1
Seorang lelaki tua yang baru selesai berurusan di kedai runcit
itu termanggu seketika memandang seorang perempuan yang tercangak-cangak di
sebelah motornya. Sambil berjalan mendekati motornya dia terus memandang Kiah.
“Ape ke namenye, Kiah? Ape kenenye dengan motor kamu ni?” tegur Haji Suman sebelum dia
duduk di atas motornya. Semacam aja si Kiah dilihatnya. Plastik beg merah yang
dibawanya dari dalam kedai itu diletakkan di dalam raga motor.
“Pak Aji, motor kume ni lain macam aje rasenye..” balas Kiah
sambil memandang ke bawah. Cuba mencari apa yang tidak kena pada kenderaan
rasminya itu.
“Lain macam ape
bendenyeee..?” Haji Suman mengerut kening sambil meraba kopiah di atas
kepalanya. Pelik dia melihat gadis itu.
“Tak maunye
jalan!”
Haji Suman segera mendekati untuk membantu. “Ape kenenya tak mahu jalan? Itu enjinnye elok aje hidup? Kamu dah masuk gear ke belum?” ucap Haji Suman hairan.
“Udohhh..”
jawab Kiah sedikit kuat.
Haji Suman memandang motorsikal berjenama modenas itu
dari arah depan kemudian ke belakang. Namun seketika kemudian dia terperasan
sesuatu pada bahagian belakang motor itu.
“Mane nak jalannye! Tayor motor kamu ni takde berangin! Pancit! Itu sebabnya die tak mahu jalan. Kamu tu berat bebenor.”
Kiah terus memandang ke arah tayar belakang yang
ditunjukkan oleh lelaki tua itu. Barulah dia perasan tayar hitam itu sudah
lepek ke aspal akibat dihimpit beban motor dan tubuhnya sendiri.
“Ai.. mane gayenye
macam ni, Pak Aji? Takkan kume nok balik jalan kaki?” tanya Kiah agak
polos kepada lelaki tua itu.
“Mane le aku
tahu kamu! Pergi ke bengkel motor sane.
Baiki!” balas Haji Suman mudah. Dia kembali semula ke motornya dan terus
berlalu pergi.
Kiah termanggu seketika. “Eeei.. oghang tue ni. Orang mintak tolong, die buat nohen aje!”
gerutu Kiah tidak puas hati.
Kemudian dia turun dari kenderaannya. Tayar itu dipandang
penuh hairan. Tidak sampai setengah jam dia meninggalkan motor di situ sudah
pancit? Tadi waktu dia ke situ keadaan motor itu elok saja. Ini macam ada yang
tak kena saja, fikir Kiah sendiri. Dia mula memandang sekeliling. Kebetulan dia
ternampak kelibat seorang lelaki sedang duduk di dalam kereta dengan tingkap
terbuka. Lelaki itu sedang memandang kepadanya.
Dada Kiah tiba-tiba berkocak sendiri. Kali kedua dia
memandang ke arah lelaki itu, lelaki itu pantas mengalihkan pandangan.
Buat-buat tidak memandang pula.
“Itu mesti tengah spy aku..” ucap Kiah semakin tidak
sedap hati. Cepat-cepat dia menolak motornya untuk beredar dari situ. Tetapi
baru sekejap dia menolak kenderaan itu, motor itu kembali ditongkatnya.
“Isy! Berat bebenor
kamu ni! Badan kamu ni pakai besi berani gamoknye..”
rungut Kiah kepada motor itu. Akhirnya Kiah mengunci sahaja motor itu. Barang
di dalam raga itu diambilnya. Dia bercadang mahu pulang dengan cara lain.
Namun sebaik sahaja dia berpaling untuk berlalu, tubuhnya
bergegar akibat berlaga dengan seseorang.
“Oi kamu pasak arjuna! Habis terpasak hidung aku!” latah
Kiah terkejut. Habis jatuh barang yang dipegangnya.
Lelaki itu sekadar berdiri tegak memandang Kiah yang
kelam kabut.
“Ape ke halnye
kamu ni berdiri belakang aku? Kamu dah bute
ke.. erk!” marah si Kiah tidak ke mana sebaik sahaja terpandangkan wajah
lelaki itu. Bicaranya terkulum tiba-tiba tatkala pandangannya dimamah oleh
renungan tajam lelaki itu. Macam kenal sahaja dia dengan wajah itu.
“Kau nak cakap apa?” tanya lelaki itu sinis.
Lama Kiah memandang wajah itu. “Kamu ni bukan ke..”
“Ya! Aku anak Megat Iskandar. Hari tu kenapa kau lari
ha?” pintas Jeffrey dengan mata membuntang kepada Kiah.
“Ish! Mane ade aku
lari? Kalau aku lari tak adenye kamu
nak jumpe aku kat sini. Aku dah
sampai ke Gabon nun..” jawab si Kiah sedikit kelam kabut. Wajah lelaki itu
tidak mampu dipandang lagi. Otaknya sedang keras berkerja mencari idea untuk
mengelak.
