Ahad, 7 Disember 2014

Bab 4 Labuhkan Tirai Semalam


"Akak.." Riang nada gadis itu. Tanpa mempedulikan Sandra sedang sibuk dengan assignment pelajarnya, Adrina memeluk leher Sandra dari arah belakang.
"Nak apa ni?" Tanya Sandra tanpa menoleh.
"Jom pergi jalan, nak? Ari bosanlah," keluh Adrina agak manja.
"Akak busy ni," jawab Sandra agak perlahan. Matanya terus berlari di atas kertas putih bertulisan hitam itu.
"Ari bosanlah. Ari nak pergi Pustaka Ilmu boleh tak?"
Sandra akhirnya menoleh kepada adiknya itu. "Buku hari tu dah habis baca ke?"
"Dah dua kali ulang pun. Boleh ya? Ari nak lepak baca buku kat sana," pinta anak itu lembut.
"Wallet akak atas meja solek sana," ucap Sandra sambil memuncungkan mulutnya ke arah meja solek.
Lebar senyum Adrina mendengar itu. Pantas dia berlari anak ke arah meja solek itu. Dompet berwarna coklat di atas meja itu diambilnya lalu dibawa kepada Sandra.
"Jangan beli buku yang bukan-bukan. Resit jangan lupa. Balik nanti akak nak tengok buku apa Ari beli," pesan Sandra setelah mengeluarkan not 50 sebanyak dua keping untuk Adrina.
"Sayang akak!" Ucap Adrina cukup ceria. Not itu terus diambilnya.
"Jangan balik lambat sangat, Ari. Sebelum maghrib mesti ada kat rumah," pesan Sandra lagi sebelum Adrina keluar dari kamar itu.
"Okay.." Jawab Adrina sebelum meninggalkan Sandra di kamar itu. Riang benar hatinya. Dapat keizinan untuk menjelajah tempat yang paling disukainya itu. Kedai buku!
Gedung Pustaka Ilmu itu tidaklah jauh dari rumahnya. Sekadar berjalan kaki sepuluh minit sahaja sudah sampai. Berkobar-kobar gadis itu memanjat tangga gedung itu untuk ke tingkat dua. Di situ ada ruangan untuk bersantai sambil membaca buku. Kerana itu gedung ini sangat istimewa untuknya. Selesa untuk orang yang suka membaca seperti dia.
Di lantai yang sama, Adrina menjengah rak novel Melayu. Satu persatu dibeleknya. Kemudian dia mendekati rak lain. Adrina terkandas lama di rak novel Inggeris. Dari sebuah ke sebuah novel dibeleknya. Pesanan Sandra sudah tidak jejak di fikirannya. Kemudian salah satu novel yang sudah tidak bersampul plastik diselaknya. Sudahnya Adrina bersila di atas lantai bersama buku itu. Pelanggan lain yang lalu lalang ditepinya langsung tidak dipedulikan.
"Ehem.." Adrina sekadar mengangkat pandangan sedikit. Sepasang kasut lelaki terlihat olehnya. Akhirnya dia mendongak, mencari wajah si pemilik kasut itu. Seorang lelaki berbaju tee biru sedang berdiri memandangnya. Lambang pada kocek dan lengan baju itu memberitahu Adrina yang lelaki itu adalah kakitangan toko buku itu.
"Nama siapa?" tanya lelaki itu dengan sedikit senyuman.
"Adrina," jawab Adrina agak serba salah. Bimbang lelaki itu marah dia membaca di tempat yang tak sesuai.
"Sedap nama tu.." Lelaki itu mula merendahkan tubuhnya di hadapan Adrina. Buku di tangan Adrina diambilnya. Tajuk buku itu dipandang sekilas sebelum buku itu ditutup.
"Sorry.. Saya curi baca," Ucap Adrina perlahan.
"Adrina curi baca buku yang tak sesuai untuk dibaca. Buku ni bukan untuk pelajar sekolah. Adrina tingkatan berapa sekarang?"
"Form 4."
"Nama Abang, Ben. Panggil Abang Ben."
Adrina sekadar terkulat-kulat memandang lelaki itu.
"Abang Ben tak marah. Adik nak baca buku, boleh. Buku yang tak bersampul macam ni memang untuk dilihat isi kandungannya sebelum dibeli. Nak baca sampai habis pun Abang Ben tak kisah. Tapi bukan buku cinta macam ni. Isi kandungannya sesuai untuk orang dewasa aja," ujar  Ben dengan sedikit senyuman.
Adrina sekadar mengangguk saat merenung wajah lelaki itu.
"Abang Ben panggil Rina, boleh?"
"Ari. Semua orang panggil saya Ari," ujar  Adrina masih segan-segan kepada lelaki itu.
"Ari.. Hmm.. Abang Ben nak tunjuk Ari novel yang best pada Ari. Ari suka novel, kan? Jom!" Pelawa Ben ramah. Tanpa menunggu jawapan gadis itu, Ben terus bangun menuju ke arah rak novel-novel remaja.
"Sebelum ni Abang Ben ada rekemen pada seorang costumer novel ni. Ari dah baca novel ni?"
Adrina mengambil novel Inggeris dari tangan Ben. "Dah! Dah dua kali Ari baca. Best sangat cerita ni," ujar  Adrina sekadar membelek sekali imbas novel bertajuk The Song Of The Lioness itu.
"Abang Ben pun suka cerita dia. Karakter utama dalam cerita ni sangat kuat. Walaupun dia tu sebenarnya perempuan," sambut Ben sambil tersenyum.
"Novel tu kakak Ari baru beli bulan lepas. Sekali dengan novel ni. Yang ni pun best juga. Tapi Ari lagi suka novel Alanna tu," cerita Adrina mula hilang kekok dengan lelaki itu.
Ben terpaku memandang novel Anna And The French Kiss itu. Kalau tidak silapnya novel itulah yang dicadangkan kepada Sandra. Seketika kemudian wajah remaja itu pula direnung oleh Ben. Adakah gadis ini adik kepada Sandra?
"Siapa nama kakak Ari?" Tanya Ben perlahan.
"Sandra. Kenapa?"
Ben terpaku lagi merenung wajah di hadapannya ini. Ini adik Sandra rupanya. Betapa kecilnya dunia.
"Rasanya costumer yang Abang Ben maksudkan tadi tu, kakak Ari."
"Aik? Ye ke? Macam mana Abang Ben boleh ingat? Kan ramai costumer kat sini?" Jawab Adrina sedikit ragu.
"Abang Ben ingat dia sebab bukan selalu Abang Ben layan costumer kat floor ni. Kerja abang kat dalam ofis. Hari tu kakak Ari mintak tolong staf. Tapi semua staf sibuk. So Abang Ben yang bantu dia carikan novel ni. Dia ada bagi tahu abang yang novel tu untuk adik dia. Kakak Ari kerja dekat UITM, kan?" Jelas Ben lembut.
Adrina sekadar mengangguk kepada soalan Ben itu.
"Kak Sandra tak datang sekali ke?"
"Akak busy dengan assignment student dia. Dia kat rumah," ucap Adrina perlahan.
"Mak dengan ayah?" Tanya Ben semakin hairan. Masakan gadis ini sendirian sahaja tanpa penjaganya?
Adrina pantas memandang raut lelaki itu. "Mak meninggal waktu Ari berumur 9 tahun. Ayah memang semenjak Ari lahir, dah takde. Kak Sandra yang besarkan Ari lepas mak meninggal," jawab Adrina perlahan.
Wajah Ben berubah mendengar cerita itu.
"Maaf, abang tak tahu. Ari jangan ambil hati ya?"
"Takpe.. Ari tak ambil hati pun." Adrina sekadar membalas biasa. Dia sudah lama menerima hakikat itu.
"Jadi Ari berdua saja dengan kakak selama ni?"
"Kak Sandra satu-satunya saudara yang Ari ada. Kak Sandra macam emak Ari. Setiap hari dia yang jaga Ari." Adrina menjawab rendah. Hakikat sebenarnya terus disimpan dari pengetahuan lelaki asing ini. Dia sebenarnya anak angkat kepada arwah emaknya. Sandra bukan kakak kandungnya. Hakikat itu sudah diketahui semenjak dulu lagi. Semenjak dia menyedari di dalam sijil lahirnya tertera istilah 'Tidak Diketahui' pada kolum untuk nama ibu dan bapa kandung. Namun biarpun dia hanya anak angkat. Tetapi dia bersyukur. Arwah emak dan kakaknya melimpahkan dia dengan kasih sayang. Sandra membawa dia berhijrah ke United Kingdom setelah pemergian emak mereka. Semenjak itu ke mana sahaja Sandra berpindah dia tidak pernah berenggang dengan kakaknya itu. Susah dan senang mereka sentiasa bersama.
Ben sekadar memandang remaja itu termenung memikirkan sesuatu. Mungkin ada sedikit kisah lalu yang sedang dikenang Adrina. Namun dia kagum dengan wanita bernama Sandra itu. Seorang kakak yang penyayang dan bertanggung jawab.
"Ari datang sini naik apa? Tak takut ke jalan seorang jauh-jauh begini?" Ben bersuara semula.
"Jauh? Taklah.. Rumah Ari dekat aja dari sini. Kat kawasan perumahan sebelah jalan tu. Ari jalan kaki datang sini," jawab Adrina lantas ketawa kecil.
"Oh.." Ben hampir terlopong. Rupanya Sandra tinggal di sini saja. Bertambah kecil dunia. Sandra.. Kita dah makin dekat nampaknya ni, bisik hati Ben sendiri.
"Ari nak beli buku? Abang Ben belanja."
"Taknaklah. Nanti akak marah ambil hadiah dari sembarangan orang," ucap gadis itu perlahan.
"Takpe.. Kak Sandra mesti kenal lagi Abang Ben. Apa kata.. Lepas Ari beli buku ni, abang Ben hantar Ari balik?"
Adrina terdiam. Itu lagilah dia takut dimarahi Sandra. Sudah acap kali dia dipesan supaya tidak mengikut lelaki yang dia tidak kenal.
"Abang Ben nak hadiahkan Kak Sandra buku juga. Ari satu.. Kak Sandra dua."
"Aik? Kenapa Kak Sandra dua tapi Ari satu je?" Sambut gadis itu hairan.
Ben tersenyum seketika. "Kak Sandra boleh jadi makwe abang Ben. Ari kecik lagi. Tak boleh jadi makwe Abang Ben. Ari jadi adik abang Ben."
Adrina terus ketawa mendengar ujaran lelaki itu. "Abang Ben nak mengorat akak Ari ya?"
"Begitulah kira-kiranya. Kakak Ari tu dah ada boyfriend ke belum?" Makin panjang pula borak dua manusia itu.
"Takde.. Abang Ben nak cuba mengorat Kak Sandra? Ari nak wish good luck je kat Abang Ben," ujar  Adrina sedikit meleret.
"Abang Ben pantang dicabar! Abang Ben pasti berjaya," sambut Ben penuh semangat. Adrina tergelak lagi melihat gelagat lelaki itu.
Ben hanya mampu meneguk liur sendiri. Semangat benarlah konon. Semenjak dia mendapat nombor telefon Sandra, sekali pun dia tidak dapat bergayut di talian dengan Sandra. Pantang terdengar suaranya, Sandra pasti akan mematikan talian. SMSnya lagilah tidak mendapat sambutan. Pandai betul Sandra menghindar darinya. Tapi selepas ini dia mahu lihat sejauh mana Sandra mahu mengelak. Takkan nak pindah kut?





3 ulasan: