6
“Kiahhh!!!” laungan itu bergema seisi rumah.
“Iye, Yop. Ape noknye lagi Yop oi..” balas Kiah
dari atas rumah.
“Sini leeeee
cepat! Picit kaki aku ni,” arah Jeffrey semacam sedang mengajuk cara si Kiah bercakap
sahaja nadanya.
Kiah menghela nafas perlahan. Mahu tidak mahu dia akur juga
dengan suruhan lelaki itu walaupun saat ini dia terasa benar-benar letih.
Terhegeh-hegeh dia turun ke bawah semula.
Jeffrey sedang terlentang di hadapan tv dengan cukup
senang hati. Matanya terus memandang tv biarpun Kiah sudah berada dekat
dengannya.
“Picit tang mane?”
“Kaki..” meleret sahaja jawapan Jeffrey macam orang malas
mahu menjawab. Matanya masih terpasak kepada tv kecil di hadapan mereka itu.
“Tejelat aje
kamu ni, Yop. Ape dibuat siang tadi?”
ucap Kiah sambil mula menggesot mendekati kaki suaminya itu.
Jeffrey menoleh. “Apa kau cakap?”
“Kume tanye..
kamu tejelat ni, ape dibuat tadi?” ulang Kiah perlahan.
“Tejelat? Apa
maksud tejelat?”
Kiah diam seketika. Melihat wajah lelaki itu barulah dia
teringat Jeffrey tidak faham sebahagian bahasanya.
“Tejelat tu
maksudnya penat benor. Kamu buat apa
tadi ?”
“Oh.. aku ingat tejelat
tu maksudnya aku terjilat kau..”
Tersentak si Kiah mendengar balasan Jeffrey. Merah
tiba-tiba mukanya. Bagi penale
(penampar) elok gamoknye die ni..
bisik hati Kiah.
“Cepatlah, Kiah. Aku dah tejelat ni..” ucap Jeffrey lantas tergelak kecil. Seronok mengajuk
gaya Kiah bercakap.
Kiah mencebik geram melihat gelagat suaminya itu. Lelaki
itu sempat dijelingnya.
“Jeling! Tejelat
mata tu baru tahu. Eh! bukan tejelat..
terkujat biji mata tu baru tahu.” Spontan Jeffrey tergelak berdekah-dekah
dengan kata-kata sendiri.
“Meren!” desis
Kiah cukup perlahan. Namun kaki lelaki itu dipicitnya bersungguh-sungguh.
Jeffrey pula terus memandang tv. Drama yang disiarkan di TV3 itu menarik pula
dirasakannya. Mereka berdua terus membisu di situ tanpa perbualan.
Setengah jam kemudian.
“Udoh le tu,
Yop. Tangan kume udoh lenguh ni..”
“Buatkan aku air kopi?” pinta Jeffrey sebelum sempat Kiah
bangun dari situ.
Nak kopi pulokkkk.. Kiah mengeluh dalam hati. Namun dia
patuh juga. Sekadar membancuhkan kopi apalah sangat asalkan dia dapat berehat
selepas ini. Usai membancuhkan kopi dia mendekati suaminya itu. Namun baru
sahaja dia mahu bangkit dari situ Jeffrey menahan.
“Kiah, cuba kau rasa air yang kau buat ni!” ucap Jeffrey
serius.
“Ape bendenyeeee
lagi ni, Yop?” sambut Kiah meleret.
“Cuba kau rasa..”
Kiah duduk semula di situ. Cawan di tangan Jeffrey itu
diambilnya lalu dirasa.
“Mak oi.. tawo
lesyo ayor ni!” komen Kiah dengan muka berkerut.
“Tawar? Pahitlah!”
“Iye leee..”
Kiah segera bangun bersama cawan itu. Air di dalam cawan itu dibuangnya dan
dibancuh yang lain buat suaminya. Kemudian dia kembali semula kepada Jeffrey.
“Hmm.. cuba kau rasa yang ni pulak,” ucap Jeffrey setelah
air itu dihirupnya sedikit.
“Manis bebenor
ke?” tanya Kiah hairan.
“Rasalah dulu..” getus Jeffrey lantas menyuakan cawan itu
dekat ke bibir Kiah.
Mahu tidak mahu Kiah menghirup juga air itu. Tetapi..
rasanya air itu elok aja. Apa lagi yang tak kena?
“Nape dengan ayor kopi ni, Yop? Kume rase elok aje?”
“Sebab rasa dia eloklah aku suruh kau minum. Supaya malam
ni kau tak payah tidur.” Keh.. Keh.. Keh.. lelaki itu terus tergelak nakal.
Kiah menggertap bibir geram.
“Kiah.. urut belakang aku pulak.” Bukan main halus lagi
suara Jeffrey menyuruh Kiah. Lupa terus kepada kemarahan dia akibat dimarahi
oleh Pak Berahim siang tadi.
“Yop, malah
kume! Kume penat,” dengus Kiah mula mengerutkan wajah kepada lelaki.
“Alah.. mana boleh cakap malas? Kejap aja. Bahu ni aku
sakit dah banyak hari. Cepat sini..” dengan muka tidak tahu malunya Jeffrey
mencapai tangan Kiah lalu di letakkan di atas bahunya.
“Kamu ni suke tido
tebolen (tak berbaju)! Itu sebabnye
badan kamu ni sakit. Masuk angin..” bebel Kiah di belakang lelaki itu.
Jeffrey diam menikmati urutan itu. Letih memandu tanpa
henti petang tadi bagaikan hilang kala itu. Inilah nikmat bila ada isteri.. dia
teringat kata-kata salah seorang temannya dahulu.
Seketika kemudian Jeffrey menoleh ke belakang. “Dahlah..
nak tidur pergilah.”
Bukan main senang lagi hati Kiah mendengar itu. Tanpa
menunggu lagi dia terus bangun untuk naik ke atas. Tidak sampai 5 minit dia
meletakkan kepala di bantal dia sudah terlena.
Jeffrey kembali menonton sendirian. Sehabis rancangan
yang ditontonnya tadi dia terus mematikan tv kecil itu. Di tempat yang sama dia
kembali berbaring bertemankan sebiji bantal. Buat seketika lelaki itu
terkebil-kebil sendiri memandang atap zink di atas. Badan rasa letih namun mata
tidak mahu lena. Tidur pula sekadar beralaskan tikar nipis. Lagilah susah dia
mahu terlena.
Seketika kemudian dia mengiring ke arah kanannya.
Permandangan dapur rumah itu dipandang kosong. Fikirannya menerawang memikirkan
rancangannya untuk membawa Kiah ke Kuala Lumpur nanti. Dia sebenarnya belum ada
persediaan. Emak dan adik beradiknya masih belum tahu tentang dia dan Kiah. Dia
harus memikirkan cara untuk berterus terang nanti. Bimbang emaknya yang
menghidap penyakit jantung itu terkejut.
Tulah.. siapa suruh cari pasal, Jeffrey. Kan dah jadi
masalah.. hatinya mengejek sendiri.
Tapikan.. apasal aku suka sangat kacau Kiah dulu? Padahal
bukan salah Kiah selama ni. Hati si lelaki bermonolog sendiri. Sambil itu
tangannya menepis nyamuk yang mengetip lengannya. Jeffrey teringat saat-saat
awal dia bernikah dengan Kiah tempoh hari. Makin seronok dia mengacau Kiah.
Entah kenapa dia suka tengok Kiah marah-marah kepadanya.
“Entah-entah aku suka kat Kiah tak?” teka si lelaki
akhirnya.
Sehingga ke jam 1 pagi, Jeffrey terus tidak mampu
terlena. Gangguan nyamuk membuatkan dia sudah tidak selesa berada di situ.
Akhirnya lelaki itu bangun. Lampu di bahagian bawah itu dimatikan semua. Dalam
kegelapan itu langkah Jeffrey hanya dibantu oleh cahaya lampu dari luar rumah
yang sengaja dibiarkan menyala.
Kiah yang sudah lama hanyut langsung tidak sedar ada
seseorang masuk ke bilik itu.
Jeffrey menyelak kelambu. Dia memandang seketika Kiah
yang tidak sedarkan diri.
“Kau sedap aja tidur dalam kelambu. Aku kat bawah tu tak
boleh tidur. Asyik kena gigit dek nyamuk!” rungut Jeffrey seorang diri. Dan
tanpa dipelawa Jeffrey terus masuk ke dalam kelambu itu. Dia berbaring di
sebelah Kiah yang sedang mengiring menghadap dinding.
Pada mulanya Jeffrey terlentang memandang siling kelambu
itu. Kemudian dia mengiring pula memandang belakang Kiah. Dan seterusnya ada
suara-suara ditelinganya mula menghasut agar dia mendekati gadis itu.
“Cantik jugak rambut kau ni, Kiah. Lembut aja..” bisik
Jeffrey sambil mengusik-usik rambut Kiah. Rambut itu sudah tidak berikat.
Puas mengusik rambut Kiah, dia akhirnya memberanikan diri
merapati isterinya itu.
“Best jugak peluk minah kalut ni. Bolehlah.. daripada
tidur dengan nyamuk, baik aku tidur dengan dia ni,” ucap Jeffrey lantas tersengih
sendiri. Pelukannya semakin erat tanpa sedar. Kiah langsung tidak sedar dan
Jeffrey juga akhirnya terlena. Tidak sedarkan diri!
Pagi itu..
Kiah terjaga seperti selalu. Tersedar macam ada orang
sedang menghimpitnya dia terus menoleh. Jeffrey dilihatnya sedang berdengkur di
sebelahnya. Bukan main sedap lagi tangan lelaki itu mendarat di atas perutnya.
Lama Kiah memandang lelaki itu. Baru terasa seperti dia ada suami apabila
melihat lelaki itu berada di sebelahnya seperti sekarang ini.
Puas memandang lelaki itu Kiah bangun tanpa mahu
menganggu lena lelaki itu. Jeffrey ditinggalkan begitu sahaja di atas katil
itu. Dia terus ke bilik air di bawah. Azan subuh sudah terdengar jelas
memandangkan rumahnya memang dekat dengan masjid. Si Jeffrey pula sempat terjaga
dek kerana laungan azan yang cukup kuat kedengaran itu. Namun dek kerana rasa
mengantuk yang masih menebal dia menarik selimut sehingga ke hujung kepala.
Alasannya.. sekejap lagilah dia bangun solat subuh.
Selesai solat subuh Kiah mendekati katil semula dengan
niat mahu mengejutkan suaminya itu. Pintu kelambu diselaknya. Namun matanya
terbuntang dan dia menjerit kuat sehingga Jeffrey tersentak dari lenanya.
Selimut yang menyelebungi wajahnya diselak sedikit.
“Yoppp!!!!” Kiah memekik sambil menutup muka.
“Apa yang terpekik-pekik ni? Aku nak tidurlah,” rengus
Jeffrey lantas menarik semula selimut ke arah wajahnya.
“Bukok le kain
kamu tu..” ucap Kiah meninggi.
Jeffrey kembali membuka matanya disebalik selimutnya itu.
Dia nak suruh aku bukak kain??? Jeffrey menyelak semula selimutnya.
“Kau nak suruh aku bukak kain nak buat apa? Tulah.. malam
tadi tak nak cakap suruh bukak kain,” ucap Jeffrey setelah kepala dihalakan ke
arah isterinya itu. Bibirnya tersengih tiba-tiba melihat Kiah menuntup muka.
Alah.. malu-malu la tu, detik hatinya nakal.
“Cakap mendenye??
Tu.. tu.. cer tengok bawoh kamu tu! Udoh terbolen tak bertutup, Yop!!!” ujar Kiah tidak tentu arah.
“Ha?” Jeffrey memandang ke arah yang ditunjukkan oleh
muncung Kiah. Spontan dia memandang kain yang menutup tubuhnya sehingga ke
kepala sebentar tadi. Bukannya selimut sebaliknya kain pelekatnya sendiri.
Patutlah rasa nipis semacam. Cepat-cepat Jeffrey menolaknya ke bawah.
“Alah.. relaxlah. Nak malu buat apa. Bukannya aku
sengaja. Dah kain ni yang suka sangat nak naik atas. Rezeki kaulah tu,” ucap
Jeffrey selamba.
“Eee.. takde pe ha kume
nak menatap bawoh kamu tu. Buat malu
aje kamu ni, Yop! Bangkit leee..
sembahyang derah (cepat)!” marah
Kiah.
“Yalah.. nak bangunlah ni.” Jeffrey menjawab malas.
Di bawah sebelum masuk ke kamar mandi Jeffrey lihat Kiah
sudah ke dapur.
“Kiah..”
Kiah tidak menjawab namun pandangan terus dihalakan
kepada suaminya itu.
“Pagi ni kau nak masak nasi lemak ke?” tanya Jeffrey.
“Kan kamu dah kabor
nok nasi lemok? Ni kume nok buat lee..” jawab Kiah pantas.
Jawapan itu cukup untuk membuatkan hati lelaki itu
berlagu ria.
“Buat sedap-sedap ya?”
“Iye leee...”
sambut Kiah meleret.
“Emmm.. lain kali duduk rumah pakailah seksi sikit,” ucap
Jeffrey tidak lama kemudian. Namun tanpa menunggu jawapan Kiah dia terus berjalan
laju ke arah kamar mandi. Tak sanggup nak memandang wajah Kiah bersama
reaksinya.
Eee.. aku tampo
juge die ni kaghang.. dengus Kiah
dalam hati.
“Otak kamu ni dah meren
gamoknye! Menghonyam! (merenyam)” Kiah sengaja menguatkan suaranya agar
lelaki di dalam kamar mandi itu terdengar ucapannya.
“Lalalalalaa... tak dengar.. tak dengar.. apa dia?? Tejelat? Ke.. terjilat??” jawab Jeffrey
sambil ketawa berdekah-dekah dari dalam kamar itu. Segayung air diangkat. Dengan
agak gopoh terus disiram ke tubuhnya.
“Auw!! Auw!! Sejuknya air ni??? Kau letak ais ke dalam
kolah ni, Kiah? Kau nak naya aku ya? Argh!!! Sejuknya. Tak tahan! Tak tahan!”
Jeffrey terpekik-pekik sendiri sesaat kemudian. Menggelupur dia di dalam kamar
itu menahan sejuk.
“Padan moke! Ngelejat
le (menggelupur) kamu kene ayor
kolah tu. Suruh mandi pun hingo
(bising) sampai ke baghuh (baruh)! Juweh (mengada-ada)!” ucap Kiah, mengutuk
laki sendiri. Tengin punya laki!
Bisik hatinya lantas menggeleng seorang.
7
Sesudah bersarapan pagi berdua, Jeffrey tiba-tiba meminta Kiah
bersiap untuk sesuatu urusan.
“Ke mane, Yop?”
Tanya Kiah hairan.
“Pejabat agama..”
Kiah terdiam sekejap memandang wajah lelaki itu. Untuk
apa ke sana? Namun entah kenapa pertanyaan itu tidak berani diluahkannya.
Sementera menanti Kiah bersiap, Jeffrey keluar entah kemana. Kiah diminta
menunggu sehingga dia pulang semula ke rumah itu.
Hampir setengah jam tercongok sendiri di bawah rumah itu
barulah kelihatan kereta Jeffrey masuk ke halaman rumah. Lelaki itu sekadar
membunyikan hon agar Kiah datang ke arah kereta itu. Sebaik sahaja punggung
dilabuhkan di kusyen kerusi itu Jeffrey terus mengundurkan kereta keluar dari
kawasan rumah.
Kiah sekadar pegun di dalam kereta tanpa suara. Dia
perasan Jeffrey menghalakan kereta ke arah pekan Kampung Gajah. Lima minit
kemudian kereta itu dibelokkan Jeffrey untuk masuk ke kawasan Pejabat Agama
Islam, Kampung Gajah.
“Jom..” ajak Jeffrey kepada wanita di sebelahnya itu.
Di hadapan pejabat itu Pak Buyamin dan Pak Berahim
kelihatan sedang bersembang berdua.
“Hmm.. ada dah pegawai di atah nun. Pegi le kome isi pom (borang) deghah. Ini pun dah beselayut
(bersidai) oghang ramai di atah nun..”
Pak Berahim segera bersuara sebaik sahaja pasangan suami isteri itu tiba dekat
dengannya.
“Pom ape?”
tanya Kiah sedikit blur.
“Leeee.. nak
daftar nikoh kome ni kene le isi pom! Takkan kamu nak tulih
atah dahi aku ni. Kamu ni bior
bebenor, Kiah. Baru bangun tido
ke? Cer kamu kokok (gigit) telinge si Kiah
tu. Ade dengo suare toyok (menangis) nanti
tu.. maknenye die sedor le tu,” ucap
Pak Berahim sedikit lantang suaranya.
Masam kelat muka Kiah melihat Jeffrey menekup mulut cuba
menahan diri daripada tergelak. Lelaki itu dijelingnya geram.
“Pegi le deghah
naik atah nun. Lambat kamu siap,
lambat le aku balik. Aku ni nok pegi koje lagi ni. Nunggu sini lame-lame pun
ape dapat?” ucap Pak Berahim lagi.
Jeffrey segera mencuit Kiah agar mencari tangga untuk
naik ke tingkat 2. Tidak lama kemudian Pak Berahim dan Pak Buyamin pula
menyusul.
Namun setelah sejam bersoal siasat dengan pegawai yang
bertugas mereka berdua dimaklumkan yang kes mereka akan dirujuk ke mahkamah
untuk pertimbangan. Lebih sadis lagi Pak Buyamin dan Pak Berahim juga bakal
dikenakan pertuduhan mengikut kesalahan masing-masing. Itulah.. tak sabar nak
dapat menantu saudara pun kena juga ikut peraturan dan undang-undang!
Jam 10 pagi itu mereka semua beredar daripada perkarangan
pejabat agama itu mengikut arah masing-masing. Jeffrey dan Kiah pulang ke
rumah. Setiba di rumah Kiah mula mengerjakan runtin sehariannya. Manakala
Jeffrey dengan rutin yang tiada lain.. makan lagi!
“Nak masak apa tu, Kiah?” tanya Jeffrey sekadar berbasi basa
di tempat dia bersila sambil menyuap nasi lemak sisa sarapan pagi tadi.
“Nak buat masak lemok.
Makan ke, Yop?” balas Kiah lembut sahaja.
“Apa pulak tak makannya..” Jeffrey menyambut sedikit
meleret.
Yalah.. kamu tu tolak batu dengan kayu aje. Semuenye kamu sapu! Bisik hati Kiah
sendiri.
“Kiah, lepas makan tengahari nanti kita pergi jalan nak?”
ajak Jeffrey setelah agak lama mereka berdiam dengan kesibukan sendiri.
Kiah menoleh dari arah dapur.
“Kume ingat nak pergi tengok kebun sawit kume tu. Doh lame kume tak jenguk ke sane. Tanah di baghuh tu pon nok kene
pergi tengok. Manggis hari tu kume nengok
doh mengkei (hampir masak) buohnye.
Ini dah masak lee gamoknye. Kalau idak ditengok, tok merase lee..” Kiah membalas agak rendah.
“Manggis dah berbuah ke?” tanya Jeffrey hairan. Manalah
dia tahu semua itu. Pokok manggis pun dia tak berapa kenal.
Kiah sekadar mengangguk sahaja. Jeffrey diam seketika
sambil berfikir sendiri.
“Banyak ke tanah kau kat baruh tu, Kiah?”
“Idok le banyok.
Semue tu tanah pusake arwoh aboh kume,” sambut Kiah tanpa memandang.
Jeffrey sekadar mengangguk tanpa berniat mahu bertanya
lagi tentang itu.
“Kalau tak saloh kume, tanoh arwah mok kume belah darat nun.. sebelah dengan tanah apok kamu, Yop.”
Beritahu Kiah lembut. Lelaki yang sedang termenung sendiri dipandangnya
seketika.
Jeffrey terus menoleh. “Mana kau tahu?”
“Ade le oghang
bagitahu kume.. tanoh arwah Megat
Terawih sebelah darat tu besor dulu. Sepaghuh (separuh) tu YB Tajudin dah juwa (jual) ke oghang. Tinggal bahagian yang apok kamu punye aje situ. Terbior
tak ade berusik sampa le sekaghang. Udoh
jadi hutan rimbe! Betul-betul duduk
sebelah tanoh arwah mok kume. Tapi situ tanah berlimbah
(berair). Nak buat nanam (tanam)
sawit pun susoh. Tak mahunye hidup.”
Kiah menjawab biasa.
Jeffrey sekadar mendengar. Dia memang dah lama tahu
ayahnya masih ada memiliki tanah di sini. Tapi entah di mana dia tidak pernah
ambil tahu. Ayahnya sendiri pun tak pernah ambil tahu tentang itu.
“Kamu takde nok
kojekan ke tanoh tu? Lame-lame nanti sodok (dikerjakan) dek oghang.
Tanoh tu luah,” ucap Kiah lagi.
“Biarlah.. aku tak minat. Bukannya tanah aku. Tanah dia!
Takde kena mengena dengan aku. Harta dia bukan harta aku,” jawab Jeffrey
sedikit tajam kedengaran nadanya.
Usai menyiapkan bahan-bahan untuk memasak Kiah memandang
sekeliling seketika. Ada sesuatu yang penting dia lupa. Santan belum diperah
lagi rupanya. Masalahnya kelapa belum berparut sebab kelapanya belum dibelah.
“Yop, tolong kume kejap..”
“Apa?” Jeffrey menoleh ke arah Kiah di dapur.
“Ambik nyor
kejap..” ucap Kiah ringkas sahaja.
“Nyor?”
“Kelape..”
Jeffrey terus mengangguk. “Nak ambik kat mana?”
“Ade di
belakang. Parang ade bawoh dapur kayu
tu kume letok..” ucap Kiah.
Jeffrey keluar ke belakang rumah melalui pintu belakang
yang sedang terbuka luas di hujung dapur itu. Kiah pula berdiri di sinki
membersihkan ikan dan bahan-bahan lain yang sudah disiapkan tadi.
Lima minit dia menanti, kelapa yang diminta masih tidak
didapati. Sedangkan semua bahan sudah tersedia. Akhirnya Kiah menjenguk lelaki
itu melalui ambang dapur. Betapa terkejutnya dia melihat Jeffrey sedang
bergayut di pertengahan batang pada sebatang pokok kelapa di belakang itu.
Terkial-kial lelaki itu mahu menaikkan dirinya ke atas. Penyudahnya lelaki itu
melurut ke bawah dan jatuh ke tanah semula.
“Ya Allah.. sape
suruh kamu merabat pokok nyor tu, Yop?” laung Kiah. Kemudian dia
keluar menyarung selipar untuk mendekati lelaki itu yang masih terduduk di atas
tanah.
“Nak ambik kelapalah! Aduh.. Susah jugak panjat pokok
kelapa ni rupanya. Nampak macam senang.” Jeffrey mengeluh perlahan. Pokok
kelapa yang tidak setinggi mana itu dipandang lagi.
“Eee.. buat sakit badan aje, kamu ni. Tak peghonoh
(pernah) ada soghang pon manjat pokok
ini! Yang kamu pergi panjat, apa dibuat??” ucap Kiah lantas menggeleng.
“Kata nak kelapa? Sebab tulah aku panjat!”
“Yop, pokok nyor
ni bukan suke-suke peghut (perut)
kamu aje boleh dipanjat.. kene oghang
pandai baru boleh panjat! Kut idok kamu tejeghombab (tersembab) macam tadi,
seminggu kamu ngempo (jalan terkengkang)..
habis bengkok punai kamu tu. Nasib
tak terjelabok (terburai) isi perut
kamu tu tadi!” bebel Kiah macam murai marahkan si Jeffrey.
Terkedu Jeffrey mendengar bebelan Kiah. Amboi.. minah ni
kalau membebel takde berlesen terus mulut dia. Main tabuh ikut suka dia aja,
bisik hati Jeffrey.
“Habis tu takkanlah nak tiup aja bagi buah tu jatuh ke
bawah?”
“Ate.. itu
batang buluh panjang ade! Kait aje leee..”
tempelak Kiah lantas menunding ke arah sebatang galah yang tersandar pada pokok
kelapa tidak jauh dari situ.
“Jahat kau ni, Kiah. Aku sakit ni..” ucap Jeffrey rendah.
Malu sendiri dengan kebodohannya tadi.
“Huh! Tak mandang
juge nyor kume mintok tadi! Melayan
kamu ni, habih leboh lauk kume tu,”
ucap Kiah malas mahu melayan Jeffrey. Galah tidak jauh dari situ terus
diambilnya. Kelapa yang diminta segera dikait. Ironinya tidak sampai seminit
dua biji kelapa sudah berjaya dijatuhkan Kiah.
Terkebil-kebil Jeffrey melihat kepakaran Kiah mengait
kelapa. Kemudian dia terkebil-kebil lagi memandang Kiah mengupas kelapa
menggunakan alat pengupas kelapa yang terpacak di atas tanah. Bukan main laju
lagi Kiah meleraikan sabut daripada buah kelapa itu setelah kelapa itu dihentak
kepada muncung besi yang sudah dibentukkkan tajam.
Jeffrey sempat termenung sendiri tatkala memandang wanita
itu. Sebahagian kata-kata Kiah sebelum ini masih berlegar elok di mindanya.
“Kume ni belajo
takat tingkat lime aje. Tak macam kamu.. belajo kat tempat oghang
putih. Kume ni Kolumpo tu pun kume tak pernah jejok sebelum ni. Takut nanti kamu malu kat oghang.. ade oghang ghumoh tok sekolah tinggi macam
kume ni.”
Tapi hakikatnya sekarang.. dia yang terasa malu sendiri
dengan Kiah. Tanpa segulung ijazah, dia lihat Kiah gigih mencari rezeki untuk
kehidupannya sendiri. Tidak sekadar berniaga jualan langsung, mengusahakan
kebun sawit juga salah satu mata pencarian untuk wanita itu. Kiah tidak perlu
bergantung kepada lelaki seperti dia walaupun sekadar untuk mendapatkan sebiji
kelapa. Semua dia boleh buat sendiri? Dia??
Makan pun tunggu Kiah yang masakkan!
comey nyer kiah
BalasPadam