Suatu
masa dulu!
“Jibam, kat KL nanti jangan sombong-sombong dengan orang. Kena
pandai bawak diri. Kamu tu dah lah tak tahu serba serbi keadaan di Kolumpo tu. Si Acap tu pun lebih kurang
sama ada bebal macam kamu. Pandai-pandailah kamu berdua nanti,” pesan Mak cik
Melur tidak jemu-jemu kepada anak lelakinya seorangnya itu.
“Ya, mak.. Jibam tahu.” Anak muda itu membalas biasa.
Kasut yang dibelinya di pasar malam kelmarin terus digosoknya dengan pengilat
kasut. Berkilatnya kasut itu sampai dah boleh buat cermin.
Mak cik Melur menghentikan kerjanya seketika. Dia
berjeda.
“Esok bila kamu dah kaya, Jibam. Mesti segak kamu bila pakai
baju kot macam orang kaya-kaya tu kan? Mesti ramai anak-anak dara yang suka kat
kamu. Bolehlah kamu bawak mak melawat Kolumpo
tu nanti. Mak tengok dalam tv macam seronok aja, Jibam. Semua ada di Kolumpo tu. Mak dengar jamban pun dah
buat tepi jalan aja sekarang ni. Pintu tutup sendiri. Canggih!” ujar wanita itu
bangga. Senyum simpulnya kian kembang mengenang itu.
“Esok Jibam baru nak pergi KL, mak. Lambat lagi agaknya
Jibam ni nak kaya.” Jibam menjawab tanpa menoleh kepada emaknya itu.
Meledak tawa Pak cik Mat Kuno mendengar jawapan anaknya
itu.
“Yalah.. maksud mak suatu hari nanti!” getus Mak cik
Melur geram melihat suaminya menggelakkan dia.
Jibam mula tersengih seorang diri. Dia juga cuba
membayangkan dirinya seperti yang digambarkan emaknya itu. Memang segaklah dia
nanti agaknya. Perlahan lelaki 22 tahun itu mula memandang ke luar rumah.
Menungannya membawa dia jauh ke alam lain.
“Eh! Siapa tu? Kacaknya? Ya Allah.. terpesona I dengan mamat
tu,” bisik-bisikan itu membuatkan Jibam kembang setaman. Mesti dia yang sedang
diperkatakan oleh gadis-gadis itu.
“Itu bukan ke mamat yang paling kaya, paling hensem kat
KL ni? Alah.. yang jadi cover untuk majalah maskuline sebelum ni. Dialah
orangnya,” tambah lagi satu suara sambil mencuri pandang ke arah jejaka itu.
“Iya ke? I mesti beli majalah tu lepas ni! I nak tengok
gambar tu puas-puas.”
Hidung kembang si Jibam semakin kembang. Memang dialah
yang berada di muka hadapan majalah tersebut. Tidak syak lagi. Dia hadir di
muka hadapan itu sebagai model jemputan. Semenjak itu semakin banyak tawaran
yang menawarkan dia kontrak untuk menjadi model-model untuk produk mereka. Ada
juga yang mengajak dia masuk pertandingan Mr World! Entah pertandingan apa itu
Jibam tak tahu. Miss World dia tahulah. Itu pertandingan ratu cantik. Mr World
agaknya pertandingan mamat kacaklah agaknya. Memang sesuai benar dia dipelawa
masuk ke pertandingan itu.
Pendek katanya memang tak menang tangan Jibam mahu
menjawab panggilan telefon untuk menolak semua tawaran itu. Sayangnya dia
bukanlah seorang model. Tetapi dia adalah seorang bussines man yang berjaya.
“Kalau tak silap I, nama dia yang tertulis kat Magazine
tu Dude Jeremaine. Dia tu mix tau. Jawa campur Bugis. Sebab tulah hensem gila!”
ujar gadis itu lagi. Sengaja berbisik-bisik agar si jejaka yang hot itu
terdengar bicaranya.
“Ya ampun.. glamournya nama dia? Mix ke? Patutlah.. I
memang suka dengan mamat mix ni,” balas seorang lagi gadis cukup teruja.
Hidung Jibam kembang tidak terucap. Perhatian seperti itu
dia memang sudah terbiasa. Ke mana saja dia pergi memang orang suka memandang.
Terutama sekali perempuan. Tetapi dia hanya mampu berlagak biasa. Yalah..
manalah dia mampu menghentikan perasaan suka orang kepada ketampanan dan
kesegakkannya itu.
“Waiter..” Jibam memetik jari penuh bergaya untuk
memanggil seorang seorang pelayan. Dia tidak mampu berlama-lama lagi di situ.
Dia sibuk! Maklumlah.. ahli perniagaan berjaya.
“Berapa semua?” tanya Jibam sambil mengerling gadis-gadis
tadi. Mereka masih ralik memandang kepadanya.
“RM 120. Tak boleh tawar..”
Jibam dengan muka selamba membuka dompetnya. Dek kerana
banyak sangat duitnya di bank terpaksalah dia memberikan kad itu kepada pelayan
agar pelayan itu menggores kad kreadit itu. Kuranglah sikit duit di banknya itu
nanti kalau kad itu dah digores.
“What? Mahalnya
air yang dia minum. Nampak macam teh tarik aja,” keluh gadis itu kebanggaan
melihat Jibam.
“Orang kaya memang macam tu. Tak mainlah teh tarik
biasa-biasa ni.” Gadis seorang lagi menyambut untuk membuatkan temannya
mengerti resam orang popular seperti Jibam itu.
Dengan lagak bersahaja Jibam mengemaskan ikatan tali
leher dan kot di tubuhnya. Suka benar dia dengan pujian gadis-gadis itu.
“Jibam! Oh, Jibam!”
Jibam tersentak. “Ish! Dari mana pulak datang nama Jibam
ni? kan dah tukar nama jadi Jeremine tadi?” Jibam memandang sekeliling. Spontan
sehelai kain berbau hapak melekap di atas mukanya.
“Oi! Tak habis-habis nak berangan kau ni, Jibam!”
tempelak Pak cik Mat Kuno kepada anaknya itu. Kepalanya digelengkan perlahan.
Terkedip-kedip mata si Jibam memandang ayahnya yang duduk
di meja makan itu. Lelaki itu sedang memandang kepadanya. Eh! Kenapa suasana
sekelilingnya dah lain? Mana restoran mewah tadi? Kot cantiknya mana?
Gadis-gadis tadi?
“Berangan aja kalau takde usaha, tak ke mana perginya,
Jibam!” ujar Pak cik Mat Kuno separuh mengingatkan anaknya itu. Ini bukan kali
pertama dia melihat anaknya begitu.
Jibam kembali tersedar setelah dia meraba bibirnya. Takde
gigi! Oh! Tadi tu berangan aja rupanya. Hakikatnya dia masih Jibam yang duduk
di kampung. Belum jadi orang kaya. Dan hakikat yang paling nyata sekali ialah dia
masih juga tak hensem dan gigi takde!
“Jangan lupa kirim surat pada mak, Jibam. Kaulah satu-satunya
anak mak. Nanti mak mesti rindukan kau,” keluh Mak cik Melur sambil menyeka air
matanya dengan lengan bajunya.
“Yalah.. nanti Jibam kirim surat dengan duit belanja
untuk mak,” jawab Jibam akur. Tubuh emaknya itu dipeluknya dengan tubuh
besarnya itu. Tenggelam terus mak cik Melur di dalam tubuh Jibam.
“Kalau ada masa balik kampung ya, nak?” Mak cik Melur
mahu membalas pelukan anaknya itu. Tapi tangannya sekadar mampu membelit
pinggang Jibam. Tak sampai ke belakang.
“Yalah..”
“Sudahlah tu, Melur. Jibam ni nak pergi kerja. Bukannya
nak pergi berperang,” tegur si suami sambil menggeleng.
“Ayahnya, Jibam ni satu-satunya anak saya. Mestilah saya
risau. Saya takut nanti dia kurus kering tak makan kat KL sana,” jawab Mak cik
Melur sebal dengan teguran suaminya itu.
“Ayah, Jibam pergi dulu ya?” Jibam tunduk mencium tangan
ayahnya pula.
“Yalah.. kerja rajin-rajin, Jibam. Pandai-pandailah kamu
bawak diri di tempat orang.”
“Baik, ayah..” jawab Jibam lembut.
Sepasang suami isteri itu melambai sayu anak tunggal
kesayangan mereka itu sehingga Jibam selamat berada di perut bas. Tidak
puas-puas mata mereka memandang Jibam. Di hati setiap seorang daripada mereka
ada harapan. Semoga Jibam berjaya membina hidupnya dengan jayanya di kota besar
itu nanti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan