Isnin, 8 Disember 2014

Bab 5 Labuhkan Tirai Semalam

Bab 5

Sandra pantas bangun dari kerusi tatkala telinganya terdengar bunyi enjin kereta berhenti di hadapan rumahnya. Bahagian hadapan rumahnya sekadar diintai melalui jendela kamarnya. Lama matanya merenung sebuah kereta jenis Toyota Fortuner yang sedang berhenti di hadapan rumahnya itu. Namun seketika kemudian kelibat adiknya kelihatan keluar penuh keriangan dari kereta itu. Sandra pantas keluar dari kamarnya.
Di bawah Sandra segera membuka pintu utama dan keluar ke halaman rumah. Adrina sudah pun masuk ke dalam kawasan rumah. Namun kereta itu masih terpakir di hadapan rumahnya.
"Siapa tu?" tanya Sandra kepada si adik.
"Abang Ben," jawab Adrina lantas melambai ke arah kereta itu. Spontan cermin kereta itu mula turun memperlihatkan wajah pemandunya.
Sandra terbeliak melihat lelaki itu tersengih sambil membalas lambaian Adrina. Kurang asam betul! Dia dah tahu rumah aku! Sandra menggerutu dalam hati.
"Ari masuk dalam," arah Sandra tanpa dapat mengalihkan pandangan daripada gelagat lelaki itu.
Adrina sekadar akur dalam hati yang puas. Maklumlah.. hasil memborong dari Pustaka Ilmu tadi sarat di tangan. Malam ini dia ingin tidur berpelukan dengan buku!
Sandra memerhatikan kelibat Adrina seketika sebelum mendapatkan Ben di keretanya. Ben membuka pintu keretanya dan keluar untuk berbicara dengan Sandra.
"Awak ni memang sengaja, kan?" ucap Sandra dalam nada tertahan.
"Sengaja apa, sayang?" Ben membalas selamba.
Astaghafirullah.. Sabar ajalah aku. Sandra hanya mampu beristighfar dalam hati.
"Jangan ganggu adik saya, Ben."
"Saya tak ganggu. Kebetulan saya tegur dia kat dalam kedai tadi. Saya dapat tahu dia ada kakak bernama Sandra. Kebetulan juga kakak yang dia ceritakan tu macam nak sama dengan seorang perempuan yang saya kenal sebelum ni. Sengaja tak mahu jawab call dari Saya, SMS saya tak laku langsung pada dia. So saya pelawa untuk hantar Ari balik," jelas Ben dengan muka selamba.
Sandra hanya mampu menggeleng sendiri. Tak reti bahasa sungguh lelaki ini! Tak faham orang tak sudi agaknya.
"Awak tak mahu jawab call saya, terpaksalah saya buat macam ni." Ben berkata lagi dalam pada wanita itu hanya mampu membisu.
"Apa yang awak kejarkan sangat pada saya ni? Jangan buang masa awak dengan saya, Ben. Saya tak mampu berikan apa-apa pada awak," Ujar  Sandra lantas menggeleng kesal.
"Saya cuma nak kenal awak. Saya nak jadi sebahagian daripada hidup awak dan Ari," jawab Ben bersungguh.
"Awak tak tahu apa yang sedang minta dari saya sekarang ni!" Tegas Sandra kepada lelaki itu.
Ben terdiam seketika sambil menghela nafas.
"Saya tak tahu dan tak faham kenapa awak macam ni, Sandra. Teruk sangat ke berkawan dengan lelaki? Apa yang jahat benar kami ni?" Ujar  Ben dalam nada tertahan.
"Sekali lagi saya kata awak tak tahu apa yang awak cakap ni, Ben!" Sandra tunduk memicit pangkal hidungnya. Tiba-tiba raut seseorang muncul di layar hitamnya.
"Mana budak tu?"
"Ada di dalam. Sihat budaknya. Anak perempuan.."
"Saya nak ambil budak tu, kak. Emaknya biar di sini sampai dia sihat."
"Sijil beranaknya macam mana?"
"Biar saya yang selesaikan hal tu. Jaga Dara elok-elok. Saya datang ambil dia semula nanti."
"Sandra!!"
Sandra tersentak diterpa suara Ben. Bayangan itu terbang entah ke mana. Wajah lelaki di hadapannya itu kembali dipandang. "Baliklah, Ben. Jangan cari saya lagi," ujar  Sandra perlahan.
"That's it?" Soal Ben dengan pandangan mencerun tajam.
"Habis tu awak nak apa lagi??" Suara Sandra mengeras tiba-tiba. Sesak nafasnya dibuat oleh lelaki ini.
"Kenapa awak tak boleh terima lelaki dalam hidup awak? Saya nak tahu apa sebabnya sebelum awak tolak kehadiran saya," ucap Ben perlahan.
Sandra berpaling je arah rumahnya seketika. Sekadar mahu memastikan Adrina tidak mencuri dengar perbualan dan mengintai mereka di luar sini.
"Ada sesetengah perkara terlalu peribadi untuk saya cerita pada orang lain. Saya tak senang berkongsi cerita." Sandra berkata perlahan.
Ben terdiam merenung wanita yang sedang berpeluk tubuh di hadapannya.
"Baliklah, Ben."
"Saya takkan berhenti cari awak, Sandra. Melainkan kalau awak ni sebenarnya isteri orang," ucap Ben serius.
"Saya tak berminat dengan kesungguhan awak tu, Ben. Sebelum awak menyesal kemudian hari, saya nasihatkan awak supaya berhenti cari saya. Saya tak sama macam orang lain. Kehidupan saya bukan untuk dikongsi dengan orang lain," ujar  Sandra tenang.
"Sebab awak dan Ari dah takde mak dan ayah?"
Wajah Sandra berubah habis mendengar itu. "You know too much!!"
"Sandra.."
"Get out from my life and stay away from my sister!" Sandra mendesis tajam.
"Apa yang hinanya dengan kenyataan tu? Apa yang nak dimalukan, Sandra? Saya pun tak sempurna. Kalau Ari hanya ada kakak bersama dia.. Saya hanya ada ayah ayah yang membesarkan saya selama ni," ujar  Ben bersungguh.
Sandra sekadar menggeleng. Tidak! Kisah hidupnya lebih parah dari itu. Lebih sadis!
"Pergi, Ben. Saya tak mahu awak cari saya lagi." Tanpa menunggu balasan Ben, Sandra terus masuk ke dalam rumah.

Kampung Perantau, Johor Bharu.
"Berhenti.." Ucap lelaki tua itu kepada anak muda di sebelahnya. Matanya terpusat kepada sebuah rumah usang yang dilihatnya ketika melintasi lorong kecil itu.
"Pak Cik nak berhenti kat mana?" Tanya Salman setelah kereta diberhentikan.
"Lorong tadi. Pak Cik nampak macam ada rumah," ujar  lelaki tua itu.
"Oh, rumah tu. Sekejap.. Saya reverse dulu," balas Salman lembut melayan kehendak orang tua itu.
"Setahu saya tanah ni bukan untuk dijual, pak Cik." Beritahu Salman setelah mereka keluar dari kereta.
Lelaki tua itu berdiri lama, memandang ke arah rumah itu. Berbelas tahun berlalu.. Rumah itu masih ada. Namun kosong begitu sahaja.
"Pakcik cari siapa sebenarnya ni?" Tanya Salman hairan melihat lelaki tua itu merenung ke rumah itu.
"Saja nak tengok rumah ni. Siapa pemilik rumah ni? Mana pergi tuannya?" Tanya si tua itu.
"Dah lama pindah tuannya," sambut Salman. Rumah itu ikut dipandang.
"Siapa punya tanah ni sekarang?"
"Saya tak pasti siapa penama kepada tanah ni sekarang. Tapi dulu rumah ni ada seorang perempuan tinggal di sini dengan anak tunggal dia. Kalau tak silap saya nama perempuan tu Mariam banti Markom. Rumah ni pusaka dari arwah emak dia kalau tak silap saya," cerita anak muda itu.
Lelaki tua itu menoleh sambil tersenyum. "Banyak kamu tahu ya?"
"Sini kampung saya, Pakcik. Tempat saya bermain waktu kecil dulu."
Lelaki tua itu mengangguk sahaja.
"Pakcik kata nak tengok tanah. Rasa saya tanah ni bukan untuk dijual."
"Pakcik tak faham.. Kampung Perantau ni rata-ratanya dah dimajukan. Tapi kenapa rumah buruk ni masih ada?"
"Saya tak pastilah cerita ni benar ke tidak," ujar  Salman sambil menepuk seekor nyamuk di lengannya.
Lelaki tua itu terus merenung anak muda di sebelahnya. Menanti sambungan kata. Anak muda ini hampir sebaya dengan anak lelakinya mungkin.
"Dulu Mak Cik Mariam ni kurang bergaul dengan orang sebab arwah suami dia dengarnya seorang pelarian Kampuchia(Cambodia). Kemudian hidup mereka anak beranak ni memang miskin. Arwah suami dia meninggal waktu umur saya 7 tahun kalau tak salah. Semenjak itu dia hanya berdua dengan anak dia. Waktu saya kecil dulu.. Kawasan sekeliling ni hanya ada ladang getah milik tauke Cina. Rumah ni memang jauh dari orang. Sebab tu orang tak ambil tahu pasal dia."
"Mana Mariam sekarang? Kamu tahu?"
Salman terus menggeleng. "Mak Cik Mariam tinggalkan kampung ni tiba-tiba. Takde orang tahu ke mana. Sampai sekarang dia tak pernah balik. Sebab tu rumah ni kekal macam ni. Takde siapa berani usik sebab tuan tanahnya tak tahu ke mana. Orang keliling masing-masing buat spekulasi sendiri. Mungkin anak Mariam kena rogol. Sebab ladang getah ni dulu sarang penagih. Betul ke tidak cerita tu saya tak tahu," jelas Salman.
Lelaki tua itu mengangguk perlahan.
"Siapa nama anak Mariam ni?" Lelaki tua itu sengaja bertanya lagi.
"Mak Cik Mariam ni.. walaupun kurang bergaul dengan orang lain. Tapi anak dia cantik. Dara nama anak dia. Saya pun selalu mengendap anak dia berjalan seorang dalam ladang getah ni dulu waktu dia balik sekolah. Dara tak selalu bergaul dengan rakan sebaya. Dia lebih banyak habiskan masa tolong mak dia menjaja kuih keliling kampung," ujar Salman lantas tergelak sendiri. Lelaki tua itu ikut ketawa dengan Salman.
Tawa Salman memudar. Sebuah helaan nafas dilepaskan.
"Tak tahu kenapa Mak Cik Mariam menghilang dengan anak dia. Saya masih ingat sesuatu tentang mak Cik Mariam ni.. Kuih dia memang sedap. Tiba-tiba aja semuanya berubah," cerita Salman.
Kisah waktu itu terus bermain di mindanya. Takkan dia lupa sampai bila-bila. Ada sesuatu yang melanda kampung ini ketika itu. Tetapi tidak tahu apa. Teringatkan Affendi, rakan sekampungnya. Entah di mana sekarang. Pak Cik Abbas dan Affendi juga menghilangkan diri dari kampung ini. Pakcik Abbas menjual semua tanahnya yang mana ada kepada tauke Cina. Tidak lama selepas itu, Mak Cik Mariam dan anaknya menghilang begitu saja. Adakah benar Dara diperkosa penagih ketika itu? Lalu kenapa Abbas dan Affendi juga menghilang?
Lelaki tua itu membisu. Fikirannya turut memikirkan tentang Mariam.
"Kamu masih ingat tahun berapa Mariam ni menghilang?" Lelaki tua itu menoleh ke sebelahnya seketika.
Salman diam seketika. Cuba mencongak mengikut umurnya.
"Seingat saya dia tinggalkan kampung ni saya berumur 17 tahun waktu tu. Sekarang umur saya 33 tahun. Jadi dah 16 tahun lebih kurang. Tahun 1998. Betul.. 1998," jelas Salman.
Lelaki tua itu segera menoleh. 1998..

Mata Abbas meliar kepada anaknya. Affendi nampak aneh benar. Dia terlihat tali pinggang seluar anak itu tidak bersambung. Baju hanya disangkut ke bahunya. Entah kenapa ada debar di dada Abbas. Nalurinya merasakan ada sesuatu yang tidak kena.
"Kamu dari mana?"
"Dari sekolah.."
"Jangan nak membohong!! Pergi sekolah dengan seluar jeans??" Jerkah Abbas.
"Bisinglah, ayah!!" Marah Fendi.
"Apa kamu dah buat kali ni??" Leher anak itu dicekaknya.
Affendi sekadar memandang ayahnya dengan mata kuyu.
"Cakap, Fendi!! Kamu dari mana ni??" Kemarahan membuatkan tubuh anak itu digoncangnya kuat.
"Tak ingatlah.. Tadi rasanya Fendi jumpa perempuan. Fendi tangkap dia. Lepas tu Fendi bukak baju dia," ujar anak itu lantas tergelak sendiri.
Astaghafirullah.. Abbas terpaku memandang anaknya itu. Seperti mahu rebah dia mendengar itu.
"Anak siapa yang kamu tangkap tu??"
"Mana Fendi ingat.." Sambut Fendi sambil tergaru-garu. Kemudian dia menyengih. Seronok!
Ya Allah.. Apa yang anak aku dah buat? Detak hati Abbas.

"Pak cik.."
"Ya.." Lelaki tua itu tersentak ditegur Salman.
"Kita balik? Saya hantar pak cik ke hotel," ujar  Salman lembut. Tidak sanggup lagi mahu berada di situ petang begini. Nyamuk banyak.
Di dalam kereta itu, lelaki tua itu bersuara lagi.
"Pak Cik nak mintak tolong kamu ni.."
"Apa dia?" Salman menoleh ke sebelahnya.
"Kalau boleh pak Cik nak tahu kampung asal Mariam tu. Pak Cik nak cari dia," ujar  lelaki tua itu lembut.
"Nak buat apa?" Salman mengerutkan kening memandang lelaki di sebelahnya itu.
"Pak Cik nak jumpa pemilik tanah tu. Nak bincang sikit pasal tapak rumah tadi tu," ujar lelaki tua itu perlahan.
"Insya-Allah.. Mana yang saya boleh buat, saya buat.." Akui Salman akur walaupun hatinya diserbu tanda tanya. Ada tanah yang memang untuk dijual, lelaki ini mahukan tanah Mariam pula. Pelik!

5 ulasan: