2
“Kiah! Hey, Kiah! Bangun..” Jeffrey mencuit beberapa kali bahu
gadis itu. Kaku!
“Hoi! Bangunlah!” sekali lagi bahu Kiah dicuit Jeffrey.
Kali ini lebih kuat. Namun Kiah tetap tidak bergerak.
“Eh! pengsan ke mati dia ni?” ucap Jeffrey mula kalut
sendiri.
Alamak.. apa aku nak buat ni? Keluh hati Jeffrey.
Akhirnya Jeffrey nekad mencempung gadis itu lalu
dibaringkan di atas pangkin di bawah rumah itu. Jarinya diletakkan di bawah
hidung Kiah. Sekadar mahu merasa angin yang keluar dari lubang hidung gadis
itu. Tak terasa!
Eh! dia dah mati ke apa? Jeffrey semakin kalut.
Akhirnya dia mengangkat sedikit tubuh Kiah dan dia
tunduk. Walaupun tak tergamak namun dia nekad mahu mendengar degupan jantung si
Kiah dengan sebelah telinganya. Mana tahu sewaktu terkejut tadi jantung si Kiah
sudah tercopot.
Lama Jeffrey melekapkan telinganya ke dada Kiah.
Sayup-sayup sahaja dia terdengar degupan jantung Kiah.
Fuh! Lega.. dia pengsan aja ni, ucap hati Jeffrey yakin.
Seketika kemudian Kiah diletakkan semula di atas pangkin
itu. Dia bangun menuju ke pintu. Pintu rumah itu cuba dibukanya. Sekali tolak
sahaja pintu bahagian dapur itu sudah terbuka luas. Permandangan di dalam rumah
itu sedikit gelap dek kerana lampu tidak bernyala. Kemudian lelaki berusia 29
tahun itu kembali semula kepada si gadis yang sedang tidak sedarkan diri.
Tanpa berfikir panjang tubuh Kiah dicempung lagi untuk
masuk ke dalam rumah oleh si Jeffrey. Tatkala terpandangkan kerusi panjang yang
agak usang, Jeffrey terus meletakkan tubuh Kiah di situ.
“Boleh tahan jugak kau ni. Berat! Berat dosa agaknya..”
bebel Jeffrey tatkala gadis itu dipandangnya.
Sambil menghela nafas perlahan Jeffrey memandang
sekeliling. Suiz lampu dicarinya. Sekejap sahaja ruangan itu terang sedikit
setelah satu suiz ditekannya. Jeffrey kembali semula ke tempat Kiah berbaring.
Tubuh gadis itu diangkat sedikit dan pipi Kiah ditepuknya.
“Woi! Pengsan mati ke ni? Tak sedar langsung. Sedap
sangatlah tu dapat pengsan tak sedarkan diri,” ucap Jeffrey sambil
menepuk-nepuk pipi gadis itu. Kepala Kiah terkulai di dalam pelukannya.
Jeffrey mencuba lagi. Pipi Kiah ditepuknya lagi untuk
menyedarkan gadis itu. Namun Kiah terus begitu. Sehingga Jeffrey terdengar ada
orang memberi salam di pintu dapur.
Jeffrey terus menoleh. Kelibat seorang lelaki berbaju
melayu dan berkain pelikat kelihatan samar-samar pada pandangan matanya. Dengan
penuh hati-hati Jeffrey meletakkan semula Kiah di atas kerusi itu. Lelaki di
hadapan pintu itu didekatinya.
“Waalaikumussalam..”
Lelaki itu memandang Jeffrey dari atas ke bawah. “Kamu ni
sape?”
“Err.. nama saya Jeffrey, pak cik..” Jeffrey menjawab
perlahan. Serba tidak kena rasanya dia dengan panahan mata lelaki tua itu.
“Jeffrey? Tak pernah aku nengok kamu sebelum ni? Kamu anok
sape?” tanya lelaki itu masih tidak
puas hati.
Jeffrey terkedu seketika. Nada agak kasar lelaki tua itu
membuatkan dia gemuruh tiba-tiba. “Saya anak Megat Iskandar..”
“Aku tak kenal sape
Megat Iskandar ni,” jawba Pak Ali pantas.
Jeffrey menghela nafas perlahan. Dadanya mula terasa lain
macam.
“Ayah saya asal dari kampung ni. Tapi kami tak menetap di
sini. Kami menetap di Kuala Lumpur.” Rendah nada Jeffrey menjawab.
Kening lelaki tua itu berkerut merenung wajah Jeffrey.
Tidak puas memandang wajah Jeffrey, dia mula memandang dari atas ke bawah pula.
“Aku ni Pak Ali. Jiran sebelah ghomah ni. Ape kamu buat pade si Kiah tadi?” tanya lelaki itu tajam.
“Takde apa-apa. Saya cuma angkat dia masuk ke dalam. Dia
pengsan,” jawab Jeffrey sambil memandang Kiah di kerusi sana. Kiah masih tidak
sedar.
“Kamu angkat die?
Kenape kamu tak panggil oghang sebeloh? Doh lame kamu kenal Kiah?” tekan lelaki tua mula lantang suaranya.
Jeffrey terkedu mendengar pertanyaan itu. Lain macam
pulak nadanya. Macam sedang menyoal siasat dia aja.
“Tak berapa kenal,” jawab Jeffrey cukup rendah. Ah sudah!
Dadanya sudah berdegup kencang kala ini.
“Kamu tak kenal si Kiah ni? Jadi mane ke gaye kamu boleh masuk dalam ghomah si Kiah ni? Ape
kamu nok datang sini?” pertanyaan
demi pertanyaan tidak putus lahir daripada mulut lelaki tua itu. Kasar!
“Saya.. err.. err..” Jeffrey sudah kalut sendiri. Dia
sudah tidak tahu apa yang hendak dijawabnya.
“Entoh-entoh
kamu ni ade buat bende tak elok pade si
Kiah?” teka Pak Ali pantas.
“Ish! Takde, pak cik. Saya tak buat apa-apa. Sungguh!”
ucap Jeffrey pantas.
“Ate.. yang
kamu ade sini, apa dibuat?” tanya lelaki tua itu agak kuat suaranya.
Jeffrey terkedu. Niatnya mahu mengusik Kiah berakhir
tragedi. Kiah pengsan pula. Sekarang dia pula tertangkap berada di dalam rumah
Kiah.
“Saja je, pak cik..” jawab Jeffrey lantas menggaru
pipinya.
“Ini ghomah anok
dare! Kamu ni sedare ke dengan si
Kiah ni? Ke.. kamu ni boipren si Kiah?”
tempelak Pak Ali terus meninggi. Buntang matanya memandang Jeffrey.
Maghrib-maghrib begini lelaki ini berdua-duaan dengan anak dara. Mahu matanya
tidak buntang?
“Bukan..” Jeffrey menelan liurnya kelat. Dia memanglah
bukan sedara dengan Kiah. Kawan pun bukan.. teman lelaki? Mintak simpanglah!
“Habis tu yang kamu pergi peluk si Kiah tadi tu kenape? Aku perati aje ape kamu buat tadi. Haram kamu nak panggil orang sebelah
ye? Sedap kamu aje memegang anok dare oghang! Kamu ingat ini Kolumpo? Elok panggil tok penghulu kalau macam ni!” getus Pak Ali
tidak puas hati.
Kali ini mata si Jeffrey pula yang terbuntang. Erk!
Panggil tok penghulu? “Eh! tak payahlah, pak cik. Saya dah nak balik ni..”
“Usoh kamu
mimpi maghrib-maghrib macam ni kamu boleh balik. Kamu tunggu sini!” tegas
lelaki tua itu kuat.
“Eh! Tapi nanti saya berdua-duaan dengan Kiah tu pulak. Bahaya!”
jawab Jeffrey semakin kalut melihat lelaki itu nekad mahu menunaikan
kehendaknya mahu memanggil tok penghulu ke sini.
“Sape kabor
kamu tinggal berdue? Aku tunggu kamu
kat sini. Idok le kamu lari nanti!”
“Pak cik ni serius sangatlah. Saya bukannya buat apa-apa
pun pada si Kiah tu. Saya main-main aja tadi. Bagilah saya balik, pak cik..”
Jeffrey sudah semakin kalut. Macama ada ura-ura dia sedang ditangkap basah aja
sekarang ini.
“Kamu tahu kamu kat mane
sekarang?” tanya lelaki tua itu tegas.
“Rumah Kiah..”
“Kampung Gajoh! Kamu nak tengok gajoh naik minyok kat
sini, kamu balik le. Rege minyok naik tak ngape lagi.. tapi kalau gajoh yang naik minyok, tak sempat jejok kaki
kamu ke Kolumpo tu nanti. Ke kubo kamu perginye..” ancam orang tua itu tegas.
“Erk! Saya tak tahu pulak ada gajah kat sini?” ucap
Jeffrey agak lugu. Dia sudah panik. Dahinya berpeluh sendiri.
“Kejap lagi datanglah gajoh naik minyak tu! Kamu sabo aje le..” getus Pak Ali lantas
kembali semula ke rumahnya.
Tidak lama kemudian lelaki tua itu kembali semula ke
rumah itu. Dan tidak sampai beberapa sepuluh minit kemudian datang segerombolan
orang berkopiah belaka. Kiah mula sedar dari pengsannya setelah dibantu oleh
wanita dari rumah sebelah. Mengongoi dia menangis tatkala diberitahu dirinya
telah dicabul oleh Jeffrey.
Kemudian datang seorang lelaki menaiki motor ke rumah
itu. Lelaki itu memakai jaket RELA dan membawa senapang patah. Jeffrey
bertambah cemas. Liurnya seperti tidak mampu untuk ditelan. Mahu terberak dia
rasanya saat melihat lelaki itu datang kepadanya dengan muka menyinga.
“Kamu ke budak kolumpo
tu?” tanya Pak Berahim tanpa menunggu lagi.
“Ye, saya..”
“Ape kamu buat
kat ghomah anak sedara aku ni?” tanya
Pak Berahim meninggi.
“Takde apa-apa. Saya.. err.. err “Jeffrey menelan
liurnya. Takkan dia mahu berterus terang yang dia datang sebab nak mengorat
Kiah? Mahu terus ke kubur dia malam ini dek senapang patah yang tersangkut di
belakang lelaki itu.
Pak Ali terus mencelah dengan ceritanya. Apa yang
dilihatnya diceritakan kepada Pak Berahim tanpa sedikit pun tertinggal.
Ditambah pula dengan cerita si Kiah yang Jeffrey ada menganggu dia ketika di
pekan siang tadi.
“Kamu ade ganggu si Kiah?” tanya Pak Berahim bersungguh.
“Takde! Betul, pak cik! Saya main-main aja tadi. Saya
janji tak ganggu Kiah dah,” ujar Jeffrey takut-takut.
“Habis tu Pak Ali nampak kamu peluk Kiah, ape kebendenye ni? Kamu cabui anak buah aku? Pantang nenek
moyang aku! Kalau kamu tak buat, apa tujuan kamu ade kat ghomah ni? Baik kamu
kabor derah!” tekan Pak Berahim mula
meninggi suaranya.
“Mula-mula saya cuma nak takutkan Kiah. Dia pengsan
tiba-tiba. Saya cuma nak tolong dia..” cerita Jeffrey.
“Kenape kamu
tak panggil jiran sebelah? Pandai-pandai kamu bawak masuk anok dare oghang dalam ghomah. Lepas tu kamu pegang sedap-sedap
kamu aje! Kamu ingat Kiah tu barang free
ke?” bentak Pak Berahim lantang sekali suaranya.
Pak Buyamin selaku ketua kampung hanya mampu menggeleng
melihat Jeffrey.
“Kamu ada nak buat bende
tak elok pada Kiah ye? Sebab kamu
marah apak kamu kahwin lain,” teka Pak Buyamin sedikit lembut nadanya.
Mata Pak Berahim terbuntang memandang Jeffrey. “Memang soh lee.. kamu ni memang dah
cabui si Kiah. Aku tak boleh diam kalau cam
gini, Pak Min. Aku nak panggil poleh
(polis)!” tegas Pak Berahim tidak puas hati.
“Ha? Pak cik, apasal pulak nak panggil polis? Saya
bukannya buat apa-apa pun pada si Kiah tu. Saya tak selera pun!” tegas Jeffrey
agak kuat.
“Apa kamu kabor?
Tak selera? Heiyyyy.. Senapang aku ni selalunye makan tupai. Malam ni merase makan otak ohgang gamoknye..” Pak Berahim mula menarik laras senapang yang
tersangkut di belakangnya.
“Berahim, sabo..
sabo..”
“Aku tak puas hati. Die
ni mengine (menghina) anok sedare aku. Kamu tak kahwin dengan
si Kiah.. aku tembok kamu nanti.
Cakap cepat! Kahwin ke idok?”
tengking Pak Berahim mula naik angin. Laras senapangnya itu diacukannya kepada
orang sekelilingnya. Masing-masing mula bertempiaran menjauhkan diri. Lelaki
itu rupanya yang dimaksudkan gajah naik minyak oleh Pak Ali.
“Pak cik, jangan macam ni. Takkanlah saya kena kahwin
dengan Kiah?” Jeffrey di hadapan lelaki itu mula menggigil.
“Ape yang
jangan? Kamu dah pegang-pegang die,
lepas tu kamu cakap macam tu ye? Kamu
nak main-main sangat. Mari main-main dengan senapang aku ni! Due butir peluru tabur aku dah taruk
dalam ni. Kalau tak cukup, aku boleh tambah lagi!” tempik Pak Berahim. Laras
senapangnya terus diacukan tepat ke arah Jeffrey.
“Sabo, Berahim.
Mati anak oghang tu karang..” Tok
Penghulu kampung itu cuba untuk memujuk walaupun dia sendiri pun ketar
memikirkan senapang itu berisi peluru.
“Aku tak peduli, Pak Min. Bior mati! Dia nak kahwin ke idok
dengan Kiah? Kalau kamu nak tahu, aku ni memang tahu kire sampai tige aje.
Habis aku mengire nanti.. habislah nyawe kamu. Satu.. due..”
Akibat ketakutan melihat baran lelaki tua itu Jeffrey
melutut di hadapan Pak Berahim.
“Ampun, pak cik! Ampun!” Jeffrey hanya mampu menghadang
wajahnya dengan tangan daripada muncung senapang patah itu. Kalau tidak begitu,
mahu berkecai mukanya akibat benda alah itu.
“Kamu jangan main-main dengan aku! Jangan main-main dengan
keturunan aku. Kiah tu anok sedare
aku, kamu tahu? Aku tembak kamu, bersepai pale
hotak kamu tu nanti,” herdik Pak Berahim semakin berapi.
“Tak.. tak.. saya tak main-main dah! Ampun, pakcik! Saya
tak buat dah! Jangan tembak saya, pakcik. Kalau pak cik tembak, macamana saya
nak kahwin?” rayu Jeffrey kalut.
“Kamu nak ke idok
anok sedare aku tu. Kalau idok,
aku tembak kamu nanti..”
“Nak.. nak..” terangguk-angguk Jeffrey yang sedang ketakutan.
“Tahu kamu takut ye?”
“Tahu, pak cik. Jauhkan senapang tu dari saya. Bahaya,
pak cik..” ucap Jeffrey dalam pada dia menggigil sendiri.
“Kamu ingat kamu boleh buat main anak dare kampung ni?
Siap kamu nanti! Pak Min, kahwinkan deme ni! Sekarang!”
Pak Buyamin terkedu memandang Pak Berahim. “Isi borang
dulu..”
“Nikahkan deme
ni dulu. Borang tu semue, esok boleh
isi! Aku walinye! Dengo cakap aku!”
tegas Pak Berahim masih terus berapi memandang si Jeffrey.
“Iye le..”
jawab Pak Buyamin perlahan sahaja. Membantah nanti takut senapang itu makan
otak dia malam ini.
“Tapi sebelum ni saya nak mintak izin pak cik..”
“Izin ape? Kamu
nak panggil mak apok kamu? Pergi panggil
derah!” balas Pak Berahim.
“Bukan pasal tu. Saya nak mintak izin ke jamban. Nak terkencing,
pak cik..” menggigil Jeffrey tatkala memandang lelaki itu. Memang benar dia
mahu terkencing kala ini.
“Ali..” laung Pak Berahim kepada Pak Ali.
“Ape namenye,
Berahim?”
“Aku tok percaye
ke budok ni.. kamu bagi die botoi! Bior die kencin dalam botoi! Padan dengan moke die!”
Jeffrey terkedu hampir tidak mampu bersuara. Kencing dalam
botol aja? Kejamnya pak cik ni...
lawak lawak...
BalasPadambestttttt wooo
BalasPadam