“Hai, Jibam..” sapaan itu mengejutkan Jibam yang sedang lepak
dengan Acap di belakang gerainya. Melihat gerangan manusia yang menyapa dia
terus bangun.
“Kenal I lagikan?” tanya Ryan sengaja membiarkan Jibam
mengecam dirinya.
“Encik Ryan..”
“Yup!” sambut Ryan
mula tersenyum. Sempat dia memandang sekeliling mereka. Lengang! Memang tepat
pada masanya. Bolehlah dia mencuri sedikit masa Jibam untuk berbincang hal yang
sedang disimpannya.
“Encik Ryan nak beli burger ke?” tanya Jibam hairan
melihat kehadiran lelaki itu.
“I nak jumpa you. Can we talk?” ucap Ryan cukup sopan.
“Jumpa saya untuk apa?” tidak tertahan rasa hairan Jibam.
Namun dia sudah mengagak ini sudah pasti ada kena mengena dengan wanita seorang
itu.
“Boleh kita duduk dulu. Tak selesa berbual macam ni,”
ujar Ryan lembut.
“Okay..” Jibam menoleh kepada Acap yang sedang
memerhatikan mereka berdua daripada tempat duduknya. “Aku dok depan kejap.”
Jibam berkata kepada sahabatnya itu. Acap sekadar mengangguk.
“Ada apa ni, Encik Ryan?”
“Panggil I Ryan aja cukup,” celah Ryan lembut.
“Okay..” jawab Jibam sepatah dalam rasa tidak sabarnya
untuk mendengar lebih lanjut.
“I datang sini cari you ada sebab. Pasal Katrina.”
“Kenapa dengan Cik Katrina?” sambut Jibam semakin tidak
sabar.
“I nak kahwin dengan dia semula. Tapi ada masalah..”
Jibam diam tanpa sebarang komen. Namun pandangan matanya
tidak mampu dilarikan daripada lelaki itu. Hairan! Kenapa dia pula yang
dijadikan tempat meluah masalah? Dia bukannya pakar kaunseling.
“Jibam, I nak mintak tolong you. Err..” Ryan menggaru
pelipisnya seketika. “Sebetulnya I nak tawarkan you sesuatu kalau you sudi,”
luah Ryan sedikit teragak-agak. Dalam ketenangannya ada kebimbangan yang
terselit. Bimbang Jibam menolak hasratnya.
“Tawaran apa?” tanya Jibam mula tidak keruan dadanya.
“Emm.. begini sebenarnya. I dengan Katrina tak boleh
rujuk semula macam tu aja. Kami bercerai talak 3. Sayangnya kami masih saling
menyayangi. Jadi I terpaksa biarkan Katrina berkahwin dengan seseorang kemudian
bercerai. Lepas tu barulah kami boleh bernikah semula.”
“Jadi apa pulak kena mengena hal ni dengan saya?” tanya
Jibam masih tidak jelas. Namun dadanya semakin berdebar.
“I nak you kahwin dengan Katrina. I akan bayar you,” ucap
Ryan lembut.
Jibam terus terpaku dengan pandangan mencerun tajam
kepada lelaki di hadapannya itu. Dia akan dibayar untuk mengahwini Katrina?
Biar betul?
“Encik Ryan datang ke sini mencari saya untuk ini ke?
Encik Ryan nak saya berkahwin dengan Katrina untuk membolehkan Encik Ryan
berkahwin dengan Katrina lepas tu?” tanya Jibam sekali lagi. Perlahan dia
memegang pipinya. Telapak tangannya masih mampu merasai jambangnya. Bermakna
dia memang tengah sedar diri.
“You setuju? Sejuta! I rasa amaun sebanyak ini bukan
senang untuk ditolak macam tu aja. Tugas you senang aja. Nikah dengan dia dan
ceraikan dia sebulan kemudian. Perkahwinan ni harus dirahsiakan daripada orang
luar. Semuanya mesti dijalankan secara diam-diam supaya orang tak perasan,”
ujar Ryan lembut menggoda pendirian Jibam.
Jibam semakin terpaku mendengar amaun yang disebutkan
lelaki itu. Lama mulutnya ternganga cuba melepaskan rasa terkejutnya.
“Macamana?”
“Ringgit Malaysia ke?” tanya Jibam masih dibelenggu rasa
terkejut.
Ryan ketawa melihat keluguan lelaki itu. “Ya, Ringgit
Malaysia!” ucap Ryan bersungguh.
Jibam terkebil-kebil. Namun dalam diam dia cuba bertanya
kepada dirinya sendiri. Adakah ini realiti? Rasanya dia tidak bermimpi. Dia masih sedar dia sedang berada di gerainya. Lebih dari itu dia seperti tidak
percaya pula dia yang dipilih oleh Ryan untuk mencina buta si Katrina. Sungguh!
Dia terasa seperti sedang bermimpi.
“Tak cukup ke? I boleh naikkan harga.
Cakap aja berapa you nak,” umpan Ryan sambil tersenyum. Sengaja mahu membodek
Jibam. Dia yakin lelaki lurus ini senang untuk dipujuknya.
Jibam memandang lama wajah lelaki itu
dalam pada dia berfikir sendiri. Perlahan dia menghela nafas. “Katrina tahu
pasal ni?” tanya Jibam perlahan.
“Tak tahu. Tapi I akan bagitahu dia juga
nanti. Soal itu you jangan fikir. Itu urusan I dengan dia. I hanya perlukan jawapan
you sekarang,” balas Ryan cukup yakin. Dia tahu dengan sedikit pujukan Katrina
akan akur juga.
“Tapi kenapa saya?” tanya Jibam rendah sahaja.
Ryan tidak segera menjawab. Dia memandang sekeliling
seketika. “I tahu you memang orang yang baik, Jibam. Orang macam you yang I
perlukan untuk jaga Katrina. I tak boleh pilih sembarangan orang untuk jadi
suami sementara dia,” jawab Ryan lembut.
“Macamana Encik Ryan tahu saya ni baik? Kita bukannya
rapat pun selama ini.” Jibam memandang lelaki itu dengan ekor mata.
“I tahu, Jibam. Ramai orang kata macam tu pada I,” bohong
Ryan. Hakikatnya dia memilih Jibam kerana dia yakin Katrina tidak akan jatuh
cinta kepada lelaki persis ini. Dia tahu taste Katrina adalah kepada lelaki
seperti dia kerana itu Katrina mudah jatuh ke tangannya dahulu. Dan sikap lurus
Jibam yang paling dia suka. Senang dia mahu memandu arah lelaki ini setelah
berkahwin dengan jandanya itu.
Berkerut dahi Jibam mendengar ujaran Ryan. “Siapa pulak
yang bercerita begitu?” tanya Jibam.
“Itu tak penting, Jibam. Yang penting sekarang I tak mahu
you tolak tuah. Bukannya lama. Sebulan aja. Lepas tu you ceraikan dia dan you
boleh enjoy dengan duit tu. Senangkan?” pujuk Ryan bersungguh.
Berkerut dahi Jibam mendengar bicara Ryan itu. Macam
senang aja bunyinya. Tiba-tiba ada rasa tidak senang timbul di hatinya kepada
lelaki ini. Perkahwinan dijadikan permainan sebegitu sahaja hanya kerana
kehendaknya yang satu itu sedangkan hubungan itu harus dijaga kemuliaannya.
Namun sesaat Jibam terfikir. Kalau dahulu Ryan boleh menjadikan talak sebagai
permainan, mengapa tidak perkahwinan juga begitu?
“Jibam, dengar
sini. Kalau orang lain tawaran ni takkan terbiar lama. Awal-awal dah kena
sambar. You jangan jadi bodoh. Bukan senang orang nak datang tawarkan duit pada
you untuk kerja semudah ini.” Kali ini Ryan mula menggunakan cara lain pula
untuk melemahkan pendirian Jibam.
“Saya tak sanggup nak buat macam tu. Siapa pun memang
suka dengan duit. Tapi saya masih waras. Benda macam ni bukan boleh dibuat
main,” ujar Jibam pula.
“Kita buat secara senyap. Senang aja, Jibam. You tak
perlu fikir sangat benda yang lain tu. You hanya datang waktu akad nikah dan
kemudian balik rumah macam biasa. You tak perlu tinggal serumah dengan dia dan
tak perlu beri nafkah apa-apa. Cukup sebulan datang ke pejabat kadi untuk
ceraikan Katrina. That’s all! Duit sebanyak itu macam-macam you boleh buat,
Jibam.” Hasut Ryan cukup bersungguh.
Jibam diam tidak berkutik. Namun akalnya terus memikir
dan memikir. Sungguh! Dia tiada jawapan yang hendak diberikan. Pada bahagian
lain pula dia masih terlalu ragu dan tidak terpikat langsung kepada duit sejuta
itu. Dia takut!
“Cakap dengan I, berapa banyak you nak? I akan tambah,”
pujuk Ryan masih tidak berputus asa.
“Biarlah saya fikir dulu, Encik Ryan.”
Spontan Ryan mendecit melahirkan rasa kecewanya dengan
jawapan Jibam. Tidak sangka bukan mudah memujuk lelaki ini rupanya. “Berapa
lama I kena tunggu?” tanya Ryan mula mengeras nadanya.
“Macam nilah..” Jibam diam sekejap sambil memandang ke
hadapan. Wajah Katrina tergambar di ruang matanya. Sudikah wanita itu menerima
dirinya begini? Pertanyaan itu mencelah di dalam hati Jibam.
“Bincanglah dulu dengan Katrina. Dia kena tahu hal ini.
Takde siapa boleh buat keputusan untuk dia. Kalau dia setuju baru kita bincang
semula,” ujar Jibam kemudian.
“Okay! I setuju.”
Pagi itu Jibam memulakan kerjanya seperti biasa. Seawal jam 6
dia sudah bergerak mengambil Katrina di kondominiumnya. Wanita itu nampak biasa
sahaja. Cuma kurang tersenyum lagi kepadanya seperti sebelum-sebelum ini.
“Cik Katrina okay ke?” tanya Jibam saat
membuka pintu untuk wanita itu.
“Okay..” jawab Katrina lembut.
Jibam mengangguk perlahan. Namun sepanjang
pemanduannya Jibam perasan Katrina sering mengelamun di belakang memandang ke
luar tingkap. Mereka berdua lebih banyak membisu di dalam kereta. Namun dalam
diam Jibam simpati dengan Katrina. Dia tahu Katrina pasti sedang memikirkan
masalah peribadinya yang satu itu.
Sesudah menghantar wanita itu dia pergi
menyimpan kereta. Namun saat mahu naik ke atas dia terserempak dengan Tan Sri
Kamaruddin yang baru tiba di lobi bangunan itu. Jibam menyapa lelaki tua itu.
“Macamana kerja?” tanya Tan Sri
Kamaruddin.
“Okay, Tan Sri. Saya suka..” jawab Jibam
sambil menyengih.
“Ada apa-apa masalah bagitahu saya.”
Ni nak bagitahulah ni.. bisik hati Jibam
sendiri. “Tan Sri ada masa ke? Saya nak bercakap dengan Tan Sri sekejap kalau
boleh. Penting!”
“Kenapa?” dahi lelaki tua itu berkerut
memandang Jibam.
Jibam memandang sekeliling. Ramai kakitangan
di sekeliling mereka. Dia rasa tidak sedap hati. Bimbang ada orang lain
menelinga perbualan mereka.
“Kita ke restoran sebelah.” Tan Sri
Kamaruddin seakan mengerti reaksi tidak senang Jibam untuk berbual di situ. Dia
terus berjalan meninggalkan ruang lobi itu tanpa menanti jawapan Jibam. Jibam sekadar
mengekori lelaki itu.
“Ada apa?” tanya Tan Sri Kamaruddin
setelah mereka selesa di tempat masing-masing.
“Semalam Ryan ada datang cari saya di
gerai tempat saya berniaga.” Mukadimah mula dibuka Jibam. Liurnya ditelan
perlahan dalam pada dia cuba mengingati semula perbualan dia dan Ryan semalam.
“Ryan bekas suami Katrina tu ke?”
Jibam mengangguk.
“Dia buat apa cari kamu? Dia ada ganggu
kamu ke?” mengeras sedikit suara Tan Sri Kamaruddin setelah nama lelaki yang
paling dia tidak suka itu diperdengarkan Jibam.
“Dia ada cakap sesuatu tentang dia dan
Katrina. Sebetulnya dia datang menawarkan saya sedikit duit. Duit untuk saya
kahwin dengan Katrina.”
“Ha??” meledak rasa terkejut Tan Sri
Kamaruddin melalui sepatah kata itu.
“Sungguh, Tan Sri! Saya tak bohong. Dia tawarkan
saya sejuta untuk mencina buta Katrina. Lepas tu mereka berdua nak berkahwin,”
jelas Jibam bersungguh.
Lelaki tua itu menghentak meja
tiba-tiba. “Kurang ajar punya budak! Tak guna!”
Terkejut Jibam melihat gelagat
majikannya itu. Beberapa orang di sekeliling mereka sempat memandang. Dalam diam
Jibam gelisah melihat reaksi Tan Sri Kamaruddin. Bimbang hal itu akan
memburukkan keadaan sedangkan Ryan sudah mengingatkan dia agar hal itu
dirahsiakan.
“Apa lagi dia cakap dengan kamu?” Tan
Sri Kamaruddin masih tidak berpuas hati. Masih ada yang mahu dicungkilnya.
“Dia berikan saya syarat-syarat yang
saya kena patuhi. Dia tak mahu orang luar tahu tentang perkahwinan ini. Dan saya
tak perlu bertanggungjawab kepada Katrina sehinggalah saya ceraikan dia lepas
sebulan nanti,” jelas Jibam tenang.
“Budak Ryan ni memang nak mampus! Ada hati
dia nak ambil anak aku lagi. Dia ingat senang? Selagi aku hidup aku takkan
benarkan,” cemuh Tan Sri Kamaruddin kesat.
Jibam menghela nafas perlahan. Sekarang dia
tahu Katrina bercakap benar. Memang Tan Sri Kamaruddin tidak restukan hubungan
dia dan Ryan.
“Saya tak sampai hati tengok Katrina
asyik termenung. Kasihan dia. Bukan senang berkahwin kemudian cerai. Tapi saya
tak tahu nak cakap apa pada Ryan,” ujar Jibam lembut di hadapan lelaki tua itu.
Tan Sri Kamaruddin termenung lama
memandang meja di hadapannya. Apa yang diucapkan Jibam membuatkan hatinya
walang. Dia tidak sangka sehingga begitu sekali perancangan Ryan dan Katrina.
Di belakangnya!
“Apa jawapan yang kamu beri pada Ryan
semalam?” lelaki tua itu kembali memandang Jibam.
“Saya nak fikir dulu..” jawab Jibam
pantas.
“Terima Katrina! Kahwin dengan dia.”
Sepantas mana Jibam menjawab sebegitu juga pantas Tan Sri Kamaruddin mencelah
kata-kata Jibam.
“Ha?” Jibam ternganga. Macam tu pulak
jawapan Tan Sri Kamaruddin? Jadi Tan Sri Kamaruddin setujulah anaknya dicina
butakan oleh dia. Jibam tidak faham. Dia ingat pastilah Tan Sri Kamaruddin
menghalang.
“Setuju aja! Tapi tentang syarat yang
dia beri tu kita akan bincang kemudian nanti. Saya tahu apa nak buat.”
Jibam terkedu tidak terkata.
“Saya tahu kamu baik, Jibam. Kalau kamu
jadi saya kamu takkan tergamak biarkan anak kamu berkahwin dengan lelaki macam
Ryan. Tapi Katrina semenjak dulu memang degil! Lelaki tak guna tu jugak yang
dia nak!” degus Tan Sri Kamaruddin.
“Tapi saya ni..”
“Saya terima sesiapa sahaja asalkan
bukan Ryan Abraham! Kalau kamu tak setuju dengan apa yang dia nak, dia akan
bawak orang lain yang lebih teruk dari dia untuk Katrina. Apa akan jadi dengan
anak saya? Saya takut suatu hari nanti Katrina akan kahwin lari dengan dia! Kalau
dia bayar kamu sejuta untuk ceraikan Katrina, saya sanggup bayar berapa saja
asalkan kamu tak ceraikan Katrina! Sebut saja berapa kamu nak. Pendek kata saya
tak mahu Ryan kahwin dengan Katrina biar apa terjadi sekalipun!!” potong Tan
Sri Kamaruddin cukup keras.
Jibam ternganga. Pulak dah! Macam ada permainan
merebut tender pula di sini. Siapa yang harga paling bagus dia yang menang. Tapi
Jibam tidak mengharapkan duit itu. Bukan itu maksud dia bertemu dengan Tan Sri
Kamaruddin saat ini.
“Saya tak sedap hati, Tan Sri..”
“Kenapa? Duit tu tak cukup?”
“Saya bukan nak duit. Saya ada maruah. Takkanlah
Tan Sri nak saya kahwin dengan Katrina? Tengoklah diri saya ni. Apa ada pada
saya? Katrina tu sukakan Ryan. Saya tak sampai hati nak paksa dia. Sekarang ni
saya nampak dia asyik termenung aja,” ujar Jibam rendah saja.
“Itu semua kita akan fikir kemudian! Yang
saya nak kamu kahwin dengan Katrina seperti yang diminta Ryan. Tapi jangan
sesekali kamu ceraikan dia!” tukas lelaki tua itu agak laju. Dia sudah tidak
peduli siapa lelaki di hadapannya ini. Saat ini rasa tidak sukanya kepada Ryan
sudah melepasi pertimbangan akal.
Terdiam Jibam memikirkan kata-kata Tan
Sri Kamaruddin. Mudahnya lelaki ini membuat keputusan. Sesenang itukah dia
menyerahkan Katrina kepada seorang lelaki seperti dia asalkan Katrina tidak
dikahwini Ryan? Macamana pula dengan pendirian dia?
“Saya lebih rela Katrina berkahwin
dengan kamu sebab saya tahu kamu jenis lelaki yang macamana. Tapi bukan dengan
Ryan! Saya tahu Ryan hanya mempergunakan Katrina selama ini. Kalau dia ikhlas
dengan Kat, dia takkan curang berkali-kali. Saya tak tahu kenapa Katrina bodoh
sangat! Lelaki macam tu jugak yang dia nak,” degus lelaki tua itu lagi dalam
pada Jibam berdiam diri.
Jibam sekadar mampu menelan liur
memandang majikannya itu. Saat ini dia terasa macam sedang bermimpi pula. Namun
dia hanya diam tanpa memberikan jawapan.
Sesampai di tingkat 11 Jibam menjenguk Katrina. Namun saat
dia memandang melalui cermin dinding bilik itu Katrina tiba-tiba mengangkat
pandangan kepadanya. Katrina segera melambai untuk memanggil Jibam masuk.
“You pergi mana?”
“Breakfast..” jawab Jibam lembut.
Katrina memandang jam di pergelangan tangannya. “Lamanya?
You dengan siapa?” tanya wanita itu pelik.
Jibam termanggu seketika. Kenapa wanita itu hairan pula? Selalunya
Katrina tidak kisah dia masuk ke pejabat pukul berapa pun. “Saya seorang saja.”
Jibam menjawab perlahan.
“Daddy I dah masuk ke?”
Aik? Bapak dia, dia tanya aku pulak..
“Dah agaknya. Saya tak tahu,” bohong Jibam. Dia sudah
berjanji tidak akan memberitahu sesiapa tentang apa yang dibincangkan dan
diputuskan oleh mereka berdua tadi. Itu rahsia mereka sampai bila-bila.
Katrina mengangguk dengan wajah sedikit lesu. “Takpelah.
I nak tanya tu aja,” ucap wanita itu perlahan.
“Cik Katrina nak apa-apa ke? Saya boleh buatkan.”
“I tak mahu apa-apa.”
“Kalau perlu apa-apa saya ada kat luar,” ucap Jibam
lembut.
Katrina sekadar mengangguk tanpa memandang Jibam lagi.
“Cik Katrina ada masalah dengan Ryan ke?” tanya Jibam
dengan keberanian yang tidak seberapa. Takut juga dia dicop penyibuk. Tapi hatinya
tidak tenang melihat Katrina terus murung begitu.
Katrina sekadar menggeleng perlahan. Bicara Ryan semalam
memang sedang mengusuti fikirannya. Namun dia tidak bercadang mahu berkongsi
dengan sesiapa. Sebulan.. Ryan berkata begitu kepadanya. Sebulan nampak macam
singkat. Namun dia yang akan menempuhnya tidak tahu apa yang harus dirasainya
sepanjang masa itu. Baru membayangkan dia sudah tersiksa. Inikan pula untuk
melaluinya nanti. Sampai sekarang dia masih tidak tahu siapa lelaki yang akan
dikahwininya nanti.
“Kenapa nampak macam tak happy aja kalau betul takde
apa-apa?” ujar Jibam yang masih memandang.
“Entahlah. I macam takde mood, Jibam.”
“Pasal Encik Ryan ke?” teka Jibam lembut sahaja.
Akhirnya Katrina mengangguk juga. Anggukan Katrina
membuatkan Jibam pula yang terdiam. Kalau tentang itu dia tidak tahu apa yang
harus dikatakannya. Bertambah susah hati memikirkan bicara Tan Sri Kamaruddin. Kini
dia pula yang merasa tersepit. Dia tahu Katrina sudah pastilah masih sayangkan
dudanya itu. Masalahnya Tan Sri Kamaruddin pula yang menghalang. Apa pula
perasaan Katrina jika dia tahu lelaki yang bakal dikahwininya nanti kacaknya tidak
setanding Ryan? Entahlah..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan