Selasa, 18 Februari 2014

7-JIBAM KAHWIN JANDA VOUGE!

Jibam terus membukakan pintu belakang kereta BMW itu sebaik sahaja ternampak Katrina keluar daripada kawasan Kondominium Astana Putra itu.
“Morning..” ucap Katrina dengan sedikit senyuman buat lelaki itu.
“Morning,” jawab Jibam dengan hati berbunga ceria. Senyuman manis Katrina setiap pagi itu membuatkan dia berkobar-kobar memulakan kerjanya saban hari. Seronok dapat bos cantik.
Sebaik sahaja wanita itu masuk Jibam terus menutup pintu kereta itu. Kemudian dia masuk ke tempat pemandu. BMW 7 siri itu digerakkan meninggalkan kawasan kondominium itu.
Katrina sekadar membisu di belakang. Sesekali dia memandang keluar. Rentak pemanduan yang tenang membuatkan dia selesa menyelak dokumen di tempatnya. Semenjak ayahnya mengarahkan Jibam menjadi pemandunya, waktu kerjanya dirasakan lebih teratur.
Sejam kemudian mereka tiba di hadapan lobi bangunan Temasek Holding. Jibam segera keluar untuk membuka pintu buat wanita itu.
“Hari ni I tak perlu keluar ke site, Jibam. I kat office aja. So lepas you parking kereta ni you stay kat atas.” Katrina memandang sekilas lelaki itu sambil dia keluar dari kereta itu.
“Okay.. sekejap lagi saya naik.” Jibam menjawab akur.
“Emm.. sebelum tu pergi breakfast dulu baru naik.” Teringat akan hal itu Katrina mengubah pula arahannya. Kemudian dia terus berlalu tanpa menanti jawapan Jibam.
Langkah Katrina sempat ditilik Jibam. Cantiknya dia hari ni.. keluh hatinya sendiri. Sudah dua minggu dia berkerja sebagai pemandu peribadi wanita itu. Seronok juga rupanya kerja macam ini. Kerjanya tidak susah. Sekadar memandu wanita itu pergi dan balik kerja. Juga menghantar Katrina ke mana-mana tapak projek yang perlu dikunjungi Katrina atau berjumpa dengan klien-klien syarikat. Kalau Katrina tiada apa-apa hal dia akan duduk di pejabat. Membantu apa yang patut untuk mengisi masa terluangnya. Kadang-kadang dia membantu cleaner membersihkan bilik Katrina. Atau membancuh minuman jika diminta. Kebetulan pula di pejabat itu memang tiada sesiapa yang menjawat jawatan tea lady. Jadi dia sekadar meringankan tugas Maria, setiausaha Tan Sri Kamaruddin untuk kerja yang remeh seperti itu. Kalau sudah tidak ada kerja lagi yang boleh dibuatnya, dia akan duduk tercongok sahaja menanti Katrina habis kerja dan menghantar wanita itu pulang. Selepas itu dia pula yang akan pulang jika tidak diminta overtime. Tetapi jarang Katrina mahu menyusahkan dia pada waktu malam. Wanita itu tahu dia berniaga selepas jam 8 malam. Kecuali jika urusan wanita itu melarat daripada siang hinggalah ke malam. Dia terpaksa juga menunggu Katrina habis urusannya.
Setelah wanita jelita itu menghilang daripada pandangannya Jibam terus memakirkan kereta di tempat yang sama seperti semalam-semalam. Kemudian dia ke restoran untuk bersarapan pagi.
Sewaktu dia menjejakkan kaki ke tingkat 11 ruangan pejabat CEO itu hening sahaja menandakan semua kakitangan sedang ralik dengan tugas masing-masing. Sekali pandang macam dalam perpustakaan rasanya. Suasana itulah yang sering dilihatnya semenjak dia mula berkerja di situ.
Jibam pergi ke pejabat Katrina. Wanita itu diintainya seketika melalui cermin kaca bilik itu. Katrina sedang duduk membuat kerja di kerusinya. Sewaktu dia menoleh Mak cik Munah sedang berjalan meninggalkan bilik Tan Sri Kamaruddin dengan segala pekakas kerjanya. Jibam terus menghampiri wanita itu.
“Mak cik nak buat apa lagi ni? Biar saya tolong.”
“Tak payah. Dah siap semua. Bilik Cik Katrina pun mak cik dah kemas.”
Jibam memandang sekelilingnya. Beberapa kakitangan wanita sedang memandang kepadanya. Namun dia tidak menghiraukan pandangan mereka.
“Saya nak buat apa ni, mak cik? Saya takde kerja ni,” ucap Jibam perlahan sahaja. Memang dia sudah diberitahu Tan Sri Kamaruddin tidak suka ruang pejabat itu bising macam pasar ikan. Semua orang bercakap dalam nada perlahan.
“Kamu tu driver. Duduk ajalah tunggu Cik Puan kamu tu balik kerja. Kamu nak tolong buatkan air pun, Tan Sri bukannya ada. Dia tak masuk hari ni. Cik Maria pun lepak aja tu ha,” jawab Mak cik Munah sambil menjuihkan bibirnya kepada setiausaha Tan Sri Kamaruddin.
Jibam ikut memandang ke arah bilik Maria. Wanita itu sedang membelek dokumen di atas meja. Seketika kemudian wajah mak cik Munah kembali dipandangnya.
“Kamu rehat ajalah. Orang dah bagi relax, kamu relax aja.” Mak cik Munah berkata lagi. Sejuk hati mak cik Munah melihat keperibadian lelaki ini. Baik dan rajin. Tak suka duduk sahaja. Suka bantu orang sana sini. Bertuah emak si Jibam ada anak yang baik seperti ini.
Jawapan Mak cik Munah membuatkan Jibam menggaru sedikit rambut kembangnya. Duduk sahaja? Mahu mengantuk dia nanti.
“Yalah..” jawab Jibam akur akhirnya.
Sebaik sahaja Mak cik Munah meninggalkan dia di situ salah seorang kakitangan yang memandangnya tadi mula melambai. Memanggil dia agar mendekat. Jibam terus mendekati gadis itu. Gadis itu bernama Rohayu itu memang rajin menegurnya semenjak dia mula masuk ke situ.
“Abang Jibam buzy ke?” tanya Rohayu sebaik sahaja Jibam berada di sisi mejanya. Dua tiga orang di situ mula tersenyum-senyum melihat Rohayu bertonyeh dengan Jibam.
“Tak..” jawab Jibam sambil menyengih.
“Boleh tolong Ayu tak?” tanya Rohayu cukup lembut.
“Tolong apa?” kembang hati Jibam sekembang rambutnya melihat kemesraan Rohayu. Hanya Rohayu yang sudi berbaik-baik dengannya. Selalu meminta tolong daripadanya. Orang lain agak sombong biarpun sekadar tersenyum kepadanya.
“Ayu nak kena hantar semua dokumen ni ke tingkat 8. Abang Jibam boleh tolong hantarkan? Beratlah Ayu nak angkat seorang,” ucap Rohayu siap dengan lentok mengada-ada.
Jibam memandang seketika dokumen yang ditunjukkan Rohayu. Agak banyak juga. Tidak sampai hati pula dia mahu membiarkan gadis itu mengangkat semuanya ke bawah.
“Boleh..” jawab Jibam dengan senang hati.
“Terima kasih, bang. Baik betullah Abang Jibam ni. Suka Ayu dengan Abang Jibam ni.” Suara Rohayu menderu lembut tanda benar-benar gembira melihat Jibam sudi mengambil alih kerjanya.
Jibam tersengih lagi dipuji Rohayu. “Nak hantar ke mana ni?” tanya Jibam sambil memandang semua dokumen itu sekali lagi.
“Arkib. Abang turun bawah. Tanya kat orang situ. Nanti dia orang akan bagitahu kat mana bilik tu,” ujar Rohayu lembut sekali.
“Okay..”
Tiga kali Jibam berulang alik antara tingkat 8 dan 11 kerja yang diminta Rohayu akhirnya selesai. Namun baru dia mahu melabuhkan duduk di pantry dia diminta oleh Maria berjumpa Katrina.
“You buat apa tadi?” tanya Katrina setelah Jibam masuk ke bilik itu.
“Tadi? Err.. saya tolong Rohayu hantarkan fail ke bawah.”
“Dia ikut turun bawah sekali ke? Atau you seorang saja yang ke sana?” tanya Katrina serius nadanya.
“Saya seorang aja,” jawab Jibam rendah sahaja. Tenungan tajam wanita itu tidak mampu dibalasnya. Macam dia ada buat salah pula.
“Lain kali arahan yang bukan datang daripada I atau Tan Sri Kamaruddin, you jangan buat! Angkat fail tu bukan kerja you, Jibam. I kata stay kat sini, maknanya you stay kat tingkat 11. Bukannya pergi hantar dokumen ke bawah atau mana-mana floor lain. Itu kerja orang lain! Melainkan orang tu dah dapat kebenaran I untuk gunakan khidmat you. Faham?” Katrina bersuara masih dengan nada serius.
Jibam menelan liur agak payah. “Saya kesian dengan dia. Fail tu berat,” ucap Jibam perlahan sahaja.
“Setahu I ada staff yang ditugaskan datang ambil segala dokumen tu. Dan staff tu lelaki! Rohayu tak tahu ke pasal tu?” ucap Katrina tajam. Dia tahu kebaikan hati lelaki ini. Apatah lagi kerajinannya. Namun tidak semua orang di atas dunia ini mahu menghargainya. Ada yang suka mengambil kesempatan untuk kesenangan diri sendiri. Itu yang dia tidak suka. Sementelah Jibam ditugaskan untuk menjadi pembantunya. Bukan untuk menyenangkan orang lain.
Jibam terdiam tidak tahu apa yang harus dijawabnya. Niatnya cuma mahu menolong. Dia tidak tahu menahu tentang kakitangan mana yang ditugaskan menyelesaikan kerja itu.
“You kena pandai bawa diri kat sini, Jibam. Jangan biarkan orang pijak kepala. Bukan semua orang hatinya baik macam you. Ada jenis orang suka memperlekehkan orang lain,” ujar Katrina mula melembutkan nadanya.
“Saya faham..” Semakin merendah nada Jibam.
“You takde kerja nak buat?” tanya Katrina terus memandang wajah lelaki itu.
Jibam terus menggeleng.
“Pergi minta kain daripada Mak cik Munah. I nak you lap segala barang dalam bilik I ni sampai berkilat. Mulakan daripada kabinet kat hujung tu.” Nak sangat kerja, jadi dia akan bagi kerja kepada Jibam.
“Okay..” Jibam menjawab akur.
Katrina memandang seketika lelaki itu tatkala Jibam keluar dari biliknya. Namun seketika kemudian dia menggeleng sendiri. Lurus benar lelaki itu. Sengaja membiarkan orang mengambil kesempatan ke atas dirinya.
Lima minit kemudian Jibam kembali semula ke bilik itu dengan sehelai kain dan sebotol bahan pencuci di dalam botol spray. Arahan Katrina dituruti sebaik-baiknya. Dari satu bahagia ke satu bahagian dibersihkannya. Sehinggalah tiba di meja Katrina. Satu persatu perhiasan di atas meja itu dilapkan dengan kain itu untuk menghilangkan kesan habuk.
Comelnya benda alah ni.. bisik hati Jibam saat memandang sebuah pasu kecil yang baru diambil dari atas meja wanita itu. Lama pasu itu dibeleknya. Katrina yang sedang khusyuk dengan kerjanya tidak mempedulikan Jibam yang berdiri di hujung bucu mejanya.
Jibam mula menggosok pasu tanah liat itu. Namun di bahagian bawah pasu itu tidak bersih juga dari kesan melekit seperti gam walaupun telah digosok berkali-kali. Jibam mencuba lagi dengan penuh kesungguhan. Sehingga akhirnya pasu di dalam genggamannya itu berkecai tiba-tiba akibat digenggam terlalu kuat.
Jibam terkedu dan Katrina tersentak mendengar bunyi aneh itu. Dia terus memandang Jibam. Lelaki itu turut memandangnya. Tapi dengan dengan mata terbuntang. Panik bercampur takut!
“Emm.. pasu kecik kat atas meja ni macam dah pecah aja,” ucap Jibam saat Katrina merenung serpihan pasu itu di atas mejanya.
Katrina memandang Jibam. “Bukan macam tapi memang dah pecah. I kata tadi lap sampai berkilat ke atau lap sampai pecah?” Wanita itu bersuara dengan muka tanpa perasaan. Dia bersandar di kerusinya sambil merenung tepat si Jibam yang sedang kalut.
Jibam menggaru kepalanya. “Saya tak sengaja, Cik Katrina. Nanti saya beli pasu lain. Emm.. kat rumah saya pun ada pasu tapi kawan saya Acap letak pokok orkid. Err.. boleh ke ganti dengan yang itu?” tergagap-gagap Jibam bertanya.
“Pasu tu I beli kat China,” ujar Katrina dengan wajah serius.
“China? China yang kat.. err.. yang jauh tu ke? Kena naik kapal terbangkan?” semakin kalut Jibam mendengar ujaran Katrina. Beli kat China. Mati dia!
Katrina terus menahan rasa mahu ketawa. Gelihati dia melihat muka kalut Jibam.
“Sebenarnya China Town. Bukan kat China tu tapi kat Petaling Street.” Katrina terus selamba sambil tersenyum sendiri.
“Petaling Street?”
“It’s okay. Bersihkan aja sisa pasu tu. Tak perlu ganti. Pasu tu murah aja I beli,” ucap Katrina lembut.
“Maaf.. saya tak sengaja.” Jibam terus mengaut sisa tanah liat pasu itu. Bakul sampah diambilnya.
“I tak faham..” seketika kemudian Katrina bersuara lagi.
“Tak faham apa?” kerja Jibam terhenti seketika.
Wajah lelaki itu kembali dipandang Katrina. Keningnya berkerut seperti sedang memikirkan sesuatu. Ada sesuatu yang bermain di benaknya. Dia teringat kemeja yang pernah dikoyakkan Jibam sebelum ini. Kemudian pasu yang pecah itu. Laporan dari doktor juga agak memelikkan. Juga cerita Fazil tentang Jibam yang pernah didengarinya sebelum ini. Saat terpandangkan sebiji lagi pasu yang lebih kurang sama saiznya dia segera mencapainya.
“I nak tengok you pegang pasu tu macam yang you buat tadi,” ujar Katrina lantas memberikan pasu itu kepada Jibam.
“Kenapa pulak?” tanya Jibam tidak faham apa tujuannya Katrina meminta dia berbuat begitu. Namun huluran wanita itu diambilnya juga.
“Buat aja apa yang I suruh,” ucap Katrina serius.
Jibam menggenggam pasu itu. Tidak sampai 10 saat pasu itu mengikut jejak yang sama seperti pasu tadi. Berkecai di dalam genggamannya. Katrina tergamam. Lama matanya terpanah kepada lelaki itu. Jibam terkebil-kebil sahaja memandang Katrina.
“Lepas bersihkan semua tu you boleh keluar,” ucap Katrina lantas memandang dokumen di atas mejanya.
Jibam menelan liur memandang wanita itu. Dia tidak tahu apakah wanita itu sedang marah kepadanya atau apa. Namun tanpa kata dia sekadar menurut arahan Katrina dan meninggalkan bilik itu.

“Hai, sayang..” sapaan dari ambang pintu biliknya itu membuatkan Katrina yang ralik membuat kerjanya tersentak. Berdetak hebat jantungnya melihat Ryan berani sekali menjejakkan kaki ke pejabatnya ini.
“Ryan?” Katrina sempat menyebut nama lelaki itu dalam nada hairan. Apa mimpi Ryan ke situ?
“Yes, it’s me..” sambut Ryan senang hati. Tanpa menanti pelawaan Katrina dia mampir. Pintu kaca yang sedari tadi terbuka terus ditutupnya menunjukkan dia mahukan ruang privasi dengan bekas isterinya itu.
Katrina terus memerhatikan tindak tanduk Ryan dengan perasaan bercampur baur. Ada rasa bimbang memalu kuat hatinya. Dia takut ayahnya dapat tahu Ryan datang bertamu di situ. Walaupun ayahnya sedang berada di luar tapi pasti ada mulut-mulut yang akan bercerita.
“May I?” tanya Ryan sambil menunjukkan kerusi di hadapan meja wanita itu. Dia tersenyum manis kepada wanita yang sedang tercengang memandangnya.
Katrina sekadar mengangguk. Paras Ryan terus diperhatikannya dalam rasa hairan yang kian membukit. “Ada apa you ke sini?” tanya Katrina tidak mahu membuang masa lagi. Dia tidak rasa Ryan mencarinya untuk menyelesaikan masalah projek Lembah Bakun itu.
“Saja. Rindu dengan you,” ujar Ryan selamba sahaja.
Katrina mengeluh perlahan. “Saja? Takkanlah you tak tahu sekarang ni waktu kerja?” ucap Katrina sambil menggeleng sendiri.
“Waktu lain I memang tak takde peluang langsung nak jumpa you. So terpaksalah I curi masa ni.” Ryan tetap menunjukkan ekspresi selamba biarpun dia memang sudah tahu semenjak awal yang dia sedang menganggu waktu kerja Katrina. Tapi dia peduli apa? Asalkan dia dapat melihat wajah bekas isterinya ini dia tidak kisah walaupun dia sedang menggangu tugas Katrina. Menunggu begitu sahaja hanya membuatkan perasaannya kian terdera dan terdesak.
“Projek Lembah Bakun tu apa cerita?” alang-alang Ryan sudah ke sini biarlah dia bertanya tentang itu. Disamping itu bolehlah dia menutup mulut si Ryan daripada bercakap tentang hal yang menyimpang daripada soal kerja.
Belum sempat Ryan menjawab pintu bilik itu diketuk dari luar. Katrina terus memberikan kebenaran untuk si pengetuk itu masuk. Jibam menjengah sahaja dari celahan pintu itu.
“Cik Katrina nak apa-apa untuk tetamu?” tanya Jibam.
“You nak minum apa?” tanya Katrina kepada Ryan.
“Macam biasa..”
“Apa yang biasa?” balas Katrina tidak senang. Sengaja buat-buat lupa air kegemaran Ryan.
Berubah sedikit wajah Rayn melihat gelagat wanita itu. Katrina seolah-olah sengaja mahu membuat hatinya terguris. “Hot Capucinno..” Ryan menjawab sambil mengerling wajah jandanya itu.
“Capucinno mana ada kat sini. You ingat ini cafe restoran ke?” getus Katrina sebal. Erti pandangan Ryan tidak langsung diendahkannya. Lantaklah!
“Ambilkan coke atau sprite untuk dia.” Tanpa bertanya lagi kepada lelaki dihadapannya itu Katrina terus bersuara kepada Jibam yang sedang memerhatikan mereka berdua.
Jibam sekadar mengangguk sebelum berlalu. Katrina dan Ryan memandang seretak kelibat Jibam melalui dinding cermin bilik itu.
“Besarnya badan mamat tu. Macam ahli gusti,” komen Ryan meluncur dari bibirnya tanpa dapat disekat. Katrina menggeleng jengkel dengan komen itu sebelum kembali memandang kerjanya yang terbiar di atas mejanya itu.
“Siapa tadi tu?” tanya Ryan setelah dia kembali memandang Katrina.
“Stafflah!” rengus Katrina bosan mahu melayan kerenah Ryan.
“I tahulah itu staff di pejabat ni. Tapi apa jawatan dia kat sini?” soal Ryan benar-benar pelik. Dia tidak pernah mengenali lelaki itu selama ini. Staff baru ke apa?
“Nama dia Jibam. Untuk sementara dia ambil alih kerja tea lady kat sini. Kadang-kadang dia bantu bersihkan office I ni,” jawab Katrina ringkas sahaja tanpa memandang lelaki di hadapannya itu.
“Serius? Tea lady besar macam tu? Macam bounzer kelab dangdut aja I tengok lelaki tu. Jadi pakcik security sesuailah dengan badan besar macam tu.” Ryan terus mempamirkan muka terkejut mendengar itu. Namun seketika kemudian dia tergelak kelucuan.
Katrina menghela nafas perlahan sambil memandang lelaki di hadapan mejanya itu.
“Dia accident kat site sebelum ni. Doctor dah advice supaya dia tak buat kerja berat sehingga kaki dia betul-betul sembuh. So daddy I letak dia kat sini supaya dia boleh terus berkerja. Apa masalahnya kalau dia buat kerja tea lady pun?” ujar wanita itu benar-benar tidak gemar melihat Ryan mengejek kakitangannya itu.
Ryan terus ketawa sambil menggeleng sendiri. Inilah pertama kali dia melihat seorang lelaki berkerja sebagai tea lady. Dengan badan besar macam badang, lelaki itu nampak pelik di matanya. Rupa orangnya? Lagilah pelik. Lain macam pulak dilihatnya Jibam dengan fesyen rambut nak kata afro pun bukan tapi sekali pandang macam afro. Kembang macam ada sarang burung atas kepala. Memang tak sesuai langsung berkerja di pejabat besar seperti ini. Kelakar!
“Apa yang lucu sangat ni?” rengus Katrina dengan pandangan mencerun kepada lelaki itu. Dia tahu Ryan masih mentertawakan lelaki itu.
“Macamanalah daddy you boleh ada idea nak ambil orang macam tu jadi tea lady? Uppss! Sorry.. tea man lebih sesuai kut. Lain macam I tengok mamat tu. Nerd! Mamat macam tu pun boleh kerja kat pejabat CEO ni.” Ryan terus tergelak sambil meluahkan bicara.
Katrina hanya mencebik tanpa menjawab. Rasanya dia tidak perlu menjelaskan dengan lebih lanjut tentang tugas sebenar Jibam dan tujuan ayahnya meletakkan Jibam di sini. Takde kena mengena dengan Ryan langsung. Sebaliknya dia hanya mahu lelaki itu menyelesaikan segala urusannya segera dan berlalu.
“Ada apa you datang sini? I takde banyak masa, Ryan!” rengus Katrina tanpa memandang. Sengaja ditunjukkan kesibukkannya agar lelaki itu mengerti yang dia tidak senang mahu melayan lelaki itu lama-lama.
“Kat, malam ni kita keluar dinner? Dah lama kita tak spent masa berdua,” ajak Ryan lembut. Tubuhnya didekatkan ke meja sambil terus merenung wajah tenang itu. Kecantikkan pada wajah itu semakin dipandang semakin melekat di hatinya. Sering membuatkan dia tertawan biarpun Katrina sering mengelak daripada memandangnya.
“I tak mahu!” Katrina segera memberikan jawapan tanpa perlu lama mempertimbangkan ajakan bekas suaminya itu.
“Kat, susah betul nak berjumpa dengan you sekarang ni. You selalu aja menolak,” keluhan itu terhela perlahan bersama dengan sebuah hembusan kecewa oleh Ryan. Terkilan benar dia dengan reaksi dingin Katrina. Semakin lama dia terasa semakin jauh dengan wanita kesayangannya ini.
“Ikutkan hati I, I tak mahu jumpa you lagi. Cukuplah dengan apa yang berlaku dulu,” pahit bunyi balasan Katrina kepada Ryan. Dia paling bimbang dengan hatinya ini. Takut dia jatuh hati semula kepada lelaki itu sedangkan hakikat yang dia dan Ryan sudah tidak boleh bersama semula masih juga berada di genggaman. Dia tidak mahu tunduk kepada perasaan.
“Kenapa, Kat? I masih harapkan peluang daripada you.” Ryan mula mencucuk jarumnya lembut.
Kali ini Katrina menghela keluhan sambil memanggung kepala memandang Ryan. Raut sayu Ryan menyapa mata hatinya. Kata orang cinta pertama memang susah hendak dilupakan. Dia juga begitu. Tetapi setiap kali dia memandang Ryan jiwanya tidak bergetar rasa cinta. Sebaliknya dia menyesali kenaifannya dahulu kerana meletakkan rasa cintanya kepada Ryan diatas pertimbangan akal. Sudahnya beginilah dia. 8 bulan sahaja! Namun tempoh itu mencatatkan certa suka dan dukanya selama dia bergelar seorang isteri. Hatinya terus pedih setiap kali kisah lamanya diimbau semula.
“Takde peluang yang layak I berikan kepada you selepas semua ni, Ryan. Jangan paksa I ulang benda ni banyak kali. You tahu apa yang tak kenanya dengan kita. Mustahil, Ryan!” tegas Katrina setelah dia beroleh keupayaan untuk meluahkan bicara.
“Tolong beri I peluang untuk mencuba, Kat. I nak kembali semula kepada you. I sanggup buat apa saja, Kat. Asalkan I dapat you semula.” Ryan meluahkan hasratnya bersungguh.
“You nak I semula?” Katrina lantas tergelak sendiri. Dia masih tidak lupa detik terakhir dia bergelar isteri kepada Ryan. Lelaki itu menggelarkan dia sebagai isteri yang membosankan. Ryan pernah mengaku yang dia merasa cukup terkongkong dengan ikatan perkahwinan mereka.
“I ni membosankan, Ryan. Dah lupa ke? You lepaskan I dengan talak 3 supaya you tak perlu kembali lagi pada I. So kenapa nak menyesal lagi?” sambung Katrina lembut sahaja. Tubuhnya mula disandarkan ke kerusinya. Wajah lelaki itu terus ditelitinya tenang. Ironinya setiap cebis pujuk rayu yang dihulurkan Ryan, satu pun tidak mampu membuatkan dia berani untuk meletakkan kepercayaannya kepada Ryan. Sedikit pun tidak! Kata-kata manis bak gula, itu memang sudah sebati dengan sikap Ryan selama ini. Bukan sekadar dengan dia Ryan bersikap begitu. Katrina tahu benar itu. Dia tidak mahu menjejakkan kaki ke tempat yang sama lagi. Cukuplah!
Ryan tiba-tiba bangun dari duduk. Bersama sebuah senyuman menggoda dia mendekati Katrina di sebelah sana. Sambil meletakkan sebelah tangannya di belakang kerusi wanita itu dia menunduk. Buat seketika sisi paras wanita itu dipandangnya. Haruman yang dikenakan Katrina dinikmatinya sepenuh perasaan. Semakin itu dia terasa kalah kepada rasa cinta yang masih bersisa di hatinya.
“I akan belajar terima keadaan tu selepas ini. I takkan jadikan itu sebab yang besar lagi. Itu lebih baik daripada I kehilangan wanita yang I sayang,” bisik Ryan setelah dia mendekatkan bibirnya ke telingan Katrina.
Berdegup kencang jantung wanita itu melihat gelagat lelaki itu. Namun pantas dia menggeleng. “No! This is crazy,” ucap Katrina sambil menghela nafas untuk meredakan debaran yang sedang memalu dada.
“Yes, I’m crazy about you and I love you so much! Please, I tahu selama ni I tak jaga perasaan you. Tapi kali ni I janji keadaan kita takkan sama macam dulu lagi, sayang. Bagilah I peluang untuk buktikan cinta I, Kat. I tak main-main!” rayu Ryan lantas mencapai jemari Katrina.
Tiba-tiba kelu lidah Katrina melihat Ryan merandahkan diri di tepi kerusinya. Lelaki itu melutut sambil membawa tangannya ke dada.
“Bagi I peluang sekali lagi, Kat. I akan buat apa saja,” luah Ryan bersungguh.
Katrina terus bungkam antara sedar dan tidak. Tanpa sedar matanya memandang wajah bekas suaminya itu lama. Mencari di mana kejujuran dan keikhlasan Ryan. Antara realiti dan fantasi dia tenggelam tiba-tiba di antara kedua-duanya.
“Apa yang jadi pada kita dulu, itu semua memang kesilapan I. I mengaku I tak pernah serius dengan tanggungjawab I sebagai suami. Lepas kita berpisah, I rasa kehilangan yang teramat sangat. I nakkan kehidupan kita yang dulu, Kat. Susah I nak lupakan yang I memang pernah rasa bahagia dengan you selama ini. Susah I nak nafikan yang semua itu masih memberi kesan kepada diri I.” Ryan terus berbicara lunak sambil meramas lembut jemari wanita itu. Bercahaya matanya saat membalas pandangan jandanya itu. Sekilas dia memandang dia tahu masih ada bekas rindu yang menapak di dalam pandangan Katrina kepadanya. Dia yakin!
Sebuah keluhan terhela lagi dari rongga hidung wanita itu. Ucapan manis itu memang indah untuk didengarinya. Tetapi hakikat yang satu itu masih tidak berubah. Dia dan Ryan tidak boleh rujuk semula. Jadi bagaimana? Sejauh mana berertinya ucapan cinta Ryan kepada buat masa ini?
Melihat ada seseorang menolak pintu Katrina terus menarik tangannya daripada genggaman Ryan. Jibam terpaku seketika di ambang pintu itu melihat keadaan kedua-dua manusia itu.
“Err.. boleh saya masuk. Saya nak hantar air ni,” ucap Jibam serba salah. Payah benar dia mahu menelan liurnya melihat gelagat dua manusia itu. Entah kenapa hatinya tiba-tiba pedih.
“Letak air tu kat atas meja ni, Jibam.” Katrina cuba berlagak tenang. Ryan yang berjalan kembali ke kerusinya dikerling sekilas.
Jibam sekadar mengangguk tanpa memandang dua manusia itu lagi. Namun sebaik sahaja dia meletakkan tin coke sejuk itu bersama sebiji gelas, Ryan tiba-tiba menghulurkan tangan kepadanya.
“Ryan..” tanpa disuruh Ryan memperkenalkan dirinya.
“Jibam..” kelam kabut Jibam menyambut huluran tangan lelaki itu setelah tangannya yang basah oleh peluh dingin tin coke itu dilapkan ke bajunya.
Namun saat tangannya dijabat Jibam, wajah Ryan berkerut. Sepantas kilat dia menarik tangannya. Berkerut keningnya memandang Jibam. Sakit tangannya digenggam Jibam. Kuat semacam aja mamat ni? Patah tangan aku dibuatnya.. bisik hati Ryan.
“Nama you Jibam? Peliknya nama you. Nama sebenar you memang Jibam ke?” tanya Ryan berminat tiba-tiba mahu mengenali lelaki itu.
“Bukan. Nama saya Mohd Syahir Eddy. Tapi semua orang panggil saya Jibam,” jawab Jibam sambil tersengih sedikit.
Tercengang sedikit Ryan setelah terpandangkan senyuman Jibam. Takde gigi rupanya mamat ni. Manalah pergi gigi dia. Serabut betul aku tengok muka penuh jambang mamat ni.. bisik hati Ryan lagi. Rasa mahu tergelak yang datang cuba ditahannya sedaya upaya.
“Jibam, you boleh keluar.” Katrina terus mencelah enggan membiarkan Ryan berhadapan dengan Jibam lama-lama. Entah apa-apa lagi yang akan dikatakan Ryan kepada lelaki itu.
“Okay..” Jibam terus berpaling meninggalkan ruangan itu.
“Macam nak patah tangan I digenggamnya. Lain macamlah mamat tu.” Ryan berkata sambil membelek tangannya.
Katrina sekadar diam. Dia tahu itu. Dia nampak wajah Ryan berkerut tadi dan peristiwa pagi tadi masih bermain di fikirannya.
“Dia tu betul ke tak?”
“Maksud you siuman ke tak?” tanya Katrina sedikit sinis.
Ryan sekadar mendegus sendiri. Tangannya terus dipandang. Merah telapak tangannya dibuat Jibam.
“Dia memang lurus sikit. Tapi dia baik,” ujar Katrina biasa.
“I dah agak dah. Tengok gaya pun dah boleh agak,” ujar Ryan.
“Ryan, I rasa baik you pergi. Jibam tu memang lurus. Nanti dia mesti bagitahu pada daddy yang you ada kat sini. Daddy I bising nanti,” keluh Katrina separuh merayu. Sengaja dia mempergunakan Jibam untuk melepaskan diri.
“Dia spy untuk ayah you ke?”
“Takdelah macam tu. Tapi Jibam tu mana tahu masalah kita. Please.. I bukannya nak menghalau tapi I dah tak sanggup nak dengar daddy I membebel lagi,” jawab Katrina bersungguh.
“Daddy you memang tak pernah sukakan I,” komen Ryan sedikit terkilan.
“Sebab you sendiri pun tak pernah nak ambil hati dia.”
Ryan mendegus sebal. Namun dia akur juga dengan permintaan wanita itu.
“Tolong jawab bila I call, Kat. Kalau tak takdelah I datang ke sini,” ucap Ryan sambil memandang wanita itu.
“Tengoklah nanti..” ucap Katrina macam orang tiada perasaan sahaja. Langkah Ryan tidak dipandangnya. Sekali lagi apa yang berlaku tadi bermain difikirannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan