Sabtu, 20 Ogos 2016

BAB 2-YANG TERINDAH UNTUKNYA (TAJUK SEMENTARA)

BAB 2
“SELAMAT pagi, tuan Rayland.”
Rayland sekadar mengangguk tanpa menyahut.
“Saya sakit kepala,” adu Rayland perlahan.
“Mahu ke klinik?”
Rayland menggeleng. Salah dia. Siapa suruh dia menonggak alkohol malam tadi.
Setelah lelaki itu masuk ke dalam kereta, Saad memandu ke pejabat seperti biasa. Rayland sekadar tersandar di belakang sambil memejamkan mata. Gelagat lelaki itu sempat diintai oleh Saad. Mahu membantu, tidak tahu pula bagaimana.
Setiba di tempat kerjanya, Rayland keluar tanpa berkata apa-apa kepada pemandunya itu. Namun saat menunggu lif, orang yang paling ingin dielakkan tiba-tiba muncul di sebelahnya.
“Selamat pagi,” sapa Ariff.
“Selamat pagi, pak cik.” Rayland mula tidak tentu arah sendiri.
“Kamu sudah bersarapan pagi?”
“Err.. belum.” Rayland menggaru kepalanya seketika sambil menoleh sekilas.
“Kenapa belum?” tanya Ariff dengan kerutan di kening. Lelaki muda itu diperhatikan atas dan bawah. Semacam saja gelagat Rayland.
“Kamu mabuk ke semalam?”
“Tidak. Saya okay ni, pak cik.”
“Ia? Di mana Saad.” Ariff kembali memandang ke belakang. Konon mahu mencari kelibat pemandu itu.
“Err.. saya mabuk sikit saja. Saya.. saya keluar malam tadi. Saya bosan di rumah.”
Berubah wajah Ariff mendengar pengakuan itu. Tidak terkata. Baru beberapa hari berada di sini, Rayland sudah buat perangai begini. Mereka masuk ke lif bersama setelah lif tiba di hadapan mereka.
“Maafkan saya. Saya janji tak akan ulangi lagi perbuatan itu.”
“Perbuatan kamu kebanyakannya sudah cukup memberitahu yang kamu memilih untuk terkeluar dari agama. Kamu tahu betapa bahayanya itu? Ibu kamu meminta kamu ke sini supaya kamu memilih untuk menjadi orang yang lebih baik dari sebelum ini!” tekan Ariff.
Rayland diam. Ariff menghela nafas perlahan.
“Turun ke bawah semula nanti. Kita sarapan pagi bersama.”
“Baik, pak cik.” Walaupun agak malu, dia akur juga.
Ketika dia tiba di restoran hotel, Ariff sudah ada menunggunya ditempat yang biasa lelaki itu duduk. Ariff termenung memandang ke luar.
“Pak cik,” sapa Rayland.
“Duduk.”
 Raut Rayland lugu semata saat berhadapan dengan pak ciknya itu. Malu mahu membalas pandangan lelaki itu.
“Kamu tahu, kan? Kita melarang alkohol di sini kerana itu salah satu tegahan berat dari agama.”
Rayland mengangguk.
“Ketika pak cik muda dulu, pak cik juga seperti kamu. Alkohol dan pak cik sangat susah berpisah. Tetapi akibatnya sangat buruk. Kepada hubungan kekeluargaan dan kepada diri sendiri. Alkohol mampu memusnahkan jiwa manusia secara perlahan atau secara tiba-tiba. Tengok saja sekarang. Kamu datang kerja dalam keadaaan tiada semangat.”
“Saya dah terbiasa, pak cik. Saya bukan penggemar tetapi semalam saya terikut-ikut dengan keadaan sekeliling.”
“Makanya jauhi suasana yang buruk itu. Kamu masuk ke dalamnya, maka kamu juga sebahagian daripadanya. Ini amaran pertama dan terakhir. Di negara ini ada undang-undang syariah yang melarang umat islam meneguk alkohol di khalayak ramai. Ada peruntukan hukuman untuk kesalahan itu. Hormati undang-undang negara ini. Jika bukan untuk diri kamu sendiri, maka lakukan untuk menjaga perasaan ibu kamu!”
Rayland hanya diam diceramah oleh lelaki tua itu.
“Minum kopi. Dapat membantu menghilangkan mabuk itu,” suruh Ariff lembut.
“Saya betul-betul minta maaf, pak cik. Saya tak berniat nak mengecewakan pak cik.”
“Selagi kamu diberikan nafas oleh Allah untuk hidup di atas bumi ini, bermakna Allah sedang memberi peluang untuk kamu memperbaiki diri. Pak cik tidak mahu kamu terus hidup dalam kelalaian. Kamu orang yang kerugian sekiranya kamu membiarkan hidup kamu berlalu pergi begitu saja,” balas Ariff.
“Saya sunyi. Saya tak ada kawan di sini.”
“Datang ke rumah pak cik bila-bila masa kamu mahu. Carilah kawan yang mampu memberi tunjuk ajar yang baik kepada kamu. Bukannya yang membinasakan.”
Rayland diam. Teringat yang pak ciknya ada ramai anak gadis. Cantik-cantik belaka. Segan dia mahu selalu ke sana. Tetapi kalau sudah dipelawa, masakan dia hendak menolak? Rugilah!
  
SETELAH beberapa hari memulakan tugas, baru kali ini dia dapat bertegur sapa dengan gadis itu. Terserempak di hadapan lif ketika mahu keluar dari pejabat.
“Hai..” sapa lelaki itu lantas berdiri di sebelah Jannah.
Jannah sekadar menoleh sekilas. Perhatiannya kembali kepada telefonnya. Rayland memandang lama gadis itu menaip laju di telefon. Macam penting saja.
“Pak cik dah balik?” tanya Rayland cuba beramah tamah.
“Dia ada urusan di luar,” jawab Jannah tanpa memandang.
“Pak cik mengajak saya makan tengah hari di rumah awak hujung minggu ni. Ayah awak memang baik. Ibu saya selalu bercerita tentang emak dan ayah awak. Saya teringin nak berkenalan dengan ibu awak,” ucap Rayland lembut.
“Hmm..” Jannah mendengus sedikit. Kemudian telefonnya dimasukkan ke dalam beg tangan.
Rayland memandang lama raut itu sambil tersenyum. Jannah terus buat muka selamba sambil memandang ke hadapan. Seketika kemudian pintu lif terbuka. Mereka masuk bersama.
“Sini sangat panas. Saya selalu rasa pening,” keluh Rayland sambil melonggarkan ikatan tali lehernya. Dua butang atas kemejanya dibuka. Jannah menoleh ke sebelah. Secara tidak sengaja dia terpandangkan sesuatu di dada lelaki itu. Sepantas kilat dia menoleh semula.
Rayland terperasan pandangan Jannah segera membetulkan bajunya semula. Mereka membisu seketika dalam pada ada rasa serba salah antara kedua-duanya.
“Maaf. Ini dah lama saya buat,” luah Rayland perlahan.
“Bukan urusan saya.” Jannah menyambut hambar. Sebaik sahaja lif terbuka dia terus menonong keluar. Gelagatnya itu diperhatikan Rayland dari belakang. Lelaki itu sempat meraba dadanya.
Jannah berdiri seketika di luar lobi. Menanti pemandu ayahnya tiba di situ. Kemudian dia menoleh. Rayland juga berdiri di sebelahnya.
“Saya tak ada banyak kawan di sini. Saya tak tahu jalan di Kuala Lumpur..”
“Driver awak ada. Dia boleh bawakan ke mana sahaja awak nak pergi,” potong Jannah sebelum sempat lelaki itu membuka pelawaannya.
“Orang Malaysia agak sombong juga ya? Banyak yang saya dengar tentang negara ini. Tapi ada yang tidak sama seperti yang selalu diceritakan kepada saya.”
“Maaf?” Jannah menoleh semula. Melihat senyum Rayland tiba-tiba dia rasa menyampah pula. Orang tak mahu layan dia, dia nak kata kita sombonglah tu! rungut hatinya.
“Tapi gadis di Malaysia ramai yang manis-manis walaupun tak suka layan saya. Awak pun cantik.” Rayland tersenyum lagi.
Jannah diam lagi. Rayland menghela nafas perlahan. Mati akal lelaki itu mahu mengajak berbual. Tidak dilayan.
“Tatu itu saya ukir ketika usia saya 18 tahun. Kononnya demi kesetiaan dalam percintaan. Ibu marahkan saya kerana buat kerja bodoh. Tapi ibu memang benar. Sudahnya saya dan dia tak sehaluan. Hanya tatu itu kekal di situ sehingga sekarang,” cerita Rayland tanpa disuruh.
Jannah ketawa sinis. “Ialah. Awak tak ada agama. Jadi tak kisahlah ukir tatu banyak di badan. Tak perlu jelaskan pada saya. Saya tak minat nak tahu pun. Kalau ayah saya nampak tu, nescaya dia beri awak pisau untuk potong kulit awak yang bertatu tu.”
Wajah Rayland berubah sedikit mendengar kata-kata sinis gadis itu. Terkebil-kebil matanya memandang Jannah mendekati kereta setelah Abduh tiba di hadapan mereka. Lama matanya memandang kereta itu pergi. Kemudian dia menyelak semula kemejanya. Tatu berimej lelaki bersayap sebagai simbol malaikat cinta di dadanya itu diraba dengan hujung jari.
“Tuan Rayland..” sapa seseorang membuatkan Rayland menoleh.
“Ia.”
“Mari. Kereta di sini,” ajak Saad kepada lelaki itu.
Rayland pantas mengangguk. Mujurlah lelaki yang ditugaskan menjadi pemandunya boleh berbahasa inggeris dengan baik. Kalau tidak mati kutu juga dalam keadaan dia bergantung sepenuhnya kepada lelaki itu untuk ke mana-mana.
Di dalam kereta Rayland termenung sendiri. Teringat kata-kata pak ciknya pagi tadi. Dan tentang pandangan Jannah kepada tatunya. Dia faham erti disebalik pandangan itu.
 Membandingkan diri dengan orang sekelilingnya, dia merasa amat rendah diri. Mereka orang islam, dia juga begitu. Tetapi dia tidak tahu apa-apa tentang agama. Dia tidak tahu bersolat. Tidak pernah berpuasa. Ketika di Geneva dahulu, ada seorang dua temannya yang beragama islam. Tetapi dia tidak pernah mengikut cara hidup mereka. Tetapi di sini, peraturan amat ketat. Dia terpaksa tunduk. Dan dia melihat semua orang juga akur.
“Saya mahu bertanya sesuatu,” ucap Rayland tiba-tiba.
Saad segera memandang cermin pandang belakang. “Apa dia, tuan?”
“Mengapa semua orang mesti ada agama?” tanya Rayland tiba-tiba.
“Kerana dalam agama itu ada banyak panduan untuk manusia hidup dengan sebaik-baiknya di atas dunia ni. Semua agama menerapkan nilai kemanusiaan yang tinggi. Apa yang ditegah agama itulah kebaikan untuk penganutnya,” ujar Saad lembut.
“Saya orang islam. Tapi saya tak tahu sembahyang. Saya minum arak. Saya malu pada semua orang di sini. Saya tengok semua orang pergi sembahyang. Tapi saya tak dapat ikut mereka. Hidup saya tak macam orang lain,” ucap Rayland rendah.
Saad terus memandang bosnya itu melalui cermin. Kemudian dia memandang ke hadapan. Memikirkan kata-kata yang baik untuk diluahkan.
“Tak tahu, kita boleh belajar, tuan. Tak ada masalah. Ramai orang boleh ajarkan. Di sini kelas agama pun banyak,” ucap Saad lembut.
Rayland kembali memikir sambil memandang ke luar. Entah kenapa melihat keluarga bapa saudara angkatnya itu, dia cemburu. Bertuah sekali. Dia? Terbiar semenjak kecil. Hanya ibunya yang peduli kepadanya. Jasa wanita itu yang selama ini membesarkannya tidak mampu dibalas. Itu belum lagi dalam soal kasih sayang.
Setiba di kediamannya, Rayland mengucapkan terima kasih sebelum keluar. Namun kemudian dia memandang Saad semula. Tidak jadi mahu keluar.
“Kamu akan ke masjid selepas ini?”
“Ya. Kenapa?” balas Saad lembut.
“Saya teringin nak ikut ke masjid. Tapi saya..” Rayland tidak meneruskan bicara.
“Kenapa, tuan? Ada apa-apa yang saya boleh tolong?” ucap Saad lembut.
Rayland memegang dadanya seketika. Bajunya diselak sehingga Saad terlihat tatu itu. Lama Saad memandang tanpa berkata apa-apa.
“Macam mana saya nak buat? Boleh tak saya masuk ke masjid?” tanya Rayland rendah.
“Mustahil kalau saya minta tuan pergi buang tatu tu sekarang supaya tuan dapat menunaikan solat di masjid nanti. Allah tu maha pengampun. Yang utamanya bertaubat dari kesilapan yang sudah kita buat. Dan jangan dibiarkan orang lain terlihat tatu tu. Takut nanti menjadi bahan umpat keji. Tapi tuan kena usahakan juga untuk membuang tatu tu. Melainkan kalau prosesnya memudaratkan, tak apa dibiarkan,” ucap Saad lembut.
Rayland menelan liur perlahan.
“Tuan anak yatim piatu, kan?”
“Ia.”
“Marilah ikut saya. Sekurang-kurangnya tuan dapat berdoa untuk orang tua tuan. Tak rindu ke pada dia orang? Masih belum terlambat untuk berubah, tuan. Saya percaya hidup akan lebih tenang kalau kita ingat pada Allah,” pujuk Saad.
“Saya tak pandai solat.”
“Tak apa. Boleh belajar. Allah tak akan ubah nasib kita jika kita tak berusaha mencari DIA. Itu sebabnya makhluk manusia ni diciptakan dengan akal. Supaya kita boleh memilih yang baik dan tinggalkan yang buruk,” balas Saad bersungguh.
Rayland mengangguk lesu. Sayu hatinya tidak diketahui apa sebabnya.
“Boleh tunggu saya sekejap? Saya nak tukar pakaian.”
Saad mengangguk. Dia keluar dari kereta lalu ikut masuk ke rumah bersama lelaki itu.
“Err.. Tuan Rayland.” Saad memanggil semula sebelum bosnya itu naik ke tingkat atas.
“Ia.”
“Maafkan saya kalau saya bertanya. Tuan tahu mandi hadas?”
Rayland menggeleng agak lambat.
Saad menapak mendekati lelaki itu. “Niatkan di dalam hati, mengangkat hadas besar kerana Allah. Dan ratakan air ke seluruh badan. Jangan ada kawasan yang tertinggal. Terutama sekali kawasan yang paling sulit.”
Rayland mengangguk agak lambat setelah memahami sepenuhnya apa yang dimaksudkan Saad. Setelah hampir setengah jam berada di atas, barulah lelaki itu turun ke bawah. Saad tersenyum melihat lelaki itu sudah bersiap kemas.
Setiba di masjid, Rayland melihat begitu ramai orang. Dia berada di saf paling belakang. Tindak tanduknya hanya mengikut orang. Dia melihat semua orang khusyuk. Sayangnya dia tidak tahu apa-apa. Apa yang hendak dibaca juga dia tidak tahu. Semuanya kosong.
Usai isyak, ada ceramah agama. Sayangnya dia tidak mengerti apa-apa kerana penceramahnya berbahasa Melayu.
Selesai ceramah, Saad mencarinya. Dia diajak bertemu dengan imam. Mujur juga imam itu fasih berbahasa inggeris. Banyak soalan ditanyakan kepadanya. Dan penyudahnya dia diminta mengulangi lafaz yang disebut oleh imam itu.
“Aku bersaksi, tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah. Dan aku bersaksi, Nabi Muhammad itu adalah pesuruh Allah.”
Selesai mengulangi kalimah itu Rayland terus tertunduk. Entah kenapa dadanya sebak. Imam itu mengusap bahunya perlahan.
“Ingatlah yang Allah sayangkan setiap hamba-hamba-Nya. Semoga kita semua akan terus mendapat hidayah dari Allah untuk ke jalan yang benar,” ucap imam itu lembut.
Rayland sekadar mengangguk sambil mengusap air matanya.
“Selalu datang ke sini ya? Sedikit demi sedikit saya akan bimbing kamu untuk dalami islam, insya-Allah. Masih belum terlambat untuk kita perbaiki diri.”

“Terima kasih,” ucap Rayland perlahan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan