Selasa, 23 Ogos 2016

BAB 12 FASAD (YANG TERINDAH UNTUKNYA)

BAB 12
AWAL pagi itu, dia membawa makanan naik untuk Farouqe. Adiknya itu sudah semakin sihat. Ketika dia masuk, Farouqe sedang berbual di telefon. Jannah terus meletakkan mangkuk bubur di atas meja Farouqe. Sempat dikerling adik lelakinya itu.
“Abang belum sihat lagi ni..”
Jannah mencebi. Meluat dengar nada lemak merdu tanda sedang mabuk asmara.
“Itulah. Sayang tak balik ziarah abang pun? Macam mana nak sihat? Abang belum boleh bangun lagi ni. Sakit teruk,” ucap Farouqe sambil memandang atas.
Sakit teruklah sangat! Jannah yang mendengar rasa seperti mahu disimbahnya Farouqe dengan bubur panas itu. Semakin lama semakin larut Farouqe melayan kekasih hatinya di telefon. Langsung tidak peduli Jannah sedang menunggu di kerusi.
“Apa dia? Tak apa. Abang cuti lagi ni. Dapat MC.”
Bosan menunggu, sudahnya Jannah bangun lalu telefon itu dirampasnya.
“Hello! Call balik tahun depan ya?” ucap Jannah kepada Adeline di hujung sana. Panggilan terus dimatikan dan telefon itu dicampak ke atas tilam.
“Tu. Makan cepat! Meluat tahu? Menyampah nak tunggu lama-lama,” bentak Jannah.
Terkebil-kebil Farouqe melihat kakaknya naik angin tiba-tiba. Jannah terus keluar dari kamar itu. Terus dia masuk ke dalam kamarnya. Punggung dihempas ke tilam.
Tiba-tiba dia merasakan dunianya terlalu sepi. Rasa kehilangan. Tetapi kehilangan entah siapa. Sunyi. Sedih. Tertekan. Semuanya bercampur gaul membuatkan dia merasa hidup benar-benar tiada erti.
Tidak tertahan lagi, Jannah menangis sayu. Tanpa sebab. Semua rasa itu kiat kejam menekan jiwanya membuatkan dia tidak tertahan. Jannah menangis semahu-mahunya sehingga suaranya kedengaran di luar kamar.
Insyirah terhenti melangkah. Pantas pintu kamar anak gadinya itu ditolaknya. Dia terpandangkan Jannah sedang tertiarap di atas katil sambil menangis.
“Ana..” Insyirah terus masuk. Laju langkahnya mendekati anak itu.
“Kenapa menangis, sayang?” tanya Insyirah lantas duduk di birai katil.
Jannah menggeleng sambil mengusap pipi. Wajahnya dipalingkan ke arah lain. Tidak mahu ibunya melihat keadaannya. Buat seketika Insyirah memandang anak itu. Namun kemudian belakang Jannah diusap lembut. Dia tahu apa yang sedang melanda anak ini.
“Ana, pandang mommy, sayang.” Insyirah memujuk lembut. Kali itu bahu Jannah dipautnya. Meminta anak itu bangun.
Lambat-lambat Jannah bangun sambil meraup wajahnya.
“Ana tak apa-apa, mommy.”
“Jangan bohong mommy. Mommy bukannya baru semalam hidup,” ucap Insyirah lembut.
“Anak tak tahu kenapa Ana jadi macam ni. Ana rasa sedih sangat. Tak tahu apa yang Ana sedihkan,” ujar Jannah perlahan.
“Ana masih ingatkan dia ya?” teka Insyirah.
Jannah diam pula. Entah. Dalam dirinya sepanjang masa ada tekanan yang menekan. Hati dan fikiran sentiasa tidak selari. Kadang kala hatinya terus berperang sendiri dalam senyuman palsu. Dia berpura-pura semata-mata tidak mahu ibu dan ayahnya gusar. Tetapi sampai satu masa, semuanya membuak keluar dari jiwanya. Dia sudah tidak tertahan. Rasa seolah-olah dia baru sahaja ditinggalkan kekasih.
“Kalau betul dia gunakan sihir untuk dapatkan Ana, kenapa Ana rasa macam ni, mummy?” soal Jannah.
Insyirah menghela nafas perlahan sambil mencari jawapan yang sesuai untuk membuat anak ini mengerti.
“Sihir pengasih ni mampu mengubah hati seseorang dengan izin Allah, Ana. Orang yang terkena sihir ni tetap akan merasai perasaan cinta, macam orang yang normal. Cuma, hati akan dikawal oleh makhluk lain membuatkan rasa cinta tu menjadi sangat hebat. Bila makhluk tu dah tak ada lagi, hati Ana ditinggalkan begitu saja. Perasaan tu akan kekal di situ. Cuma penguatnya sudah tiada. Ana yang harus membersihkan saki baki rasa yang tertinggal tu. Juga merawat semula hati yang dah dipergunakan sewenang-wenangnya oleh makhluk jahat tu. Inilah bahagian yang sedang Allah uji ke atas diri Ana. Hati tu dah cedera. Pasti ada rasa sakitnya. Perlu dirawat selalu untuk kembali ke bentuk asal. Mummy faham bukan senang Ana nak tepis semua rasa tu. Seolah-olah Ana baru saja putus cinta. Tapi ingat sesuatu, sayang. Cinta yang benar adalah cinta yang kenal hakikat dan hak. Apabila sesuatu yang kita mahukan, tidak diizinkan Allah. Kita harus siap melepaskannya. Tidak dalam sehari, tidak dalam dua hari keadaan ini akan pulih. Tetapi selagi kita bersabar dan terus bergantung kepada Allah. Insya-Allah, Allah akan bantu Ana keluar dari kesakitan ni. Tiada cubaan yang Allah beri berlebihan dari kekuatan Ana untuk bersabar,” ucap Insyirah sambil mengusap bahu anaknya.
Jannah menangis lagi mendengar kata-kata ibunya. Sedar dirinya sudah tidak seperti dahulu. Dan begitu payah untuk kembali semula seperti dahulu. Kadang kala dia rasa sensitif tidak kena pada tempat. Mahu marah orang sekeliling tanpa alasan. Semua itu datang tanpa boleh dikawal.
“Beristighfar selalu. Mummy faham. Bukan mudah untuk Ana bertahan dalam keadaan begini. Tapi daripada kita terus tunduk kepada perasaan yang salah, yang membawa kita ke arah kesesatan, lebih baik begini. Kedua-dua jalan itu akan beri kesan yang besar pada hidup Ana. Perasaan yang tak elok tu mesti dilawan. Setiap malam, bacakan ayat 285 dan 286 dari surah Al Baqarah. Insya-Allah kita akan terlepas dari gangguan iblis dan syaitan yang mahu kita sesat.”
Jannah menarik nafas perlahan sambil meraup wajahnya. Semakin banyak dia menangis, semakin lemah dia rasakan.
“Mengadu pada Allah. Menangislah depan DIA. Allah maha mengetahui, sayang. Allah tahu hati setiap hamba-hamba-Nya. Masakan Allah tak kasihankan kita?” ujar Insyirah lagi.
Jannah akhirnya mengangguk perlahan.
“Turun bawah ya? Tak elok duduk bersendirian. Akan ada makhluk lain temankan kita. Selalu berbual dengan mommy ya? Sibukkan diri dengan kerja lain. Lama kelamaan Ana akan pulih semula,” ucap Insyirah lantas meraih jemari anaknya.
Jannah mengangguk lagi. Memang disetiap masa dia hanya mahu bersendirian. Tetapi sebenarnya itulah saat yang tepat untuk dia menjadi lemah. Akhirnya dia tunduk kepada hasutan.
Di bawah, Insyirah dihubungi suaminya. Lelaki itu bertanyakan tentang keadaan Jannah.
“Dia menangis tadi,” kata wanita itu perlahan.
“Kenapa?”
“Tak ada sebab. Saya nampak dia agak tertekan. Mungkin dia dah tak tahan,” jawab Insyirah rendah.
“Jangan biarkan dia berkurung dalam bilik. Suruh dia buat apa-apa kerja supaya dia sibukkan diri. Kalau dia terus termenung, susah untuk dia sembuh,” ucap Ariff lembut.
“Dia di dapur sekarang.”
“Rayland ada bercakap tentang hasratnya kepada Ana.” Ariff mula berkisar tentang anak muda itu pula.
“Apa dia kata?” balas Insyirah pantas.
“Dia mahu melamar anak kita. Dia sukakan Ana.”
“Saya dah agak dia ada hati pada Ana. Jadi awak jawab apa?” tanya Insyirah lagi. Berita itu tiba-tiba merubah rentak hati si ibu. Entah kenapa dia suka.
“Saya masih fikirkan jawapannya. Apa kata awak?” tanya Ariff pula.
“Kalau perkahwinan mereka berdua boleh membawa Rayland dekat dengan keluarga kita, saya terima dengan lapang dada. Ana perlukan seorang lelaki untuk sayangkan dia. Bukan awak, bukan abang-abang dia. Tapi lelaki lain. Dia perlukan teman. Rayland dah memadai untuk Ana. Saya sukakan keperibadian dia. Saya tahu dia tidak tinggi ilmu agama. Tapi dia ada hati yang lembut. Saya boleh mengangankan sebaik-baik lelaki yang akan menjadi suami kepada anak kita. Tapi ada sebab kenapa Allah hadirkan lelaki macam dia di waktu emosi Ana sakit. Dia jujur dengan perasaannya. Dia tidak hanya mencintai Ana ketika Ana hanya sihat.”
“Saya juga fikir begitu. Saya teringat kata-kata Syeikh Marwan dulu. Seeloknya Ana dikahwinkan. Tapi yang merunsingkan saya, dia pasti tidak akan setuju. Dalam keadaan begini, saya tak mahu buat jiwa dia lebih tercalar.”
“Awak ayah dia. Saya tahu dia akan mendengar kepada awak. Ariff, niat kita hanya mahu yang terbaik untuk anak kita. Saya percaya restu dari Allah juga ada bersama kita,” ucap Insyirah lembut.
“Tak apalah. Petang nanti saya akan bercakap dengan dia. Jaga dia baik-baik. Selalu perhatikan dia,” balas Ariff kepada isterinya.
“Insya-Allah. Awak pun jaga diri. Jangan lupa makan tengahari nanti,” balas Insyirah pula.
“Ia, sayang. Assalamualaikum..”
Talian dimatikan setelah menjawab salam itu. Seketika kemudian Insyirah ke dapur. Jannah sedang membantu pembantu rumah memasak. Ummu Malika sedang berdiri di sebelahnya, memerhatikan apa yang dibuat oleh Jannah.
“Mommy dengar ada seorang lelaki sukakan Ana. Betul ke?” ujar Insyirah lantas menyentuh bahu Jannah.
“Siapa?” tanya Jannah macam tidak berminat.
“Rayland.”
Jannah mencebik. “Ana tak ada hati dengan dia pun,” ucap Jannah hampir tidak kedengaran suaranya.
“Alhamdulillah.. lelaki yang baik untuk wanita yang baik, Ana. Ummu dapat rasakan Rayland itu lelaki yang baik.” Malika berkata lembut.
“Ana tak nak dia.”
Insyirah dan Malika saling berpandangan. Malika mengusap bahu Jannah perlahan.
“Mata kita biasa berdusta dengan apa yang kita pandang. Tetapi percayalah, kadang kala apa yang kita tidak suka itulah yang terbaik untuk kita. Sudah tentu ada sebabnya mengapa dalam begini dia meluahkan isi hatinya tentang Ana,” ujar Malika lagi.
Jannah diam sambil menunduk. Insyirah sekadar membisu, membiarkan Malika pula menasihati anak ini.
“Ana, suatu masa dulu.. ketika itu Ana masih belum lahir. Ada seorang perempuan yang bergelut dalam hidup dan rumahtangganya. Demi anak-anak. Di satu bahagian lelaki yang hadir dalam hidup perempuan itu tidak disukainya, tidak dicintainya. Tetapi lelaki itu tetap ada dan terus ada dalam hidupny. Sehingga dia merasakan dia tidak mampu melarikan diri dari lelaki itu. Bagaimana untuk dia lari? Lelaki itu adalah suaminya. Pernah beberapa kali dia hampir patah semangat. Ummu menyaksikan itu sendiri, nak. Tapi ummu minta dia terus bergantung kepada Allah. Allah tahu apa yang berlaku kepada setiap hamba-Nya. Bukan mudah untuk kita mengubah diri. Apatah lagi mengharapkan orang lain berubah. Kesabaran yang diperlukan bukan sedikit. Bukan dalam sehari dua. Tapi tujuh tahun! Tetapi sesudah puas dia bersabar, dia bertawakkal kepada Allah. Lelaki yang dahulu pernah dibencinya berubah menjadi seorang manusia yang amat disenangi ramai orang sekarang.”
“Siapa orang tu, ummu?” tanya Jannah setelah dia menoleh.
Malika tersenyum. “Itu rahsia. Kisah itu besar ertinya. Allah mampu mengubah hati seseorang jika DIA mahu. Begitu juga hati kamu, hati Rayland. Cuba berikan peluang itu kepada Rayland. Ummu percaya dia tidak main-main dengan hasratnya kepada kamu.”
Jannah kembali membisu.
“Kamu mirip sekali seperti wajah ibu kamu ketika dia masih muda, Ana. Jiwa kamu besar. Jangan kamu patah semangat dengan dugaan sekali ini. Terima sesuatu yang datang itu dengan hati yang terbuka. Setiap dugaan Allah itu ada hikmahnya. Siapa tahu Allah sedang membuka pintu jodoh buat kamu,” ujar Malika lembut.
Jannah terus membisu. Namun Insyirah tersenyum lembut di belakang Jannah.
“Mommy suka juga kalau dapat menantu rambut perang ni. Macam daddy Ana. Mana tahu nanti Ana dapat anak elaki rambut perang macam Farouqe. Atau yang banyak mulut macam Fira,” sakat Insyirah lantas membuatkan Malika ketawa.
Biarpun cuba ditahan, Jannah ketawa juga dengan usikan ibunya. Lucu mendengar emaknya menyebut tentang kembar Farouqe dan Afyra. Namun kemudian tawanya memudar saat terkenangkan lelaki bernama Rayland itu. Dia sudah lama tahu lelaki itu sukakan dia. Asyik mahu mendekati dia biarpun dia rimas. Baikkah lelaki itu sebenarnya?
Entahlah. Dia tidak tahu apa-apa pun tentang lelaki itu. Kerana, dia sebenarnya tidak pernah cuba untuk mengambil tahu!

MALAM itu semua anak dan menantu dipanggil pulang oleh Ariff. Kecuali Afyra yang masih berada di London. Lelaki itu teringin mahu berkumpul dengan anak-anak. Sementelah ada berita penting yang hendak dikhabarkan.
“Mungkin dalam masa terdekat ni rumah kita akan meriah dengan majlis perkahwinan.”
Berderau darah Jannah mendengar kata-kata ayahnya. Semua mata di meja itu terus memandang ke arah Ariff.
“Serius, daddy? Macam dah boleh teka siapa dengan siapa ni.” Imanina membalas teruja.
Jannah tunduk memandang pinggan. Tahu, kalau sudah dengar nada ayahnya begitu bermakna keputusannya sudah bulat.
“Siapa, Iman?” tanya Mikhael kepada adiknya.
Imanina terus memuncungkan mulutnya ke arah Jannah yang duduk di hadapannya.
“Really? Siapa bakal suaminya? Jangan kata si tua kerepot tu. Please! Tak lalu nak makan nanti ni,” ucap Mikhael sambil membuat mimik muka geli.
“Mika!” Insyirah terus menjegilkan matanya kepada anak keduanya itu. Tidak senang membiarkan lelaki itu diungkit-ungkit di hadapan Jannah.
“Apa? Betullah apa yang Mika cakap.”
Ariff menghela nafas perlahan sambil mengerling Jannah. “Rayland melamar Ana untuk dijadikan isteri.”
“Wow! Berita baik ni, Ana. Sepadan dengan Ana. Kak Iman rasa dia memang dah lama sukakan Ana tu.” Imanina cuba menyemarakkan suasana biarpun dia lihat Jannah hanya membatu. Tidak gembira langsung dengan berita itu.
Jannah terus bungkam tanpa memandang sesiapa. Suapan nasi ke mulut amat perlahan.
“Kita akan adakan majlis bertunang dalam masa terdekat ini,” ucap Ariff lagi. Nadanya serius itu sebenarnya ditujukan kepada Jannah. Spontan Jannah mengangkat pandangan kepada si ayah.
“Daddy.. bagilah Ana masa untuk bersedia.” Jannah mula mengeluh.
“Kamu memang ada masa untuk bersedia. Kalau daddy terus biarkan kamu, alamatnya sampai bertahun pun kamu akan tetap begini. Tempoh bertunang nanti adalah waktu yang tepat untuk kamu bersedia!” balas Ariff serius.
Meja makan itu mula bungkam. Ariff terus memandang Jannah. Anak itu kembali tunduk memandang pinggan.
“Kamu tidak akan membukakan pintu hati kamu pada lelaki lain begitu sahaja. Itu yang hati kamu suruh kamu buat sekarang! Bukan sekadar Rayland, lelaki lain juga sukar untuk masuk ke dalam kehidupan kamu selagi kamu begini, Ana.”
Jannah hanya diam mendengar bebelan ayahnya. Dia sedar ada waktunya dia lalai sehingga menurutkan emosi.
“Ana, terimalah dengan lapang dada. Ana perlukan seseorang dalam hidup Ana. Seorang sahabat yang mampu faham Ana. Sahabat di luar perkahwinan dan di dalam perkahwinan tu tak sama. Abang sokong keputusan daddy. Abang rasa ini lebih baik untu Ana,” ujar Rafael turut cuba memujuk adiknya.
“Abang Rayland tu handsome sangat. Dia pakai susuk tak?” tiba-tiba si bongsu Rania mencelah. Spontan Insyirah menekup mulut Rania. Mata Ariff sudah terjegil kepada anak bongsunya itu.
“Jangan sebut benda begitu dalam rumah ni!” tekan Ariff.
Jannah kemudian memandang ayahnya. “Ana tak tahu macam mana nak terima keadaan ni, daddy. Ana sikit pun tak ada hati pada dia.”
“Kamu akan terima begitu sahaja jika kamu bukakan pintu hati kamu kepada hakikat ini. Lelaki tua itu bukan lelaki yang baik untuk kamu. Jodoh kamu dengan orang lain. Berhenti fikir tentang dia. Dan tumpukan perhatian kamu kepada kehidupan yang bakal kamu lalui nanti,” jawab Ariff serius.
Seluruh adik beradik memandang ke arah Jannah. Masing-masing berharap akan ada sinar yang baru melanda kehidupan gadis itu. Cukuplah dengan dugaan yang lalu.
Lama Jannah berdiam. Berfikir. Antara benar dan salah, jiwanya bersimpang siur. Namun dia teringat kata-kata Syeikh Marwan kepadanya tempoh hari. Sekiranya dia keliru, minta tolong orang sekeliling untuk tunjukkan jalan. Orang yang terbaik sudah tentulah kedua ibu dan ayahnya.
“Ana setuju, daddy. Tapi Ana minta daddy izinkan Ana masuk kerja semula. Ana bosan duduk rumah aja.” Jannah akhirnya menjawab perlahan.
Kalimah alhamdulillah teralun serentak di meja makan itu usai mendengar jawapan Jannah. Orang yang paling gembira sudah tentulah Ariff.
“Selepas bertunang nanti, Ana boleh masuk kerja,” ucap Ariff akur. Sedar, tidak selamanya dia mampu mengurung anak itu di rumah.
“Terima kasih, daddy.”

2 ulasan: