lantas duduk di birai katil.
Jannah menggeleng sambil mengusap pipi.
Wajahnya dipalingkan ke arah lain. Tidak mahu ibunya melihat keadaannya. Buat
seketika Insyirah memandang anak itu. Namun kemudian belakang Jannah diusap
lembut. Dia tahu apa yang sedang melanda anak ini.
“Ana, pandang mommy, sayang.” Insyirah
memujuk lembut. Kali itu bahu Jannah dipautnya. Meminta anak itu bangun.
Lambat-lambat Jannah bangun sambil
meraup wajahnya.
“Ana tak apa-apa, mommy.”
“Jangan bohong mommy. Mommy bukannya
baru semalam hidup,” ucap Insyirah lembut.
“Anak tak tahu kenapa Ana jadi macam ni.
Ana rasa sedih sangat. Tak tahu apa yang Ana sedihkan,” ujar Jannah perlahan.
“Ana masih ingatkan dia ya?” teka
Insyirah.
Jannah diam pula. Entah. Dalam dirinya
sepanjang masa ada tekanan yang menekan. Hati dan fikiran sentiasa tidak
selari. Kadang kala hatinya terus berperang sendiri dalam senyuman palsu. Dia
berpura-pura semata-mata tidak mahu ibu dan ayahnya gusar. Tetapi sampai satu
masa, semuanya membuak keluar dari jiwanya. Dia sudah tidak tertahan. Rasa
seolah-olah dia baru sahaja ditinggalkan kekasih.
“Kalau betul dia gunakan sihir untuk
dapatkan Ana, kenapa Ana rasa macam ni, mummy?” soal Jannah.
Insyirah menghela nafas perlahan sambil
mencari jawapan yang sesuai untuk membuat anak ini mengerti.
“Sihir pengasih ni mampu mengubah hati
seseorang dengan izin Allah, Ana. Orang yang terkena sihir ni tetap akan
merasai perasaan cinta, macam orang yang normal. Cuma, hati akan dikawal oleh
makhluk lain membuatkan rasa cinta tu menjadi sangat hebat. Bila makhluk tu dah
tak ada lagi, hati Ana ditinggalkan begitu saja. Perasaan tu akan kekal di situ.
Cuma penguatnya sudah tiada. Ana yang harus membersihkan saki baki rasa yang
tertinggal tu. Juga merawat semula hati yang dah dipergunakan
sewenang-wenangnya oleh makhluk jahat tu. Inilah bahagian yang sedang Allah uji
ke atas diri Ana. Hati tu dah cedera. Pasti ada rasa sakitnya. Perlu dirawat
selalu untuk kembali ke bentuk asal. Mummy faham bukan senang Ana nak tepis
semua rasa tu. Seolah-olah Ana baru saja putus cinta. Tapi ingat sesuatu,
sayang. Cinta yang benar adalah cinta yang kenal hakikat dan hak. Apabila
sesuatu yang kita mahukan, tidak diizinkan Allah. Kita harus siap
melepaskannya. Tidak dalam sehari, tidak dalam dua hari keadaan ini akan pulih.
Tetapi selagi kita bersabar dan terus bergantung kepada Allah. Insya-Allah,
Allah akan bantu Ana keluar dari kesakitan ni. Tiada cubaan yang Allah beri
berlebihan dari kekuatan Ana untuk bersabar,” ucap Insyirah sambil mengusap
bahu anaknya.
Jannah menangis lagi mendengar kata-kata
ibunya. Sedar dirinya sudah tidak seperti dahulu. Dan begitu payah untuk
kembali semula seperti dahulu. Kadang kala dia rasa sensitif tidak kena pada
tempat. Mahu marah orang sekeliling tanpa alasan. Semua itu datang tanpa boleh
dikawal.
“Beristighfar selalu. Mummy faham. Bukan
mudah untuk Ana bertahan dalam keadaan begini. Tapi daripada kita terus tunduk
kepada perasaan yang salah, yang membawa kita ke arah kesesatan, lebih baik
begini. Kedua-dua jalan itu akan beri kesan yang besar pada hidup Ana. Perasaan
yang tak elok tu mesti dilawan. Setiap malam, bacakan ayat 285 dan 286 dari
surah Al Baqarah. Insya-Allah kita akan terlepas dari gangguan iblis dan
syaitan yang mahu kita sesat.”
Jannah menarik nafas perlahan sambil
meraup wajahnya. Semakin banyak dia menangis, semakin lemah dia rasakan.
“Mengadu pada Allah. Menangislah depan
DIA. Allah maha mengetahui, sayang. Allah tahu hati setiap hamba-hamba-Nya.
Masakan Allah tak kasihankan kita?” ujar Insyirah lagi.
Jannah akhirnya mengangguk perlahan.
“Turun bawah ya? Tak elok duduk
bersendirian. Akan ada makhluk lain temankan kita. Selalu berbual dengan mommy
ya? Sibukkan diri dengan kerja lain. Lama kelamaan Ana akan pulih semula,” ucap
Insyirah lantas meraih jemari anaknya.
Jannah mengangguk lagi. Memang disetiap
masa dia hanya mahu bersendirian. Tetapi sebenarnya itulah saat yang tepat
untuk dia menjadi lemah. Akhirnya dia tunduk kepada hasutan.
Di bawah, Insyirah dihubungi suaminya.
Lelaki itu bertanyakan tentang keadaan Jannah.
“Dia menangis tadi,” kata wanita itu
perlahan.
“Kenapa?”
“Tak ada sebab. Saya nampak dia agak
tertekan. Mungkin dia dah tak tahan,” jawab Insyirah rendah.
“Jangan biarkan dia berkurung dalam
bilik. Suruh dia buat apa-apa kerja supaya dia sibukkan diri. Kalau dia terus
termenung, susah untuk dia sembuh,” ucap Ariff lembut.
“Dia di dapur sekarang.”
“Rayland ada bercakap tentang hasratnya
kepada Ana.” Ariff mula berkisar tentang anak muda itu pula.
“Apa dia kata?” balas Insyirah pantas.
“Dia mahu melamar anak kita. Dia sukakan
Ana.”
“Saya dah agak dia ada hati pada Ana.
Jadi awak jawab apa?” tanya Insyirah lagi. Berita itu tiba-tiba merubah rentak
hati si ibu. Entah kenapa dia suka.
“Saya masih fikirkan jawapannya. Apa
kata awak?” tanya Ariff pula.
“Kalau perkahwinan mereka berdua boleh
membawa Rayland dekat dengan keluarga kita, saya terima dengan lapang dada. Ana
perlukan seorang lelaki untuk sayangkan dia. Bukan awak, bukan abang-abang dia.
Tapi lelaki lain. Dia perlukan teman. Rayland dah memadai untuk Ana. Saya
sukakan keperibadian dia. Saya tahu dia tidak tinggi ilmu agama. Tapi dia ada
hati yang lembut. Saya boleh mengangankan sebaik-baik lelaki yang akan menjadi
suami kepada anak kita. Tapi ada sebab kenapa Allah hadirkan lelaki macam dia
di waktu emosi Ana sakit. Dia jujur dengan perasaannya. Dia tidak hanya
mencintai Ana ketika Ana hanya sihat.”
“Saya juga fikir begitu. Saya teringat
kata-kata Syeikh Marwan dulu. Seeloknya Ana dikahwinkan. Tapi yang merunsingkan
saya, dia pasti tidak akan setuju. Dalam keadaan begini, saya tak mahu buat
jiwa dia lebih tercalar.”
“Awak ayah dia. Saya tahu dia akan
mendengar kepada awak. Ariff, niat kita hanya mahu yang terbaik untuk anak
kita. Saya percaya restu dari Allah juga ada bersama kita,” ucap Insyirah
lembut.
“Tak apalah. Petang nanti saya akan
bercakap dengan dia. Jaga dia baik-baik. Selalu perhatikan dia,” balas Ariff
kepada isterinya.
“Insya-Allah. Awak pun jaga diri. Jangan
lupa makan tengahari nanti,” balas Insyirah pula.
“Ia, sayang. Assalamualaikum..”
Talian dimatikan setelah menjawab salam
itu. Seketika kemudian Insyirah ke dapur. Jannah sedang membantu pembantu rumah
memasak. Ummu Malika sedang berdiri di sebelahnya, memerhatikan apa yang dibuat
oleh Jannah.
“Mommy dengar ada seorang lelaki sukakan
Ana. Betul ke?” ujar Insyirah lantas menyentuh bahu Jannah.
“Siapa?” tanya Jannah macam tidak
berminat.
“Rayland.”
Jannah mencebik. “Ana tak ada hati
dengan dia pun,” ucap Jannah hampir tidak kedengaran suaranya.
“Alhamdulillah.. lelaki yang baik untuk
wanita yang baik, Ana. Ummu dapat rasakan Rayland itu lelaki yang baik.” Malika
berkata lembut.
“Ana tak nak dia.”
Insyirah dan Malika saling berpandangan.
Malika mengusap bahu Jannah perlahan.
“Mata kita biasa berdusta dengan apa
yang kita pandang. Tetapi percayalah, kadang kala apa yang kita tidak suka
itulah yang terbaik untuk kita. Sudah tentu ada sebabnya mengapa dalam begini
dia meluahkan isi hatinya tentang Ana,” ujar Malika lagi.
Jannah diam sambil menunduk. Insyirah
sekadar membisu, membiarkan Malika pula menasihati anak ini.
“Ana, suatu masa dulu.. ketika itu Ana
masih belum lahir. Ada seorang perempuan yang bergelut dalam hidup dan
rumahtangganya. Demi anak-anak. Di satu bahagian lelaki yang hadir dalam hidup
perempuan itu tidak disukainya, tidak dicintainya. Tetapi lelaki itu tetap ada
dan terus ada dalam hidupny. Sehingga dia merasakan dia tidak mampu melarikan
diri dari lelaki itu. Bagaimana untuk dia lari? Lelaki itu adalah suaminya.
Pernah beberapa kali dia hampir patah semangat. Ummu menyaksikan itu sendiri,
nak. Tapi ummu minta dia terus bergantung kepada Allah. Allah tahu apa yang
berlaku kepada setiap hamba-Nya. Bukan mudah untuk kita mengubah diri. Apatah
lagi mengharapkan orang lain berubah. Kesabaran yang diperlukan bukan sedikit.
Bukan dalam sehari dua. Tapi tujuh tahun! Tetapi sesudah puas dia bersabar, dia
bertawakkal kepada Allah. Lelaki yang dahulu pernah dibencinya berubah menjadi
seorang manusia yang amat disenangi ramai orang sekarang.”
“Siapa orang tu, ummu?” tanya Jannah
setelah dia menoleh.
Malika tersenyum. “Itu rahsia. Kisah itu
besar ertinya. Allah mampu mengubah hati seseorang jika DIA mahu. Begitu juga
hati kamu, hati Rayland. Cuba berikan peluang itu kepada Rayland. Ummu percaya
dia tidak main-main dengan hasratnya kepada kamu.”
Jannah kembali membisu.
“Kamu mirip sekali seperti wajah ibu
kamu ketika dia masih muda, Ana. Jiwa kamu besar. Jangan kamu patah semangat
dengan dugaan sekali ini. Terima sesuatu yang datang itu dengan hati yang
terbuka. Setiap dugaan Allah itu ada hikmahnya. Siapa tahu Allah sedang membuka
pintu jodoh buat kamu,” ujar Malika lembut.
Jannah terus membisu. Namun Insyirah
tersenyum lembut di belakang Jannah.
“Mommy suka juga kalau dapat menantu rambut
perang ni. Macam daddy Ana. Mana tahu nanti Ana dapat anak elaki rambut perang macam
Farouqe. Atau yang banyak mulut macam Fira,” sakat Insyirah lantas membuatkan
Malika ketawa.
Biarpun cuba ditahan, Jannah ketawa juga
dengan usikan ibunya. Lucu mendengar emaknya menyebut tentang kembar Farouqe
dan Afyra. Namun kemudian tawanya memudar saat terkenangkan lelaki bernama
Rayland itu. Dia sudah lama tahu lelaki itu sukakan dia. Asyik mahu mendekati
dia biarpun dia rimas. Baikkah lelaki itu sebenarnya?
Entahlah. Dia tidak tahu apa-apa pun
tentang lelaki itu. Kerana, dia sebenarnya tidak pernah cuba untuk mengambil
tahu!
MALAM itu semua anak dan menantu dipanggil pulang oleh Ariff.
Kecuali Afyra yang masih berada di London. Lelaki itu teringin mahu berkumpul
dengan anak-anak. Sementelah ada berita penting yang hendak dikhabarkan.
“Mungkin dalam masa terdekat ni rumah
kita akan meriah dengan majlis perkahwinan.”
Berderau darah Jannah mendengar
kata-kata ayahnya. Semua mata di meja itu terus memandang ke arah Ariff.
“Serius, daddy? Macam dah boleh teka
siapa dengan siapa ni.” Imanina membalas teruja.
Jannah tunduk memandang pinggan. Tahu,
kalau sudah dengar nada ayahnya begitu bermakna keputusannya sudah bulat.
“Siapa, Iman?” tanya Mikhael kepada
adiknya.
Imanina terus memuncungkan mulutnya ke
arah Jannah yang duduk di hadapannya.
“Really? Siapa bakal suaminya? Jangan
kata si tua kerepot tu. Please! Tak lalu nak makan nanti ni,” ucap Mikhael
sambil membuat mimik muka geli.
“Mika!” Insyirah terus menjegilkan
matanya kepada anak keduanya itu. Tidak senang membiarkan lelaki itu
diungkit-ungkit di hadapan Jannah.
“Apa? Betullah apa yang Mika cakap.”
Ariff menghela nafas perlahan sambil
mengerling Jannah. “Rayland melamar Ana untuk dijadikan isteri.”
“Wow! Berita baik ni, Ana. Sepadan
dengan Ana. Kak Iman rasa dia memang dah lama sukakan Ana tu.” Imanina cuba
menyemarakkan suasana biarpun dia lihat Jannah hanya membatu. Tidak gembira
langsung dengan berita itu.
Jannah terus bungkam tanpa memandang
sesiapa. Suapan nasi ke mulut amat perlahan.
“Kita akan adakan majlis bertunang dalam
masa terdekat ini,” ucap Ariff lagi. Nadanya serius itu sebenarnya ditujukan
kepada Jannah. Spontan Jannah mengangkat pandangan kepada si ayah.
“Daddy.. bagilah Ana masa untuk
bersedia.” Jannah mula mengeluh.
“Kamu memang ada masa untuk bersedia.
Kalau daddy terus biarkan kamu, alamatnya sampai bertahun pun kamu akan tetap
begini. Tempoh bertunang nanti adalah waktu yang tepat untuk kamu bersedia!”
balas Ariff serius.
Meja makan itu mula bungkam. Ariff terus
memandang Jannah. Anak itu kembali tunduk memandang pinggan.
“Kamu tidak akan membukakan pintu hati
kamu pada lelaki lain begitu sahaja. Itu yang hati kamu suruh kamu buat
sekarang! Bukan sekadar Rayland, lelaki lain juga sukar untuk masuk ke dalam
kehidupan kamu selagi kamu begini, Ana.”
Jannah hanya diam mendengar bebelan
ayahnya. Dia sedar ada waktunya dia lalai sehingga menurutkan emosi.
“Ana, terimalah dengan lapang dada. Ana
perlukan seseorang dalam hidup Ana. Seorang sahabat yang mampu faham Ana.
Sahabat di luar perkahwinan dan di dalam perkahwinan tu tak sama. Abang sokong
keputusan daddy. Abang rasa ini lebih baik untu Ana,” ujar Rafael turut cuba
memujuk adiknya.
“Abang Rayland tu handsome sangat. Dia
pakai susuk tak?” tiba-tiba si bongsu Rania mencelah. Spontan Insyirah menekup
mulut Rania. Mata Ariff sudah terjegil kepada anak bongsunya itu.
“Jangan sebut benda begitu dalam rumah
ni!” tekan Ariff.
Jannah kemudian memandang ayahnya. “Ana
tak tahu macam mana nak terima keadaan ni, daddy. Ana sikit pun tak ada hati pada
dia.”
“Kamu akan terima begitu sahaja jika
kamu bukakan pintu hati kamu kepada hakikat ini. Lelaki tua itu bukan lelaki
yang baik untuk kamu. Jodoh kamu dengan orang lain. Berhenti fikir tentang dia.
Dan tumpukan perhatian kamu kepada kehidupan yang bakal kamu lalui nanti,”
jawab Ariff serius.
Seluruh adik beradik memandang ke arah
Jannah. Masing-masing berharap akan ada sinar yang baru melanda kehidupan gadis
itu. Cukuplah dengan dugaan yang lalu.
Lama Jannah berdiam. Berfikir. Antara
benar dan salah, jiwanya bersimpang siur. Namun dia teringat kata-kata Syeikh
Marwan kepadanya tempoh hari. Sekiranya dia keliru, minta tolong orang sekeliling
untuk tunjukkan jalan. Orang yang terbaik sudah tentulah kedua ibu dan ayahnya.
“Ana setuju, daddy. Tapi Ana minta daddy
izinkan Ana masuk kerja semula. Ana bosan duduk rumah aja.” Jannah akhirnya
menjawab perlahan.
Kalimah alhamdulillah teralun serentak
di meja makan itu usai mendengar jawapan Jannah. Orang yang paling gembira
sudah tentulah Ariff.
“Selepas bertunang nanti, Ana boleh
masuk kerja,” ucap Ariff akur. Sedar, tidak selamanya dia mampu mengurung anak
itu di rumah.
“Terima
kasih, daddy.”
Bagus...lawan rasa yg tah ape2 tu
BalasPadamBagus...lawan rasa yg tah ape2 tu
BalasPadam