Jumaat, 14 Februari 2014

2-JIBAM KAHWIN JANDA VOUGE!

“Berapa harga sekilo ikan ni, Jusoh?” Mak cik Sitam terdengar pertanyaan itu tatkala dia tiba di sisi Mak cik Melur, jirannya.
“Ikan kembung tu Rm 10 sekilo, Kak.”
“Amboi.. apa ke mahal benar ikan kamu ni? Isi ikan ni dah bertukar jadi isi ikan salmon ke apa sampai mahal macam tu?” rungut Mak cik Melur setelah mendengar nilai yang disebutkan Jusoh. Sebelum ini tidaklah semahal itu rasanya. 
“Ni harga standard, Kak. Saya bukannya nak cekik darah pelanggan saya. Tapi dah memang harga itu yang dah ditetapkan.” Jusoh si penjual ikan itu menjawab sambil tersengih kepada dua wanita yang paling awal berada di lorinya.
Mak cik Melur mencebik sedikit sambil menoleh ke sebelahnya. Berterbangan rasa tidak puas hatinya tadi tatkala terpandangkan Mak cik Sitam.
“Ha! Ada pun kau, Tam? Ingatkan tak datang tadi,” tegur wanita itu sambil tersenyum kepada jirannya juga merangkap teman baiknya itu.
“Ada. Mana boleh tak datang, Melur. Kat dalam peti ais rumah aku tu seekor ikan pun dah takde. Kalau tak membeli dengan si Jusoh ni alamat makan sardinlah Abang Rahmat tu nanti,” jawab mak cik Sitam mesra.
“Samalah kita. Kat rumah aku tu pun hanya tinggal ikan bilis aja.”
“Mahal-mahal macam ni, kau jual ikan todak ajalah, Jusoh! Senang aku rodok kau dengan muncung ikan todak tu kalau aku tahu kau menipu,” ujar Mak cik Sitam selamba kepada Jusoh. Lelaki pertengahan 40-an itu sedang menyusun sayur-sayuran di satu bahagian di belakang lori itu.
Jusoh tergelak mendengar jenaka Mak cik Sitam. “Akak-akak sekalian, sebab tulah saya tak berani nak jual ikan todak. Harga ikan memang selalu naik. Turunnya jarang! Karang jadi anak yatim pulak anak-anak saya kat rumah tu. Bukan saya nak menipu, kak. Tapi dengan pembekal pun harga dah tinggi. Takde kayanya saya hidup dengan menipu ni, Kak Sitam. Tak berkat rezekinya nanti. Saya dah lama berniaga kat sini. Takkan akak tak percaya saya lagi?” Lelaki itu sekadar menjawab biasa. Tidak terasa hati langsung dengan ucapan Mak cik Sitam kerana memang itulah kebenarannya. Harga ikan semakin lama semakin mahal dan bukan dia yang menetapkan harga setinggi itu. Cumanya sebagai peniaga dia juga perlukan sedikit keuntungan.
Dalam diam Mak cik Sitam mengakui hakikat itu. Jika dia beli ikan di kedai atau pasar pun harga lebih kurang itu juga.
“Barang semua dah mahal sekarang ni,” keluh Mak cik Sitam sendiri.
“Itu memang lumrah dunia, Kak Sitam. Perihal naik harga barang ni memang semenjak zaman nabi lagi dah ada. Cuma ada antara peniaga ni suka ambil kesempatan dari keadaan tu,” ujar Jusoh cepat. Dia juga ikut terkesan daripada keadaan itu. Rungutan pelanggan-pelanggannya tentang itu sudah acap kali didengarinya. Tapi mereka semua harus akur dengan kuasa yang tidak ada di tangan mereka.
“Nak tak nak kena belilah jugak. Abang Mat aku tu bukannya suka sangat makan ayam.” Mak cik Melur berkata perlahan.
“Samalah dengan orang dalam rumah aku tu. Masak ayam, ikan jugak yang ditanyanya.” Mak cik Sitam ikut meluahkan keluhan yang sama.
“Ikan selayang ni murah sikit, kak. 8 ringgit sekilo. Segar-segar semua. Tengoklah..” Jusoh segera membuka penutup kotak ikan itu.
