Ahad, 7 Disember 2014

Bab 3 Labuhkan Tirai Semalam


Sedang dia enak menjamu selera di restoran itu, kelibat segerombolan manusia masuk. Rata-ratanya mengenakan pakaian pejabat. Ben memandang jam di pergelangan tangannya. Sudah jam satu suku tengahari. Waktu rehat pejabat sedang bermula. Patutlah restoran itu diserbu orang tiba-tiba.
Gelagat manusia sedang memilih makanan sekadar diperhatikan biasa. Masing-masing sudah memegang sepinggan nasi. Tinggal memilih lauk yang dihidang secara buffet. Sambil itu suapannya diteruskan. Namun tatkala matanya berpindah ke arah pintu masuk restoran itu, pandangan Ben terpasak di sana lama. Kalau tidak salahnya itu wanita yang ditemuinya di tempat kerjanya lebih seminggu lalu. Dia masih ingat. Sandra namanya.
Sandra terus diperhatikan sehingga wanita itu duduk di satu meja di bahagian kaki lima restoran itu. Temannya terus pergi mengambil makanan. Sandra duduk menanti gilirannya sambil memandang ke luar restoran.
"Jumpa lagi dia ni.." Bisik Ben seorang diri. Matanya tidak mampu dikalihkan daripada wanita itu lagi. Kunyahannya menjadi semakin perlahan tanpa dia sedar.
Sehinggalah datang lagi beberapa orang wanita. Salah seorangnya singgah menyapa Sandra di meja itu. Mereka berbual riang buat seminit dua sebelum manusia itu berlalu masuk ke dalam restoran itu. Dan kebetulan wanita-wanita itu memilih meja bersebelahan dengan Ben.
Ben memerhatikan wanita-wanita itu seketika dalam pada akalnya ligat mencari idea untuk menyiasat tentang wanita lagi seorang itu.
"Hai.." Ben segera tersenyum saat wanita yang duduk paling dekat dengannya memandang.
"Seorang aja ke?" Ramah wanita itu menegur.
"Belum dapat berdua lagi.." Ben menyambut lembut.
"Amboi.. Tu yang dok pandang ke sini, nak cari teman untuk berdua ke? Sini dah jadi mak orang semua, dik oi. Anak dara kami ni pun belum baligh lagi," ucap wanita bernama Salmiah itu selamba. Wanita di sebelahnya sempat ketawa.
"Takdelah.. Saja pandang." Ben menyambut malu-malu.
"Satu ofis ke akak semua ni?" tanya Ben setelah kembali memandang ke meja sebelah.
"Ha`ah.."
"Kerja kat mana?"
"UITM.."
Ben mengangguk. Teringat dia yang mereka berada dekat dengan pusat pengajian itu.
"Saya Ben. Saya kerja kat kedai buku depan tu."
"Panggil Kak Sal aja. Ini Kak Zu." Wanita itu turut memperkenalkan teman di sebelahnya itu.
Ben sekadar mengangguk kepada wanita bernama Zu itu.
"Yang kat depan tu pun satu tempat kerja dengan akak ke?" Tanya Ben seketika kemudian.
Wanita itu menoleh ke arah yang ditunjuk oleh Ben. "Hmm.. Memang kami satu tempat kerja. Tapi yang dua orang tu lecturer. Kami ni kerani aja, dik oi," sambut Salmiah sedikit meleret.
Ben hampir terlopong mendengar itu. Lecturer.. Patutlah serius semacam aja.
"Dah jatuh hati ke tu? Pandang sana tak habis-habis," Perli Salmiah saat melihat Ben terus merenung ke arah meja itu.
Ben sekadar senyum. Wanita itu menoleh semula ke arah dua pensyarah itu.
"Yang free hair tu belum ada yang punya. Kalau yang seorang lagi tu, jangan! Baru tiga bulan jadi bini orang. Lebam biji mata kau nanti," ujar  Salmiah tanpa disuruh.
Ben tergelak lagi. Kebetulan pula matanya memang asyik memandang yang free hair itu.
"Pergilah tegur kalau nak kenal. Tengok dari jauh aja, masuk angin keluar asaplah jawabnya." Salmiah berkata lagi.
Ben menggaru kepalanya seketika. Serba salah! "Seganlah. Sebelum ni dia ada datang tempat kerja saya beli buku. Saya dah cuba tegur dia. Tapi dia tak layan saya," cerita Ben agak perlahan.
"Siapa tak layan? Sandra?" Zu di sebelah sana mencelah pula.
"Sandra memang begitu. Bukan kau seorang aja dah pernah kena reject dengan dia. Berlambak lagi," ujar Salmiah sudah tidak hairan.
"Kak Sal kenal rapat ke dengan dia?"
"Tak jugak. Sandra tu baru setahun lebih kerja kat sini. Sebelum ni dia kat UK. Tapi dia tu, nampak aja macam sombong. Orang baik dengan dia.. Dia okay je," jelas Salmiah lembut.
"Alah.. Pergi ajalah tegur. Nak malu apanya," sampuk Zu selamba.
Ben kembali memandang ke arah meja itu. Sandra sedang rancak berbual dengan temannya. Menyedari waktu rehat sudah hampir habis, dia segera meminta diri. Di kaunter bayaran Ben turut membayarkan bil makanan untuk meja Sandra. Seketika kemudian dia berlalu. Namun sengaja dia melintas di hadapan Sandra tanpa menegur wanita itu. Saja nak bagi klu tentang orang yang bermurah hati membelanja wanita itu makan tengahari.


Lewat petang itu sang lelaki mula berkejaran mahu keluar dari pejabatnya. Memikirkan kesesakan jalan raya yang terpaksa diharungi untuk keluar dari bandar Shah Alam ini, makin laju langkah diaturnya. Mujurlah esok dia tidak perlu berada di cawangan ini.
Ben terus mendapatkan keretanya yang terpakur di hadapan Gedung Pustaka Ilmu. Beg kerjanya terus disumbat masuk ke dalam kereta. Namun saat dia menoleh, jantungnya seperti mahu gugur melihat kelibat seseorang berdiri betul-betul di belakangnya. Ben terundur setapak ke belakang.
"Cis! Saya ingat perompak tadi," keluh lelaki itu sambil menghela nafas.
Sandra sekadar memandang kosong reaksi lelaki itu.
"Cik Sandra buat apa kat belakang saya ni?" Tanya Ben cukup hairan.
"Saya nak jumpa awak. Saya tanya staf di dalam, mereka kata awak belum balik. So saya tunggu awak kat luar ni," jawab Sandra selamba.
"Tunggu saya? Ada apa?"
"Saya nak bayar hutang. Makan tengahari tadi," jawab Sandra ringkas sahaja. Dia yakin dia ada berhutang bayaran makan tengahari dengan lelaki ini.
"Oh, itu tak dikira hutang sebab saya berniat nak belanja. Tak payah bayar," ucap Ben lembut sambil menyengih untuk menutupi kegelabahannya.
"Awak nak apa dari saya ni, Encik Benjamin?" Tanya Sandra bersungguh. Dia tahu, pasti ada sesuatu yang dimahukan oleh lelaki ini sebagai balasan.
"Saya.. Emm.. Saya nak mintak no phone awak." Ben menjawab perlahan. Bohonglah kalau dia kata dia ikhlas!
"Saya boleh sms awak kalau ada stock novel terbaru. Atau sales besar-besaran.." Ben menyambung lagi bicaranya tanpa sempat Sandra menjawab.
Sandra sekadar membisu kepada ucapan lelaki itu. Dia masih tidak berminat!
"Er.. Kalau awak nak beli novel lagi, saya boleh bagi harga kasih sayang. Atau kalau awak nak belikan adik awak.."
"Encik Benjamin!" Sandra segera memintas bicara lelaki itu.
"Saya.." Ben mula terkulat-kulat memandang raut serius di hadapannya itu. Macam tak menjadi aja trick dia.
"Saya datang ni nak bayar semula harga makanan saya dan kawan saya tadi. Saya tak mahu offer awak tu," ujar  Sandra serius.
"Saya tak mahu duit tu. Saya nak berkawan dengan awak. Okay.. Itu macam poyo benar bunyinya. Em.. Saya nak tackle awak sampai awak jadi makwe saya," ucap Ben mula nekad. Alang-alang dah malu, hantam sajalah!
"Saya rasa awak faham yang saya keberatan. Ini duit awak, Encik Ben. Saya tak suka berhutang dengan orang," ujar  Sandra lantas menyeluk beg tangannya. Dompetnya diambil.
Ben sempat menjenguk saat Sandra sibuk membuka dompetnya. "Duit.. Banyaknya. Ada nombor telefon terselit kat dalam tu tak?" seru lelaki itu dengan muka tapai.
Spontan Sandra melarikan dompetnya jauh daripada pandangan lelaki itu. Lelaki itu dijelingnya tidak senang.
"Nah! Saya takde duit kecil. Bakinya awak sedekah kat tabung masjid," ucap Sandra sambil menghulurkan not 50 kepada Ben.
"Tulislah nombor telefon awak kat atas duit ni," pujuk Ben perlahan.
Sandra mendecit tidak senang. "Ambiklah cepat!"
"Em.. Apa kata kalau saya pulangkan baki ni lepas saya tukar nanti?" Ucap Ben setelah wang itu diambilnya.
"Okay.. Saya tunggu sini."
"Maksud saya lain kali. Saya call awak," ujar Ben lantas melebarkan senyum.
"Maknanya untuk dapatkan baki duit tu, saya kena beri nombor peribadi saya pada awak?"
"Lebih kurang. Sambil tu saya boleh up date pada awak senarai novel terbaru siap dengan harga kasih sayang, COD!" Ucap Ben bersungguh.
Bibir Sandra terbuka sedikit saat memandang Wajah selamba lelaki itu. Bijak sungguh memutar kata-kata lelaki ini rupanya.
"Please.. Cik Sandra kena bagi peluang pada saya," rayu lelaki itu lagi.
"Beri awak peluang untuk?" Duga Sandra sambil mengerutkan kening.
"Untuk tackle awak sampai dapatlah!" Sambut Ben lantas menyengih.
Sandra mula menghela nafas sambil menggeleng. "Saya nak balik ni, Encik Benjamin. Baki duit tu awak simpan ajalah," ujar  Sandra malas mahu melayan.
"Sandra! Boleh saya panggil awak Sandra aja?" Ben cepat-cepat mencelah sebelum Sandra berpaling.
"Kenapa saya tak boleh dekati awak?"
"Kita baru kenal! Saya cuma minta tolong aja hari tu, Encik Ben. Saya takde niat nak berlebih-lebih sampai jadi makwe awak! Awak penjual dan saya pelanggan, tak boleh ke kalau kita kekal macam tu aja? Tolong hormati kehendak saya, Encik Ben!" Tegas Sandra benar-benar tidak senang.
"Tapi kalau saya nak lebih dari itu pun, tak salah, kan?" Balas Ben lembut sahaja.
"Mana awak tahu tak salah?? Awak ingat saya senang untuk buka jalan kepada mana-mana lelaki masuk ke dalam kehidupan saya?" Suara Sandra meninggi tiba-tiba.
Ben terus terdiam. Terasa bersalah pula. Mungkin dia terlalu mendesak.
"Saya tak senang nak berkawan dengan mana-mana lelaki, Encik Ben. Tolong faham."
"Faham sebelum awak jelaskan sebabnya?" Ucap Ben tenang sahaja.
"Carilah perempuan lain! Saya tak suka lelaki. Sangat-sangat tak suka!" Sandra menjawab serius.
"Maksudnya awak lesbian? Takkanlah macam tu kut? Perempuan dengan perempuan bercouple. Eee.. Macam geli aja. Nak kahwin tak boleh. Dapat anak jauh sekali," telah Ben dengan kerutan di kening.
"Senget otak saya bila bercakap dengan awak ni!" Sandra hanya mampu menggeleng.
"Sandra, setakat kawan aja takkan tak boleh?"
Sandra membisu sambil memandang ke arah lain.
"Sekurang-kurangnya awak kena bagi muka pada saya. Awak dah buat saya terlewat sampai rumah. Dahlah rumah saya jauh," Ucap Ben tetap tidak berputus asa.
Sandra tetap membalas dengan gelengan.
"Please.."
"Ben.."
"Please.. Please.. Please.. Nombor telefon aja," pintas Ben cukup pantas.
"Saya tak mahu!"
"Okay.. Kalau awak tak mahu bagi, saya ikut awak sampai rumah," ugut Ben pula.
"Ikutlah! Ingat saya takut?"
"Janganlah macam tu. Kesian kat abang, sayang. Sampai bila nak membujang?" Spontan lelaki itu menyengih saat pandangan tajam Sandra terhala kepadanya.
"Awak ni memang teruklah, Ben!"
"Okay.. Awak bagi saya nombor telefon, saya hadiahkan buku pada awak, nak?"
"Tak ingin!"
"Bunga?"
"Tak minat!"
"Oh, tak suka bunga. Okay.. Awak bagi no phone awak, saya sanggup hadiahkan kereta saya ni pada awak," Ucap lelaki itu bersungguh. Kereta di belakangnya itu ditepuk beberapa kali.
"Tak Kuasa!"
"Cincin?"
"Nak buat apa bagi saya cincin pulak ni?" Bentak Sandra makin geram. Terlupa langsung dia, dalam pada tak suka.. sibuk juga mahu melayan lelaki ini bertonyeh.
"Kira coplah. Awak dah selamat jadi girlfriend saya. Esok saya pergi cari awak kat dalam universiti tu ya? Awak pensyarah, kan?" ujar Ben lantas tergelak sendiri.
"Mana awak tahu saya.."
Sandra hanya mampu menghela nafas sabar tanpa dapat meneruskan bicara. Ada-ada saja bicara lelaki ini yang memeningkan kepalanya.
"Please.." Rayu Ben buat kesekian kalinya.
"Jangan harap saya akan jawab call awak!" Balas Sandra kalah juga akhirnya.
"Okay.. Kalau macam tu saya SMS." Ben mula tersengih kemenangan. Sebaris nombor yang diberikan Sandra disimpan di dalam telefonnya.
Sandra hanya mampu menjeling lelaki itu. Tak makan saman punya orang!



5 ulasan: