8
Petang itu Jeffrey lihat Kiah sudah bersiap-siap mahu ke kebun
sawitnya. Dengan seluar track, baju tee lengan panjang dan tudung bawal sekadar
diikat di bawah dagu, Kiah mula mencari parang panjang untuk dibawa sekali
dengannya. Dua botol air masak tidak dilupakan, turut dibawanya bersama.
“Aku nak ikutlah. Bosan duduk rumah,” ucap Jeffrey
tiba-tiba.
“Kamu dah sihat ke? Tadi kamu ngadu sakit belakang,”
jawab Kiah.
“Dah sihat.. sakit sikit aja tu!”
Kiah tidak menjawab. Suka hati Jeffreylah mahu menyertai
dia atau tidak.
Namun seketika kemudian Jeffrey diterpa kehairanan
melihat Kiah terus berjalan ke arah belakang rumah setelah merapatkan semua
pintu rumah itu. Sedangkan motor wanita itu ada di bawah rumah itu.
“Kita naik apa ni?”
“Jalan kaki lee..”
ucap Kiah selamba.
“Ha??” terkedu Jeffrey seketika. Arah yang mahu dituju
mereka membuatkan dia menelan liur seketika. Macam hutan rimba aja??
“Tanah tu bukan jauh
benor pun. Naik motor lagi jauh. Kena pusing kut madrasah nun..” ucap Kiah
selamba. Dia terus berjalan tanpa mempedulikan Jeffrey di belakang.
“Emm.. dalam ni takde harimaukan?” tanya Jeffrey sambil
memandang sekeliling. Semak samun yang merimbun dan pokok-pokok besar serupa
pokok balak yang dilihatnya.
“Ghimo ade leee
di zoo kat Kolumpo nun..” jawab Kiah separuh memerli.
“Kau jangan main-main, Kiah. Sesat kita nanti ni.”
Jeffrey tetap membuntuti Kiah sambil membebel.
“Kume dah berpuluh kali lalu sini, Yop. Pokok-pokok ni
pun dah kenal muke kume ni. Tak adenye
boleh sesat! Paling pon kamu salah
jalan, tembus kat ghomah oghang
nanti. Lagipun alik sini aje yang
semak samun. Depan tu dah masuk ladang sawit!” tekan Kiah bersungguh.
Jeffrey diam. Mendengar kata-kata Kiah hilang sedikit
kegusarannya. Namun jarak yang dekat seperti dikatakan Kiah tadi, rupanya
tidaklah semudah yang disangka untuk orang seperti dia. Kiah relax aja berjalan
sambil menebas semak samun di sekeliling mereka. Dia pula.. terpaksa menogok
air setengah botol akibat keletihan berjalan di dalam belukar kecil itu.
Stamina kurang!
Lebih 10 minit mengharungi belukar dan semak samun itu
perjalanan mereka mula lancar. Namun mereka bertembung pula dengan sebuah kubur
lama. Rupa binaannya macam makam raja dulu-dulu. Hanya makam itu sahaja ada di
situ. Tiada kubur lain lagi di sekeliling mereka.
“Eee.. kubur siapa ni, Kiah?” tanya Jeffrey mula terasa
seram.
“Entohhhh.. semenjok
kume lahir dulu kubo ni doh ade sini. Kate oghang ini kubo raje.
Entoh raje di hilir ke.. raje di hulu ke.. raje di kayor ke.. kume tok tahu. Bukan sepupu sepapat dengan
kume. Banyok benor yang mengaku raje kat sini ni,” jawab Kiah tetap
selamba.
Jeffrey mengekori Kiah melintasi tepi makan lama itu.
Meremang bulu romanya melihat binaan makam itu seperti makam wali-wali.
Kuburnya dibina tinggi dengan nesan yang agak besar. Pada nesan dan
mengelilingi makam itu ada cebisan kain kuning yang sudah mereput. Makam itu
sudah buruk rupanya, tidak berjaga. Kain kuning mungkin melambangkan raja.
Tetapi setahu dia, kain kuning yang diamalkan oleh para bomoh bertujuan untuk
memanggil jin!
“Kau berani lalu sini sorang-sorang?” tanya Jeffrey mula
berjalan dekat dengan Kiah. Kepalanya asyik dihalakan ke belakang. Takut ada
yang mengikut mereka.
“Kalau lalu situ, tak
ade le jadi soghang doh! Adee le die sekali di bawoh nun. Tapi takde pun die negur kume selama ni. Die buat hal die aje lee..” ucap Kiah macam main-main sahaja lagaknya. Geram
pula Jeffrey mendengar jawapan loya buruk seperti itu.
“Entah-entah itu kubur keramat tak?”
“Yop, kamu nak takut buat ape ke kubo tu? Bukannye die boleh timboi balik pon? Kalau
ada penunggu situ pon, kite takde ngaco
die.. die pun takde menganggu awok. Hantu setan ni pun sampai satu
mase deme mati belake, Yop. Usoh le kamu takut dengan jin ni semue.
Lagi kamu takut ke deme.. lagi die suke
dekat dengan kamu,” sanggah Kiah tetap tenang.
Terdiam Jeffrey mendengar ujaran Kiah.
“Baca ayat kursi aje, Yop. Itu ubatnye..” tambah Kiah lagi.
Memang dahulu dia pernah mendengar arwah emaknya
bercerita tentang amalan orang dulu-dulu di makam itu. Memberi makan sesuatu
yang tidak kelihatan seolah-olah memberi persembahan siap dengan jampi tertentu
dan membakar kemenyan. Konon-kononnya supaya apa-apa makhluk yang menghuni
makam itu tidak menganggu mereka yang mencari rezeki berdekatan dengan kawasan
itu.
Tetapi semenjak dilarang oleh pegawai dari pejabat agama
lama dulu.. amalan itu sudah tidak diamalkan lagi. Sehingga kini makam itu
sering dijengah oleh orang-orang masjid. Sekadar mengintai jika masih ada
apa-apa aktiviti tidak senonoh berlangsung di makam itu. Dan setakat ini tiada
siapa yang merasa terganggu pun walaupun makhluk-makhluk itu terpaksa mencari
makan sendiri semenjak itu.
Perjalanan mereka tiba di sebuah ladang sawit tidak lama
kemudian. Dia lihat Kiah sekadar memandang pokok-pokok sawit di sekeliling
mereka.
“Apa kita nak buat kat sini?” tanya Jeffrey.
“Kume nak tengok, deme ade ke kutip buoh sawit
ni.” Kiah menjawab tanpa memandang suaminya itu.
“Deme tu siapa?” tanya Jeffrey lagi.
“Kume ade upoh due
tige oghang kampung ni suruh jage kebun sawit ni. Kume dapat 30
percent hasilnye. Lebih tu pergi ke deme le..” terang Kiah.
“Baiknya hati kau bagi dia orang sampai 70 percent? Kalau
orang lain tak dapat banyak macam kau bagi tu.”
“Tak ape le..
deme tu ade anok bini, Yop. Cube kamu chop buah sawit ni sekali.. baru
kamu tahu susoh ke senang koje mengechop sawit ni. Kalau oghang tok biase koje ghope ni.. mengangkat
tige tandan aje doh tejelat kamu
dibuatnye. Lagipun sawit ni bukannya hari-hari boleh dipetik. Yang kamu tahu..
tuang aje minyak masak dalam kuali. Kamu tak tahu susoh oghang nak mendapatkan sawit ni,” ujar Kiah biasa.
“Oh..” Jeffrey mengangguk perlahan.
“Besar juga ladang sawit kau ni, Kiah.” Komen itu segera
diberikan Jeffrey setelah agak lama mereka berlegar di dalam kawasan itu.
“Takde beso! 4 eko (ekar) aje. Moh le kite ke depan lagi..” ajak Kiah. Puas hati melihat
sekelilingnya. Bau racun yang kuat menandakan kawasan itu baru sahaja diracun
dan longgokan pelepah-pelepah sawit yang sudah dipotong nampak masih hijau
memaksudkan memang ada seseorang mengerjakan ladang ini tanpa perlu dia
bertanya selalu.
Mereka terus berjalan sehinggalah bertemu dengan lorong
bertar yang menjadi sempadan ladang itu. Di seberang jalan itu sudah tiada
ladang sawit sebaliknya dusun buah. Kiah terus berjalan masuk ke kawasan itu
pula. Dusun itu nampak kemas tanpa semak samun seolah-olah sentiasa dijaga
seseorang.
“Ini pun tanah kau ke?” tanya Jeffrey.
Kiah mengangguk sahaja. Pokok-pokok manggis yang ditanam
berselang dengan pokok durian dan langsat dipandangnya.
“Udoh masak
buah manggis ni, Yop.” Kiah berkata perlahan setelah memerhatikan di bawah itu.
Ada buah manggis yang sudah jatuh ke tanah. Sudah kematu akibat tidak diambil.
Di atas pokok pula rata-ratanya sudah berwarna ungu kehitaman. Sudah cukup
masak.
“Tu.. buah durian pun ada.” Jeffrey memuncungkan mulutnya
ke arah pokok durian terdekat dengan mereka. Banyak buah yang sedang bergayut
menunggu gugur.
“Selalunya kalau manggis berbuoh.. buoh itu pun
ikut le sekali. Habih musim manggis..
die pun gugur.” Kiah sekadar
memandang sekilas.
“Siapa yang jaga tanah ni? Nampak bersih aja?”
“Pak Berahim. Sebelah hulu tu tanah die.. dia tolong jage
sekali tanah ini. Bile ade musim doghoyan, die datang menembok kere
di sini.” Kiah menjawab sambil menunding ke arah sebelah kanan mereka.
“Bestlah duduk kampung ni. Semuanya ada..” ucap Jeffrey
perlahan.
“Ade lee..
kalau kamu rajin menanam pokoknye.
Kalau kamu malah (malas) menanam..
beli le jawabnye! Ini semua arwah aboh kume dengan Pak Berahim yang tanam.
Ada pokok yang doh tue.”
Kiah menoleh ke arah suaminya itu tidak lama kemudian.
“Kamu lalu nak panjat ke, Yop? Kalau lalu.. panjat le. Boleh kamu merase buoh
tu. kalau tok diambik, tupai dengan kere yang makan. Tak pun kematu macam tu
aje lee..”
“Galah takde ke?” tanya Jeffrey agak keberatan.
Pengalaman jatuh pokok kelapa tadi masih segar diingatan. Ngeri dia!
“Tak mandang
(tak ada) galah sini ni. Pokok manggis ni senang aje manjatnyeee..” sambut Kiah meleret. Panjat pokok pun tak
pandai.. huh!
“Okay.. aku cuba. Kau tunggu bawah. Kalau aku jatuh, kau
sambut!”
“Kamu doa gitu..
gitu le kamu dapat nanti. Bace le bismillah dulu. Takde le pokok tu terkejut, tibe-tibe kamu datang peluk die..” sambut Kiah dengan nada
sinonimnya. Meleret!
“Bismillahirrahmanirrahim. Hai, pokok.. izinkan aku peluk
kau sekejap. Aku nak rasa buah kau! Mesti manis buah kau tu.. kan? Tak dapat
peluk tuan pokok.. pokoknya pun jadilah,” ucap Jeffrey sambil menepuk-nepuk
batang pokok yang menggerutu itu.
Kiah mahu tergelak melihat gelagat lelaki itu bercakap
dengan pokok manggis itu. Namun hampir lima minit Jeffrey berada di atas pokok
itu sebiji buah manggis pun tidak diturunkan oleh lelaki itu melainkan kulitnya
sahaja yang jatuh ke bawah.
“Yop, kamu makan soghang
aje ke di atah tu?” teriak Kiah
tidak puas hati.
“Bagi aku kenyang dulu..” ucap Jeffrey selamba.
“Ajenye halobe
sungguh kamu ni!” marah Kiah.
Jeffrey tergelak-gelak diatas pokok itu. Seronok mengejek
Kiah di bawah. Namun akibatnya sebiji manggis tiba-tiba gugur lalu jatuh
betul-betul di tengah kepalanya.
“Aduh!!” hilang serta merta gelak lelaki itu. Pantas
kepalanya digosok.
Kali itu Kiah pula yang ketawa. Buah manggis yang
terpelanting itu dicarinya. Sesudah ketemu dia mengambilnya.
“Yop, ini yang jatuh atas kepale kamu tadi. Kume makan ye? Sedap nampoknye buoh ni bile dah hentam kepale
kamu!” ucap Kiah sambil menyeringai.
“Kurang ajar kau, Kiah.” Geram dengan olah wanita itu,
Jeffrey melonjak-lonjakkan dirinya di atas dahan yang didudukinya. Akibat
perbuatannya buah manggis gugur ke tanah bak titisan hujan.. tidak terkira.
Kiah yang tidak sempat mengelak turut merasai hentaman buah berkulit gelap itu
pada kepalanya.
“Kamu ni jahat bebenor,
Yop!” marah Kiah. Tudungnya ditanggalkan. Getah buah itu sudah berbekas pada
tudungnya.
“Aku nak bagi kat kau.. petik sebiji-biji lambatlah.
Macam tu aja senang. Banyak sikit dapat.” Lelaki itu menjawab selamba. Kemudian
dia terus meniti dahan demi dahan dengan penuh hati-hati untuk turun dari pokok
itu.
Di bawah pokok itu mereka berdua bersila saling
berhadapan. Menikmati rezeki yang Allah beri. Berbual tanpa henti. Saling
mengusik tanpa jemu. Namun antara kedua-duanya langsung tidak sedar keserasian
itu boleh terbina begitu sahaja tanpa paksaan.
Dah kenyang makan.. mereka berdua mencari sumber air
untuk membasuh tangan pula. Kiah mengajak lelaki itu berjalan masuk lebih jauh
lagi ke dalam dusun itu sehinggalah di penghujungnya mereka bertemu dengan
sebatang sungai.
“Tak pernah tahu pulak kat sini ada sungai?” ucap si
Jeffrey sudah mula teruja melihat air yang berwarna sedikit kekuningan itu.
“Kamu tak penoh
berjalan sampai ke sini.. mane kamu
nak tahu.”
Mereka berdua mula turun melalui tebing sehinggalah dekat
dengan gigi air. Kiah sekadar membasuh tangan. Tetapi si Jeffrey mula meranduk
air itu perlahan-lahan sehinggalah tenggelam separas pinggangnya. Air sungai
itu bersih dan sejuk. Bahagian dasarnya beralas pasir. Seterusnya dia terus
menenggelamkan sebahagian daripada tubuhnya.
“Yop! Arusnye laju
tu..” tegur Kiah sedikit bimbang. Arus air itu nampak tenang namun dalam
keadaan air pasang begitu tetap ada bahayanya sementelah airnya menghala terus ke
Sungai Perak.
Namun dalam sekelip mata Jeffrey sudah menghilang
daripada pandangannya. Akhirnya dia duduk sahaja di tepi tebing itu. Hampir
seminit kemudian lelaki itu timbul semula. Terpekik-pekik Jeffrey seronok
benar.
“Jage sikit,
Yop. Ayo tengah banyak tu. Pantang lepe
(lepa).. ke tengah kamu dibawoknye
kaghang..” ucap Kiah bersungguh.
“Seronoknya, Kiah!!!!” Jeffrey menjerit cukup teruja.
“Iye leee..”
jawab Kiah selamba. Macam tak pernah jumpa sungai lagak Jeffrey.
“Jomlah mandi sekali. Best! Air ni sejuk. Jomlah! Alah..
bukannya ada orang nampak pun. Kita aja kat sini,” ajak Jeffrey.
“Eeee.. idok le
kume lalu nak mandi situ. Kamu lalu, kamu mandi leee soghang. Kume nok
hidup lame lagi,” jawab Kiah dengan
mimik muka semacamnya.
Jeffrey yang sedang seronok menyimbah air ke hadapan mula
terhenti. Wajah yang basah diraup dengan tangan.
“Kenapa pulak?? Air ni tak dalamlah..” ucap lelaki itu
hairan.
“Sungai ni waktu boh
(bah) maghen (kelmarin).. ada boye lepah
ke sini! Tebing ini leee.. diamnye boye tu. Mane ade oghang nak mandi sini doh!
Kamu aje keba (kebal) nok mandi situ,” ucap Kiah bersungguh.
Bukannya melawak atau dia mahu mengusik Jeffrey. Tetapi memang benar!
Mata Jeffrey membulat serta merta. Seterusnya seperti
yang dijangka Kiah, lelaki itu terus menggelupur mencari tebing. Buaya???
Ampun! Dia dah sunat.. tak mahu kena sunat dek buaya lagi!
“Kau biar betul? Kau saja nak kelentong akukan?” ucap
Jeffrey dengan dada turun naik. Kakinya dibelek. Syukurlah.. dua-dua masih ada.
“Takde pe halnye
kume nak ngecek kamu. Kamu tok percaye kume kabo.. cer kamu tanye oghang
kampung ni. Semuenyeee.. tak berani!”
ucap Kiah bersungguh.
Jeffrey menelan liur. Air sungai itu dipandangnya lagi.
Nampak macam best! Ada buayalah pulak..
“Jomlah balik, Kiah. Sejuklah..” ajak Jeffrey mula
menurun mood suka rianya.
Mereka berdua memanjat tebing naik semula ke atas.
Dipertengahan jalan itu Jeffrey tiba-tiba menarik Kiah lalu bahu isterinya itu
dipeluknya.
“Yop, lencun kamu ni!”
“Alah.. biarlah kita sama-sama lencun!” jawab Jeffrey
tidak peduli.
“Lepaslah, Yop. Sejuk tangan kamu ni,” dengus Kiah cuba
menolak tangan lelaki itu dari bahunya. Sebaik sahaja tangan lelaki itu jatuh
dari bahunya, dia terus berjalan laju.
Namun belum sempat dia melarikan diri lelaki itu
tiba-tiba menarik tangan Kiah. “Mana kau nak lari ha? Meh sini!”
Kiah menjerit nyaring apabila lelaki itu memeluk dia
tiba-tiba. Jeffrey tergelak seronok.
“Yopppppp!!!” Kiah menjerit di dalam dukungan lelaki itu.
Jeffrey berlari anak sambil mendukung dia di dalam kawasan dusun itu.
“Iyeeee..” sambut Jeffrey separuh mengajuk. Namun pekikan
wanita itu dia tidak peduli. Sehingga dia akhirnya keletihan barulah wanita itu
dilepaskannya.
Tiba di lorong tar tadi Jeffrey menarik Kiah lagi.
“Kita ikut sinilah, Kiah..” ucap Jeffrey sambil matanya
menyelusuri lorong tar itu. Dia sudah dapat mengagak ke mana halanya jalan itu.
“Jauh leee, Yop.
Lagipun situ sunyi. Banyok babi..”
“Takpelah.. kita jalan-jalan sambil tengok permandangan
alam. Jangan risau, aku ada..” Jeffrey segera menarik isterinya itu untuk
melalui lorong itu. Namun setelah beberapa langkah diatur tangan Kiah tetap
tidak dilepaskan lelaki itu.
Kiah terdiam.. diam menahan debar sendiri. Dia tidak tahu
apa maknanya kemesraan lelaki itu kepadanya. Cuma saat ini dia terasa dirinya
cukup dekat dengan seorang lelaki bernama suami. Dan tiba-tiba rasanya
berubah.. berjalan-jalan di dalam kawasan dusun bercampur belukar itu terasa
seperti sedang berjalan di taman bunga nan indah!
9
“Yop, kume nok tanye
kamu sesuatu..” ucap Kiah tatkala mereka berdua sedang menyelusuri lorong
bertar itu berdua sahaja.
Jeffrey yang sedang memerhatikan rumpun buluh di tepi
jalan itu menoleh. Langkahnya terhenti seketika.
“Kiah, rebung banyaklah. Tengok tu..” tegur Jeffrey
lantas menunding ke arah rumpun buluh yang dilihatnya tadi.
“Aik? Kamu tahu tu rebung?” balas Kiah hairan. Dia ikut
memandang ke arah rumpun buluh berwarna hijau itu. Ada anak buluh yang sudah
separas pinggang tingginya.
“Kau ingat aku ni lahir kat London ke? Mestilah aku tahu
itu rebung!” degus lelaki itu tidak puas hati. Memang dia dari bandar. Tetapi
tidaklah semua hal tentang kampung dia jakun!
“Kamu makan ke bende
aloh tu, Yop?”
“Apa pulak tak makannya? Kau tak makan rebung tu?” balas
Jeffrey selamba.
“Susoh nok
ngambeknye tu, Yop. Kalau soghang
tak lalu kume.”
“Aku kan ada?” ucap Jeffrey pantas.
Kiah diam sekejap.
“Buat masok lemok
sedap tu, Yop. Nengok rebung tu, kume
pun dah rase lapor..” ucap Kiah
sambil berpandangan dengan Jeffrey. Macam tahu sahaja apa yang ada di dalam
kepala lelaki itu, Kiah tersenyum spontan. Spontan mereka berdua mendekati
rumpun buluh itu sambil ketawa.
Berbekalkan parang panjang, Jeffrey mula memangkas
pangkal anak buluh. Bak kata Kiah sebentar tadi.. memang tidak mudah seperti
yang disangka kerana pangkalnya ‘berisi’. Berpeluh-peluh dia mengerah tenaga
menghayun parang itu. Sudahnya dia tercungap-cungap. Kiah sudah tergelak
melihat gelagat suaminya. Sudahnya dia membuka baju lalu mengelap mukanya yang
basah kuyup oleh peluh. Dia duduk seketika di sebelah Kiah untuk melepaskan
lelah.
“Tak lalu ke, Yop? Kume doh kabor.. susoh nak ngambiknye!”
“Makan senang ajakan? Masuk mulut.. kunyah-kunyah..
telan! Nak mengambik rebung ni, kena dua pinggan makan baru boleh ambik,” ucap
Jeffrey lebih kepada mengejek diri sendiri.
Kiah tergelak lagi. “Cepat le.. sikit aja lagi tu!”
Mahu tidak mahu lelaki itu bangun juga.
“Malam ni kau kena urut aku!” sempat juga arahan itu
diberikan Jeffrey.
Huh! Kalau macam tu.. baik beli aja rebung di kedai,
jawab hati Kiah sendiri.
Setelah bertungkus lumus akhirnya sebatang anak buluh itu
berjaya juga ditumbangkan Jeffrey.
“Lihatlah dunia.. aku berjaya! Hebat bukan?? Inilah yang
dinamakan gagah perkasa!” ucap Jeffrey cukup bangga. Siap ditunjukkan otot
lengannya yang berbonggol kepada si Kiah. Kemudian dibuatnya aksi macam ahli
bina badan. Menunjukkan otot-otot tubuhnya.
“Hmm.. baru timboi
bonggoi tu, Yop! Semalam mane ade
badan kamu ghope tu. Lenyek aje tak ade berotot. Dah macam apam tak jadi! Sebab
kamu mengambik rebung tu le.. badan
kamu jadi berketui-ketui gitu,” ejek
Kiah bosan melihat gelagat Jeffrey.
“Eh! Cakap baik-baik sikit eh! Semalam pun macam nilah.
Hari ni lagi keras! Sekurang-kurangnya aku ada.. kau tu ada? Cuba tunjuk! Aku
nak tengok kau punya macamana. Entah-entah lagi besar dari aku tak?” balas
Jeffrey. Kemudian dia ketawa galak.
“Malah (malas)
aku nak layan kamu ni!” Kiah menjeling geram. Ada aja olah lelaki itu mahu
mengenakan dia semula.
“Cepatlah, Kiah. Tunjuklah..” usik Jeffrey sambil terus
menyeringai.
“Aku libas jugok
kamu ni dengan batang rebung ni karang. Bior
ngelejat kamu kena miang. Elok lee
kamu ni kena miang tu. Sebab kamu ni pun memang moghonyam!” marah Kiah.
“Alah.. saja nak lari daripada topik perbualanlah tu,”
ejek Jeffrey masih tidak puas mengusik Kiah.
“Huh! Takde mase
kume nak tunjuk ke kamu..” desis Kiah perlahan.
“Okay.. nanti bila ada masa tunjuk ya?” ucap Jeffrey
terus menyeringai lagi.
Kiah sekadar mencebik. Parang dan batang rebung yang
masih belum bersiang itu diambilnya lalu dia mencari satu tempat yang selesa
untuk dia menyiang rebung itu. Jeffrey di belakangnya tidak dipedulikan lagi.
Sedang tangannya lincah menyiang anak buluh itu dia terdengar Jeffrey berkata..
“Dengarlah wahai pokok-pokok semua. Aku nyanyikan lagu
ini khas untuk bini aku nama Ikea. Disebabkan nama dia Ikea.. pasaraya Ikea tu
dah macam aku yang punya!”
Kiah segera menoleh ke kebelakangnya. Lagak Jeffrey
mendepangkan tangan seperti seorang penyanyi terkenal yang hendak mengiburkan
ribuan peminat di hadapannya, benar-benar menggeletek hati kecilnya. Masalahnya
penontonnya yang beribu-ribunya itu ialah pokok! Namun apa yang menyakitkan
hati nama asal Zakiah pada lagu itu sudah ditukar Jeffrey kepada namanya.
Begitu juga sebahagian liriknya.
Ikea..
Ikea.. penari dusun durian ternama..
Ikea..
Ikea.. terpesona aku melihatnya..
Ikea..
Ikea.. aku panggil dia Kiah propa!
Semua
yang melihat.. pasti takkan melupakan bebelannya!
Muka kiah masam kelat melihat Jeffrey bergelek seorang
diri di belakangnya. Dah macam penari kelab dangdut. Jeffrey yang sedang
membelakangkan Kiah juga tidak perasan aksinya sedang diperhatikan Kiah.
Die ni dah kene
sampuk hantu tinggi gamoknye! Dengus
hati Kiah seorang.
Oooo..
aku terpesona nasi lemak..
Goyang
pinggul dan senyumannya.
Serentak itu Jeffrey menggoyang laju pinggulnya ke kiri
dan ke kanan berkali-kali membuatkan Kiah terpaksa menahan lengannya di mulut.
Takut gelaknya menganggu aksi sewel lelaki itu.
Sayang.. lalalala lala.. lalala..
Aku
dah tahu liriknya apa!
Jeffrey menjerit penuh kesyahduah pada lirik yang
terakhir itu. Kiah hanya mampu menggeleng dengan ragam entah apa-apa lelaki
itu.
“Kamu ni doh kenape,
Yop?” tegur Kiah.
Jeffrey berpaling dan tersengih. “Sedap tak aku nyanyi,
Kiah?”
“Kume rase leee..
kamu ni dah kene miang rebung ni gamoknye.”
“Tak baik kau cakap aku macam tu. Aku nyanyi ikhlas untuk
kau. Kecik hati aku ni kalau kau tak puji.” Lelaki itu mencebik sedikit.
“Iye leee..
sedap bebenor kamu nyanyi tadi tu.
Habis mati pokok semue dengo kamu
menyanyi,” jawab Kiah selamba. Kerja yang tergendala disambung semula. Namun
seketika kemudian lelaki itu datang mendekati dia.
“Kamu ni kenape,
Yop?” tanya Kiah tanpa memandang.
“Takde apa-apa..” jawab Jeffrey perlahan. Sisi wajah itu
dipandang seketika sebelum dia memandang tanah di bawah.
“Kiah..” panggil Jeffrey perlahan.
“Ape lagi,
Yop?”
“Boleh tak kau janji sesuatu dengan aku?”
“Kamu nok kabor ape
dengan kume ni?” balas Kiah juga dengan soalan.
“Janji dengan aku.. satu hari nanti kau akan sukakan aku.
Aku ni memang jahat sebab kacau kau dulu tapi aku..” Jeffrey terdiam.
Kiah mula memandang lelaki itu dengan sedikit kerutan di
kening.
“Janji dengan aku, kau takkan pergi jauh dari aku.
Walaupun waktu tu aku dah susah. Takde apa-apa yang tinggal untuk aku.” Jeffrey
meluahkan bicaranya perlahan.
“Kamu ade masaloh
ke, Yop?” tanya Kiah semakin hairan melihat lelaki itu. Tiba-tiba serius pulak.
“Takdelah macam tu. Aku sebenarnya.. emm..” Jeffrey
menggaru kepalanya. Tiba-tiba hilang idea pula dia. Tidak tahu mahu meluahkan
kata bagaimana. Segan pun ada! Melihat Jeffrey agak berat mahu meluahkan bicara
Kiah kembali meneruskan kerjanya.
Sabar, Jeffrey. Perlahan-lahan. Tak lari gunung dikejar!
Hatinya berbisik begitu kala itu. Bimbang apa yang diluahkan bakal merosakkan
suasana damai antara mereka. Sayangnya perasaan halus itu sering menekan
hatinya setiap kali dia memandang Kiah.
“Jom le balik,
Yop. Dah petang benor ni..” ajak Kiah
setelah selesai mengupas kulit rebung itu.
“Besar tu aja ke rebung tu, Kiah?” tanya Jeffrey hairan
melihat rebung yang dipegang Kiah. Tinggal sebesar lengan Kiah setelah dibuang
kulitnya. Sedangkan tadi sebesar betis dia!
“Yang lain tu doh
jadi buluh. Mane lalu nak dikokok (gigit) buluh tu.” Kiah menjawab
sambil memasukkan rebung itu ke dalam bakul botol airnya.
“Yop..” panggil Kiah sekali lagi di pertengahan
perjalanan mereka.
“Ya..”
“Tadi kume nok
tanye kamu sesuatu..”
“Tanya apa?”
“Mok kamu oghang beloh mane, Yop?” tanya Kiah agak
perlahan. Dia sudah tahu tentang ayah Jeffrey tetapi emak lelaki itu dia tidak
berapa tahu. Cuma dia pernah mendengar emak Jeffrey sekampung dengan dia.
“Orang sini..” jawab Jeffrey jujur.
“Maksud kamu orang Kampung Gajoh ni ke? Kampung Gajoh ni banyok kampung.. yang mane satu kamu kabor ni? Apok kamu setahu kume die oghang Kampung Teluk. Dalam mukim Kampung
Gajoh juge tu,” ucap Kiah masih tidak
terjawab persoalan di benaknya.
Jeffrey diam sekejap sambil berfikir sendiri. Kemudian
wanita yang berjalan di sebelahnya itu dipandangnya.
“Rumah arwah datuk aku, aku dah tak berapa ingat di mana.
Kali terakhir kami balik ke rumah tu waktu arwah datuk aku meninggal. Kalau tak
silap aku masa aku darjah 5. Setahu aku mak aku orang Kampung Batu Hampar,”
cerita Jeffrey.
Spontan terbeliak mata Kiah. “Kampung Batu Hampor kamu
tahu ke kat mane?”
Jeffrey sekadar menggeleng.
Kiah tiba-tiba menarik tangan lelaki itu agar
menghentikan langkahnya.
“Sepanjang ini.. ini le
Kampung Batu Hampor!” ucap Kiah bersungguh. Dia menunjukkan arah mereka datang
tadi sehinggalah ke hadapan mereka.
“Kau biar betul, Kiah? Mana ada rumah kat sini? Ni semua
hutan!”
“Ya Allah.. ape
pulok tak betuinye, Yop! Tok
nenek kite dulu diamnye alik sini! Sebab dulu jalan besor Teluk Intan- Kampung Gajoh tu
belum ade! Deme nak pergi Teluk Anson
naik kapai. Sungai yang kamu mandi tadi.. itu le tempat lalunye kapai
tu! Kume cakap betul,” tekan Kiah
bersungguh.
Jeffrey terdiam merenung wajah Kiah. Dia memang tidak
ingat lagi di mana rumah arwah datuk dan nenek sebelah ibunya dahulu. Cuma
seingat dia memang sekeliling rumah itu agak redup kerana banyak poko-pokok
buah.
“Tak mungkin kat sini, Kiah. Kalau betullah kat sini..
mesti rumah pusaka tu ada lagi. Sebab mak aku anak tunggal. Dia pemilik rumah
tu sekarang. kalau mak aku tak suruh orang robohkan rumah tu.. siapa yang
robohkan?” sanggah Jeffrey terus tidak percaya.
“Sape kabor ke
kamu belah baghuh ni tak ade ghomah?
Memang oghang belake tok diam sini doh. Tapi ade lagi ghomah sebijik due belom
ghoboh (roboh). Tak ade orghang duduk dah berpuluh tahun! Warisnye pun tok penghonoh (pernah) balik. Belah hulu sane.. ada sebijik. Itu memang tuannye kume kenal. Die ade ghomah lain kat Kampung Telok. Belah kayor tu ada lagi sebijik. Kume ade
dengor Wan Temah ceghite (cerita)
dengan kume.. tuan ghomah tu namenye kalau tak silap Haji Man. Udoh lame meninggal oghangnye. Bini die
tinggal situ soghang die ajee.. sampai
le die meninggal waktu kume tingkat lime. Die tak mahu pindah sebab sayang
nak ghoboh ghomah arwoh laki die..”
Jeffrey terkebil-kebil mendengar cerita Kiah sambil dia
berfikir sendiri.
“Rase arwoh tu
ade anok soghang. Tapi oghang ceghite.. die tok pengonoh balik
jenguk mok die. Waktu arwoh tu meninggal pun anok die tak mandang. Depan ghomoh tu ade
madrasah. Udoh lame tok berbele madrasah tu. Elok lagi bentuknye.. sampa leee sekaghang,”
cerita Kiah lantas menunding ke arah hadapan mereka.
“Madrasah??” tanya Jeffrey agak kuat. Riak wajahnya
berubah seketika. Di hadapan rumah arwah datuknya dahulu memang ada madrasah.
“Aku nak tengok rumah tu!”
Kiah segera menarik tangan suaminya itu agar mereka terus
berjalan ke hadapan. Lebih lima minit mereka berjalan kaki, Kiah menunjukkan
sebuah madrasah kecil berada betul-betul di tepi sungai. Sudah hampir bertutup
dengan pokok-pokok besar dan cukup usang.
Kaki Jeffrey terhenti di situ. Madrasah itu tidak menarik
perhatiannya sebaliknya dia terpaku memandang rumah usang yang terbiar. Masih
berbentuk seperti sebuah rumah. Namun sebahagian rumah itu sudah dibelit oleh
pokok liar dan sekelilingnya tidak lagi terjaga. Penuh dengan semak dan pokok
besar.
“Ini le ghomah
tu..” ucap Kiah.
Jeffrey tidak menjawab. Ingatannya kembali semula kepada
peristiwa lebih 10 tahun dulu. Salah satu yang membuatkan dia yakin inilah
rumah itu ialah.. penghadang di bahagian tepi rumah itu dahulu dibina daripada
daun nipah. Tempat untuk memandikan jenazah datuknya. Dan binaan itu masih ada
sama seperti yang ada dalam memorinya!
“Nama tuan ghomah
ni.. Haji Man. Bini die name..”
“Opah Chu Kopon orang gelar dia!” pintas Jeffrey sambil
menoleh kepada isterinya itu.
Kiah terpaku memandang tampang suaminya. “Opah Chu tu opah
kamu ke?”
“Haji Man.. nama sebenar Haji Sulaiman. Mak aku nama
Rahimah. Memang dia dah lama tak balik. Tapi bukan salah mama. Papa aku tu
memang suami yang kejam!” Jeffrey terus mendekati rumah usang itu setelah dia
habis berbicara.
Kiah terpaku dan terus terpaku memandang suaminya itu.
Dia tidak sangka.. sepasang suami isteri yang sering dikatakan orang telah
diabaikan oleh anak kandung sendiri setelah berkahwin dengan orang kaya..
itulah emak Jeffrey. Sungguh! Dia tidak sangka! Patutlah orang kampung tidak
suka dengan Megat Iskandar itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan