BAB 11
“MASIH
ada mimpi yang datang?” tanya Syeikh Marwan kepada Jannah.
Jannah sekadar menggeleng.
“Alhamdulillah.. petanda baik tu. Teruskan
kehidupan kamu seperti biasa tanpa mengabaikan amalan kamu selama ini.
Insya-Allah.. lama kelamaan kamu akan kembali normal,” ujar lelaki tua itu
lembut.
“Saya selalu rasa kosong, pak cik.
Kadang kala saya rasa tak suka bercakap dengan orang.”
“Semua orang baru terlepas dari sihir
memang akan merasa begitu. Baik sihir pembenci atau sihir pengasih, kesannya
sama aja. Kamu akan merasa macam-macam! Hati kamu selalu tidak tetap. Itu
sebabnya kamu disuruh perbanyakkan amalan supaya daki-daki yang kotor itu dapat
dibuang. Kekuatan untuk melawan sakit itu hanya akan datang setelah kamu
meminta dari Allah, Ana. Jangan putus asa. Ini semua hanya sementara,” ucap
Syeikh Marwan lembut.
Jannah mengangguk perlahan. Saat dia
menoleh, terpandangkan renungan Rayland kepadanya. Cepat-cepat dia melarikan
pandangannya.
“Saya harap selepas ini keluarga ini
dapat hidup seperti mana dulu semula. Bersabarlah dengan ujian ini. Manusia
banyak diuji itu kerana Allah cinta kepadanya. Makin besar ujian, makin besar
kebergantungan kita kepada Allah. Setiap sesuatu itu tetap ada hikmah.”
Ariff mengangguk perlahan. Akur dengan
kebenaran kata-kata lelaki itu.
“Saya rasa bersyukur. Sekurang-kurangnya
saya dapat mengetahui tentang sesuatu yang saya tidak pernah tahu. Saya bertuah
dapat mengenali seorang yang banyak ilmu seperti Syeikh,” ujar Ariff pula.
“Ilmu itu Allah turunkan untuk panduan
manusia, tuan. Kita berbagi-bagi kebaikan itu adalah sesuatu yang dituntut ke
atas semua orang. Saya juga senang melihat keluarga tuan. Tuan dan puan telah
dikurniakan anak-anak yang baik.” Syeikh Marwan tersenyum memandang setiap
orang di ruang tamu itu.
“Mungkin juga ini adalah bakal menantu,”
sambung Syeikh Marwan sambil memandang ke arah Rayland. Tersentak Rayland saat
dipandang oleh semua orang. Syeikh Marwan ketawa kecil melihat gelagat anak
muda itu.
Rayland tergaru-garu sambil menyengih
kelat.
“Saya nampak dia asyik pandang Ana..”
Syeikh Marwan tersenyum sendiri melihat Rayland malu-malu kucing. Jannah apatah
lagi. Terus tunduk.
Jam 10 malam, Ariff bersama Rafael
menghantar kepulangan Syeikh Marwan dan Mirza. Mereka sambung berbual lagi di
luar. Rafael lebih senang berbual dengan Mirza yang lebih kurang sebaya
dengannya.
“Jika ada orang yang ikhlas dengan Ana,
kahwinkanlah mereka. Itu lebih baik untuk Ana. Perkahwinan mampu menjadi
batasan kepada banyak perkara buruk,” nasihat Syeikh Marwan lembut.
“Saya bimbang dia tidak mampu memberi
sepenuh hati kepada suaminya, Syeikh.”
“Jangan anggap begitu. Semua itu tidak
akan datang begitu saja tanpa usaha. Sudahkah tuan persiapkan ilmu untuk anak
gadis tuan menjadi isteri? Saya percaya dia sudah tahu batas dan kewajipan
sebagai isteri. Manusia.. kebanyakan memang tahu tugas dan tanggungjawab baik
sebagai siapa pun. Tetapi menunaikannya tidak. Ada yang tidak istiqamah. Kemampuan
kita ke atas diri sendiri juga tidak seberapa. Semuanya ihsan dari Allah. Kita tidak
mampu memandu diri begitu saja jika tidak meminta kepada Allah. Orang yang
jahat mampu menjadi baik. Yang baik tidak kurang juga terkeluar dari
landasannya. Tiada jaminan yang kita mampu mengawal takdir dengan tangan
sendiri. Sebaliknya takdir itu milik Allah. Kita kena meminta dari Allah jika
mahukan takdir yang baik.”
Ariff mengangguk perlahan.
“Kita manusia perlukan bimbingan dari
Allah biar siapa pun kita. Setiap udara yang kita sedut itu pun milik Allah. Inikan
pula kudrat dan akal pemikiran yang baik. Semua itu pemberian Allah. Jangan gusar,
tuan. Saya percaya Ana mampu menjadi wanita yang solehah. Dan lelaki yang
mendampinginya juga sudah tentu dari kalangan orang yang baik.” Syeikh Marwan menepuk
bahu Ariff lembut.
“Lihat keperibadian seorang lelaki itu
ketika dia berusaha keras mengawal segala macam jenis nafsunya. Yang tinggi
kesabarannya. Insya-Allah.. saya pasti tuan tidak akan teragak-agak untuk
meminang lelaki itu sebagai menantu.”
“Saya akan cuba fikirkan apa yang Syeikh
katakan tadi,” balas Ariff sambil mengangguk.
“Alhamdulillah. Saya balik dulu. Sudah larut
malam. Assalamualaikum..”
Ariff menjawab lembut salam lelaki itu. Dia
terus berdiri memandang Syeikh Marwan dan Mirza berlalu.
“Daddy, apa pak cik tu cakap pasal Ray
tadi?”
Ariff tersenyum sedikit kepada Rafael.
“Rayland sukakan Ana.”
“Really? Patutlah Ray selalu memerap kat
rumah kita sekarang. Nak tackle Ana rupanya.” Terbuntang sedikit mata Rafael.
“So, apa lagi daddy? Kahwinkan Ana
dengan Ray. Abang tak ada hal!” ucap Rafael teruja. Lebih baik si Rayland berbanding
lelaki bersusuk itu!
Ariff sekadar tersenyum sendiri. “Marilah
masuk. Dah lewat ni,” ujar sang ayah lembut.
Di dalam rumahnya, anak-anak masih ada
yang berlegar di ruang tamu. Jannah dan Rania sudah naik ke atas.
“Apa yang sembang lama benar kat luar
tu, daddy?” tanya Insyirah sebaik sahaja terlihat wajah suaminya.
“Tak ada apa. Hanya sembang kosong.”
“Emm.. pak cik, saya rasa saya nak
pulang ke rumah saya sekarang.” Rayland tiba-tiba mencelah.
Ariff memandang jam di dinding. Sudah hampir
jam 11 malam.
“Esok saja, Rayland. Sudah lewat ni,”
ucap Ariff lantas kembali duduk di tempatnya tadi.
Rayland diam pula. Keinginan untuk
pulang sekadar hangat-hangat tahi aja saja sebenarnya. Kalau boleh dia mahu
melekat di rumah ini lebih lama lagi. Namun semenjak diusik oleh Syeikh Marwan
tadi, dia merasa malu untuk berada di situ.
“Sehari dua ini keadaan kita baik-baik
saja. Esok lusa belum tahu lagi,” ujar sang ayah perlahan. Matanya memerhatikan
setiap anak dan menantu yang ada di ruang tamu itu.
“Syukur kepada Allah. Dugaan seberat ini
tidak menjadikan kita jauh dari apa yang Allah inginkan dari kita semua. Kita melihat
kuasa Allah menentukan dan mengubah sesuatu dengan mudah. Hidup memang tidak
akan sunyi dari ujian. Kerana Allah tidak mahu kita lupakan DIA.”
“Rafael.. sebagai ketua keluarga,
persiapkan diri dengan ilmu. Apabila kamu diuji dengan dugaan seperti ini, kamu
tidak akan menggelabah. Belajarlah. Sampai masanya nanti, ajarkan kepada
anak-anak kamu. Kadang kala kita merasa ilmu yang kita ambil dan kita simpan dalam
diri kita itu sudah cukup. Tetapi sebenarnya tidak. Untuk menepis kuasa-kuasa
syaitan seperti sebelum ini, itu tidak mudah. Kita bernasib baik.” Kali itu
pandangan Ariff terhala kepada anak sulungnya. Rafael mengangguk tanda setuju
dengan kata-kata ayahnya. Sebaliknya Rayland hanya terkebil-kebil, tidak faham
apa yang sedang diucapkan Ariff.
“Di kolej Umar boleh belajar ilmu syifa
dengarnya,” ujar Insyirah pula. Ariff mengangguk. Syeikh Marwan itu merupakan
guru kepada Umarul.
“Dalamilah pengetahuan kita tentang
tauhid. Itu adalah asas yang mampu mengangkat kepercayaan kita kepada Allah.”
“Abang ada berbual dengan pak cik tu
sebelum ni. Banyak yang dia ajar abang. Tentang hijab antara kita dan Allah. Mengapa
doa kita tidak dimakbulkan. Kadang kala kita meminta dari Allah tanpa khusyuk. Hati
tidak mampu meletakkan Allah di tempat yang paling tinggi,” balas Rafael.
“Kadang kala kita meminta tolong dari
Allah, ada bisikan dalam diri kita. Adakah Allah akan membantu aku? Dalam diri
ada keraguan. Sesungguhnya bukan senang untuk menghakis keraguan itu,” komen
Ariff perlahan.
“Abang faham apa yang daddy maksudkan.”
“Kerana itu daddy mahu semua anak lelaki
daddy dalami agama, Rafael. Kamu semua sedang memimpin keluarga. Ada juga yang
akan memimpin keluarga suatu hari nanti. Dunia ini terlalu luas untuk kita
kejar sepanjang hidup kita. Takkan pernah cukup sedangkan usia kita ada hadnya.
Sampai satu masa semua ini akan kita tinggalkan walaupun kita tak mahu
meninggalkannya. Ketepikan dunia buat seketika. Carilah ilmu akhirat sebagai
panduan untuk kita hidup sebaik-baiknya,” nasihat sang ayah perlahan.
Rafael tunduk mendengar bicara sang
ayah. Ujian ini merupakan satu peringatan dari Allah buat mereka. Sesungguhnya
untuk mendapat tempat di syurga Allah nanti tidaklah mudah jika tidak diuji di
atas dunia ini. Dan hakikatnya manusia, akan ada waktunya pasti terlalai.
“ASSALAMUALAIKUM,
pak cik..”
Ariff menoleh saat derianya disapa salam
itu. Salam itu dijawab lembut.
“Pak cik sihat?” ucap Rayland lembut.
“Alhamdulillah. Kamu pula bagaimana?”
“Saya dah sihat. Alhamdulillah..”
Rayland mengukir senyum sambil merenung tampang lelaki tua itu.
Ariff turut tersenyum. “Kamu cukur
misai?”
“Ia. Saya tengok ramai orang buat
begini. Saya ada bertanya kepada imam. Katanya ini sunnah Nabi Muhammad SAW.
Mudah saja dapat pahala rupanya,” balas Rayland dengan senyum senang.
“Ia. Sebaiknya buangkan misai. Petanda
kamu adalah lelaki islam. Orang yang memandang juga akan tahu tanpa perlu
bertanya tentang agama kamu,” ujar Ariff lembut. Kalau rupa mereka seperti
Melayu, sudah pasti orang tidak akan keliru. Tetapi mereka berdua tidak ada
rupa Melayu langsung.
“Kadang-kadang bila saya masuk ke
masjid, orang akan memandang pelik pada saya. Tapi saya tak ambil hati. Saya dah
biasa.”
“Mari kita pergi sarapan dulu,” ajak
Ariff seketika kemudian. Mereka berdua menikmati sarapan pagi di tempat biasa.
“Jannah macam mana sekarang, pak cik?”
tanya Rayland seketika kemudian. Setiap hari dia hanya terpandangkan kamar kerja
Jannah kosong tanpa tuannya. Hatinya meronta oleh rindu.
“Masih juga begitu. Dia mesti selalu
diperhatikan. Kadang kala mood dia berubah mendadak. Tidak mahu bercakap dengan
orang. Lekas naik marah biarpun sekadar dengan gurauan kecil.”
Rayland sekadar mendengar. Faham benar
akan keadaan itu. Dengan dia lebih lagi. Jannah langsung tidak mahu didekati.
Teringat semula segala yang berlaku malam dia dipeluk Jannah itu. Hati semakin
mendambakan gadis itu. Resah. Mabuk asmara. Asalkan terlena saja mulalah dia
termimpikan Jannah.
“Semenjak kebelakangan ni saya selalu
mimpikan Ana,” luah Rayland perlahan.
“Mimpikan Ana?”
“Ia. Mungkin saya terlalu fikirkan dia,
pak cik.” Rayland berkata perlahan.
Ariff diam tanpa sebarang komen. Apa yang
hendak disampaikan Rayland seakan sudah dapat ditekanya.
“Saya minta maaf. Saya terpandang dia
tanpa hijab tempoh hari. Saya tak sengaja. Saya terkejut dengar dia menjerit
begitu kuat. Waktu tu saya berjalan depan bilik dia,” ucap Rayland lagi.
Wajah Ariff berubah sedikit mendengar
itu. Ya. Dia tidak teringat langsung yang Rayland berada di dalam kamar Jannah
dalam keadaan anaknya hanya berpakaian tidur.
“Kamu sukakan Ana?” tanya Ariff dengan
kerutan di kening.
“Ia.” Rayland tunduk tidak mampu
memandang lelaki tua itu.
“Jadi apa yang kamu mahukan sekarang?”
tanya Ariff lagi.
Rayland kembali mengangkat pandangan. Peluang
seperti ini tidak akan selalu datang. Lebih baik dia memberanikan diri saja.
“Saya nak dia jadi milik saya.”
“Dalam keluarga pak cik, menjalinkan
hubungan cinta seperti yang selalu berlaku sekarang tidak kami amalkan. Keluar
berdua-duaan dengan lelaki ajnabi, pak cik tidak izinkan. Baik siapa pun lelaki
itu,” ujar Ariff.
“Saya faham, pak cik.” Rayland menghela
nafas perlahan. Cuba memberanikan diri untuk meluahkan isi hatinya.
“Saya tak sanggup biarkan dia dimiliki
lelaki lain.”
“Maksud kamu?” kening Ariff berkerut
tebal.
“Saya tahu Ana sukakan lelaki lain. Saya
tak boleh terima keadaan itu. Saya rasa saya lebih layak bersama dengan dia
berbanding lelaki tua tu. Saya nak dia jadi hak saya. Isteri saya. Saya akan
buat apa saja sehingga saya diterima,” ucap Rayland bersungguh.
Terdiam Ariff mendengar pengakuan berani
mati Rayland. Sungguh berani! Lama pandangan matanya singgah di wajah Rayland.
Dia tahu anak ini tidak bermain-main dengan kata-katanya.
“Kamu baru kenal Ana. Kamu tidak tahu
sikapnya seperti mana,” ujar Ariff perlahan.
“Saya nampak dia cukup rapat dengan pak
cik. Dia anak yang manja. Sebelum ini saya pernah mengajak dia keluar. Tapi dia
kata dia takut pak cik marah. Saya tahu dia anak yang patuh. Itu sedikit
sebanyak yang saya lihat pada dia,” jawab Rayland.
Ariff diam sambil menghirup kopinya.
Sambil itu fikirannya terus berkisar tentang apa yang dibentangkan kepadanya
saat ini.
“Saya takut suatu hari nanti dia akan
pergi pada lelaki tu. Sedangkan saya tak mampu melupakan dia. Apa yang patut
saya buat, pak cik?” ujar Rayland lagi. Kata imam yang mengajar dia setiap
malam, setiap kebaikan yang dia inginkan di dalam hidup, dia harus meminta dari
Allah tanpa putus asa. Namun mengharapkan segalanya datang begitu sahaja juga
tidak menjadi.
“Ana tahu tentang ini?” ujar Ariff pula.
Rayland mengangguk terlebih dahulu. “Dia
menolak saya.”
“Itu dah pasti,” sambut Ariff selamba.
Dalam keadaan begitu, masakan Jannah mahu berpaling kepada orang lain. Dia
tahu, biarpun Jannah cuba menyembunyikan, masih ada waktunya Jannah akan
mengenang lelaki itu. Biar apa terbentang di hadapan mata, masih juga dia tidak
percaya.
“Saya tak sempurna sebagai seorang
lelaki. Sebagai orang islam, saya masih dikira lemah. Tetapi saya berjanji akan
berusaha untuk menjadi lelaki yang terbaik untuk Jannah, pak cik. Saya mahu
menjadikan dia sebagai teman hidup saya. Saya akan jaga dia dengan baik. Kerana
dia begitu istimewa di mata saya,” ucap Rayland lagi.
“Ana tu ada masalah. Yang pastinya,
keadaan itu tidak akan pulih dalam masa yang singkat, Rayland. Itu bukan mudah
untuk kamu. Kamu semestinya mengharapkan dia akan menyayangi kamu semula. Tetapi
sebelum dia mampu menerima orang lain, hatinya mesti sembuh terlebih dahulu,”
jelas Ariff.
“Saya dah tahu tentang itu, pak cik.
Mungkin saya tamak. Tapi saya lebih rela berusaha mendekatkan diri saya kepada
dia daripada terus menunggu dia akan pandang saya begitu saja. Saya tahu dia
tidak akan membiarkan itu berlaku. Saya akan menjaga dia sebaik-baiknya, pak
cik. Sehingga dia benar-benar sembuh. Berilah peluang itu pada saya,” ujar
Rayland lembut.
Ariff terus terusan membisu. Berfikir sedalam-dalamnya.
Tiba-tiba dia teringat kata-kata Syeikh Marwan tempohari. Sebaiknya Jannah
dinikahkan supaya dia dapat melupakan lelaki itu. Perkahwinan juga dapat
memelihara dia dari anasir yang tidak baik.
“Biar pak cik berbincang dengan mak cik
kamu dulu. Pak cik akan berikan jawapannya nanti,” ucap Ariff lembut.
“Terima
kasih kerana sudi mendengar, pak cik. Saya hargai.”
Wow.....good
BalasPadamWow.....good
BalasPadam