“Kau jangan nak loyar buruk dengan akulah, minah! Aku
tahu kau lari hari tu. Sekarang mana kau nak lari ha?” sergah Jeffrey nekad.
Kiah menelan liur. Macamana dia nak lari ya?
“Kamu nak ape
cari aku ni?” tanya Kiah dengan senyum kambingnya. Mana tahu lelaki itu lembut
hati memandang senyumannya.
“Nak cari pasal dengan kau!” jawab Jeffrey cukup pantas.
“Pasal aku tak
ade.. jamu pasak arjuna aku ade le.
Pasal dengan pasak, dah nak same le
tu.. Boleh?” jawab Kiah agak polos. Takut dia memandang wajah garang lelaki
itu. Macam nak makan dia!
Hey! Minah ni.. boleh dia loyar buruk dengan aku? Getus
hati Jeffrey semakin geram.
“Kamu jangan le
memaroh dengan aku ni? Kamu tak
kesian ke.. ke aku ni? Dah le aku ni anak yatim piatu. Motor aku tu pulok pancit. Aku kena balik jalan kaki,”
ucap Kiah dalam nada yang amat rendah. Sengaja mahu meminta simpati lelaki itu.
“Peduli apa aku dengan motor kau tu? Kau buat mak aku
bermadu dengan perempuan lain, kau tak kesian pulak?” balas Jeffrey tetap tidak
berganjak daripada pendiriannya. Dia memang benci dengan minah ini!
“Kamu ni..” Kiah menggeleng sedikit.
“Mak kamu tu pun aku tak kenal. Mane le aku tahu Megat Iskandar tu dah berbini. Die kabor
ke aku, die tak ade bini. Bukan salah aku! Takkanlah aku nak check dengan JAIP die dah kahwin ke belum? Aku cume juai obat kuat ke die.. bukan tolong cari oghang tine untuk die!” jawab Kiah
serius.
“Sedap telinga aku ni dengar jawapan kau kan? Senang aja
kau bercakap? Eh! kau nak jadi sales girl berjaya setinggi mana sekalipun aku
tak kisahlah, Kiah. Tapi aku menyampah.. kenapa mesti kau jual ubat kuat tu kat
bapak aku? Kau dah takde benda lain nak jual ke apa?” tempelak Jeffrey siap
bercekak pinggang.
Kiah terkebil-kebil seketika cuba mencari jawapan.
“Dah die kabor die
tak kuat.. aku juallah ubat kuat tu ke die.
Takkan aku nak jual tok berape nak kuat? Kamu kalau teringin nak
kuat macam bapak kamu tu..baik kamu cube
jamu aku tu. Boleh kamu nerai ke bini
kamu nanti. Murah aje. Sebotoi regenye..”
“Hoi! Aku belum kahwinlah! Kau ni memang saja nak bagi
aku naik darahlah, Minah!” pintas Jeffrey semakin menggelegak darahnya melihat
gelagat Kiah.
Kiah terkedu sekejap dengan mata terkedip-kedip.
“Haaa.. kalau kamu nak ubat lain pun ade. Aku ade juai jamu
untuk naikkan seri muke. Cepat kamu
dapat jodoh nanti. Muke kamu tu kelam
bebenor. Itu yang oghang empuan tak mahu ke kamu..” ucap
Kiah kemudian.
Jeffrey mula menghela nafas dalam. Turun naik dadanya
memandang Kiah.
“Aku balik dululah ye?
Nanti makin banyok aku bercakap,
lagi maroh kamu ke aku ni..” ucap
Kiah cepat-cepat membawa dirinya sebaik sahaja ternampak seseorang yang dia
kenal. Dia tahu lelaki itu sudah naik angin dengan olahnya. Lebih baik dia lari
sebelum kulitnya disiat lelaki itu.
Dengan muka tidak malunya Kiah mendekati seorang remaja
yang dilihatnya itu. Tanpa meminta izin dia menenggek di belakang motor anak
kepada jirannya itu. Terkejut remaja itu dibuat oleh si Kiah.
“Kamu hanto aku
balik, Tam. Cepat! Ade oghang nok
serang aku..” ucap Kiah kepada remaja itu.
“Sape?” tanya Tam kehairanan.
“Ish! Cepat le!
Karang dipelangkung aku sekali dengan kamu kat sini. Derah! Pereh (press) moto kamu ni laju-laju
sikit!” getus Kiah sambil memandang semula Jeffrey di tempat tadi. Namun lelaki
itu sudah tiada di tempat itu. Hilang!
Lima belas minit kemudian Tam menurunkan Kiah di rumah
seseorang atas permintaan Kiah sendiri. Setelah mengucapkan terima kasih dia
terus menuju ke rumah Temah, emak saudaranya itu.
“Ape kenenye
dengan kamu ni, Kiah? Mane motor
kamu?”
“Kg Gajah nun.. rosak!” jawab Kiah lantas duduk di atas
pankin di bawah rumah emak suadaranya itu.
“Ape rosaknye?”
“Tayo motor kume pancit, Wan Temah! Heran kume..” ucap Kiah sambil menghela
nafas kelelahan.
“Heran kenape?”
tanya Temah bersungguh. Wajah Kiah dipandang dengan wajah berkerut.
“Iye lee.. tetibe
aje pancitnyeeee! Tak ke heran
namenye?” balas Kiah sedikit meninggi. Peristiwa tadi terbayang lagi dia.
Macam ada sesuatu melintas di benaknya saat ini. Pertemuan dengan Jeffrey dan
tayar motornya pancit.. satu kebetulan, bukan?
Temah termanggu seketika. Setakat tayar motor pancit apa
nak hairannya? Mungkin sebab terpijak paku ke.. kaca ke? Temah menggaru
kepalanya seketika. Muka serius Kiah semakin memelikkan dia.
“Ini mesti ada konspirasi nak buat naye ke kume ni, Wan
Temah!”
Temah terus tergelak mendengar kata-kata Kiah Propa itu.
“Sape nak buat naye kamu pulok ni, Kiah oi! Kamu jangan nak mengarut!”
getus Temah lantas tergelak lagi.
Kiah menggertap bibir. Kalau bukan sebab konspirasi
macamana tayar motornya boleh pancit? Tadi okay aja! Kiah terkenangkan
peristiwa beberapa hari lepas. Dek kerana serangan sekumpulan adik beradik yang
meroyan sebab ayah mereka kahwin lain, buat beberapa hari dia terpaksa
berkurung di dalam rumah. Tetapi sayangnya dia terserempak juga dengan lelaki
garang itu. Mesti lelaki garang itu yang empunya angkara.
“Kume rase leee..
ade oghang sengaje pancitkan tayor
motor kume. Kume ni dah rase tak
selamat diam kat kampung ni, Wan Temah. Kume
takut.. esok ada orang pasang C4 kat umah
kume tu. Kalau tak pun ada orang lempo
grenad kat kume nanti,” telah Kiah
agak perlahan. Namun Temah tetap mampu mendengar bicara gadis itu.
“Apa ke namenye
C4 tu?” tanya Temah sambil mengerut kening.
“Bom le! Dalam tibi tu banyok dalam cite omputeh!”
ucap Kiah pantas dan agak meninggi.
“Astaghafirullah..” Spontan Temah mengilai sambil
menggeleng-geleng, gelihati melihat Kiah.
“Habih
tu kamu nak pindah ke mane? Kolumpo?” tanya Temah usai dia
menghamburkan rasa lucunya.
Kiah diam pula. Dia pun tak tahu nak berpindah ke mana.
Kampung inilah tempat tumpah darahnya. Bukan sekadar darah.. segala-galanya
memang tertumpah di sini pendek katanya.
“Kiah.. bior
aku kabo ke kamu yang bebenornye..” ucap Temah sambil menghela
nafas perlahan.
“Otok kamu ni
dah meren sebab kamu ni banyak sangat
makan jamu. Itu yang boleh sampai ke bom perginye!
Takde sape nak pasang bom kat umah kamu tu. Usah le kamu nak ngecek aku!”
spontan Temah menggelakkan anak saudaranya itu lagi.
Kiah menjeling emak saudaranya itu. Ada ke aku dikatakan
mereng? Aku cakap deme ni tak percaya.. getus hati Kiah sendiri.
Kiah termenung seketika mengenangkan pertemuan dia dan
lelaki itu sebentar tadi. Dia tahu lelaki itu akan kembali mencari dia.
Masalahnya macamana dia nak mengelak? Daerah Kampung Gajah ini bukannya besar
mana. Dia dahlah tinggal sendirian di rumah. Kalau apa-apa jadi nanti macamana?
Ah! Kiah sudah seriau sendiri.
“Habis tu.. kamu tinggai
motor kamu tu macam tu aje ke, Kiah?” tanya Temah dalam pada Kiah termenung
sendiri.
“Iye le.. tak
lalu kume nok nolok (tolak) ke
bengkel, Wan Temah. Berat!”
“Hmm.. nanti aku suruh Pak Berahim kamu pergi ambik motor
tu nanti. Bawak ke bengkel sekali, baiki..”
Kiah mengangguk sahaja. Memang itu yang dia mahu benar
saat ini.
Puas bersembang di rumah emak saudaranya, Kiah pulang
berjalan kaki ke rumahnya. Bukanlah jauh mana. Cuma berselang lima buah rumah
saja daripada rumahnya. Waktu pun sudah hampir maghrib.
Namun sebaik sahaja sampai ke rumah Kiah terkejut besar!
Teramat-amat besar kejutannya.
“Kamu??”
“Ya, aku!”
Nafas Kiah turun naik. Tiba-tiba kakinya lembik. Dan dia
rebah di atas tanah bawah rumah tingginya.
“Hoi, minah..” Jeffrey terkedu.
Hai.. aku belum buat apa-apa, dia dah pengsan?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan