Isnin, 8 Disember 2014

Bab 6 Labuhkan Tirai Semalam

Alunan ayat suci itu terhenti. Dara terdiam tiba-tiba.
"Sambung lekas. Belum sampai satu muka lagi tu," tegur wanita itu kepada anaknya.
Gadis sunti itu akur. Ayat suci dari surah Al-Imran itu terus dibacanya. Beginilah rutinnya selepas maghrib. Emaknya akan mengajar dia mengaji sehingga sampai waktu isyak.
"Mak.." Keluh anak itu setelah menutup kitab suci Al Quran.
"Ya.." Si ibu menoleh. Anaknya sedang memegang perutnya.
"Kenapa dengan perut ni? Macam ada benda kat dalam. Tak selesa," adu anak itu.
Wanita bernama Mariam itu memandang lama anaknya. Ada apa pulak?
"Dara sakit perut ke?" Tanya Mariam perlahan.
Anak itu menggeleng. "Benda tu ada aja kat dalam ni. Kenapa Dara rasa macam ni, mak?" Keluh Dara.
Mariam terus-terusan membisu sambil memandang Dara. Namun hatinya merasa lain macam benar. 'Benda itu ada aja kat dalam' sebaris kata-kata itu cuba difahami sebaik-baiknya. Namun apa yang melintas di benaknya ini amat menakutkan. Teringat dia dalam seminggu ini Dara kerap mengadu tidak larat mahu ke sekolah. Kepalanya asyik terasa pening entah kenapa.
Masakan anaknya yang baru mengenal dunia ini sudah.. Ah! Mariam tidak sanggup menghadapi keadaan itu. Tak mungkin! Dara anak yang baik!
"Dara dah datang bulan ke, nak?"
Dara pantas menggeleng. Wajahnya sudah mula berubah.
Mariam pantas mendekati anaknya. Perut itu disentuhnya agak lama. Macam ada yang sedang dicarinya. Bahagian ari-arinya terasa keras. Macam orang hamil. Dada Mariam mula bergetar hebat. Tak mungkin Dara hamil. Mustahil!! Mariam menolak keras andaian itu.
"Cakap dengan mak betul-betul.. Dara dah datang bulan ke belum?"
"Belum.." Jawab Dara sedikit takut-takut. Kenapa emaknya nampak resah? Kenapa emaknya bertanya dia sudah datang bulan ke belum?
"Dada rasa macam mana? Ada rasa sakit macam bengkak?"
Perlahan Dara mengangguk.
Mariam diam merenung tampang anaknya. Apa yang melanda anak aku ni? Dara baru 13 tahun!! Tak mungkin. Mungkin Dara ada masalah lain. Dada Mariam terasa sesak.
"Kita pergi klinik esok," ucap Mariam.
"Tak nak, mak! Dara takut," desis Dara sedikit menggigil suaranya.
"Kenapa nak takut? Kita jumpa doktor aja," ujar Mariam lembut. Rambut anaknya itu dibelai lembut.
Dara menggeleng. Dia takut doktor terlihat parut luka di pahanya. Dia tidak mahu emaknya tahu apa yang berlaku petang itu. Dia tidak sanggup melihat emaknya susah kerananya.
"Kenapa ni, Dara?"
"Dara tak mahu pergi klinik, mak. Tak payah pergi. Dara tahu mak takde duit nak tambang bas," rayu Dara bersungguh.
"Soal duit itu biar mak yang fikir. Mak cuma nak minta ubat untuk Dara."
Dara menggeleng sahaja. Namun wajahnya berkerut tanda mahu menangis. Sedikit sebanyak dia dapat merasakan ada sesuatu yang telah berlaku kepadanya petang itu. Nalurinya mengatakan rasa aneh dalam perutnya ini tidak hadir begitu sahaja. Saat ini alangkah baiknya kalau dia mati saja.
"Dara.. Cakap dengan mak. Mak tak marah, sayang."
"Dara takut.." Ucap anak itu separuh berbisik.
"Jangan takut. Mak ada.." Pujuk Mariam perlahan.
"Ada orang ganggu Dara kat kebun getah tu," jelas Dara amat perlahan.
"Siapa kacau Dara?" Sambut Mariam pantas. Kebun getah itulah satu-satunya jalan untuk ke rumah mereka. Siapa yang berani menganggu anaknya di situ?
"Cakap, Dara!! Siapa kacau Dara?? Apa dia buat??" Desak Mariam sedikit meninggi suaranya.
"Tak tahu. Dia peluk Dara.." Dara tidak mampu lagi untuk meneruskan bicara. Esakannya terburai begitu sahaja.
Mariam terpaku memandang anaknya. Apa maksud Dara? Dara diperkosa?
"Jangan menangis! Cakap dengan mak. Apa yang dah berlaku?? Siapa peluk Dara?? Apa lagi dia buat??" Tekan Mariam dengan soalan bertalu-talu.
Dara hanya mampu menggeleng. Tangisannya semakin kuat.
"Kenapa tak bagitahu mak?? Kenapa dara diam??"
"Dara takut mak susah lagi," ucap Dara dalam tangisan.
Mariam terpempan sendiri. Betapa gelapnya dunia dirasakan saat ini. Sudah jatuh ditimpa kemiskinan, Kini nama Dara sudah tiada erti lagi kepada anaknya.
"Dara.. Jangan sedih, sayang. Mak ada," ucap Mariam. Anaknya terus dipeluknya. Namun akhirnya dia juga menangis. Masa depan Dara terlalu pekat hitamnya. Sepekat hitamnya malam yang malang buat dua beranak itu.

Sandra memejamkan matanya rapat-rapat. Resah hatinya tidak terucap. Maghrib sudah menjelang. Namun Adrina masih belum pulang. Dia bimbang. Namun saat mata dibuka, kelibat Adrina kelihatan melalui intaiannya. Sedang membuka pintu pagar.
"Eh! Akak dah balik?" Adrina sengaja buat-buat terkejut melihat Sandra ada di ruang tamu itu.
"Pergi mana baru balik?" Sandra pantas menyoal sambil bercekak pinggang. Jam tujuh setengah petang baru muncul di rumah. Sedangkan sesi persekolahan Adrina habis jam satu setengah tengahari tadi. Dia yang habis kerja lewat boleh sampai dulu di rumah.
"Ari lepak kat kedai buku. Ari jumpa abang Ben lagi kat sana. Dia kirim salam rindu pada akak," jawab Adrina selamba.
Tak reti bahasa lagi mamat tu rupanya.. Desis Sandra cukup tidak senang. Selama sebulan ini Ben menghilang entah ke mana. Sangkanya lelaki itu sudah jemu mendekatinya.
"Hari tu abang Ben pergi kerja kat Penang. Dia belikan Ari souvenir."
"Jangan terlalu kerap sangat jumpa dia. Akak tak suka!" Tegas Sandra tajam suaranya.
"Okay apa abang Ben tu. Ari suka dia. Dia terror math. Tadi dia ajar Ari mod math." Jawab Adrina selamba.
"Akak pun boleh ajar Ari math. Dah dapat jumpa lelaki tu.. Cakap akak pun Ari dah tak mahu dengar, kan?" Marah Sandra.
"Apa akak cakap ni?"
"Akak tak suka Ari cerita pasal keluarga kita pada orang luar. Terutama sekali dia tu. Faham tak?"
"Faham." Adrina menyahut rendah.
Sandra mendengus sambil berlalu dari ruang tamu. Tidak tahu mengapa.. mendengar nama lelaki itu moodnya benar-benar lari. Di dalam kamarnya dia duduk seketika di tepi katil. Rasuah adiknya dengan macam-macam pemberian dan hadiah, itu dia memang tidak suka.
Usai isyak malam itu Sandra mengajak Adrina makan malam di luar. Tiada perbualan antara dua beradik itu. Sandra sibuk mencari restoran yang hendak disinggahi. Adrina di sebelah membelek tabnya sambil tersengih-sengih sendiri.
