Tengahari itu Katrina keluar bertemu dengan Ryan. Jibam semenjak
pagi sudah menghilang dengan ayahnya. Dia sendiri tidak tahu ke mana dua lelaki
itu pergi. Pelik dia melihat Jibam kamcing semacam dengan daddynya. Macam ada
rahsia antara dua lelaki itu. Paling dia tidak percaya ayahnya gembira setelah
mendapat tahu dia akan berkahwin dengan Jibam. Malah ayahnya langsung tidak
bertanya mengapa dia meminta perkahwinan ini dijalankan secara tertutup.
“Daddy I dah tahu pasal hal I dan Jibam.”
“So apa kata dia?” tanya Ryan teruja.
“Dia setuju walaupun mula-mula dia terkejut. Mummy I
lagilah terkejut,” jawab Katrina sambil tersenyum sedikit.
“So you cakap apa pada daddy you?”
“I tak cakap apa-apa. Mummy I yang pujuk..”
“Pandai you..” Ryan ketawa perlahan. Memang dia tahu Puan
Sri Najihah rapat dengan Katrina. Senang sahaja memujuk wanita itu berbanding
ayah Katrina. Dahulu pun atas pujukan Puan Sri Najihahlah dia dan Katrina dapat
berkahwin.
“Ryan, kalau takde apa-apa masalah lagi I minta
pernikahan ni dijalankan cepat. Paling lambat awal bulan depan.”
“I setuju. Kalau parent you semua dah setuju takde sebab
kita nak tangguh lagi. I pun dah tak sabar, sayang.” Ryan terus menyambut tanpa
berfikir lama.
“Tapi I ada hal nak beritahu you, Ryan.”
“Apa dia?”
Katrina diam seketika sebelum membuka cerita. “Daddy I
tak tahu apa-apa pasal kita, Ryan. Kalau I cerita sekarang nanti dia akan
menentang. So I perlukan Jibam untuk 3 tahun,” ujar Katrina penuh hati-hati.
“What?” hampir tersedak Ryan mendengar ujaran Katrina.
“3 tahun, Kat?” ulang Ryan dengan mata terbuntang.
“Yup..” jawab Katrina selamba.
Terkedu Ryan mendengar itu. “Lamanya? I tak boleh tunggu
selama itu!” tegas Ryan masih dengan reaksi terkejutnya.
“I kena fikirkan perasaan orang tua I, Ryan. I tak mahu
dia orang dapat malu. Apa nak kisah? Kita masih boleh berhubung macam
biasakan?” kata Katrina terus selamba.
Ryan terdiam seketika. Masih memikir-mikir kewajaran
permintaan Katrina itu. Setahun dia boleh tahan lagi. 3 tahun? Alahai..
berjanggutlah dia menunggu sedangkan rindunya kepada jandanya ini sudah tidak
tertahan.
“Dan satu hal lagi ni mungkin you tak suka dengar tapi
you kena tahu.”
“Apa dia?”
“You kata sebelum ni dia tak perlu jadi suami I
sehinggalah dia ceraikan I. I faham apa maksud you. Tapi sebelum dia ceraikan I
nanti dia kena sentuh I dulu barulah kita boleh berkahwin semula, Ryan. You
know what.. bila you pilih lelaki macam tu memanglah I kena ambil masa untuk
relakan dia sentuh I. Sebab tu I minta tempoh 3 tahun,” ujar Katrina mudah
sahaja.
Ternganga mulut si Ryan mendengar itu.
“Sentuh maksud I.. make love to me.”
“You biar betul, Kat! Takkanlah you sanggup biarkan
lelaki macam tu sentuh you?”
“Terpaksalah.. Hal ini I pernah tanya pada ustaz. Bila
suami isteri bersama itu barulah dinamakan perkahwinan. Kalau tidak sia-sia
saja I kahwin dengan Jibam. Kita masih juga tak boleh berkahwin,” ucap Katrina
lebih jelas lagi. Pandai-pandai saja dia mencipta cerita. Ustaz manalah yang
ditanyanya itu? Mana ada dia bertanya apa-apa pada ustaz.
Ryan terdiam memikir sendiri. Hatinya sudah mula tawar
mendengar itu. Mana boleh lelaki lain sentuh perempuan yang dia sayang.
“So you macamana? Sanggup ke?” tanya Ryan setelah
memandang semula wajah jandanya itu.
“Nak buat macamana? Kalau dengan lelaki lain pun apa
bezanya. Sama jugak. I kena relakan diri I disentuh. Lainlah kalau you sanggup
tunggu I jumpa lelaki yang I cinta dan berkahwin. You tunggulah sampai I dah
bosan dengan perkahwinan tu barulah I mintak cerai. Tapi you kenalah terima
kalau anak I dah berderet waktu tu.” Katrina sengaja menjawab dengan jawapan
yang dia tahu akan membuatkan hati Ryan terbakar.
“Sayang, you jangan nak mengarut boleh tak? Sakit hati I
dengar you cakap macam ni!” getus Ryan tidak senang. Wanita itu dijelingnya
sedikit.
“Kalau you tak setuju sampai bila-bila pun keadaan takkan
berubah, Ryan. Sama saja situasinya kalau I dengan lelaki lain.”
Ryan menghela nafas berat. Dalam hati dia memang tidak
rela benar. Namun dia tahu dia sudah tidak ada jalan lain lagi selain daripada
redha. “Okay. Tapi make sure sekali aja dan you tak pregnant, sayang..”
Suka hati akulah nak bagi dia pegang aku berapa banyak
kali pun. Nak pregnant ke tidak apa kau nak sibuk? Perut aku yang punya! Aku
yang beranak, bukannya kau! Sibuk aja! getus hati Katrina dalam senyum palsunya
kepada dudanya itu. Seketika kemudian Katrina memandang jam di pergelangan
tangannya. 15 minit lagi menunjukkan ke angka 2 petang. Dia harus pulang ke
pejabat segera.
“I tak boleh lama. I kena balik office ni. I ada meeting
dengan enggineer pukul 2 ni,” ucap Katrina lantas mencapai beg tangannya.
“I hantar?”
“Tak payah. Abang Sidik yang hantar I tadi.”
“Jibam mana?”
“Daddy I ambik Jibam jadi driver dia hari ni. Entah ke
mana dia orang pergi I pun tak tahu.” Katrina menjawab sambil berdiri. Bajunya
sempat dibetulkan.
“Bye, sayang..” ucap Ryan dengan senyum meleret kepada
wanita itu.
“Bye..” tanpa memandang senyum menggoda itu Katrina terus
meninggalkan meja itu. Kepada pemandu ayahnya itu dia meminta dihantar balik ke
pejabat segera.
Setiba di pejabat Fazil sudah tiba di situ sedang
menantinya. Katrina terus menggamit lelaki itu masuk ke biliknya. Katrina terus
menutup semua tirai agar orang luar tidak dapat melihat ke dalam bilik itu.
“Apa khabar, Fazil?” Katrina bertanya saat duduk di
kerusinya. Secebis senyuman dihadiahkan kepada lelaki berusia 40 tahun itu.
“Saya baik, Cik Katrina..”
“Good! I takde banyak masa nak bercerita panjang-panjang.
Sekejap lagi ayah I akan balik. Macam ni, Fazil. I mintak you resign dari
syarikat mulai bulan depan. Bagi notis 3 bulan.”
“Ha??” terbuntang mata Fazil mendengar ujaran Katrina
yang cukup selamba itu.
“Kenapa? Saya ada buat salah ke sampai kena paksa
berhenti?”
“Tak! I nak tawarkan you satu kerja lain. Bukan dalam
syarikat ni tapi syarikat lain,” jawab Katrina lembut.
“Jawatan apa?”
Wanita berusia 29 tahun itu bersandar di kerusinya. “Jibam,
dia juga akan berhenti kerja. I akan beri dia kerja lain lepas ni.”
Fazil memandang tajam wajah wanita itu. Tenang sahaja
dilihatnya Katrina. Kalau Jibam berhenti apa kena mengena dengan dia? Kenapa
dia kena berhenti sekali pulak?
“You ikut dia lepas ni,” ujar Katrina biasa. Namun
serius.
“Maksud Cik Katrina apa?” tanya Fazil semakin tidak
faham.
Katrina menarik sebuah dokumen daripada laci mejanya.
Lalu diberikan kepada Fazil.
“Proposal untuk projek Lembah Bakun?” tanya Fazil setelah
membaca kulit hadapan dokumen berbinding itu.
Katrina terus mengangguk.
“Syarikat mana ni? J&K?” Dahi Fazil berkerut membaca
nama syarikat itu. Asing benar baginya nama itu.
“Syarikat baru. You akan kenal dengan pemiliknya nanti.
Tapi buat masa ini I nak you guide dia dan I tak mahu orang ramai tahu siapa
Jibam dengan I sehinggalah projek ni selesai. 3 tahun saja.” Katrina berkata
dengan penuh hati-hati.
Semakin tidak faham Fazil. “Kenapa pulak?”
“I tak mahu ada orang tahu ini kes salah laku. I beri
tender dalam projek Lembah Bakun tu pada syarikat ni macam tu aja. Proposal ni
I yang buat sebenarnya. Untuk J&K!”
Fazil sudah ternganga. “Apa kena mengena hal ni dengan
Jibam?”
Katrina menghela nafas perlahan. Dia tahu Fazil masih
belum boleh menangkap apa yang sedang cuba disampaikannya.
“Please.. I harap I boleh letakkan kepercayaan pada you,
Fazil. Tolong ajar dia tentang selok belok dunia business ni.” Lembut nada
Katrina menagih persetujuan daripada Fazil. Dia tahu Fazil memang rapat dengan
Jibam.
“Jadi Jibam tu..”
“Dia sebenarnya owner J&K.” Katrina terus mencelah
sebelum sempat habis Fazil berkata-kata.
Terbeliak mata Fazil mendengar jawapan Katrina. Payah dia
mahu menelan liurnya dek rasa tidak percayanya. Jibam sudah ada syarikat
sendiri? Macam mimpi pula dia.
“Betul ke ni?” tanya Fazil sekali lagi. Pipinya
ditampar-tamparnya membuatkan Katrina ketawa kecil melihat gelagat lelaki itu.
“Betul. Sepanjang J&K kendalikan projek Lembah Bakun
ni I nak you bertindak sebagai proksi bagi pihak Jibam. Takde sesiapa pun boleh
tahu Jibam adalah pemilik syarikat. Terutama sekali Infad Corporation.”
“Tapi kenapa?”
“Sebab I akan berkahwin dengan Jibam. Kalau orang tahu
dia pemilik J&K dan dia dapat projek tu dari I tanpa melalui perebutan
tender, habislah I dengan dia, Fazil. Infad Coporation sepatutnya yang dapat
kontrak ni tapi Ryan main-main. Daddy I marah. Dan I tak mahu daddy I anggap
Jibam kahwin dengan I sebab nak hidup senang. Sama macam Ryan. Semua ni usaha I
seorang, Fazil. Jibam tak pernah suruh I buat macam ni. I mesti buat macam ni
untuk masa depan kami,” jelas Katrina tenang sahaja. Alasan selebihnya biarlah
dia sahaja yang tahu mengapa semua ini dibuat dalam keadaan senyap-senyap. Dia
terpaksa buat begini untuk selamatkan Jibam daripada tuntutan Ryan kemudian
hari.
Terpaku Fazil memandang Katrina. Paling mengejutkan dia
apabila mendengar berita yang Jibam akan berkahwin dengan Katrina.
“Tapi memang bahaya buat macam ni, Cik Katrina. Kalau ada
orang syak tak mustahil akan ada laporan dibuat kepada SPRM,” ujar Fazil tidak
lama kemudian.
“Sebab tu I minta you yang jadi proksi untuk dia. Tiga
tahun aja, Fazil. Lepas tu keadaan akan kembali normal. Kerja dengan daddy I,
you pun tahu. Dia paling tak suka orang yang main-main. Projek kena berjalan
ikut masa. Selain dari itu dia tak mahu ambil tahu pun.”
Lama Fazil diam sambil memikir sendiri. Tawaran Katrina
menarik juga baginya. Namun memikirkan perbuatan Katrina itu yang agak berisiko
dia bimbang dia ikut terheret sekali.
“Macamana dengan Tan Sri? Apa saya nak jawab pada dia
kalau dia tahu saya yang ambil alih projek Lembah Bakun tu?”
“Fazil.. takde salahnya kalau you yang ambil alih projek
tu selagi you tak pegang apa-apa kepentingan dalam Temasek Holding. Daddy I
mesti anggap you nak maju selangkah ke hadapan dengan membuka syarikat sendiri.
You tahukan dia? Dia akan selalu bantu kontraktor kecil. Lainlah I ni,” ujar
Katrina lembut.
Fazil mengangguk-angguk perlahan mendengar itu. “Okaylah.
Saya setuju.”
Katrina tersandar penuh kelegaan. Sekali lagi urusannya
dilicinkan dengan mudah. Tinggal selangkah sahaja lagi. Dia dan Jibam akan
berkahwin. Gerbang itu dilihatnya sedang terbuka luas.
“Eh! Siapa tu?” Maria tertanya saat terpandangkan lelaki yang
berjalan di belakang Tan Sri Kamaruddin. Katrina ikut menoleh untuk melihat
lelaki itu sehinggalah dua lelaki itu terhenti dekat dengan dia dan Maria.
Jibam tersengih-sengih di hadapan perempuan itu. Mata
Katrina terbuntang memandang Jibam. Dah ada gigi!
“You Jibam ke?” tanya Katrina macam tidak percaya melihat
wajah Jibam.
“Ya, saya memang Jibam..” jawab Jibam selamba. Tan Sri
Kamaruddin tertawa perlahan melihat mata anak perempuannya masih melekat di
wajah Jibam.
Katrina tidak terkata melihat penampilan baru lelaki itu.
Rambutnya dipotong pendek seperti askar. Jambang yang selalu berserabut di
wajahnya sudah habis semuanya. Jibam nampak cukup kemas tanpa jambang
serabutnya dan rambut kembang setamannya itu. Malah pakaian lelaki itu juga
sudah berubah. Dia mengenakan baju tee berkolar yang disisip kemas ke dalam
seluar slack kelabu yang berpotongan slim. Nampak lebih bergaya dengan baju
yang melekap di tubuhnya membuatkan bentuk tubuh lelaki itu kelihatan jelas.
Bergetar jantung wanita itu entah kenapa.
“Ehemm..” Tan Sri Kamaruddin berdehem sedikit cuba
menyedarkan anak perempuannya itu.
Maria segera menekup mulut menahan senyum. Dia pun
terpaku juga melihat Jibam tanpa sedar. Hotnya! Geram rasanya dia nak menyentuh
bonggolan otot di dada dan lengan sasa Jibam. Machonya! Detik hati wanita itu.
Akhirnya tanpa meminta izin Maria berpaling untuk ke biliknya. Bimbang dia lupa
diri pula di situ dek kerana jakun melihat Jibam sudah jadi bergaya begitu.
Katrina menoleh segera kepada ayahnya. “Daddy, Kat dah
nak balik ni. Dah lewat petang.” Katrina buat-buat menilik jam di pergelangan
tangannya. Sudah jam 6 suku petang.
“Okay.. Jibam, hantar Kat balik terus ke rumah, okay?”
Tan Sri Kamaruddin berpaling.
“Baik, Tan Sri..”
“Apa dia?” langkah lelaki tua itu terhenti semula. Wajah
Jibam dicarinya semula.
“Err.. tak! Dad.. daddy..” tergagap-gagap Jibam mengubah
panggilannya. Segan dia melihat renungan Katrina kepadanya.
Semakin terlopong Katrina. Amboi! Belum akad nikah dah
panggil daddy? Aku tak suruh pun? Bisik hatinya semakin tidak keruan.
“Jom balik..” ajak Katrina setelah ayahnya masuk ke
pejabat. Dia tahu ayahnya juga akan pulang sekejap lagi.
“You pergi mana dengan daddy I lama-lama?” tanya Katrina
tidak puas hati. Semenjak jam 10 pagi tadi Jibam menghilang baru sekarang
nampak mukanya. Dengan segala perubahan ini dia jadi tertanya-tanya!
“Saya hantar dia jumpa orang. Kemudian dia ajak saya
pergi shopping tadi.” Jibam menjawab sambil memandang nombor untuk melihat di
mana kedudukan lif saat itu. Sebenarnya daripada pagi tadi dia berurusan dengan
doktor gigi. Kemudian barulah mereka keluar membeli belah. Dah macam perempuan
mereka berdua tadi. Jibam tergelak dalam hati.
“Tak cakap dengan I pun..” cebir Katrina dengan sedikit
jelingan untuk lelaki itu.
“Cakap apa?” Jibam menoleh kepada wanita itu.
“Pergi shoppinglah!”
“Saya pun tak tahu. Tiba-tiba aja daddy ajak pergi. Saya
ikut aja.” Lembut sahaja jawapan Jibam.
“I tak suka rahsia-rahsia.”
“Saya pun sama..” ujar Jibam sambil memandang lama wajah
itu. Dia tahu Katrina tahu apa yang sedang dimaksudkannya saat ini.
Katrina terdiam. Dia merasa tersindir tiba-tiba. Dia pun
ada berahsia dengan Jibam. Janjinya selepas mereka berkahwin nanti dia akan
berterus terang tentang itu. Tunggu sajalah.
“You kena teman I makan. I lapar sangat ni.”
Mereka masuk ke dalam lif serentak. “Tengahari tadi makan
apa?” tanya Jibam kasihan melihat wanita itu.
“Makan hati..” jawab Katrina teramat perlahan. Dia tidak
makan pun tengahari tadi. Dia hanya berjumpa dengan Ryan sebentar dan balik ke
pejabat.
Jibam menoleh. Dia sempat terdengar jawapan itu. Seketika
kemudian Katrina ikut menoleh. Masing-masing tersenyum tiba-tiba. Manis senyum
Jibam dilihat Katrina selepas gigi palsu dipasang. Sejuk matanya memandang.
Sebaik sahaja pintu lif terbuka mereka keluar serentak. Jibam
terus membuka pintu belakang buat Katrina. Namun wanita itu dengan muka selamba
membuka pintu di sebelah tempat pemandu. Jibam tergamam seketika melihat
Katrina sudah masuk ke sebelah tempat duduknya. Wanita itu sengaja menjeling
nakal kepadanya. Namun seketika kemudian dia ketawa kecil sambil menggeleng melihat
gelagat wanita itu.
“Nak makan kat mana?” tanya Jibam sambil menghidupkan
enjin kereta.
I rasa nak makan you sekarang ni. Geram! ucap wanita
dalam hati. “Emm.. mana-mana ajalah. Janji kenyang,” jawab Katrina selamba.
“Gerai biasa aja boleh ke?” tanya Jibam sambil menarik
tali pinggang keledar kepada dirinya.
“Boleh, Yang..” Katrina menjawab sedikit meleret tanpa memandang.
Dia juga sedang memasang tali pinggan keledar ke tubuhnya.
“Ha??” Jibam terus menoleh ke sebelah.
“Apa?” tanya Katrina buat-buat selamba macam tidak ada
apa-apa.
“Emm.. takde apa-apalah.” Jibam terus menggeleng. Agaknya
dia salah dengar tadi. Berdiri pula bulu romanya dengan gelagat wanita di
sebelahnya itu. Berdebar dadanya dalam pada dia tergaru-garu sendiri.
Katrina tersenyum memandang ke luar tingkap. Gelihatinya melihat
Jibam kelam kabut dengan godaannya. Itu baru panggil, yang. Kalau panggil
darling entahlah..
Terlihat sebuah restoran yang agak meriah dekorasinya,
Jibam akhirnya memilih untuk berhenti di situ. Katrina terus keluar tanpa
menunggu Jibam membukakan pintu untuknya. Mereka memilih sebuah meja di
pinggiran restoran itu. Sedap mata memandang kerana terdapat sebuah kolam ikan kap
yang berwarna warni tidak jauh dari situ.
“Nak makan apa?” tanya Jibam. Sudah lima minit mereka
memandang menu.
Kening wanita itu berkerut membaca menu di tangannya.
“Somtam ni apa?” tanya Katrina lantas memandang lelaki di
hadapannya itu.
Jibam tersenyum. “Kerabu betik..”
“Ha! I suka betik..” sambut Katrina sebelum habis Jibam
menerangkan kepadanya.
“Tapi pedas..” ujar Jibam semula.
“I tak kisah..”
Jibam terus melambai pelayan. Tanpa dia sedari segala
perbuatannya terus diperhatikan Katrina dalam diam. Tidak puas-puas matanya
memandang lelaki itu. Lenyap habis rupa si Ryan dari hatinya.
“I suka tengok you macam ni..” ujar Katrina setelah
mereka kembali berduaan sahaja di meja itu.
“Baju saya ni memang cantik,” ujar Jibam lantas menyengih
kepada wanita itu.
“You nampak lebih kemas macam ni.”
“Selama ni saya tak kemas ke?” Jibam tergelak kecil
memandang perempuan itu.
Katrina menjeling halus. Malas nak jawab. Tahu-tahu
sendirilah.
“Tapi takde rambut macam ni kepala saya rasa ringan,”
ujar Jibam lantas mengusap kepalanya. Rambutnya dipotong pendek sehingga nampak
kulit kepala. Senang! Lepas mandi tak payah sikat.
“I duduk sebelah you, boleh?” tanya Katrina. Tanpa menunggu
balasan Jibam dia terus bangun.
Jibam tidak terkata melihat keselambaan Katrina
melabuhkan duduk di kerusi kosong di sebelahnya. Mulalah jantungnya kembali
berdegup kencang. Tidak keruan melihat gelagat mesra selamba Katrina kepadanya.
“Daddy I bincang apa dengan you tadi?”
“Tak.. takde apa-apa,” jawab Jibam sedikit tergagap. Payah
benar dia menelan liurnya. Mahu memandang Katrina pun dia tidak berani. Takut pengsan
pulak dia nanti.
“Bohong!”
“Emm..” Jibam memikir seketika. Dia teringat perbualannya
dengan Tan Sri Kamaruddin sebentar tadi. Mereka lebih banyak bercakap tentang
hal perkahwinan dia dan Katrina yang bakal berlangsung nanti.
“Emm.. daddy kata kita dia nak kita nikah secepat
mungkin. Kalau boleh hujung bulan ni,” ujar Jibam.
“So you kata apa?” ujar Katrina lantas mengalihkan
tangannya ke belakang kerusi Jibam.
Jibam semakin tidak keruan melihat tubuh wanita itu mula
rapat kepadanya. Tegak sahaja dia di kerusinya. Wanita di sebelah hanya mampu
dijeling sekali sekala. “Saya kata okay..” jawab Jibam sambil menyapu dahinya. Berpeluh!
“I ni ganas. You tak kisah ke?” usik Katrina sambil
menahan senyum. Seronok tengok lelaki itu kalut semacam.
“Ganas? Ganas yang macamana?” tanya Jibam dengan tolehan
sesaat.
“Ganaslah. Alah! Takkan nak kena explain satu-satu baru
you faham apa yang I maksudkan ni?” usik Katrina lantas mengusik lengan baju
lelaki itu. Kemudian tangannya naik ke kolar baju lelaki itu.
Jibam tidak terjawab. Semakin lebat peluh di dahinya. Tiba-tiba
baju di tubuhnya dirasakan tidak selesa sedangkan tadi enak sahaja berada di
tubuhnya. Panas semacam dadanya ini.
"Kenapa
pandang sana? Tak suka tengok I ke?"
"Takdelah!"
tergeleng-geleng Jibam menahan rasa gentarnya.
“You takut dengan I ke?”
“Taklah!” laju Jibam menggeleng.
Katrina terus ketawa. “You ni pemalu ya, Jibam?” ucap
Katrina lantas mengalihkan semula tubuhnya sedikit jarak daripada lelaki itu. Usik
lebih-lebih nanti takut pitam pula Jibam di situ. Siapa pulak yang nak tolong
angkat nanti.
“Saya.. saya tak biasa macam ni.” Jujur jawapan yang
diberikan Jibam dalam pada dia tergagap. Melihat Katrina sudah berada sedikit
jauh daripadanya perasaan sesak tadi mula mereda sedikit. Kalau tidak mahu
bernafas pun dia tidak mampu.
Yes.. itu yang I nak, bisik hati Katrina sendiri.
“Susah nak jumpa lelaki macam you ni. Yang pantang tengok
perempuan memang ramai muncul depan mata I. Ryan salah satu daripadanya,” komen
Katrina selamba.
Jibam menoleh perlahan kepada wanita itu. Katrina mula
memandang ke arah kolam ikan itu. Kalau dah tahu macam tu.. masih ke mahukan
Ryan tu? Bisik hati Jibam sendiri. Mahu meluahkan di mulut dia tidak berani
pula. Bimbang Katrina tidak senang dengan ucapannya itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan