Ahad, 3 November 2013

Melukut di tepi gantang.

Aku terus menanti kepulangan Ariff dengan perasaan yang bercampur baur. Cuba ku pujuk lagi hati dengan penuh kesabaran walaupun masuk hari ini bermakna sudah empat hari Ariff tidak pulang ke rumah. Telefon bimbitnya juga tidak dapat ku hubungi sehingga kini.
Hati ku kian resah tidak menentu memikirkan ke mana Ariff menghilang. Sudah dua hari cuaca di luar memburuk. Suhu semakin rendah dan dari dalam rumah aku lihat jendela rumah kami sudah diliput salji tebal. Daripada berita kaji cuaca di tv aku dimaklumkan suhu di kotaraya London akan terus menurun dalam sehari dua ini. Aku semakin bimbang mengenangkan apa yang sedang berlaku di rumah ini. Anak-anak ku sudah tidak aman.
“Ariff, manalah awak pergi ni..” keluh ku kian kebimbangan.
Namun kebimbangan yang paling utama saat ini bukan lagi tentang di rumah siapa Ariff bermalam, sebaliknya ragam anak-anak yang enggan tidur dan hanya menangis sahaja semenjak siang tadi. Aku dapat merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan dua kembar kesayangan ku itu.
Apabila menjelang malam badan Rafael mula terasa cukup panas. Kini Mikhael juga sudah mengikut jejak abangnya. Memikirkan suhu yang dingin aku yakin anak-anak ku sudah sudah menghidap demam kerana dia merasakan tubuh mereka berdua agak panas. Rafael dan Mikhael hanya menangis dan tidak mahu menyusu lagi. Tidak tertanggung rasanya beban kerungsingan ini sendirian. Aku sangat-sangat memerlukan Ariff saat ini.
“Mereka demam ni, puan. Suhu badan mereka masih tak menurun. Saya rasa kita tak harus menunggu Tuan Ariff lagi. Mereka harus segera dibawa ke hospital,” kata Malika yang juga sudah gusar dengan keadaan bayi-bayi ku itu.
Berkali-kali kami meletakkan tuala basah ke dahi anak-anak itu tetapi hasilnya masih tidak seperti yang ku harapkan. Malahan ada kesan-kesan kemerah mula timbul di tubuh anak-anak itu.
“Saya juga rasa macam tu. Saya rasa saya mesti ke klinik segera tanpa menunggu Ariff lagi. Saya tak boleh biarkan mereka begitu sahaja. Badan mereka terlalu panas. Saya bimbang..” balas ku kian resah.
“Kalau begitu saya akan panggilkan pemandu. Saya juga boleh temankan puan ke klinik. Susah kalau puan seorang diri di klinik nanti.” Malika lantas menawarkan bantuannya. Mungkin dia kasihan mengenangkan aku tidak ditemani suami saat itu.
Aku terus mengangguk. Sebetulnya aku amat mengharapkan bantuan Malika. Akhirnya aku memutuskan untuk menghantar Rafael dan Mikhael ke klinik yang paling hampir dengan rumah itu. Tidak dapat ku tahan lagi kesedihan ku apabila mendengar raungan anak ku itu yang sudah lain macam. Rafael dan Mikhael serba tidak kena dalam dukungan aku dan Malika. Anak-anak ku tidak mampu ku pujuk lagi. Keadaan itu semakin membuatkan aku tertekan. Dengan kecetekan ilmu dan kurang pengalaman, ditambah pula Ariff tiada bersama, aku merasakan perasaan ku semakin rapuh kala ini. Mujurlah aku pembantu yang ada amat berguna pada saat-saat seperti ini.
Tetapi sebaik diperiksa oleh doktor di klinik itu aku diarahkan agar terus membawa membawa dua anak ku itu ke Evalina Children Hospital kerana suhu tubuh Mikhael sudah hampir mencapai tahap maksimum. Mendengar itu bertambah cemas aku jadinya. Kami dihantar ke hospital itu dengan ambulan. Sesampai di hospital kedua-dua bayi ku dibawa pergi oleh petugas bilik rawatan kecemasan dengan pantas.
Melihat Mikhael asyik menangis aku sudah tidak mampu lagi menahan diri. Akhirnya aku menangis sayu saat berada di ruangan menunggu di dalam wad kecemasan itu. Dari tempat aku menanti itu aku masih boleh mendengar suara anak-anak ku biarpun doktor sudah membataskan pandangan ku dengan mengembangkan tirai mengelilingi katil dua anak kecil itu.
“Bersabarlah. Insya-Allah mereka berdua akan sembuh nanti.” Malika segera memujuk aku yang kesayuan.
Sesungguhnya hanya Rafael dan Mikhael yang masih tinggal untuk ku. Mereka berdua adalah alasan kenapa aku masih bertahan dalam kehidupan seperti ini. Tanpa mereka aku tidak tahu apa akan terjadi kepada ku.
Sejam kemudian aku telah diberitahu bahawa Rafael dan Mikhael terpaksa di tempatkan di wad ICU kerana telah mendapat demam panas. Doktor lelaki itu menerangkan demam panas itu mesti dikawal segera untuk mengelakkan kerosakan saraf yang boleh membawa kepada kecacatan kekal. Aku hampir pingsan mendengar itu. Namun Malika di sisi ku terus meminta aku bersabar dan berdoa kepada Allah.
“Kamu harus mencari suami kamu biar apapun yang berlaku, puan. Dia mesti tahu keadaan anak-anak dia.” Malika berkata kepada ku setelah kami keluar dari wad kecemasan itu.

Menghubungi Ariff? Bagaimana? Telefon bimbitnya setiasa dimatikan. Aku tidak tahu apa cara lagi yang ada untuk aku mencari lelaki itu.

Rabu, 30 Oktober 2013

Ariff- Degil tak berajar!

Selepas agak lama berada di rumah sahabat ku itu, aku dijemput pemandu untuk kembali ke rumah. Sesampai di rumah aku sedar Ariff sudah pun berada di rumah berdasarkan kelibat keretanya di tempat parkir di hadapan lobi kondominium itu. Senang sahaja untuk aku tahu Ariff sudah pulang ke tidak. Cari aja kereta dia di lot parkir itu. Tempat itu sememangnya sudah dikhaskan untuk kereta suami ku.
Kepulangan aku disambut oleh pembantu rumah warga Sudan itu di muka pintu. Aku terus tersenyum kepada Malika. “Rafael dengan Mikhael ada menangis ke tadi?” tanya ku kepada wanita itu.
“Takde. Mereka berdua masih tidur. Puan, sebentar tadi bapa mertua puan ada menelefon ke sini. Dia mahu bercakap dengan puan tetapi saya beritahu puan ke Cambridge. Dia minta puan telefon dia semula nanti. Penting katanya,” ucap Malika lembut.
Aku termangu seketika mendengar itu. Apa yang penting benar? Ariff ada buat masalah ke? Aku mula tertanya-tanya. Namun aku sekadar mengangguk sahaja kepada pesanan itu. Di manakah Ariff ?
“Tuan Ariff dah balik ke?” soal ku terus kepada Malika.
Malika diam seketika dengan wajah semacam. Kemudian dia mendekati aku. Reaksinya sempat menerbitkan rasa hairan dari ku.
“Tuan Ariff sudah balik sekejap tadi. Saya nampak dia agak lain. Dia terus masuk ke bilik dan tidak keluar dari bilik setelah itu. Saya agak dia mungkin sedang mabuk,” cerita Malika penuh berhati-hati. Perlahan sahaja suaranya bagaikan takut orang lain akan terdengar kata-katanya.
Aku terkejut besar mendengar itu. “Mabuk?” soal ku spontan membesarkan mata kepada Malika.
Malika hanya mengangguk. Aku pula mula terdiam menahan rasa terkilan. Kenapa Ariff buat begini? Terasa tebal muka ku ini kepada Malika dengan kelakuan suami ku itu. Ariff tak tahu rasa malu ke dengan perbuatan seperti itu? Tanpa menunggu lagi aku terus masuk ke bilik tidur untuk melihat lelaki itu.
Di dalam kamar itu aku ternampak Ariff sedang terbaring dalam keadaan tertiarap di atas katil. Dia masih dengan baju yang sama dipakainya ketika keluar dari rumah sebentar tadi.
Aku segera mendekati suami ku itu. “Ariff..” dengan lembut aku menggerakkan tubuh lelaki itu. Namun tiada sebarang reaksi daripada lelaki itu.
“Ariff, bangunlah!” sekali lagi aku cuba menggerakkan tubuh Ariff.
“Hmm..” Ariff menjawab malas sambil membalikkan tubuhnya. Seperti yang dimaklumkan Malika tadi, aku lihat wajah suami ku itu kemerahan mungkin akibat penangan alkohol yang sudah diteguknya.
“Kenapa dengan awak ni?” soal ku dengan rasa sebal yang tertahan.
“Saya pening ni. Jangan bising..” rungutnya dalam keadaan mamai.
Aku menghela nafas sabar sambil memandang suami ku itu. Memang sahlah Ariff mabuk! Bau masam hapak jelas sekali dihidung ku ini. Pelik benar aku.. bagaimanalah Ariff boleh berselera meneguk air yang berbau seperti ini? Sedap sangat ke? Kata-kata itu hanya bermain dalam hati ku.
“Kalau dah tahu alkohol buat awak pening, kenapa minum jugak? Berdosa minum arak ni. Awak sedar atau tak?” degus ku dengan rasa geram tidak tertahan. Waktu belum un menjelang tengah malam tetapi Ariff sudah mabuk begini. Apa dia buat di luar rumah? Hee.. memang pelik laki aku ni! getus hati ku semakin bengang.
“Janganlah marah saya. Kepala saya ni macam nak pecah ni,” rungut Ariff lagi. Mukanya terus ditekup dengan bantal tanda tidak mahu mendengar kemarahan ku lagi.
“Awak ni memang nak kena tau! Perkara yang saya tak suka itulah yang awak buat. Awak memang sengaja nak bagi saya marah dengan awak. Bila saya nasihatkan awak baik-baik awak tak nak dengar. Bila saya dah marah nanti mulalah kita bergaduh lagi,” balas ku sedikit meninggi.
Ariff mengalihkan bantal yang menutupi mukanya. Wajah ku dipandang dengan mata layunya. “Ini kali terakhir. Saya takkan minum lagi. Awak tahulah.. kawan-kawan saya suka ajak saya ke bar. Mahu tak mahu saya terpaksa ikut mereka,” ujar Ariff cuba menggunakan nama kawan-kawannya agar tidak dimarahi oleh ku. Namun aku sudah menggeleng sendiri. Alasan lapuk!
“Kawan awak nak minum biarlah mereka. Awak janganlah ikut mereka. Daripada awak keluar menghabiskan masa di luar sana tanpa arah tujuan lebih baik awak duduk rumah jaga anak lagi baik!” tekan ku sedikit keras.
Ariff mula mendengus. “Awak ni suka membebellah! Saya sakit kepala ni!” degusnya mulai tidak senang.
“Saya membebel sebab awak buat perkara yang tak sepatutnya awak buat. Kalau awak tak buat salah, takkanlah saya nak marah awak tak tentu hala. Orang gila aja yang buat macam tu!” balas ku enggan tunduk kepada rungutan Ariff. Dia yang cari pasal macamana aku tak membebel?
Ariff mendegus lagi sambil menekup semula wajahnya dengan bantal. Aku hanya mampu menghela nafas sabar melihat kelaku Ariff. Baru tadi aku puji dia.. sekarang dia dah buat balik, bisik hati ku kesal. Aku boleh berkata yang elok-elok sahaja kepada Ameena atau orang lain tentang Ariff. Tetapi hakikat tidak akan berubah jika bukan Ariff yang mengubahnya. Aku tidak tahu sampai bila Ariff masih mahu bergelumang dengan kehidupan lalunya.
Ikutkan hati mahu sahaja ku biarkan dia begitu sahaja. Namun mata ku ini benar-benar tidak selesa melihat Ariff dengan baju yang sudah ronyok dan berbau masam itu. Akhirnya aku mendekati Ariff. Butang baju lelaki itu ku buka satu persatu dan kemeja itu ku tanggalkannya dari tubuh Ariff.
Namun apabila berdekatan dengan lelaki itu tanpa dapat ku elak bau busuk yang memualkan menerobos masuk ke lubang hidung ku. Tetapi ku teruskan juga kerja ku. Aku tidak mahu tidur sekatil dengan lelaki ini yang benar-benar busuk dengan bau alkohol.
Tidak lama kemudian Ariff sudah selesai ku gantikan dengan pakaian tidurnya. Lelaki itu ku biarkan sendiri di atas katil itu. Tetapi seketika kemudian mulut Ariff mulai bising mengadu kepalanya yang sakit terasa mahu pecah itu. Ketenangan aku saat mengerjakan solat isyak terganggu dengan riuh mulut lelaki itu yang mahu aku melakukan sesuatu agar sakit kepalanya itu dapat dikurangkan.
Mahu tidak mahu terpaksalah aku menyapu minyak angin sambil memicit kepala Ariff. Beberapa ketika kumudian bilik itu kembali tenang apabila lelaki itu kembali lena dalam pada jemari ku memicit lembut kepalanya.
Namun saat memandang suami ku itu aku termenung sendiru. Agaknya selama aku takde dengan dia ni, perempuan manalah yang selalu memicitkan kepala dia waktu dia mabuk begini? Siapa lagi yang pernah menyentuh dia selama ini selain aku? hati ku mula bermonolog sendiri dengan persoalan itu.
Namun tiba-tiba aku kembali tersedar. Astaghafirullah.. jauh benar melencong fikiran ku ini. Ish! Apasal aku fikir macam ni pulak? Aku menggeleng sedikit untuk menghalau pergi segala prasangka itu. Setia benar syaitan membisikkan topik ke telinga ku ini agar aku punya sebab untuk membuatkan hubungan ini kucar-kacir.
Malas mahu memikir lagi aku hanya memandang wajah suami ku itu yang masih kemerahan. Mata lelaki itu terpejam namun aku tahu Ariff tidak tidur sepenuhnya. Dalam mata yang terpejam, dahi Ariff berkerut-kerut sendiri. Mulutnya berbisik entah apa-apa membuatkan aku bertambah rimas. Apabila terasa aku tidak lagi memicit kepalanya dia naik angin pula.
“Sayang! Marilah sini. Saya pening ni!” marah lelaki itu kuat. Seolah-olah aku sedang berada beribu batu jauh darinya. Sedangkan aku masih setia di sisinya semenjak tadi.
Aku buat tidak tahu sahaja. Malah mata ku mula menjeling menyampah dengan gelagat Ariff seperti itu. Aku terus bangun dari situ untuk mencari apa-apa kerja supaya aku dapat mengelakkan diri daripada menjadi orang suruhan Ariff.
Menyampah betul! Dia yang sengaja mencari penyakit sendiri. Sekarang dia nak menyusahkan aku pula untuk melayan segala kehendak dia pulak. Dia ingat aku ni nurse ke apa?
“Sayang, picitkan kepala saya!” suara Ariff menyuruh ku dengan lebih kuat lagi.
Aku menghela nafas keras. Kesabaran ku hampir hilang saat itu. Geramnya!!! Kau yang mabuk, aku pulak yang kena. Namun biarpun perasaan jengkel itu semakin hebat menekan diri, aku hanya mampu memekik meluahkan rasa geram di dalam hati.
“Saya dah picit kepala awak. Apa lagi yang awak nak? Kalau awak tak tahan sakit tu kenapa minum lagi, Ariff? Awak ni memang sengaja cari masalahlah!” degus ku teramat geram.
“Janganlah membebelkan saya. Picit kepala saya ni. Ini bukan masanya untuk awak mengungkit pada saya tentang dosa dan pahala! Awak isteri saya, cepat picit kepala saya ni!” Ariff mula membentak kasar apabila kehendaknya tidak ku balas. Sebaliknya aku dibebelkannya semula.
Akhirnya aku akur juga mendekatinya walaupun hati ku ini sedang sakit yang teramat sangat! Kepala lelaki itu ku picit semula. Mujurlah anak-anak tidur di bilik lain. Jika tidak pasti tidur anak-anak akan terganggu dengan suara Ariff tadi.
Baguslah.. kata Ariff sebelum ini, dia memang tidak mahu suara anak-anak menangis menganggu tidurnya. Tetapi sebenarnya kerenah dia yang akan mengganggu tidur anak-anak yang masih kecil yang tidak tahu apa-apa. Ada bagusnya juga permintaan suami ku ini dahulu. Jika tidak akulah yang pening dengan rengekan anak-anak sekalian dengan rengekan bapak budak yang mahu aku melakukan itu ini untuknya. Memang bahagia sungguh jadi isteri Ariff!
Sedang aku mengurut kepalanya tiba-tiba Ariff mengeliat entah kenapa. Lelaki itu mengusap dadanya dengan wajah berkerut. Aku tahu dia nak muntah. Namun belum sempat aku berbuat apa, Ariff bingkas bangun memuntahkan isi perutnya ke atas permaidani di tepi katil itu. Aku yang memandang terus tergamam tidak sempat melakukan apa-apa. Aku sekadar mampu memandang sahaja Ariff yang muntah di tepi katil itu.
Betapa hebatnya ujian kesabaran yang sedang aku lalui saat ini. Kalaulah tidak kerana gelaran suami yang sedang di galas Ariff, rasanya dia sudah menjadi mangsa penendang aku malam-malam buta begini! Lepas itu aku akan campak dia ke tingkat bawah supaya esok lusa aku tak payah lagi melayan ragam lelaki ini.
Semakin menyirap darah ku melihat Ariff dengan selamba berbaring semula dan terus memejamkan mata dengan penuh kelegaan.
“Pengotor betullah awak ni. Pergilah basuh mulut dulu ke apa sebelum tidur!” Aku mendegus keras akibat rasa nak marah yang semakin tidak tertahan.
“Nantilah..” keluh Ariff dalam mata yang terus terpejam.

“Awak picitlah kepala awak sendiri. Saya dah malas nak layan awak!” paha lelaki itu ku tampar geram. Ariff terus terpejam dalam erangannya tanpa mempedulikan bebelan ku.

Sabtu, 26 Oktober 2013

Manisnya kata.. pahitnya kenyataan!

Selepas masuk waktu asar aku menjengukkan diri ke luar rumah. Dari ambang pintu dapur aku sudah terpandangkan Ariff sedang duduk santai di pankin di bawah pokok rambutan di hadapan rumah ku itu. Mata lelaki itu terdongak-dongak ke atas memandang buah rambutan yang sedang melebat di pokok. Aku sempat menggeleng melihat dia berlenggeng dengan baju yang tersangkut di bahunya. Aku terus bergerak untuk menyertainya. Bosan pula berkurung sahaja di dalam rumah.
“Awak sudah baik?” Ariff segera bertanya apabila melihat aku menjejakkan kaki ke tanah. Sebelum ini dia ada diberitahu oleh emak ku yang aku sedang berpantang dari memijak tanah.
“Sikit..” jawab ku sambil duduk bersebelahan dengan suami ku itu.
“Emak awak kata awak tak boleh memijak tanah selagi awak masih..”
Belum sempat lelaki itu menghabiskan ayatnya aku sudah tergelak. Keluguan si lelaki membuatkan aku rasa gelihati pula. Ariff sudah tersalah faham dengan maksud emak ku itu.
“Kenapa awak ketawa?” soal Ariff hairan melihat tingkah laku ku.
“Awak tak faham sebenarnya. Mak bukannya kata saya tak boleh pijak tanah yang ada di kaki saya ni. Maksud dia, saya tak boleh sesuka hati nak merayap keluar rumah dalam keadaan saya masih macam ni. Contohnya saya tak boleh pergi ke kedai atau bershopping di pasaraya. Keluar rumah pada waktu maghrib dan berembun di luar rumah waktu tengah malam memang pantang besar bagi wanita yang baru lepas bersalin. Orang perempuan yang baru lepas melahirkan anak tidak boleh membiarkan badannya kesejukan atau terdedah pada angin luar kerana itu akan membuatkan badan akan sakit. Itulah maksud emak saya,” jelas ku sambil tersenyum.
“Oh..”Ariff mengangguk akur dengan penjelasan ku itu. “Emak awak walaupun sudah berusia empat puluhan tetapi dia masih cantik. Dulu waktu saya pertama kali nampak mak saya ingat dia kakak awak,” komen Ariff lembut.
Aku lantas menoleh memandang suami ku itu. Kembang hati ku mendengar pujian itu. Tengoklah emak siapa? “Emak saya orang kampung aja. Tapi orang macam kami ada banyak cara lain untuk menjaga kecantikan selain daripada menghabiskan masa di Spa. Mak saya cuma suka makan sayur ulam-ulaman selain dari mengamalkan petua orang-orang lama. Itulah yang dia ajarkan pada saya selama ini. Kami tak mampu nak meluangkan masa di spa-spa sebab di rumah ada banyak tanggungjawab,” ujar ku lembut.
“Iya? Apa petua yang mak awak ajarkan pada awak? Boleh bagitahu saya?” soal Ariff berminat. Tampang ku ditatapnya mesra.
“Ini petua untuk orang perempuanlah! Awak lelaki buat apa nak sibuk?” tukas ku selamba. Namun aku sempat tergelak melihat gelagatnya.
“Emak awak cantik patutlah anaknya juga cantik. Mungkin begitulah rupa awak bila awak berusia empat puluhan nanti. Cantik dan langsing!” komen Ariff sambil tersenyum kepada ku. Bab memuji memang serahlah kat dia..
Aku mencebik lantas pandangan ku larikan daripada lelaki itu. Bukannya aku tidak suka pujian dari lelaki ini. Tetapi aku sudah mengajar diri agar berhati-hati dengan pujiannya. Lelaki ini memang kaki mengayat perempuan!
“Saya suka dengan kampung awak ni. Orang di sini baik-baik semuanya,” ucap Ariff mengalihkan topik kepada kampung ini pula.
 “Orang di sini memang baik kepada orang luar. Tapi anak-anak dara di kampung ni awak jangan buat main. Di sini awak kena berhati-hati dengan setiap perbuatan awak. tidak semua orang di sini berfikiran terbuka,” ujar ku tentang adab sopan duduk di kampung.
Ariff mula merenung ku dengan kerutan keningnya. “Kenapa awak cakap saya begitu? Apa yang saya dah buat?” soalnya tidak faham.
“Saya cakap ni bukanlah bermakna awak dah buat. Tapi saya ingatkan sebelum awak buat. Jangan nanti awak nampak anak dara yang putih melepak, awak kacau mereka sesuka hati awak macam awak buat pada saya dulu. Kampung ni lain.. tak sama macam di London. Orang-orang tua di sini memang baik dengan orang sekekiling. Tapi mereka juga tak moden tentang maruah anak-anak perempuan mereka. Di sini kalau awak duduk berdua-duaan dengan perempuan, orang kampung akan tangkap dan belasah awak. Lepas tu awak kena mengahwini perempuan tu. Kalau awak nak rasa kena macam tu, cubalah buat!” dengan lagak bersahaja aku memberitahunya.
Ariff terdiam seketika. Namun aku sempat terkesan reaksi wajahnya sedikit berubah seolah-olah tidak menjangkakan sehingga begitu sekali orang kampung ini menjaga maruah keluarga mereka. “Sampai macam tu sekali ke? Kejamnya?” Ariff bertanya bersungguh.
“Saya dah kata kat sini tak begitu moden seperti di London. Sikap saya awak anggap kolot sebab saya dah terbiasa dengan persekitaran begini. Di sini emak dan ayah tak suka anak perempuan berkawan rapat dengan lelaki sehingga menimbulkan pransangka tak elok orang lain. Semua orang di sini menjaga adab sopan. Jangan berlagak seolah-olah awak sedang berada di London, kalau awak tak mahu mendapat mimpi ngeri di sini. Kalau tak.. jangan pelik ini akan menjadi kali yang pertama dan yang terakhir awak berada di kampung saya ni!” selamba sahaja aku berkata.
“Err.. saya takde kacau sesiapa. Kalau ada pun saya hanya kacau awak saja. Saya tak pernah buat macam yang awak katakan tu pada orang lain di sini. Jadi takde sebab mereka nak paksa saya kahwin dengan sesiapa di sini. Saya sentiasa bersopan dengan sesiapa yang saya temui. Betul!” ujar Ariff cukup serius.
Gelagatnya itu membuatkan aku segera mengerutkan kening. Yang dia emosi sangat, kenapa pulak?  “Saya ingatkan aja! Bukannya menuduh awak. Kalau takde baguslah..”
“Awak menakutkan saya, sayang.”                                                                                  
“Kenapa nak takut? Awak ada menggatal dengan sesiapa ke di sini?” duga ku dengan kerlingan ekor mata.
“Sumpah takde! Saya tak pernah buat begitu! Saya hanya selalu usik awak aja. Orang lain saya tak peduli!” tegas Ariff dengan mata yang membulat kepada ku.
Aku mahu tergelak melihat wajah suami ku itu. Kalau dah macam itu sekali reaksinya maknanya memang betullah dia tak buat. Tapi sekali tengok memang gelihati. Tahu pun takut kau kan?
“Jadi awak akan ikut saya balik nanti?” soal Ariff sambil menilik wajah ku dari tepi.
“Saya ingat awak tak mahu saya berada dengan awak di sana.” Aku menoleh kepada Ariff dengan kerlingan ekor mata. Ariff selalu terlupa apa yang diucapkan sebelum ini. Sebelum ini setiap kali kami bertengkar mesti dia akan mengungkapkan yang dia tidak berharap yang aku akan ke sana bersamanya. Sekarang lain cerita pula.
“Atau awak yang tak mahu berada dengan saya..” Ariff pula membuat andaiannya sendiri tentang pendirian ku.
“Kalau saya tak mahu berada dengan awak, saya takkan kahwin dengan awak. Saya sedar tangungjawab saya sebagai isteri, Ariff. Awak tak benarkan saya keluar rumah bergaul dengan orang lain, saya ikutkan. Apa lagi yang harus saya lakukan untuk membuktikan diri saya pada awak? Pernah ke awak dengar saya kata saya tak mahu ikut awak balik ke London?” ucap ku agak lirih. Susah benar mahu mencipta keserasian dalam hubungan ini. Kadang kala aku rasa diri ku tidak difahami sedikit pun oleh lelaki ini.
“Kalau begitu kita akan balik ke London bersama?” Ariff mula ceria mendengar kata-kata ku itu.
Aku menghela nafas perlahan. Bersama? Bermakna dalam masa terdekat ini. Sudah bersediakah aku? Menjaga keluarga sendirian tanpa kehadiran emak dan abah yang selama ini tempat aku meminta segala tunjuk ajar. Cabarannya sudah dapat ku bayangkan Mampukah aku?
“Kita akan balik ke London bersamakan?” soal Ariff sekali lagi setelah tiada kedengaran sebarang jawapan dari ku.
“Masakan sekarang? Awak dah tak tahan hidup di sini?” soal ku semula. Bersungguh benar dia menagih jawapan. Aku jadi tidak sanggup meminta sedikit masa lagi. Aku tahu lambat laun aku perlu juga ke sana.
“Bukanlah hari ini.. tapi dalam seminggu lagi. Saya dah tak boleh tinggalkan kuliah lagi,” jawab Ariff lembut. Aku terdiam memikir lagi.
“Kita balik nanti ya?” soal Ariff mesra sambil memaut pinggang ku. Bibir ku segera mahu dicumbunya tetapi aku pantas mengelak.
Lelaki itu mula mendecit geram dengan penolakan ku. “Masakan ini sahaja pun tak boleh?” ucap Ariff sebal.
“Janganlah kat sini. Orang tengoklah! Saya dah puas menjadi bahan cerita orang. Saya tak mahu buat orang terus mengata saya lagi,” balas ku perlahan.
“Bahan cerita orang? Apa yang awak maksudkan?” soal Ariff tidak mengerti.
Aku lantas bercerita kepadanya apa yang sering aku dengari dari orang sekeliling ku. Selalunya Syahril yang akan membawa pulang cerita orang tentang kami. Ariff mula berubah reaksi apabila mendengar tentang itu
“Maksud awak apa? Mereka panggil anak saya anak haram?” soal Ariff mula dicuit oleh rasa marah dan geram. Wajahnya sudah mula merah. “Kenapa mereka menyibuk hal orang lain? Awak hamil atau tidak itu bukan urusan mereka semua. Di London ramai orang yang hamil dan mengugurkan kandungan tetapi tiada siapa peduli. Saya tak ganggu orang lain dan saya tak suka orang ejek anak-anak saya begitu. Kalau saya tahu siapa yang kata anak saya begitu tahulah saya mengajar mereka,” tekan Ariff mulai tidak berpuas hati.
“Awak janganlah marah dia orang. Tak baik bergaduh sesama jiran! Kita hidup dalam masyarakat yang saling mengambil berat antara satu sama lain. Hamil suatu perkara yang baik. Tetapi jika di luar perkahwinan itu memalukan kerana pasangan itu telah melakukan hubungan terlarang. Perkara seperti itu dikeji masyarakat kerana kita telah melakukan sesuatu yang amat dikeji Allah. Kebanyakan orang masih tidak mampu merelakan perkara seperti ini sebagai satu kebiasaan dalam masyarakat. Biarlah apa orang nak kata. Kalau kita nak hentikan semua kata-kata orang, kita takkan boleh hidup aman, Ariff.” Aku membalas lembut dalam pada memujuk suami ku itu. Orang lain yang dikata orang lain pula yang naik angin!
“Mereka sepatutnya tutup mulut dan jangan kata apa-apa! Saya tak ganggu orang lain dan saya tak suka mereka ganggu awak dan anak-anak saya! Lain kali awak beritahu aja saya siapa yang jahat mulut begitu. Biar saya ajar mereka!” desis Ariff masih dikawal oleh perasaan marahnya.
“Tak payahlah buat begitu. Takde gunanya, Ariff! Lebih baik kita diamkan aja hal itu. Saya tak mahu nanti hal ini melarat dan akhirnya rahsia yang saya kita selama ini terbongkar. Siapa yang malu nanti? Kita juga,” ucap ku. Ariff diam sambil memandang tanah di hujung kakinya. Kemudian dia memandang aku semula. Wajahnya mendung sedikit.
“Awak susah kerana hal itu?” soalnya perlahan sahaja. Ada terbesit rasa bersalah di wajahnya. Pertama kali aku melihat suami ku itu mengambil berat kepada perasaannya. Selama ini Ariff tidak pernah peduli.
“Susah juga tapi ini semua ujian Allah. Kalau saya marah atau memaki hamun sekali pun segalanya tetap akan begitu. Walaupun pada mulanya saya marah tapi pilihannya tetap satu saja. Saya kena berdiam diri. Jadi saya terima semua dengan hati yang terbuka. Semua ini ada hikmahnya. Sekarang saya bahagia melihat anak-anak kita,” luah ku jujur. Perkara yang lepas tidak sepenting masa depan anak-anak kami. Hanya itu yang berada dalam ingatan ku saban hari.
“Anak-anak sahaja? Awak tak bahagia ke bila tengok wajah saya?”
Ariff memang gemar bertanya soalan yang membuatkan aku merasa serba salah. Dia mahu aku bahagia? Tapi macamana caranya? Siapa yang akan merasa bahagia dengan suami yang tak setia? Walaupun aku tidak pernah mengungkitnya tetapi itu tidak bermakna aku senang hati dengan tabiat Ariff. Kenapa bila bersangkutan soal wanita, dia terlalu sukar untuk berubah? Apa kurangnya aku? Kenapa ucapan cintanya untuk aku, tetapi dia masih mengelek wanita lain di masa lapangnya? Kenapa? Kenapa? Semua soalan itu tidak pernah aku temukan jawapannya.
“Kenapa awak suka tanya saya soalan yang awak sendiri dah tahu jawapannya?” jawab ku masih berbentuk soalan.
Ariff diam seketika. Dalam pada itu dia mengeluh sedikit. “Kalau bukan kerana anak kita, awak takkan memandang sayakan? Semenjak dulu awak memang bencikan saya. Hanya saya saja yang beria-ia sukakan awak. Selama ini apabila saya dekati awak, awak akan marah-marah dengan saya,” ujar Ariff hampa dengan layanan aku selama ini.
Aku terkedu mendengar kenyataannya. Aku marah-marah bila dia dekati aku? Bila masanya aku marah-marah dia bila dia menuntut sedikit perhatian dari ku? Bila? Aku marah bila dia tak mahu mendengar nasihat ku. Besar bezanya di situ. Oh! Jadi itulah maknanya yang selama ini aku tidak cinta kepadanya.
“Saya percaya kita tak boleh mengubah diri kita kerana cinta tetapi cinta boleh mengubah kita untuk menjadi orang yang lebih baik. Tapi jangan cakap soal cinta kalau kita sebenarnya tak tahu apa maknanya cinta. Jangan cakap soal sayang, kalau sekadar memberi kesetiaan pun kita tak mampu. Cinta adalah tentang kejujuran pada diri kita, Ariff. Cinta adalah tentang kesetiaan dan keikhlasan kita menerima seseorang dalam hati kita. Kalau semua itu tidak pernah ada dalam diri kita, itu belum boleh dipanggil cinta,” luah ku perlahan sahaja.
Ariff menoleh kepada ku dengan pandangan yang tidak mampu ku tafsirkan maknanya. Namun kedengaran pula keluhan lelaki itu. “Saya memang sukakan perempuan cantik. Awak salah satu daripadanya. Saya memang tak pernah berniat untuk mengahwini mereka. Tapi dengan awak saya memang tersilap dulu kerana tak berhati-hati..” ujar Ariff perlahan. Satu pengakuan yang aku anggap teramat jujur.
Aku cuba untuk mendalami apa yang sedang dimaksudkan Ariff sebaik-baiknya. Akhirnya seketika kemudian aku mengerti juga. Andaian yang ada dibenak ku begini.. kegelojohan lelaki ini dahulu telah membuatkan aku hamil. Sedangkan dengan wanita lain Ariff terlebih dahulu bersiap sedia dengan menggunakan alat perlindungan supaya dia tidak perlu bertanggungjawab pada wanita yang sudah digaulinya itu. Alangkah kejamnya kau wahai lelaki! Detik hati ku benci.
“Jadi itulah cinta yang awak katakan pada saya selama ini? Kalaulah ditakdirkan awak yang terkena semua itu, bagaimana awak nak membalas cinta saya selepas saya puas menyakitkan hati awak?” tanya ku serius.
“Saya dah kata saya tak sengaja. Saya mabuk waktu itu, sayang.”
“Ya! Awak gauli saya dalam keadaan mabuk. Tapi bagaimana dengan yang lain? Semuanya mabuk atau awak memang rela?” tekan ku cukup sinis.
Ariff terdiam tidak mampu memandang ku. “Cuba bayangkan kalau anak perempuan awak dipermainkan orang seperti yang awak memperlakukan pada perempuan-perempuan itu, Ariff. Suka ke awak dengan keadaan tu? Bagi saya samaada anak perempuan saya dipermainkan atau anak lelaki saya mempermainkan perempuan, kedua-duanya saya tak mahu! Saya mahu anak saya menjadi lelaki sejati. Lelaki sejati lelaki yang akan melindungi maruah wanita! Bukan merosakkan wanita itu!” tambah ku sedikit tajam dan sinis.
“Tapi mereka sendiri yang suka dengan saya. Saya tak pernah memaksa mereka ikut saya. Mereka sendiri yang bodoh kerana menyerah!”Ariff  dengan mudah meletakkan kesalahan itu di bahu wanita-wanita yang menyerah kepadanya. Ah! Sekarang dia cuba membayangkan aku pun bodoh sama macam perempuan-perempuan itu. Bodohlah agaknya aku.. sepatutnya lelaki ini aku sumbat dalam penjara. Tapi lain pulak ceritanya. Aku sanggup kahwin pulak dengan dia.
 “Dalam islam si penzina kedua-duanya akan dihukum. Kecuali kalau dipaksa atau perhubungan itu dilakukan dalam keadaan terlupa atau salah sangka. Itu dimaafkaan. Tapi kalau kedua-duanya sudi, keadaan fikiran cukup waras.. maka boleh dikenakan hukum iaitu seratus kali sebatan setiap seorang. Tiada belas kasihan baik pada di lelaki atau perempuan. Tidak kiralah siapa yang mengajak siapa yang diajak. Sama-sama akan kena!
Allah ciptakan makhluk lelaki dengan sembilan akal tetapi satu nafsunya. Berbanding wanita sembilan nafsunya tetapi satu sahaja akal. Dalam islam juga diakui lelaki lebih bijak dari wanita kerana itulah lelaki diangkat sebagai pemimpin dalam negara dan sesebuah keluarga. Kerana itu juga Allah hanya melantik nabi dan rasul di kalangan lelaki sahaja. Tetapi tidak semua lelaki menggunakan sembilan akal itu untuk tujuan yang baik sedangkan Allah menetapkan lelaki adalah pembimbing kepada isteri dan anak-anaknya. Wajarkah akal yang banyak itu digunakan untuk menipu daya wanita yang bersifat naif yang seharusnya dilindungi?” balas ku pula.
“Saya ini terlalu teruk ke untuk awak, Insyirah? Saya memang tiada tempat langsung di hati awak?” entah kenapa soalan itu pula yang ditanyakan Ariff kepada ku.
Aku terkebil-kebil seketika saat itu. Dah ke situ pula perginya lelaki ini. Lain yang aku cakap lain pula penerimaan Ariff.  “Awak tetap suami saya selagi awak tak menceraikan saya, Ariff. Selama itulah saya perlu mengingatkan awak supaya awak menjadi orang yang lebih baik. Tanggungjawab kita adalah saling ingat mengingatkan dan saling menegur apa yang tidak kena. Saya tak kata awak teruk. Saya beritahu awak supaya awak tahu dan jangan ulanginya lagi selepas ini. Itu sahaja!” ujar ku cuba untuk memperbetulkan tanggapan lelaki itu. Aku tidak berniat pun untuk menghinanya.
“Awak tak jawab soalan saya. Adakah saya memang tak pernah berada di dalam hati awak selama ini?” soal Ariff masih tidak berpuas hati dengan jawapan ku tadi. Aku terus beristighfar dalam hati. Apa yang dia nak dari ku sebenarnya?
“Beginilah, Ariff.. awak suami saya. Selagi awak memerlukan saya, selagi itulah saya akan sentiasa dengan awak. Saya takkan ke mana-mana!” Aku akhirnya menjawab juga setelah aku puas berdiam diri. Agak melencong jawapan ku itu tetapi dalam keadaan begini, aku tidak mampu berterus-terang apa sebenarnya yang sedang bermain di hati ku ini. Ariff bukanlah seorang yang memahami. Aku tidak mahu jawapan jujur ku nanti membuatkan aku bertengkar di sini. Aku paling tidak mahu kedua orang tua ku melihat kerapuhan yang masih merwarnai hubungan kami.
“Jawapan itu sama sekali tak cukup bagi saya! Saya mahu segala-galanya pada awak jadi milik saya termasuklah hati awak! Kesetiaan awak memang kepada saya tapi hati awak bukan untuk saya. Saya tahu!” Ariff mendegus tidak puas hati.
“Habis tu awak nak saya buat macamana? Bagitahu saya bagaimana caranya untuk saya buat hati saya cintakan awak? Soal jatuh cinta bukan kuasa saya, Ariff. Awak bercakap seolah-olah kuasa saya ni tinggi sampai ke langit. Macamana saya nak rasa semua perasaan tu kalau awak asyik mendesak saya? Fikirlah sikit! Awak nak saya jatuh hati pada awak, tapi awak sibuk layan perempuan lain belakang saya. Saya ni bukannya robot boleh disetting sesuka hati!” bentak ku sudah mula geram

Ariff terus membisu dengan jawapan ku itu. Kami mula membisu apabila keadaan sudah terasa tegang. Tatkala kedengaran sayup suara anak ku menangis. Aku lantas bangun meninggalkan Ariff seorang diri di situ. Soal penerimaan lelaki itu, malas mahu ku fikir lagi. Biarlah masa sahaja yang menentukan keadaan kami selepas ini.

Mempelam.. oh.. mempelam


Aku sebenarnya segan dengan orang kampung dengan kewujudan Ariff. Semenjak lelaki itu ada, rumah kami tidak putus-putus didatangi orang. Ada sahaja yang mahu berkenalan. Yalah.. inilah pertama kali mat saleh masuk ke kampung kami.
Tetapi semua itu tidak menjadi kudis bagi Ariff. Pakej melawat aku dilengkapkan juga aktiviti perkenalan kepada suasana kampung. Petang-petang dia selamba sahaja naik motor dengan Syahril pergi menjelajah ladang sawit dan kebuh buah keluarga kami. Padahal pokok-pokok di kebun buah-buahan abah itu bukannya ada berbuah pun. Belum musim..
Apatah lagi kebiasaan di kampung kebanyakan penunggang motor memang tidak gemar memakai topi keledar maka semakin jauhlah mereka berdua berjalan. Sehingga ke perkampungan lain pun ada. Kata Ariff dia benar-benar seronok dengan pengalaman duduk di kampung. Dia suka mencuba sesuatu yang tidak pernah dilihatnya terutama sekali makan mempelam muda dengan sambal kicap. Pada mulanya aku mahu tergelak melihat muka lelaki itu yang berkerut menahan masam. Katanya inilah pertama kali dia makan buah mempelam. Tetapi selepas mula merasai kenikmatan mempelam muda dicicah dengan sambal kicap. Makannya tak mahu berhenti. Aku pulak yang seram menengoknya.
“Cuba awak rasa.. sedap!” dengan selamba dia menyuakan hirisan mempelam muda itu kepada aku. Tetapi emak lekas menegah aku memakan mempelam itu.
“Saya tak boleh makanlah, Ariff. Awak makanlah. Tapi jangan makan banyak sangat. Nanti kalau tak tahan awak boleh kena gastrik. Buah ni banyak asid,” ucap ku sambil memandang dia makan. Lajunya dia makan macam makan nasi. Kesian betul mat salih ni. Jakun..
“Kenapa awak tak boleh makan? Buah ini pun berbahaya untuk awak?”
“Yalah. Awak rasakan buah tu amat masam? Banyak asid. Kalau orang yang sihat walafiatpun boleh jatuh sakit bila makan buah itu, inikan pula saya yang sememangnya tengah sakit. Awak tu jaga-jaga sikit! Nanti sakit perut saya juga yang susah,” ucap ku lembut. Bukannya aku tidak tahu betapa manjanya lelaki ini bila dalam keadaan sakit. Kalau boleh nak mandi pun suruh aku jugak yang mandikan.
“Sedap! Saya tak pernah makan benda-benda begini. Saya kena cuba! Nanti di London kita takkan dapat pengalaman begini lagi.”Ariff menjawab selamba. Mukanya sudah kemerahan menahan pedas sambal kicap itu. Macam tak hairan sahaja dia dengan peringatan aku tadi. Belum kena memanglah nak cuba..
Malas mahu menegah lagi aku hanya membiarkan lelaki itu makan sesedap rasanya. Dia mahu pengalaman pertama ya? Biarkan!
Akibatnya malam itu..
“Sayang, kenapa perut saya ni sakit?” berkerut-kerut dia menahan sakit.
“Saya dah cakap siang tadi. Awak degil! Tengok apa dah jadi..” keluh ku sudah tidak senang hati. Nak ke klinik, di sini mana ada klinik beroperasi malam hari. Nak tak nak kenalah tahan sampai esok pagi.
“Sakitlah. Dada saya ni pedih sangat..” keluhnya lagi. Tubuhnya mengerekot seolah-olah mahu menenggelamkan penderitaannya sedalam yang boleh.
Inilah akibatnya kalau kepala batu! Aku jugak yang susah.. nak belek anak lagi.. bapaknya lagi.. hish! Membebel juga aku dalam hati. “Awak kena muntahkan balik apa yang awak makan tadi. Takpe.. biar saya sapu minyak dulu,” ucap ku tetap tidak sampai hati mahu marah kepadanya.
“Cepatlah sapu minyak. Sakit sangat ni..” Ariff semakin kuat mengerang.
 Terhegeh-hegehlah aku mengeledarkan lelaki manja seorang ini. Tidak cukup menyapu minyak, aku bancuhkan susu pula supaya sakit pada ulu hati itu lega. Masih tidak lega juga, dia suruh aku bancuh lagi sehingga Ariff akhirnya muntah. Selepas itu barulah dia nampak tenang.
“Macamana? Nak makan buah tu lagi ke? Banyak lagi kat pokok tu kalau awak nak.” Aku segera memerlinya apabila melihat dia sudah tidak mengerang seperti tadi. Dia yang sakit aku pula yang tak boleh tidur dibuatnya.. getus hati ku geram. Sempat aku memandang anak ku yang sedang menyusu di tubuh ku itu. Ralik sungguh Muhammad Rafael tanpa mempedulikan apa yang berlaku kepada ayahnya itu.
“Tak nak! Saya serik..” jawab Ariff lemah. Barulah dia dapat berbaring dengan aman. Matanya terus dipejamkan. Sekejap sahaja dia sudah terlelap.

Tinggal aku seorang melayan anak-anak yang sudah mula terjaga. Macam ni.. alamat sampai ke pagilah aku tak boleh tidur. Baru tiga orang lelaki Allah berikan kepada aku, aku sudah pening dibuatnya. Kalau bertambah lagi nanti? Aduhai..

Khamis, 10 Oktober 2013

Hidup baru.. orang baru.. tapi dia masih sama!

“Mana anak-anak saya?” soal Ariff setelah masuk ke bilik ku petang itu.
“Jangan kacau. Dia orang baru aja tidur,” tegah ku. Aku tahu apa dia nak buat.
Ariff tersengih lalu duduk di tepi ku. “Kalau awak tak bagi saya cium anak-anak saya.. biar saya cium awak,” ucapnya nakal. Terus di dekatkan wajahnya ke pipi ku.
“Janganlah..” tolak ku sambil menjauhkan wajah ku darinya. Bukannya aku kedekut benar.. kalau setakat bermesra begitu tidak salah. Tapi yang jadi masalahnya, lelaki seorang ini bila dibagi betis mulalah mintak paha pulak. Dalam keadaan aku begini separas pusat sehingga ke lutut haram untuknya. Jadi paha dah kira haram dah tu!
“Kalau awak tak mahu, saya nak cium anak-anak saya..” ugutnya selamba.
“Sabarlah.. anak-anak awak baru aja tidur. Nanti terjaga saya jugak yang pening,” jawab ku sebal. Aku baru nak berehat. Dia dah nak kejutkan hero aku dua orang itu.
Namun Ariff tetap tidak mempedulikan teguran ku. Dia terus mendekati anak-anaknya di atas tilam kecil di sebelah ku itu. Ariff terpaku seketika merenung wajah dua anak ku itu. Seketika kemudian dia memandang aku pula. “Saya rasa seperti bermimpi sekarang. Semenjak saya tahu awak dah nak bersalin, saya memang dah tak sabar untuk bertemu dengan mereka. Sekarang baru saya tahu betapa indahnya perasaan menjadi seorang ayah,” luah Ariff kepada aku yang sedang memerhatikannya. Aku tersenyum sebagai balasan kepada bicara lelaki itu.
“Hello, sayang. Kenapa asyik tidur je? Bangunlah.. main dengan daddy,” Ariff mengusik pipi anak sulung ku perlahan. Kemudian dahi dua anak kecil itu dikucupnya secara bergilir. Kemudian berpindah pula ke pipi anak-anak itu. Sehingga memerah pipi anak-anak itu akibat dikucup gemas oleh Ariff. Aku yang memandang mula menggeleng. Kalaulah boleh susu badan ku ini aku pindahkan kepada dia.. kan bagus? Biar dia pulak rasa macamana payahnya menjaga anak. Orang lain satu aja baby, aku ni dua sekaligus! Bila seorang terjaga, seorang lagi pun ikut terjaga jugak.
Namun melihat kemesraan Ariff melayan anak-anaknya, aku merasa bahagia. Kini aku semakin yakin Ariff mampu menjadi seorang ayah yang baik dan penyayang kepada dua putera kami itu.
“Mereka memang serupa dengan saya,” ucap Ariff bangga. Tidak henti-henti senyumannya memekar di bibir. Raut anak-anaknya itu dipandang penuh asyik. Bagaikan tidak pernah puas!
“Yalah.. macamana bapak macam tulah anak. Dia orang memang lebih banyak ikut awak daripada saya,” cebir ku sendiri. Rambut dah ikut Ariff. Muka dah dah sahlah seketul! Mana bahagian yang serupa dengan aku? Entah!
Ariff ketawa perlahan mendengar ucapan ku itu. “Awak jangan merajuk. Nanti bila kita ada anak perempuan, muka dia mesti ikut awak. Sebab sama-sama perempuan,” ucap Ariff senang hati.
“Sedap aja awak bercakap nak anak perempuan ya? Saya ni sihat pun belum lagi. Ngeri saya dengar apa yang awak cakap tu.”
Semakin galak pula Ariff ketawa. Seronok benar! Yalah.. bab gentel anak serahlah kat dia. Cuba suruh bangun malam susukan anak.. cepat aja dia tekup telinga dia dengan bantal. Cukup masa order jelah nak anak lagi!
“Ariff, kita belum meletakkan nama kepada mereka lagi,” kata ku cuba menarik perhatian Ariff kepada ku pula.
Ariff menoleh kepada ku. “Saya ingat abah dah letakkan nama pada mereka berdua?” ujarnya dengan kerutan di kening.
“Kenapa pulak abah yang kena letakkan nama sedangkan ini anak kita? awak bapaknya, awaklah yang kena letakkan nama,” getus ku. Patutlah dia buat dono aja. Rupanya dia ingat itu semua abah punya urusan.
Ariff termanggu seketika. “Err.. saya tak begitu tahu nama orang islam. Kalau saya letakkan nama yang saya tahu, pasti awak akan menolak. Sebab nama itu tidak seperti nama orang islam,” balas Ariff sambil terus memandang anak ku. Dikuit-kuitnya pipi anak sulung kami itu.
“Saya mahu meletakkan Muhammad pada mereka. Nama awak ada Muhammad, seeloknya mereka juga harus ada nama seperti itu,” ucap ku kembali. Itu yang sudah aku putuskan semenjak awal lagi. Nama itu juga bersempena dengan junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
“Kalau begitu saya mahu nama Mikhael dan Rafael. Muhammad Rafael untuk abangnya dan Muhammad Mikhael untuk adiknya,” balas Ariff spontan.
Aku terdiam seketika. Cuba memikirkan nama-nama yang disebutkan oleh suami ku itu. Mikhael adalah nama malaikat pemberi rezeki, sudah tentulah bagus untuk anak ku. Siapa tahu murah rezeki kami sekeluarga nanti bersempena dengan nama itu. Tetapi Rafael agak asing pada ku. Dari mana Ariff mendapat nama itu? Dah macam nama pemain bola sepak pulak.
“Awak tidak suka nama itu?” soal Ariff apabila melihat aku tidak menjawab.
“Saya suka nama Mikhael kerana itu nama salah satu malaikat tetapi nama Rafael agak lain. Macam nama orang Brazil aja?” jawab ku sedikit ragu. Tampang suami ku itu ku pandang lama.
“Bukan! Itu bukan nama orang Brazil, sayang. Saya pernah bertemu dengan orang islam yang bernama seperti itu. Saya sukakan nama itu. Saya mahu salah seorang anak kita dinamakan dengan nama itu.”
Aku diam lagi sambil memandang suami ku itu. Nak aku tolak.. tak sampai hati pula. Apa makna Rafael ya? Nantilah aku tanya abah semula. “Macam nilah.. saya akan tanya abah dulu. Kalau nama itu tak mendatangkan maksud yang buruk, saya setuju.”
Ariff ternyata amat gembira mendengar keputusan ku itu. Dia kemudian mengesot kembali kepada aku yang sedang duduk bersandar pada dinding bilik itu. Sempat juga dia mengipas-ngipas tubuhnya yang kepanasan. Yalah.. bilik aku ni mana ada aircond macam bilik hotel mewah. Hanya memiliki kipas di siling dan kipas meja.
“Panas ke?” sempat juga aku memerli melihat gelagatnya.
“Bilik ni memang agak panas tetapi perempuan di dalam bilik ni lagi panas..” jawab Ariff sambil tersengih-sengih kepada ku. Dia duduk bersebelahan dengan ku sambil terus memaut tubuh ku kepadanya. Wajah ku ditatapnya penuh rasa rindu. Segan pula aku dibuatnya.
“Hmm.. bau awak wangi macam.. er.. macam resberry.” Ariff berbisik sambil menghidu dalam rambut ku. Sekali lagi dia mahu melakukannya aku terus menolaknya.
“Saya tengah uzur. Selama saya masih di dalam keadaan ini haram awak gauli saya. Saya harap awak faham. Bukannya saya tak suka, tapi sentuhan awak harus tidak melebihi batas. Dari separas pusat sehingga ke lutut haram untuk awak. jangan mulakan kalau awak tak kuat menahan nafsu,” ujar ku lembut mengingatkan supaya Ariff membataskan sentuhannya kepada ku. Kehendaknya juga harus tidak melebihi apa yang mampu aku berikan.
“Berapa lama awak akan begini?” soal Ariff dengan sedikit kerutan di kening.
“Mungkin empat puluh hari mungkin juga lebih,” jawab ku sambil mengerling lelaki itu.
“Kenapa lama sangat? Kurang sikit tak boleh ke?” ucap Ariff selamba.
“Awak ingat melahirkan anak mudah? Anak awak dua orang, Ariff. Saya terlantar berjam-jam menahan sakit untuk melahirkan awak. Saya perlukan masa untuk sembuh. Takde kerja lain agaknya awak ni!” getus ku geram.
“Oh.. begitu ke? Hmm.. takpelah. Untuk tempoh ini awak berehatlah. Nanti bila awak dah sihat, awak beritahu saya ya? Saya akan menunggu sampai awak sembuh.” Ariff berbisik lembut ditelinga ku. Senyuman dan renungan mesranya menghantar keinginan lelakinya yang sudah lama tidak aku tunaikan.
“Awak datang sini untuk itu saja? Awak ni memang miang!” Aku menggumam geram. Itu sahajakah yang ada di fikiran lelaki ini?
“Saya datang sebab saya rindukan awak dan anak-anak saya. Tapi bila tengok awak saya macam ni memang tak boleh tahan. Awak nampak seksi macam ni. Saya suka..” balas Ariff selamba sambil memaut tubuh ku lebih erat.
Kata-kata Ariff itu membuatkan aku terkebil-kebil memikir sendiri. Aku yang berkain batik dan bert’shirt begini Ariff katakan sebagai seksi? Tang mana yang seksi benar?
Tetapi Ariff ketawa pula dengan reaksi ku itu. Lengan ku diusapnya lembut. “Saya akan menunggu sehingga awak sembuh, sayang. Lepas itu siaplah awak! Saya akan buat awak tertidur sehari suntuk sebab keletihan,” balas Ariff dengan pandangan yang cukup mesra.
Seram sejuk aku melihat mata lelaki itu yang redup semacam. Kata-kata serupa ugutan itu membuatkan aku kengerian. Cepat-cepat aku mengalihkan perhatian kepada anak-anak ku itu. Salah seorangnya bagaikan mengerti segera menyelamatkan aku dengan rengekannya.
Aku segera melepaskan pelukan Ariff. Anak itu terus ku angkat lalu ku riba. Anak kedua ku itu terlelap semula apabila aku menepuknya. Dengan kehadiran Mikhael takde Ariff boleh berbuat sesuka hati lagi kepada ku. Selamat aku!

Malam itu Ariff bersantai sahaja di ruang tamu saat seluruh ahli keluarga ku itu sibuk bersolat maghrib secara berjemaah. Aku pula yang baru selesai bertungku dan menyusukan anak-anak segera memanggil suami ku itu masuk ke dalam bilik. Sebal benar aku dengan sikap tidak tahu malu Ariff. Mujurlah emak dan abah mengerti keadaan Ariff. Jika orang lain yang tengok, mesti aku yang akan dipersalahkan bila suami tidak pandai bersolat. Langsung tidak ada segan silu Ariff dengan kekurangannya itu.
“Awak tidak bersolat dengan mereka semua ke?” soal Ariff kepada ku sebelum sempat aku meluahkan apa yang terbuku dalam hati ku. Dengan selambanya Ariff duduk di sebelah ku di atas katil itu.
“Saya yang sepatutnya bertanya begitu dengan awak. Saya tak bersolat kerana saya uzur. Haram saya bersolat dalam keadaan saya tidak suci. Tapi awak tu.. saya nak ajar awak bersolat, awak degil. Saya malu pada orang tua saya bila tengok keadaan awak macam ni,” tukas ku kesal dengan sikap selamba Ariff.
“Kenapa nak malu pula?” soal Ariff mulai tidak senang dengan bebelan ku. Aku sedar Ariff masih tidak tahu amat penting untuk dia menjaga air mukanya sebagai orang islam. Amat penting untuk dia menjaga air mukanya kepada Allah!
“Solatlah, Ariff. Awak dah ada kewajipan itu. Alasan tak tahu, tak boleh diterima sebab awak diwajibkan belajar bersolat. Suatu hari nanti apabila sampai masanya, anak-anak juga kena bersolat. Awak yang kena mengajar anak-anak bersolat. Apa kata mereka kalau mereka nampak awak pula yang tak bersolat?” pujuk ku cuba berlembut.
“Saya belum belajar lagi cara-cara untuk bersolat. Nantilah..” balas Ariff selamba sambil menelentang di atas katil itu. Reaksi sebegitulah yang paling menguji kesabaran aku, apabila aku mula bersuara tentang agama kepada suami ku ini. Bukannya Ariff tidak mampu tetapi lelaki itu sememangnya tidak mahu belajar! Malas memang alasan yang mudah untuk membiarkan diri lalai.
“Sampai bila nak macam ni?” keluh ku sambil menggeleng sendiri.
“Sampai bila-bila yang saya suka. Tengok sini Insyirah, saya tak pernah memaksa awak dengan saya selama ini. Awak suka duduk sini dengan keluarga awak, saya tak pernah membantah. Tetapi kenapa awak suka memaksa saya membuat sesuatu yang saya tak suka?” balas Ariff dengan nada tertahan. Mulalah dia naik angin. Namun masih dikawal suaranya. Mungkin dia takut abah dan emak mendengar kata-katanya.
“Ini bukan soal paksa tapi kewajipan. Kalau saya tak tegur, saya berdosa. Benda yang awak tak suka tu wajib hukumnya, Ariff. Yang awak suka itu haram hukumnya. Saya bukannya nak paksa awak belajar semuanya. Tapi belajarlah sikit-sikit dulu. Kemudian baru amalkan. Semua amalan kita akan mendapat balasannya, Ariff. Allah tengok kita sepanjang masa. Awak tak takut ke? Bukalah mata awak luas-luas. Awak suami saya. Takkan saya nak relakan awak abaikan agama. Sedarlah.. awak seorang suami dan ayah sekarang. Kita kena selalu berubah untuk kebaikan!” tekan ku bersungguh.
Ariff diam sahaja sambil menatap kipas yang ligat berpusing.
“Ariff, awak dengarlah nasihat saya. Solat tu ibarat sebatang sungai yang mengalir di hadapan rumah. Kalau lima kali sehari kita mandi di sungai itu lama-kelamaan segala dosa kita akan digugurkan Allah. Awak tak mahu begitu? Bukannya susah. Hanya lima kali sehari semalam. Belajarlah dulu, Ariff. Suatu hari nanti awak akan menjadi imam kepada saya dan anak-anak kita,” nasihat ku lembut.
“Bila awak nak berhenti membebel mengenai hal ini?” soal Ariff perlahan.
“Selagi Allah memberikan saya kekuatan saya akan terus mengingatkan walaupun awak tak suka. Kerana itulah tanggungjawab kita suami isteri. Kita saling melengkapi antara satu sama lain. Bila sampai masanya Allah akan menutup mulut saya ni, awak takkan dengar lagi apa-apa dari saya. Waktu tu awak akan buat apa sahaja yang awak suka sebab saya dah tak melihatnya lagi!” serius kata-kata ku untuk membuatkan suaminya itu sedar.
Ariff menoleh memandang ku lama untuk memahami ucapan ku tadi. Wajahnya mengeruh mendengar itu. “Apa maksud awak tadi? Awak nak tinggalkan saya?”
“Hidup hanya sementara. Begitulah juga dengan nyawa yang ada pada jasad kita ni. Kalau ditakdirkan saya diambil oleh Allah kembali ke sisi-Nya, waktu tu segala tanggungjawab saya pada awak akan terhenti. Tinggal awak sahaja mahu terus begini atau tidak. Selagi Allah memberikan saya kesempatan dan kemampuan untuk menjalankan amanah ni, saya akan jalankan sebaiknya. Tapi apa yang terjadi selepas itu saya hanya berserah pada Allah,” jelas ku sekadar mahu mengingatkan.
Ariff mengeluh perlahan. “Saya sudah pernah kehilangan suatu masa dulu. Tuhan memang tidak adil kepada saya kerana merampas emak saya daripada saya dalam usia saya masih terlalu muda. Kalau terpaksa kehilangan lagi Tuhan memang tidak pernah kasihan kepada saya selama ini,” luah Ariff perlahan.
“Benarkah Allah tak adil kepada awak?” aku menyoal lembut. Aku mahu Ariff menilai semula apa yang diluahkannya. Aku tahu Ariff memaksudkan yang dia pernah merana setelah kehilangan ibunya dalam usia yang muda. Bapa mertua ku pernah menceritakan tentang itu kepada ku.
“Allah rampas emak saya!” jawab Ariff pantas.
“Rampas? Perkataan tu tak sesuai untuk awak gambarkan siapa Allah sebenarnya. Kita semua adalah milik Allah. Emak juga sekadar pinjaman di atas dunia ini, Ariff. Tetapi Allah tidak pernah berlaku kejam kepada setiap hamba-Nya. Allah tidak akan mengambil sesuatu dari kita begitu sahaja. Setiap sesuatu yang Dia ambil Dia akan menggantikannya dengan sesuatu yang lain. Pernah tak awak memandang semula apa yang ada dalam hidup awak? Awak memang tiada emak tapi papa awak baik. Dia limpahkan awak dengan kasih sayang. Dia mahu awak hidup sempurna dengan memberikan segala-galanya kepada awak. Awak kaya raya dan ramai orang sayangkan awak. Awak tak perlu bersusah payah untuk hidup selesa atas dunia ni. Tanpa pekerjaan yang baik atau kelulusan tinggi awak tetap dapat hidup senang. Ramai orang lain disekeliling awak yang ada emak tapi tetap tak seberuntung awak. Bukan semuanya yang kita mahukan akan kita dapat, Ariff. Hidup tidak akan selamanya sempurna seperti yang kita mahukan. Allah menguji kita dengan kehilangan untuk mengajar kita erti bersyukur dengan apa yang kita miliki selama ini. Supaya kita dan orang sekeliling kita beringat yang hidup ni bukan untuk selamanya. Kita tak patut meminta-minta tapi kemudia tak mahu bersyukur,” balas ku lembut.
“Memang ramai orang sayangkan saya tapi perempuan yang saya suka tak sayangkan saya. Betulkah Tuhan itu adil? Kalau Tuhan adil mengapa dia buat saya jatuh cinta pada perempuan yang tak cintakan saya?” celah Ariff lekas sahaja menggunakan topik itu untuk mematahkan hujah ku. Matanya sempat mengerling sinis kepada ku.
Aku terpaku seketika memandang Ariff. Siapa yang dia maksudkan? Aku ke? “Apa maksud awak?” rasanya lebih baik aku bertanya daripada berbuat spekulasi sendiri.
“Awak tak cintakan sayakan? Saya tahu awak memang tak pernah cintakan saya selama ini,” jawabAriff sambil merenung ku agak tajam.
Aku sempat menghela nafas perlahan. “Apa bukti yang mesti saya berikan untuk buat awak faham tentang perasaan sayang saya kepada awak? Perhatian saya hanya pada awak seorang. Setiap apa yang saya lakukan di belakang awak, saya akan fikirkan awak dulu. Saya tegur awak sebab saya tak mahu hidup awak hancur, Ariff. Itu semua tak bermaksud yang saya sayangkan awak?” balas ku sedikit kesal.
Ariff kembali terdiam. Dia kehilangan bicara untuk membalas saat itu.
“Perlu ke kita menanti hingga kita hilang sesuatu baru kita mahu menginsafi, Ariff. Apabila tiba waktunya masa yang dah berlalu tidak akan berulang semula walaupun kita menangis dengan air mata darah. Lebih rugi lagi kalau kita mati dalam keadaan Allah tidak ampunkan dosa kita. Itu sangat dasyat, Ariff. Berubahlah selagi ada kesempatan. Bukannya susah! Hanya mulakan dengan solat. Kalau jiwa kita dah terisi, insya-Allah segala amalan yang buruk akan mudah untuk kita tinggalkan. Solat itu pembersih jiwa, Ariff. Setiap apa yang kita lakukan setiiap hari itulah penyukat di mana paras iman kita sebenarnya,” tambah ku lagi.

Ariff terus diam dengan muka ketatnya. Setiap apa yang aku katakan macam tidak masuk langsung ke dalam dirinya. Aku hanya mampu menggeleng melihat Ariff mula membalikkan tubuhnya menghadap ke arah lain. Lelaki itu sudah mulai menunjukkan kebosanannya apabila diceramah lagi mengenai Tuhan dan agama. Aku hanya mampu mengeluh melihat kedegilan suami ku itu. Susah betul untuk menegur lelaki ini kerana tembok keegoannya mungkin melebihi kukuhnya Tembok Berlin. Agaknya kalau dibom oleh nazi pun belum tentu runtuh tembok itu!