Tanpa kata dua wanita itu membelek ikan yang maksudkan Jusoh. Badan ikan itu dipicit Mak cik Sitam. Masih keras bermakna apa yang dikatakan Jusoh tadi memang benar.
“Aku nak sekilo ikan tu, Jusoh.” Mak cik Sitam segera memutuskan untuk membeli ikan itu.
“Aku pun nak sekilo. Bagi aku cili api 2 ringgit.”
“Beres!” jawab Jusoh pantas.
“Anak kau takde balik ke minggu ni?” tanya Mak cik Sitam sambil menoleh ke sebelahnya.
“Takde. minggu lepas dia dah balik. Nak meniaga katanya,” sambut Mak cik Melur lembut.
“Untung kau ada anak macam si Jibam tu, Melur. Anak kau duduk KL sana tak pernah menyusahkan kau walaupun tak berpangkat tinggi. Siap boleh kirim duit untuk kau dengan Abang Mat lagi,” ujar Mak cik Sitam lembut. Kadang kala dia cemburu melihat anak sahabatnya itu. Satu kampung tahu Jibam itu memang rajin budaknya. Semenjak dari zaman remaja Jibam sudah membiasakan diri melakukan apa-apa kerja yang mampu mendatangkan wang. Cuma disebabkan paras rupa yang agak kurang, Jibam tetap tidak diletakkan sebagai calon menantu walaupun mereka tahu sikap Jibam.
Tetapi tidak bagi dia. Tiga anak lelakinya juga berkerja di KL. Tetapi dengan tuntutan hidup di bandar dan arus kemodenan dunia yang semakin lama semakin menggoda, anak-anaknya selalu beralasan untuk membantu ibu dan ayah di kampung. Ada saja alasan tanda keculasan mereka meringankan beban suaminya. Termasuklah Acap.
Terkenangkan anak perempuan tunggalnya yang sedang menganggur itu, dia gusar. Saleha juga lebih kurang Jibam. Tak cantik, tak menarik. Namun Saleha tidaklah serajin Jibam dalam soal apa pun. Ingin dipasangkan Saleha dengan Jibam, anaknya itu tidak sudi pula. Namun sebagai ibu dia bimbang dengan masa depan Saleha. Apa akan jadi pada anaknya jika Allah mengambil nyawa dia atau suaminya dalam masa sehari dua ini sedangkan persediaan tidak ada? Siapa yang akan menjaga Saleha selepas itu? Itulah yang sering difikirkan Mak cik Sitam. Ironinya zaman moden seperti ini wanuta di luar sana baik yang bujang mahupun yang dah berkahwin masing-masing berkejaran keluar bersama dengan orang lelaki untuk meneruskan kelangsungan hidup. Masing-masing sudah kedepan dengan kerjaya masing-masing. Sedangkan Saleha tidak pernah membuka mindanya untuk melihat semua itu.
“Anak-anak kau yang lain tu tak balik jugak ke minggu ni?”
“Kalau tak hari raya, manalah si Mazlan dengan si Zaki tu nak balik.”
“Sibuk agaknya..” jawab Mak cik Melur perlahan.
“Sibuk memanjang tapi duit tak pernah cukup pun. Acap tu ajalah yang boleh aku harapkan sikit nak bantu kami ni, Melur. Tapi abang-abangnya pulak asyik nak menghimpit dia. Kesian aku menengoknya. Dia sebut nak kahwin cepat dengan si Ayu tu. Tapi fikir duit masih tak cukup, terpaksalah tangguh lagi. Acap tu pun sebaya Jibam. Dah 32 tahun. Elok benarlah kalau nak kahwin tu. Zaman sekarang ni bukan setakat ikan aja yang mahal. Belanja nak kenduri kahwin lagilah mahal. Kalau anak perempuan bolehlah tunggu duit aja dari pihak lelaki. Tapi anak lelaki ni semua nak kena tanggung.”
Mak cik Sitam terus membebel sambil tangannya mengambil sayur tauge untuk ditimbangnya. Mak cik Sitam mengeluh seketika mengenangkan anak ke tiganya itu. Baru nak berduit sikit dah diketuk oleh abang-abangnya. Acap juga seperti Jibam. Buat dua kerja untuk terus hidup. Namun sayangnya tidak pernah juga selesa disebabkan sikap Mazlan dan Zaki yang selalu meminta duit daripada si adik. Hasrat Acap untuk berumahtangga segera selalu tertangguh. Mak cik Sitam menggeleng sendiri.
“Zaman moden macam nilah, Kak Sitam. Semua benda nak duit sekarang.” Jusoh yang terdengar perbualan dua manusia itu segera mencelah. Ikan yang sudah siap dibungkus untuk dua pelanggannya itu terus diletakkan setempat. Lelaki itu terus tersenyum mesra kepada dua wanita itu.
“Kalau rajin usaha baguslah, Jusoh. Lambat laun Allah akan beri juga. Kalau tahu mintak aja macamlah kita ni bank, tu yang payah!” sambut Mak cik Sitam lantas membuatkan Mak cik Melur ketawa. Jusoh ikut tergelak mendengar jenaka berbaur perlian wanita itu.
“Bukan akak seorang yang melalui pengalaman macam ni, kak. Bagi saya begini aja. Keadaan dunia macam ni sebenarnya ujian dari Allah untuk semua orang. Terpulanglah pada kita nak lalui macamana. Sesetengah orang bila keadaan makin mendesak mereka akan lebih usaha, cari rezeki yang halal. Rezeki halal ni walaupun nampak sikit tapi berkatnya seumpama secupak beras boleh kenyang kalau dimakan sepuluh orang. Tapi kalau kita usaha dengan cara yang tak halal, dapat segantang pun sentiasa rasa tak cukup. Ada orang bila harga barang naik lebih suka maki hamun sana sini. Tapi tak pernah fikir nak cari jalan keluar seperti yang Allah gariskan dalam islam. Mungkin Allah cuma nak tengok usaha kita melepaskan diri dari semua kesusahan ni. Walaupun keadaan ni mungkin akan ditakdirkan sampai ke hujung usia dunia ni, hakikatnya orang yang sabar dengan apa yang tidak mereka dapati hanya akan merasa susah di atas dunia tapi senang di depan Allah nanti.” Jusoh berkata lembut.
“Betul jugak kata kau tu, Jusoh.” Mak cik Melur terus menyambut setuju.
“Saya pun tak suka dengan keadaan ni, kak. Saya faham bukan semua orang banyak duit. Tapi selagi kita reda dengan segala ujian yang dah Allah izinkan terletak di atas bahu kita, bersyukur walaupun terpaksa makan ikan bilis hari-hari dek kerana tidak ada kemampuan kita untuk mengubah nasib keluarga, insya-Allah lapanglah dada kita nanti. Lapang juga kesusahan kita suatu hari nanti. Dalam hidup ni Allah takkan mewahkan kita dengan semua nikmat tanpa sedikit pun kesusahan. Cuma kadang-kadang kita ni susah nak bersabar bila berkaitan dengan duit. Sebab itu keperluan utama kita nak teruskan hidup.  Setiap masalah ada jalan keluarnya, kak. Jalan yang mana kita pilih, itulah yang Allah nak tengok sebenarnya.”
“Betul cakap kau tu, Jusoh.” Akhirnya Mak cik Sitam akur juga dengan kebenaran kata-kata Jusoh itu.
Usai melayan dua pelanggan itu Jusoh bergerak ke tempat lain meninggalkan dua wanita itu terus berbual di situ.
“Leha mana? Dari tadi tak nampak?” tanya Mak cik Melur.
“Mana lagi dia nak duduk, Melur? Dalam bilik dia tulah. Membikin tahi mata! Itu lagi seorang suka buat pening kepala aku. Tak tahulah apa nak jadi dengan masa depan dia kalau sikap dia terus macam tu. Puas dinasihat tapi tak mahu dengar langsung cakap kita,” adu Mak cik Sitam kepada sahabat baiknya itu. Sebuah keluhan terhela lagi menandakan beban di dalam kepalanya itu semakin memberat dengan kerenah setiap satu daripada empat orang zuriat yang dimiliknya.
“Sabarlah, Itam. Jangan putus asa nasihatkan dia. Doa banyak-banyak pada Allah supaya dia berubah,” ujar Mak cik Melur lembut.
“Itu ajalah yang mampu aku buat sekarang ni, Melur.”
“Tak mahu ke dia pada anak aku si Jibam tu?”
Mak cik Sitam mengeluh lagi. Pertanyaan buat kesekian kalinya itu mengusik lagi hati kecilnya. Ikutkan hatinya memang dia mahu benar bermenantukan Jibam itu. Siapalah dia nak memilih benar. Mujurlah ada juga yang sudi bertanyakan anak daranya itu walaupun tidak kacak macam pelakon dalam tv sana. Sekurang-kurangnya dia tahu benar Jibam itu baik orangnya dan dia tahu masa depan Saleha pasti terjamin jika dengan Jibam. Bukannya dia mengharap Saleha akan berjodohan dengan orang berpangkat tinggi segala. Tapi cukuplah dia mengenali Jibam seorang yang rajin mencari rezeki untuk mencukupkan keperluan keluarganya. Itu yang dia lihat pada Jibam selama ini.
“Aku ni segan benar dengan kau, Melur. Dah berpuluh kali aku tanya, tak mahunya dia setuju. Aku pun tak tahulah apa yang ditunggu dek si Leha tu,” luah Mak cik Sitam rendah sahaja.
“Pujuklah pelan-pelan. Paksa-paksa ni pun tak jadi juga. Lama-lama mahulah tu,” jawab Mak cik Melur sedikit pun tidak kecil hati.
“Zaman sekarang ni tak pelik kalau anak dara sampai ke tua tak kahwin. Tapi itu untuk orang yang sibuk dengan kerjaya. Tak sempat nak cari suami. Tapi anak aku ni entahlah. Tak tahulah apa pendirian sebenarnya. Nak kata duduk rumah nak tunggu pinangan aja, bila ada yang mahu dia pulak memilih. Tapi bila disuruh keluar berkerja, lagilah dia tak suka. Aku bukannya nak minta dia pergi kerja sana untuk senangkan hidup aku dengan ayah dia. Tapi sekurang-kurangnya adalah sikit jaminan dalam hidup dia walaupun dia takde suami yang boleh menanggung makan minum dia. Aku tak mampu nak membayangkan buatnya ditakdirkan Allah ambil Abang Rahmat tu dari kami, Melur. Kami ni dahlah memang bergantung sepenuhnya pada kederat dia. Abang Rahmat tu dah sakit-sakit pun masih juga nak pergi kerja. Kalau dia tak kuatkan diri, macamana kami ni nak teruskan hidup? Nak harap anak-anak lelaki aku tu? Entahlah..” sedih nada Mak cik Sitam mengadukan halnya kepada jirannya itu. Terbayangkan suaminya yang berkerja sebagai tukang potong rumput itu, dia bertambah sayu.
“Ish! Janganlah bayangkan sampai macam tu. Mintak-mintak Allah jauhkan kita daripada kesusahan macam tu, Itam.”
“Aku memang nak sangat Leha terima Jibam tu sebagai suami. Aku tahu Jibam tu baik budaknya. Takde apa lagi yang aku harapkan untuk si Leha tu, Melur. Ada seorang lelaki yang baik macam Jibam tu sudi jaga dia pun dah seribu syukur untuk aku.”
Puas berborak Mak cik Sitam pulang ke rumahnya. Seperti mana dia meninggalkan rumah tadi, suasana rumah itu tetap sunyi tatkala dia menjejakkan kakinya ke rumah itu semula. Bermakna Saleha masih belum bangun dari tidur.
Ikan yang dibeli tadi mula dibersihkan untuk dimasak tengahari ini. Namun tidak lama kemudian dia terdengar bunyi lantai papan dipijak seseorang.
Mak cik Sitam menggeleng saja melihat kelibat anak daranya itu mula turun ke dapur. Kusut masai! Rimas dia menengoknya. Mak cik Sitam memandang jam di dinding. Sudah jam 11 pagi.
“Baru bangun ke Cik Saleha oi? Awal lagi ni. Kenapa tak tidur sambung sampai 3 petang aja nanti,” perli wanita itu geram melihat anaknya itu.
Saleha hanya buat pekak. Air teh susu sisa sarapan pagi tadi dituangnya ke dalam cawan dengan muka toya. Tak gosok gigi pulak tu!
“Apalah nak jadi dengan kamu ni, Leha? Berkerja tak mahu, kemas rumah pun malas! Nak aku kahwinkan, kau memilih pulak! Kalau semenggah manusianya nak memilih bagai takpelah jugak,” bebel Mak cik Sitam geramkan anak daranya itu. Anak daranya itu memang pemalas! Badan pun dah macam tong drum besarnya akibat penyakit malasnya yang kronik.
“Mak ni awal-awal pagi dah membebel,” ucap Saleha selamba.
“Awal pagi kejadahnya, Leha? Dah pukul 11 pagi. Matahari pun dah nak masuk waktu lunch, kamu tahu! Inikan pulak orang yang berkerja di pejabat Gomen sana tu. Kamu tu aja yang masih ketinggalan zaman. Orang dah ke langit hijau kamu masih berlingkar atas katil!” bentak wanita tua itu sebal dengan sikap cakna tidak cakna anaknya itu.
“Dah tak terjaga, nak buat macamana,” jawab Saleha biasa. Nasi goreng di bawah tudung saji terus diambilnya.
“Mak kahwinkan kau dengan Jibam, nak? Mak cik Melur kau tu dah lama nak pasangkan kau dengan anak dia,” ujar Mak cik Sitam mula melembutkan nadanya.
“Mak, jangan sebut nama Jibam boleh tak? Tak selera Leha nak makanlah bila dengan nama tu!” keluh Saleha bosan. Perkara itu bukan baru kali ini dia dengar. Sudah acap kali emaknya mahu memasangkan dia dengan lelaki hodoh itu.
“Tak selera kenapa pulak?” meninggi semula suara Mak cik Sitam kepada anak daranya itu.
“Mak, kut ya pun nak carikan Leha jodoh, janganlah si Jibam tu. Tak seleralah Leha nak pandang dia hari-hari. Tak hensem langsung,” ucap Saleha geram. Menyebut nama lelaki itu pun dia tak selera. Inikan pula nak berkahwin dengan Jibam. Memang taklah!
“Amboi! Tak selera sebab apa? Tak hensem? Kamu tu ada pernah cermin diri sendiri k tidak? Cantik benar ke kamu tu? Badan kamu tu.. cantik macam Rozita Che Wan ke? Sedap tekak kau aja nak menghina orang. Kalau bukan si Jibam tu siapa lagi yang nakkan kamu dengan perangai tak semenggah kau ni? Cuba cakap dengan mak! Kalau pemalas tahap tujuh petala langit tapi rupa cantik takpelah jugak. Ni kamu menghina orang tak lawa, kamu tu pun lebih kurang aja!” tempelak Mak cik Sitam semakin geram dengan anaknya itu.
Saleha menghela nafas perlahan. Bebelan emaknya itu sudah menerbitkan rasa bosannya. “Orang tak naklah Jibam tu, mak. Orang tak sukakan dia.”
“Jibam tu baik budaknya. Rajin cari rezeki! Tiap-tiap tak pernah culas kirim duit pada Mak cik Melur. Lelaki yang macamana lagi yang kamu nak, Leha? Cari laki muka hensem pun 20 tahun aja yang sedap mata memandang. Lepas tu berkedut jugak,” balas mak cik Sitam bersungguh. Harap-harap kali ini Saleha mengubah pandangannya tentang Jibam.
Saleha mendecit perlahan. Malas mahu menadah telinga kepada bebelan emaknya dia naik ke atas bersama pinggan nasi goreng itu.
“Makan, tidur, makan, tidur. Lepas tu baca majalah artis. Itu ajalah kerja kau hari-hari! Manalah tak macam tong drum badan tu. Orang nasihat, cepat aja dia angkat kaki. Lepas makan tu jangan lupa pergi mandi! Anak dara apa macam ni? Sampai nak jaga kebersihan diri pun malas!” semakin lantang bebelan Mak cik Sitam kepada anak daranya yang sudah berusia 27 tahun itu.
“Membebel aja orang tua ni. Orang nak makan pun tak senang sebut nama Jibam. Ingat orang ni takde taste ke apa nak dipadokkan dengan si hodoh tu. Kerja pun setakat buruh binaan aja. Tak ingin aku!” Saleha ikut membebel sendiri. Sambil melabuhkan punggung lebarnya ke kerusi rotan di hadapan tv, tv itu dihidupkannya dengan alat kawalan jauh.
Mak cik Sitam di dapur hanya mampu menggeleng. Saleha satu-satu anak perempuan yang dia ada. Malangnya Saleha itu nama saja seorang perempuan. nama nak menolong dia di dapur atau membuat kerja rumah. Memang tak pernah! Dia pun tak tahulah bahagian mana didikannya yang tersalah sehingga Saleha jadi begitu.

Jibam yang baru hendak menyuap nasi tersentak apabila bahu ditepuk seseorang dari arah belakang. Suapannya terhenti di pertengahan jalan. Sepantas kilat dia mencari siapa yang menegurnya melalui sentuhan itu.
“Baru nak makan ke, Jibam? Bukan ke aku dah suruh kau rehat pukul 1 setengah tadi?” Fazil penyelia tapak projek itu terus duduk bersebelahan dengan Jibam tanpa dipelawa. Jam di pergelangan tangannya dibelek sekali lagi. Memang dia tidak silap. Sudah hampir jam 2 setengah.
“Lambat sikit, bang. Kerja menaikkan dinding di tingkat 4 masih banyak nak kena buat.” Jibam memandang Fazil sekilas sambil menjawab.
“Teh o ais satu, kak!” Sekadar dari tempat duduknya dia membuat pesanan kepada tauke gerai tempat mereka menikamati makan tengahari setiap hari apabila tiba waktu rehat. Seketika kemudian wajah anak muda bersebelahan dengannya itu kembali dipandang. Tersenyum dia melihat nasi membumbung di dalam pinggan Jibam.
“Kau ni lauk sedap ke, tak sedap ke, semacam aja kau makan. Laju sentiasa!” ujar Fazil sekadar usikan kecil buat Jibam.
“Sedap ke tidak, tak penting. Yang penting kenyang dan dan boleh bagi tenaga waktu nak sambung kerja nanti, bang. Memanglah kena makan laju-laju. Waktu rehat saya dah nak habis.” Jibam menjawab selamba.
“Takpe. Kau makan aja pelan-pelan. Kau keluar lambat, masuk pun lambat. Kira dari masa kau punch card keluar tadi. Kerja-kerja jugak, rehat pun kena cukup, Jibam.” Fazil berkata sambil anak muda yang muda beberapa tahun darinya itu terus diperhatikan penuh minat.
“Tak makan, bang?” pelawa Jibam lembut. Tidak selesa pula membiarkan dirinya makan dengan selesa sedangkan orang di sebelah tidak.
“Makanlah. Aku dah makan tadi lagi. Aku ni tak pe tak makan, Jibam. Kerja aku arah-arah orang aja. Kau orang ni memang wajib kena makan bila sampai waktu rehat. Apa-apa jadi kata dalam sana tu, aku yang susah nak menjawab pada orang atasan nanti,” jawab Fazil biasa.
“Saya mana pernah tak makan waktu tengahari macam ni, bang. Kempis perut saya ni nanti semua orang susah hati tengok saya ni slim sangat. Tak boleh.. nanti nama pun kena tukar jadi Jislim,” sambut Jibam sempat juga melemparkan loyar buruknya.
Tergelak Fazil mendengar kata-kata Jibam itu.
Fazil teringat suatu ketika sebelum ini, dia terpandangkan Jibam bergurau dengan Abi salah seorang pekerja dari Indonesia yang turut bekerja di tapak projek itu. Jibam masih mampu berwajah tenang tatkala bahunya dipicit oleh Abi. Tetapi apabila tiba giliran Jibam membalas semula perbuatan Abi, lelaki itu melolong macam baru lepas digelek lori. Macam dah nak mati benar gayanya. Ramai pekerja yang mengakui kekuatan Jibam memang melebihi mereka.
“Badan kau ni dah macam Malek Nor aku tengok. Keras! Setakat pikul 5 guni semen naik tingkat dua, celah gigi kau aja. Budak Indon pun tu tak lalu nak buat. Apa rahsia kau, Jibam?” ucap Fazil kagum. Sudah lama dia perhatikan. Sekali pandang memang dia teringat watak animasi Shrek yang sering ditonton oleh anak-anaknya. Cuma Jibam ni hitam, bukannya hijau.
“Takde apa-apa rahsia, bang. Memang dah tertulis di azali badan saya ni besar macam Malek Nor. Nak buat macamana? Terima ajalah dengan hati yang reda. Tapi takpe.. biarlah luaran saya nampak ganas. Kerja pun tak tempat kasar macam ni. Yang penting dalam hati saya ni ada taman, bang.” Jibam terus selamba sambil menyuap nasinya. Dia sudah tidak kisah orang mengata dia besar atau apa. Yang penting tenaga dia memang banyak dengan saiz badan sebesar ini. Sebab itulah dia mampu tahan berkerja di tempat seperti itu.
Gelihati Fazil dengan jawapan Jibam. “Poyo betul kau ni, Jibam! Ada taman konon. Kau ni elok kerja bounzer, tahu tak. Tengok lengan kau ni, dah sama besar dengan betis aku,” ucap Fazil lantas memicit lengan Jibam.
Jibam sekadar tersengih kepada Fazil. Ngeri Fazil mahu memandang lama-lama sengihan Jibam. Terlopong begitu sahaja! Bilalah dia ni nak buat gigi palsu? Bisik hati Fazil sendiri.
“So business pizza kau macamana?”
“Alhamdulillah.. baik, bang.” Jibam menjawab ringkas sahaja. Malas nak cerita lebih-lebih. Nanti orang kata riyak pula sedangkan dia dan Acap masih merangkak-rangkak mahu mahu dalam perniagaan sampingan mereka itu.
“Kau ni memang rajinlah, Jibam. Siang kerja di sini. Malam berniaga pulak. Kalau orang lain, dengan kerja berat macam ni malam dah tentu lepak aja kat rumah. Tapi kau siap boleh jual pizza dengan burger sampai tengah malam. Eloklah tu. Manalah tahu sampai seru kau nak kahwin, duit hantaran semua dah ada,” komen Fazil kagum dengan anak muda seorang ini. Kurang paras rupa namun sikapnya menyenangkan orang sekelilingnya.
“Saya simpan duit nak hantar mak dengan ayah ke Mekah, bang. Sekarang tambang nak ke Mekah dah mahal. Lagipun hidup di KL ni semuanya duit. Orang macam saya ni kalau tak cari jalan keluar, alamat cukup bulan habislah duit gaji. Macamana nak kirim kat mak lagi kalau dah macam tu?” jawab Jibam jujur.
Fazil mengangguk setuju dengan pendirian Jibam. Anak muda itu terus dipandangnya lagi. Masalahnya tak semua orang sanggup melakukan macam Jibam, mencari jalan keluar biarpun sedar gaji sebulan cukup-cukup makan aja.
“Siapa awek kau sekarang ni, Jibam?” tanya Fazil sekadar mahu mengisi suasana antara mereka berdua. Selalunya apabila dia berbual dengan Jibam, soal teman istimewa memang jarang ditanyakannya. Bimbang Jibam tak suka. Jibam pun tak pernah bercerita tentang itu kepada dia selama ini.
“Mana saya ni pernah ada awek, bang. Siapalah nak dengan orang pelik macam saya ni? Hodoh!” Rendah sahaja jawapan Jibam.
“Tak baik cakap macam tu. Kau hina diri kau sendiri, kau sedar tak itu semua Allah yang beri pada kau? Kau ingat semua lelaki yang berawek dalam dunia ni hensem belaka ke? Ada jugak yang muka lebih teruk daripada kereta yang baru lepas eksiden!” ucap Fazil lembut.
Jibam terdiam mendengar teguran Fazil. Air putih di dalam cawannya diminum sedikit demi sedikit sambil memikirkan kata-kata Fazil.
“Kau ni bukannya teruk sangat sebenarnya, Jibam. Kau pun ada kelebihan kau sendiri. Kau budak baik. Jujur! Rajin! Sebab tu aku sayang kau,” ujar Fazil bersungguh.
Selama 10 tahun dia mengenali lelaki bertubuh besar ini. Ke mana sahaja dia ditugaskan Jibam akan dibawanya sekali. Dan sikap Jibam amat disenangi oleh kawan-kawan sekerja yang lain. Jibam seorang yang selamba. Orangnya pun tak suka marah-marah. Daripada seorang yang tidak tahu apa-apa dulu, kini Jibam sudah mahir dengan semua kerja di setiap bahagian. Jibam adalah orang yang paling dipercayainya dan boleh diharap.
Jibam tersenyum mendengar ucapan Fazil yang jelas sekali mahu mengambi hatinya. Namun dia akui penyelianya ini memang baik kepadanya semenjak dulu.
“Kalau kau potong rambut kau ni elok-elok, jambang kau tu buang hari-hari. Kemudian buat gigi palsu.. insya-Allah adalah orang minat kat kau. Sesetengah perempuan ni tak pandang rupa paras lelaki. Tapi sikap dan penampilan diri. Lelaki yang tahu menjaga penampilan diri bermakna dia boleh menjaga keluarga,” ujar Fazil lagi sambil mengusik rambut kerinting Jibam. Sudahlah tebal, jarang dipotong, tak pernah pula di sapu minyak rambut dan jauh sekali nak disikat kerap supaya tidak kusut. Jibam nampak selekeh benar dengan jambang yang hanya dicukur sekali sekala.
“Ye ke?” tanya Jibam bersungguh.
“Insya-Allah.. Allah tahu segalanya, Jibam. Yakin dengan Dia. Semua orang atas dunia hidup ada pasangannya. Mungkin jodoh kau belum sampai. Hanya Dia yang mengetahui siapa perempuan bertuah tu,” jawab Fazil lembut.
 Jibam mengangguk perlahan. Agaknya kalau dia ikut kata-kata Fazil mesti ramai awek mahu kepadanya. Jibam mula berjeda. Diruang matanya muncul wanita idamannya.. pelakon Emma Maembong yang putih gebu itu.
“Abang Jibam, Emma teringin sangat nak berlakon dengan abang. Emma nak bagitahu pada produser Emma nanti. Emma nak abang diambil untuk membawa watak hero dalam drama Projek Memikat Suami tu nanti,” kata Emma Maembong itu sambil memaut mesra lengan si Jibam yang lebih kurang sama saiz dengan pahanya.
“Boleh saja, Emma. Abang pun memang dah lama nak bergandingan dengan Emma dalam cerita tu. Rasanya abang lebih sesuai melakonkan watak hero berbanding si mamat muka jambu tu. Pasti mantap kita nanti,” jawab Jibam penuh rasa bahagianya.
Emma Maembong tersenyum malu memandang raut kacak si Jibam. Pertama kali memandang Jibam hatinya bagaikan digoncang hebat. Terpesona dia dibuatnya.
“Abang Jibam, Emma.. err.. Emma rasa Emma dah jatuh cinta dengan Abang Jibam. Jom kita kahwin?”
Kahwin dengan Emma Maembong? Jibam ternganga bagaikan tidak percaya lamaran itu. Baru sahaja dia mahu menjawab bahunya tiba-tiba pedih dipukul seseorang. Wajah jelita Emma Maembong ikut menghilang daripada pandangannya.
“Jibam! Oi! Kau ni dah kenapa ternganga macam tu? Berfikir ke berangan?” tegur Fazil pelik melihat gelagat Jibam. Bahu Jibam ditolaknya sekali lagi untuk menyedarkan anak muda itu.
Jibam segera tersengih sambil menggaru kepalanya untuk menutupi kealpaannya sekejap tadi. Macamanalah dia boleh terberangan pulak dalam waktu-waktu begini. Memikirkan waktu sudah tidak banyak yang tinggal Jibam segera menghabiskan air di dalam gelasnya.
“Pergi dulu, bang. Saya nak sambung kerja semula,” ucap Jibam lantas bangun dari situ. Topi keselamatannya di atas meja itu diletakkan semula di atas kepalanya.
“Kak Siti, masuk dalam buku 555 ya?” laung Jibam kepada pemilik gerai itu.
“Yalah..” jawab Kak Siti dari dalam gerai itu.

Fazil tersenyum sambil menggeleng sendiri melihat Jibam. Dia tahu lelaki sebaik Jibam pasti ada wanita yang mahu suatu hari nanti. Insya-Allah dia akan selalu mendoakan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan