“Hai,
sayang..” teguran yang
kedengaran cukup manis itu membuatkan Katrina segera menoleh ke belakangnya.
Sebuah helaan nafas terlepas tanpa sengaja sebaik sahaja
ternampak gerangan manusia yang menegurnya. Ryan lagi!
“You nak apa lagi?” tanya Katrina agak hambar. Setelah
selesai menyumbat barangannya ke dalam bonet keretanya, pintu bonet itu terus
ditariknya ke bawah.
Pertanyaan Katrina itu disambut senyum lebar Ryan. Wanita
itu dirapatinya. “Nak you boleh?” bisik Ryan setelah berada dekat dengan wanita
itu.
“Jangan buang masa I, Ryan. Nak apa datang tegur I ni? I
nak pergi site ni,” ujar Katrina tetap hambar. Sedikit pun tidak hatinya teruji
dengan kemanisan lelaki itu. Dia sudah tahu, memang beginilah sikap lelaki itu
apabila bertegur sapa dengan semua wanita.
“Sekejaplah, sayang..”
“Jangan biasakan lidah you yang tak bertulang tu panggil
I macam tu lagi. I bukan isteri you, Ryan. Bukan jugak kekasih you. So please
stop it!” tegas Katrina muak meladeni sikap mata keranjang lelaki itu.
“Tapi I masih sayangkan you, Kat. Takkan takde peluang
untuk I lagi?” pujuk Ryan lembut.
Katrina terus ketawa sambil menggeleng sendiri. “Kalau
you dah lupa, I nak ingatkan.. you ceraikan I talak 3. So peluang apa lagi
kalau dah sah-sah kita memang dah tak boleh bersama lagi?” ujar Katrina tenang
sahaja.
Ryan diam seketika. Memang dia sedar akan hal itu. Itulah
yang membuatkan dia runsing setiap kali dia memikirkan Katrina. Ah! Terlajak
perahu boleh diundur. Terlajak mentalakkan isteri, kini dia gila bayang
dibuatnya. Sayang sekali tembok di hadapan mereka terlalu besar!
“I menyesal dengan apa yang berlaku dulu, Kat.” Ryan
berkata perlahan. Seketika kemudian wajah Katrina mula dicari oleh bola
matanya.
“I menyesal kerana terlalu ikutkan perasaan waktu tu. I
tak sengaja ceraikan you. Waktu tu I terlalu marah.”
“Itu memang alasan yang tipikal untuk seorang suami bila
dah menyesal ceraikan isteri sendiri. Tercerailah.. tak sedarlah.. terlalu
marahlah. I tak pelik sikit pun. I tak hairan lagi dengan semua alasan tu,
Ryan. Sebab apa yang paling penting untuk I ialah you memang dah ceraikan I. Enough!” jawab Katrina biasa. Di
bibirnya tersungging sedikit senyuman sinis buat lelaki itu.
“I betul-betul maksudkan kali ni, Kat. I nak kita bersama
semula,” ujar Ryan lembut.
Katrina menggeleng bersama dengan sebuah helaan nafas
kuat. Tak habis-habis Ryan mahu memujuknya untuk bersama semula. Dia sudah naik
rimas dengan gelagat lelaki ini.
“Bersama semula macamana? You ni faham ke tidak apa yang
I maksudkan tadi? Talak 3 tak boleh rujuk, Ryan Abraham. Rasanya you pun dengar
apa yang hakim katakan pada kita dulu!” tekan Katrina mula bosan mendengar
ucapan lelaki itu.
“I faham, sayang.” Ryan menjawab rendah. Perlahan dia
mengeluh. Hanya ada satu jalan yang tercetus di mindanya semenjak dulu. Untuk
dia bersama semula dengan Katrina, dia harus membiarkan Katrina berkahwin lain
terlebih dahulu. Setelah bercerai barulah dia boleh mengahwini wanita itu
semula.
“Lupakan I, Ryan. Jodoh kita memang takde. Jangan buang
masa you lagi,” ujar Katrina malas mahu membuang masa di situ lagi. Dia mahu
segera ke tapak projek.
“Kat, you kahwinlah. Lepas tu I akan ambil you semula.”
Ryan segera melontarkan bicara itu tatkala Katrina mahu bergerak masuk ke
keretanya.
“What?” meledak suara Katrina akibat diterpa rasa terkejut. Terpana
dia memandang bekas suaminya itu.
Ryan segera mendekati wanita itu semula. Jemari Katrina
diraihnya. “I masih terlalu sayangkan you, Kat. I sanggup buat apa saja asalkan
you jadi milik I semula. Kahwinlah.. kemudian you mintak lepas supaya kita
boleh bersama semula.” Lelaki itu meluahkan bicaranya bersungguh.
“You ni dah hilang akal ke?” tekan Katrina dengan dada
berombak resah. Mudahnya lelaki ini berkata begitu. Seolah-olah dia sekadar
barang mainan!
“I jadi macam ni sebab sayangkan you. Please.. bagilah I
peluang sekali lagi,” rayu Ryan cukup lembut.
Katrina terus menarik tangannya daripada Ryan. Namun
pandangannya masih tidak mampu berganjak daripada wajah itu. “Sayangnya bukan I
saja yang ada dalam hidup you selama inikan?” ucap Katrina tanpa memberi
peluang lelaki itu menghabiskan bicaranya.
“Kat, I janji I akan berubah. Untuk kita!” ucap Ryan
penuh kesungguhan.
Namun Katrina terus menggeleng tanda tidak mampu menerima
janji seperti itu.
“Bukan sekali ini I dah dengar janji you tu. Kata-kata
seperti itu dah macam mainan di mulut you, Ryan. Dulu setiap kali I dapat tahu
you main perempuan di belakang I, itu jugak yang you janjikan. Berubah, berubah
dan berubah! Tapi akhirnya apa yang I dapat? Talak 3, Ryan! Hadiah yang paling
bermakna daripada you” luah Katrina kesal.
“Tapi keadaan kali ni tak sama, Kat. I betul-betul akan
berubah. I akan jaga you baik-baik kali ni. I janji!” tegas Ryan semakin
bersungguh.
“What
ever! Tapi sebelum
sampai ke tahap itu, I kena kahwin dengan lelaki lainkan? You sanggup ke biar
lelaki lain kahwin dengan I?” duga Katrina dengan sedikit senyuman.
Ryan tunduk menelan kepahitan mengenang itu. Dia tidak
rela tapi malangnya itu sahaja jalan yang ada. Kenyataan itu yang membuatkan
dia dipagut kesal tidak berkesudahan kerana mengikutkan perasaan suatu masa
dulu. Seperti mana dia pernah ditanyakan hakim ketika di dalam mahkamah dahulu.
Mengapa dia memilih talak 3 sedangkan masih ada 2 talak yang boleh dipilihnya.
Memilih talak 1 atau 2 hakikatnya masih sama. Mereka tetap bercerai. Tetapi
natijahnya talak 3, inilah dia! Tiada jalan lagi untuk mereka berdua.
“Ryan, I ni manusia yang ada harga diri. Jangan anggap
maruah I ni serendah itu sampai you boleh minta I kahwin lain dan bercerai lagi.
Kemudian you akan datang untuk kutip I semula. I tak sebodoh tu, Ryan!” tegas
Katrina dalam pada lelaki itu membisu dengan wajah keruhnya.
“Tapi hanya dengan cara itu..”
“I tak pernah mimpi nak kembali semula kepada you, Ryan.
Tak pernah sedetik pun I terfikir nak memilih you semula. Jadi berhentilah
merayu! I takkan kahwin dengan mana-mana lelaki lain semata-mata untuk kembali
semula kepada you,” pintas Katrina sebelum sempat Ryan menghabiskan kata-kata.
“Kat, takkan semudah itu you lupakan I?”
“I memang tak pernah dapat lupakan you, Ryan. Tapi itu
tak bermakna I masih ada hati dengan you. I takkan bazirkan ruang hati I ni
untuk dicalarkan oleh lelaki jenis yang tak jujur macam you,” jawab Katrina
selamba sahaja. Dia bukan lagi anak-anak remaja yang mudah kalah pada perasaan.
“Kat, I tak bermaksud macam tu selama ni. Semua perempuan
tu kawan-kawan I.”
“Sudahlah, Ryan. Alasan tu dah basi untuk pegang macam tu
aja. I ada kerja ni.” Katrina terus berpaling untuk masuk semula ke dalam
keretanya.
“Sayang, I takkan berhenti cari you,” ucap Ryan sebelum
Katrina sempat menutup pintu keretanya.
“Suka hati youlah. I takde kuasa nak halang segala
tindakan yang datang dari pemikiran you.” Katrina terus menarik pintu
keretanya. Wajah mendung Ryan tidak lagi mampu dipandangnya.
“Phewwitt..”
usikan miang yang kedengaran
itu membuatkan Jibam akhirnya menoleh. Rakan-rakan sekerjanya sedang bertenggek
di hujung lantai simen separuh siap itu sambil memandang ke bawah sana.
Bahagian situ masih terbolong luas kerana dindingnya masih belum dibina.
“Woi.. duduk kat situ jatuh nanti,” tegur Jibam sambil
menggeleng.
“Jibam, itu anak bos datang. Cantik banget!” ucap Abi
sambil menyengih.
“Biarlah dia datang.
Yang kau susah hati kenapa? Bukannya dia nak jumpa kita pun. Sambung kerja
cepat,” ujar Jibam tanpa meneruskan pandangannya kepada pekerja-pekerja dari
negara seberang itu. Matanya difokuskan kepada waterpass yang diletakkan di
atas salah satu anak tangga untuk menguji kerataan bidang anak tangga yang baru
dibina itu.
Abi tidak memberi respon kepada ucapan Jibam. Dia kembali
mengintai ke bawah sana. Seronok benar memandang perempuan cantik masuk ke
tempat kerja mereka. Gaya dah macam lelaki yang dah bertahun tak dapat jumpa
perempuan.
“Sini cepat! Banyak lagi kerja nak dibuat ni,” tegur
Jibam mula menoleh apabila ajakannya masih tidak mendapat sambutan seperti yang
diharapkannya.
Abi mendecit sedikit. “Sambung kerja yok!” ucap Abi
sambil mencuit bahu rakan yang paling hampir dengannya. Tanpa menunggu reaksi
kawan-kawannya dia kembali mendekati Jibam.
“Kerja kalau selalu selingkuh nanti rezekinya tak
berkat,” ucap Jibam saat Abi kembali berada di situ dengannya.
“Iya..” sambut Abi lemah sahaja. Macam orang tidak
ikhlas. Namun kata-kata Jibam tidak mampu dibangkangnya kerana Jibam adalah
orang lama. Jibam dah macam leader bagi semua pekerja di situ.
“Kau intai-intai perempuan kat sini, awek kau kat Indon
tu apa cerita?”
“Saja aja, Bang Jibam. Seronok-seronok memandang,” jawab
Abi mula tersengih semula kepada lelaki itu.
Jibam menggeleng sedikit. “Bila ada perempuan yang sayang
kat kau, setialah, Abi. Jangan sakitkan hati perempuan kalau dia ikhlas pada
kau. Mula-mula kau main-main aja. Nanti dah lama-lama kau buat betul-betul. Tak
baik macam tu,” nasihat Jibam lembut.
“Iya, bang..” sambut Abi akur.
Sedang mereka asyik melakukan tugas di situ, walkie
talkie yang tersisip di pinggang Jibam berbunyi. Namanya kedengaran diseru
melalui alat komunikasi itu. Fazil memanggil Jibam ke bawah.
“Aku turun dulu. Nanti aku datang balik,” ujar Jibam
lantas menyerahkan alat waterpass itu kepada Abi. Dia turun ke bawah
menggunakan lif sementara yang dibina untuk kemudahan mereka mengangkut barang
binaan ke tingkat atas.
Di bawah Fazil meminta dia menguruskan pemindahan barang
yang baru dihantar ke tapak projek itu. Tanpa banyak kira Jibam pergi ke arah
sebuah trelar yang sedang terpakir di salah satu kawasan menurunkan barang.
“Mana driver?” tanya Jibam kepada kelindan lori itu.
“Office. Ambil sain dengan cop,” jawab lelaki Melayu itu
sambil menunding ke arah pejabat kecil yang merupakan sebuah kotak kontena.
Jibam mengangguk sahaja. Dia mengelilingi lori itu
seketika. Ada 4 batang paip besi yang termuat di belakang lori itu. Namun tatkala
dia berada di pertengahan lori itu, telinganya menangkap satu bunyi aneh.
Langkah Jibam terhenti di situ serta merta. Dia mula memandang sekeliling.
Di sebelah sana kelindan lori itu ikut memeriksa keadaan
muatan itu setelah melihat sedikit gegeran kepada kenderaan besar itu. Rantai
pengikat yang paling hujung didapatinya sudah terputus dua. Bermakna muatan di
belakang lori itu sedang berada dalam keadaan kritikal dengan hanya satu sahaja
rantai besi yang tinggal menahan beban itu selain daripada bongkah kayu yang
dijadikan penyendal untuk mengelakkan besi itu tergolek.
“Lari! Lari!” lelaki kelindan itu terus memekik kepada
orang yang berada dekat dengan kenderaan itu untuk mengelakkan berlakunya
kejadian yang lebih buruk.
Namun Jibam terus terpinga-pinga di situ melihat beberapa
pekerja termasuk kelindan tadi mula menjauhi kawasan itu.
“Jibam, apa kau tunggu lagi kat situ? Lari!!!” satu suara
memekik.
“Ha? Kenapa pulak nak lari? Ada bom ke?” balas Jibam
sambil menggaru kepalanya.
Dalam kealpaan lelaki itu, perlahan-lahan muatan di atas
lori itu mula bergerak. Jibam hanya tersedar bahaya sedang menghampirinya
ketika dia ternampak satu lagi rantai besi itu ikut terputus diikuti dengan
bunyi bising yang dihasilkan oleh objek itu. Hanya itu sahaja terlintas di
otaknya saat itu. Lari seperti yang disuruh!
Tetapi sayangnya tindakan Jibam sudah terlewat. Hanya
beberapa langkah dia sempat melarikan diri. Selebihnya Jibam tersungkur di
tanah akibat terjahan benda berat itu. Buat beberapa saat itu sahaja dia cuba
untuk bangun. Namun dia tidak mampu bergerak langsung. Kakinya dirasakan tidak
mampu diangkat akibat dihimpit sesuatu. Barulah Jibam tersedar yang kakinya
tersepit di bawah salah satu besi paip itu.
“Astaghafirullah, Jibam! Tolong aku!” Fazil berteriak
setelah berada di tepi Jibam. Jibam cuba dibantunya.
“Sakit, bang..” Jibam menjerit kuat tatkala tubuhnya cuba
ditarik Fazil dan beberapa orang yang lain.
“Tolong angkat besi tu lekas!” jerit Fazil kalut yang
teramat sangat. Dia ikut membantu untuk mengalihkan sebatang paip yang berada
di atas Jibam.
“Argh!!! Tak boleh! Berat sangat ni,” keluh mereka semua.
Paip itu terlalu besar untuk diangkat oleh tenaga manusia biasa. Jibam terus tercungap-cungap
di situ menahan kesakitan.
“Sabar, Jibam. Kau kena bertahan. Aku panggil buldozer
angkat paip tu,” ujar Fazil kepada Jibam.
Jibam hanya mampu mengangguk. Namun beberapa detik
kemudian dia terus tidak sedar dalam kekocohan orang ramai di situ untuk
membantunya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan