BAB 14
PULANG ke rumah petang itu, Farouqe terintai-intai ke dalam.
Terpandangkan ayahnya, dia cuba berjalan sebaik-baiknya.
“Kamu pergi mana sampai selewat ini baru
balik?” tegur Ariff yang sedang duduk di ruang tamu. Hairan melihat kepala
Farouqe bertutup hud bajunya.
“Tadi pergi rumah abang Rayland, daddy.
Dia ajak pergi makan.” Farouqe sekadar memandang sekilas ayahnya. Sebelah
kakinya disilang ke belakang bagi menyembunyikan lutut yang sudah koyak.
Ariff mengangguk. Matanya kembali
memandang tv tanpa bertanya. Tidak sedar dengan gelagat Farouqe. Sebaik sahaja
sampai di tangga, Farouqe menyeringai menahan sakit. Kakinya terhencot-hencot
semula. Namun cuba juga sedaya upaya berjalan selaju mungkin ke tingkat atas.
Tidak sabar mahu menyorok dalam bilik.
Sebaik sahaja masuk, Farouqe terus merapatkan
pintu. Perlahan-lahan baju lengan panjangnya ditinggalkan dari tubuhnya.
“Aduh..” Farouqe merintih saat luka di
belakang lengan dan belakangnya bergesel dengan baju.
Farouqe berdiri di hadapan cermin.
Belakangnya diintai. Ada kesan luka agak besar di belakang. Dan di kepalanya
juga ada terkoyak. Itu baru bahagian atas. Belum lagi bahagian bawah.
“Apa nak buat ni? Sakitnya..” ucap
Farouqe sendiri. Takut mahu memberitahu ayahnya apa yang sudah berlaku.
Kemungkinan pertama yang bakal berlaku ialah, dia akan dimarahi teruk kerana
cuai. Kedua, dia akan dimarahi teruk kerana pandai-pandai meminjam harta orang.
Ketiga, dia akan dimarahi teruk kerana membonceng motor sedangkan sudah ditegah
ayahnya semenjak dulu. Pendek kata, semua kemungkinan memang teruk untuknya!
Namun sedang dia terbelek-belek luka
pada tubuhnya, namanya sudah diseru dari luar. Sekalian itu pintu diketuk.
“Farouqe, bukak pintu ni! Amboi.. kunci
pintu pulak ya?” jerit Jannah.
“Apa?? Orang sibuk ni. dah. Syuh! Syuh!
Pergi sana,” jawab Farouqe dari dalam.
Jannah yang terdengar, serta merta menyirap
darah rasanya. “Dia ingat aku ni ayam ke apa?” bebel Jannah sendiri.
“Daddy, Farouqe, kan.. dia jatuh motor!!”
laung Jannah agak lantang dari hadapan pintu kamar Farouqe.
Farouqe di dalam sudah tidak tentu arah
dalam keadaan terhencot-hencot. Nak menyorok, rasanya tidak kena pula. Sudahnya
dia memakai semula baju dan pintu terus dibuka. Kelibat ayahnya sudah terpacak
di hadapan pintu kamarnya.
“Apa jadi dengan kamu?” tanya Ariff
sambil menurunkan pandangan ke lutut seluar Farouqe sudah koyak. Farouqe sempat
menjegilkan matanya kepada Jannah. Jannah tersengih sambil menayang telefonnya
tanda berita itu sudah dikutipnya lebih awal daripada Rayland.
“Farouqe jatuh motor Abang Rayland
tadi.”
Ariff terus masuk. “Buka baju.”
Mahu tidak mahu anak itu membuka juga
bajunya. Ariff terpaku melihat luka agak teruk di badan anak itu. Dan ada kesan
dara di tengkuk Farouqe. Mulalah wajahnya berubah ketat.
“Turun bawah. Pergi hospital sekarang!”
Terkebil-kebil mata Farouqe memandang
ayahnya keluar dari kamar itu. Sudahnya dia akur juga untuk turun ke bawah. Di
dalam kereta, dia hanya pegun menadah telinga dibebel oleh ayahnya.
Ariff membawa Farouqe ke hospital
terdekat. Anak itu terus diberikan rawatan segera setelah mengadu baru sahaja
jatuh motorsikal. Mujurlah setelah dix-ray, tiada tulang yang patah. Namun
meraung-raung dia apabila lukanya dicuci.
Bertambah meraung apabila sebahagian
rambut kesayangannya dicukur bagi membolehkan luka di belakang kepalanya
dijahit. Setelah selesai diberikan rawatan, mereka pulang. Namun sampai di
rumah Ariff tidak segera menyuruh dia masuk. Tidak lama kemudian ayahnya keluar
membawa gunting dan pencukur eletrik.
“Daddy nak buat apa?”
“Potong rambut kamu tu,” jawab Ariff
selamba.
“Jangan, daddy..” Farouqe mula
tercebik-cebik melihat ayahnya mendekat.
“Duduk di situ,” arah Ariff tanpa
mempedulikan reaksi anaknya. Semenjak tadi anaknya merayu-rayu agar rambutnya
tidak dicukur. Rela membiarkan luka itu tidak berjahit asalkan rambutnya tidak
dicukur. Terlalu sayangkan rambutnya konon. Sekarang dia sendiri akan membuang
kesemuanya!
Saat yang paling sadis dalam hidupnya,
adalah saat ini! Saat menyaksikan rambutnya gugur ke tanah segumpal demi segumpal.
Lebih sadis lagi apabila kakak-kakaknya menyaksikan upacara bersejarah itu
dengan reaksi sedih dibuat-buat.
“Selamat tinggal rambut meggi yang
tersayang,” ucap Imanina sambil melambai seolah-olah melambai orang tersayang
pergi jauh.
Insyirah sudah ketawa gelihati melihat
Farouqe diejek.
“Peliknya rupa Abang Farouqe, mommy.
Botak. Abang Farouqe tak handsome. Kita dah dah tak boleh panggil Abang Farouqe
sebagai abang kawasan lagi,” ucap Rania yang memandang dengan mata membulat.
“Diam, Nia! Nangis abang tu nanti.”
Insyirah segera menekup mulut celupar Rania.
Sesungguhnya memang benar air mata
Farouqe bercucuran di pipi melihat rambutnya sudah berkumpul di tepi kakinya.
“Baru elok sikit macam ni. Daddy lebih
suka kamu begini,” puji Ariff puas hati.
“Farouqe rasa hidup ni dah gelap, daddy.”
“Itu akibatnya bila kamu tak mahu dengar
cakap orang tua,” jawab Ariff selamba.
Farouqe mencebik. Kecewa. Entah berapa
tahun lagi barulah dia akan dapat memiliki rambut sesempurna dulu. Kalaulah dia
tahu rambutnya akan menjadi korban, sumpah dia tidak akan menunggang motor
besar Rayland tadi. Sungguh!
“MACAM
mana dengan motor awak?” tanya Jannah sebaik sahaja terlihat wajah Rayland tiba
di pejabat pagi itu.
“Saya dah hantar ke bengkel. Esok atau
lusa dah boleh guna semula. Tidak begitu teruk kerosakannya. Bagaimana dengan Farouqe?”
Rayland membalas lembut. Dia lebih risaukan Farouqe berbanding motor itu.
Jannah menggeleng sambil menghela nafas
panjang. “Dia dapat cuti sakit. Malam tadi dia demam sampai tak boleh bangun.
Kaki dia sakit sampai tak boleh berjalan,” jawab Jannah.
“Kasihan dia. Saya tak sepatutnya
benarkan dia naik motor saya semalam. Saya minta maaf. Saya nak bawa dia ke
klinik. Tapi dia tak mahu. Dia takut pak cik dapat tahu.”
“Bukan salah awak. Dia memang dah lama
mengidam sangat nak motor macam tu. Daddy tak bagi. Macam mana daddy nak bagi.
Baru pegang sekejap, dah jadi macam tu.”
Rayland diam pula. Teringat semalam.
Motor itu tiba-tiba melompat ketika Farouqe sedang duduk di atasnya. Kebetulan
enjin sedang menyala. Sudahnya Farouqe terseret sekali. Keadaan Farouqe jadi
teruk akibat dihempap motor itu.
“Saya masuk dulu. Saya nak ke bawah
sekejap lagi. Awak dah sarapan pagi?”
“Belum. Jam 10 nanti baru saya turun,”
ujar Rayland lantas memandang jam di pergelangan tangannya.
Mereka berpisah arah untuk melunaskan
tanggungjawab masing-masing. Jannah turun semula ke lobi. Ada kerja yang harus
diselesaikan di bawah. Sementelah Vanida sedang bercuti. Kerja yang seharusnya
dilakukan Vanida terpaksa dilakukannya sendiri. Dalam keadaan dirinya sibuk,
Jannah tidak sedar ada seseorang sedang mendekatinya.
Kata orang untung sabut timbul.
Begitulah lelaki itu. Cadangnya dia mahu mencari Jannah di pejabatnya. Tidak
sangka rupanya gadis itu sedang berada di situ. Tan Sri Malik berdiri seketika
tidak jauh dari gadis itu. Sebotol minyak dikeluarkan dari saku seluarnya.
Kemudian minyak itu dicalitkan di kedua-dua belah keningnya. Setelah minyak itu
dikembalikan ke dalam saku, Tan Sri Malik mula menghayunkan tongkatnya untuk
mendekati Jannah yang berdiri menghadap ke kaunter daftar masuk.
“Sayang..”
Jannah segera mengangkat wajah mendengar
suara itu. Kemudian dia berpaling ke belakang. Pandangan Jannah singgah tepat
di wajah seorang lelaki tua. Sedetik dua detik dia hanya memandang.
Sayang? Siapa sayang? Detik hatinya
hairan. Sempat dia memandang ke arah kakitangan yang sedang menghurungnya. Masing-masing
terpinga-pinga.
“Encik bercakap dengan saya ke?” tanya Jannah
hairan.
Wajah Tan Sri Malik berubah. Encik?
“Ini abang, sayang. Ana tak kenal
abang?” ucap Tan Sri Malik bersungguh.
Jannah terus terpaku memandang lelaki
bertongkat itu. “Saya tak kenal, encik. Encik salah orang agaknya ni. Ada
urusan apa di sini?” balas Jannah sambil menggeleng sedikit.
Tan Sri Malik mula memegang rautnya.
Adakah Jannah tidak mampu melihat dirinya sekarang ini? Apa lagi yang tidak
kena? Adakah jampi menteranya tidak menjadi?
“Encik perlukan bantuan ke?” tanya
Jannah semakin hairan dengan gelagat lelaki itu.
“Ini Abang Malik. Takkan Ana dah lupa
abang?” ujar Tan Sri Malik lembut.
Berderau darah Jannah mendengar nama
itu. Wajahnya terus berubah seperti sedang berhadapan dengan hantu.
“Jagan dekat dengan saya!” tegas Jannah.
Pantas dia menjauhi lelaki itu. Kawasan yang dirasakan paling selamat sudah
tentulah di sebalik kaunter daftar masuk itu. Jannah segera masuk ke situ.
“Tolong.. tolong pergi dari sini, tan
sri. Jangan ganggu saya.”
“Kenapa Ana buat abang macam ni? Abang
rindukan Ana. Abang nak bercakap dengan Ana sekejap.” Tan Sri Malik mula berjalan
ke hujung kaunter itu.
“Stop!!!” jerit Jannah panik. Lelaki itu
benar-benar menakutkannya.
“Tolong panggil pengawal sekarang!” arah
Jannah kepada kakitangan yang terpaku memandang. Seorang pegawai lelaki
ditolaknya agar membantu menghalang lelaki tua itu.
“Encik, ini kawasan larangan.” Kakitangan
lelaki itu cuba menahan Tan Sri Malik daripada masuk untuk mendapatkan Jannah.
“Kau diam! Aku bercakap dengan kekasih
aku.” Tan Sri Malik menunding lelaki itu dengan tongkatnya.
“Ana.. sinilah, sayang. Abang nak jumpa
Ana. Abang rindukan Ana. Ana dah janji nak kahwin dengan abang,” rayu lelaki
tua itu penuh kelembutan.
“Saya tak kenal pak cik!! Jangan dekat
dengan saya!” tegas Jannah. Pantas dia mengangkat ganggang. Sambungan ke kamar
ayahnya didail. Menggigil kakinya saat menanti talian berjawab.
“Daddy! Ada orang ganggu Ana. Tolong turun
ke lobi sekarang!” suara Jannah terus meninggi sebaik sahaja terdengar suara
ayahnya menyapa.
Tan Sri Malik tidak jadi mahu mendekat. Tahu
siapa yang sedang dipanggil Jannah.
“Ana, sampai hati Ana buat abang macam
ni. Abang terlalu sayangkan Ana. Abang dah lama menunggu. Abang nak kahwin
dengan Ana,” rayu lelaki itu bersungguh. Penuh harap.
“Saya tak kenal encik ni siapa.
Tolonglah jangan ganggu saya! saya sungguh-sungguh tak kenal encik!” bentak
Jannah masih diburu ketakutan kepada lelaki tua itu.
Terpandangkan Rayland baru keluar dari
lif, Jannah terus menjerit memanggil lelaki itu. Rayland menoleh mencari dari
mana datangnya suara Jannah. Terlihat keadaan agak aneh di kawasan itu, dia
berlari ke arah lobi.
“Ada apa ni?” tanya Rayland lantas
memandang lelaki tua itu.
“Ini suami saya, pak cik. Saya tak
pernah janji nak kahwin dengan pak cik! Saya tak kenal pak cik!” ucap Jannah
meninggi.
Rayland segera memandang tunangnya
dengan kerutan di kening. Akalnya segera menangkap lelaki tua itulah yang telah
mengenakan Jannah dengan ilmu hitamnya. Spontan Tan Sri Malik memandang Rayland.
Tercabar dengan kehadiran lelaki muda itu.
“Mari sini, sayang..” panggil Rayland
kepada tunangnya. Kemudian dia mendekati Tan Sri Malik. Laluan keluar masuk itu
sedang terhalang oleh tubuh lelaki itu.
“Sila ke tepi, encik. Bahagian ini hanya
untuk kakitangan sahaja,” ucap Rayland lantas menarik tangan lelaki tua itu.
Sayangnya lelaki tua itu terus mengangkat buku limanya. Sebelah mata Rayland
menerima hadiah.
Rayland terdorong ke belakang sehingga
jatuh. Dia mengeliat di atas lantai sambil menekup sebelah wajahnya. Sakitnya
seolah-olah sebelah tengkorak kepalanya sudah pecah.
Tan Sri Malik ketawa kecil sambil menapak
untuk mendekati lelaki muda itu. Tidak dipedulikan dua pengawal keselamatan
berlari ke arahnya. Belum sempat pengawal itu memegangnya, Tan Sri Malik
mencekak kolar uniform salah seorang pengawal itu.
“Kau nak rasa penangan aku? Aku boleh
matikan kau dan seluruh keturunan kau kalau aku nak. Setakat kau ni celah gigi
aku aja. Jangan sibuk urusan aku!” ancam lelaki itu dengan pandangan tajam. Lelaki
itu ditolaknya begitu saja. Pengawal itu terdorong sehingga menggelusur di atas
lantai.
“Mari dekat..” ugut Tan Sri Malik sambil
menunding hujung tongkatnya kepada seorang lagi pengawal yang cuba datang
kepadanya. Tidak tahu apa yang sedang berhadapan dengannya, pengawal itu
berundur. Tidak berani mahu menyentuh lelaki tua itu.
Tan Sri Malik kembali memandang Rayland
yang masih terbaring di lantai. Kali itu dia kembali mendekati Rayland. Hujung
tongkatnya diletakkan di atas dada Rayland lalu ditekannya.
“Kau rampas apa yang aku suka. Kau nak
mati ya?” ucap Tan Sri Malik geram.
“Arghh!!!” Rayland mengerang keras. Cuba
dialihkan tongkat itu tetapi tidak mampu. Semakin lama semakin kuat tongkat itu
ditekan. Tulang dadanya seperti mahu pecah.
“Jangan dekati Ana. Dia cintakan aku!”
Rayland terus terkapai-kapai tidak
terdaya untuk melepaskan diri dari lelaki itu.
“Abang, jangan apa-apakan dia. Ana kat
sini..” rayu Jannah tiba-tiba.
Tan Sri Malik ketawa perlahan. Matanya
terus memandang anak muda itu. Masih belum puas untuk melampiaskan dendamnya. Suara
Jannah merayu kepadanya itu semakin membuatkan dia teruja. Lelaki muda itu diseksanya.
“Jangan apa-apakan dia. Tolonglah. Dia
bukan sesiapa dengan Ana. Ana tipu abang. Jangan ganggu dia. Dia hanya pekerja
di sini. Ana cintakan abang.” Walaupun gentar yang teramat sangat, Jannah cuba
juga mengalihkan perhatian lelaki tua itu daripada Rayland. Lembik lututnya
menahan takut saat Tan Sri Malik menoleh kepadanya dengan senyum jahat.
“Ana kena ikut abang. Abang nak kahwin
dengan Ana,” ucap Tan Sri Malik bersungguh.
“Ia. Ana ikut abang,” jawab Jannah
sambil memandang ke arah lif. Ligat otaknya mencari akal untuk melengahkan
masa. Betapa dia mengharapkan ayahnya akan segera turun ke bawah. Tiba-tiba
pintu lif itu terbuka dan dua lelaki keluar serentak. Salah seorang adalah
Ariff.
Rafael segera berlari mendekati adiknya.
Jannah ditarik jauh dari lelaki itu.
“Bangun, Rayland. Jauhi lelaki ini,”
arah Ariff kepada anak muda itu. Rayland mengengsot ke belakang untuk menjauhi
lelaki tua itu. Berkerut wajahnya menahan sakit sambil matanya tidak berhenti
memandang Tan Sri Malik. Hairan. Mengapa lelaki tua itu kuat benar tenaganya
sehingga dia tidak mampu menandinginya.
“Anda masih di sini?” ucap Ariff setelah
berhadapan dengan lelaki tua itu.
“Aku datang nak jumpa Ana. Aku masih
cintakan dia. Aku nak dia jadi hak aku. Aku akan bawa dia pergi dengan aku.
Kami akan berkahwin jauh dari sini,” jawab Tan Sri Malik selamba.
Ariff diam merenung tampang lelaki tua
itu. Masih tidak putus asa rupanya lelaki ini. Bercakap seolah-olah seluruh
dunia ini mampu dijentik dengan hujung jarinya.
“Jadi kenapa Ana tidak ikut kamu?” ucap
Ariff lantas mencari wajah anak gadisnya
“Ana, ke mari, sayang.” Panggil Tan Sri
Malik.
Jannah menggeleng perlahan sambil
menjadikan abangnya sebagai perisai. Tan Sri Malik cuba menapak mendekati
Jannah. Namun Ariff menahan dadanya.
“Dia akan datang kepada kamu jika dia
mahu. Kali ini pilihan dibuat dalam keadaan fikirannya waras. Kamu tidak boleh
pergi kepadanya. Saya sedang memberi dia peluang untuk memilih,” ucap Ariff.
“Tepilah! Bedebah kau! Kau memang batu
penghalang yang paling besar di sini! Aku akan jahanamkan seluruh keluarga kau
kalau aku tak dapat Ana. Kau yang pertama!” tekan Tan Sri Malik dengan mata
terbeliak garang. Tangan Ariff ditepisnya kasar.
“Saya percaya Ana sudah menerima
kenyataan yang antara kamu berdua tidak boleh diteruskan. Rayland tunang
Jannah. Mereka akan berkahwin dalam masa terdekat ini. Saya ingatkan sekali
lagi agar kamu tidak lagi menganggu anak gadis saya. Beritahu kepada pendamping
kamu itu bahawasanya saya tidak takut kepadanya. Dia juga adalah hamba Allah sama
seperti saya. Keupayaannya terbatas,” ujar Ariff tenang. Sedikit pun tidak
gentar biarpun semenjak tadi dia terlihat ada ‘geng’ yang dibawa oleh lelaki
ini bersama. Bayang gelap itu sentiasa bergerak setiap kali Tan Sri Malik
menggerakkan anggotanya.
“Apa kau cakap ni?”
“Tolong ke mari,” ucap Ariff kepada
seseorang di pintu masuk lobi itu. Tan Sri Malik menoleh. Tiga lelaki muda
sedang berjalan mendekatinya.
“Mereka ini penghafal Al Quran. Kekuatan
yang ada pada mereka tidak seberapa berbanding kamu. Tetapi saya percaya Allah
telah beri kelebihan kepada mereka ini melalui ilmu-Nya untuk membuat sahabat
kamu itu terkurung di satu tempat. Dia tidak akan berjumpa dengan tuannya
semula,” ucap Ariff.
Tan Sri Malik menoleh sekejap kepada
Ariff. Ugutan penuh hemah itu membuatkan dia menelan liur.
“Jangan buat kacau di sini, pak cik.”
“Apa pak cik?? Kau ingat aku pak cik
kau?? Tan Sri Malik!!” balas Tan Sri Malik berang. Dia menepis saat salah
seorang anak muda itu cuba memegang lengannya.
“Tak apa. Pada batu nesan nanti tak
tulis tan sri ni semua.”
“Kau jangan nak kurang ajar dengan aku!”
tengking Tan Sri Malik. Sudah tidak peduli biarpun semua orang di lobi hotel
itu sedang memerhatikan mereka.
“Saya tahu pak cik guna ilmu untuk jadi kebal.
Tapi jangan buat kacau di sini. Tolong pergi ya? Kalau tidak saya panggil semua
kawan-kawan saya turun sini. Tak cukup tanah nak kambus pak cik nanti,” ucap
seorang lagi dalam nada lembut.
Tan Sri Malik sempat menoleh ke arah
Ariff. “Aku akan tetap dapatkan dia!”
Ariff sekadar tersenyum kepada lelaki
itu. Kalau sebelum ini dia tidak tahu apa-apa, kali ini dia sudah bersedia
sedikit sebanyak. Ugutan itu tidak lagi menganggu fikirannya. Dia tahu Allah
bersama orang yang benar.
Buat seketika mereka semua pegun
memandang Tan Sri Malik dibawa pergi.
“Naiklah ke atas,” suruh Ariff kepada
anak gadisnya.
“Takutnya, daddy. Mana Ana pergi, dia
tahu,” rintih Jannah tanpa terus mahu beredar dari situ.
“Jangan takut. Makhluk itu akan merasa
hebat apabila manusia takut kepadanya,” ujar Ariff. Kemudian dia memandang
Rayland. Sebelah mata Rayland lebam kebiruan. Bajunya sudah tidak sekemas tadi.
Sebelah tangannya asyik memegang dada.
“Kamu tak apa-apa?” tanya Ariff lembut.
“Tak apa-apa, pak cik. Sikit aja.”
Rayland menjawab perlahan.
“Sambung kerja seperti biasa!” ucap
Ariff kepada para pekerja yang masih bercakap sesama sendiri. kemudian dia
terus berpaling untuk ke lif semula. diikuti oleh Jannah, Rayland dan Rafael.
“Jangan dekati lelaki tua itu. Dia
menggunakan jin untuk membantu dia menjadi kuat.”
“Dia dah tua. Tapi rupa dia masih muda. Kacak.
Dan dia memang kuat,” komen Rayland perlahan. Jannah terus memandang Rayland.
“Awak cakap dia muda? Kacak?” tanya
Jannah sedikit terkejut.
“Ia.” Rayland mengangguk sedikit. Apa yang
silap dengan kata-katanya tadi. Wajah Jannah berubah sedikit. Keliru.
“Err.. saya tak bermaksud apa-apa. Selain
rambut dia yang sedikit beruban tu, dia memang nampak muda,” ujar Rayland lagi.
“Kamu nampak wajah dia muda atau tua,
abang?” tanya Ariff kepada anak lelakinya pula.
“Sama macam dulu. Tak ada beza,” ujar
Rafael pula.
“Kamu berdua perlu banyakkan zikir dan
mengaji Al Quran,” komen Ariff lantas keluar dari lif itu.
“Apa maksud, daddy? Daddy nampak apa
tadi?” tanya Rafael masih tidak puas hati.
“Tanya Ana. Dia sudah melihat rupa
sebenar lelaki itu.” Ariff menjawab selamba sebelum berlalu untuk kembali ke
kamarnya.
Namun Jannah terus berdiam. Sungguh dia
seperti tidak percaya apa yang baru sahaja berlaku. Seperti mimpi. Dan dia
tahu, setelah sekian lama tertipu, kini kebenaran sudah pun Allah bukakan untuk
dia lihat sendiri.
Setelah Rafael masuk ke kamarnya,
tinggal mereka berdua. Jannah lihat lelaki itu asyik memegang dada.
“Awak sakit?”
“Dada saya ditekannya dengan tongkat
tadi. Betul-betul kuat. Saya rasa macam nak mati tadi,” ujar Rayland dalam
keluhan.
“Pergilah klinik.”
“Nantilah. Saya nak duduk sekejap.”
Jannah sempat memandang Rayland masuk ke
dalam kamarnya. Lelaki itu duduk di kerusi. Kerusi itu dibalikkan menghadang
pintu. Rayland membuka satu persatu butang bajunya. Dadanya dibelek. Sudah ada
kesan timbul akibat perbuatan lelaki tua tadi. Namun sedang dia ralik, Jannah
tiba-tiba muncul di tepinya.
“Awak sakit ya?” tanya Jannah. Dia
terpandangkan kesan lebam di dada lelaki itu. Bukan sekadar itu, ada parut di
atas dada Rayland. Tatu berbentuk love dahulu sudah tiada.
“Dada saya rasa macam nak pecah,” jawab
Rayland lantas mengancing bajunya semula.
“Pergilah klinik. Kemudian balik rehat.
Mata awak dah lebam.”
Rayland diam. Selesai mengancing bajunya
dia berpaling memandang tunangnya itu.
“Jangan risau. Saya tak apa-apa.”
“Saya tetap risau sebab saya tahu apa
yang dia buat tadi bukan main-main. Dia nak sakitkan awak,” balas Jannah.
“Tapi Allah tak izinkan. Saya tak
apa-apa,” pujuk Rayland lembut.
Jannah menggeleng sambil berpaling.
“Saya akan beritahu ayah saya.”
“Sayang.. tak perlu buat begitu,” panggil
Rayland agak kuat. Namun Jannah terus sahaja dia meninggalkan kamar itu.
Sudahnya seketika kemudian telefon di
meja Rayland berdering. Ariff meminta Rayland turun ke bawah. Abduh sudah
menanti untuk membawa dia pulang.
“Jumpa petang nanti,” ucap Rayland
sambil menjengah kamar buah hatinya.
“Awak kan tak sihat? Tak perlu tunggu
saya. Rehat aja di rumah,” jawab Jannah agak tidak senang membiarkan lelaki itu
datang ke sini petang nanti semata-mata untuk bertemu dengannya.
“Ayah awak suruh saya balik ke rumah
awak. Petang nanti kita jumpa,” ucap Rayland sambil tersenyum. Disuruh bermalam
di rumah pak ciknya, sudah tentulah dia mahu. Peluang besar untuk berdating
dengan Jannah sedang terbuka luas. Tidak sia-sia dia ditumbuk tadi.
Jannah hanya tersenyum sedikit sambil
memandang lelaki itu berlalu. Eloklah tu.. adalah kawan si Farouqe yang sedang
terkedang di rumah.