“Kat, dengarlah cakap I dulu!” langkah wanita itu terhenti
apabila lelaki itu nekad berdiri di hadapannya.
“What do you want,
Ryan?” tekan Katrina sambil menyelempang hujung selendang ke atas bahunya.
Meluat benar dia memandang wajah lelaki itu.
“I nak rujuk semula dengan you,” pujuk Ryan lantas
mencapai jemari jandanya itu.
“I rasa you ni pekak! Tadi hakim syarie tu dah beritahu
yang kita tak boleh rujuk semula selepas ini. Lain kali otak you tu pakai
elok-elok! Jangan pakai kepala lutut!” jerkah Katrina sedikit lantang. Dengan
kasar bahu lelaki itu dirempuhnya untuk ke kereta.
“Kat, I tak sengaja ceraikan you. I masih sayangkan you.
I janji akan jaga you baik-baik lepas ni, Kat. Just another chance, darling. Please forgive me..” Ryan kembali
mengekori wanita itu bersama rayuannya. Wanita itu dikejar sehinggalah Katrina
tiba di keretanya.
Katrina masih dengan wajah tidak beremosi mencapai
pembuka pintu kereta itu seolah-olah tidak mendengar. What everlah, Ryan.. bisik hati wanita itu bosan. Dia sudah muak
dan hatinya tidak lagi mampu memiliki rasa cinta kepada lelaki ini.
“Kat, listen to me..”
Ryan cuba mencapai lengan bekas isterinya itu.
“Now I have a few
words for you. Go to hell!” balas Katrina cukup kesat. Tangan lelaki itu
ditepisnya kuat.
“Katrina! Nanti dulu. Please,
listen first!” Ryan memanggil lagi. Namun dia terus hampa apabila wanita
itu lebih pantas menyelinap masuk ke bahagian belakang kereta mewah itu.
Sekejap sahaja kereta jenama Mercedec itu berundur keluar
dari petak parkir dan berlalu, membiarkan Ryan terkumpal-kumpal sendiri menahan
kecewa di perkarangan mahkamah syariah itu.
-Angan-angan
tanpa usaha, semuanya sia-sia-
“Abang Acap ni peramah betul. Dah ada girlfreind ke?”
tanpa segan silu si gadis bertanya kepada anak muda di sebalik stall burger
itu.
Spontan Acap tersengih. “Abang Acap dah ada yang punya.
Ni abang Jibam ni solo lagi,” ujar Acap kepada gadis yang menjadi pelanggan
gerai burger mereka itu.
Gadis itu memandang Jibam seketika. Perlahan memudar
senyumnya. Jibam? Tak mahulah! Tak hensem langsung. Selekeh pulak tu! Dahlah
pagar depan pun takde. Kalau bercakap air liur mesti mengences tu nanti! getus hati gadis itu sendiri.
Acap memandang teman sekampungnya itu. Jibam hanya
buat-buat tidak dengar sambil terus membalikkan daging burger di atas kuali.
Niatnya mahu melorongkan jalan agar Jibam memiliki teman istimewa sekali lagi
berkecai apabila gadis itu hanya buat tidak tahu kepada kenen-kenennya.
Fahamlah dia.. gadis itu tidak sudi!
Jibam hanya bungkam tidak memandang gadis itu. Namun
dalam diam hatinya berkata-kata sendiri. Eleh.. macamlah dia cantik sangat nak
pandang aku sebelah mata. Muka pun mengerutu dengan bekas jerawat. Dah macam
daging burger rupanya! Nak yang hensem aja. Aku pun tak sior ke kamu tu. Janganlah nak perasan, kutuknya dalam diam.
Usai menyerahkan burger yang dipesan oleh gadis itu dia
kembali memandang Jibam. Jibam sedang mengelap seluruh wajahnya yang berminyak
dengan tuala putih good morning. Sahabatnya itu didekatinya. Bahu Jibam ditepuk
lembut. Jibam hanya menoleh sekilas kepada Acap.
Melihat kemendungan di wajah sahabatnya itu tiba-tiba
Acap terasa bersalah pula kerana berkata begitu kepada gadis tadi di hadapan
Jibam. Bukan sekali dia Jibam dilayan begitu oleh wanita.
“Penat ke?” tanya Acap lantas mengambil kerusi plastik
untuk duduk di sisi Jibam.
