Selama lebih tiga bulan itu Jibam sekadar membantu Acap di
gerai mereka pada malam hari. Siang hari dia bersenang-senang di rumah. Dalam
keadaan kakinya masih bersimen begitu tidak banyak yang dia boleh lakukan.
Hakikatnya walaupun kakinya masih belum pulih sepenuhnya dia sudah memutuskan
apa yang mahu dibuatnya esok.
“Nak bukak simen tu? Kau biar betul, Jibam?” terbeliak
mata Acap melihat Jibam memotong plaster kapur yang membaluti kakinya.
“Betullah..” jawab Jibam selamba. Dengan menggunakan
gunting dan playar dia memotong sedikit demi sedikit plaster berwarna putih
lusuh itu.
“Ish! Kalau ada apa-apa nanti macamana? Kaki kau tu belum
elok betul lagi. Bahaya kau tahu tak?” keluh Acap tidak senang dengan kemahuan Jibam.
Jibam menoleh sekilas kepada temannya itu. “Doktor kata
tulang kaki aku dah bersambung. Maknanya kaki aku ni dah elok,” ujar Jibam
biasa.
“Memanglah. Tapi tulang tu perlukan masa untuk kuat
semula. Plaster tu gunanya untuk lindungi kaki kau. Manalah tahu kau terjatuh
ke apa ke? Kau ni degil betullah! Yang doktor kata jangan, itulah yang kau nak
buat sangat!” degus Acap tetap tidak senang hati dengan keputusan Jibam enggan
memakai plaster di kakinya itu.
“Rimaslah pakai benda alah ni. Panas campur gatal. Dahlah
tak boleh masuk air. Siksalah bila ada benda ni kat kaki aku. Kau jangan risau.
Aku ada tongkat tu. Semuanya okay,” jawab Jibam sambil memuncungkan mulutnya
kepada tompang yang sering digunakan untuk bergerak ke mana-mana itu.
Acap sekadar mampu menggeleng. Dia terasa kalah dengan
kedegilan sahabatnya itu. “Suka hati kaulah, Jibam. Kau jangan suruh aku pasang
balik benda alah untuk kau aja sudah!”
Jibam sekadar tersenyum sendiri. Plaster di kakinya itu
terus dikopaknya sedikit demi sedikit. Bukan senang juga rupanya. Setelah sejam
berhempas pulas akhirnya kesemua plaster putih itu dapat dileraikan dari
kakinya.
“Fuh! Leganya dah takde benda keras ni..” ucap Jibam
sendiri. Kakinya diusap lembut. Lebih dua bulan terkurung di sebalik simen
keras itu, kulit kakinya terasa lembut semacam.
“Kau betul ke nak mula kerja balik esok, Jibam?” tanya
Acap setelah dia kembali semula ke dapur itu.
“Betullah..” jawab Jibam sedikit meleret. Kakinya terus
dibeleknya.
“Kan doktor kata kau tak boleh kerja kat tapak projek tu
untuk sementara waktu?”
Jibam diam pada permulaannya. Namun seketika kemudian
wajah sahabatnya itu dicari oleh dua bola matanya. Dia tahu Acap risaukan
keadaan dirinya. Tetapi dia sesungguhnya tidak senang duduk sahaja tanpa
melakukan sesuatu yang mampu mendatangkan duit.
“Aku kesian dengan mak dan ayah aku tu. Semenjak aku tak
kerja ni, duit bulanan aku bagi sikit aja. Aku takut tak cukup untuk belanja,”
jawab Jibam perlahan sahaja. Mengenangkan ayahnya yang bergantung hidup kepada
pendapatan sebagai pengait kelapa itu, dia susah hati. Sementelah ayahnya ada
penyakit asma.
“Tapi kesihatan kau pun kena jaga jugak. Macamana nak
kerja kalau kaki tak berapa nak elok?” bebel Acap. Dia memang faham masalah itu
kerana nasib mereka lebih kurang sama saja. Tapi dia benar-benar bimbang
melihat Jibam terhencot-hencot berjalan. Macamana nak berkerja dalam keadaan
seperti itu?
“Aku tahu. Aku buatlah mana-mana kerja yang aku mampu
buat. Yang penting aku pergi kerja.” Jibam terus menjawab tenang. Soal itu
tidak mahu diperpanjangkan lagi. Baginya keselesaan emak dan ayahnya di kampung
itu lebih penting berbanding dirinya. Setakat sakit kakinya ini dia masih mampu
bertahan.
Acap hanya mampu menghela nafas perlahan memandang Jibam.
Dia tahu benar bukan mudah untuk dia menahan kemahuan sahabatnya itu kalau
itulah yang sudah diputuskan Jibam. “Kau hati-hatilah di tempat kerja tu.
Jangan sampai jadi lagi macam dulu. Risau aku dibuatnya. Kalau kau rasa tak
mampu nak berkerja, jangan paksa, Jibam. Esok lusa kalau kaki kau tu dah cukup
kuat, kau dah boleh kerja balik kat situ,” ujar Acap akur akhirnya dengan
keputusan Jibam.
“Aku tahu. Kau jangan risau, Acap. Sebab aku tahu aku
mampulah aku buat keputusan macam ni,” jawab Jibam dengan sedikit sengihan
untuk menyedapkan hati Acap.
Acap menghela nafas perlahan. Seketika kemudian dia ikut
duduk dekat dengan Jibam di ambang pintu dapur rumah teres sewa mereka itu.
“Apa pendapat kau kalau kita besarkan perniagaan pizza
kita tu?”
Jibam menoleh lagi kepada Acap. “Besarkan macamana maksud
kau?”
“Kita bukak kedailah. Takkan selama-lamanya kita nak
berniaga di kaki lima bangunan aja? Kita buat pinjaman. Sewa kedai kemudian
beli dapur baru untuk kita mulakan perniagaan tu. Macam yang Encik Akhbar
cakapkan dulu tulah,” terang Acap.
Jibam terdiam seketika. Dalam kepalanya dia terbayangkan
wajah seorang lelaki yang kini sering menjadi pelanggan mereka itu. Memang dia
bersetuju dengan rancangan Acap. Malah selama ini itulah impiannya. Tetapi
bukan senang semua itu dapat dimulakan kalau mereka tidak ada mendapatkan
nasihat atau tunjuk ajar daripada mereka yang pakar.
“Kita cuba tanya pendapat Encik Akhbar tu mahu?” tanya
Jibam bersungguh.
“Itu jugak yang aku tengah maksudkan sekarang ni,” jawab
Acap terus bersetuju. Siapa lagi yang boleh mereka harapkan selain lelaki itu?
“Aku ambil iktibar daripada apa yang berlaku pada kau
baru-baru ni, Jibam. Kita ni kalau takde tapak nak teruskan hidup memang susah
kita kalau apa-apa jadi pada kita. Pada siapa kita nak harapkan untuk ubah
nasib kita ni. Kita berdua ni dahlah menanggung keluarga dah 10 tahun kita di
KL ni. Patutnya kita dah boleh majukan diri. Kalau kita terus takut nak mencuba
sampai bila-bila pun kita tetap di takuk lama,” ujar Acap lagi.
Jibam terus mengangguk sependapat dengan Acap. Dia pun bukanlah
berimpian untuk hidup kaya raya suatu hari nanti. Tetapi cukuplah sekadar ada berbanding
tiada.
“Kita jumpa dia nanti,” sambut Jibam bersungguh. Dia juga
sudah lama memasang cita-cita untuk memajukan diri dalam bidang ini. Sampai bila
mereka harus terus hidup begini? Sampai bila nasib mereka akan terus begini
jika tidak mereka berdua yang cuba untuk mengubahnya. Pokok pangkalnya ialah
usaha!
Sangkanya semuanya mudah. Tetapi tidak!
Jibam terduduk menahan kesakitan di kakinya. Berkali-kali
kaki kirinya itu diusap untuk meredakan rasa mencucuk-cucuk yang semakin kuat
dirasakannya.
“Bang Jibam, kamu tak apa-apa?” tanya Abi mula kasihan
melihat lelaki itu.
“Kaki aku sakit, Abi.” Jibam berkata agak payah.
Abi mula duduk di sebelah Jibam. “Sudah ku bilang, Bang Jibam
masih belum kuat. Jangan dipaksa, bang. Nanti makin teruk.” Abi berkata lembut.
Bahu Jibam disentuhnya lembut. Belas benar dia melihat keadaan lelaki itu. Wajah
Jibam berpeluh-peluh bukan kerana letih melakukan kerja. Sebaliknya kerana menahan
sakit.
Jibam menghela nafas perlahan. Dalam diam dia mengaku apa
yang diucapkan Abi itu benar. Kakinya memang sudah tidak sekuat dulu.
“Adukan saja pada Encik Fazil. Dia pasti faham. Tadi pun
dia nanya-nanya terus pasal Bang Jibam.” Abi bersuara lagi dalam pada Jibam
terus mengurut kakinya itu.
“Nantilah..” ucap Jibam sambil mengeluh sendiri. Runsing fikirannya.
Kalaulah keadaan dia berterusan begini, susahlah dia nanti.
“Jangan dipaksa, bang. Biar aku pergi jumpa Encik Fazil
tu. Susah hati aku tengok Bang Jibam sakit-sakit terus begini.”
Jibam menoleh kepada Abi di sebelahnya itu. Dia terus
tersenyum kepada anak muda berusia 24 tahun itu. Selain Acap, Abi memang sering
mengambil berat akan dirinya.
“Aku okay, Abi. Nanti dah lega sakit ni aku sambung kerja
semula. Aku cuma nak rehat sekejap,” ujar Jibam lembut.
“Bang Jibam, aku pun pernah patah kaki. Aku masih ingat
macamana rasa sakitnya tu. Bang Jibam jangan tipu aku. Sakit ni takkan hilang
macam tu aja. Aku tahu, bang!” jawab Abi langsung tidak terpujuk dengan ucapan
kosong itu. Sedangkan dia yang patah sedikit pun mahu melolong setiap kali
dikunjungi rasa sakit itu. Inikan pula Jibam yang serius cederanya. Dia sendiri
tidak sanggup membayangkan kesakitan itu.
Sejam kemudian Fazil mula mencari Jibam. Abi benar-benar
mengotakan kata-katanya untuk mengadu kepada penyelia mereka itu apabila
melihat keadaan Jibam langsung tidak berubah.
“Kau sakit ke, Jibam?” tanya Fazil setelah melihat Jibam
duduk tersandar di dinding simen yang separuh siap itu.
“Sakit kaki, bang.” Jibam menjawab agak rendah.
Fazil mendecit sedikit sebelum duduk mencangkung di
hadapan Jibam. Sebelah kaki Jibam yang melunjur itu disentuhnya.
“Kan aku dah cakap kau ni tak boleh buat kerja berat. Doktor
pun dah larang kau angkat benda berat-berat untuk sementara waktu ni,” keluh
Fazil perlahan.
“Dah lebih 3 bulan saya tak kerja, bang. Susah saya kalau
terus-terusan macam ni,” ujar Jibam rendah lagi nadanya. Susah hati benar
memikirkan keadaan dirinya begitu.
“Macam nilah. Aku akan cuba bincang dengan orang atasan
pasal kau ni. Buat sementara waktu tu kau berehat aja dulu di rumah. Sekarang ni
kau balik aja.” Fazil segera memutuskan keputusannya.
“Saya nak terus berkerja, bang. Harap-harap pihak atasan
tak buang saya hanya disebabkan keadaan saya dah jadi macam ni. s,” pinta Jibam
lembut separuh merayu.
“Tak, Jibam! Aku takkan biarkan sesiapa abaikan kau. Kau jangan
bimbang tentang itu. Kau dah cukup lama berkhidmat dengan syarikat ni. Kami takkan
buat kau sampai macam tu sekali. Lagipun keadaan ni cuma untuk sementara waktu,”
tegas Fazil bersungguh.
Jibam sekadar membisu. Dia tidak tahu apakah dia harus
lega hati atau tidak dengan jaminan itu. Harap-harap segala yang diucapkan
Fazil benar belaka.
“Kau pergilah balik. Berehat dan jangan lupa makan ubat
yang doktor bagi tu. Ada apa-apa nanti aku akan call kau.” Suara Fazil kedengaran
lagi. Kali ini agak lembut memujuk Jibam agar mengikut nasihatnya.
Mahu tidak mahu Jibam akur akhirnya. Dia tahu tiada apa
yang boleh dia lakukan di sini lagi. Terdengkot-dengkot dia berjalan dalam pada
menahan rasa sakit pada tulang kering kakinya itu.
Setiba di rumah hanya sepi yang dia lihat. Acap masih di
tempat kerjanya. Jibam terus mandi dan bersolat zohor. Kemudian tubuh besarnya
direbahkan ke tilam usangnya. Lama Jibam termenung memandang siling sambil
memikir sendiri. Dia tidak tahu sampai bila dia harus terus hidup begini. Kalaulah
diberikan peluang untuk mengubah nasib diri dan keluarganya, dia berjanji dia
tidak akan mensia-siakannya.
Tan Sri Kamaruddin memandag sekeliling seketika. Buat seminit
itu dia memerhatikan kawasan tapak projek yang sedang pesat disiapkan. Namun fikirannya
terus berkisar kepada bicara Fazil sekejap tadi. Kini dia kembali diingatkan
janjinya kepada lelaki bernama Jibam itu setelah Fazil dan Chia datang bertemu
dengannya. Dia pernah berjanji akan membantu Jibam. Kini janji itulah yang
sedang ditagihkan.
“Dia pandai buat kerja di pejabat?”
Fazil terus menggeleng. Kalau Jibam tahu sudah tentu dia
sendiri akan meletakkan Jibam di pejabat mereka. Itulah yang menjadi masalahnya
sekarang ini.
“Kalau dia dah tak boleh kerja, kita terminate dia sajalah,
Tan Sri. Kita boleh ambil pekerja lain.” Chia ikut bersuara memberikan buah
ideanya.
Spontan Fazil menoleh kepada Chia di sebelahnya itu. Sedap
sungguh Chia memberikan cadangan itu kepada majikan mereka. Tidak lama kemudian
wajah putih kemerahan Chia ikut dilapah oleh mata lelaki tua itu.
“Esok kalau you dah tak mampu kerja, I terminate you
macam tu aja, apa macam?” tanya Tan Sri Kamaruddin selamba.
Berubah wajah Chia diterpa bicara lelaki tua itu. Terlupa
pula dia. Dengan lelaki tua itu dia tidak boleh cakap sembarangan ikut sedap
mulut.
“You ingat ini apa? Anak kucing? Suka-suka hati buang
kalau dah tak mahu? Sepatutnya you fikir macamana nak bantu bila kakitangan you
dah jadi macam ni. Selfish!” selar Tan Sri Kamaruddin cukup tajam.
Terkulat-kulat Chia mendengar ucapan lelaki itu. Akhirnya
dia memilih untuk berdiam, menantikan keputusan Tan Sri Kamaruddin berkaitan dengan
Jibam.
“Suruh dia datang ke HQ pagi Isnin nanti. Jumpa Katrina.”
Tan Sri Kamaruddin berkata sambil menghalakan bola matanya kepada Fazil.
“Tan Sri nak buat apa dengan dia?” walaupun agak serba
salah namun pertanyaan itu dilontar juga oleh Fazil.
“Saya akan letak dia di jabatan lain sampailah dia rasa
boleh kembali semula berkerja di sini,” ujar Tan Sri Kamaruddin lembut.
“Terima kasih banyak-banyak, Tan Sri.” Kata-kata lelaki
itu disambut penuh kelegaan oleh Fazil. Jawatan apa dan di mana dia tidak kisah.
Yang dia tahu Jibam pasti dapat terus mencari rezeki selepas ini dan nasib
lelaki itu terbela.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan