Sabtu, 6 Disember 2014

Bab 2 Labuhkan Tirai Semalam


"Psstt.. Hoi! GM ada kat sini. Buat kerja korang.."
Bisik-bisik itu menarik perhatian Sandra. Pantas dia mengangkat pandangan ke arah beberapa orang kakitangan yang sedang menyusun buku dan alat tulis di rak tidak jauh darinya. Spontan dia ikut memandang ke arah ruangan pejabat di belakang gedung buku itu. Seorang lelaki muda berkemeja lengan panjang berwarna putih sedang berjalan ke arah sebuah bilik bercermin gelap. Itu rupanya pengurus besar Gedung Pustaka Ilmu yang sering disinggahinya ini. Tanpa sedar matanya memandang lama kelibat lelaki itu sehingga dia memasuki kamar kerjanya. Tatkala lampu kamar itu dinyalakan ruangan dalam kamar kelihatan jelas dari luar. Boleh tahan juga orangnya. Puji Sandra dalam diam.
"Tumpang lalu, kak." Teguran lembut itu menyedarkan Sandra dari kealpaan. Sepantas kilat dia menoleh. Seorang pekerja bersama troli berisi kotak berada di belakangnya. Nampak macam dia sedang menghalang laluan.
"Oh, sorry.." Sandra segera berkalih ke tepi.
Lelaki itu sekadar menghadiahkan senyuman setelah melintasi Sandra.
Sepeninggalan lelaki itu Sandra kembali memerhatikan rak di hadapannya. Beberapa bahan bacaan dibeleknya. Mencari apa yang mungkin sesuai buat Adrina. Sandra menggeleng sendiri. Kebanyakan novel Bahasa Inggeris yang dibeleknya kembali diletakkan. Novel berkonsepkan romance itu sudah boleh diagak bagaimana isi kandungannya.
Seketika kemudian dia berpindah ke rak lain. Beberapa novel dibeleknya lagi. Namun dia buntu. Banyak novel-novel Inggeris yang belum pernah dibacanya. Ah! Sebenarnya dia sudah lama meninggalkan minat yang satu itu. Dahulu dia juga salah seorang pengumpul novel cinta. Namun sebelum pulang ke Malaysia dulu, kebanyakan novel kesayangannya terpaksa dijual. Kini adiknya pula menggila dengan novel. Baik novel Melayu mahupun dari luar negara. Cuma sebagai kakak kepada seorang adik yang masih dibangku sekolah, bahan bacaan Adrina dia yang mencarinya. Supaya bahan bacaan yang sesuai sahaja dibaca oleh sang adik.
Mengenangkan masa sudah tidak banyak, Sandra mula melambai kepada beberapa kakitangan kedai buku itu. Namun masing-masing tidak memandang. Sandra memandang sekeliling seketika. Mencari sesiapa yang bisa membantu. Namun rata-rata pekerja kedai itu sedang ralik dengan tugas masing-masing.
"Costumer panggil ni.." Satu suara menegur bagi pihak Sandra.
Spontan Sandra menoleh ke arah suara itu. Lelaki berkemeja putih tadi sedang berdiri tidak jauh darinya. Melihat Sandra mula memandang kepadanya, lelaki itu segera mendekat.
"Yes.. Ada apa yang boleh saya bantu, cik?"
"Saya cari novel yang mungkin sesuai untuk remaja. Dekat rak ni bercampur aduk. Susah saya nak pilih," ucap Sandra lembut. Pass pekerja yang tergantung di dada lelaki itu dikerling Sandra sekilas. Nama Ben tertera pada kad itu.
Lelaki itu diam seketika. Tag pada rak hadapan mereka itu dipandang. Rak itu sepatutnya memuatkan bahan bacaan untuk remaja. Kemudian buku-buku di rak itu dipandang sekali imbas.
"Saya boleh rekemen beberapa novel kalau cik mahu. Untuk siapa? Adik? Anak.. Atau.."
"Adik perempuan saya," sambut Sandra tanpa berlengah.
"Sekejap.. Saya cari dulu."
Sandra sekadar mengangguk. Lagi bagus. Jimat masanya.
"Yang ni?"
Sandra segera menggeleng. "Dia tak suka buku begini. Terlalu kebudak-budakkan. Macam cerita Barbies," ucap Sandra perlahan. Buku bertajuk The Princess Diaries itu sekadar dipandang sekali imbas sahaja.
Ben kembali memunggah buku-buku di rak itu. Memang agak bercampur aduk dengan novel dewasa.
"Harry Potter?"
"Itu dah ada. Sherlock Holmes pun dah ada. Yang lain. Asal bukan yang romance."
Lelaki itu menoleh ke arah Sandra tiba-tiba. Ada secangkir senyuman tergaris di bibirnya buat Sandra. "Novel bertema romance mungkin lebih sesuai untuk kakaknya," ujar lelaki itu agak perlahan.
"Kalau untuk saya, saya tak perlu minta sesiapa rekemenkan untuk saya, Encik Ben. Saya boleh cari sendiri novel romance yang mana saya berkenan," balas Sandra sedikit sinis.
"Jangan ambil hati. Saya bergurau saja."
Sandra tidak membalas. Sebaliknya matanya kembali tertumpu kepada buku di hadapan mata.
"Yang ni dah ada?" Tanya Ben lantas menyerahkan sebuah buku kepada Sandra.
Lama mata Sandra tertancap kepada jalan cerita yang tertera pada buku itu. Tajuknya sahaja sudah cukup menarik minat Sandra. Jalan cerita juga macam menarik dan rasanya buku ini belum pernah dibelikan untuk Adrina.
"Buku ni best. Saya dah baca sebelum ni. Lebih kurang macam Harry Potter juga. Atau kalau awak nak.. Yang ni pun okay." Ben memberikan Sandra sebuah lagi buku.
"Romance?" Ucap Sandra setelah dia membaca tajuk di hadapan buku itu.
"Tak semua buku bertemakan romance ni budak-budak tak boleh baca. Buku ni bukan macam novel dewasa yang biasa kita baca tu. Baca sinopsis dulu."
Senyum lelaki itu dikerling Sandra seketika. Namun saranan Ben Supaya dia membaca sinopsis itu diturutinya juga. Ah! Beli ajalah.. Bisik hati Sandra sudah mula tertarik dengan jalan ceritanya. Kisah cinta monyet rupanya.
"Kalau tak menjadi keberatan, boleh saya tanya nama cik?"
"Sandra.."
Lelaki itu mengangguk perlahan dalam pada matanya terus merenung paras wanita itu. Sandra terus membelek buku di tangannya tanpa menyedari mata si lelaki sedang meratah wajahnya.
"Terima kasih, encik.."
"Benjamin.."
"Ya.." Sandra sekadar menjawab sepatah dengan sedikit senyuman tanda berterima kasih atas bantuan yang sudah dihulurkan.
"Cik Sandra tak mahu beli novel?"
"Kalau ada harga kasih sayang, boleh juga." Sandra menyambut selamba sambil memandang sekeliling. Rasanya tiada berlangsung musim 'harga kasih sayang' di gedung itu.
"Kalau nak harga kasih sayang kena berkasih sayang dengan saya dulu.."
Spontan Sandra menoleh. Lelaki itu tersengih sambil menggaru pelipisnya.
"Saya bujang lagi." Ben berkata perlahan.
"Saya tak nak tahu pun!" Jawab Sandra sambil menjeling. Menyesal pula sebut harga kasih sayang tadi. Sebut diskaun aja, kan senang?
"Adik Cik Sandra umur berapa?"
"16 tahun.."
Ben mengangguk seketika. Ringan pula mulutnya mahu bertanya tentang Sandra. Namun gadis itu nampak macam tidak senang mahu melayan. Segan dia jadinya.
"Thank's.." Ucap Sandra sekali lagi sebelum meninggalkan kawasan itu.
"Er.. Cik Sandra.." Panggil Ben pantas.
Sandra menoleh tanpa menyahut. Wajah lelaki itu dipandang dengan sedikit kerutan di kening.
"Selalu membeli buku di sini?" tanya Ben lembut.
"Hampir setiap minggu."
"Cik Sandra adik beradik memang suka membaca ya?" Komen Ben dengan senyum manis.
"Lebih kurang.." Sandra menjawab dengan jawapan yang mudah sahaja. Apa tujuan dia sering ke situ tak perlulah dicerita panjang lebar kepada lelaki ini.
"Macam mana dengan harga barangan yang dijual di sini?" Ben cuba bertonyeh lagi.
"So far okay bagi saya," jawab Sandra ala kadar sahaja.
"Teman lelaki dah ada?"
"Sorry?" Sandra sedikit terkejut mendengar soalan itu.
"Eh! Sorry. Salah soalan. Bukan itu yang saya nak tanya sebenarnya. Emm.. Cik Sandra kerja di mana?" Ben buat-buat selamba untuk menutup rasa malu. Macam tak ada respon aja. Aduh.. Keluh lelaki itu dalam hati.
"Di sekitar sini. Saya pergi dulu, Encik Ben." Sandra segera meletakkan noktah kepada pertanyaan lelaki itu. Dia tidak berhasrat mahu melanjutkan perbualan ini kepada hal lain pula.
"Nombor telefon ada? Mana tahu nanti nak beli buku lagi. Saya sedia beri layanan secara personal. Tak pun saya boleh belanja Cik Sandra dinner bila-bila free." Sempat juga Ben menanyakan soalan itu.
"999. Call lah bila-bila suka. 24 jam sehari, tujuh hari seminggu," jawab Sandra sepintas lalu sambil berjalan untuk meninggalkan lelaki itu. Muka boleh tahan. Nampak baik. Tapi gatal! Costumer pun nak dingoratnya.. Desis hatinya geram.
Langkah gadis itu terus dipandang Ben sehinggalah Sandra mendekati kaunter bayaran. Gelagat Sandra sebentar tiba-tiba membuat dia tersenyum.
Cantik.. Tapi sombong!



4 ulasan: