Selasa, 9 Disember 2014

Bab 7 Labuhkan Tirai Semalam



Meja makan itu sepi saja. Dua beradik itu ralik membaca. Adrina sedang membaca akhbar. Manakala Sandra dengan email di dalam gadjetnya.
"Kalau kita pindah ke Perth, Ari suka tak?" Tanya Sandra tiba-tiba.
Adrina tersentak sedikit mendengar usul itu. "Alah.. Kenapa pulak?"
"Akak dapat kerja kat sana," jawab Sandra perlahan.
"Ari tak sukalah tukar sekolah lagi. Kita kan dah okay kat sini? Kenapa akak nak kerja kat sana pulak?" Keluh Adrina dengan raut mendung.
Sebab nak lari.. Bisik hati Sandra sendiri.
"Tak naklah pindah lagi. Penatlah, akak."
Sandra diam sambil gadjetnya kembali dipandang.
"Kalau kita pindah, abang Ben macam mana?" Ujar  Adrina lagi.
"Dia takde kena mengena dengan kita. Dia jaga diri dia sendiri," sambut Sandra tanpa memandang adiknya itu. Lagaknya macam orang tidak beremosi saja.
"Tapi abang Ben sayang akak. Kesian dia nanti. Tak baik akak buat dia macam tu," jawab Adrina sambil memandang akhbar semula.
Sandra tiba-tiba termenung sendiri. Teringat cincin yang diberikan Ben beberapa hari yang lalu. Cincin itu harus dipulangkan. Dia tidak sanggup menempuh cabarannya seandainya dia memilih untuk menerima cinta lelaki itu.
Ruang makan itu sepi lagi. Adrina ralik dengan akhbar. Sandra meneruskan suapan yang tergendala.
"Akak tahu tak, kalau Ari dapat jumpa dengan mak kandung Ari.. Ari nak ucapkan terima kasih banyak-banyak pada dia," ujar  Adrina sambil menatap raut kakaknya.
Hampir tersembur makanan yang sedang ditelan Sandra. "Ari cakap apa ni?" Ucap Sandra dengan riak wajah terkejut. Adrina menyindir atau apa sebenarnya?
"Ari baca berita ni.. Baby ni mati sebab mak dia campak dia dari tingkat atas rumah flat ke tong sampah. Kejamnya mak dia. Sedih sangat tengok nasib baby ni. Dapat mak yang takde hati perut," Luah Adrina agak sayu nadanya.
Sandra terpaku merenung wajah adiknya tunduk merenung berita di akhbar itu.
"Mak kandung Ari pun tak mahukan Ari. Sebab tu dia bagi Ari pada jabatan kebajikan masyarakat dulu. Tapi sekurang-kurangnya mak kandung Ari tak buat macam yang dituliskan dalam paper ni. Ari masih boleh rasa kasih sayang dari arwah mak. Akak jaga Ari macam adik kandung akak sendiri. Ari masih boleh hidup selesa atas dunia ni," ujar  Adrina perlahan. Membuatkan mulut Sandra semakin terkunci dalam pada matanya terpasak di raut adiknya itu.
"Mungkin Ari ni anak luar nikah. Sebab tu mak kandung Ari malu nak simpan Ari sebagai anak dia. Tak adil.. Dia dengan lelaki tu buat dosa. Tapi Ari yang kena tanggung hukumannya. Tapi Ari tak kisah. Ari happy dengan akak selama ni. Ari pun tak mahu ganggu kehidupan dia dengan kewujudan anak luar nikah ni." Adrina berkata lagi.
Sandra tiba-tiba menunduk menyembunyikan reaksi wajahnya. Entah kenapa dadanya berdebar keras mendengar bicara Adrina. Kenapa soal ini pula ditimbulkan Adrina?
"Bapak Ari pun sama macam ayah baby ni. Tak guna! Dia biarkan Ari jadi anak luar nikah. Ari benci dia sampai mati!" Kali itu nada Adrina sedikit berubah.
"Jangan cakap pasal ni lagi," sambut Sandra. Tidak sanggup mahu mendengar lebih banyak lagi. Hatinya pedih teramat sangat.
"Akak masih ingat rupa arwah ayah akak?"
"Ari, please! Jangan sebut pasal ni semua. Kita sama aja, Ari. Arwah ayah meninggal waktu akak masih kecil. Akak pun tak kenal siapa ayah kandung akak, Ari."
"Tapi sekurang-kurangnya nama akak berbintikan nama ayah akak. Akak bukan anak luar nikah. Tapi Ari? Ari masih ingat waktu akak nak buatkan Ari kad pengenalan dulu, orang tu tanya.. Nama emak dan ayah takde ke? Orang pun pelik kenapa nama mak dan ayah takde. Waktu akak nak buatkan Ari passport dulu, Ari hampir-hampir tak diberi ikut akak ke UK. Sebab nama ayah kita tak sama," Ujar  Adrina pantas.
Sandra kembali bungkam. Ya.. Memang susah waktu itu. Teramat-amat susah. Sudahlah emak baru meninggal. Dia tidak punya wang untuk balik ke Malaysia. Terpaksa meminjam dari teman-teman. Lebih payah lagi selepas pemergian emak mereka, Adrina tiada penjaga di sini sedangkan dia harus kembali ke London untuk meneruskan pengajian.
Sudahnya dia nekad. Adrina mahu dibawa bersama. Namun dek kerana Adrina bawah umur kala itu, permohonan untuk mendapatkan passport tergantung. Masalah semakin besar. Jabatan Kebajikan Masyarakat mula datang melawat. Untuk apa lagi jika bukan untuk menghantar Adrina ke rumah anak yatim. Dia pernah hampir rebah oleh cubaan. Namun membiarkan Adrina mendiami rumah anak yatim, dia sama sekali tidak sanggup!
Mujur juga orang sekeliling simpati. Memberi derma semampu yang terdaya untuk meringankan beban. Penghulu Kampung menggunakan kuasanya untuk membantu untuk menyelesaikan masalah hak Sandra sebagai penjaga kepada Adrina. Semuanya kerana istilah 'Tidak Diketahui' yang tertulis pada nama ibu dan ayah dalam sijil kelahiran Adrina.
"Tapi Ari bangga. Akak tak pernah tinggalkan Ari. Akak tak selfish. Kalau orang lain, mungkin diaorang biarkan aja Ari masuk rumah anak yatim. Ari takkan lupa jasa akak dan arwah mak pada Ari," ujar  Adrina perlahan.
"Akak nak naik atas sekejap.." Sandra terus bangun tanpa menanti jawapan Adrina.
Di atas air mata Sandra tumpah juga. Esakannya terlepas begitu sahaja. Namun sebanyak mana air mata yang tumpah, tidak setara dengan tekanan di atas bahunya selama ini.
Hidup mereka begini, bukan angannya. Sama sekali tidak! Kalaulah dia punya kuasa untuk mengubahnya, dia tidak akan membiarkan keadaan pergi sejauh ini. Tetapi apalah upaya yang dia ada? Kiri dan kanan menuntut pengorbanan. Hanya pesanan emaknya menjadi penguatnya. Sabar.. Allah duga kerana Allah mahu menghadiahkan sesuatu kepada mereka. Jangan sesekali dipersoalkan mengapa Allah memberikan takdir ini kepada mereka.
Puas menangis Sandra termenung. Tatkala matanya memandang ke arah meja soleknya. Bekas cincin itu kelihatan lagi. Sandra menghela keluhan sendiri sambil meraup wajah. Menerima atau tidak? Menerima bermakna dia harus berterus terang tentang status Adrina kepada lelaki itu. Bercinta sudah tentulah mahu berkahwin, beranak pinak. Bermakna Adrina juga harus tahu status dirinya yang sebenar. Bagaimana? Sanggupkah dia menelan kesannya selepas itu?
Sandra terus termenung. Sehingga dia terdengar telefonnya bernyanyi tanda ada yang sedang memanggil. Sandra pantas bangun mendapatkan telefonnya.
Panggilan daripada lelaki seorang itu membuatkan Sandra merenung lama muka telefon itu. Antara mahu menjawab dan tidak, dia berbolak balik sendiri. Namun akhirnya dia nekad. Sebuah helaan nafas dilepaskan agar dirinya tenang. Sandra akhirnya menekan juga butang hijau untuk menyambut panggilan itu. Pertama sekali salam daripada lelaki itu dijawabnya.
"Akhirnya saya dapat dengar suara awak," ujar  Ben lembut.
"Saya jawab bukan sebab saya dah mabuk cinta dengan awak. Tapi saya nak minta sesuatu daripada awak," jelas Sandra.
"Apa dia?"
"Jangan cari saya lagi. Jangan jumpa Adrina!" Putus Sandra nekad.
Ben terdiam pada permulaannya.
"Awak dengar, kan? Saya dah fikir masak-masak. Biarlah saya begini saja. Saya tak mahu keadaan hidup saya berubah. Saya penat, Ben."
"Apa maksud awak ni? Beritahu dengan jelas supaya saya faham. Jangan biar saya terkapai-kapai macam ni," jawab Ben bersungguh.
"Saya tak mahu jelaskan apa-apa. Saya takde perasaan yang sama macam yang awak rasakan pada saya. Ben, perempuan bukan hanya saya aja atas dunia ni. Pergilah jauh dari saya. Atau saya yang akan pergi jauh dari awak!"
Ben kembali terdiam menahan rasa hampanya. Sakitnya tidak terucap.
"Saya akan pulangkan cincin awak. Maafkan saya, Ben. Jangan buang masa awak kejar saya lagi. Saya takut awak menyesal tak sudah lepas awak tahu siapa saya sebenarnya," ujar Sandra dalam pada lelaki itu membisu.
Ben terus terdiam. Tidak tahu apa yang mahu di ucapkan lagi untuk memujuk Sandra. Tambah pula kekecewaannya sedang merantai hati. Dia jadi buntu sendiri.
"Terima kasih banyak-banyak atas keikhlasan awak pada saya. Assalamualaikum." Talian terus dimatikan Sandra. Harap-harap selepas ini lelaki ini tidak hadir lagi untuk mengusutkan fikirannya.

4 ulasan: