Kampung Pasir Panjang Ulu, Kg Gajah.
“Assalamualaikum. Kiah! Ooo.. Kiah!” laungan itu
mengejutkan Kiah yang sedang sibuk di dapur. Kepalanya dihalakan ke arah pintu
dapur.
“Kiah oi! Kiah! Ai.. ate
dah pekok ke oghang dalam ghomah ni?”
semakin kuat pula suara tetamu yang memanggil itu. Memaksa Kiah meninggalkan
dapurnya yang sedang bernyala.
“Ape yang
Kiah-Kiah ni? Aku belum pekok lagi!”
balas Kiah agak kuat sambil melenggang ke pintu dapur untuk mendapatkan si
pemanggil. Seman dilihatnya sedang duduk di atas motor sambil memandang ke
rumahnya.
“Ha! Ade kamu
pun? Aku ingat kamu keluar..”
“Ate.. kalau
kamu ingat aku keluar, yang kamu pergi panggil aku tadi tu kenape? Buang tebiat??” balas Kiah lantang dengan muka selamba.
“Ha! Ape kamu nok memanggil aku ni, Seman? Nak beli
barang ke, Seman?”
“Takde pe halnye
aku nak membeli barang dengan kamu. Kamu ingat aku ni ade duit?”
“Habis tu kamu nak ape?”
balas Kiah sedikit kuat dari ambang pintu rumahnya.
“Aku nak kabor
ni.. tok penghulu panggil kamu ke ghomah
die. Baik kamu ke sane sekarang. Die nak sesangat jumpe kamu,” ujar lelaki bernama Seman itu.
Kiah termanggu sekejap. Jari telunjuknya diletakkan ke
dagu sambil membuat muka keliru. “Ape halnye tok penghulu memanggil aku ke ghomah die? Nak suruh aku isi borang
BR1M ke?” tanya si Kiah bersungguh.
“BR1M pale hotak kamu! Oghang semuenye dah dapat! Udoh
jadi taik pun duitnye!” Seman sempat menggeleng melihat gadis itu.
“Jadi ape ke halnye?
“Jadi ape yang jadinye? Kamu pergi le sendiri tanye die!
Kamu tanya aku.. mane le lalu aku nak
membuatkan! Ade hal penting le gamoknye,” jawab Seman sedikit
meninggi.
“Iye le. Nanti
aku pergi sane..” rendah sahaja
jawapan Kiah. Akur dengan permintaan Seman. Pasti ada yang penting jika tok penghulu
sudah memanggil dia ke rumah.
“Aku balik dulu ye?
Nak ke baruh ni..” ucap Seman sedikit lembut.
“Iye le. Takkan
kamu nak duduk sini pulok!”
Seman menggeleng saja dengan jawapan si Kiah. Motornya
kembali di hidupkan sebelum dia berlalu. Kiah terus masuk semula ke dalam. Api
dapurnya segera dimatikan sebelum mendapatkan selendangnya.
“Ape le noknye
oghang tue ni!” ucap Kiah seorang diri. Dek kerana rumah penghulu yang
sekadar berselang beberapa buah rumah daripada rumahnya, dia sekadar melenggang
kangkung jalan kaki.
Setiba di hadapan rumah Pak Buyamin yang menjadi ketua
kampung di situ, Kiah sudah terlihat beberapa buah kereta mewah terpakir di
halaman rumah itu. Lama mata Kiah memandang satu persatu kereta itu. Kereta
siapa entahlah. Dia tidak tahu.
“Assalamualaikum.. ooo.. assalamualaikum!” laung Kiah di
hujung tangga. Panjang lehernya memandang ke arah pintu rumah papan itu.
Tidak sampai sepuluh saat terjenggul wajah ketua kampung
di pintu itu. “Ha! Sampai pun kamu, Kiah.” Pak Buyamin segera menyapa Kiah.
“Ish! Ape tak sampainye? Bukannye jauh bebenor rumah kume tu, tok penghulu.”
“Naik le. Aku
ada hal sikit dengan kamu ni,” ucap Pak Buyamin lembut.
“Iye le..”
jawab Kiah akur.
Di atas kedatangan Kiah disambut oleh mata-mata manusia
yang cukup liar. Kiah terpaku seketika memandang semua tetamu di ruang tamu
itu.
“Ai.. semua oghang
pandang kume macam nak telan. Apa ke halnye, tok penghulu? Ade oghang saloh beli barang ke?” tanya
Kiah.
“Bukan salah beli barang. Kamu tu salah jual barang pada
oghang! Duduk le..” jawab Pak Buyamin selamba.
Kiah terkulat-kulat seketika. Canggung rasanya tatkala
dirinya ditepa oleh semua mata yang tajam memandang. Macam bencikan dia aja.
“Ni ke perempuan tak guna tu, tok?” tiba-tiba salah
seorang perempuan yang duduk di ruang tamu itu bersuara.
Terkejut Kiah mendengar dirinya dilabel begitu.
“Amboi.. sedap
bebenor kamu memanggil aku ni tak gune
ye? Udoh lama benor kamu ni hidup gamoknye.” Kiah terus membalas tanpa menunggu lagi.
“Kau yang kerja direct selling tu ya?” salah seorang
lelaki pula mula bersuara.
“Iye le.. nak
beli barang ke? Macam-macam barang kume
ade. Nanti kat ghomah kume boleh
tunjukkan.”
“Hey, minah ni..” lelaki itu menggeleng sebal.
“Macam nilah. Berbincanglah elok-elok. Kiah ni pun tak
tahu cerita agaknya,” celah Pak Buyamin lembut.
“Macamana kami nak berbincang elok-elok, tok. Sebab
betina nilah bapak kami kahwin lain! Tengok muka dia ni aja pun saya rasa nak
lempang!”
“Heyyy.. molot
kamu ni eloknye disumbat dengan semba(pasir)!” Kiah terus melawan
kata-kata kesat wanita itu.
“Kau jangan nak kurang ajar dengan kakak akulah,
perempuan! Memang sebab kau bapak aku curang pada mak aku!” si lelaki tadi pula
meninggikan suara kepada Kiah.
“Takde pehalnye aku
nak suruh apak kamu tu kahwin lain. Kenal apak kamu pun idok! Mulut kamu tu jaga elok-elok. Aku sepok kamu nanti, berterabor
habih gigi kamu tu karang. Langsung tak bergigi kamu jawabnye!” lawan Kiah langsung tidak gentar kepada si penyerang
itu. Terbeliak-beliak matanya memandang si lelaki muda itu.
“Mak datuk banyak kurang ajar ini perempuan!” ucap
Jeffrey semakin bengang.
“Sabarlah semua. Jangan bergaduh dulu..” tegur Pak
Buyamin cuba menenangkan pertelagahan manusia-manusia di hadapannya itu.
“Tok, kume ni tak paham. Apa bendenya ni?” ucap Kiah
kepada Pak Buyamin.
“Kiah, dulu kamu ada jual barang pade satu oghang tue. Itu apak deme ni. Sekarang ni apak deme
ni dah kahwin lain. Deme ni tak puas
hati le dengan kamu sebab kamu jual
ubat kuat kamu tu pade apak deme..” jelas Pak Buyamin lembut.
“Macam dah takde benda lain nak jual!” cemuh si wanita
sambil menjeling Kiah.
“Oghang tue mane
satu ni, tok? Tok pun oghang tue juge.
Tok pun selalu beli barang dengan kume.
Mane le kume ingat oghang tue mane yang beli jamu pasak
arjuna kume tu. Ramai yang beli sebab
mujarab!”
Pak Buyamin menghela nafas perlahan. “Lelaki tue yang name Megat tu. Itu le
apak deme ni..”
Spontan Kiah terlopong dengan mata terbuntang. Megat?
Memorinya segera menemukan dia kepada seseorang yang dinamakan Megat Iskandar
Bin Megat Terawih bin Megat Teroloh. Lelaki kaya yang selalu berlegar di
kampung ini walaupun menetap di Kuala Lumpur. Dengarnya lelaki itu memang
berasal dari sini. Namun sudah berhijrah lama dulu.
“Megat adik pade
ahli parlimen Seberang Perak tu ke?” tanya Kiah dengan suara lantang dan mata
terbuntang.
“Iye
le! Megat mana lagi?”
sambut Pak Buyamin cepat.
Semakin luas mata Kiah dengan lopongan mulut yang semakin
membulat akibat terkejut. Turun naik dadanya menahan rasa. Mukanya pucat
tiba-tiba. Tidak terpandang dia wajah tetamu-tetamu di rumah lelaki tua itu.
“Ha? Apa kau nak cakap sekarang? Dah sedar??” soal si
wanita tadi kasar.
“Kume balik
dulu le, tok! Kume lupe tutup api dapor.
Karang terbako pulak umah kume
tu.” Cepat-cepat Kiah bangun dan meluru ke pintu. Sebelum dia kena fire baik dia lari dulu.
“Hey! Kau nak ke mana tu? Nak lari?” sergah wanita itu
lantang.
Namun Kiah hanya buat pekak. Laju kakinya menyarung
selipar di bawah. Kesemua mereka hanya terdaya memandang si Kiah melenggang
laju pulang ke rumahnya. Hati Jeffrey yang paling hangat melihat wanita yang
cukup biadap itu. Mereka belum habis berurusan Kiah sudah cabut pula.
Kau nak lari ya,
perempuan? Siap kau! Aku cari kau sampai ke lubang cacing..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan