BAB 9
JAM tujuh pagi itu Ariff keluar ke halaman rumah.
“Tan sri..” sapa Abduh.
Ariff sekadar mengangguk sambil
mendekati pintu pagar yang masih bertutup rapat. Dari sebalik pintu pagar dia
memandang ke hadapan rumah. Terlihat anjing itu terbaring tidak bergerak. Jirannya
cuba mengangkat anjing besar itu untuk dialihkan.
“What happened to your dog?” tanya Ariff kepada jirannya.
“Mati,” jawab Mr. Lim sepatah. Sedih benar
melihat binatang kesayangannya itu mati begitu saja.
Ariff diam. Simpati dengan nasib makhluk
itu. Banyak jasanya selama ini. Peristiwa malam tadi masih terngiang-ngiang
dalam fikirannya.
Lama mata Ariff memerhatikan jirannya
itu. Kemudian dia berjalan ke pintu pagar kecil. Dari dalam dia menjengah ke
luar. Sekadar mahu melihat ada apa-apa yang aneh di situ. Tiada. Kemudian dia
berjalan ke penjuru tembok pagar rumahnya. Dari dalam tembok rendah yang
dipasang jeriji besi itu dia menjengah ke luar. Tiada apa-apa juga di situ.
Apa sebenarnya yang berlaku semalam? Bisik
hatinya sendiri.
Kemudian Farouqe keluar dari rumah untuk
ke kolej seperti biasa. Namun sebelum menuju ke keretanya, dia terpandangkan ayahnya
sedang berdiri di penjuru halaman rumah.
“Daddy buat apa tu?” tanya Farouqe
kepada Abduh.
“Entah.” Abduh sekadar memandang lelaki
tua itu berdiri sambil memandang ke hadapan. Kedua-dua tangannya diletakkan di
belakang punggung sambil jarinya menggetel buah tasbih.
Farouqe membuka pintu keretanya
sementara pintu pagar dibuka dari jauh oleh Abduh. Enjin kereta dihidupkan
Farouqe seketika sebelum dia mendekati ayahnya.
“Daddy, Farouqe nak pergi kolej.”
Ariff menoleh kepada anak lelakinya itu.
Huluran tangan Farouqe disambutnya.
“Ada apa, daddy?” tanya Farouqe usai dia
mengucup tangan ayahnya.
“Booby mati. Daddy cuma tengok apa Mr.
Lim buat.”
“Booby mati?” balas Farouqe terkejut.
“Nak pergi tengoklah. Kenapa dengan booby?”
ucap Farouqe kepada Abduh.
Farouqe mula terlupa hasrat untuk segera
ke kolej. Abduh ikut bersama. Namun sebaik sahaja mereka melepasi kawasan
pagar, ada angin tiba-tiba menampar wajah mereka berdua. Abduh sempat
berpaling. Dalam masa yang singkat kerongkong mula terasa sakit. Dia berpatah
balik ke belakang.
“Ya Allah! Apa benda ni?” Abduh mula
memegang dada. Pandangannya mula kabur. Permandangannya bertukar menjadi kelam.
Hanya ada kabus putih yang kelihatan.
Farouqe terkaku di tempat dia berdiri. Pandangannya
sudah kelam kesemuanya.
“Daddy..” kerongkongnya mula terasa
mengeras. Tidak mampu berkata-kata lagi. Dalam keadaan pandangan sudah lumpuh,
sebelah tangannya teraba-raba mencari tempat untuk berpegang. Sebelah tangan
lagi memegang leher yang terasa sedang dijerut amat kuat. Dadanya terasa amat
bisa. Macam ada benda tajam menjalar di tenggoroknya. Namun separuh jalan dia
sudah tersandar di tembok tepi pintu pagar. Kepalanya juga mula terasa sakit.
“Bang, tolong saya..” Farouqe sedar
kata-kata itu hanya kedengaran dalam dirinya. Lidahnya tidak mampu digunakan
lagi.
Abduh mengengsot masuk semula ke dalam
kawasan rumah. Tidak berdaya mahu membantu Farouqe, dalam keadaan begitu. Dia terbaring
memandang atas. Lidahnya menyebut kalimah Allah berkali-kali. Ketika itu
barulah Ariff menoleh. Terlihat Abduh sedang terbaring, dia berlari ke arah
pintu pagar untuk mencari anak lelakinya. Saat berada dekat dengan Abduh dia
ternampak Farouqe sedang kekejangan sambil duduk bersandar di tembok pagar
rumah. Lintang pukang dia berlari mendapatkan Farouqe.
“Astaghfirullah.. Farouqe!” Ariff cuba
memanggil. Anak itu ditarik dekat dengannya.
Farouqe langsung tidak menjawab biarpun
telinganya dapat mendengar soalan Kesedarannya seperti telah terkurung di suatu
tempat. Tidak mampu keluar.
Ariff berbisik sesuatu di telinga
Farouqe. Semakin lama bacaannya semakin kuat. Matanya terpejam dalam pada ayat
itu dibaca lagi dan lagi. Sehingga dia merasakan mindanya kosong.
Iqra’! Bacalah olehmu..
Anak itu dipeluk erat oleh Ariff sambil
dia terus membaca sebahagian ayat dari surah Al Baqarah, surah Al Imran, surah
Jin dan surah Al Ikhlas. Ketika surah Al Ikhlas diulang kali kedua, Farouqe
kembali bergerak. Anak itu menggelepar seketika sebelum mulutnya menyemburkan
darah.
Mata Ariff terbeliak. Spontan dia
melepaskan anak itu. Farouqe terus memuntahkan darah dari mulutnya. Ketika dia
memandang Abduh, lelaki itu sedang membalikkan tubuhnya sambil terbatuk keras. Lelaki
itu mengerang sambil memegang dadanya.
Tidak tahu apa yang perlu dibuat, Ariff
pergi mendapatkan Abduh pula. Ariff membalikkan lelaki itu sehingga terlentang.
Di telinga Abduh dibacakan ayat-ayat yang sama. Berbanding Farouqe, Abduh lebih
banyak mengerang sakit sehingga dia memuntahkan air liur sendiri bercampur
darah.
“Allahuakbar..” Ariff menangis kuat saat
melihat Farouqe tertiarap tidak sedarkan diri di sebelah sana dengan segala
macam benda keluar dari mulutnya. Anak itu pula diterpanya. Farouqe
dipangkunya.
Ya Allah, tolonglah hamba-Mu ini, rintih
hati sang ayah pilu.
“Syira!!!” pekik Ariff sehingga akhirnya
dia terduduk sambil memeluk tubuh sang anak yang longlai. Tidak berdaya untuk
melakukan apa-apa lagi.
Takbir....
BalasPadamTakbir....
BalasPadamAllah
BalasPadamAllah
BalasPadamHuwaaaa. Scary siottt.π²π²π£π£
BalasPadamSeram mengeremang bulu roma
BalasPadamπ’π’π’πππ
BalasPadam