"Kat sini ajalah. Akak malas nak pergi jauh-jauh. Penat.."
Adrina memandang sekeliling seketika. "Okay.." Jawabnya acuh tidak acuh saja.
"Cepatlah. Main mesej dengan siapa lagi tu?" Tegur Sandra. Kelakuan Adrina sempat dipandangnya. Namun kemudian dia menggeleng sendiri.
Setelah membuat pesanan Sandra memandang adiknya.
"Exam berapa hari bulan?"
"Ha?" Adrina terus mendongak memandang kakaknya.
"Ari borak dengan siapa tu?" Hairan Sandra melihat adiknya asyik bermain dengan tab Samsungnya. Macam ada yang menarik benar.
"Ari tengah wasap kawan sekelas Ari."
"Dah jumpa kat sekolah pun tak puas lagi sembang ke?"
"Kitorang tengah discuss something. Lepas exam nanti kitorang nak pergi jalan makan angin," jawab Adrina selamba.
"Amboi.. Bukan main lagi, kan? Nak pergi jalan makan angin. Siapa yang anjurkan?"
"Takde siapa yang anjurkan. Kitorang yang pelan sendiri."
"Macamlah akak bagi Ari pergi," desis Sandra selamba.
"Alah.. Ari dah besar, kak. Ari tahu jaga diri," ujar  Adrina mula merendahkan nadanya.
Sandra sekadar membisu. Soal keselamatan Adrina sememangnya bukan sesuatu yang boleh dikompromikan baginya.
"Akak.. Bolehlah." Adrina merayu lagi.
"Tak boleh. Akak ambil cuti nanti. Kita pergi jalan," ucap Sandra perlahan.
"Betul?" Tekan Adrina mula berubah ceria wajahnya.
Sandra sekadar mengangguk. Dia tahu Adrina bosan terperuk sahaja di rumah. Dia juga perlukan masa libur untuk dirinya. Rehat daripada beban kerja.
"Akak nak ajak pergi mana?" Tanya Adrina sudah tidak sabar.
"Kita jalan dekat-dekat sini aja," jawab Sandra selamba.
"Dekat sini tu kat mana?"
"Perth," ujar Sandra perlahan.
"Abang Ben nak ikut sekali pergi Perth, boleh?" Dua wanita itu tersentak tatkala kedengaran satu suara menyampuk tiba-tiba. Wajah Sandra berubah habis melihat Ben berdiri di tepi meja sambil menyeluk tangan ke dalam poket jeansnya.
"Abang Ben!!" Adrina hampir menjerit seronok melihat kehadiran lelaki itu di situ.
"Hai.. Saya join, boleh?" Ucap Ben kepada Sandra yang kelihatan terkejut melihatnya.
"Duduklah, abang Ben." Adrina terus mengajak tanpa mempedulikan reaksi tidak senang kakaknya.
"Thank you!" Dengan muka selamba Ben menarik kerusi kosong.
"Awak tak sengaja terjumpa kami kat sini atau ada orang memang bagi tahu awak kami ada kat sini?" Perli Sandra lantas memandang adiknya.
"Siapa bagitahu? Takdelah.. Saya tak sengaja terserempak dengan awak. Tak suka ke tengok saya ni?" Ujar  Ben sambil menayang sengih.
Sandra sekadar membuang pandang. Tak suka pun apa boleh buat. Ben dah duduk pun. Takkan dia nak halau?
"Lama tak nampak awak, saya rindu nak tengok muka berkerut masam awak tu," ucap Ben lagi.
"Tak payahlah nak perli pulak!" Getus Sandra sambil mengertap bibir.
"Taklah.. Mana ada perli. Orang kalau dah sayang, tak kisahlah masam ke, masin ke, manis ke.. Dia tetap sayang. Betul tak, Ari?"
"Betul! Betul!" Adrina pantas mengangguk sambil tergelak. Wajah tabnya kembali dipandang. Sengaja memberi peluang kepada Ben untuk melayan bicara kakaknya.
Sandra sekadar memandang jengkel gelagat lelaki itu.
"Ari order apa?" Tanya Ben kepada Adrina saat pelayan mahu mengambil ordernya.
"Nasi goreng USA."
"Nasi goreng aja? Malam ni abang Ben belanja. Makan banyak sikit. Jangan segan-segan dengan abang Ben. Manalah tahu lepas ni Abang Ben dapat makwe lecturer UITM yang diidamkan sangat tu. Terpaksa Ari tengok muka abang Ben hari-hari," ucap Ben kepada Adrina.
Adrina mengekek ketawa melihat kakaknya menjeling lelaki itu.
"Awek masak manis-manis, satu! Awek jeling masak steam, satu! Ini kena cepat-cepat kahwin ni. Jus cinta susu, satu!" Ujar  Ben sambil memandang menu di tangan.
"Ha?" Pelayan yang mahu mencatit pesanan Ben sempat merasa terkejut. Masakan apa tu? Tak pernah dengar lagi. Adrina makin kuat mengekek.
"Silap.. Ikan bawal masak masam manis. Tengok makwe kesayangan ada kat depan mata, terus tersasul jadinya," ucap Ben kepada pelayan lelaki itu.
Sandra mula mengertap bibir memandang Ben. Geram benar melihat muka selamba lelaki itu. Tersasullah sangat!
"Ikan siakap masak steam, nasi putih dengan jus carrot susu. Itu baru betul." Ben mula tersengih memandang Sandra.
"Kelakar sangatlah tu konon!" Desis Sandra meluat melihat Adrina masih ketawa.
"Abang Ben ni dah mabuk cinta ke apa? Sampai jus cinta susu pun ada," ujar Adrina sambil menggeleng.
"Itulah.. Abang Ben kalau dah cinta sangat, memang selalu tersasul. Hari tu waktu abang Ben panggil staf, tak sengaja terpanggil nama makwe abang Ben yang nama Sandra tu. Ari tahu apa staf abang Ben cakap? Dia kata bertuah perempuan yang bernama Sandra tu dapat abang Ben sebagai pakwe. Penyayang," cerita Ben macam beria saja.
"Semenjak bila pulak awak ni jadi pakwe saya?" Desis Sandra menyampah mendengar ayat mahu memikat lelaki itu.
"Bagilah chance, Sandra. Penat saya kejar awak," ujar  Ben lembut.
"Akak ni.. Kesian abang Ben. Orang nak sayang akak, patutnya akak suka. Ini marah pulak," cebir Adrina perlahan.
"Ari jangan menyibuk!" Marah Sandra dengan mata terjegil kepada adiknya.
"Saya terima awak seadanya, Sandra. Kalau awak tak bagi saya peluang macam mana awak nak tahu," pujuk Ben perlahan.
"Boleh kita cakap pasal ni lain kali? Saya tak selesa nak bercakap pasal ni depan tukang back up awak ni," balas Sandra sedikit tajam. Adrina sempat mengerling kakaknya.
"Okay.. Okay.. Bila? Awak nak ke jumpa saya?"
"Call," ucap Sandra sepatah.
"Okay.. Saya call nanti," sambut Ben akur. Bolehlah daripada takde langsung.
Selesai makan malam itu, Sandra segera mengajak adiknya pulang. Ben sekadar membuntuti dua wanita itu sehingga ke kereta. Namun sebelum Sandra masuk ke dalam kereta, Ben sempat menahan.
"Ada apa lagi?"
"Saya pergi Penang sebelum ni. Saya belikan awak ni," ucap Ben perlahan.
Sandra terkaku memandang bekas cincin di tangan Ben. Spontan wajah lelaki itu dipandang.
"Apa ni?"
"Takde erti kata main-main bila saya bercakap tentang awak, Sandra. Saya sukakan awak, serius. Saya kata tadi, saya terima awak seadanya.. Saya memang maksudkan yang saya nak awak jadi seseorang yang istimewa dalam hidup saya. Saya takkan berhenti cari awak walau sekeras mana pun awak menolak saya," jelas Ben lembut.
Sandra terdiam memandang tampang lelaki itu. Kata-kata itu terus bermain di telinganya.
"Saya bukan anak-anak remaja lagi. Bila saya putuskan untuk dekati seorang perempuan, saya bukannya sekadar mahu mencuba nasib. Tapi saya akan usahakan sampai kita mampu lalui hidup ni bersama. Berilah peluang pada saya," ujar  Ben lagi.
"Awak tak kenal siapa saya, Ben."
"Sebab awak yang halang saya dekat dengan awak. Awak letakkan tembok di sekeliling awak supaya takde siapa boleh dekati awak," balas lelaki itu lembut.
Sandra tetap menggeleng. Hakikatnya dia tidak rela segala yang ada hari ini berubah. Semua orang mahu memiliki mahligai bahagia itu. Tidak terkecuali dia. Hanya Allah sahaja yang tahu sepi di hatinya ini. Tetapi tidak mungkin!
"Jangan tutup pintu hati awak untuk kasih sayang saya, Sandra. Saya nak hidup dengan awak. Sekurang-kurangnya fikirkanlah dulu hasrat saya ni. Jangan menolak begitu saja," rayu lelaki itu lagi. Perlahan tangan Sandra diambil lalu bekas cincin itu diletakkan di dalam genggaman Sandra.
"Tolonglah.." Bisik Ben.
Sandra hanya mampu berdiam tanpa memberikan jawapan. Kotak baldu berwarna hitam itu dipandang seketika.
"Saya takut.." Balas Sandra agak perlahan.
"Apa yang awak nak takutkan? Hidup memang sentiasa ada cabaran, sayang. Inilah hidup namanya. Tapi Allah tu ada, kan?"
"Hidup saya tak macam perempuan lain. Awak takkan faham, Ben. Sesuatu yang orang pandang hina atas dunia ni, saya ada!"
Ben terdiam sekejap. Cuba memikirkan apa yang sedang dimaksudkan Sandra.
"Berterus teranglah. Insya-Allah, saya akan faham, Sandra."
Sandra sekadar menggeleng tanpa mahu membuka isi hatinya di situ. Bukan saat ini dan malam ini.
"Saya balik dulu. Ari sekolah esok," ujar Sandra perlahan.
"Drive safe.." Balas Ben akur sambil berudur setapak menjauhi kereta itu.
Sandra sempat memandang lelaki itu sebelum menggerakkan keretanya pergi. Adrina melambai riang ke arah Ben sehingga bayang lelaki itu hilang daripada pandangan mereka.
"Abang Ben cakap apa dengan akak?"
Sandra menoleh sekilas adiknya itu. "Takde apa-apa."
"Alah, kedekut betul tak mahu share dengan Ari. Ari pun nak tahu juga," getus Adrina sambil mencebik. Macam ada yang serius aja perbualan singkat kakaknya dengan lelaki itu.
"Ari suka abang Ben tu. Ari nak dia jadi abang ipar Ari," Ucap Adrina selamba.
"Balik ni, kemas beg terus tidur. Jangan sibuk fikir hal lain," jawab Sandra serius.
"Ari tahulah! Akak ni macam mak orang, tahu tak! Kalau Ari masuk U suatu hari nanti, Ari tak mahu akak jadi lacturer Ari," rengus anak itu bosan dengan pesanan itu.
Sandra menoleh sekilas kepada adiknya. Adrina sudah memandang ke arah luar. Di saat itu Sandra terus membisu, berfikir, berfikir dan terus berfikir.

5 ulasan:

  1. Aduhai ben sweetnya kamu ni andai la itu dlu tdk terjadi
    Sedihnya part dara dgn mak dia she so young
    Kenyataan ari pasti meyentap hati sandra kan..
    Kak fazlyn saya suka best2

    BalasPadam