Selasa, 9 Disember 2014

Bab 8 Labuhkan Tirai Semalam



Usai memberi salam, wajahnya diraup. Buat seketika Ben termenung di atas sejadah itu sambil mengalunkan kalimah istighfar. Mimpi wanita itu kembali lagi kepadanya. Keningnya berkerut-kerut sendiri tanda akalnya sedang keras memikirkan ibu dan anak itu. Dan tidak tahu mengapa dia terasa seperti pernah mengenali dua wanita itu walaupun rupa dua wanita itu tidak pernah jelas di dalam mimpinya. Setiap kali dia bangun dari tidur dua wanita itu akan berada di dalam fikirannya. Tetapi dia lupa di mana dia pernah melihat wanita-wanita itu dan siapa mereka itu sebenarnya. Naik letih fikirannya mencari jawapan tentang wanita di dalam mimpi itu.
"Ayah.." Sapa Ben pagi itu. Haji Said baru turun ke bawah.
"Ayah tak masuk pejabat hari ni. Ayah nak ke Batu Pahat. Ayah mungkin tak balik sehari dua. Kamu tengok-tengokkan sekali kilang di Rawang tu. Minggu ni ada supplier datang service mesin," ujar  Haji Said kepada anaknya.
"Ayah asyik ke Johor aja, ada apa?" Tanya Ben agak hairan. Masuk kali ini sudah tiga kali ayahnya ke sana. Sebelum ini ke Johor Bharu. Katanya urusan tanah. Tanah yang mana dia tidak tahu.
"Ayah nak beli tanah. Ayah ada hajat sikit," jelas haji Said sambil mendekati meja makan.
"Hajat apa, yah?" Ben bertanya lagi sambil mengekori ayahnya.
"Ayah nak buat rumah pengasih."
"Rumah pengasih? Untuk apa tu?"
"Itu rumah pelindungan untuk wanita yang memerlukan bantuan. Terutama sekali remaja yang dah rosak akhlak, yang hamil bawah umur." Haji Said berkata tanpa memandang Ben yang masih tercengang sendiri.
"Semenjak bila pulak ayah berminat dengan benda-benda macam ni?"
"Dah lama ayah berhajat, Ben. Baru sekarang ada kemampuan. Ayah tengok zaman sekarang ni, remaja hamil bawah umur, remaja gugurkan anak, bunuh anak luar nikah dah terlalu ramai. Ini bukan sesuatu yang elok. Tak boleh dibiarkan. Dunia sekarang dah makin teruk! Moral manusia dah pupus."
Ben sekadar membisu mendengar bebelan ayahnya. Remaja.. Manusia mana yang tak mahu enjoy saja ketika masih remaja. Dia juga begitu. Namun nasibnya masih dikira baik. Dia pernah tersesat ketika remaja. Namun sempat dibawa kembali ke pangkal jalan. Dia dididik, dipukul, didera agar kembali berdisiplin dalam hidupnya. Akhirnya beginilah seperti yang ada hari ini.
"Pukul berapa ayah bertolak?"
"Pukul 10 sekejap lagi."
"Kalau macam tu Ben pergi kerja dulu, ayah. Ben kena pergi kedai kat Bangsar. Hati-hati memandu," ucap Ben lembut.
"Ben.." Haji Said kembali bersuara sebelum sempat Ben keluar dari pintu utama rumah itu.
"Ya, ayah.."
"Ayah nak tanya kamu sesuatu.."
"Ya.." Ben kembali mendekati meja makan itu.
"Kamu masih ingat waktu di kampung dulu.. Seorang budak perempuan nama Dara?"
Ben terdiam seketika dengan kerutan di kening. "Entah.. Ingat-ingat lupa, ayah. Nama macam pernah dengar."
"Anak Mak Cik Mariam. Kamu selalu ejek-ejek dia sebab dia anak orang Kampuchea. Ingat?"
Kening lelaki muda itu berkerut. "Yang rumah dia dekat kebun getah tu ke?"
"Ya."
"Ingat. Kenapa dengan dia, ayah?" Tanya Ben makin hairan.
"Kamu tahu nama penuh dia apa?"
"Ish! Mana Ben tahu, ayah. Dah lama sangat kita tak balik kampung. Rupa dia pun Ben tak ingat," ujar Ben lembut.
"Takpelah.. Ayah saja tanya."
"Kenapa tiba-tiba ayah teringat pasal dia?" Ujar Ben masih tidak mahu berganjak dari situ.
Haji Said menggaru dahinya seketika. "Ayah dengar cerita dari kawan ayah. Kawan ayah ada singgah di kampung tu. Dia kata dulu.. Dara diperkosa orang. Di dalam ladang getah tu. Tapi cerita ni dah lama. Waktu dia masih sekolah dulu dengarnya."
Spontan Ben terus duduk di hadapan ayahnya. "Betul ke?"
Haji Said mengangguk sambil merenung tampang anak itu.
"Kesiannya.." Keluh Ben perlahan.
"Dah nasib dia macam tu," ujar  Haji Said perlahan.
"Dapat tangkap ke perogolnya?"
"Entah.. Ayah tak tanya pulak pasal tu," jawab lelaki tua itu perlahan.
"Ben tak tahu nama penuh Dara tu, ayah."
"Takpelah. Kamu pergilah kerja lekas. Nanti jalan sesak teruk. Susah kamu nak masuk Bangsar tu nanti," ujar  Haji Said perlahan.
Sepeninggalan Ben, Haji Said termenung sendiri. Harap-harap pemergiannya ke Batu Pahat nanti berjaya menemukan dia dengan Mariam dan Dara.


Dalam pemanduan ke tempat kerja, Ben memandang telefonnya. Ada mesej daripada Adrina baru masuk. Saat keretanya tersangkut di dalam kesesakan, Ben membuka mesej wasap itu.
'Abang Ben..'
Laju jemarinya menjawab mesej itu.
'Ya. Ari sekolah tak hari ni?'
Pesanan itu segera dikirimkan Ben kepada Adrina. Tidak lama kemudian ada bunyi beep menandakan ada mesej masuk.
'Sekolah.. Tapi takde mood. Kak Sandra cakap kita orang nak pindah hujung tahun ni. Kak Sandra dapat kerja kat Perth. Dia kata nak pergi. Ari tensionlah.. Asyik pindah sekolah aja. Abang tolonglah Ari.'
Berderau darah Ben membaca mesej itu. Tiba-tiba fikirannya menjadi kosong. Tidak tahu apa yang mahu dibalas. Namun Ben menaip sesuatu tidak lama kemudian.
'Kenapa nak pindah tiba-tiba?' Soalan itu sempat dikirimkan Ben. Telefon diletakkan di atas paha. Keretanya digerakkan ke hadapan apabila bahagian hadapannya mulai lengang.
'Tak tahu. Akak tu asyik diam aja. Orang tanya banyak sikit aja, dia marah..'
Ben menghela nafas perlahan setelah membaca
'Nanti abang call akak Ari.'
Hanya sebaris ayat itu sahaja mampu diberikan sebagai jaminan. Hakikatnya Ben sendiri tidak yakin Sandra mahu bercakap dengannya.
Sandra.. Kenapa payah benar saya nak faham awak? Keluh hati lelaki itu walang. Belum terubat kehampaannya, kini kehampaan itu bertambah lagi. Hakikatnya dia masih tidak mampu melepaskan Sandra daripada fikirannya biarpun untuk sekejap. Hakikatnya dia rindu untuk memandang Sandra biarpun sekadar dari jauh.
Gedung Pustaka Ilmu cawangan Bangsar itu, Ben hanya mampu berada di situ sehingga ke jam 11 pagi. Selepas menyudahkan kerjanya di situ kereta terus dilarikan ke Shah Alam. Saat ini fikirannya hanya dipenuhi oleh wajah Sandra.
Di restoran yang sama, dia melepak di situ sehingga waktu makan tengahari menjelang. Namun tiada kelibat Sandra di situ. Puas dipanggilnya wanita itu namun panggilannya tidak dilayan. Sudahnya Ben nekad bertanya kepada orang lain.
"Tadi saya nampak dia balik. Petang ni dia takde kelas," jawab teman Sandra itu.
"Oh.. terima kasih," Ucap Ben puas hati dengan informasi itu.
Tepat seperti yang diberitahu kepadanya sebentar tadi, kereta Sandra kelihatan sedang terpakir di dalam ruangan porch. Ben segera keluar dari keretanya. Buat seketika dia sekadar berdiri di hadapan pintu pagar yang bermangga. Saat dia memandang ke arah rumah itu kelihatan langsir di tingkat atas diselak seseorang. Sandra muncul tidak lama kemudian.
"Apa awak buat kat sini?" Tanya wanita itu setelah tiba di hadapan Ben.
"Saya nak bercakap dengan awak sekejap."
"Pasal apa lagi?" Tekan Sandra agak keberatan. Dia mendecit perlahan.
"Semua lelaki awak layan macam ni ke?"
"Ya!"
"Sandra, perasaan semua orang di sekeliling awak tak penting ke? Saya rindukan awak sangat-sangat. Tapi perasaan tu takde makna, tak penting untuk awak," ucap Ben berbaul kesal nadanya.
"Apa awak nak saya buat?" Balas Sandra. Wajah lelaki itu hanya mampu dipandang seketika sahaja. Bukannya dia tidak nampak kesedihan di wajah Ben. Bukannya dia tidak kasihan. Tetapi apalah dayanya.
"Ari bagi tahu saya awak dah lain sekarang. Awak marah dia. Apa masalahnya, Sandra? Apa yang tak kena?"
"Masalah saya dengan adik saya, biarlah saya selesaikan sendiri. Awak tak tahu apa-apa, Ben. Jauhkan diri dari adik saya," ujar Sandra serius.
Ben hanya mampu menggeleng melihat keegoan wanita ini. "Ego awak tu cubalah rendahkan sikit," balas Ben lembut.
"Baliklah, Ben."
"Sandra, dalam hidup seorang perempuan perlu ada seorang lelaki. Begitu juga sebaliknya. Saya masih takde jawapan kenapa awak berkeras menolak seorang lelaki dari hidup awak. Saya sungguh-sungguh tak faham mengapa. Apa salah seorang lelaki pada awak?"
Sandra mendengus sambil meraup wajahnya. "Ada sesetengah perkara terlalu peribadi untuk saya buka, Ben."
"Siapa yang buat hati awak sampai jadi keras begini?" Keluh lelaki itu benar-benar tertekan dengan penolakan wanita di hadapannya itu.
"Saya tak tahu siapa," jawab Sandra perlahan.
"Maksudnya?"
"Terlalu banyak yang tak kena dengan hidup saya. Saya rasa kekurangan dengan hidup yang begini. Saya masih memiliki naluri yang sama macam perempuan lain. Tapi saya.." Sandra terhenti bicara di situ. Tiba-tiba dia mengubah fikiran pula. Tidak sanggup benar dia mahu meluahkan kenyataan itu kepada lelaki ini.
"Berterus teranglah, Sandra. Saya sedia mendengar."
Namun Sandra menggeleng.
"Awak pernah ditipu lelaki sebelum ni?" Telah Ben pantas.
"Apalah sangat setakat dipermainkan janji lelaki, Ben." Sandra menyambut dengan gelak sinis.
"Habis tu? Apa lagi yang begitu menyakitkan sampai awak bencikan lelaki?" Ben terus bertanya. Hatinya masih belum puas selagi jawapan itu tidak diterimanya dari mulut Sandra sendiri.
"Awak lelaki.. Takkan awak masih buta tentang apa yang lelaki tak guna selalu buat pada perempuan?"
Ben terpempan seketika dalam pada matanya terus merenung Sandra di sebalik pagar itu.
"Awak pernah.." Ben tidak sanggup untuk menyebutnya. Bimbang Sandra rasa terhina.
"Baliklah, Ben. Saya tak mahu Ari nampak awak kat sini," pinta Sandra dalam pada lelaki itu membisu.
"Sandra, saya tak mintak awak jadi sesempurna manusia. Saya pun ada kekurangan. Kalau awak fikir saya mengharapkan seorang perempuan yang masih suci untuk diri saya, itu dah salah! Kegadisan seorang perempuan hanya mampu dibanggakan suami hanya untuk satu malam!"
Sandra tergelak entah kenapa. "Ayat tu sangat tipikal di telinga saya ni, Ben. Hari ni semua nampak okay. Semuanya tak kisah. Tapi kemudian hari hal itu jadi ungkitan," ucap Sandra.
"Awak bercakap tentang lelaki lain ni, Sandra."
"Sudahlah, Ben. Apa yang awak bayangkan tu memang nampak mudah. Tapi hakikat sebenarnya lebih teruk dari itu. Tolong balik sekarang. Ari balik sekejap lagi," ujar Sandra malas mahu melayan lelaki itu lagi.
"Sandra.. Saya sayangkan awak! Kalau disebabkan awak pernah menjadi mangsa tipu daya lelaki lain suatu masa dulu, perasaan saya masih tetap ada dalam ni," ucap Ben lantas memegang dadanya.
Sandra hampir sahaja mahu berpaling sebelum dia terlihat kelibat Adrina berjalan kaki menuju ke arah mereka. Gadis itu tersenyum sebaik sahaja ternampak Ben.
"Abang Ben.." Tegur Adrina cukup ceria.
"Ya.. Macam mana sekolah hari ni?"
"Sama aja macam semalam. Takde apa yang berubah pun. Masih tiga tingkat dan Ari kena panjat tangga untuk sampai ke kelas Ari. Entah bila pengetua nak buatkan lif." Adrina menjawab selamba
Ben tergelak mendengar jawapan loyar buruk gadis itu.
"Masuk dalam. Akak ada beli nasi. Ada atas meja," ucap Sandra sambil menyeluk pocket seluarnya. Segugus kunci diambilnya untuk membuka mangga pada pagar itu.
"Ajaklah abang Ben masuk. Kesian abang Ben berdiri aja kat luar ni. Dahlah panas teruk," ucap Adrina kepada Sandra.
"Abang Ben dah nak balik tu," jawab Sandra lantas mengerling lelaki itu.
"Kalau dapat segelas air pun okay juga. Haus ni.." Ben menyengih serta merta.
"Kedai banyak kat sana tu!" Tegas Sandra tidak senang mahu melayan.
"Akak ni kejam betullah. Air segelas pun nak kedekut. Kesian abang Ben," celah Adrina.
Sandra mula merenung adiknya itu. Tak habis-habis dengan ayat kesian abang Ben!
"Air kosong aja pun okay. Haus betul ni," ucap Ben sengaja mahu membuat wanita seorang lagi itu serba salah.
"Masuklah.." Sandra akur juga walaupun hati tidak ikhlas.
Makin lebar senyum Ben saat berpandangan dengan Adrina. Dua manusia itu sempat berhigh five di belakang Sandra.
Tidak sekadar menikmati segelas air untuk menghilangkan dahaga, Ben meminta untuk menumpang solat. Mahu tidak mahu Sandra membawa Ben ke bilik berhampiran dengan dapur.
Usai zuhur, Ben sempat terpandangkan Sandra di dapur. Perlahan dia menapak mendekati wanita itu.
"Ini yang saya bayangkan suatu hari nanti, Sandra. Saya nampak awak berdiri di dapur ni sebagai isteri saya," ujar Ben di belakang Sandra.
Sandra terus menoleh. Terkejut mendengar suara lelaki itu tiba-tiba.
"Pergilah ke depan, Ben."
"Sandra.. Biarlah saya jadi sebahagian daripada hidup awak dan Ari. Biar saya jaga awak selagi nyawa saya ni masih ada. Saya tak peduli apa saja yang pernah berlaku pada awak dulu. Kita tak boleh ubah kisah lalu walau apapun yang kita pertaruhkan. Tapi masa depan kita yang mencoraknya. Acuannya ada di tangan kita. Suatu hari nanti Ari akan tinggalkan awak juga untuk kehidupan dia sendiri," pujuk Ben masih tidak putus harap.
Sandra terdiam memandang lelaki itu. Hatinya tidaklah sekebal mana. Namun saat wajah Adrina melintasi ruang matanya, lidahnya terus menjadi terlalu berat.
"Saya tahu bermacam andaian ada dalam fikiran awak. Tak semestinya semua tu akan terjadi, Sandra. Ingat lagi apa yang saya kata pada awak malam saya beri awak cincin tu? Kita bukan anak-anak remaja yang baru belajar bercinta. Saya dekati awak bukan untuk mencuba. Tapi saya akan usahakan hubungan ni berjaya. Please.. Saya tak mampu berhenti fikir tentang awak," rayu lelaki itu agak mendayu.
Sandra terus memandang lelaki itu tanpa mampu bertelagah lagi. Lemah terkulai kekerasan hatinya mendengar nada seperti itu.
"Saya sayangkan awak. Jangan biarkan perasaan saya ni menyiksa hati saya. Sedangkan perasaan ni ada dalam diri saya untuk buat awak bahagia."
Sandra tunduk seketika sebelum memandang lelaki itu semula.
"Awak tahu tak.. Saya susah nak maafkan orang yang mempermainkan kata-katanya sendiri?"
"Saya bukan lelaki tu," sambut Ben pantas.
"Pergilah ke depan. Saya nak buat air," ucap Sandra lembut.
"Saya anggap keputusan awak untuk ke Perth tu tak serius. Saya tak sanggup lalui keadaan tu nanti, Sandra."
Sandra pantas menggeleng. "Keputusan saya belum muktamad tentang itu. Banyak benda yang saya kena fikirkan sebelum ambil keputusan untuk ke sana," jawab wanita itu perlahan.
Betapa lega sekeping hati milik Ben mendengar kata-kata itu. Cukuplah buat masa ini. Di lain masa dia akan mengusahakan agar Sandra terus kekal di sisinya. Dengan ikatan yang lebih kukuh.




5 ulasan: