Selasa, 18 Februari 2014

6-JIBAM KAHWIN JANDA VOUGE!

“Nak kena pergi HQ? Aku nak pakai apa pulak pergi sana tu?” tanya Jibam kepada dirinya sendiri sebaik sahaja mesej dari Fazil itu dibacanya. Dia diminta oleh Fazil supaya berpakaian kemas.
“Aku mana ada baju pejabat. Nak kena jumpa Katrina pulak tu. Kenalah hensem-hensem sikit,” ucap Jibam lagi. Sambil memandang ke atas dia terus berfikir sendiri.
“Acap ada kut? Pinjam baju dialah..” bisik Jibam lantas bangun.
“Acap!” Jibam terus meluru masuk ke bilik temannya itu. Memang sesuai benar masanya. Acap kelihatannya sedang mengemas almari bujangnya.
“Ada benda yang kau nak dari aku ni, tempang?” tanya Acap selamba.
“Sampai hati kau panggil aku tempang.” Jibam memandang sedih muka si Acap. Kecil hati kononnya.
Acap sekadar ketawa kecil. “Apahal?” tanya Acap sekali lagi.
“Aku nak pinjam baju kemeja kau. Aku kena pergi HQ esok,” jelas Jibam lantas duduk di sisi katil bujang Acap.
“Kau nak pinjam baju aku? Muat ke?” meninggi sedikit suara Acap mendengar hasrat murni si Jibam. Bukannya dia nak kedekut. Tapi saiz badan Jibam dan dia memang tak sama langsung!
“Muat! Alah ketat sikit aja,” jawab Jibam cukup yakin. Bukan yakin sebenarnya tapi sudah terdesak.
Acap termangu memandang wajah Jibam buat sesaat dua. Kata-kata Jibam itu langsung tidak diyakininya. Namun terfikirkan sehelai kemeja yang pernah dia tersalah beli dahulu, rasanya eloklah dia memberi Jibam mencuba baju itu. Baju itu memang agak besar untuk tubuhnya. Mana tahu dengan Jibam muat pula. Acap akhirnya mencapai sehelai kemeja berwarna putih dari dalam almarinya.
“Nah! Kau cuba baju ni. Tapi pakai elok-elok. Mahal aku beli ni,” ujar Acap sambil menyerahkan kemeja itu kepada Jibam.
Jibam terus menyambar baju itu tanpa banyak fikir lagi. Tanpa ucapan terima kasih dia terus berlalu ke biliknya. Tak sabar benar dia mahu mencuba baju itu. Baju tee yang membaluti tubuh sasa luar biasanya itu dicabut Jibam agak rakus. Baju bersaiz xxl itu dicampakkan ke atas tilam. Dan kemeje bersaiz L itu terus disarungkan ke tubuhnya.
Namun hanya sekerat lengan sahaja yang mampu disarung. Kemeja itu tersekat di lengannya tidak mampu disarungkan sepenuhnya ke tubuh. Jibam mencuba lagi. Lengannya dipaksanya masuk ke lengan baju itu. Kemudian kemeja itu ditarik kuat ke hadapan supaya muat ke tubuhnya.
Prakk!! Jibam terkedu spontan. Pantas dia memusingkan tubuhnya. Belakangnya diintai melalui cermin. Koyak!!
“Alamak!!” keluh Jibam mula kalut melihat kemeja putih Acap itu sudah rabak dibuatnya.
“Muat ke baju aku tu kat kau, Jibam?” tanya Acap sebaik sahaja menerpa masuk ke bilik Jibam. Namun belum sempat Jibam menjawab dia juga sudah terlihat kesan koyak di belakang Jibam melalui cermin almari itu. Ternganga Acap serta merta melihat kemeja berharga RM 150 itu sudah rabak di badan Jibam.
“Emm.. aku rasa aku dah terkoyakkan baju kau ni,” ujar Jibam rendah sahaja. Terkebil-kebil matanya memandang sahabatnya itu, minta jangan dimarah.
“Bukan setakat rasa lagi. Memang betul-betul koyak. Aku pun nampak,” jawab Acap. Dia pula terkebil-kebil memandang kemejanya itu.
“Tadi macam muat aja,” ujar Jibam cukup polos. Namun sehabis sahaja dia berkata ada bunyi ‘prakkkk’ menyusul sekali lagi. Jibam terus menoleh memandang lengannya. Sebahagian daripada lengannya sudah kelihatan melalui bahagian jahitan yang tetas di bawah lengan kemeja itu.
“Itu kau panggil muat ke? Tangkap muat memang ya! Habis rabak semua,” getus Acap lantas menggeleng. Mahu marah pun tak guna. Bajunya dah koyak habis pun.
“Sorrylah.. nanti bila dah gaji aku ganti balik,” ujar Jibam lemah sahaja. Rasa bersalah pula dia kepada Acap.
“Takpelah. Baju ni bukannya aku pakai pun. Dah bukan rezeki nak buat macamana,” jawab Acap biasa. Baju yang sudah koyak itu ditarik keluar dari tubuh Jibam. Dia memang tidak berhasrat untuk mendapatkan ganti baju itu. Jadi biar ajalah.
“Habis tu kau nak pergi kerja pakai baju apa esok ni?” tanya Acap.
“Tak tahulah. Pakai ajalah baju t’shirt aku tu,” jawab Jibam sambil menggaru rambutnya. Hanya baju jenis itu sahaja yang dia ada.
“Esok kau pergilah beli sehelai. Beli aja yang murah-murah tu. Asalkan ada cukup!” Acap segera memberikan idea itu.
“Tengoklah macamana nanti,” jawab Jibam rendah sahaja. Beli? Alahai.. kenakah aku korek duit tabung lagi, bisik hatinya sendiri.

Katrina tercengang memandang Jibam dari atas ke bawah. Lelaki itu datang berjumpa dengan dia dengan baju seperti ini? T’shirt berkolar dan seluar jeans lusuh. Mujurlah Jibam memasukkan bajunya ke dalam seluar. Nampaklah kemas sedikit.
Jibam menelan liur serba salah melihat pandangan wanita itu kepada dirinya. Dia tahu mengapa wanita itu memandang dia begitu sekali. Dadanya yang sedari tadi sudah bergemuruh semakin bergemuruh dipanah pandangan Katrina. Mesti Katrina sangka dia ni selekeh. Memang dia selekeh pun..
“Kenapa tak pakai kemeja dengan slack? Kalau daddy I nampak you pakai macam ni, mesti dia mengamuk,” tegur Katrina lembut sahaja.
“Takde baju. Petang nanti saya baru nak pergi beli,” jawab Jibam cukup rendah.
“Lah..” hanya itu yang mampu diucapkan Katrina. Kasihan pula dia mendengar jawapan Jibam. Dia termenung seketika memikirkan sesuatu.
“You duduk dulu kat sana tu,” ucap Katrina lantas menunjukkan sofa tidak jauh dari mejanya itu.
Jibam menurut sahaja tanpa kata. Namun saat dia mendekati kakinya terlanggar meja kaca di tengah-tengah itu. Gamat seketika bilik itu dengan bunyi meja itu. Kelam kabut dia membetulkan meja yang sudah beralih tempat itu. Malu punya pasal sakit di kakinya pun dia tidak terasa.
“You okay ke?” Katrina bertanya dalam pada dia cuba menahan senyum.
“Saya okay. Tak nampak meja tu.” Jibam terkulat-kulat memandang wanita di mejanya itu. Malu benar dia dengan kelalaiannya tadi.
“Dah breakfast?” tanya Katrina sekadar mahu mengisi ruang kosong antara mereka berdua di dalam kamar itu.
“Dah.. saya makan nasi lemak.” Lengkap jawapan Jibam.
Katrina tersenyum juga melihat sikap ‘lurus’ lelaki itu. “You tunggu sekejap. I selesaikan kerja ni, lepas tu kita selesaikan masalah you pulak,” ujar Katrina.
“Okay..” Jibam tunduk seketika saat menjawab. Tidak tertahan hatinya melihat wajah wanita itu. Cantik sangat! Dadanya macam dah bergendang setiap kali senyuman Katrina menyapa pandangannya. Membuatkan dia bertambah kekok dan menggelabah. Sedangkan Katrina relax sahaja beramah tamah dengannya.
“You dah kahwin ke, Jibam?” tidak lama kemudian kedengaran lagi suara Katrina menyapa deria Jibam.
“Ha?” Jibam tersentak mendengar soalan itu. Namun Katrina saat itu tidak memandang kepadanya. Wanita itu sedang menilik skrin komputer ribanya.
“Dah kahwin?” tanya Katrina sekali lagi sambil memandang sekilas raut lelaki itu.
“Belum.” Jibam menyahut perlahan sahaja. Kalau nak masuk meminang bolehlah.. bisik hatinya sendiri. Jibam mula tersengih seorang.
Hampir setengah jam kemudian barulah Katrina bangun dari kerusinya. “Come..” ajaknya kepada lelaki itu setelah dia mencapai beg tangannya.
Jibam akur juga menuruti langkah wanita itu walaupun dia tidak tahu ke mana tujuan mereka selepas ini. Mungkin Katrina mahu menunjukkan dia tempat kerjanya. Namun wanita itu membawanya ke lif. Bermakna mereka akan keluar dari situ.
“Kita nak ke mana?” Jibam bertanya juga akhirnya setelah mereka berada di luar lobi bangunan itu.
“Cari baju yang sesuai untuk you. You tak boleh masuk kerja dengan pakaian macam ni. Daddy I marah nanti,” ujar Katrina sambil dia sibuk menyelongkar beg tangannya untuk mencari kunci keretanya. Tanpa sedar dia berjalan tanpa memandang ke kiri ke kanan. Tidak perasan langsung dia ada sebuah kereta sedang menghampirinya dalam kelajuan sederhana.
“Nanti dulu. Kereta!” Jibam terus menarik lengan wanita itu untuk menghalang Katrina melintas kawasan laluan kereta itu.
Berderau darah wanita melihat sebuah kereta berhenti mengejut tidak sampai semeter dari tempat dia dan Jibam berdiri. Sempat juga dia memegang dada akibat terkejut.
“Nasib baik you ada. Thank’s..” ucap Katrina kepada lelaki yang berdiri di belakangnya itu.
Jibam hanya mengangguk sambil memandang kereta yang berlalu pergi itu.
“Jom lekas!” kali ini lengan Jibam pula ditarik Katrina untuk ke keretanya segera.
Terkedu Jibam melihat wanita itu selamba sahaja menyentuh lengan sasanya. Namun dalam hati mulalah dia terasa bangga. Hatinya sudah mula berbunga-bunga. Sukalah tu bila disentuh oleh wanita cantik.
Di dalam kereta mereka lebih banyak berdiam. Katrina membawa Jibam ke Parkson yang paling hampir dengan mereka.
“You pakai baju saiz apa?” tanya Katrina setelah mereka berada di kawasan pakaian lelaki.
Jibam tidak terus menjawab. Jenama Orlando dan Camel yang dipaparkan di situ membuatkan darahnya terasa kering. Mahal! Mana dia ada duit.
“Kenapa kita tak beli kat Hari-Hari aja?” tanya Jibam agak payah.
“Hari-Hari? Apa tu?” berkerut kening Katrina mendengar nama itu. Apa yang hari-hari?
“Alah.. kedai baju Hari-Hari yang baju dia lebih murah tu,” ujar Jibam terkulat-kulat memandang Katrina. Takkan Katrina tak tahu yang dia ni bukannya jenis banyak duit?
“Ohhh...” Katrina tersenyum sambil memandang rak kemeja di hadapannya itu. Itu ke masalah negara si Jibam ni sampai nak kena pergi Hari-Hari tu semua?
“You pakai saiz apa? Jangan risau. I yang bayar.” Katrina bertanya lagi.
“Emm.. dua XX lepas tu baru L.” Malu Jibam nak menyebut saiz badannya itu. Habis tu takkanlah dia nak sebut M pulak?
“Double XL?” Katrina menahan senyum lagi melihat keletah malu-malu si Jibam.
“Betullah tu. Saya ni memang besar sikit. Bukan sikit tapi banyak,” jawab Jibam tenggelam timbul suaranya.
“Yes, I can see it!” sambut Katrina sambil ketawa sendiri. Tangannya terus mencari baju yang sesaiz dengan tubuh lelaki itu. Seorang jurujual lelaki mula menghampiri mereka.
“I nak saiz XXL untuk dia,” ucap Katrina kepada lelaki yang berdiri di sebelahnya itu. Matanya dihalakan kepada Jibam yang berdiri sedikit jarak dari mereka.
Tanpa banyak soal pelayan itu menyelongkar bahagian bawah rak itu mencari saiz yang diminta Katrina. Lama dia menyelongkar sambil diperhatikan Katrina.
“XXL kita takdelah, Cik. Sampai XL aja yang ada,” ujar jurujual itu akhirnya. Sehelai baju bersaiz XL itu diberikannya kepada Katrina.
“XL muat tak dengan you?” tanya Katrina kepada Jibam.
“Entah..” Jibam sekadar menjungkit bahu.
“Cuba dulu baju ni,” ucap Katrina setelah mendapatkan sehelai kemeja lengan panjang bersaiz XL dari tangan jurujual itu.
Jibam menurut sahaja segala kata-kata wanita itu. Namun tidak sampai seminit kemudian Jibam sudah keluar daripada bilik persalinan. Baju itu memang tidak sesuai langsung untuk dirinya.
“Cuba cari design lain. Ada tak saiz yang match dengan dia?” ucapKatrina kepada jurujual yang setia melayani mereka di situ.
“Ha.. yang ini ada.” Sehelai kemeja lengan panjang berwarna hitam diberikan kepada Katrina.
“Warna lain takde ke?” wanita itu mula menunjukkan sifat cerewetnya. Maklumlah.. yang pakai pun kulitnya dah gelap. Pakai baju hitam takut tak nampak terus nanti.
“Merah adalah..”
“Merah bolehlah. Hitam tu I tak mahu,” jawab Katrina. Baju yang diberikan oleh jurujual itu diserahkan lagi kepada Jibam.
Namun setelah dicuba kemeja itu tidak boleh dikancing pada bahagian dada. Terpaksalah Jibam menjadi model baju lelaki lagi. Kali ini saiz yang lebih besar pula, XXXL. Namun setelah setelah dilihat Katrina menggeleng. Ada yang tidak kena di matanya apabila melihat baju itu di tubuh Jibam. Bahagian perut baju itu nampak gedobos. Akhirnya untuk kali yang kesekiannya Jibam diberikan sehelai kemeja berlengan pendek.
Katrina menanti seketika di luar bilik persalinan itu. Sementara itu dia membelek beberapa helai baju lain untuk Jibam. Namun setelah lebih 5 minit dia mula mendekati bilik persalinan itu.
“Jibam..” Katrina memanggil bersama ketukan halus di pintu itu.
Senyap sunyi! Macam tidak berorang pula bilik itu.
“Jibam, you okay ke kat dalam tu? Keluarlah. I nak tengok baju tu sesuai ke tidak dengan you,” ujar Katrina dengan sekali lagi beberapa ketukan pada pintu.
“Kejap..” lemah sahaja jawapan Jibam dari arah dalam itu.
Katrina cuba menunggu lagi dengan sabar. Masuk kali ini sudah 5 helai. Masih belum ada sehelai pun yang sesuai dengan Jibam. Beberapa saat kemudian pintu di hadapannya itu terbuka juga. Jibam mempamirkan dirinya bersalut kemeja itu. Namun wajahnya semacam sahaja. Katrina memandang lelaki itu dari atas ke bawah. Tiada apa yang tidak kena dengan kemeja lengan pendek itu di tubuh Jibam. Nampak okay sahaja.
“Come here..” Katrina menggamit agar lelaki itu keluar dari situ segera. Dia terus berjalan mendekati cermin besar itu semula. Jibam mengekor sahaja tanpa kata. Langkah Katrina dituruti dengan lemah longlai.
Katrina mengajak Jibam menilik diri di cermin itu. Dia berdiri menghadap Jibam sementara lelaki itu memandang diri di dalam cermin. Jurujual tadi mula mendekati mereka semula.
“Selesa tak?” tanya Katrina sambil membetulkan letak duduk kemeja itu di tubuh Jibam. Kali ini kemeja itu agak longgar pula.
Lambat-lambat saja Jibam mengangguk. Tiada keceriaan langsung pada wajah hitam manis itu.
“Betul ke ni? Kenapa buat muka macam tu?” pelik Katrina melihat lelaki itu itu.
Jibam menelan liurnya. Wajah wanita itu tidak mampu dipandang lama. Dia tidak tahu macamana hendak berterus terang dengan Katrina masalah baju itu.
Katrina mula menyentuh bahagian pinggang baju itu pula. Namun dia hairan. Longgarnya lain macam. Sampai boleh ditarik ke hadapan. Sepantas kilat wanita itu melihat ke belakang. Spontan mata wanita itu terbeliak melihat bahagian belakang baju rupanya sudah rabak. Patutlah baju itu boleh dikancing. Malah longgar pula. Tidak terkata wanita itu dibuatnya. Dia hanya mampu memandang bahagian koyak itu sambil menepuk dahi.
Melalui cermin di hadapan mereka itu Katrina cuba mencari wajah Jibam. Namun lelaki itu hanya mampu tunduk menahan rasa bersalah dan malu. Melihat reaksi lelaki itu entah kenapa dia terasa mahu ketawa pula. Kasihan pun ada melihat lelaki itu. Jibam memang pandai buat muka seposen supaya orang tak jadi mahu marah dengan dia.
“Macamana boleh koyak?” tanya Katrina benar-benar hairan.
“Tak tahu..” polos sahaja jawapan lelaki itu. Dah rasa bersalah sangatlah tu.
“Dik, baju you ni dah koyak..” ucap Katrina kepada jurujual itu. Sempat juga dia ketawa kecil sambil menggelengkan kepala.
“Koyak? Macamana pulak..” tanya jurujual itu kepelikan melihat belakang kemeja itu rabak sampai dia tidak mampu meneruskan bicara. Lama dia memandang belakang Jibam.
“I bayar nanti,” ucap Katrina macam faham sahaja apa makna pertanyaan itu. Dia kembali berdiri di hadapan Jibam.
“Dah berhelai-helai kita cuba tapi masih belum ada yang sesuai dengan you,” ucap Katrina sambil memandang kemeja di tubuh Jibam. Sebuah helaan nafas dilepaskan sambil berfikir sejenak.
“Saya rasa abang ni sesuai pakai kemeja yang ada potongan pada bahagian belakang,” celah jurujual itu tiba-tiba.
“Potongan yang macamana you maksudkan?” Katrina memandang lelaki awal 20-an itu.
“Ada kemeja yang didesignkan ada potongan pada belakang baju, macam kemeja perempuan. Pinggangnya lebih kecil. So kemeja tu akan ikut kita punya body shape. Badan abang ni besar pada dada, saya rasa kemeja macam tu lebih sesuai.”
“You ada kemeja jenis macam tu?”
“Ada tu ada. Tapi body abang ni besar. Kami takde saiz besar macam ni. Selalunya kalau kami order, saiz tu susah nak jual. Sebab tu kami tak ambil.”
Katrina terangguk-angguk mendengar penjelasan lelaki itu. Dia manalah tahu benar tentang itu semua. Jarang beli baju untuk lelaki. Saat dia menoleh kepada Jibam dia lihat Jibam memandang dia semacam. Melihat bola mata Jibam jatuh ke tangannya barulah dia tersedar.
“Upps! Sorry.. I tak sengaja.” Cepat-cepat Katrina menarik tangannya daripada dada lelaki itu. Merah mukanya sekejap. Maklumlah.. tengah bincang pasal dada besar. Dia jadi tak sedar pulak dia tengah seronok meraba-raba dada Jibam yang sedang berdiri di hadapannya itu. Mesti Jibam ingat dia gatal.
“Pergilah salin. Kita cuba cari di tempat lain,” ujar Katrina cuba mengawal rasa segannya kepada lelaki itu. Dah macam laki bini pulak main pegang-pegang begitu.
Jibam menonong sahaja ke bilik persalinan. Apa yang berlaku sekejap tadi bermain lagi di mindanya. Aneh perasaannya. Tapi indah! Tidak pernah seorang wanita pun menyentuh dia seperti itu. Apatah lagi yang secantik Katrina!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan