“Kat..” panggilan lembut emaknya itu mencantas lamunan Katrina.
Raut wajah Ryan menghilang dari ruang fikirannya. Lantas sapaan itu dibalas
dengan tolehan.
Puan Sri Najihah sedang mendekati anak perempuannya itu.
Terus punggungnya diletakkan di sofa bersebelahan dengan Katrina yang sedang
memeluk bantal hiasan di sofa mereka.
“Kenapa termenung ni? Ada masalah ke?” tanya wanita tua
itu lembut. Semenjak tadi Katrina dilihatnya lain macam. Agak pendiam, kurang
bercakap dengan mereka. Nampak macam sedang sarat memikirkan sesuatu.
“Nothing, mummy..” perlahan sahaja jawapan Katrina.
“Mummy nampak Kat macam takde mood aja semenjak balik ke
sini tadi. Kenapa?” Puan Sri Najihah bertanya lagi. Jawapan Katrina langsung
tidak melegakan perasaannya. Selalunya Katrina rajin berbual dan bergurau
dengan adik-adiknya. Tetapi sekarang dia lihat Katrina lain macam. Macam sedang
dalam masalah.
Katrina tidak terus menjawab. Namun sebahagian dirinya
teringin mahu berbual dengan seseorang. Sudah tentulah emaknya yang paling memahami
dirinya selama ini. Perlahan dia mengalihkan pandangan kepada emaknya itu.
“Kat ada masalah ke?” gusar nada wanita tua itu mendengar
bicara singkat anak sulungnya itu.
“Pasal daddy..”
“Kenapa? Daddy ada marah Kat lagi ke?” tanya Puan Sri
Najihah pantas. Riak wajahnya mula berubah. Dia tahu benar suaminya itu. Cukup
tegas dengan anak-anak kadang-kadang sampai mengongkong.
Katrina terus menggeleng. Berat benar mulutnya mahu
meluahkan cerita sebenarnya. Bimbang emaknya tidak suka dengan apa yang hendak
dibicarakannya nanti.
“Kat nak kahwin, mummy..” ujar Katrina perlahan. Berdebar
dadanya menanti reaksi emaknya tentang itu.
“Really? Dengan siapa?” terbuntang mata wanita tua itu.
Takde angin takde ribut Katrina bercerita mahu berkahwin pula. Harap-harap janganlah
dengan Ryan lagi.
Katrina menghela nafas perlahan. Berat benar lidahnya
mahu menyebut nama orangnya. Bimbang emaknya terkejut.
“Cakaplah. Dengan siapa?”
“Jibam..”
“Ha??” terbelalak mata Puan Sri Najihah mendengar nama
itu. Nama yang disebut Katrina benar-benar memberi dia kejutan besar. “Jibam
driver tu ke?” tanya Puan Sri Najihah masih dalam rasa terkujatnya.
Perlahan sahaja Katrina mengangguk.
“Budak kampung yang selekeh tu?” meninggi sedikit suara
Puan Sri Najihah macam tidak percaya.
Sekali lagi Katrina mengangguk. Bersungguh menandakan
lelaki yang sedang dibayangkan emaknya itulah yang akan dipilihnya.
Anggukan Katrina membuatkan lidah Puan Sri Najihah kelu
serta merta. Lelaki itu sememangnya tidak pernah dijangkanya akan terbaris
dalam senarai bakal calon menantunya. Tidak sama sekali! Kenapa Katrina mahu
memilih lelaki seperti itu sebagai suami? Mereka berdua jauhnya bak langit dan
bumi!
“Kenapa dia?” tanya Puan Sri Najihah tidak lama kemudian.
“Sebab dia baik, mummy..”
“Itu aja sebabnya? Ramai lagi orang di luar sana lebih
elok dan baik!” tekan Puan Sri Najihah masih tidak mampu menerima alasan
Katrina.
“Apa lagi sebab yang Kat ada untuk menolak lelaki macam
tu? Dengan dia Kat rasa selamat, mummy. Dengan dia Kat tahu nasib Kat takkan
sama macam dulu waktu Kat dengan Ryan.” Katrina berkata perlahan.
Puan Sri Najihah terdiam seketika. Terlupa pula dia akan
hal itu. Perlahan rasa tidak senang tadi melurut jatuh sedikit demi sedikit.
Bukannya dia tidak kenal budak bernama Jibam itu. Memang baik dan lembut
walaupun agak selekeh dengan jambang dan rambut kembangnya. Dahlah takde gigi.
Ah! Gigi boleh bikin baru jika berduit. Tapi bab perangai dan sikap, itu memang
susah untuk diramal. Puan Sri Najihah masih ingat beberapa minggu yang lepas
budak Jibam itulah yang membantu dia membaiki paip pecah di dapur rumahnya.
Kalau tidak sudah pasti mereka terpaksa memanggil tukang paip dan harus
mengeluarkan kos lebih sekadar untuk kerosakan seperti itu.
Tapi badan si Jibam tu besar macam ahli bina badan.
Jangan malam pertama nanti dia patahkan tulang anak aku sudahlah.. getus hati Puan
Sri Najihah sendiri.
“Daddy dah tahu?”
“Belum.. Kat takut nak cakap dengan daddy pasal ni. Kat
takut daddy tak boleh terima,” ujar Katrina rendah. Sebenarnya dalam diam dia
sedang menyampaikan hasrat, meminta emaknya yang bercakap dengan ayahnya bagi
pihak dirinya.
“Kat dah fikir masak-masak ke tentang ini. Mummy tak mahu
main-main lagi macam dulu, Kat. Malu keluarga kita nanti,” ujar Puan Sri
Najihah lembut sahaja.
Katrina terus mengangguk. Dia tidak perlukan masa yang
lama untuk mengenali siapa Jibam itu sebenarnya. Dia sering memerhatikan cara
lelaki itu memandu keretanya. Lelaki itu jenis penyabar. Tidak pernah melulu
dan tidak pernah cerewet dengan kesusahan di atas jalan setiap hari. Jiga bukan
seorang yang pemarah. Bukankah sikap seseorang boleh dinilai melalui hal-hal
yang remeh seperti itu?
“Lepas apa yang berlaku pada perkahwinan Kat dulu, Kat
dah tak harapkan seorang lelaki yang sempurna pada mata perempuan Kat ni,
mummy. Tapi Kat mahukan seorang lelaki yang sempurna pada mata hati. Memang
Jibam tak hensem macam Ryan. Tak kaya macam keluarga kita dan tak setanding
Ryan dulu. Tapi bukan itu keutamaan yang Kat hendakkan dalam hidup Kat. Kat
cuma nak seorang lelaki yang boleh jaga dan sayangkan Kat seikhlas hati. Kat
tahu Ryan tak macam tu dan Kat belum bertemu dengan mana-mana lelaki yang baik
hatinya macam Jibam,” jawab Katrina lembut. Sengaja dia tidak menyebut hal dia
dan Ryan sebelum ini. Dia tidak mahu cerita di sebalik kisah dia dan Jibam akan
merosakkan semua yang sudah terancang.
Kali ini Puan Sri Najihah ikut mengangguk setuju dengan
pendapat anak sulungnya itu.
“Jadi Kat nak mummy bercakap dengan daddy ke?”
“Kat takut nak cakap daddy sendiri, mummy..”
Puan Sir Najihah menghela nafas perlahan. “Kenapa nak
takut kalau Kat rasa benda ni baik untuk Kat. Daddy hanya nak yang terbaik
untuk anak-anak dia. Kali ni tak sama macam dulukan?” ujar wanita tua itu
lembut.
“Kat takut daddy tak suka sebab Jibam tu driver Kat..”
“Kat tahu daddy tu macamana kan?”
“Sebab Kat tahu daddy tu macamanalah Kat takut, mummy.
Lagipun Kat segan.” Cepat sahaja Katrina menjwab. Harap-harap emaknya fahamlah
apa yang sedang cuba disampaikannya ini.
“Habis tu Kat nak mummy cakapkan dengan daddy?”
Terus sahaja Katrina mengangguk. Puan Sri Najihah
menghela nafas perlahan. Mahu menolak dia bimbang. Katrina dan Jibam sering
bertemu. Bimbang nanti kerana penolakannya sepasang manusia itu akhirnya
berbuat dosa. Daripada begitu lebih baik dia restukan sahaja. Yang penting
anaknya gembira.
“Nantilah mummy bincang dengan daddy Kat tu,” jawab Puan
Sri Najihah lembut.
“Thank you so much, mummy..” perlahan tubuh ibunya itu
dirangkul Katrina.
Wanita tua itu sekadar ketawa kecil. Pelukan si anak
dibalas gembira. “Terus happy ya? Tadi asyik monyok aja! Mummy ingat apalah
tadi. Rupanya nak kahwin.”
Melihat perubahan mood Katrina saat ini dia yakin memang
itulah kehendak Katrina dan dia akan selalu mendoakan kebahagiaan anak
sulungnya itu.
“Selamat pagi, Cik Katrina..” ucap Jibam setelah bosnya itu tiba
di kereta pagi itu.
“Kan I dah kata jangan panggil Cik lagi? Katrina! You ni
degil betullah!”
“Okay.. okay.. saya terlupa. Katrina..” Jibam menyeringai
sambil menggaru rambutnya. Walaupun dia sudah mencuba namun dia segan sebenarnya.
Janggal!
Katrina sekadar menjeling kecil lelaki itu sebelum masuk
ke dalam kenderaan itu.
“Err.. pagi ni I ada urusan di pejabat peguam. Kita ke
sana sekarang,” ujar Katrina setelah Jibam menggerakkan kereta itu.
Jibam sekadar mengangguk akur dengan arahan majikannya
itu.
“Jibam, I nak tanya sesuatu boleh?”
“Apa dia?” balas Jibam sambil memandang sekilas wanita
itu melalui cermin pandang belakang.
“You tak kisah ke kalau mak dengan ayah you tak tahu
pasal hal kita ni?” lembut sahaja nada wanita itu.
Jibam diam seketika. Namun sedikit riak di wajahnya
berubah. Katrina dapat melihatnya dari belakang.
“Perkahwinan ni cuma untuk sementara ajakan? Lebih baik
mak dengan ayah saya tak tahu,” jawab Jibam agak rendah. Dia sendiri tidak tahu
bagaimana untuk berterus terang dengan emaknya nanti jika apa-apa berlaku
kepada perkahwinannya itu nanti. Tiga tahun sahaja. Rasanya dia mampu
menyembunyikan Katrina daripada pengetahuan keluarganya. Hanya Acap sahaja yang
tahu dia akan berkahwin dengan Katrina dan Acap juga sudah berjanji akan
menyimpan rahsia itu. Cuma Acap sedikit bengang apabila mengetahui dia
dijadikan boneka untuk melepaskan hasrat Ryan dan Katrina untuk bersatu.
“I ada sebab buat macam ni, Jibam. I harap you faham..”
“Saya faham..” Jibam segera menjawab. Dia tidak ingin
mendengar alasan Katrina jika itu hanya akan membuatkan hatinya bertambah
pedih. Tidak mengapalah.. dia redha.
Katrina di belakang mulai diam memikir sendiri.
Sebenarnya banyak lagi yang hendak diperkatakan kepada Jibam. Namun belum sampai
masanya untuk dia berterus terang. Sesampai di pejabat peguam itu mereka berdua
naik serentak. Namun saat Jibam menarik pintu pejabat itu untuk Katrina wanita
itu meminta kad pengenalannya.
“Nak buat apa?”
“Adalah..”
Jibam diam tidak terus memberi. Mereka masuk serentak
sehingga tiba di hadapan meja penyambut tetamu.
“Ranjit ada?” tanya Katrina kepada penyambut tetamu.
“Dia sampai sekejap lagi. Dia suruh Cik Katrina tunggu
dalam bilik dia.”
Gadis itu segera bangun untuk membawa tetamu itu ke bilik
peguam bernama Ranjit itu. Katrina mengekori gadis itu. Namun setiba di hadapan
bilik peguam itu Katrina memandang Jibam semula. Gadis itu kembali semula ke
mejanya.
“Mana dia benda tu? Cepatlah!” ujar Katrina lantas
menghulurkan tangannya kepada pemandunya itu.
“Nak buat apa pulak dengan IC saya?” tanya Jibam agak
berat mahu menunaikan kehendak wanita itu.
“You ni tak pernah kalau tak bertanya semulakan? Bagi
ajalah apa yang I nak!” getus Katrina geram. Tanpa disuruh dia pergi ke
belakang lelaki itu. Dengan selamba dia menyeluk poket belakang seluar Jibam
untuk mengambil dompet lelaki itu.
Terbeliak mata Jibam punggungnya terasa diraba. Berderau
darahnya melihat keberanian Katrina. Katrina tergelak kecil melihat gelagat
Jibam. Perlahan dia mendekatkan mulutnya ke telinga Jibam dari arah belakang.
“Seksilah punggung you!” bisik Katrina miang membuatkan
mata Jibam terbeliak memandang ke hadapan. Pijar rasa wajahnya. Jantung macam
sudah gugur bergolek-golek. Nak bernafas pun payah dibuat dek perempuan seorang
itu. Beraninya Katrina?
Jibam tidak menoleh saat Katrina membuka dompetnya di
belakangnya itu. Dia terdengar Katrina ketawa nakal.
“Hmm.. not bad. Cute.. anak siapalah yang cute sangat ni?”
Katrina menekup mulutnya saat memandang gambar di kad pengenalan Jibam.
“Janganlah gelak!” cebir Jibam lantas mengambil semula
dompetnya daripada tangan Katrina.
“Comel jugak you waktu kecil ya? Umur berapa waktu ni?”
tanya Katrina. Gambar itu takde pula rambut Jibam kembang setaman dan jambang
berserabut.
“12 tahun..”
Katrina mengangkat kening sedikit. “You duduk situ dulu.
Jangan pergi mana-mana tau. Nanti I panggil you masuk,” ujar Katrina lantas
menunding sofa kulit hitam yang diletakkan rapat di dinding di belakang mereka
itu.
“Okay..” jawab Jibam akur.
Tanpa kata lagi Katrina masuk ke pejabat itu. 10 minit
dia menunggu akhirnya seorang lelaki berbangsa India masuk dengan beg
bimbitnya.
“Hello..” sapa Ranjit mesra sebaik sahaja ternampak
Katrina.
“Hello, Ranjit. How are you?” Katrina bangun. Huluran
tangan Ranjit disambutnya.
“Good enough. You? Itu ke lelaki yang you maksudkan
sebelum ni?” Ranjit mengerling ke arah luar biliknya.
“Yes.. it’s him.”
“Boleh percaya ke dia tu?” tanya Ranjit sambil membuka
kot hitam di tubuhnya. Wajah Katrina direnungnya seketika.
“Kalau tak boleh I takkan buat macam ni, Ranjit.”
Ranjit mengangguk perlahan. Akur dengan kehendak kliennya
itu. Punggungnya diletakkan di kerusinya.
“So aset you yang mana you nak pindahkan ke atas nama
dia?” tanya Ranjit serius.
“Semua sekali kecuali saham I dalam Temasek Holding. Yang
itu kalau I usik ayah I akan perasan.”
Ranjit terdiam seketika. Berat hatinya mahu menunaikan
kehendak Katrina. Dia tidak faham apa tujuannya Katrina berbuat begini. Tapi
memindahkan semua aset peribadi ke atas seorang lelaki yang belum menjadi
suaminya itu nampak sungguh janggal dan bahaya!
“You tak takut dia lari ke?”
“No more question, Ranjit. Buat aja apa yang I suruh. I
tahu apa I buat!” tegas Katrina sekali lagi. Dia sudah malas mahu menerangkan
apa yang ada di sebalik semua itu. Sebelum ini pun Ranjit sudah bertanya hal
yang sama. Cukuplah sekali dia menjelaskannya.
Ranjit menghela nafas perlahan. “Okay..” Akur lebih baik
daripada Katrina pergi mencari peguam lain.
“Macam yang I tekankan sebelum ni. Ayah I tak boleh tahu
sama sekali tentang ini,” ujar Katrina serius.
“Sure! Tapi I perlukan seminggu untuk settlekan hal ni.
Kemudian barulah I proceed kepada permohonon lesen kontraktor tu.”
“You ada seminggu tu. Tapi bila you janjikan seminggu
maknanya minggu hadapannya I dah boleh dapat semua dokumen yang I nakkan tu. No
more reason!” jawab Katrina tanpa kompromi lagi.
“Seminggu dah cukup. You akan dapat apa yang you nak.”
Katrina terus mengangguk puas hati. Mereka lebih banyak
membisu saat Ranjit memeriksa dokumen yang disediakan oleh keraninya sebelum
ini. Setelah itu diserahkan pula kepada Katrina untuk diteliti.
“You boleh panggil dia untuk sign semua dokumen tu,” ujar
Ranjit setelah melihat Katrina mengangguk puas hati dengan segala yang tertera
di atas dokumen itu.
“Sekejap..” Katrina segera bangun. Pintu bilik Ranjit
dibukanya. Jibam dipanggilnya masuk. Lelaki itu terpinga-pinga seketika saat
menjejakkan kaki ke dalam bilik itu.
“Sign semua ni!” arah Katrina kepada Jibam.
Jibam memandang wanita itu seketika. Namun pen yang dihulurkan
Ranjit diambilnya juga.
“Apa ni?”
“Kontrak kahwin kita..” ujar Katrina selamba. Namun
bahagian atas sengaja ditutup dengan tangan supaya lelaki itu tidak melihatnya.
“Tebal macam ni?”
“Kalau berurusan dengan lawyer memang agreement akan jadi
tebal macam ni,” bohong Katrina mudah.
“Saya tak boleh baca ke?”
“Dah lambat. I nak siapkan cepat. Sign ajalah! Kalau I
tipu you, I ada kat depan you hari-hari. You boleh buat apa yang you nak,”
tegas Katrina sudah tidak sabar.
Ranjit tersenyum mendengar ujaran Katrina. Jibam menelan
liur sambil memandang wajah jelita itu seketika. Namun akhirnya helaian-helaian
itu ditandatanganinya juga.
“Okay.. ini pulak,” ucap Katrina lantas mengunjur borang
yang agak tebal kepada Jibam.
“Ini borang apa pulak?” tanya Jibam semakin ragu.
“Borang permohonan untuk mendapatkan lesen sebagai
kontraktor. Sign cepat!” getus Katrina lantas menarik tangan Jibam agar segera
menurunkan tandatangannya segera.
“Siapa yang memohon?”
“Youlah! Cepatlah..” geram pulak Katrina dengan soalan
demi soalan Jibam. Dia sudah tiada masa untuk menjelaskan.
Pertanyaan seterusnya terkulum. Jibam menurunkan juga
tandatangannya. Namun dalam fikirannya terdetik sesuatu. Macamana dia boleh
memohon jadi kontraktor sedangkan dia tidak punya sebarang aset sebagai
cagaran? Bukannya dia tidak tahu apa syarat yang wajib ada untuk memohon lesen
itu.
“And this is the last one..” sehelai lagi borang
diunjurkan kepada Jibam oleh Katrina tanpa bertangguh lagi.
Kali itu Jibam terus menandatangani borang itu. Setelah itu
Katrina terus menarik borang itu untuk diberikan kepada Ranjit yang
memerhatikan mereka.
“Okay.. ini saja buat masa ni. I akan call nanti kalau
ada apa-apa masalah.”
Katrina segera mengangguk dengan senyum lebar. Lega hatinya
melihat separuh urusan itu sudah selesai. Dia terus bangun bersama Jibam.
“Apa tadi tu?” tanya Jibam saat mereka turun daripada
bangunan itu.
“I akan jelaskan bila sampai masanya nanti. Kalau I cakap
sekarang I takut benda ni terbocor kepada orang lain. I tak mahu sesiapa tahu
terutama si Ryan tu!”
Berkerut kening Jibam memandang Katrina. Berahsia-rahsia
begini hatinya tidak tenang. Dia sendiri pun pening mahu menjawab kepada Ryan
yang menelefonnya setiap hari. Namun setelah itu mereka terus ke pejabat.
hmm dh ada n3 bru..duk tgu jer ..xsbar nk tu kisah selanjutnye
BalasPadam