4
“Kiah!!!!!
Ooo.. Kiah!!!!!” laungan yang
cukup lantang itu cukup untuk membuatkan Kiah menghela nafas perlahan.
“Ape le noknye
jantan joghen ni. Aku ni belum pekok lagi..” keluh Kiah seorang diri.
Namun demi mengelakkan rumah itu bingit lagi dia akur untuk
mendapatkan lelaki itu di atas. Namun sebaik sahaja dia sampai ke dalam bilik
mulutnya spontan mengalunkan istighfar. Sesungguhnya dia terasa cukup terancam.
Serangan seksual lelaki ini benar-benar membuatkan dia tidak aman lagi hidup di
dalam rumah peninggalan emak dan ayahnya ini. Jeffrey cukup selamba berseluar
kecik di hadapan matanya. Tuala tadi entah di mana.
“Ape kamu nok ni, Yop?” soal Kiah sengaja
buat-buat tidak pandang lelaki itu.
“Bagi aku baju. Aku takde baju nak pakai ni. Baju semalam
dah masam.” Jeffrey berkata selamba macam tidak ada apa-apa.
“Kamu ni cube le
sopan sikit depan kume ni, Yop..” keluh Kiah tidak senang.
Jeffrey memandang dirinya. Seketika kemudian dia
tersengih.
“Ini tak cukup sopan lagi ke?” tanyanya dalam nada lugu.
Kemudian dengan muka selamba dia meregang getah seluar kecik itu di pinggangnya
dan dilepaskan sehingga terhasil bunyi.. tusss!
Jeffrey tergelak melihat Kiah menggeleng melihat
gelagatnya.
Kiah menghela nafas dalam. Sabo aje leee kume ni.. bisik hatinya sendiri.
“Cepatlah! Aku nak baju..” getus Jeffrey sedikit
mendesak.
“Iye leee..”
jawab Kiah meleret. Dia segera keluar ke anjung rumah. Di bahagian hujung itu
ada terdapat almari lama. Sehelai baju milik arwah ayahnya diambil untuk lelaki
tak senonoh itu. Selesai mendapatkan
sehelai baju dan kain pelekat dia kembali semula ke bilik itu.
“Nah!” baju itu dihulurkan dari ambang pintu.
Namun Jeffrey yang sedang menghadap ke meja solek tidak
mempedulikan huluran si Kiah. Dia sedang sibuk membelek sesuatu.
“Yop, ini baju kamu!” rengus Kiah malas mahu masuk ke
bilik itu.
Jeffrey menoleh. Spontan Kiah ternampak sesuatu di tangan
lelaki itu. Mata Kiah terbuntang. Kad pengenalan dia!!!
“Jangan le usik
barang kume tu.” Kiah masuk juga ke dalam bilik itu dengan niat mahu merampas
kad itu. Namun Jeffrey lebih pantas bertindak menyembunyikan kad itu di
belakangnya. Kemudian dia tergelak seronok.
“Bok le sini harte kume tu!!!!” getus Kiah mula naik
angin.
“Kalau berani marilah dekat dengan aku..” ejek Jeffrey
seronok.
Kiah tidak jadi bergerak. Lelaki itu dipandang tajam.
Turun naik dadanya menahan geram dan marah.
“Kenapa tak mahu dekat aku? Takut?” ejek Jeffrey seronok
melihat wanita itu kalah dengan olahnya. Kemudian kad berwarna biru itu dipandangnya
semula. Dia tergelak.
“Jangan leeee.. bok
sini kad pengenalan kume tu! Heee.. kamu ni nape
le jahat bebenor?? Sakit hati
kume dengan kamu ni, Yop!!” terpekik-pekik Kiah marahkan lelaki itu. Tangannya
dihulurkan mahu merampas kad pengenalan miliknya. Namun gagal.
“Haip! Jangan kacau! Duduk situ diam-diam.” Jeffrey
melepuk tangan Kiah yang cuba mencapai kad di tangannya itu.
“Aku nak tengok nama kau ni..” ujar Jeffrey lantas
memandang semula kad pengenalan milik wanita itu. Kemudian dia tergelak sampi
bergegar bahunya.
“Kenapa lawak nama kau ni? Aku ingatkan nama kau Rokiah
ke.. Zakiah ke.. tapi bukan!” komen Jeffrey lantas tergelak lagi memandang nama
yang tertera di kad pengenalan itu. Satu persatu abjad di dalam nama Kiah itu
disebutnya sambil ketawa.
“Nape kamu gelok?? Ape yang lucu bebenor
dengan name kume tu?” marah Kiah.
“Nama kau sama macam nama shopping mall, kau tau tak? Aku
tak tahu pulak rupanya IKEA ni dah ada cawangan kat sini. Nur Ikea binti Harun.
Nama panggilan Kiah. Memang sama sangat ejaannya dengan IKEA store. Tempat mama
aku beli langsir untuk rumah,” ucap Jeffrey lantas tergelak berdekah-dekah.
Shopping mall dikatanya nama aku! Kurang ajor bebenor si Yop ni! Getus hati Kiah
sebal.
“Mulut kamu ni memang le.. takde insuran!”
“Eh! memang betul pun nama kau sama macam nama IKEA tu.”
Kah..kah..kah.. Jeffrey terus melambakkan tawanya. Sakit
hati Kiah memandang gelagat lelaki itu. Akhirnya kad di tangan Jeffrey itu
dirampasnya dan baju di tangannya pula dihumbannya ke muka Jeffrey.
“Malas aku nak layan kamu ni. Tengin bebenor!” ucap Kiah lantas keluar dari kamar itu.
Terkedu Jeffrey tatkala wajahnya diterpa baju dan kain
pelekat itu. Eleh.. marahlah tu. Gurau sikit pun tak boleh! Ucap hati Jeffrey
sendiri.
Di bawah Kiah menyambung kerjanya menghidang sarapan
pagi. Seteko air kopi cap Che Nah dihidangkan untuk mereka berdua. Usai
berpakaian Jeffrey terus ke tempat makan tanpa perlu dipelawa. Dia sebenarnya
dah lapar benar.
“Hmm.. pandai kau memasak ek?” ucap Jeffrey tatkala
memandang hidangan yang terhidang di hadapan matanya.
Kiah tidak menjawab. Sepinggan nasi goreng di hulurkan
kepada lelaki itu. Kemudian air kopi dituangkannya untuk Jeffrey. Kemudian
barulah untuk dirinya.
Usai membaca doa Jeffrey terus menyudu nasi goreng itu.
Kombinasi antara rasa lapar dan kesedapan nasi goreng si Kiah membuatkan dia
tidak mampu menunjukkan kesopanan tatkala makan. Punya pelahap mamat seorang
ini. Terkedu Kiah memandang lelaki itu.
Selesai memulun sepinggan nasi goreng dia mencapai ubi
rebus pula. Kemudian sedikit kelapa parut bercampur gula itu pula diambilnya.
Terbuntang mata Kiah memandang Jeffrey makan. Macam orang dah setahun tak
makan.
“Aiiii.. lapor
bebenor ke kamu ni, Yop?” tanya Kiah tatkala memandang ubi rebus itu hanya
tinggal 3 ketul akibat dibaham Jeffrey.
“Sedaplah ubi ni cicah dengan kelapa ni. Manis! Nasi
goreng tu kau jangan habiskan. Aku nak repeat
balik kejap lagi,” jawab Jeffrey dengan muka tidak malunya.
Kiah tidak menjawab. Dia meneruskan makan macam biasa.
Takdelah sedap bebenor nasi goreng
aku ni. Ke die tu yang kuat makan? Pelahap! bisik hati Kiah sendiri.
Penghujung sesi sarapan pagi itu Kiah mendapati nasi
goreng di dalam besen biru itu hanya tinggal sesenduk. Selebihnya sudah selamat
dikerjakan Jeffrey. Lelaki itu sudah melepak di luar rumah saat ini. tinggal
dia sendiri mengemas tempat mereka makan itu.
“Elok juge..
takde le membazir nasi aku ni.. ucap
hati Kiah senang.
Sementara menunggu ke jam 10 pagi Kiah mengemas rumah.
Lantai disapunya sehingga bersih. Kemudian dia membasuh baju. Baju Jeffrey ikut
dibasuhnya memandangkan lelaki itu tiada baju lain untuk dipakai nanti.
Ketika dia keluar mahu menyidai pakaian di luar, dia
lihat Jeffrey sedang terbaring di atas pangkin di bawah rumah itu. Tangan
lelaki itu asyik mengusap perut dengan mata terpejam.
“Elok benor le
tu.. lepas kenyang makan, tidor! Penyegan (pemalas)!” rengus Kiah tatkala
melalui tepi lelaki itu.
Jeffrey membuka sebelah matanya mengintai Kiah yang
melenggang dengan bakul kainnya. Bibirnya tersenyum sedikit mendengar ucapan
Kiah sebentar tadi.
Seronok juga ada bini orang kampung ni. Pandai memasak..
ucap hati Jeffrey sendiri. Terlupa sudah dia kepada seseorang di Kuala Lumpur
sana akibat penangan nasi goreng dan ibu rebus si Kiah.
“Yop..” panggil Kiah setelah dia selesai menyidai baju.
“Hmm..” jawab Jeffrey malas.
“Kamu nak makan ape
tengahari nanti?”
“Apa-apalah. Kalau takde apa-apa yang nak dimakan, aku
makan kau..” jawab Jeffrey tanpa membuka mata.
Huh! Menyampoh aku! Getus hati Kiah.
Kiah terus maju ke dalam rumah tanpa berkata apa-apa
lagi. Setelah bakul kain diletakkannya dia terus ke meja telefon.
“Haaa.. Mat!” ucap Kiah setelah talian bersambung. Mat
merupakan ejen ikan segar untuknya setiap hari.
“Kamu hantor ke aku ikan yang paling mahe (mahal).. yang paling besor
sekali! Kalau ada ikan paus.. kamu hantor
aje ikan paus tu ke aku. Sekarang ye?
Lepas tu kamu bagi ikan tu pade jantan yang tengah baring terbolen atas pangkin bawah ghomah
aku. Suruh dia bayor!” ucap Kiah
selamba.
Setelah meletakkan ganggang dia tersenyum sendiri. Ikan
mahal? Dia tahulah siapa yang kena bayar nanti.
Setengah jam kemudian si Mat datang ke rumah itu dengan
motornya. Setelah menongkat motornya dia terus masuk ke bawah rumah tinggi itu.
Dia ternampak seorang lelaki berbaring di atas pangkin seperti yang dikatakan
Kiah.
“Assalamualaikum..” sapa Mat lembut.
Jeffrey terus bangun sambil menggosok matanya.
“Waalaikumussalam..”
“Ini heee..
Kiah suruh hantor ikan. Dia suruh aku
bagi ke kamu. Semuenye 380 rengget, 5 kupang, 5 duit!” ucap si Mat
kepada Jeffrey.
“Ha? Berapa?” ucap Jeffrey sedikit terpinga. Ikan di
dalam plastik itu disambutnya juga.
“380 rengget, 5
kupang, 5 duit!” ulang Mat.
380 ringgit, 5 kupang, 5 duit?? Hati Jeffrey menyebut
semula amaun itu. Ikan apa sampai 380 ringgit? Ada 5 duit pulak kat belakang. 5
duit tu apa? Jeffrey menggaru kepala tanda tidak faham. Dia bukannya fasih
benar bahasa orang tempatan.
“Sekejap ya? Saya nak ambil dompet kat dalam.”
Beberapa helai note 50 ditariknya dari dompetnya.
Kemudian dia terus kembali kepada si Mat. Duit itu diberikan kepada Mat.
“5 duit lagi tu kire
halal le yee..” ucap Mat selamba.
Jeffrey termanggu sekejap sebelum mengangguk. Baki wang
ditangannya dipandangnya lama. Setelah si Mat berlalu bungkusan ikan itu dibawa
masuk lalu diberikan kepada si Kiah.
“Mahal betul ikan kau beli. Selamat duit aku!” rungut
Jeffrey sambil menjeling kepada isterinya itu.
“Kamu kan tetamu. Takkan le aku nak masakkan kamu ikan kembung rebus dengan pekasam,” jawab
Kiah selamba. Ikan itu dibeleknya. Ikan jelawat rupanya. Padanlah mahal. Padan moke kamu, Yop!
“Ikan apa tu? Dua ekor sampai beratus-ratus??” tanya
Jeffrey ikut memandang ikan yang dipegang Kiah.
“Ikan jelawat. Masak tempoyok
sedap ni. Menjilat kamu nanti..” jawab Kiah biasa.
Jeffrey menggeleng sambil memandang isterinya itu. Kalau
dah sampai banyak itu harganya, kalau tak sedap pun kenalah menjilat juga
sampai habis!
“Dahlah! Masak sedap-sedap. Kalau tak sedap, siap kau!”
getus Jeffrey malas mahu memanjangkan hal itu.
“Iye lee, Yop.
Kamu pergi duduk depan. Tahu le kume
nak ngojekan ikan ni,” jawab Kiah
meleret.
Jeffrey kembali semula ke tempat tadi. Seronok pula
melepak di situ. Sejuk aja rasanya bahagian bawah rumah itu. Namun lama
kemudian dia mula bosan sendiri. Tak tahu apa nak dibuatnya.
Akhirnya dia kembali masuk ke dalam. Terpandangkan Kiah
yang sedang sibuk di dapur, tiada lain yang melintas di otaknya. Mahu mengacau
Kiah!
Jeffrey mula terhendap-hendak memerhatikan Kiah. Entah
apa dibuat oleh wanita itu, ralik benar. Sebaik sahaja sampai ke belakang Kiah
dia segera menyergah siap dengan tepukan di bahu.
“Hoi!!”
“Oi, ubat kuat kamu ade dalam tin biskut!!!” spontan Kiah
melatah akibat dikejutkan Jeffrey begitu.
“Haaa.. aku dah tahu dah kat mana kau sorok ubat kuat.
Tin yang mana satu? Cepat bagitahu aku!” Jeffrey segera memandang sekeliling. Mencari
tin yang dikatakan oleh si Kiah. Sekejap sahaja matanya sudah terkesan sebuah tin
biskut besar berada di atas almari.
“Aku dah nampak dah!” ucap Jeffrey seronok.
“Kamu jangan usik tin tu. Itu khazanah kume tu!” tegah
Kiah pantas.
“Argh! Aku tak peduli. Siap kau lepas ni, Kiah. Aku nak
makan ubat kuat tu banyak-banyak!” ancam Jeffrey lantas pergi ke arah almari
yang berada di ceruk dapur itu. Kiah sudah pucat memandang Jeffrey menuju ke
arah itu.
“Kamu jangan usik tin tu, Yop!” marah Kiah.
Jeffrey sekadar tersengih-sengih memandang Kiah. Tegahan
Kiah langsung tidak mengecutkan perutnya. Malah sengaja dia tersengih menunjukkan
riak kemenangan setelah berjaya mendapat tahu lokasi Kiah menyimpan jamu pasak
arjunanya itu.
“Kat sinikan kau simpan? Kan? Kan?” tanya Jeffrey sambil
menyeringai menunjukkan tin berwarna emas itu.
“Tak de manenye
aku nak letak kat situ. Kamu jangan cekuh
tin tu. Berat tu, Yop! Timpe kaki kamu..
seminggu berdengkot kamu berjalan!” tegah Kiah serius.
“Argh! Itu alasan kau aja. Aku tahu kau tak mahu aku
tengok apa ada dalam tin ni kan?” balas Jeffrey selamba. Dia menjingkit sedikit
untuk mencapai tin itu. Memang berat bak kata Kiah. Bukan alang-alang!
“Mak ai.. banyak ke jamu pasak arjuna tu sampai macam ni
sekali beratnya?” keluh Jeffrey seorang diri. Digagahkan juga mengangkat tin
biskut itu. Setelah berjaya dialihkan dari atas almari, tin itu terpaksa
dipeluknya sebab memang berat!
Namun tatkala dia mahu meletakkan tin itu, malang sungguh
tidak berbau. Tin itu terhempas di atas lantai dan paling malang sekali dia
tidak sempat melarikan kakinya. Akibatnya bucu tin itu terhempas elok di atas
ibu jari kakinya.
“Huwaaaaaa!!!!!” Jeffrey meraung cukup kuat sebagai
reaksi pertama.
Spontan Kiah menekup mulut memandang Jeffrey yang
menggelupur memegang kakinya. Meraung-raung lelaki itu menahan sakit.
“Adoiiii.. mak oi! Sakitnya. Apa kau letak dalam tin tu?
Batu ke?? Adoii, Kiahhhhh…” berair mata Jeffrey menahan sakit. Ibu jari kakinya
hanya mampu dipegang.
“Idok le batu..
duit syiling kume penuh dalam tu,”
jawab Kiah tanpa mahu mendekati lelaki itu.
“Duit syiling?? Penuh?? Dalam tin sebesar itu kau letak penuh
dengan duit syiling?? Mama.. putus kaki Jeff ni, mama..” jerit Jeffrey semakin
kuat. Kemudian dia menggelupur lagi. Ibu jarinya sudah kebiruan ditimpa tin
biskut itu.
“Iye le.. itu
tabung suit syiling kume. Kume dah kabor
jangan usik, kamu pergi cekuh juge. Oghang biyut (degil) itu le dapatnye. Nasib kamu le, Yop! Kume dah kabor itu khazanah kume. Kamu nok juge cari penyakit!” jawab Kiah
selamba.
“Diamlah!!!” jerkah Jeffrey sakit hati. Sudahlah ubat
kuat yang diidam-idamkan dia tak jumpa. Kakinya pulak birat akibat tin yang
berat terlampau-lampau itu.
“Aduii.. macamana ni? Sakitnya, Kiah. Tolonglah aku ni..”
mengongoi Jeffrey tatkala memandang ibu jari kakinya. Lembik semacam.
Entah-entah dah hancur tulang temulangnya!
“Ish! Takde pe
halnye kume nak tolong kamu. Mane le
kume tahu. Kamu yang cari penyakit..” jawab Kiah selamba.
“Kau ni memang kejamlah, Kiah! Kejam! Kejam!” getus
Jeffrey tidak puas hati. Kiah hanya buat selamba sahaja. Tak mahu membantu dia.
Heee.. aku tengah sibuk ni, itu le macam-macam halnye! Saje nak
menyusahkan aku.. rengus hati Kiah sendiri.
Kiah segera pergi ke meja solek lama yang terperuk di
satu sudut. Di atas meja solek itu terdapat beberapa botol minyak. Botol minyak
gamat diambilnya bersama dengan kapas dan kain perca.
“Itu le kamu ni
jahat bebenor. Kan Tuhan dah balas ke
kamu..” bebel Kiah.
Dengan sekadar rawatan awal, Kiah membantu lelaki itu.
Minyak gamat itu dilumurkan pada ibu jari Jeffrey. Kemudian kawasan itu ditekap
dengan kapas kemudian dibalut dengan kain perca.
Jeffrey hanya diam membiarkan Kiah merawat kakinya.
Denyut pada ibu jarinya sudah semakin mencengkam. Berpeluh-peluh dahinya
menahan sakit.
“Siap! Kut sakit bebenor,
kamu pergi aje le ke klinik di pekan nun..” ucap Kiah sebelum bangun dari situ.
Tanpa berlangah lagi dia terus menyimpan semula minyak gamat yang digunakan
tadi. Dia harus ke dapur untuk menyudahkan kerja masak memasaknya.
Macamana aku nak balik KL dengan kaki aku macam ni? Kena pakai
seliparlah pergi kerja kalau macam ni. Sakit pulak tu.. bisik hati Jeffrey
sendiri.
Ironinya.. kalau tadi dah nak mati benar lelaki itu.
Namun tatkala menghadap nasi berlaukkan masak asam tempoyak ikan jelawat yang
mahal harganya itu. Sakitnya hilang serta merta!
“Sedapnya, Kiah. Kau ni kalau bab memasak memang
terbaiklah,” seru lelaki itu. Kuah asam tempoyak itu dihirup berkali-kali.
“Kamu tu.. taik
itik tu kalau kume masak pun kamu kate
sedap!”
Spontan Jeffrey memandang isterinya itu. Taik itik nak
dimasaknya untuk aku? Kurang ajar betul mulut perempuan seorang ini!
5
Tatkala Toyota Alphard itu berhenti di hadapan rumah itu,
jiran-jiran mula menjenguk. Jeffrey tidak perasan. Dia sibuk memandang ke arah
rumah Kiah. Pintu rumah itu bertutup sahaja. Motor yang selalu digunakan Kiah
juga tiada di bawah rumah itu.
Jeffrey memutuskan tidak segera masuk. Dia lepak seketika
di bawah rumah itu menanti Kiah pulang. Namun tidak lama kemudian datang
seorang remaja lelaki ke rumah itu.
“Abang Jeffrey..” ucap remaja itu.
“Ya..” Jeffrey yang baru sahaja berbaring di atas pangkin
itu bangun semula.
“Pak Berahim panggil ke ghomah die..”
“Ada apa?” tanya Jeffrey lantas mengerut kening.
“Tak tahu. Aboh
kume bagitahu kejap tadi. Pak Berahim nelepon
ke ghomah pesan suruh ke ghomah die,” jawab remaja itu lembut.
Jeffrey diam. Nak pergi ke tak ek? Karang kalau aku tak
pergi dia datang sini bawak senapang panjang dia tu. Naya aku kat sini.. Jeffrey
menghela nafas perlahan. Remaja yang masih termanggu memandang wajahnya
dipandang semula.
“Rumah Pak Berahim tu kat mana? Kamu tahu?” Jeffrey
bertanya biasa.
“Tak jauh. Depan ghomah
die ade madrasoh lame. Udoh nak
runtuh ghope madrasahnye. Madrasah tu alik darat nun. Sebelah madrash tu ade reban kamben. Jalan
kaki pun boleh..” jawab Tam lantas menunding ke arah seberang jalan besar di
hadapan rumah itu.
Jeffrey mengangguk perlahan.
“Yalah.. kejap lagi abang pergi sana. Kamu tahu kak Kiah
ke mana?” Jeffrey menyambung dengan pertanyaan itu kepada si Tam.
“Die pergi
berjual le gamoknye. Dari tadi lagi dah
keluornyee..”
Jeffrey mengangguk perlahan. “Yalah.. terima kasih ya?”
“Sama-sama. Kume balik dulu ye?” balas Tam lembut.
“Yalah..”
Jeffrey bangun agak malas untuk pergi ke keretanya
semula. Sebuah helaan nafas dilepaskan setelah dia masuk ke dalam keretanya.
Baru sekejap kakinya dapat berehat daripada menekan pedal minyak sepanjang
perjalanan dari Kuala Lumpur ke daerah ini. Kini terpaksa lagi memandu. Dia
sudah letih.
Tegak leher Jeffrey mencari madrasah yang diperkatakan
oleh remaja sebentar tadi.
“Sebelah darat tu sebelah mana sebenarnya? Isy! Susah
jugak kalau tak faham ni,” ucap Jeffrey sudah mula pening. Dia berhenti
seketika di tepi jalan.
“Emm.. hulu tu sana,” ucap Jeffrey lantas menunding ke
hadapan.
“Kayor tu
belakang sana. Baruh tu sana..” jarinya ditunding ke sebelah kirinya.
“Darat tu sanalah agaknya. Tadi budak tu tunjuk arah
sana..”
Jeffrey terus memandang sebelah kanannya. Mencari
madrasah yang diucapkan oleh remaja itu. Dan matanya segera terpandangkan
sebuah madrasah yang sudah usang cukup dekat dengan tempat dia berhenti. Berada
di seberang jalan besar itu bersama sebuah reban kambing yang diperkatakan oleh
remaja itu tadi. Jeffrey memandu ke hadapan lagi. Setelah itu dia segera
membelok masuk ke kawasan rumah berhadapan dengan madrasah itu.
“Assalamualaikum..” ucap Jeffrey setelah keluar dari
kereta.
Temah menjenguk ke luar. “Waalaikumussalam. Aboh mu.. ni
si Jepri datang ni,” laung Temah pekat dengan loghat Peraknya ke dalam rumah.
“Masuk le,
Jepri.” Pelawa Temah mesra.
“Takpelah, mak cik. Sini aja..” jawab Jeffrey lantas
pergi ke pangkin kecil di bawah rumah lelaki itu.
Seketika kemudian wajah Pak Berahim muncul di situ.
Sedikit pun dia tidak mahu tersenyum kepada Jeffrey. Kemudian Temah pula datang
dengan air yang baru dibancuhnya.
“Aku ingat kamu udoh
lupe jalan nak ke kampung ni,” perli Pak Berahim setelah duduk sedikit
jarak daripada Jeffrey.
Jeffrey menoleh sekilas kepada lelaki itu. “Saya sibuk,
pak cik..”
“Kiah kabor
dengan aku, kamu langsung takde nelepon
die. Sibuk bebenor kamu sampai
tak lalu nak nelepon si Kiah,” balas
Pak Berahim tidak percaya langsung dengan alasan Jeffrey.
Jeffrey diam dengan muka toya. Nak telefon macamana. dia
lupa nak ambil nombor telefon Kiah sebelum ini. Nombor telefon rumah si Kiah
pun dia tak tahu. Telefon bimbit? Rasanya Kiah takde telefon bimbit. Dia tak
pernah nampak Kiah ada memegang gadget seumpama itu.
“Kamu memang saje
buat ghope ni, iye?” ucap Pak Berahim
mencelah kebisuan Jeffrey.
“Buat apa?” balas Jeffrey tidak faham.
“Kamu saje biorkan
Kiah macam tu aje. Aku takde dengor
kamu pergi daftar nikah kamu ni kat pejabat ugame.
Tok penghulu pun dah bising ke aku! Kalau aku tahu kamu ni cucu arwah Megat
Terawih, aku tak kahwinkan Kiah dengan kamu!” Pak Berahim menjawab dengan suara
lantang.
“Apa kena mengena hal ni dengan datuk saya pulak?” tukas
Jeffrey tidak senang.
“Kamu tak tahu ye?” ucap Pak Berahim dengan sedikit
sengihan di bibir.
“Tahu apa?” tanya Jeffrey pantas.
“Sape Megat
Terawih tu kat sini. Kamu nak tahu, kamu balik tanye dengan mok kamu!”
tegas Pak Berahim dalam nada lantang.
Jeffrey diam lagi. Temah sekadar memandang dua lelaki itu
berbual.
“Aku dengor apok
kamu tu kahwin lagi, iye? Aku ade dengor orang Kampung Telok ceghite.. apok kamu selalu balik ke
sini. Diamnye nun.. di Changkat Lade.
Ghomah abang die..”
Jeffrey terus mendegus apabila perihal ayahnya pula yang disebut
Pak Berahim.
“Tak tahu! Tanyalah dia sendiri. Tak pun tanya Kiah. Kiah
tahu!” rengus Jeffrey tanpa memandang. Semakin baran Pak Berahim melihat
gelagat Jeffrey. Biadap!
“Kiah tahu ape? Cer
kamu ceghite ke aku ape yang Kiah tahu pasal sejarah keluarge kamu ni!”
Jeffrey segera memandang bapak saudara isterinya itu
dengan pandangan tajam.
“Sejarah apa pulak, pak cik? Kita bercakap pasal saya
dengan Kiahkan? Apa kena mengena dengan sejarah keluarga saya pulak?” ujar
Jeffrey mula mengeluarkan nada tidak puas hati.
“Kamu pergi tanye dengan
mak kamu. Kamu dengor sini.. kamu buat
naye ke anak sedare aku tu, dunia akhirat aku tak akan maafkan kamu, Jeffrey!”
jerkah Pak Berahim dengan dada turun naik menahan sakit hati kepada menantu
saudaranya itu.
Jeffrey hanya buat muka lugu tanpa jawapan.
“Aboh mu..
jangan le asyik maghohkan si Jepri ni lagi. Kan die
dah balik nu. Die nak ambik si Kiah le
tu gamoknye. Kan Jepri? Kamu nak bawok Kiah ke Kelumpo kan?” ucap Temah cuba mendamaikan dua lelaki itu. Juga mahu
menyedapkan hati sendiri yang dihambar gusar selama ini. 2 bulan Jeffrey
meninggalkan Kiah di sini begitu sahaja, dia takut Kiah dianiaya suami sendiri.
Jeffrey hanya mengangguk sahaja tanpa memandang dua
manusia itu.
“Heee.. kamu dengan apok
kamu tu same aje! Tok gune sesen!
Suka buat naye ke oghang pompuan! Elok bebenor le
kamu ni berbinkan Megat Iskandar tu!” rengus Pak Berahim masih tidak mampu
menahan sabar. Kepalanya digelengkan kesal.
Jeffrey menoleh dengan sorotan mata tajam kepada bapa
saudara isterinya itu. Pantang betul dia disamakan dengan ayahnya itu.
Hakikatnya tak sama! Walaupun secara tidak sedar memang pun dia sama sahaja
dengan Megat Iskandar itu. Mempermainkan Kiah tanpa belas kasihan.
“Saya tak macam papa saya tu, pak cik. Jangan samakan
saya dengan dia!” tegas Jeffrey serius.
“Iye? Kamu ingat aku tak tahu ape kamu buat ni? Kamu tak
balik, kamu tak telefon die. Kamu kabor kamu tak same macam apok kamu tu..
aku nak tengok kamu pergi daftar nikah kamu esok!!” tekan Pak Berahim cukup
keras.
“Jepri, Kiah tu tak ade sesape
lagi selain kami ni. Sekarang ni die ade kamu..” pujuk Temah lembut kepada
anak muda itu.
“Kamu tak kesian ke.. ke die tu?” tanya Temah lembut.
Jeffrey diam sahaja tanpa jawapan. Ujaran Temah mula
membuatkan dia merasa serba salah. Akhirnya dia tunduk sahaja merenung pasir
halaman rumah itu.
“Kiah tu baik oghangnyeee,
Jepri. Mulut die aje yang banyok ghope tu. Tapi die tu tak pernah nak menaye ke oghang..” ucap Temah lagi dalam nada rendah.
“Saya tahu, mak cik..” jawab Jeffrey sambil memandang
Temah sekilas.
“Kamu jage le die
baik-baik, iye? Jangan buat naye ke die. Wan mintak sangat ke kamu
ni. Jangan sakitkan hati Kiah.” Semakin rendah nada Temah memohon belas ihsan
kepada anak muda itu.
“Kamu tak mahu ke Kiah tu.. kamu cegha (cerai) aje! Aku pun tak sior
nok bermenantukan keturunan Megat
Terawih! Bior Kiah takde berlaki sampa ke tue! Bior aku membele die
dari lepah ke kamu!” degus Pak
Berahim kesat.
“Kenapa dengan keturunan Megat Terawih. Hina sangat ke
keluarga saya ni, pak cik?” balas Jeffrey agak tajam. Sakit hati apabila
keluarganya terus dibabitkan dalam hal dia dan Kiah.
Pak Berahim menoleh dengan pandangan mencerlang. “Kamu
nak tahu benor, sini aku bagitahu
kamu. Tok jantan kamu tu, apok kamu
dengan Megat Tajuddin tu.. semue
orang sini tak suke! Kamu nak tahu sebabnye.. kamu tanye mok kamu ape sebabnye.
Die tahu benor nape apok kamu tu keluor
dari kampung ni dulu. Deme semue ade
sejarah buruk kat sini. Sebab tu apok kamu tu lame tak balik sini. Megat Tajuddin tu dapat jadi YB kat sini pun
sebab Ngah Talib tu ipor die!” jelas
Pak Berahim agak lantang suaranya.
Jeffrey terdiam seketika memandang Pak Berahim dengan
kerutan di kening. Jadi apa kena mengena semua ini dengan mamanya?
“Udoh le tu, aboh mu. Hal lame.. deme ni tak tahu,” pujuk Temah kepada suaminya itu.
“Huh! Perangai deme
same sampa ke anok cucu deme! Kalau aku tahu die ni cucu Megat Terawih, aku tak
kahwinkan deme ari tu!” tegas Pak
Berahim dengan mata mencerlang kepada isterinya pula.
“Mak cik, saya balik dululah..” ucap Jeffrey sudah tidak
sanggup berada di situ untuk terus mendengar lelaki tua itu menghina
keluarganya. Hatinya sakit tidak terucap.
“Isy! Minum le
dulu, Jepri. Wan dah buat ayor untuk
kamu tu..” pujuk Temah cuba menahan anak muda itu.
Melihat kelembutan Temah, Jeffrey tidak sampai hati mahu
menolak. Cawan kopi yang dihulurkan oleh wanita itu diambilnya juga. Setelah
itu dia segera meminta diri. Menyampah mahu memandang wajah ketat Pak Berahim.
Lelaki itu juga tidak ditegurnya.
Setiba di rumah dia ternampak motor Kiah sudah ada di
bawah rumah. Jeffrey terus masuk ke rumah setelah memberi salam. Kiah terkejut
melihat Jeffrey muncul tiba-tiba di ruang dapurnya itu.
“Bile kamu
sampai, Yop?” tanya Kiah hairan.
“Tahun lepas!” jawab Jeffrey agak kasar. Kiah dijelingnya
akibat sakit hati yang masih bersisa dari rumah Pak Berahim sebentar tadi. Baru
balik dah kena marah!
Kiah terdiam memandang wajah ketat suaminya itu. Akhirnya
dia memilih untuk membancuhkan secawan air kopi untuk suaminya itu. Air itu
dihidangkan kepada Jeffrey yang duduk lepak di hadapan tv kecil tidak jauh dari
kawasan dapur itu.
“Air je? Kuih muih mana?” tanya Jeffrey dalam pada
wajahnya terus mengetat.
“Mane le kume
tahu kamu nok balik. Takde le kume buat kuih.” Kiah menjawab
rendah.
Jeffrey diam. Air itu tidak disentuhnya. Kiah pula terus kembali
ke dapur. Melihat Jeffrey pulang dia memutuskan untuk memasak sesuatu untuk
lelaki itu.
Puas termenung melayan hati yang sakit, Jeffrey menghirup
juga kopi bancuhan si Kiah itu. Kemudian dia memandang gelagat Kiah di dapur
itu. Akalnya sudah terencana sesuatu semenjak tadi.
“Hari Ahad ni kau ikut aku balik ke KL.” Jeffrey berkata
agak kuat dari tempatnya kepada si Kiah di dapur.
Kiah menoleh seketika. Perlahan dia menganggukkan
kepalanya. Akur dalam pada dia tidak memiliki kepastian untuk apa Jeffrey
mengajak dia ke sana. Tinggal di mana? Itu juga dia tidak tahu.
Hahahahahahahahahahua ! Besttttt
BalasPadam