“Macam biasalah..” jawab Jibam lantas menghela keluhan
perlahan.
“Malam ni tak ramai sangat costomer. Tapi tak ramai-ramai
pun lenguh jugak kaki aku ni berdiri depan generator tu. Panas pulak tu,” luah
Acap sekadar mahu mengisi suasana antara mereka berdua.
“Okaylah tu berdiri depan generator. Kalau kau kena
berdiri dalam generator tu macamana? Mahu lepas tu kau pulak hangus jadi daging
burger bakar. Aku sapu majerin, tepek dengan roti lepas tu aku jual kat
awek-awek yang selalu usha kau tu,”
jawab Jibam selamba.
Meledak tawa Acap mendengar jenaka Jibam. “Sampai hati kau
nak jual aku, Jibam. Menangis mak aku kat kampung tu nanti.”
“Entah iya menangis mak kau tu. Entah-entah lagi dia
suka. Hilang pening dia melayan kerenah anak manja kau tu,” cemik Jibam
selamba.
Acap terus tergelak mendengar kata-kata Jibam. Bahu temannya
itu ditepuk lembut sambil menggeleng. Jibam terus bangun apabila ternampak
kelibat sebuah kereta berhenti di hadapan gerainya itu. Seorang lelaki keluar
daripada kereta itu.
“Maaf saya nak tumpang tanya..”
“Ya, encik..” sambut Jibam lembut.
“Ini ke gerai pizza Dayang Senandung tu?” tanya lelaki
itu sambil memandang dua lelaki yang berdiri di sebalik gerai burger itu.
“Betul..” sambut Acap sambil berpandangan dengan Jibam.
Lelaki itu terus tersenyum. “Akhirnya..” lelaki itu
menjawab penuh kelegaan. Wajahnya mula bertukar ceria.
“Dari tadi saya berpusing-pusing mencari. Baru sekarang
jumpa. Nama saya Akhbar.”
“Saya Jibam. Ini Acap..” Jibam sekadar memuncungkan
mulutnya kepada Acap di sebelah.
“Nak beli pizza kami ke, bang?” tanya Acap lembut. hairan
dia melihat lelaki yang berpakaian macam YB itu bertanyakan gerai pizza mereka.
“Cadangnya memang begitu. Sebetulnya bukan nak beli tapi
tempah.”
“Tempah?” Acap dan Jibam menyambut hampir serentak.
“Iya.. saya dapat tahu tentang gerai ni daripada seseorang
di pejabat. Hujung minggu depan syarikat kami nak adakan family day untuk semua
staff. Jadi saya ingat nak tempah pizza dari gerai ni. Dengarnya ramai yang
puji pizza buatan encik berdua ni sedap dan harga pun lebih berpatutan,” ujar
lelaki itu kepada Jibam yang terpacak memandang dia.
“Berapa banyak nak tempah tu?” tanya Jibam tidak terus
teruja.
“Seratus lima puluh keping. Lain-lain perasa. Boleh buat
ke agak-agak?” tanya lelaki itu bersungguh.
Jibam dan Acap sekali lagi berpandangan. Namun sudah
tertera riak kegembiraan mendengar jumlah yang disebut oleh lelaki itu.
Nampaknya malam ini masih ada rezeki yang Allah turunkan buat mereka walaupun
waktu sudah menjelang ke tengah malam.
“Boleh, encik. Mari kita duduk. Boleh kita sembang-sembang
lebih panjang lagi. Kalau order banyak macam ni, harga kami boleh kurangkan
sikit.” Jibam berpaling ke belakang. Dua buah kerusi diambilnya untuk tetamu
itu dan dirinya.
“Alhamdulillah..” lelaki itu menyambut senang kata-kata
Jibam. Kerusi yang dihulur oleh lelaki hitam manis itu disambutnya. Dia duduk
berhadapan dengan Jibam.
“Pasal harga tu saya tak kisah. Saya bukannya bayar
dengan duit sendiri. Saya claim pada syarikat. Saya pun tak mahu berkira sangat
kalau dengan cara ini saya boleh bantu peniaga-peniaga macam kamu berdua ni
berjaya. Yang penting kualiti mesti setara dengan harga yang dibayar,” ujar
Akhbar.
“Itu dah semestinya. Kami boleh beri encik rasa dulu
jenis-jenis pizza kami. Kemudian baru kita putuskan yang mana encik nak pilih
untuk dihidangkan pada hari keluarga tu nanti,” balas Acap yang berdiri di sisi
Jibam. Jibam terus mengangguk setuju.
“Boleh juga..”
20 minit kemudian dua lelaki itu duduk menghadap
pelanggan mereka menikmati pizza resepi mereka itu. Terangguk-angguk Akhbar
mula mengakui kesedapan pizza itu.
“Memang sedap! Terbaik!” hanya itu yang mampu diucapkan
Akhbar.
Acap dan Jibam
terus ternganga memandang lelaki itu. Tapi si Jibam itu memang hodoh bila
ternganga begitu. Sebab pagar depan takde!
“Berapa menu pizza yang biasa dibeli orang.”
“Empat. Yang abang tengah makan tulah.”
“Patutlah laku. Memang sedap rasanya. Rotinya tak terlalu
tebal dan isinya pun dimasak elok dengan cheese ni. Kalau saya makan sambil
pejam mata tadi, saya mungkin dah terlupa sekarang ni saya bukannya berada
dalam Pizza Hut,” komen Akhbar puas hati dengan apa yang dinikmatinya itu.
Jibam ketawa kecil mendengar ucapan lelaki itu. Lega
hatinya melihat lelaki itu berpuas hati dengan hasil tangannya.
“Dah berapa lama awak berniaga macam ni?” tanya Akhbar
sambil menyambung menjamu selera.
“Hampir 7 tahun. Dulu kami berniaga burger aja. Kumpul
duit sikit-sikit beli lori baru berniaga pizza pulak.”
“Tak terfikir nak bukak kedai? Kalau dibuat promosi saya
rasa perniagaan kamu berdua ni boleh maju,” ujar Akhbar bersungguh.
Jibam memandang Acap yang masih ralik memerhatikan Akhbar
makan. Sampai menelan liur si Acap melihat Akhbar makan.
“Besar modalnya tu, encik..” sambut Jibam kemudian.
“Itu memang halangan pertama bagi semua peniaga. Tapi ada
jalan keluar,” ujar Akhbar biasa.
“Maksudnya?”
Akhbar mula mengelap tangannya dengan tisu. Kemudian dia
mengambil dompet di belakang seluarnya. Sekeping kad diambilnya lalu diberikan
kepada lelaki berbadan besar di hadapannya itu.
“Saya bekerja dengan institusi kewangan. Kalau berminat, kita
boleh jumpa lain kali dan berbincang macamana caranya nak mengembangkan
perniagaan ni. Nak mengembangkan perniagaan ni bukan senang. Kena buat
perancangan yang teliti barulah semuanya menjadi,” jelas Akhbar terus memandang
Jibam yang sedang membaca kad namanya.
Jibam mengangguk setuju dengan kata-kata lelaki itu.
“Pasal itu bila kamu berdua dah ada perancangan baru kita
cerita dengan lebih mendalam lagi. Sekarang ni saya nak tempah pizza ni semua
untuk minggu depan. Macamana?” sambung Akhbar lagi.
“Boleh, Encik Akhbar. Takde masalah. Empat jenis yang
dalam menu tadi tukan?”
“Betul. Kalau begitu saya akan bayar depositnya dulu
malam ni. Bakinya waktu saya datang ambil nanti, saya akan jelaskan. Boleh?”
“Boleh sangat.”
Sepeninggalan lelaki itu Jibam memandang Acap di
sebelahnya. Sahabatnya itu tersenyum senang memandang wang pendahuluan di
tangan Jibam.
“Macam mimpi pulak rasanya.” Jibam sempat menampar-nampar
pipinya.
“Rezeki kita ni, Jibam. Mana tahu masin mulut Encik
Akhbar tu kita dapat bukak restoran pizza kita sendiri.”
“Menangis Pizza Hut kita buat nanti,” sambut Jibam lantas
tergelak lantang dengan Acap.
“Bolehlah kita mula design pagar baru nanti,” ujar Acap
usai gelaknya.
“Pagar baru?” tanya Jibam tidak faham.
Acap tidak menjawab. Namun dia sudah tergelak sakan. Baru
sahaja Jibam mahu mengangkat tangan menamparnya, dia terus melarikan diri.
“Kurang ajar kau, Acap! Kau perli aku ya? Pagar ni semua
jangan sebut! Sensitif!” marah Jibam geram.
Sepanjang dia berjalan dari lobi hotel itu sehinggalah dia tiba di
dalam coffee house itu berpasang-pasang mata memandang dia. Katrina hanya buat
muka selamba. Di pintu masuk kedai kopi mewah itu dia dibawa kepada seseorang.
“Daddy..” sapa Katrina sebaik sahaja berada di sisi Tan
Sri Kamaruddin.
“Kat..” balas lelaki tua itu biasa.
“Sorry, Kat lambat sikit,” ujar Katrina lantas duduk
tidak jauh daripada ayahnya itu.
Lelaki tua itu tersenyum sahaja memandang anak sulungnya
itu. Seperti biasa dilihatnya wajah Katrina serius sahaja tanpa senyum. Rambut
yang disanggul rapi di belakang, berkemeja putih lengan panjang dipadankan
dengan seluar slack hitam, Katrina nampak cukup bergaya sebagai wanita yang
menceburi bidang koporat. Walaupun sebenarnya anaknya itu baru bertatih-tatih
namun dia ada potensi untuk berjaya kerana Katrina seorang cukup komited dengan
tanggungjawab yang dipikulnya.
“Ada apa-apa berita?” tanya Tan Sri Kamaruddin sambil
mengalihkan pandangan ke arah bar di hujung sana. Tangannya diangkat memanggil
pelayan.
“Nothing yet!”
balas Katrina sudah tahu apa yang sedang dimaksudkan oleh ayahnya itu.
Tan Sri Kamaruddin mengangguk perlahan. “Bagus!” jawab
lelaki itu sepatah.
“Bagus?” Kening wanita muda itu berkerut memandang reaksi
ayahnya itu.
Tan Sri Kamaruddin tidak terus menjawab kepada pertanyaan
anaknya. Perhatiannya lebih kepada pelayan yang hadir ke meja mereka. “Order?”
tanya lelaki itu kepada Katrina.
“Brew coffee. Sugar saparate.” Katrina memandang pelayan
lelaki itu seketika sahaja. Dia kembali memberi perhatian kepada daddynya itu.
Pelayan itu segera berlalu setelah selesai mengambil
pesanan dari dua manusia itu.
“Daddy terserempak dengan Ryan waktu nak masuk ke sini
tadi. Dia dengan seorang perempuan,” ucap Tan Sri Kamaruddin biasa.
“Serius?” tanya Katrina dengan mata sedikit membesar.
“Kenapa terkejut, Kat? He’s never change! What do you expecting from him? Berubah jadi
lelaki yang setia sedangkan dia dengan Kat dah takde apa-apa hubungan? Kalau
waktu Kat masih isteri dia pun dia boleh curang. Inikan pula kalau dah sah
bercerai?” ujar Tan Sri Kamaruddin cukup serius.
“You’re right,”
jawab Katrina rendah sahaja. Kecewakah dia? Tidak! Hatinya sudah tiada nama
Ryan lagi. Semua itu bukan kudis langsung baginya dan dia bukan seorang
perempuan yang mahu meratap bertangis untuk cinta yang semurah itu.
“Kalau mereka terus senyap, kita pun senyap. Jangan tanya
apa-apa pada mereka. Kali ni biar Infad Coporation yang cari kita pulak. Tapi
jangan menyesal kalau waktunya dah tak sesuai nanti,” jelas Tan Sri Kamaruddin
biasa.
“Meaning?”
semakin tebal kerutan di kening Katrina mendengar ucapan ayahnya itu. Ironinya
dia lihat hanya ada keselambaan di wajah lelaki itu. Macam tiada apa yang perlu
dirisaukan sedangkan mereka sedang bercakap tentang perjanjian yang melibatkan
jutaan ringgit.
“Ryan tu memang tak pernah ikhlas dengan Kat selama ni.
Daddy nampak dia hanya nak main-mainkan kita bila dia tak hubungi kita tentang
projek di Lembah Bakun tu. orang yang mentaliti dia bijak dalam bussines, dia
takkan biarkan masalah peribadi bercampur aduk dengan bussines. Dan orang yang
ada inisiatif nak maju, dia takkan biarkan masa terus terbazir begitu sahaja
sehingga kontrak terlepas kepada orang lain. Dia boleh teruskan begitu, kita
takkan rugi apa-apa,” ujar Tan Sri Kamaruddin setelah dia mengalihkan pandangan
ke wajah Katrina.
“Tapi kalau projek tu ditunda, Kat takut kita akan ada
masalah nanti, daddy.” Katrina mula memberikan pandangannya pula.
“Daddy dah fikir tentang itu, Kat. Projek tu takkan
ditunda. Daddy tahu apa daddy buat.” Tan Sri Kamaruddin terus membalas tenang.
Katrina diam memandang si ayah. Perlahan dia mengangguk
sahaja dengan keputusan ayahnya itu.
“Daddy takkan bagi muka lagi pada dia. Dulu dia
merayu-rayu mahukan projek. Untuk buktikan keupayaan dia konon! Tapi akhirnya
lain yang dia buat! Projek tak semana perginya. Publisiti murahan aja yang
lebih. Malu daddy pada semua orang bila muka dia terpampang dalam news paper.
Front page pulak tu! Tak guna punya budak!” Tan Sri Kamaruddin membebel sambil
menggeleng sendiri.
Kesal benar dia dengan sikap kaki perempuan Ryan tidak
pernah menyurut. Lebih kesal apabila anak perempuannya diceraikan Ryan hampir 6
bulan yang lalu. Dengan talak 3 pulak tu! Itu sesuatu yang dia tidak mampu
maafkan begitu sahaja. Lupa agaknya Ryan, syarikat keluarga Ryan banyak
bergantung kepada syarikatnya untuk terus hidup seperti sekarang.
Katrina tunduk sahaja tidak menjawab apa-apa. Sedikit
sebanyak dia terasa di hati. Dulu ayahnya tidak berkenankan Ryan untuk
dijadikan menantu. Salah satu sebabnya, Ryan lebih muda 4 tahun berbanding dia.
Tetapi sebab dah cinta, dia berdegil. Akhirnya beginilah jadinya dia. Musnah
habis perkahwinannya biarpun belum setahun dia merasa menjadi seorang isteri.
Dia juga malu kepada semua orang dengan perbuatan Ryan.
“Daddy tak mahu Kat terus dekat dengan dia lagi. Daddy
tak boleh terima Ryan dalam keluarga kita lagi. Ramai lagi lelaki lain yang Kat
boleh pilih untuk dijadikan teman hidup. Biarlah buruk, biarlah miskin asalkan
lelaki tu ikhlas sayangkan Kat! Bukannya depan pijak semut tak mati. Tapi
belakang? Dialah raja betina!”
“Kat dah takde apa-apa dengan dia lagi, daddy. Kat dah
lupakan semuanya tentang kami dulu. Kat memang serik dengan dia. Serik
sangat-sangat,” jawab Katrina jujur.
“Baguslah kalau macam tu. Daddy tak mahu ada orang tak
guna dalam family kita. Kat boleh dapat lelaki yang jauh lebih baik daripada
dia.”
Katrina menghela nafas perlahan. “Kat sebenarnya malas
nak fikir pasal dia ni. nak tak muka dia pun Kat tak selera. Tapi disebabkan
hal Infad Coporation, Kat terpaksa sabarkan diri untuk cari dia semula. Tapi
Ryan macam tak berminat sangat nak bercakap pasal projek tu. Dia lebih suka
bercakap pasal lain,” ujar Katrina rendah sahaja.
“Dia ada cari Kat ke?”
“Pasal nak rujuk semula, yes! Tapi pasal masalah projek
di Lembah Bakun tu, no! Dia masih tak jawab email Kat.” Katrina menjawab
pantas.
“Gila!” desis Tan Sri Kamaruddin sambil ketawa sendiri.
“Dah cerai talak 3! Hakim pun dah sahkan yang talak dah
jatuh, dia nak rujuk apa lagi?” tempelak Tan Sri Kamaruddin mula panas hati
mendengar itu.
“Kat tak tahu, daddy.” Katrina tunduk seketika tidak tahu
mahu menjawab apa kepada ayahnya. Sebetulnya dia sendiri pun tak faham apa
mahunya bekas suaminya itu.
“Memualkan!” desis Tan Sri Kamaruddin geram.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan