Selasa, 23 Ogos 2016

BAB 14-FASAD

BAB 14
PULANG ke rumah petang itu, Farouqe terintai-intai ke dalam. Terpandangkan ayahnya, dia cuba berjalan sebaik-baiknya.
“Kamu pergi mana sampai selewat ini baru balik?” tegur Ariff yang sedang duduk di ruang tamu. Hairan melihat kepala Farouqe bertutup hud bajunya.
“Tadi pergi rumah abang Rayland, daddy. Dia ajak pergi makan.” Farouqe sekadar memandang sekilas ayahnya. Sebelah kakinya disilang ke belakang bagi menyembunyikan lutut yang sudah koyak.
Ariff mengangguk. Matanya kembali memandang tv tanpa bertanya. Tidak sedar dengan gelagat Farouqe. Sebaik sahaja sampai di tangga, Farouqe menyeringai menahan sakit. Kakinya terhencot-hencot semula. Namun cuba juga sedaya upaya berjalan selaju mungkin ke tingkat atas. Tidak sabar mahu menyorok dalam bilik.
Sebaik sahaja masuk, Farouqe terus merapatkan pintu. Perlahan-lahan baju lengan panjangnya ditinggalkan dari tubuhnya.
“Aduh..” Farouqe merintih saat luka di belakang lengan dan belakangnya bergesel dengan baju.
Farouqe berdiri di hadapan cermin. Belakangnya diintai. Ada kesan luka agak besar di belakang. Dan di kepalanya juga ada terkoyak. Itu baru bahagian atas. Belum lagi bahagian bawah.
“Apa nak buat ni? Sakitnya..” ucap Farouqe sendiri. Takut mahu memberitahu ayahnya apa yang sudah berlaku. Kemungkinan pertama yang bakal berlaku ialah, dia akan dimarahi teruk kerana cuai. Kedua, dia akan dimarahi teruk kerana pandai-pandai meminjam harta orang. Ketiga, dia akan dimarahi teruk kerana membonceng motor sedangkan sudah ditegah ayahnya semenjak dulu. Pendek kata, semua kemungkinan memang teruk untuknya!
Namun sedang dia terbelek-belek luka pada tubuhnya, namanya sudah diseru dari luar. Sekalian itu pintu diketuk.
“Farouqe, bukak pintu ni! Amboi.. kunci pintu pulak ya?” jerit Jannah.
“Apa?? Orang sibuk ni. dah. Syuh! Syuh! Pergi sana,” jawab Farouqe dari dalam.
Jannah yang terdengar, serta merta menyirap darah rasanya. “Dia ingat aku ni ayam ke apa?” bebel Jannah sendiri.
“Daddy, Farouqe, kan.. dia jatuh motor!!” laung Jannah agak lantang dari hadapan pintu kamar Farouqe.
Farouqe di dalam sudah tidak tentu arah dalam keadaan terhencot-hencot. Nak menyorok, rasanya tidak kena pula. Sudahnya dia memakai semula baju dan pintu terus dibuka. Kelibat ayahnya sudah terpacak di hadapan pintu kamarnya.
“Apa jadi dengan kamu?” tanya Ariff sambil menurunkan pandangan ke lutut seluar Farouqe sudah koyak. Farouqe sempat menjegilkan matanya kepada Jannah. Jannah tersengih sambil menayang telefonnya tanda berita itu sudah dikutipnya lebih awal daripada Rayland.
“Farouqe jatuh motor Abang Rayland tadi.”
Ariff terus masuk. “Buka baju.”
Mahu tidak mahu anak itu membuka juga bajunya. Ariff terpaku melihat luka agak teruk di badan anak itu. Dan ada kesan dara di tengkuk Farouqe. Mulalah wajahnya berubah ketat.
“Turun bawah. Pergi hospital sekarang!”
Terkebil-kebil mata Farouqe memandang ayahnya keluar dari kamar itu. Sudahnya dia akur juga untuk turun ke bawah. Di dalam kereta, dia hanya pegun menadah telinga dibebel oleh ayahnya.
Ariff membawa Farouqe ke hospital terdekat. Anak itu terus diberikan rawatan segera setelah mengadu baru sahaja jatuh motorsikal. Mujurlah setelah dix-ray, tiada tulang yang patah. Namun meraung-raung dia apabila lukanya dicuci.
Bertambah meraung apabila sebahagian rambut kesayangannya dicukur bagi membolehkan luka di belakang kepalanya dijahit. Setelah selesai diberikan rawatan, mereka pulang. Namun sampai di rumah Ariff tidak segera menyuruh dia masuk. Tidak lama kemudian ayahnya keluar membawa gunting dan pencukur eletrik.
“Daddy nak buat apa?”
“Potong rambut kamu tu,” jawab Ariff selamba.
“Jangan, daddy..” Farouqe mula tercebik-cebik melihat ayahnya mendekat.
“Duduk di situ,” arah Ariff tanpa mempedulikan reaksi anaknya. Semenjak tadi anaknya merayu-rayu agar rambutnya tidak dicukur. Rela membiarkan luka itu tidak berjahit asalkan rambutnya tidak dicukur. Terlalu sayangkan rambutnya konon. Sekarang dia sendiri akan membuang kesemuanya!
Saat yang paling sadis dalam hidupnya, adalah saat ini! Saat menyaksikan rambutnya gugur ke tanah segumpal demi segumpal. Lebih sadis lagi apabila kakak-kakaknya menyaksikan upacara bersejarah itu dengan reaksi sedih dibuat-buat.
“Selamat tinggal rambut meggi yang tersayang,” ucap Imanina sambil melambai seolah-olah melambai orang tersayang pergi jauh.
Insyirah sudah ketawa gelihati melihat Farouqe diejek.
“Peliknya rupa Abang Farouqe, mommy. Botak. Abang Farouqe tak handsome. Kita dah dah tak boleh panggil Abang Farouqe sebagai abang kawasan lagi,” ucap Rania yang memandang dengan mata membulat.
“Diam, Nia! Nangis abang tu nanti.” Insyirah segera menekup mulut celupar Rania.
Sesungguhnya memang benar air mata Farouqe bercucuran di pipi melihat rambutnya sudah berkumpul di tepi kakinya.
“Baru elok sikit macam ni. Daddy lebih suka kamu begini,” puji Ariff puas hati.
“Farouqe rasa hidup ni dah gelap, daddy.”
“Itu akibatnya bila kamu tak mahu dengar cakap orang tua,” jawab Ariff selamba.
Farouqe mencebik. Kecewa. Entah berapa tahun lagi barulah dia akan dapat memiliki rambut sesempurna dulu. Kalaulah dia tahu rambutnya akan menjadi korban, sumpah dia tidak akan menunggang motor besar Rayland tadi. Sungguh!

MACAM mana dengan motor awak?” tanya Jannah sebaik sahaja terlihat wajah Rayland tiba di pejabat pagi itu.
“Saya dah hantar ke bengkel. Esok atau lusa dah boleh guna semula. Tidak begitu teruk kerosakannya. Bagaimana dengan Farouqe?” Rayland membalas lembut. Dia lebih risaukan Farouqe berbanding motor itu.
Jannah menggeleng sambil menghela nafas panjang. “Dia dapat cuti sakit. Malam tadi dia demam sampai tak boleh bangun. Kaki dia sakit sampai tak boleh berjalan,” jawab Jannah.
“Kasihan dia. Saya tak sepatutnya benarkan dia naik motor saya semalam. Saya minta maaf. Saya nak bawa dia ke klinik. Tapi dia tak mahu. Dia takut pak cik dapat tahu.”
“Bukan salah awak. Dia memang dah lama mengidam sangat nak motor macam tu. Daddy tak bagi. Macam mana daddy nak bagi. Baru pegang sekejap, dah jadi macam tu.”
Rayland diam pula. Teringat semalam. Motor itu tiba-tiba melompat ketika Farouqe sedang duduk di atasnya. Kebetulan enjin sedang menyala. Sudahnya Farouqe terseret sekali. Keadaan Farouqe jadi teruk akibat dihempap motor itu.
“Saya masuk dulu. Saya nak ke bawah sekejap lagi. Awak dah sarapan pagi?”
“Belum. Jam 10 nanti baru saya turun,” ujar Rayland lantas memandang jam di pergelangan tangannya.
Mereka berpisah arah untuk melunaskan tanggungjawab masing-masing. Jannah turun semula ke lobi. Ada kerja yang harus diselesaikan di bawah. Sementelah Vanida sedang bercuti. Kerja yang seharusnya dilakukan Vanida terpaksa dilakukannya sendiri. Dalam keadaan dirinya sibuk, Jannah tidak sedar ada seseorang sedang mendekatinya.
Kata orang untung sabut timbul. Begitulah lelaki itu. Cadangnya dia mahu mencari Jannah di pejabatnya. Tidak sangka rupanya gadis itu sedang berada di situ. Tan Sri Malik berdiri seketika tidak jauh dari gadis itu. Sebotol minyak dikeluarkan dari saku seluarnya. Kemudian minyak itu dicalitkan di kedua-dua belah keningnya. Setelah minyak itu dikembalikan ke dalam saku, Tan Sri Malik mula menghayunkan tongkatnya untuk mendekati Jannah yang berdiri menghadap ke kaunter daftar masuk.
“Sayang..”
Jannah segera mengangkat wajah mendengar suara itu. Kemudian dia berpaling ke belakang. Pandangan Jannah singgah tepat di wajah seorang lelaki tua. Sedetik dua detik dia hanya memandang.
Sayang? Siapa sayang? Detik hatinya hairan. Sempat dia memandang ke arah kakitangan yang sedang menghurungnya. Masing-masing terpinga-pinga.
“Encik bercakap dengan saya ke?” tanya Jannah hairan.
Wajah Tan Sri Malik berubah. Encik?
“Ini abang, sayang. Ana tak kenal abang?” ucap Tan Sri Malik bersungguh.
Jannah terus terpaku memandang lelaki bertongkat itu. “Saya tak kenal, encik. Encik salah orang agaknya ni. Ada urusan apa di sini?” balas Jannah sambil menggeleng sedikit.
Tan Sri Malik mula memegang rautnya. Adakah Jannah tidak mampu melihat dirinya sekarang ini? Apa lagi yang tidak kena? Adakah jampi menteranya tidak menjadi?
“Encik perlukan bantuan ke?” tanya Jannah semakin hairan dengan gelagat lelaki itu.
“Ini Abang Malik. Takkan Ana dah lupa abang?” ujar Tan Sri Malik lembut.
Berderau darah Jannah mendengar nama itu. Wajahnya terus berubah seperti sedang berhadapan dengan hantu.
“Jagan dekat dengan saya!” tegas Jannah. Pantas dia menjauhi lelaki itu. Kawasan yang dirasakan paling selamat sudah tentulah di sebalik kaunter daftar masuk itu. Jannah segera masuk ke situ.
“Tolong.. tolong pergi dari sini, tan sri. Jangan ganggu saya.”
“Kenapa Ana buat abang macam ni? Abang rindukan Ana. Abang nak bercakap dengan Ana sekejap.” Tan Sri Malik mula berjalan ke hujung kaunter itu.
“Stop!!!” jerit Jannah panik. Lelaki itu benar-benar menakutkannya.
“Tolong panggil pengawal sekarang!” arah Jannah kepada kakitangan yang terpaku memandang. Seorang pegawai lelaki ditolaknya agar membantu menghalang lelaki tua itu.
“Encik, ini kawasan larangan.” Kakitangan lelaki itu cuba menahan Tan Sri Malik daripada masuk untuk mendapatkan Jannah.
“Kau diam! Aku bercakap dengan kekasih aku.” Tan Sri Malik menunding lelaki itu dengan tongkatnya.
“Ana.. sinilah, sayang. Abang nak jumpa Ana. Abang rindukan Ana. Ana dah janji nak kahwin dengan abang,” rayu lelaki tua itu penuh kelembutan.
“Saya tak kenal pak cik!! Jangan dekat dengan saya!” tegas Jannah. Pantas dia mengangkat ganggang. Sambungan ke kamar ayahnya didail. Menggigil kakinya saat menanti talian berjawab.
“Daddy! Ada orang ganggu Ana. Tolong turun ke lobi sekarang!” suara Jannah terus meninggi sebaik sahaja terdengar suara ayahnya menyapa.
Tan Sri Malik tidak jadi mahu mendekat. Tahu siapa yang sedang dipanggil Jannah.
“Ana, sampai hati Ana buat abang macam ni. Abang terlalu sayangkan Ana. Abang dah lama menunggu. Abang nak kahwin dengan Ana,” rayu lelaki itu bersungguh. Penuh harap.
“Saya tak kenal encik ni siapa. Tolonglah jangan ganggu saya! saya sungguh-sungguh tak kenal encik!” bentak Jannah masih diburu ketakutan kepada lelaki tua itu.
Terpandangkan Rayland baru keluar dari lif, Jannah terus menjerit memanggil lelaki itu. Rayland menoleh mencari dari mana datangnya suara Jannah. Terlihat keadaan agak aneh di kawasan itu, dia berlari ke arah lobi.
“Ada apa ni?” tanya Rayland lantas memandang lelaki tua itu.
“Ini suami saya, pak cik. Saya tak pernah janji nak kahwin dengan pak cik! Saya tak kenal pak cik!” ucap Jannah meninggi.
Rayland segera memandang tunangnya dengan kerutan di kening. Akalnya segera menangkap lelaki tua itulah yang telah mengenakan Jannah dengan ilmu hitamnya. Spontan Tan Sri Malik memandang Rayland. Tercabar dengan kehadiran lelaki muda itu.
“Mari sini, sayang..” panggil Rayland kepada tunangnya. Kemudian dia mendekati Tan Sri Malik. Laluan keluar masuk itu sedang terhalang oleh tubuh lelaki itu.
“Sila ke tepi, encik. Bahagian ini hanya untuk kakitangan sahaja,” ucap Rayland lantas menarik tangan lelaki tua itu. Sayangnya lelaki tua itu terus mengangkat buku limanya. Sebelah mata Rayland menerima hadiah.
Rayland terdorong ke belakang sehingga jatuh. Dia mengeliat di atas lantai sambil menekup sebelah wajahnya. Sakitnya seolah-olah sebelah tengkorak kepalanya sudah pecah.
Tan Sri Malik ketawa kecil sambil menapak untuk mendekati lelaki muda itu. Tidak dipedulikan dua pengawal keselamatan berlari ke arahnya. Belum sempat pengawal itu memegangnya, Tan Sri Malik mencekak kolar uniform salah seorang pengawal itu.
“Kau nak rasa penangan aku? Aku boleh matikan kau dan seluruh keturunan kau kalau aku nak. Setakat kau ni celah gigi aku aja. Jangan sibuk urusan aku!” ancam lelaki itu dengan pandangan tajam. Lelaki itu ditolaknya begitu saja. Pengawal itu terdorong sehingga menggelusur di atas lantai.
“Mari dekat..” ugut Tan Sri Malik sambil menunding hujung tongkatnya kepada seorang lagi pengawal yang cuba datang kepadanya. Tidak tahu apa yang sedang berhadapan dengannya, pengawal itu berundur. Tidak berani mahu menyentuh lelaki tua itu.
Tan Sri Malik kembali memandang Rayland yang masih terbaring di lantai. Kali itu dia kembali mendekati Rayland. Hujung tongkatnya diletakkan di atas dada Rayland lalu ditekannya.
“Kau rampas apa yang aku suka. Kau nak mati ya?” ucap Tan Sri Malik geram.
“Arghh!!!” Rayland mengerang keras. Cuba dialihkan tongkat itu tetapi tidak mampu. Semakin lama semakin kuat tongkat itu ditekan. Tulang dadanya seperti mahu pecah.
“Jangan dekati Ana. Dia cintakan aku!”
Rayland terus terkapai-kapai tidak terdaya untuk melepaskan diri dari lelaki itu.
“Abang, jangan apa-apakan dia. Ana kat sini..” rayu Jannah tiba-tiba.
Tan Sri Malik ketawa perlahan. Matanya terus memandang anak muda itu. Masih belum puas untuk melampiaskan dendamnya. Suara Jannah merayu kepadanya itu semakin membuatkan dia teruja. Lelaki muda itu diseksanya.
“Jangan apa-apakan dia. Tolonglah. Dia bukan sesiapa dengan Ana. Ana tipu abang. Jangan ganggu dia. Dia hanya pekerja di sini. Ana cintakan abang.” Walaupun gentar yang teramat sangat, Jannah cuba juga mengalihkan perhatian lelaki tua itu daripada Rayland. Lembik lututnya menahan takut saat Tan Sri Malik menoleh kepadanya dengan senyum jahat.
“Ana kena ikut abang. Abang nak kahwin dengan Ana,” ucap Tan Sri Malik bersungguh.
“Ia. Ana ikut abang,” jawab Jannah sambil memandang ke arah lif. Ligat otaknya mencari akal untuk melengahkan masa. Betapa dia mengharapkan ayahnya akan segera turun ke bawah. Tiba-tiba pintu lif itu terbuka dan dua lelaki keluar serentak. Salah seorang adalah Ariff.
Rafael segera berlari mendekati adiknya. Jannah ditarik jauh dari lelaki itu.
“Bangun, Rayland. Jauhi lelaki ini,” arah Ariff kepada anak muda itu. Rayland mengengsot ke belakang untuk menjauhi lelaki tua itu. Berkerut wajahnya menahan sakit sambil matanya tidak berhenti memandang Tan Sri Malik. Hairan. Mengapa lelaki tua itu kuat benar tenaganya sehingga dia tidak mampu menandinginya.
“Anda masih di sini?” ucap Ariff setelah berhadapan dengan lelaki tua itu.
“Aku datang nak jumpa Ana. Aku masih cintakan dia. Aku nak dia jadi hak aku. Aku akan bawa dia pergi dengan aku. Kami akan berkahwin jauh dari sini,” jawab Tan Sri Malik selamba.
Ariff diam merenung tampang lelaki tua itu. Masih tidak putus asa rupanya lelaki ini. Bercakap seolah-olah seluruh dunia ini mampu dijentik dengan hujung jarinya.
“Jadi kenapa Ana tidak ikut kamu?” ucap Ariff lantas mencari wajah anak gadisnya
“Ana, ke mari, sayang.” Panggil Tan Sri Malik.
Jannah menggeleng perlahan sambil menjadikan abangnya sebagai perisai. Tan Sri Malik cuba menapak mendekati Jannah. Namun Ariff menahan dadanya.
“Dia akan datang kepada kamu jika dia mahu. Kali ini pilihan dibuat dalam keadaan fikirannya waras. Kamu tidak boleh pergi kepadanya. Saya sedang memberi dia peluang untuk memilih,” ucap Ariff.
“Tepilah! Bedebah kau! Kau memang batu penghalang yang paling besar di sini! Aku akan jahanamkan seluruh keluarga kau kalau aku tak dapat Ana. Kau yang pertama!” tekan Tan Sri Malik dengan mata terbeliak garang. Tangan Ariff ditepisnya kasar.
“Saya percaya Ana sudah menerima kenyataan yang antara kamu berdua tidak boleh diteruskan. Rayland tunang Jannah. Mereka akan berkahwin dalam masa terdekat ini. Saya ingatkan sekali lagi agar kamu tidak lagi menganggu anak gadis saya. Beritahu kepada pendamping kamu itu bahawasanya saya tidak takut kepadanya. Dia juga adalah hamba Allah sama seperti saya. Keupayaannya terbatas,” ujar Ariff tenang. Sedikit pun tidak gentar biarpun semenjak tadi dia terlihat ada ‘geng’ yang dibawa oleh lelaki ini bersama. Bayang gelap itu sentiasa bergerak setiap kali Tan Sri Malik menggerakkan anggotanya.
“Apa kau cakap ni?”
“Tolong ke mari,” ucap Ariff kepada seseorang di pintu masuk lobi itu. Tan Sri Malik menoleh. Tiga lelaki muda sedang berjalan mendekatinya.
“Mereka ini penghafal Al Quran. Kekuatan yang ada pada mereka tidak seberapa berbanding kamu. Tetapi saya percaya Allah telah beri kelebihan kepada mereka ini melalui ilmu-Nya untuk membuat sahabat kamu itu terkurung di satu tempat. Dia tidak akan berjumpa dengan tuannya semula,” ucap Ariff.
Tan Sri Malik menoleh sekejap kepada Ariff. Ugutan penuh hemah itu membuatkan dia menelan liur.
“Jangan buat kacau di sini, pak cik.”
“Apa pak cik?? Kau ingat aku pak cik kau?? Tan Sri Malik!!” balas Tan Sri Malik berang. Dia menepis saat salah seorang anak muda itu cuba memegang lengannya.
“Tak apa. Pada batu nesan nanti tak tulis tan sri ni semua.”
“Kau jangan nak kurang ajar dengan aku!” tengking Tan Sri Malik. Sudah tidak peduli biarpun semua orang di lobi hotel itu sedang memerhatikan mereka.
“Saya tahu pak cik guna ilmu untuk jadi kebal. Tapi jangan buat kacau di sini. Tolong pergi ya? Kalau tidak saya panggil semua kawan-kawan saya turun sini. Tak cukup tanah nak kambus pak cik nanti,” ucap seorang lagi dalam nada lembut.
Tan Sri Malik sempat menoleh ke arah Ariff. “Aku akan tetap dapatkan dia!”
Ariff sekadar tersenyum kepada lelaki itu. Kalau sebelum ini dia tidak tahu apa-apa, kali ini dia sudah bersedia sedikit sebanyak. Ugutan itu tidak lagi menganggu fikirannya. Dia tahu Allah bersama orang yang benar.
Buat seketika mereka semua pegun memandang Tan Sri Malik dibawa pergi.
“Naiklah ke atas,” suruh Ariff kepada anak gadisnya.
“Takutnya, daddy. Mana Ana pergi, dia tahu,” rintih Jannah tanpa terus mahu beredar dari situ.
“Jangan takut. Makhluk itu akan merasa hebat apabila manusia takut kepadanya,” ujar Ariff. Kemudian dia memandang Rayland. Sebelah mata Rayland lebam kebiruan. Bajunya sudah tidak sekemas tadi. Sebelah tangannya asyik memegang dada.
“Kamu tak apa-apa?” tanya Ariff lembut.
“Tak apa-apa, pak cik. Sikit aja.” Rayland menjawab perlahan.
“Sambung kerja seperti biasa!” ucap Ariff kepada para pekerja yang masih bercakap sesama sendiri. kemudian dia terus berpaling untuk ke lif semula. diikuti oleh Jannah, Rayland dan Rafael.
“Jangan dekati lelaki tua itu. Dia menggunakan jin untuk membantu dia menjadi kuat.”
“Dia dah tua. Tapi rupa dia masih muda. Kacak. Dan dia memang kuat,” komen Rayland perlahan. Jannah terus memandang Rayland.
“Awak cakap dia muda? Kacak?” tanya Jannah sedikit terkejut.
“Ia.” Rayland mengangguk sedikit. Apa yang silap dengan kata-katanya tadi. Wajah Jannah berubah sedikit. Keliru.
“Err.. saya tak bermaksud apa-apa. Selain rambut dia yang sedikit beruban tu, dia memang nampak muda,” ujar Rayland lagi.
“Kamu nampak wajah dia muda atau tua, abang?” tanya Ariff kepada anak lelakinya pula.
“Sama macam dulu. Tak ada beza,” ujar Rafael pula.
“Kamu berdua perlu banyakkan zikir dan mengaji Al Quran,” komen Ariff lantas keluar dari lif itu.
“Apa maksud, daddy? Daddy nampak apa tadi?” tanya Rafael masih tidak puas hati.
“Tanya Ana. Dia sudah melihat rupa sebenar lelaki itu.” Ariff menjawab selamba sebelum berlalu untuk kembali ke kamarnya.
Namun Jannah terus berdiam. Sungguh dia seperti tidak percaya apa yang baru sahaja berlaku. Seperti mimpi. Dan dia tahu, setelah sekian lama tertipu, kini kebenaran sudah pun Allah bukakan untuk dia lihat sendiri.
Setelah Rafael masuk ke kamarnya, tinggal mereka berdua. Jannah lihat lelaki itu asyik memegang dada.
“Awak sakit?”
“Dada saya ditekannya dengan tongkat tadi. Betul-betul kuat. Saya rasa macam nak mati tadi,” ujar Rayland dalam keluhan.
“Pergilah klinik.”
“Nantilah. Saya nak duduk sekejap.”
Jannah sempat memandang Rayland masuk ke dalam kamarnya. Lelaki itu duduk di kerusi. Kerusi itu dibalikkan menghadang pintu. Rayland membuka satu persatu butang bajunya. Dadanya dibelek. Sudah ada kesan timbul akibat perbuatan lelaki tua tadi. Namun sedang dia ralik, Jannah tiba-tiba muncul di tepinya.
“Awak sakit ya?” tanya Jannah. Dia terpandangkan kesan lebam di dada lelaki itu. Bukan sekadar itu, ada parut di atas dada Rayland. Tatu berbentuk love dahulu sudah tiada.
“Dada saya rasa macam nak pecah,” jawab Rayland lantas mengancing bajunya semula.
“Pergilah klinik. Kemudian balik rehat. Mata awak dah lebam.”
Rayland diam. Selesai mengancing bajunya dia berpaling memandang tunangnya itu.
“Jangan risau. Saya tak apa-apa.”
“Saya tetap risau sebab saya tahu apa yang dia buat tadi bukan main-main. Dia nak sakitkan awak,” balas Jannah.
“Tapi Allah tak izinkan. Saya tak apa-apa,” pujuk Rayland lembut.
Jannah menggeleng sambil berpaling. “Saya akan beritahu ayah saya.”
“Sayang.. tak perlu buat begitu,” panggil Rayland agak kuat. Namun Jannah terus sahaja dia meninggalkan kamar itu.
Sudahnya seketika kemudian telefon di meja Rayland berdering. Ariff meminta Rayland turun ke bawah. Abduh sudah menanti untuk membawa dia pulang.
“Jumpa petang nanti,” ucap Rayland sambil menjengah kamar buah hatinya.
“Awak kan tak sihat? Tak perlu tunggu saya. Rehat aja di rumah,” jawab Jannah agak tidak senang membiarkan lelaki itu datang ke sini petang nanti semata-mata untuk bertemu dengannya.
“Ayah awak suruh saya balik ke rumah awak. Petang nanti kita jumpa,” ucap Rayland sambil tersenyum. Disuruh bermalam di rumah pak ciknya, sudah tentulah dia mahu. Peluang besar untuk berdating dengan Jannah sedang terbuka luas. Tidak sia-sia dia ditumbuk tadi.

Jannah hanya tersenyum sedikit sambil memandang lelaki itu berlalu. Eloklah tu.. adalah kawan si Farouqe yang sedang terkedang di rumah.

BAB 13 FASAD

BAB 13
BERTUNANG untuk tempoh enam bulan. Itu perancangan awal mereka setelah mengikat janji untuk menyatukan kedua-dua manusia itu. Biarpun janggal, Jannah berusaha juga untuk menerima kehadiran lelaki itu dalam hidupnya. Hidupnya kini lebih tenang tanpa gangguan. Namun seperti yang diingatkan sebelum ini, dia harus selalu berhati-hati. Gangguan itu mampu datang bila-bila masa saja.
Awal pagi itu ketika dia tiba di kamar kerjanya, Jannah terlihat sejambak bunga ros terletak di atas satu bungkusan berbentuk empat segi di atas mejanya. Dia terpaku seketika. Kemudian dia memandang ke arah kamar Rayland. Lelaki itu sudah kembali bertugas setelah berada di Amerika Syarikat selama dua minggu. Lelaki itu sedang sibuk menyelongkar kabinet di belakang mejanya.
Jannah duduk di kerusinya. Kuntuman ros itu dibelek seketika. Ketika dia memandang semula ke arah kamar Rayland. Lelaki itu baru sahaja melabuhkan duduk di kerusinya. Spontan mereka berpandangan. Jannah mengangkat ganggang lalu mendail nombor sambungan ke kamar lelaki itu. Buat permulaan dia terdengar sapaan lembut, ucapan selamat sejahtera dari sang lelaki. Jannah menjawab perlahan.
“Awak sihat, sayang?” tanya lelaki itu lunak.
“Sihat. Alhamdulillah. Awak?” balas Jannah perlahan.
“Saya sihat. Awak dah lihat hadiah itu?”
“Belum. Sekejap.”
Sambil mengepit ganggang dengan bahu, Jannah mengoyakkan kertas bungkusan itu. Namun baru separuh tersiat, dia sudah terpaku. Sebuah bingkai gambar kelihatan. Jannah terus mengoyak kertas pembalut bahagian hadapan.
“Itu potret awak. Saya hadiahkan khas untuk awak.”
Kening Jannah berkerut. Ini foto sebenar atau lukisan? Dia keliru.
“Gambar itu nampak asli, kan? Sama seperti dalam foto.” Suara Rayland kedengaran. Macam sudah tahu apa yang sedang difikirkan tunangnya itu.
“Ia. Ini hasil lukisan tangan?” tanya Jannah sedikit teruja. Pertama kali dirinya dipotretkan seperti itu.
“Ia. Saya tempah lukisan itu pada seorang pelukis ketika saya berada di sana.” Suara Rayland kedengaran lembut melalui corong.
Jannah terdiam ditekan rasa kagum dan teruja. Macam tidak puas memandang. Indah hasil tangannya.
“Awak suka?”
“Suka. Terima kasih banyak. Saya tak tahu nak cakap apa. Kagum. Cantik hasil tangan pelukis ni,” ujar Jannah lembut.
“Sepanjang saya di sana, saya rindukan awak. Saya tak tahu nak buat apa dengan perasaan ni. Kemudian saya terjumpa pelukis itu. Dia seorang pelukis jalanan yang ada bakat besar. Saya terfikir untuk mengabadikan seseorang yang saya sayang dalam bentuk lukisan,” ujar Rayland lunak.
Tanpa sedar Jannah tersenyum sendiri mengusap cermin bingkai itu.
“Ana..” panggil Rayland lembut.
“Ia..” spontan pandangan Jannah terhala ke arah kamar Rayland. Lelaki itu sedang tunduk merenung mejanya.
“Saya masih ingat awak menegur tentang tatu di dada saya. Kali ini saya faham, seseorang yang saya sayangi saya hanya perlu letakkan dia di dalam hati. Bukan sekadar di luaran. Di situlah tempat yang istimewa. Di situlah saya letakkan awak selama ini,” ujar Rayland tanpa menyedari rupanya gadis itu sedang memerhatikan dia dari dalam kamar sana.
“Mentera apa awak baca ni?”
“Ha?” Rayland pantas mengangkat pandangan. Dia terlihat Jannah tersenyum-senyum sambil menekup mulut.
“Awak berbisik dari tadi. Saya ni pakai hijab. Saya tak berapa dengar bila awak berbisik,” ucap Jannah sambil cuba mengawal rasa nak ketawa. Bukan main jiwang lagi lelaki seorang ini.
Rayland ketawa kecil sambil menggaru kepalanya. Malu mukanya melihat Jannah masih memandang dia. Namun entah kenapa indah rasanya melihat Jannah tersenyum kepadanya.
“Saya hargai apa yang awak buat untuk saya. Terima kasih untuk hadiah yang istimewa ni. Saya suka, Rayland. Maaf, saya tak sediakan apa-apa untuk awak.” Jannah bersuara pula seketika kemudian.
“Tak apa. Senyuman awak sekarang ni dah cukup besar maknanya buat saya.”
Spontan Jannah memandang lagi ke arah lelaki itu. Rayland sedang merenungnya. Sungguh, hari ini terasa ada keistimewaannya.
“Saya hargai apa yang awak buat untuk saya. Saya sedar awak sentiasa cuba memberi layanan terbaik untuk saya. Dan saya akui awak seorang lelaki yang baik, Rayland.”
“Saya selalu mengharapkan awak akan menerima saya akhirnya. Saya ingin diri saya diterima, diletakkan di tempat yang istimewa. Tapi saya faham. Saya tak boleh paksa awak.”
“Saya percaya akan sampai masanya saya kena akur dengan takdir. Cuma buat masa ini, saya minta diberikan masa. Hati saya bukan hak mutlak saya.”
“Tak apa. Saya faham. Saya akan tunggu, Ana. Jangan risau tentang itu. Saya tak merasa kecewa sekarang. Saya yakin suatu hari nanti awak akan melihat siapa saya sebenarnya,” balas Rayland lembut.
Sesungguhnya sepanjang masa itu, matanya sering sahaja menjeling potret itu. Cantik dan unik. Jannah bercadang untuk meletakkan bingkai itu di dalam pejabatnya sahaja.
Petang itu, ketika mahu pulang Jannah berdiri di hadapan lobi bersama ayahnya. Menunggu Abduh tiba. Rayland muncul tidak lama kemudian.
“Baru turun?” sapa Ariff.
“Saya baru lepas solat,” jawab Rayland lembut.
“Kamu tak lagi pulang bersama Saad?” tanya Ariff sambil memandang dari atas ke bawah. Terpandangkan Rayland sedang memeluk topi keledar dan tubuhnya sudah tersarung jaket, dia semakin tertanya.
“Saya naik motorsikal, pak cik. Saya lebih senang ingat jalan di sini kalau saya sendiri yang memandu.” Rayland menjawab sambil menjeling Jannah di sebelah ayahnya.
“Kamu beli motorsikal?”
Rayland sekadar memuncungkan mulutnya ke arah sebuah motor besar terpakir di tempat pakir motor tidak jauh dari situ. Ternganga Ariff memandang motor anak muda itu. Kalaulah Farouqe nampak, berpinar biji mata anaknya itu.
“Kamu akan berkahwin sedikit masa lagi. Pastikan kedua-dua kaki kamu nanti tidak berbalut dengan plaster akibat dari motor itu,” pesan Ariff.
Rayland ketawa sedikit sambil menggaru kepalanya. Sekali lagi dia mengerling buah hatinya. Jannah buat-buat memandang ke arah lain. Tapi sudahnya terjeling-jeling juga.
“Saya balik dulu, pak cik.”
“Ia. Berhati-hatilah.” Ariff membalas biasa.
“Sayang, saya balik dulu ya?” ucap Rayland kepada Jannah.
“Emm.. ia. Err.. hati-hatilah.” Tidak tentu arah Jannah saat dipanah pandangan ayahnya. Merah mukanya.
Sehingga lelaki itu bertenggek di atas motornya, dua manusia itu terus memandang. Ngauman enjin motor itu menarik perhatian orang sekeliling. Jannah terus memandang sehingga motor itu menderu pergi.
Bestnya kalau dapat naik motor tu, ucap hatinya teruja. Tak pernah merasa naik motor besar. Sentuh pun tidak pernah! Selalu dia terpandang wanita-wanita yang membonceng motor besar seperti itu bersama suami. Alangkah seronoknya!
“Ehemmm..” deheman itu segera membuatkan Jannah kembali memandang ayahnya.
“Kamu tidak boleh keluar dengan Rayland selagi tidak bernikah,” ucap Ariff dengan kerlingan ekor mata.
“Ia. Ana tahu, daddy. Pandang aja pun,” cebir Jannah perlahan.
“Jangan mimpi nak membonceng sambil berpeluk-pelukan di belakang dia! Macamlah daddy tak boleh baca apa yang ada dalam fikiran kamu tu,” balas Ariff lantas menarik pipi anaknya.
“Sakitlah, daddy!” rengus Jannah manja. Lengan ayahnya segera dipukulnya. Tahu aja apa ada dalam fikiran dia. Tiada can untuk dia nak cari alasan!
“Daddy ada terfikir untuk mempercepatkan saja hari pernikahan kamu. Apa kata kamu?”
Berderau darah Jannah mendengar itu. Cepat-cepat dia berjalan ke arah kereta yang baru berhenti di hadapan mereka.
“Ana?” Ariff tersenyum melihat Jannah begitu pantas mengalihkan duduk di belakang Abduh.
“Ana tak dengar apa-apa, daddy. Lalalalalala.. tak mahu dengar apa-apa!” Jannah menjawab sambil menekup kedua-dua belah telinganya.
Ariff ketawa kecil sambil menggeleng. Punggungnya dilabuhkan di kerusi belakang. Kereta itu berlalu pergi setelah pintu ditutup. Ariff menoleh kepada anak gadisnya kemudian.
“Cepat atau lambat, sama saja, kan? Lebih baik cepatkan saja.”
“Daddy... tak mahulah!” rengus Jannah sambil menghela nafas panjang.
“Daddy tahu kamu sukakan Rayland sebenarnya.”
“Ialah. Memanglah suka. Suka macam tu aja. Perasaan Ana biasa-biasa aja pada dia,” jawab Jannah bersungguh.
“Ia?” kening lelaki tua itu terjongket sebelah saat merenung sisi tampang sang anak.
“Apa?”
“Atau kamu sebenarnya suka bila tahu dia tergila-gilakan kamu?”
Jannah terdiam sekejap. Lambat-lambat dia menoleh kepada sang ayah. “Apa maksud daddy?”
Ariff ketawa kecil sambil mengalihkan pandangan ke hadapan. “Tak ada apa-apa maksud. Itu cuma tekaan daddy saja. Tapi wajah kamu berubah pula. Daddy masih ingat dulu, kamu pernah menunjukkan reaksi yang kamu tertarik kepada dia waktu Rayland cuba mengorat kamu. Kalau bukan kerana kamu pernah disihir oleh lelaki tua itu, mungkin keadaan akan pergi lebih jauh. Bukan begitu?”
Jannah terdiam habis mendengar itu. Dalam otaknya berfikir. Ia ke dia pernah melayan Rayland dulu? Bila? Entah! Dia tidak tahu.



BAB 12 FASAD (YANG TERINDAH UNTUKNYA)

BAB 12
AWAL pagi itu, dia membawa makanan naik untuk Farouqe. Adiknya itu sudah semakin sihat. Ketika dia masuk, Farouqe sedang berbual di telefon. Jannah terus meletakkan mangkuk bubur di atas meja Farouqe. Sempat dikerling adik lelakinya itu.
“Abang belum sihat lagi ni..”
Jannah mencebi. Meluat dengar nada lemak merdu tanda sedang mabuk asmara.
“Itulah. Sayang tak balik ziarah abang pun? Macam mana nak sihat? Abang belum boleh bangun lagi ni. Sakit teruk,” ucap Farouqe sambil memandang atas.
Sakit teruklah sangat! Jannah yang mendengar rasa seperti mahu disimbahnya Farouqe dengan bubur panas itu. Semakin lama semakin larut Farouqe melayan kekasih hatinya di telefon. Langsung tidak peduli Jannah sedang menunggu di kerusi.
“Apa dia? Tak apa. Abang cuti lagi ni. Dapat MC.”
Bosan menunggu, sudahnya Jannah bangun lalu telefon itu dirampasnya.
“Hello! Call balik tahun depan ya?” ucap Jannah kepada Adeline di hujung sana. Panggilan terus dimatikan dan telefon itu dicampak ke atas tilam.
“Tu. Makan cepat! Meluat tahu? Menyampah nak tunggu lama-lama,” bentak Jannah.
Terkebil-kebil Farouqe melihat kakaknya naik angin tiba-tiba. Jannah terus keluar dari kamar itu. Terus dia masuk ke dalam kamarnya. Punggung dihempas ke tilam.
Tiba-tiba dia merasakan dunianya terlalu sepi. Rasa kehilangan. Tetapi kehilangan entah siapa. Sunyi. Sedih. Tertekan. Semuanya bercampur gaul membuatkan dia merasa hidup benar-benar tiada erti.
Tidak tertahan lagi, Jannah menangis sayu. Tanpa sebab. Semua rasa itu kiat kejam menekan jiwanya membuatkan dia tidak tertahan. Jannah menangis semahu-mahunya sehingga suaranya kedengaran di luar kamar.
Insyirah terhenti melangkah. Pantas pintu kamar anak gadinya itu ditolaknya. Dia terpandangkan Jannah sedang tertiarap di atas katil sambil menangis.
“Ana..” Insyirah terus masuk. Laju langkahnya mendekati anak itu.
“Kenapa menangis, sayang?” tanya Insyirah lantas duduk di birai katil.
Jannah menggeleng sambil mengusap pipi. Wajahnya dipalingkan ke arah lain. Tidak mahu ibunya melihat keadaannya. Buat seketika Insyirah memandang anak itu. Namun kemudian belakang Jannah diusap lembut. Dia tahu apa yang sedang melanda anak ini.
“Ana, pandang mommy, sayang.” Insyirah memujuk lembut. Kali itu bahu Jannah dipautnya. Meminta anak itu bangun.
Lambat-lambat Jannah bangun sambil meraup wajahnya.
“Ana tak apa-apa, mommy.”
“Jangan bohong mommy. Mommy bukannya baru semalam hidup,” ucap Insyirah lembut.
“Anak tak tahu kenapa Ana jadi macam ni. Ana rasa sedih sangat. Tak tahu apa yang Ana sedihkan,” ujar Jannah perlahan.
“Ana masih ingatkan dia ya?” teka Insyirah.
Jannah diam pula. Entah. Dalam dirinya sepanjang masa ada tekanan yang menekan. Hati dan fikiran sentiasa tidak selari. Kadang kala hatinya terus berperang sendiri dalam senyuman palsu. Dia berpura-pura semata-mata tidak mahu ibu dan ayahnya gusar. Tetapi sampai satu masa, semuanya membuak keluar dari jiwanya. Dia sudah tidak tertahan. Rasa seolah-olah dia baru sahaja ditinggalkan kekasih.
“Kalau betul dia gunakan sihir untuk dapatkan Ana, kenapa Ana rasa macam ni, mummy?” soal Jannah.
Insyirah menghela nafas perlahan sambil mencari jawapan yang sesuai untuk membuat anak ini mengerti.
“Sihir pengasih ni mampu mengubah hati seseorang dengan izin Allah, Ana. Orang yang terkena sihir ni tetap akan merasai perasaan cinta, macam orang yang normal. Cuma, hati akan dikawal oleh makhluk lain membuatkan rasa cinta tu menjadi sangat hebat. Bila makhluk tu dah tak ada lagi, hati Ana ditinggalkan begitu saja. Perasaan tu akan kekal di situ. Cuma penguatnya sudah tiada. Ana yang harus membersihkan saki baki rasa yang tertinggal tu. Juga merawat semula hati yang dah dipergunakan sewenang-wenangnya oleh makhluk jahat tu. Inilah bahagian yang sedang Allah uji ke atas diri Ana. Hati tu dah cedera. Pasti ada rasa sakitnya. Perlu dirawat selalu untuk kembali ke bentuk asal. Mummy faham bukan senang Ana nak tepis semua rasa tu. Seolah-olah Ana baru saja putus cinta. Tapi ingat sesuatu, sayang. Cinta yang benar adalah cinta yang kenal hakikat dan hak. Apabila sesuatu yang kita mahukan, tidak diizinkan Allah. Kita harus siap melepaskannya. Tidak dalam sehari, tidak dalam dua hari keadaan ini akan pulih. Tetapi selagi kita bersabar dan terus bergantung kepada Allah. Insya-Allah, Allah akan bantu Ana keluar dari kesakitan ni. Tiada cubaan yang Allah beri berlebihan dari kekuatan Ana untuk bersabar,” ucap Insyirah sambil mengusap bahu anaknya.
Jannah menangis lagi mendengar kata-kata ibunya. Sedar dirinya sudah tidak seperti dahulu. Dan begitu payah untuk kembali semula seperti dahulu. Kadang kala dia rasa sensitif tidak kena pada tempat. Mahu marah orang sekeliling tanpa alasan. Semua itu datang tanpa boleh dikawal.
“Beristighfar selalu. Mummy faham. Bukan mudah untuk Ana bertahan dalam keadaan begini. Tapi daripada kita terus tunduk kepada perasaan yang salah, yang membawa kita ke arah kesesatan, lebih baik begini. Kedua-dua jalan itu akan beri kesan yang besar pada hidup Ana. Perasaan yang tak elok tu mesti dilawan. Setiap malam, bacakan ayat 285 dan 286 dari surah Al Baqarah. Insya-Allah kita akan terlepas dari gangguan iblis dan syaitan yang mahu kita sesat.”
Jannah menarik nafas perlahan sambil meraup wajahnya. Semakin banyak dia menangis, semakin lemah dia rasakan.
“Mengadu pada Allah. Menangislah depan DIA. Allah maha mengetahui, sayang. Allah tahu hati setiap hamba-hamba-Nya. Masakan Allah tak kasihankan kita?” ujar Insyirah lagi.
Jannah akhirnya mengangguk perlahan.
“Turun bawah ya? Tak elok duduk bersendirian. Akan ada makhluk lain temankan kita. Selalu berbual dengan mommy ya? Sibukkan diri dengan kerja lain. Lama kelamaan Ana akan pulih semula,” ucap Insyirah lantas meraih jemari anaknya.
Jannah mengangguk lagi. Memang disetiap masa dia hanya mahu bersendirian. Tetapi sebenarnya itulah saat yang tepat untuk dia menjadi lemah. Akhirnya dia tunduk kepada hasutan.
Di bawah, Insyirah dihubungi suaminya. Lelaki itu bertanyakan tentang keadaan Jannah.
“Dia menangis tadi,” kata wanita itu perlahan.
“Kenapa?”
“Tak ada sebab. Saya nampak dia agak tertekan. Mungkin dia dah tak tahan,” jawab Insyirah rendah.
“Jangan biarkan dia berkurung dalam bilik. Suruh dia buat apa-apa kerja supaya dia sibukkan diri. Kalau dia terus termenung, susah untuk dia sembuh,” ucap Ariff lembut.
“Dia di dapur sekarang.”
“Rayland ada bercakap tentang hasratnya kepada Ana.” Ariff mula berkisar tentang anak muda itu pula.
“Apa dia kata?” balas Insyirah pantas.
“Dia mahu melamar anak kita. Dia sukakan Ana.”
“Saya dah agak dia ada hati pada Ana. Jadi awak jawab apa?” tanya Insyirah lagi. Berita itu tiba-tiba merubah rentak hati si ibu. Entah kenapa dia suka.
“Saya masih fikirkan jawapannya. Apa kata awak?” tanya Ariff pula.
“Kalau perkahwinan mereka berdua boleh membawa Rayland dekat dengan keluarga kita, saya terima dengan lapang dada. Ana perlukan seorang lelaki untuk sayangkan dia. Bukan awak, bukan abang-abang dia. Tapi lelaki lain. Dia perlukan teman. Rayland dah memadai untuk Ana. Saya sukakan keperibadian dia. Saya tahu dia tidak tinggi ilmu agama. Tapi dia ada hati yang lembut. Saya boleh mengangankan sebaik-baik lelaki yang akan menjadi suami kepada anak kita. Tapi ada sebab kenapa Allah hadirkan lelaki macam dia di waktu emosi Ana sakit. Dia jujur dengan perasaannya. Dia tidak hanya mencintai Ana ketika Ana hanya sihat.”
“Saya juga fikir begitu. Saya teringat kata-kata Syeikh Marwan dulu. Seeloknya Ana dikahwinkan. Tapi yang merunsingkan saya, dia pasti tidak akan setuju. Dalam keadaan begini, saya tak mahu buat jiwa dia lebih tercalar.”
“Awak ayah dia. Saya tahu dia akan mendengar kepada awak. Ariff, niat kita hanya mahu yang terbaik untuk anak kita. Saya percaya restu dari Allah juga ada bersama kita,” ucap Insyirah lembut.
“Tak apalah. Petang nanti saya akan bercakap dengan dia. Jaga dia baik-baik. Selalu perhatikan dia,” balas Ariff kepada isterinya.
“Insya-Allah. Awak pun jaga diri. Jangan lupa makan tengahari nanti,” balas Insyirah pula.
“Ia, sayang. Assalamualaikum..”
Talian dimatikan setelah menjawab salam itu. Seketika kemudian Insyirah ke dapur. Jannah sedang membantu pembantu rumah memasak. Ummu Malika sedang berdiri di sebelahnya, memerhatikan apa yang dibuat oleh Jannah.
“Mommy dengar ada seorang lelaki sukakan Ana. Betul ke?” ujar Insyirah lantas menyentuh bahu Jannah.
“Siapa?” tanya Jannah macam tidak berminat.
“Rayland.”
Jannah mencebik. “Ana tak ada hati dengan dia pun,” ucap Jannah hampir tidak kedengaran suaranya.
“Alhamdulillah.. lelaki yang baik untuk wanita yang baik, Ana. Ummu dapat rasakan Rayland itu lelaki yang baik.” Malika berkata lembut.
“Ana tak nak dia.”
Insyirah dan Malika saling berpandangan. Malika mengusap bahu Jannah perlahan.
“Mata kita biasa berdusta dengan apa yang kita pandang. Tetapi percayalah, kadang kala apa yang kita tidak suka itulah yang terbaik untuk kita. Sudah tentu ada sebabnya mengapa dalam begini dia meluahkan isi hatinya tentang Ana,” ujar Malika lagi.
Jannah diam sambil menunduk. Insyirah sekadar membisu, membiarkan Malika pula menasihati anak ini.
“Ana, suatu masa dulu.. ketika itu Ana masih belum lahir. Ada seorang perempuan yang bergelut dalam hidup dan rumahtangganya. Demi anak-anak. Di satu bahagian lelaki yang hadir dalam hidup perempuan itu tidak disukainya, tidak dicintainya. Tetapi lelaki itu tetap ada dan terus ada dalam hidupny. Sehingga dia merasakan dia tidak mampu melarikan diri dari lelaki itu. Bagaimana untuk dia lari? Lelaki itu adalah suaminya. Pernah beberapa kali dia hampir patah semangat. Ummu menyaksikan itu sendiri, nak. Tapi ummu minta dia terus bergantung kepada Allah. Allah tahu apa yang berlaku kepada setiap hamba-Nya. Bukan mudah untuk kita mengubah diri. Apatah lagi mengharapkan orang lain berubah. Kesabaran yang diperlukan bukan sedikit. Bukan dalam sehari dua. Tapi tujuh tahun! Tetapi sesudah puas dia bersabar, dia bertawakkal kepada Allah. Lelaki yang dahulu pernah dibencinya berubah menjadi seorang manusia yang amat disenangi ramai orang sekarang.”
“Siapa orang tu, ummu?” tanya Jannah setelah dia menoleh.
Malika tersenyum. “Itu rahsia. Kisah itu besar ertinya. Allah mampu mengubah hati seseorang jika DIA mahu. Begitu juga hati kamu, hati Rayland. Cuba berikan peluang itu kepada Rayland. Ummu percaya dia tidak main-main dengan hasratnya kepada kamu.”
Jannah kembali membisu.
“Kamu mirip sekali seperti wajah ibu kamu ketika dia masih muda, Ana. Jiwa kamu besar. Jangan kamu patah semangat dengan dugaan sekali ini. Terima sesuatu yang datang itu dengan hati yang terbuka. Setiap dugaan Allah itu ada hikmahnya. Siapa tahu Allah sedang membuka pintu jodoh buat kamu,” ujar Malika lembut.
Jannah terus membisu. Namun Insyirah tersenyum lembut di belakang Jannah.
“Mommy suka juga kalau dapat menantu rambut perang ni. Macam daddy Ana. Mana tahu nanti Ana dapat anak elaki rambut perang macam Farouqe. Atau yang banyak mulut macam Fira,” sakat Insyirah lantas membuatkan Malika ketawa.
Biarpun cuba ditahan, Jannah ketawa juga dengan usikan ibunya. Lucu mendengar emaknya menyebut tentang kembar Farouqe dan Afyra. Namun kemudian tawanya memudar saat terkenangkan lelaki bernama Rayland itu. Dia sudah lama tahu lelaki itu sukakan dia. Asyik mahu mendekati dia biarpun dia rimas. Baikkah lelaki itu sebenarnya?
Entahlah. Dia tidak tahu apa-apa pun tentang lelaki itu. Kerana, dia sebenarnya tidak pernah cuba untuk mengambil tahu!

MALAM itu semua anak dan menantu dipanggil pulang oleh Ariff. Kecuali Afyra yang masih berada di London. Lelaki itu teringin mahu berkumpul dengan anak-anak. Sementelah ada berita penting yang hendak dikhabarkan.
“Mungkin dalam masa terdekat ni rumah kita akan meriah dengan majlis perkahwinan.”
Berderau darah Jannah mendengar kata-kata ayahnya. Semua mata di meja itu terus memandang ke arah Ariff.
“Serius, daddy? Macam dah boleh teka siapa dengan siapa ni.” Imanina membalas teruja.
Jannah tunduk memandang pinggan. Tahu, kalau sudah dengar nada ayahnya begitu bermakna keputusannya sudah bulat.
“Siapa, Iman?” tanya Mikhael kepada adiknya.
Imanina terus memuncungkan mulutnya ke arah Jannah yang duduk di hadapannya.
“Really? Siapa bakal suaminya? Jangan kata si tua kerepot tu. Please! Tak lalu nak makan nanti ni,” ucap Mikhael sambil membuat mimik muka geli.
“Mika!” Insyirah terus menjegilkan matanya kepada anak keduanya itu. Tidak senang membiarkan lelaki itu diungkit-ungkit di hadapan Jannah.
“Apa? Betullah apa yang Mika cakap.”
Ariff menghela nafas perlahan sambil mengerling Jannah. “Rayland melamar Ana untuk dijadikan isteri.”
“Wow! Berita baik ni, Ana. Sepadan dengan Ana. Kak Iman rasa dia memang dah lama sukakan Ana tu.” Imanina cuba menyemarakkan suasana biarpun dia lihat Jannah hanya membatu. Tidak gembira langsung dengan berita itu.
Jannah terus bungkam tanpa memandang sesiapa. Suapan nasi ke mulut amat perlahan.
“Kita akan adakan majlis bertunang dalam masa terdekat ini,” ucap Ariff lagi. Nadanya serius itu sebenarnya ditujukan kepada Jannah. Spontan Jannah mengangkat pandangan kepada si ayah.
“Daddy.. bagilah Ana masa untuk bersedia.” Jannah mula mengeluh.
“Kamu memang ada masa untuk bersedia. Kalau daddy terus biarkan kamu, alamatnya sampai bertahun pun kamu akan tetap begini. Tempoh bertunang nanti adalah waktu yang tepat untuk kamu bersedia!” balas Ariff serius.
Meja makan itu mula bungkam. Ariff terus memandang Jannah. Anak itu kembali tunduk memandang pinggan.
“Kamu tidak akan membukakan pintu hati kamu pada lelaki lain begitu sahaja. Itu yang hati kamu suruh kamu buat sekarang! Bukan sekadar Rayland, lelaki lain juga sukar untuk masuk ke dalam kehidupan kamu selagi kamu begini, Ana.”
Jannah hanya diam mendengar bebelan ayahnya. Dia sedar ada waktunya dia lalai sehingga menurutkan emosi.
“Ana, terimalah dengan lapang dada. Ana perlukan seseorang dalam hidup Ana. Seorang sahabat yang mampu faham Ana. Sahabat di luar perkahwinan dan di dalam perkahwinan tu tak sama. Abang sokong keputusan daddy. Abang rasa ini lebih baik untu Ana,” ujar Rafael turut cuba memujuk adiknya.
“Abang Rayland tu handsome sangat. Dia pakai susuk tak?” tiba-tiba si bongsu Rania mencelah. Spontan Insyirah menekup mulut Rania. Mata Ariff sudah terjegil kepada anak bongsunya itu.
“Jangan sebut benda begitu dalam rumah ni!” tekan Ariff.
Jannah kemudian memandang ayahnya. “Ana tak tahu macam mana nak terima keadaan ni, daddy. Ana sikit pun tak ada hati pada dia.”
“Kamu akan terima begitu sahaja jika kamu bukakan pintu hati kamu kepada hakikat ini. Lelaki tua itu bukan lelaki yang baik untuk kamu. Jodoh kamu dengan orang lain. Berhenti fikir tentang dia. Dan tumpukan perhatian kamu kepada kehidupan yang bakal kamu lalui nanti,” jawab Ariff serius.
Seluruh adik beradik memandang ke arah Jannah. Masing-masing berharap akan ada sinar yang baru melanda kehidupan gadis itu. Cukuplah dengan dugaan yang lalu.
Lama Jannah berdiam. Berfikir. Antara benar dan salah, jiwanya bersimpang siur. Namun dia teringat kata-kata Syeikh Marwan kepadanya tempoh hari. Sekiranya dia keliru, minta tolong orang sekeliling untuk tunjukkan jalan. Orang yang terbaik sudah tentulah kedua ibu dan ayahnya.
“Ana setuju, daddy. Tapi Ana minta daddy izinkan Ana masuk kerja semula. Ana bosan duduk rumah aja.” Jannah akhirnya menjawab perlahan.
Kalimah alhamdulillah teralun serentak di meja makan itu usai mendengar jawapan Jannah. Orang yang paling gembira sudah tentulah Ariff.
“Selepas bertunang nanti, Ana boleh masuk kerja,” ucap Ariff akur. Sedar, tidak selamanya dia mampu mengurung anak itu di rumah.
“Terima kasih, daddy.”