Sabtu, 6 Disember 2014

Labuhkan Tirai semalam-Bab 1



Batuk kecil Haji Said menyentak lamunan lelaki muda bernama Benjamin itu. Dia menoleh sekilas. Seorang lelaki tua sedang turun dari tingkat atas terus diperhatikan.
"Morning.."
"Morning, ayah.." Jawab Ben perlahan.
"Sihat?"
"Alhamdulillah, sihat.."
"Malam tadi macam mana? Tidur Lena?" Lelaki tua itu bertanya lagi.
"Biasa aja, ayah. Ayah jangan risau. Ben sihat."
Haji Said mengangguk perlahan walaupun hatinya tidak begitu puas dengan jawapan itu. Dia mampu melihat ada yang tidak kena pada anak lelakinya itu. Dia tidak buta! Raut Ben kelihatan lesu macam sudah seminggu tidak tidur malam. Sebelum ini Ben selalu mengadu dia diganggu mimpi aneh.
"Kalau kamu masih diganggu mimpi tu.. Berubat lagi, Ben. Atau cuba ambil cuti. Pergilah kemana-mana. Melancong sambil merehatkan minda. Mungkin kamu kerja terlampau kuat. Tubuh dan fikiran kamu kelelahan," ujar Haji Said lembut.
"Saya nak pergi umrah hujung tahun ni, ayah.." Sambut Ben perlahan.
"Baguslah kalau begitu. Lupakan soal dunia seketika. Tumpukan minda dan hati pada ibadah, cinta pada Allah. Itulah sebaik-baik jalannya, Ben." Haji Said terangguk-angguk sendiri. Rancangan itu lebih menarik pada pemikirannya. Lebih banyak manfaatnya.
Ben tidak bersuara sekadar mengiakan dalam hati kebenaran bicara ayahnya itu. Sesudah mengambil sarapan dia terus bangun.
"Jumpa kat ofis nanti, ayah."
"Yalah.. Elok-elok memandu tu."
Sepeninggalan anak tunggalnya, lelaki tua itu termenung seketika di meja makan itu. Ada sesuatu bermain di mindanya. Tentang mimpi Ben. Adakah ini suatu petanda yang sedang diberikan oleh Yang Maha Kuasa kepada mereka berdua?
Entah.. Dia tidak pasti. Tetapi apa yang sering menganggu Ben semenjak kebelakangan ini turut menyulitkan dirinya untuk bernafas. Seolah-olah ada sesuatu yang sedang mencari mereka. Namun dia tidak tahu di mana jawapan harus dicarinya.

"Abbas!!" Pekikan dari jauh itu mencelah di pendengaran lelaki itu. Spontan pandangan dihalakan ke arah datangnya suara itu. Parang di tangan segera disisipkan ke sarungnya. Tidak lama kemudian dua lelaki mampir sambil menyeret seorang remaja lelaki. Fendi! Apa lagilah yang sudah di buat oleh anak ini?
Harun terus menolak remaja 16 tahun itu sehingga tersungkur ke atas tanah.
"Aku tak tahulah ini anak manusia atau anak iblis! Aku dah lama sabar, Abbas. Tapi budak ni makin lama makin lorat."
Abbas memandang anaknya itu seketika. "Apa dia dah buat kali ni, Harun?"
Harun menyeluk pocket kemejanya. Sebungkus plastik dicampakkan ke arah Abbas. "Ni makanan dia hari-hari!"
Bungkusan itu terkena tepat ke dada Abbas. Kemudian terjatuh tanpa sempat disambut lelaki itu.
"Aku tak kisah dia nak menagih dadah ke, nak merokok ke.. Itu anak kau! Tapi dia buat kerja dalam pondok kat kebun aku! Tak cukup dia jadikan pondok tu sebagai sarang dia, habis hasil kebun aku dikebasnya. Kau tak tahu ajar anak ke, Abbas?? Aku ni menanggung anak bini!!" Jerkah Harun cukup meninggi.
Abbas terdiam memandang bungkusan berisi tembakau di hujung kakinya. Kemudian Fendi dipandangnya. Anak itu khayal sendiri. Sudah pastilah akibat 'barang' yang sudah disedutnya. Sedih benar hatinya melihat anaknya jadi begini.
"Ikutkan hati aku, aku dah bawa dia pergi balai. Tapi aku kesiankan kau!"
"Aku bayar balik hasil kebun kau tu, Harun. Jangan lapor pada polis. Dia budak-budak lagi. Aku minta maaf banyak-banyak," rayu Abbas kepada teman sekampungnya itu.
"Berlambak anak orang lain yang senasib macam dia. Takde emak. Tapi tak semuanya jadi macam ni. Ini ujian Allah. Bukan dengan dadah, bukan dengan mencuri harta benda orang cara untuk kita lepaskan diri dari kesedihan tu. Sebelum dia hancur kerana benda haram tu, buat sesuatu Abbas!. Kalau dah sampai jadi sampah masyarakat suatu hari nanti, nak kesal pun dah tak guna! Kau suka tengok anak kau hidup dalam kebencian, umpat keji orang? Orang kampung ni semua dah pakat nak halau aja budak ni dari sink!" Ujar Harun separuh membentak.
Abbas terdiam merenung anak lelakinya itu. Fendi masih seperti itu. Tidak sedar orang sedang mengata dirinya dek kerana pengaruh ganja.
"Aku lepaskan dia kali ni. Kalau dia buat hal lagi.. Habislah dia."
"Maafkan aku, Harun. Aku akan kawal dia lain kali. Terima kasih banyak."
"Aku balik dulu. Jaga anak kau ni. Jangan sampai kebun orang lain pulak yang ditebas hasilnya. Kalau orang lain yang kena, takde ampun lagi untuk kau dan budak bertuah ni!" ujar harun sebelum berlalu.
Abbas menghela nafas lega mendengar ucapan Harun. Namun saat ini rasa malunya atas kelakuan Fendi sudah tidak tersukat. Bukan baru kali ini dia menghadap masalah seperti ini. Sudah berkali-kali. Biar dibelasah orang seteruk mana pun, anak itu tidak pernah insaf. Puas dileter, dimarahi, dipukul pun sudah! Namun tiada kesan kepada anak ini.
Apa lagi yang patut aku buat, ya Allah.. Keluh hati si ayah penuh sengsara. Dia sudah cukup merana semenjak ditinggalkan oleh arwah isterinya lebih dua tahun yang lalu. Kini masalah Fendi tidak pernah berhenti mengusutkan hidupnya. Abbas sedar, mungkin Affendi masih tidak mampu menerima hakikat tentang pemergian ibunya.
"Apa nak jadi dengan kamu ni?"
Pertanyaan itu tidak dijawab oleh Fendi. Dia sibuk meramas rambutnya sambil menceceh tanpa kedengaran biji butir kata-katanya.
"Apa nak jadi dengan kau ni, ha?? Sekolah kau tak mahu. Ayah ajak kau tolong ayah di kebun ni, kau tak mahu!! Apa yang kau nak ayah buat untuk kau lagi??" Jerit Abbas tiba-tiba. Kepala Fendi disebatnya sekuat-kuat hati. Dadanya turun naik menahan rasa mahu mengamuk.
Fendi sekadar menoleh sekilas kepada ayahnya itu. Mukanya toya sahaja tanda tidak gentar kepada kemarahan ayahnya. Makin berapi hati lelaki itu dengan reaksi anaknya. Ikutkan hatinya, mahu sahaja dipijaknya anak itu sehingga hatinya puas!
"Berubahlah, Fendi. Ayah dah takde sesiapa lagi selain kau. Kau satu-satunya anak ayah. Pada kau ayah akan bergantung hidup suatu hari nanti," keluh Abbas. Namun Fendi sekadar buat tidak dengar sahaja. Bicara itu masuk telinga kanan, keluar telinga kiri.
Abbas hanya mampu menghela nafas sabar. Memaki hamun dalam keadaan Fendi begini hanya mendatangkan sakit pada tekaknya saja. Bukannya anak itu mahu mendengar.
Akhirnya lengan anak itu direnggut lalu ditarik agar Fendi mampu berdiri. Setelah itu, anak itu ditolaknya untuk pulang ke rumah.

Kata orang tua-tua.. Waktu maghriblah syaitan akan keluar bekeliaran.
"Wewittt.."
Gadis sunti itu menoleh, cuba mencari arah datangnya suara itu. Namun malap sahaja pandangannya. Tiba-tiba dia rasa takut entah kenapa. Lorong yang sedang dilaluinya saat ini hanya ada kelibat pokok-pokok besar kiri dan kanan, desiran air sungai dan suara cengkerik tanda malam akan menjelma sedikit masa lagi. Selebihnya hanya dia di situ.
Dara memeluk erat bakul kuih di tangannya sambil melajukan hayunan kakinya. Kalau boleh dia mahu segera berlalu dari kawasan ini.
Mata itu kian meliar memandang kelibat Dara. Tidak puas hati, langkah gadis itu diekorinya. Makin lama makin rapat.
Dara cuba menoleh saat terdengar ada derap kaki mendekatinya dari arah belakang. Namun pandangannya terus dihalang sesuatu.
"Tolong!!" Gadis 13 tahun itu cuba meronta. Namun upayanya tidak semana. Bau hapak begitu kuat terngiang-ngiang di lubang hidungnya. Membuatkan kepalanya pening. Nafasnya sesak apabila mulutnya ditekup lebih kuat lagi. Akhirnya dia terkulai begitu sahaja.
Gadis longlai itu diseretnya ke arah kawasan rimbunan semak.
Buat seketika lelaki itu memandang sekeliling. Resah hatinya dan fikirannya semakin tidak menentu. Sambil merenung tubuh kaku itu, dia tergaru-garu sendiri. Pertimbangan akalnya sudah ke laut. Antara benar dan tidak, lelaki itu terus teragak-agak di situ. Namun hasutan terus-terusan di telinga semakin membuatkan akalnya hilang fungsi. Sudahnya gadis sunti itu diterpanya nekad. Antara sedar dan tidak, Dara diperlakukan semahunya!

"Ayah.. Jangan tinggal Fendi kat sini," rayu anak itu dengan derai air mata. Lengan Abbas dipegang erat.
"Ayah buat semua ni untuk kau, nak. Ayah nak kau sembuh. Ayah tak mahu benda jahanam tu rosakkan fikiran dan tubuh badan kau. Ayah takkan datang ambil kau semula selagi kau tak kuatkan diri kau untuk lawan ketagihan tu!"
"Fendi nak ikut ayah! Jangan tinggalkan Fendi kat sini. Fendi nak balik rumah kita."
"Takde lagi rumah kita di sana. Kita dah takde apa-apa lagi kampung tu. Ayah dah tak sanggup lagi, Fendi. Kali ni ayah nekad! Ayah nak pergi jauh dari situ."
"Ayah, Fendi insaf. Fendi janji takkan kecewakan ayah lagi." Anak itu terus merayu.
"Pak cik ni akan jaga kau. Apa dia cakap, kau kena dengar. Ini untuk kebaikan kau. Jangan sedih kalau ayah tak datang jenguk kau selalu, Fendi. Ayah perlu bangunkan semula kehidupan kita."
"Ayah.."
"Jaga anak saya baik-baik, bang. Inilah satu-satunya harta peninggalan arwah isteri saya," ucap Abbas sedikit menggigil suaranya.
"Jangan kamu bimbang, Abbas. Tempat ini memang untuk anak muda seperti dia. Dia akan belajar banyak perkara di sini," ujar lelaki itu lembut.
"Fendi.. Tinggal ya, nak? Ayah sayangkan kamu Fendi. Terlalu sayang. Insya-Allah.. Ayah akan datang semula untuk kamu. Kalau ayah tak datang, itu bukan kerana ayah dah lupa janji. Tapi sebab nyawa ayah dah takde lagi untuk ayah tunaikan janji ayah pada kamu. Bertahanlah, nak. Carilah kekuatan tu. Ayah mahu kamu jadi orang yang berguna suatu hari nanti."
"Ayah.."
Fendi mahu berlari mengikut lelaki itu. Tetapi tubuhnya ditahan oleh dua lelaki lain.
Sehingga bayang ayahnya menghilang, dia mula terkurung di situ. Diseksa, didera, dan dia semakin merana

2 ulasan: