“Macamana boleh jadi macam ni??” meledak suara Tan Sri Kamaruddin
memarahi Fazil dan Chia di perkarangan hospital itu. Katrina hanya mampu
terkebil-kebil menelinga kemarahan ayahnya.
Fazil terus membisu. Dia sendiri masih belum tahu apa
sebenarnya yang berlaku kerana dia tidak ada melihat kejadian sebelum itu.
Semuanya berlaku terlalu cepat. Tahu-tahu dia hanya ternampak Jibam di bawah
longgokan batang paip itu.
Chia selaku jurutera projek juga hanya diam, tidak mampu
memberikan penjelasan. Ketika itu dia berada di pejabat bersama Katrina.
“Takde siapa tahu? Semua orang dah jadi bisu sekarang?
Semua orang pun dah jadi buta?” tekan Tan Sri Kamaruddin semakin bengang. Dia
sempat menoleh kepada Katrina. Turut menagih penjelasan daripada anaknya. Namun
wanita itu hanya tunduk memandang lantai. Katrina juga berada di tapak projek,
juga tidak tahu cerita sebenarnya.
“Tapi ini bukan melibatkan kecuaian kita. Material tu
terjatuh daripada lori, Tan Sri. That’s mean material tu masih belum berada
dalam tangan kita. Bukan di bawah tanggungjawab kita. Lagipun I dah periksa,
supplier yang salah sebab lori tu terlebih muatan. I dah buat police report. So
kita dah terlepas dari sebarang kesalahan dan kita tak perlu bayar apa-apa
ganti rugi kepada pekerja tu.” Chia bersuara juga cuba membela diri.
Fazil terus menoleh kepada Chia. Sakit benar hatinya
mendengar ucapan lelaki itu.
“Yes! Tapi kejadian tu berlaku dalam tapak projek? Tapak
projek kita! Dan pekerja tu dilindungi Perkeso. Tahu apa maknanya tu? You tahu
apa tindakan Perkeso nanti bila mereka nak buat siasatan? You tahu apa yang
akan jadi bila orang Perkeso ada dalam tapak projek kita?” tekan Tan Sri
Kamaruddin geram dengan jawapan Chia.
Chia kembali terdiam sambil menelan liur. Paling koman
tindakan Perkeso yang dia tahu ialah projek akan dihentikan buat sementara
waktu. Jika syarikat terpaksa menghentikan kerja-kerja di tapak pembinaan
bermakna mereka dalam masalah. Biarpun untuk setengah hari.
“Yang tinggal separuh nyawa kat dalam ER tu adalah
pekerja kita! Dia manusia! Itu namanya bukan tanggungjawab kita ke? I bercakap
tentang nyawa manusia, bukan soal duit atau apa polis akan kata tentang ini!
Stupid!” meledak lagi suara Tan Sri Kamaruddin tidak mampu menerima alasan
Chia. Kata-kata Chia hanya membuatkan kemarahannya semakin meninggi. Langsung
tidak melegakan kerisauannya.
Terdiam Chia dibuat lelaki tua itu. Fazil tersenyum dalam
hati melihat muka berkerut Chia dimarahi oleh Tan Sri Kamaruddin. Padan muka
kau! desisnya dalam hati.
“Bukan
tanggungjawab konon! Macamana kita boleh biarkan lori dengan lebih muatan tu
berada dalam kawasan kita? You tahu apa maksud safety first, Chia?” tambah Tan
Sri Kamaruddin terus lantang suaranya.
Dua manusia itu terus terkebil-kebil di hadapan lelaki
tua itu. Tan Sri Kamaruddin mula menjauhi dua lelaki itu. Berkali-kali dia
menjenguk ke dalam. Masih tiada berita yang diterima tentang pekerjanya itu.
“Hopefully he is
fine in there,” keluh Tan Sri Kamaruddin setelah duduk bersebelahan dengan
Katrina. Selama dia menjalankan perniagaannya inilah kali pertama dia
berhadapan dengan situasi seperti ini. Keselamatan sentiasa menjadi
keutamaannya bukan sahaja kepada jurutera atau arkiteknya. Tetapi kepada semua
yang bernyawa biarpun sekadar buruh kasar. Hatta seekor anjing pun jika kelihatan
di dalam tapak projek yang sarat dengan bermacam jenis bahaya, dia akan segera
meminta makhluk itu dihantar ke tempat perlindungan haiwan. Inikan pula
manusia!
Katrina terus tidak bersuara. Dia juga risau memikirkan
nasib lelaki yang dilihat tadi. Kasihan.. tapi apakan daya. Semuanya sudah
terjadi.
Fazil ikut resah
menunggu. Sekadar mengusir kebimbangannya, dia bersadar pada tiang di tepinya
sambil berpeluk tubuh. Dia yang bersama Jibam di dalam ambulan tadi, sentiasa
terbayangkan sebahagian tubuh Jibam yang dipenuhi darah. Tidak terucap rasa
bimbangnya melihat Jibam tidak sedarkan diri. Harap-harap tiada apa yang teruk
menimpa Jibam.
Tidak lama kemudian seorang doktor lelaki keluar daripada
bilik rawatan kecemasan. Dia mula memanggil ahli keluarga Jibam. Tiga manusia
itu segera mendekati lelaki itu.
“Ahli keluarga dia takde ke?”
“Rasa saya takde di sini. Mak dengan ayah dia di
kampung,” jawab Fazil menurut apa yang dia tahu tentang Jibam.
Doktor itu tidak berkata apa-apa lagi. Dia terus masuk
semula ke dalam. Membiarkan mereka terpinga-pinga lagi di luar itu. Dengan
kesibukan hospital itu mereka berempat terus berdebar menanti berita.
Jam 9 malam itu barulah mereka mendapat berita mengenai
keadaan Jibam. Ketika itu hanya Acap, Fazil dan Chia sahaja yang ada di situ.
Acap tiba di situ selepas Katrina dan ayahnya pulang.
“Jangan bimbang. Dia cuma mengalami patah pada tulang
paha dan selebihnya luka pada bahagian kaki. Tadi pesakit ni ada mengalami kehilangan
darah disebabkan saluran darahnya tercedera terkena serpihan tulang yang patah.
Kita dah buat pembedahan untuk cantumkan semula tulang dan sekarang keadaan dia
stabil. Kami akan pindahkan dia ke wad sekejap lagi.”
“Alhamdulillah..” jawab Fazil penuh kelegaan.
“Boleh saya tengok dia sekejap, doktor?” tanya Acap
pantas.
“Sekejap saja.” Lelaki itu segera merenggangkan pintu di
belakangnya untuk ketiga-tiga manusia itu.
Acap terpaku memandang keadaan Jibam. Pagi tadi dia
sempat berbual mesra dengan Jibam. Saat ini Jibam sudah kaku di atas katil itu.
Di lengannya satu saluran dipasang, darah sedang dimasukkan ke dalam tubuhnya.
“Kesian kau, Jibam. Moga kau cepat sembuh. Aku tak tahu
nak buat apa kalau kau takde dengan aku.” Acap berkata sendiri sambil menyentuh
lengan sahabatnya itu.
“Insya-Allah.. dia akan okay,” ucap Fazil lantas memegang
pundak Acap yang berdiri di tepi katil itu.
“Memang dia akan okay. Kalau dia cacat macamana? Siapa
nak tanggung mak dengan ayah dia? Kami ni orang susah, Encik Fazil.” Acap
menjawab tanpa menoleh.
“Jangan cakap itu macam macam ma. Doktor kata dia cuma patah kaki. Lepas dua atau tiga bulan dia
sudah okay,” sambut Chia seriau mendengar andaian Acap itu.
Acap diam sahaja. Matanya tidak mampu dikalihkan daripada
wajah Jibam yang lena.
“You call Tan Sri, bagitahu dia. Nanti dia mengamuk
lagi.” Fazil berkata kepada Chia yang berdiri di sebelah sana. Chia sekadar
mengangguk.
“Maaf ya, pesakit ni kita nak pindahkan ke wad. Tak boleh
lama-lama di sini. Kalau nak melawat esok boleh datang semula,” tegur seorang
jururawat kepada mereka bertiga.
“Saya nak temankan dia malam ni boleh tak? Kat KL ni dia
takde ahli keluarga melainkan saya,” tanya Acap kepada jururawat itu.
“Seorang saja yang boleh tunggu di wad.”
“Terima kasih, nurse.”
“Kalau ada apa-apa masalah call saya,” ucap Fazil kepada
Acap ketika di luar. Nombor telefonnya segera diberikan kepada Acap.
“Terima kasih, Encik Fazil.”
“Aku boleh buat sendiri. Kau jangan risau,” ucap Jibam sambil
menepis tangan Acap.
“Kau tu sakit. Buatlah cara sakit! Degil!” geus Acap
geram dengan sahabatnya itu.
“Yang sakit kaki aku ni aja. Tangan aku elok lagi,” balas
Jibam selamba. Jug air ditepinya dicapainya bersama gelas putih. Acap hanya
mampu memandang Jibam menuang air itu ke dalam gelas.
“Tengok.. aku boleh buatkan?” ujar Jibam sambil tersengih
menayang gusi.
“Kau ni tak macam orang sakit aku tengok. Kau tengok
orang sekeliling kau. Ada yang meraung macam orang nak beranak. Kau tu relax
aja,” jawab Acap sambil menggeleng sendiri.
“Aku patah kaki aja, Acap. Bukannya nak beranak.” Jibam
tetap selamba menjawab.
“Tapi memang keballah kau ni. Encik Fazil tu pun hairan,
macamana kau boleh patah kaki aja sedangkan kau kena timpa besi paip besar
macam tu. Kalau aku yang kena dah jadi daging hancur agaknya,” luah Acap sambil
berteleku di tepi katil itu merenung Jibam yang sedang meneguk airnya.
“Nasib aku baik agaknya. Allah kasihankan aku,” jawab
Jibam perlahan. Gelas yang sudah digunakan itu diletakkan semula di dalam
dulang. Sesungguhnya dia tidak mampu membayangkan semula kejadian itu. Ngeri!
Dia diberitahu oleh doktor yang tulang kakinya patah pada beberapa bahagian dan
terpaksa dimasukkan besi untuk mencantumkan semula semua bahagian yang patah
itu. Hasilnya.. untuk tempoh setahun dia tidak boleh berkerja berat.
Jibam menghela nafas perlahan mengenang itu. Tidak dapat
berkerja bermakna kuranglah pendapatannya.
“Kenapa kau tak mahu bagitahu mak kau yang kau patah kaki
ni, Jibam?”
“Aku tak mahu mak aku sedih bila dia tahu aku sakit,”
jawab Jibam perlahan. Seketika kemudian dia menoleh kepada Acap.
“Lagipun aku tak mahu duduk di kampung. Takde apa yang
boleh aku buat. Kalau aku ada di sini sekurang-kurangnya kita masih berniaga
malam hari. Aku boleh tolong kau sikit-sikit di gerai tu,” ujar Jibam lagi.
Acap sekadar mengangguk setuju dengan kata-kata Jibam.
Lagipun rasanya dia mampu menjaga Jibam di sini.
“Assalamualaikum..” sapa satu suara membuatkan perbualan
dua lelaki itu terencat seketika. Jibam menoleh mencari suara itu.
Fazil datang bersama Tan Sri Kamaruddin dan seorang
perempuan. Tan Sri Kamaruddin memang dikenalinya semenjak sebelum ini. Lelaki
itu sudah banyak kali dilihatnya di tapak projek. Tetapi perempuan itu? Wallawei..
cantiknya! Jibam terpana melihat wanita itu tersenyum sedikit kepadanya.
Rasanya dia seperti sedang berada di syurga.
“Apa khabar, Jibam?” tanya Fazil setelah mereka mendekati
katil itu. Acap terus bangun untuk memberi tempat duduknya kepada tetamu-tetamu
itu. Dia sempat berbalas senyum dengan Katrina.
“Err.. khabar baik, bang.” Tergagap-gagap Jibam menjawab.
Sementelah Acap pula meminggir memberikan ruang kepada majikannya itu untuk
berbual dengannya. Tiba-tiba dia rasa segan pula.
“Kau kenalkan ini siapa? Tan Sri Kamaruddin, bos kita.
Dan itu anak Tan Sri, Katrina.” Fazil masih lagi yang bersuara mewakili bos
mereka itu. Jarinya ditundingkan kepada wanita yang sedang meletakkan bakul
buah di atas meja di tepi katil itu.
Jibam menelan liur memandang sisi paras wanita itu. Cantiknya
macam bidadari.
“Macamana keadaan kamu sekarang?” Tan Sri Kamaruddin
bersuara setelah itu.
Suara Tan Sri Kamaruddin mengembalikan pandangan Jibam
kepada majikannya itu. “Saya baik, Tan Sri. Kaki saya ni aja yang patah sikit.”
Jibam menjawab lembut sahaja. Kakinya yang bersimen di bawah selimut itu
dipicitnya lembut.
“Nasib baik kamu tak apa-apa. Saya bimbang memikirkan
keadaan kamu sebelum ini,” jawab Tan Sri Kamaruddin lembut.
“Dia ni sakit tapi macam tak sakit, Tan Sri. Tak guna pun
kita bimbangkan dia.” Acap tiba-tiba mencelah perbualan mereka. Tan Sri
Kamaruddin tergelak perlahan dengan Fazil. Katrina tersenyum memerhatikan
telatah malu-malu si Jibam.
“So mana ahli keluarga kamu? Kamu berdua aja di sini?”
Tan Sri Kamaruddin terus ramah dengan pekerjanya itu.
“Mak dengan ayah saya di kampung. Saya tak mahu susahkan
dia orang ke sini semata-mata untuk jaga saya. Saya baik-baik aja. Lagipun
kawan baik saya ni ada dengan saya. Saya bukannya sakit teruk pun,” ujar Jibam
perlahan.
“Tapi kau kena berehat, Jibam. Jangan buat kerja
berat-berat sangat. Aku dah dengar kata doktor sebelum ni. Kaki kau tu akan
ambil masa yang lama untuk kembali semula macam dulu. Eloklah kalau kau bercuti
sampai kau betul-betul pulih,” celah Fazil sebelum sempat Tan Sri Kamaruddin
menjawab.
“Saya tahu, bang. Tapi orang macam saya ni, kalau tak
kerja mana nak ada pendapatan. Kami bukannya orang senang,” ujar Jibam kembali.
Sekadar pekerja bawahan sepertinya dia tahu syarikat tidak akan menanggung
kebutuhan dirinya dalam tempoh selama setahun ini. Paling lama pun gajinya
hanya akan dibayar selama 3 bulan.
Tan Sri Kamaruddin berpandangan dengan Fazil buat
seketika. Lelaki tua itu mengangguk perlahan tanda mengerti apa yang sedang
difikirkan oleh anak muda itu.
“Soal itu kita akan fikirkan kemudian. Daripada Fazil
saya dapat tahu kamu ni pekerja lama. Saya takkan biarkan pekerja-pekerja saya
begitu sahaja tanpa pembelaan, Jibam. Jangan bimbang tentang itu. Lagipun
selain di tapak projek kita juga ada bahagian lain. Mungkin kita boleh
tempatkan Jibam di sana untuk sementara waktu.” Tan Sri Kamaruddin berkata
lembut. Cukup untuk membuat Jibam kelegaan mendengar jaminan itu.
“Buat sementara waktu ni kau berehat betul-betul, Jibam.
Jangan paksa diri kau buat kerja berat-berat. Nanti lagi lambat kaki kau tu
sembuh. Kau tu pekerja kesayangan aku. Aku nak kau balik bekerja dengan aku,”
ujar Fazil bersungguh.
Jibam sekadar mengangguk sahaja. Tatkala pandangannya
terkesankan renungan wanita itu kepadanya, dia tunduk seketika. Malu pula
rasanya apabila dia dipandang lama oleh seorang wanita secantik itu. Walaupun
sebahagian hatinya teruja namun dia harus sedar siapa dirinya di mata
orang-orang di hadapan mereka itu.
“Bila agaknya Jibam boleh keluar dari wad ni?” tanya
lelaki tua itu lagi.
“Tak tahu lagi,” jawab Jibam rendah dalam pada dia cuba
mengawal reaksi dirinya.
“Call Fazil nanti.
Segala kos rawatan syarikat akan tanggung. Kamu tak perlu susah-susah fikir
tentang itu,” ujar Tan Sri Kamaruddin lembut.
Jaminan demi jaminan itu cukup untuk membuatkan Jibam
tersenyum senang. Syukur kerana majikannya sudi mengambil berat akan dirinya
dalam keadaan dia begini. Ada hikmahnya juga kejadian itu. Nasibnya tetap
terbela.
“Siapa jaga you kat sini selain kawan you ni?” tanya
Katrina tiba-tiba. Kali ini barulah kedengaran suara Katrina bercakap dengan
Jibam.
“Takde siapa. Saya boleh jaga diri saya sendiri. Kaki
saya sebelah aja yang patah. Sebelah lagi okay.” Jibam menjawab perlahan. Tidak
terpandang dia renungan wanita itu. Dadanya terasa gemuruh semacam.
“Next time you kena lebih berhati-hati, Jibam. Malang
memang tak berbau. Tapi dalam kawasan tapak projek kita tak boleh terleka
biarpun sesaat. Dalam keadaan ni bukan you seorang saja yang susah. Kami semua
pun ikut terasa kesannya. Terutama sekali Fazil. You pekerja bawahan dia.”
“Betul tu. Kita kena sentiasa alert dengan keadaan
sekeliling kita. Bila kau takde dengan aku, aku rasa susah sikit. Selama ini
kau banyak tolong aku.” Fazil ikut menambah kepada lelaki itu.
Lembutnya cara dia bercakap.. seru hati Jibam dalam pada
dia terkebil-kebil sendiri. Kelu lidahnya mahu menjawab dek kerana terjahan
suara lunak manis wanita itu. Terasa dirinya seperti sedang terbang ke udara
mendengar namanya meniti di bibir Katrina. Terawang-awang penuh nyaman tatkala
memandang raut jelita wanita itu.
“Saya doakan kamu cepat sembuh, Jibam. Ada apa-apa
masalah, jangan segan-segan bagitahu.” Tan Sri Kamaruddin bersuara semula.
“Terima kasih sebab sudi datang jenguk saya, Tan Sri.”
Jibam menyambut lembut.
“Sama-sama. Ini dah tanggungjawab saya sebagai majikan
kamu. Saya setiasa menjaga kebajikan semua pekerja-pekerja saya.”
Jibam mengangguk akur. Huluran tangan dua lelaki itu
disambut erat. Namun Katrina sekadar memberikan Jibam secangkir senyuman sebelum
berlalu. Senyuman yang membuatkan lelaki itu terpana dan terus terpana. Biarpun
kelibat semua tetamu itu sudah pergi Jibam masih terbayang-bayangkan senyuman
yang dihadiahkan Katrina kepadanya.
Katrina oh Katrina.. cantik namanya, secantik orangnya.
Lembut suaranya, lembut juga tutur katanya. Renungannya memang membuatkan
lelaki terpesona. Saat ini Jibam terasa betapa indahnya dunia jika wanita
seperti itu dapat didampinginya.
“Jibam.. kau okay ke?” tanya Acap hairan melihat Jibam
tersengih-sengih seorang diri.
“Jangan kacau. Aku nak berehat! Aku tak sihat ni,” ucap
Jibam serius. Dia benar-benar tidak mahu angan-angannya diganggu saat ini.
Acap tidak terkata memandang sahabatnya itu. Pelik.. tadi
okay aja. Sekarang mengaku tak sihat pulak..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan