“Enough,
Ryan!” tegas Katrina lantas
menolak kepala lelaki itu agar menjauhinya. Rimas dia dengan gelagat lelaki
ini. Asyik nak menyempit dekat dengannya. Berbisik sana, berbisik sini.
Macamlah dia pekak!
“I rindu sangat, Kat..” rayu lelaki itu macam orang mabuk
cinta.
“Orang tengoklah. Malulah sikit,” tegur Katrina kembali
melembutkan suaranya. Matanya kembali memandang persekitaran restoran itu.
Pengunjung lain sedang sibuk melayani hidangan masing-masing. Nasib baiklah..
“Kita kahwin, sayang..” pujuk Ryan dengan mata redupnya.
Geram benar dia memandang pipi Katrina. Ikutkan hatinya pipi itu sudah
digomolnya.
“You ni memang tak reti bahasalah!”
“I tahu tapi perasaan I ni yang tak mahu faham. Asyik
ingat pada you. Rindu sangat ni, sayang. Please..” rungut Ryan dengan suara
manja.
“Mana pergi girlfreind you semua? Pergilah cari dia
orang. Asyik cari I aja kenapa?” perli Katrina lantas menjeling lelaki di
sebelahnya itu.
“Mana I ada girlfreind lain? I sayang you seorang aja,
Kat. I dah tinggalkan dia orang tu semua sebab I tak cintakan
perempuan-perempuan tu,” balas Ryan Abraham bersungguh.
“Iyalah sangat!” getus Katrina sambil menoleh ke arah
lain.
“Kat, I betul-betul nak you semula. I tak boleh terus
hidup macam ni.” Ryan tanpa segan silu mencapai jemari Katrina. Hampir sahaja
jemari lembut itu sampai ke bibirnya. Namun Katrina lebih pantas merentap
tangannya.
“Jangan pegang-pegang I boleh tak? I tak sukalah! I bukan
isteri you, Ryan.” Meninggi kembali suara Katrina cuba menenggelamkan kemiangan
lelaki itu.
Ryan mendecit perlahan dengan kerlingan ekor mata. Makin
liar pula Katrina dilihatnya. Dulu masa mereka bercinta sekadar pegang-pegang
begitu tidak pula Katrina kisah. Sekarang kisah pulak. Tak boleh jadi ni..
“Kat, apa yang harus I buat supaya you tak layan I macam
ni? Cakaplah.. I akan buat. Malam ni you ikut I balik ya?” pujuk Ryan dalam
bisik menggoda.
“Ikut you balik? What for??” ulang Katrina dengan suara
tajam. Laju dia menoleh kepada Ryan. Liuk lentok lelaki itu membuatkan dia mual
entah kenapa.
“I sayang you, Kat. Sampai bila kita nak macam ni?” pujuk
Ryan lembut. Rambut jandanya itu diusik lembut. Sesungguhnya dia terlalu
rindukan segala-galanya yang dimiliki Katrina. Dia sudah tidak sanggup menunggu
lagi.
Katrina menggeleng perlahan. Menyesal pula rasanya dia
menurut ajakan lelaki itu tadi. Kalau dia tahu perangai miang lelaki ini sampai
macam ini sekali, memang takdelah lain kali jawabnya.
“Dengan orang lain mungkin senanglah, Ryan. Dengan I
jangan harap!” tukas Katrina geram. Beg tangannya dicapai. Buang masa aja dia
ke situ. Mahu makan malam pun dia tidak selera. Sebal benar dia dengan gelagat
gatal dudanya itu. Gila talak agaknya.
“I akan upah seorang lelaki untuk kahwin dengan you.
Lepas dia ceraikan you, kita kahwin!” ucap Ryan sebelum sempat Katrina berlalu.
Bicara itu menghentikan langkah Katrina serta merta.
Wajah selamba Ryan dipandang lama. Semakin sakit hatinya. Pandai-pandai sahaja
Ryan membuat keputusan untuk dirinya.
“Excuse me! I tak pernah cakap I nak you semula?” ucap
Katrina sinis.
“Memang you tak cakap. Tapi I tahu you pun masih
sayangkan I. Kalau tak kenapa you datang?” selar Ryan dengan sedikit senyuman
bangga.
Terdiam Katrina kala itu. Akalnya terus ligat mencari
alasan mengapa dia bersetuju untuk makan malam bersama Ryan. Namun dia tiada!
Dia sendiri tidak tahu kenapa dia datang.
Ryan terus tersenyum melihat kekalahan Katrina mematahkan
kata-katanya. Dengan selamba dia menarik tangan wanita itu agar duduk semula di
sebelahnya. Katrina akur sahaja. Dia seperti terawang-awang sendiri dengan
perbuatan lelaki itu.
“I janji you takkan menyesal lagi, Kat. Kali ni kita akan
bahagia bersama.” Suara Ryan terus gemersik di telinga Katrina. Membuatkan
perasaannya jadi haru biru entah kenapa.
Katrina menghela nafas perlahan. Cuba mengembalikan
dirinya ke alam sedar. Cinta sahaja tidak cukup untuk disandarkan dalam
hubungan mereka berdua. Paling utama daddynya memang tidak sukakan Ryan! Itu
salah satu masalahnya.
“Ryan, kenapa you tak cuba lupakan I aja? I tak sanggup
mencuba untuk kali kedua. I takut,” luah Katrina agak rendah. Perasaannya mula
terasa berbelah bahagi saat ini.
“No! I tak mahu lupakan you dan tak akan mampu lupakan
you, Kat. You yang paling istimewa untuk I dan you adalah wanita terbaik untuk
I selama ini. I memang pernah buat silap dulu. Tapi itu dulu, sayang. Sekarang
I hanya setia pada you,” ujar Ryan lembut sahaja.
“Really?” soal Katrina antara percaya dengan tidak. “So
siapalah lelaki bertuah yang bakal dapat upah lumayan dari you tu untuk kahwin dengan I?”
Ryan tergelak perlahan. Wajah seorang lelaki melintas di
benaknya. Sudah beberapa hari dia mengintip lelaki itu. Rasanya lelaki itu
memang calon yang sesuai. Kriteria utama yang membuatkan dia terpikat dengan
lelaki itu adalah.. lurus! Selebihnya dia benar-benar tertawan melihat
penampilan aneh lelaki itu. Dengan semua kriteria yang ada pada lelaki bernama
Mohd Syahir Eddy itu, dia yakin Katrina tidak akan curang kepadanya. Takkanlah
Katrina selera mahu bergaul mesra dengan lelaki selekeh itu? Ryan terus
tersenyum sendiri.
“I belum lamar dia lagi. Nanti bila I dah lamar dia, I
akan beritahu you siapa orangnya.”
“I kenal ke?” tanya Katrina. Janganlah hendaknya dia
dipadankan dengan teman-teman Ryan yang sekufu perangainya dengan dudanya ini.
Mahu jadi ayam golek dia nanti. Asyik diratah aja. Tak sanggup!
“You kenal!” tegas Ryan sambil tersenyum. Melihat Katrina
banyak bertanya dia menganggap wanita itu berminat dengan usulnya tadi.
“Siapa?” semakin tebal kerutan di kening Katrina.
“Nantilah I bagitahu. Sabar, sayang. Sampai masanya I
akan umumkan siapa jejaka yang bertuah tu. You mesti akan terkejut.” Ryan terus
memujuk sambil memaut bahu jandanya itu mesra. Melihat Katrina tidak bersuara
senyuman Ryan semakin melebar. Dia tahu sedikit masa lagi impiannya untuk
memiliki Katrina semula akan tercapai. Pasti!
Katrina terus membisu dalam pada meraup wajahnya sendiri.
Dia sendiri tidak tahu apa yang harus dikatakannya kepada Ryan. Bersetuju
tidak, tidak setuju pun entahlah. Namun apa yang pasti lidahnya seakan-akan
kelu untuk membantah. Entah kenapa pendirianya jadi lemah.
Pulang ke rumah dia hanya bersendirian. Sunyi sahaja
rumah itu. Kesepian rumah itu hanya membuat dia semakin tertekan. Akhirnya
Katrina mula keluar ke balkoni. Deruan angin malam mula memberikan dia sedikit
kedinginan. Namun segala yang berlaku sebentar tadi terimbau semula di
fikirannya. Kusut! Itu yang dia rasa setelah mendengar rancangan Ryan. Dia
tidak tahu apa yang harus diputuskan. Janji Ryan kembali terimbau lagi di
benaknya. Bukan janji sehidup semati atau apa. Tapi janji lelaki itu untuk
terus memburunya sekiranya dia menolak kehendak lelaki itu.
Katrina tahu lama kelamaan dia akan rebah juga bersama
pendiriannya. Ryan memang bijak mempergunakan kelemahannya. Berulang kali dia
bertanya siapa lelaki yang mahu dilamar Ryan itu. Namun lelaki itu tetap mahu
berahsia. Saat ini rasa terujanya untuk mengetahui siapa lelaki itu sudah
melebihi perasaan gembiranya untuk mengahwini Ryan semula. Untuk bersatu dengan
lelaki itu dia masih terlalu ragu. Terlalu takut! Memang dia jenis wanita yang tidak
suka menangis. Tetapi itu tidak bermakna dia tidak pernah merasa terluka dengan
perbuatan lelaki itu dahulu. Untuk mengahwini lelaki itu semula dalam keadaan
perasaannya masih terumbang ambing begini? Entahlah..
“Kenapa mesti aku?” ucap Katrina seorang diri. Saat
memandang kerlipan neon nun jauh di sana barulah dia sedar betapa sepi hidupnya
ini tanpa kehadiran seorang lelaki. Namun dia sedar kehadiran Ryan di dalam
hatinya selama ini tidak banyak memberi keindahan yang diharapkan.
Seketika kemudian matanya dihalakan ke langit.
Seolah-olah mencari sang pencipta langit dan bumi. Ingin dia bertanyakan
soalan. Dia terlalu memerlukan jawapan untuk segala kekeliruan di dalam dirinya
kala ini. Masihkah ada cinta buat Ryan sebenarnya? Dia sendiri tidak tahu apa
yang sedang bermain di hatinya ini. Setiap kali wajah dudanya itu singgah di
ruang matanya dia sukar membaca apa yang benar untuk dipegangnya. Dia
benar-benar keliru dengan dirinya sendiri.
Siapa sebenarnya yang layak untuk aku cintai, Ya Allah?
Dari rusuk siapakah aku ini dijadikan.. bisik hati wanita itu penuh harapan
agar dia diketemukan jawapan dalam masa yang singkat ini.
“Kalau aku tak bahagia dengan dia, kenapa mesti aku
ulangi lagi kisah yang sama? Kenapa aku mesti beri dia ruang untuk hancurkan
hati aku sekali lagi?” ucap Katrina sendiri sekali lagi. Matanya dipejamkan
perlahan sambil menghela nafas dalam. Harap-harap kekusutan itu segera mengalir
keluar dari ruang fikirannya melalui deruan nafas itu. Namun sayangnya semuanya
masih berada di tempat yang sama.
Jibam tidak jadi mahu menyapa saat terpandangkan wajah keruh
Katrina pagi itu. Seperti lazimnya dia membuka pintu buat bosnya itu sebaik
sahaja wanita itu sampai ke kereta. Kelainan kali ini lekas dirasainya. Katrina
tidak tersenyum kepadanya seperti selalu. Wajah itu nampak muram, tiada mood.
Separuh jalan itu Katrina tiba-tiba bersuara. “Pusing
balik, Jibam! I tak mahu ke office.”
Jibam semakin hairan melihat gelagat wanita itu. Sempat
dia menilik Katrina melalui cermin pandang belakang.
“Cik Katrina nak ke mana?” tanya Jibam setelah dia
berjaya mencelah di pusingan U dalam kesesakan pagi itu.
“Mana-mana aja..” jawab Katrina tanpa memandang Jibam.
Pandangannya terus dilontarkan ke luar jendela sambil menghela nafas perlahan.
Moodnya langsung ke laut pagi ini entah kenapa. Dia tidak berminat mahu
bersesak-sesak dengan segala urusan pejabat.
“Mana-mana aja? Nanti Tan Sri marah kalau kita..” Jibam
tidak sempat menghabiskan kata-katanya apabila suara Katrina menerpa lagi.
Katrina menghela nafas kuat. “Don’t talk too much! I fade
up, tau tak! I takde mood nak jawab soalan-soalan you. Ikut aja apa yang I
arahkan tadi,” ucap Katrina meninggi tiba-tiba.
“Okay..” Jibam menjawab perlahan. Kereta terus dipandunya
sambil memikirkan ke mana mahu dibawanya wanita itu.
Mana nak pergi ni? Takkan aku nak bawak dia balik rumah
aku pulak? Bisik hati lelaki itu. Jibam tergaru-garu di tempat pemandu sambil
memandang ke hadapan. Namun akhirnya kereta itu terus dipandunya sehingga tiba di
lebuhraya menuju ke KLIA.
“Masuk exit KLIA, you drive ke hub kedua. Nanti I
tunjukkan jalan.” Katrina mula bersuara setelah sekian lama dia membisu.
“Okay..” hanya itu yang termampu dijawab Jibam. Takut nak
membantah. Bimbang meledak lagi kemarahan Katrina.
Setelah memandu hampir setengah jam Katrina meminta Jibam
berhenti di satu kawasan yang agak sunyi. Namun dari situ mereka dapat melihat
bangunan KLIA sedang tersergam gah.
“Kita nak buat apa kat sini?” tanya Jibam sedikit
terpinga-pinga. Puas dia memandang sekeliling. Apa yang ada di situ melainkan
pokok kelapa sawit di sekeliling mereka selain daripada bangunan KLIA itu?
Katrina tidak menjawab. Dia terus keluar daripada kereta.
Perlahan tubuhnya disandarkan di tepi kereta itu. Jibam ikut keluar. Tidak
puas-puas matanya memandang. Hairan dia.. apa yang Katrina tunggu di sini?
Namun seketika kemudian dia terdengar bunyi bising. Serentak mereka berdua
memandang ke arah kawasan pokok kelapa sawit itu. Sebuah pesawat sedang terbang
cukup rendah di atas kepala mereka.
Ternganga Jibam sambil pandangannya mengekori pesawat itu
sehinggalah pesawat itu mendarat di landasan sana. Semua itu dipandang dengan
penuh rasa jakun. Inilah pertama kali dia melihat sebuah kapal terbang terbang
sedekat itu dengannya. Bunyi bising enjin pesawat itu menambah lagi rasa
jakunnya. Best jugak tengok pesawat mendarat macam ni. Aku mana pernah tengok
kapal terbang dekat-dekat. Selalu tengok dalam tv aja. Naik kapal terbang
lagilah tak pernah.. bisik hatinya masih belum puas.
Katrina yang tadi turut memandang pesawat itu mula
memandang Jibam. Tiba-tiba dia tersenyum. Rasa geli mula menggeletek hatinya
saat melihat gelagat lelaki itu. Terbang segala rasa tidak aman di hatinya saat
itu.
“Jibam..” panggil Katrina lembut.
Jibam terus menoleh. Rambut wanita itu masih terbuai-buai
oleh sisa libasan angin daripada enjin pesawat yang melalui atas kepala mereka
sebentar tadi. Pandangan wanita itu membuatkan dadanya sesak semacam. Cantik
sangat! Namun seketika kemudian Jibam meraba rambutnya. Dia sendiri tidak tahu
apa telah berlaku kepada rambutnya saat ini. Entah-entah dah kusut masai.
Sekali lagi Katrina tersenyum melihat Jibam kalut
menyikat rambutnya dengan tangan. Kelakar juga lelaki itu pada matanya.
“Come here..” panggil Katrina sekali lagi.
Jibam patuh mendekati wanita itu.
“I minta maaf sebab tengking you tadi. I tak bermaksud
nak sakitkan hati you,” ujar Katrina lembut. Pandangannya hanya singgah sekejap
di wajah lelaki itu.
“Takpe. Saya tak ambil hati.” Jibam terus menjawab
lembut.
Katrina diam sebentar. Entah kenapa dia menghela nafas
sendiri. Kesunyian kawasan ini memberikan dia ruang yang luas untuk menenangkan
fikirannya. Dia tidak suka pada keramaian dalam keadaan dia begini. Kerana itu
dia mahu berada di sini.
“You ada girlfreind ke, Jibam?” tanya Katrina tiba-tiba.
Jibam terkedu mendengar pertanyaan itu. Lain macam pula
dadanya saat ini. Kenapa Katrina bertanya begitu? Nak lamar dia jadi teman
lelaki ke? Fikiran Jibam terus menerawang.
“Saya takde girlfreind..”
“Betul?” tanya wanita itu lembut.
“Betul..”
“You suka I tak?” tanya Katrina sambil tersenyum manis.
“Suka..” Jibam menjawab sambil mengetil hujung kukunya.
Malulah..
“Kalau I nak jadi girlfreind you, boleh?”
“Boleh sangat, Cik Katrina. Saya sudi.” Jibam menyeringai
malu-malu.
“Apa yang boleh sangat? Apa yang sudi?” tanya Katrina
lantas menepuk bahu Jibam di sebelahnya itu. Berkerut keningnya memandang Jibam
tersengih seorang diri. Berangan ke apa mamat ni? Detik hatinya hairan.
Jibam tersentak lalu menoleh. “Ha? Saya sudi.. err sudi
jawab soalan tadi tu. Err.. apa soalannya? Saya ada apa tadi?” Jibam buat-buat
lupa pulak dalam pada dia cuba mengawal kegelabahannya.
“You berangan tadi ya?” Katrina tergelak sambil merenung
sisi wajah Jibam.
“Mana ada! Berangan ni kerja orang perempuan aja!” getus
Jibam pantas. Nama nak mengaku yang dia memang selalu berangankan cik
Katrinanya ini? Memang taklah!
“Habis tu yang you bercakap seorang tadi tu apa?” ujar
Katrina sambil memandang lelaki itu. Tawa yang mahu terhambur ditahan sedaya
upaya. Wajah kalut Jibam mahu menyembunyikan rasa malunya membuatkan dia
semakin tidak mampu menahan rasa gelihatinya.
“Saya emm.. tadi tu saya terlelap sekejap. Saya mengigau.
Saya kadang-kadang selalu tidur berdiri. Betul!” jawab Jibam bersungguh.
“Tipu!” getus Katrina dengan pandangan ekor mata tanda tidak
percaya.
Jibam menggaru lagi rambutnya. Gelabah katak dia melihat
renungan Katrina kepadanya. Jangan pandang macam tu boleh tak? Sakit perut
jadinya aku ni, getus hati Jibam tidak keruan.
“You tak jawab lagi soalan I tadi. Siapa girlfreind you
sekarang?” tanya Katrina bersungguh. Teringin benar dia mahu mengorek rahsia
hidup lelaki ini.
Senyuman Jibam meluntur perlahan-lahan sebelum dia
menjawab. “Saya tak pernah ada kekasih selama ini.”
“Serius?”
Jibam mengangguk. “Saya pernah sukakan seorang perempuan
semenjak dari zaman sekolah dulu. Dia satu kelas dengan saya. Lepas habis SPM
saya cuba lamar dia. Tapi dia mengadu pada bapak dia. Bapak dia marah, tumbuk
saya sampai hilang gigi saya empat batang,” cerita Jibam sambil memandang ke
hadapan. Merenung semula kisah lama itu.
“Sampai macam tu? Kenapa pulak ayah perempuan tu tumbuk
you?” tanya Katrina tidak faham.
Jibam tersenyum pahit. “Sebab saya ni tak hensem. Hodoh!”
ujar Jibam rendah.
Katrina mengerutkan keningnya lagi. Wajah lelaki itu cuba
dipandangnya. Melihat sedikit kesayuan di mata lelaki itu tiba-tiba dia rasa
kasihan. Seteruk-teruk nasibnya tidaklah sampai dia dicederakan seperti Jibam
hanya kerana rupa paras yang tidak menepati selera.
“You hodoh ke?” tanya Katrina cuba menyedapkan hati
lelaki di sebelahnya itu.
Jibam sekadar tersenyum biasa. Takkanlah Katrina buta
tidak mampu melihat semua itu? Sepanjang hidupnya tidak pernah lagi ada wanita
sudi membalas senyumannya melainkan menjelingnya jika dia melemparkan senyuman
kepada wanita itu.
“You ni selekeh sebenarnya. Rambut you dah berapa lama
tak potong? Kalau tak mahu potong gunalah minyak rambut,” ujar Katrina lantas
mengusik rambut kembang Jibam.
Berderau darah Jibam melihat Katrina menyentuh rambutnya.
Berdiri bulu romanya tiba-tiba. “Saya tak boleh guna minyak rambut. Saya cepat
pening kepala dengan bau minyak rambut.”
“Habis tu kenapa tak potong pendek bagi kemas?” tanya Katrina
dalam pada bola matanya meratah rambut lelaki itu.
“Kedai gunting jauh..”
“See? You ni malas sebenarnya, Jibam! I tak nampak pun
apa-apa yang pelik dengan you ni melainkan badan you ni besar,” getus Katrina. Bahu
lelaki itu dipukulnya perlahan sambil menjeling lelaki itu.
Jibam tersenyum dengan bibir terkatup melihat kemesraan
perempuan itu. Kembang setaman hatinya dibuat Katrina.
“I tanya satu soalan boleh? Mungkin you tak suka dengan
soalan I ni,” ujar Katrina masih tidak puas hati mengorek rahsia lelaki ini. Entah
kenapa berminat pulak dia nak tahu siapa lelaki ini sebenarnya.
“Cik Katrina bukan orang pertama yang suka tanya soalan
yang saya tak suka. Saya dah biasa. Tanya ajalah,” ujar Jibam lembut.
“Macamana you boleh pecahkan pasu kat atas meja I hari
tu? Fazil pernah cakap dengan I yang you ni memang lain sikit berbanding
pekerja-pekerja dia yang lain. Apa maksud dia?”
Jibam terdiam tanpa terus menjawab. Lama dia memandang ke
hadapan, cuba mencari jawapan yang sesuai untuk diberikan kepada wanita itu.
“Badan saya besar memang semenjak dulu. Tapi dulu waktu
saya di sekolah rendah saya ni gendut sikit..” ujar Jibam lantas tergelak
mengenang dirinya yang dulu.
Katrina tersenyum merenung paras lelaki itu. Dia masih
menanti apa yang seterusnya akan dilahirkan Jibam.
“Keluarga saya miskin. Ayah saya seorang pesakit asma. Semenjak
saya berumur 11 tahun saya memang dah terbiasa buat kerja kampung. Di kampung dulu
lepas habis sekolah atau waktu cuti saya selalu ikut kontraktor haram buat
rumah untuk orang kampung. Dapatlah sikit duit untuk bantu mak dan ayah saya. Di
sekolah saya memang tak berminat nak belajar. Keputusan SPM saya gagal. Selepas
habis sekolah saya teruskan kerja dengan kontraktor haram. Sampailah saya dan
Acap terfikir nak ke KL mencari kerja tetap. Bermula dari situ saya mula
berkerja dengan Encik Fazil. Bukan Encik Fazil saja yang tahu saya mampu angkat
5 kampit simen seorang diri. Bos saya yang dulu pun tahu. Saya masih remaja
tapi tenaga saya macam orang dewasa. Kerja yang orang lain tak larat nak buat,
tapi saya larat. Mungkin itu kelebihan yang ALLAH berikan pada orang macam saya.
Orang macam saya lebih sesuai berkerja di tapak projek berbanding di
pejabat-pejabat. Sebab sesetengah orang tak berdaya nak mengharungi kesusahan
di tempat macam tu,” ujar Jibam tenang sahaja.
Katrina mengangguk perlahan. Setuju dengan pendapat
Jibam. Dia teringat penjelasan doktor yang didengarinya tentang kecederaan yang
dialami Jibam. Dengan berat sebatang paip mencecah kepada ‘tan’ sangat mustahil
untuk orang biasa sekadar mengalami kecederaan patah kaki. Paling pun kaki
pasti hancur atau putus. Tetapi Jibam memang bernasib baik. Dia sendiri pun hairan
mengenang itu. Cuma dia percaya ALLAH lebih tahu tentang semua rahsia itu.
“Acap selalu marah saya, telur yang kami beli untuk
berniaga selalu pecah macam tu aja bila ada di tangan saya. Saya tak pandai
buat kerja lembut-lembut ni, Cik Katrina. Saya memang selalu rosakkan barang. Semua
tu berlaku bila saya tak berhati-hati dengan semua benda yang saya pegang. Bila
saya tukar mentol lampu di rumah, saya kena beli dua biji mentol. Sebiji tu
kadang-kadang pecah saya buat.”
“Really?”
terbeliak sedikit mata Katrina mendengar itu. Mentol yang berkaca halus seperti
itu jika pecah di tangannya pasti dia harus ke doktor selepas itu.
“Jadi memang semenjak dululah you memang ada kekuatan
lain macam ni? Bukan sebab you ambil apa-apa?”
“Maksud Cik katrina dadah ke?” Jibam segera bertanya
semula.
“Tak semestinya dadah. Banyak produk kesihatan yang
dijual sekarang ni. Manalah tahu you ada amalkan sampai jadi macam ni,” luah
Katrina lembut sahaja.
Jibam menggeleng dengan sedikit senyuman di bibir. “Setiap
bulan saya mesti hantar ke kampung duit belanja. Mana saya ada kemampuan nak
beli produk itu ini?” ulas Jibam selamba.
Ya tak ya juga.. Katrina segera tersedar kebenaran itu.
“Kalau saya pulak yang tanya soalan, Cik Katrina jangan
marah ya?”
“Tanya apa?” Katrina yang sedang termenung sendiri
menoleh kepada Jibam.
“Kenapa Cik Katrina tak mahu masuk kerja hari ni?”
Kali ini giliran Katrina pula berwajah mendung saat
diajukan pertanyaan oleh Jibam. Pertemuan semalam kembali menjengah
pemikirannya.
“I ada masalah..” luah Katrina lantas tunduk merenung
tanah di hujung kasutnya.
“Masalah apa?” tidak tertahan hati Jibam mahu mengambil
tahu.
“You tahu tak yang I pernah berkahwin sebelum ni?”
Katrina menoleh saat melontarkan soalan itu kepada lelaki di tepinya itu.
Wajah Jibam berubah. Hatinya seperti runtuh mendengar
itu. “Cik Katrina dah kahwin?” tanya Jibam agak kelat.
“Dah kahwin dan dah bercerai hampir setahun dulu. Pendek katanya
I ni janda,” ujar Katrina dengan lebih jelas lagi.
“Oh janda..” mulut Jibam terlopong sedikit saat menyebut
itu.
“Ryan tu sebenarnya bekas suami I, Jibam.” Katrina
menoleh saat menyebut kenyataan itu.
“Oh..” sekali lagi Jibam terlopong. Namun pedih hatinya. Dia
masih ingat lelaki itu pernah memegang tangan Katrina. Mungkin mereka masih ada
apa-apa. Ah! Siapalah dia untuk terasa hati tentang semua itu. Jika nak
dibandingkan dia dan Ryan, jauh bumi dan langit kacaknya. Ryan itu memang
sepadan dengan Katrina. Sama-sama kacak dan lawa. Jibam sedar sangat-sangat
tentang itu.
“Dia desak I supaya kahwin lagi supaya kami dapat rujuk
semula. I runsing fikirkan tentang itu. I tahu daddy I takkan suka I dengan dia
semula,” ujar Katrina perlahan sahaja.
“Emm.. kahwin dengan orang lain supaya dapat rujuk semula
tu apa maknanya?” tanya Jibam agak serba salah.
“Kami bercerai talak 3. Dia tak sengaja lafazkan cerai tapi
hakim putuskan talak memang jatuh. So untuk bersama semula, I kena kahwin dan
berpisah dengan orang lain sebelum kahwin dengan dia semula.”
“Cina buta..” ucap Jibam sudah cukup tahu tentang tabiat
yang selalu diamalkan oleh orang yang gila talak selepas bercerai talak 3. Patutlah
dia lihat Ryan memegang tangan Katrina dulu. Rupanya memang mereka ada apa-apa.
“Betullah tu.. Cina buta,” sambut Katrina rendah sahaja. Istilah
itu membuatkan dia merasa dirinya begitu rendah. Pass sana sini oleh suami. Entah
kenapa dia merasa cukup hina. Sayangnya hanya itu jalan yang ada untuk kembali
menyatukan mereka di alam perkahwinan.
“Tan Sri Kamaruddin tak suka. Tapi Cik Katrina suka ke
dengan Ryan tu?” tanya Jibam lembut.
“Entahlah..” jawab Katrina sambil menjungkit bahu.
Reaksi itu membuatkan Jibam mengerut kening. “Apa yang
entahlah?”
“I memang tak pernah dapat lupakan dia selama ni. Tapi I
selalu sedar.. selama ini bukan I saja perempuan yang pernah berdampingan
dengan dia. Kalau you, boleh ke you terima seseorang yang pernah curang pada
you selama ni, Jibam?” tanya Katrina kepada lelaki itu.
Jibam diam sekejap. Tanya dia manalah dia tahu. Dia bukannya
pernah kena curang. Tapi sebuah jawapan cuba dicarinya juga. Perasaan wanita
itu cuba diselami sebaik-baiknya.
“Kalau dia dah berubah, apa salahnya. Semua orang pernah
buat salahkan? Kita takkan tahu dia benar-benar ikhlas atau tak kalau kita tak
bagi dia peluang untuk buktikan keikhlasan tu,” ucap Jibam perlahan. Hatinya pedih
dengan kata-kata sendiri. Gayanya macam dia mendorong Katrina kembali semula
kepada Ryan. Tetapi apa pula haknya mahu menghalang?
“I tahu tu. Tapi antara I dengan Ryan, masih ada
halangan. Daddy I memang tak suka Ryan semenjak dulu,” ucap Katrina rendah
sahaja.
“Pujuklah elok-elok. Mana ada ayah yang suka tengok anaknya
menangis. Mana ada emak dan ayah yang suka menyiksa perasaan anak-anak,” kata
Jibam pula.
Katrina diam memandang ke hadapan. Sambil bersandar ke
kereta itu dia berpeluk tubuh. Masih juga memikirkan hal dia dan Ryan. Paling memberatkan
hatinya apabila memikirkan dia harus berkahwin dengan seseorang yang dia tidak
kenal. Tidak sanggupnya!
Jibam ikut berdiam membiarkan Katrina hanyut dengan
perasaan sendiri. Bunyi desingan pesawat yang merendah untuk mendekati landasan
menarik perhatiannya. Mereka berdua memandang ke arah pesawat yang melintas di
atas kepala mereka.
“Saya tak pernah naik kapal terbang. Teringin nak tahu
macamana rasanya bila naik kapal terbang,” ujar Jibam setelah pesawat itu
menjauh di sana. Ada kepulan asap yang dilihat saat tayar pesawat itu mencecah
landasan. Seronok dia memandang semua itu.
“I tak suka naik kapal terbang. Boring terkurung dalam
kabin berjam-jam,” balas Katrina semula. Rambutnya yang berserakkan akibat
libasan angin pesawat itu dibetulkan semula. Rambut Jibam? Dah macam sarang
burung dia tengok. Nak tergelak rasanya. Kalau ada gunting memang dia dah
potong rambut lelaki itu. Rimas!
“Bagus jugak kita datang sini. Sebab inilah pertama kali
saya dapat tengok kapal terbang mendarat secara dekat macam ni,” ujar Jibam
setelah memandang wanita itu semula.
“Apa lagi yang you tak dapat sepanjang hidup you dan you
mahu sangat benda tu, Jibam?” tanya Katrina sambil tersenyum mesra kepada
lelaki itu. Entah kenapa dia terasa cukup selesa berbual dengan lelaki ini.
“Saya nak bahagiakan mak dan ayah saya selagi mereka
masih ada. Saya nak hantar mereka mengerjakan haji. Itu satu-satunya impian
yang saya masih belum dapat tunaikan sampai sekarang. Saya akan buat apa saja
untuk itu,” jawab Jibam bersungguh.
Terdiam Katrina saat
itu. Ucapan Jibam membuatkan hatinya terkesan. Tiba-tiba dia terasa bersalah
kepada ayahnya. Dan dia sedar dirinya tidak setanding Jibam dalam membahagiakan
hati emak dan ayahnya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan