12
“Hai.. lama tak nampak?” tegur satu suara lunak.
Jeffrey menoleh. Paras seorang perempuan berambut sedikit
keperangan segera terhias di matanya. Wanita itu sedang melenggang
mendekatinya.
“Cuti..” ringkas sahaja jawapan Jeffrey sambil kembali
memandang ke hadapan. Lif masih belum terbuka.
“Lama cuti? Selalu pagi-lagi I nampak you kat bawah ni.
Tapi dah seminggu I tak jumpa you. Ada apa-apa ke?” wanita itu bertanya lagi.
“Cuti.. emm..” Jeffrey menggaru pelipisnya seketika
sebelum memandang semula raut wanita itu. Wanita bernama Diana itu dikenalinya
saat pertama kali dia ditukarkan ke sini beberapa bulan dulu.
“Cuti kahwin.”
“Serius?” spontan mata Diana membulat memandang lelaki
itu.
Jeffrey sekadar mengangguk tanpa memandang. Lif di
hadapan sudah terbuka. Tanpa mempelawa Diana dia terus masuk. Diana ikut
menempatkan diri di ruangan yang sama dengan beberapa kakitangan lain.
“Tak ajak pun ya? Tahu-tahu dah selesai,” ucap Diana agak
perlahan. Angka 35 ditekan dan Jeffrey menekan angka 33. Seketika kemudian nafas
dihela perlahan. Buang masa aja dia menegur. Suami orang rupanya!
Jeffrey sekadar diam buat-buat tidak dengar. Wangian
wanita itu dirasakan cukup kuat mendera deria baunya. Mudah sahaja lelaki
seperti dia menjadi rapuh jika terlalu membiarkan wanita seperti Diana
mendekati dirinya.
Diana terus sebal melihat lelaki itu terus buat tidak
tahu sehinggalah mereka terpisah mengikut haluan masing-masing.
Jual mahal! Buat penat aja aku tackle dia.. last-last
minah lain yang sambar! Desis hatinya meluat.
Awal pagi itu dia sudah dihadapkan dengan mesyuarat yang
memakan masa berjam-jam lamanya. Dalam tempoh itu matanya kerap memandang jam.
Fikirannya pula kerap terbang mencari seseorang di rumah. Entah apa dibuat oleh
Kiah sekarang ini.
Namun dek kerana kerja yang sedang bertimbun di pejabat
setelah seminggu dia bercuti hanya setelah jam menunjukkan ke angka 4 petang
barulah Jeffrey dapat menelefon isterinya di rumah. Sayangnya panggilannya
tidak bersambung. Kali ke tiga dia cuba memanggil masih lagi dengan nada yang
sama. Panggilannya tidak dapat disambungkan.
“Takkan aku salah save nombor kut? Apasal tak dapat pulak
ni?” tanya Jeffrey seorang. Lama dia memandang telefonnya. Tak mungkin salah
simpan nombor kerana sebelum ini dia sendiri yang membuat panggilan kepada telefonnya
melalui telefon bimbit isterinya yang baru dibeli petang semalam.
“Habis bateri kut?” kata-kata itu diluahkan sekadar untuk
menyedapkan hati sendiri.
Namun dek kerana hati sudah tidak keruan waktu yang
berlalu dirasakan cukup lambat. Kalau boleh dia mahu segera pulang ke rumah.
Jam 6 setengah petang itu Jeffrey tiba di rumah. Salam
yang diberi tidak disambut sesiapa. Rumah itu sepi sahaja.
“Kiah..” laung Jeffrey dari ruang tamu. Dia menganggap
mungkin Kiah di dalam kamar tidur. Namun laungannya tidak bersambut juga.
Akhirnya dia melajukan langkah ke dalam kamar. Sayangnya tiada bayang Kiah di
dalam kamar itu.
Dalam keadaan hati sudah tidak sedap Jeffrey mencari
isterinya di semua bahagian di dalam rumah itu. Namun Kiah tetap tidak
kelihatan.
“Mana pulak dia pergi!” dengus Jeffrey sendiri.
Di dalam kamar tidur mereka Jeffrey melihat ke dalam
almari. Pakaian Kiah masih ada namun dompet isterinya tiada. Melihat itu
Jeffrey terus keluar semula. Pintu rumah dikunci semula dan dia turun ke
tingkat bawah.
Di bawah dia terserempak dengan jiran hadapan rumahnya.
“Baru balik ke?” tegur wanita awal 40-an itu ramah.
“Nak keluar semula ni. Saya nak tanya akak ni. Akak ada
nampak sesiapa keluar dari rumah saya tak tadi? Perempuan.. ada nampak?” tanya
Jeffrey agak kalut.
“Ha’ah.. nampak. Petang tadi. Perempuan muda. Dia turun
sekali dengan akak ke bawah. Akak nak tegur tapi segan pulak. Dia orang gaji
kau ke?” balas Kak Sali bersungguh.
“Bini saya! Bila akak nampak dia?”
“Oh.. itu bini kau ke? Lah.. manalah akak tahu. Bila
pulak kau kahwin ni?” tekan Kak Sali terkejut.
“Akak nampak dia keluar ke mana tadi? Pukul berapa akak
nampak dia keluar?” tanya Jeffrey tanpa melayan soalan jirannya itu.
“Pukul 2 dekat pukul 3 macam tulah. Waktu akak drive
keluar tadi akak nampak dia berjalan kaki kat depan stesen LRT tu. Nampak macam
dia nak pergi PJ State. Kenapa? Hilang ke?” tanya Kak Sali bersungguh.
Jeffrey menggeleng seketika. “Dia tak balik lagi.
Takpelah, kak.. saya nak pergi cari dia dulu ni. Kalau akak nampak dia balik
rumah tolong call saya ya?” ucap Jeffrey sambil memandang sekeliling. Ramai
penghuni sedang berlegar di bawah itu. Masing-masing baru pulang kerja.
“Yalah..” Kak Sali hanya memandang langkah Jeffrey.
Memandu ke arah PJ State dalam waktu-waktu begini tidaklah
mudah walaupun sebenarnya jaraknya teramat dekat. Namun kesesakan jalan memberi
peluang kepada Jeffrey melihat sekelilingnya. Ramai manusia sedang bertali arus
di tepi jalan itu. Kebanyakannya menuju ke arah stesen LRT Jaya yang terletak
bertentangan dengan bangunan kondominium yang menjadi kediamannya. Namun bayang
Kiah langsung tiada di celahan kesibukan manusia itu.
Di kawasan PJ State itu Jeffrey berlegar mencari
isterinya. Setiap kedai dimasukinya untuk mencari Kiah. Kemudian dia kembali
semula ke keretanya. Cuba bertanya lagi kepada jirannya adakah Kiah sudah
pulang ke rumah. Namun jawapan Kak Sali cukup-cukup menghampakan. Sudahnya
Jeffrey terfikir mahu ke stesen LRT itu. Kereta dihalakan semula ke arah
rumahnya. Namun di hadapan stesen LRT Jaya dia membelok masuk.
Macam orang gila lelaki muda itu berlegar untuk mencari
bayang Kiah. Kerisauannya kian memuncak memikirkan Kiah yang masih tidak tahu
apa-apa tentang kehidupan di sini. Akhirnya dia terfikir untuk bertanya kepada
seseorang.
“Ada rasanya dia ni kat sini tadi. Tapi saya tak pasti
dia ke mana. Saya yang ajarkan dia macam mana nak beli tiket kat mesin tu.”
Pengawal keselamatan yang berada dekat dengan kaunter berkata setelah melihat
gambar wanita yang berada di skrin telefon Jeffrey.
“Dia beli tiket hala ke mana?”
“Itu saya tak ingat pulak. Cuma saya ada ajar dia kalau
nak naik tren ke KL kena naik tangga sebelah mana. Saya nampak dia naik ke
platform 2. Rasanya dia ke KL lah tu..”
Jeffrey hampir terduduk mendengar penjelasan lelaki itu.
KL? Macam mana dia mahu mencari Kiah di sana? Macam mana jika Kiah tersesat? Ya
Allah.. hati lelaki itu sudah tidak keruan.
Jeffrey longlai saat berjalan menuju ke keretanya. Tidak
tahu apa yang harus dibuat dia duduk seketika di perhentian bas di hadapan stesen
LRT itu.
Kiah.. kenapa tak mahu dengar cakap abang? Hati lelaki
itu berbisik kesal. Dia sudah berpesan kepada isterinya agar tidak keluar dari rumah
jika tiada hal penting. Dia sudah berjanji akan menunaikan kehendak wanita itu
nanti. Kenapa Kiah tidak boleh sabar?
Puas termenung di perhentian bas itu Jeffrey kembali
mendapatkan kereta. Suasana ketika itu sudah gelap. Dia nekad mahu pergi
mencari. Kebimbangannya sudah tidak terucap tatkala dia teringat yang telefon
bimbit Kiah tidak dapat dihubungi. Jeffrey menghalakan keretanya ke arah
bangsar. Setiap perhentian LRT dia berhenti. Bayang isterinya dicari di sekitar
itu. Tetapi bayang Kiah langsung tiada. Berkali-kali dia cuba menghubungi
telefon Kiah. Masih juga seperti sebelum ini. Tidak dapat dihubungi.
Setelah berjam-jam memandu Jeffrey terasa seperti mahu
menangis.
Kiah.. mana Kiah pergi ni? Rintih hati si lelaki sudah
semakin risau.
Jam sudah menunjukkan ke angka 12 tengah malam. Tetapi
kelibat Kiah masih tidak ditemuinya. Dia sudah keletihan dan di dalam dirinya
sudah sarat oleh rasa bimbang.
“Mana dia sekarang, Ya Allah. Tolonglah aku..” ucapnya
Jeffrey dalam keresahan yang sudah tidak tertahan. Kepalanya dihalakan ke kiri
dan ke kanan untuk mencari. Terasa seperti orang bodoh mencari tanpa arah
tujuan. Namun dia tidak mahu berputus asa.
Sehinggalah kenderaannya sudah memasuki pusat bandar Kuala
Lumpur dan seterusnya melintasi hadapan KLCC. Jeffrey tiba-tiba memberhentikan
keretanya mengejut sehingga dia dihon oleh kenderaan lain. Itu dia tidak
peduli! Yang nyatanya matanya seperti ternampak kelibat Kiah sedang berdiri di
laluan pejalan kaki tidak jauh dari situ. Setelah dilihatnya lagi memang benar
itu Kiah.
Jeffrey segera memakirkan kereta di tepi jalan.
“Kiah!!!” jerit Jeffrey setelah dia keluar dari
keretanya.
Wanita itu segera memandang sekeliling untuk mencari
siapa yang memanggil namanya. Sebaik sahaja ternampak kelibat Jeffrey dia terus
meluru ke arah Jeffrey. Lelaki itu dipeluknya erat dan dia menangis
teresak-esak di sebalik tubuh lelaki itu.
“Mana Kiah pergi? Macamana boleh sampai kat sini? Kan
abang dah cakap jangan keluar? Kenapa degil!” marah Jeffrey sebal.
“Kiah minta maaf. Kiah sesat. Kiah tak tahu macamana nak
balik,” ucap Kiah lantas dia menangis lagi. Di dalam pelukan lelaki itu barulah
dia terasa selamat setelah berjam-jam dia mengharungi keasingan bandar itu. Dia
sudah buntu tidak tahu apa yang harus dibuat.
“Kan abang dah cakap jangan keluar? Kenapa degil?”
Kiah tidak menjawab sebaliknya dia terus menangis.
Jeffrey mengucup kelapa isterinya itu berkali-kali. Kalimah syukur tidak
putus-putus dilahirkan.
“Lain kali jangan buat macam ni. Macam nak gila abang
cari Kiah,” ucap Jeffrey bersungguh.
Kiah hanya mampu mengangguk. Tubuh lelaki itu tidak mampu
dilepaskannya.
“Jom..” ajak Jeffrey lantas menarik wanita itu menuju ke
kereta.
Di dalam kereta Kiah pegun di kerusnya. Namun esakannya
masih kedengaran. Dia tahu dia sudah berbuat kesilapan. Inilah akibatnya.
“Macamana Kiah boleh sampai sini?” tanya Jeffrey sambil
menggerakkan kenderaan meninggalkan kawasan itu.
“Kiah tak tahu..”
“Macamana boleh tak tahu? Bukannya dekat KL ni dari rumah
kita.” Jeffrey membalas serius.
Kiah tunduk memandang tangannya. “Kiah nak naik LRT. Kiah
tengok kat mesin masuk duit tu ade tulih KLCC. Kiah beli lee tiket tu. Lepas tu
Kiah lupe jalan nak balik.”
“Kenapa tak call abang? Mana telefon? Beg duit mana?”
tanya Jeffrey lantas menilik isterinya. Tiada apa pada tangan Kiah. Kosong!
“Mana telefon? Kenapa tak call abang kalau dah tahu
sesat?”
Kiah menangis lagi tanpa dapat menjawab soalan suaminya
itu..
“Kiah, jangan menangis. Abang bukannya marah. Mana beg
duit? Telefon yang abang bagi mana?”
“Tipon dengan daba (beg duit) Kiah kene curik.”
“Macam mana boleh kena curi?” suara Jeffrey meninggi
sedikit.
Kiah mula tercebik sendiri.
“Tadi ade oghang pompuan tu kabor nak tolong Kiah. Tapi die
ambik tipon dengan daba Kiah. Lepah tu ajak kawan die
lari. Habih semue duit Kiah. Huwaaaa...”
di akhir kata Kiah meraung di dalam kereta itu membuatkan Jeffrey hanya mampu meraup
wajahnya sambil menghela nafas sabar.
“Itulah dia akibatnya bila tak mahu dengar cakap abang.”
Jeffrey mengeluh perlahan sambil memandang ke hadapan.
Buat seketika tiada kata menghiasi mereka. Namun seketika
kemudian Jeffrey memandang semula isterinya. Kiah masih tersedu-sedu di
kerusinya.
“Kita pergi makan dulu ya? Abang dah lapar sangat ni,”
ucap Jeffrey lantas menyentuh tangan Kiah lembut.
Mereka berhenti makan di sebuah gerai di Bangsar. Melihat
isterinya masih berdiam timbul rasa kasihan di hati Jeffrey. Dia tahu Kiah
masih trauma.
“Lain kali jangan buat macam ni. Abang kata jangan
keluar.. jangan keluar! Abang dah cakap pagi tadikan? Abang kata pergi kedai
aja boleh! Tak boleh pergi jauh-jauh. Jangan pandai-pandai nak naik LRT lagi
dah. Tengok.. habis beg duit pun kena curi dek orang. Kat sini macam-macam
jenis orang ada. Tak sama macam kat kampung,” ucap Jeffrey bersungguh.
Kiah mengangguk beberapa kali. Memang insaf dia kali ini.
KL dan kampung memang tidak sama. Dia pula tidak pandai menjaga diri. Sementara
menunggu makanan sampai Jeffrey termenung seketika memikirkan apa yang harus
dilakukannya selepas ini. Yang pertamanya laporan polis tentulah harus dibuat!
Nampaknya cuti lagilah dia selepas ini.
Malam itu usai solat isyak Jeffrey mendekati Kiah di katil.
Isterinya masih seperti tadi. Murung sendiri.
“Sayang..” panggil Jeffrey lembut.
Kiah menoleh ke arah Jeffrey. Namun tampang lelaki itu
tidak mampu dihadap lama. Dia malu dengan apa yang berlaku. Terasa dia lebih
banyak menyusahkan suaminya di sini.
“Dengar cakap abang ya? Jangan keluar lagi macam tadi.
Abang risau, Kiah. Kiah belum tahu apa-apa di sini. Macam mana abang nak kerja
kalau hati abang susah fikirkan Kiah di rumah?” ucap Jeffrey lembut.
“Kiah mintak maaf..”
“Abang tak marah. Abang tahu Kiah tak biasa duduk
berkurung di rumah macam ni. Tapi ini KL, sayang. Tak semua orang kita boleh
percaya. Abang buat macam ni sebab abang sayang Kiah.” Jeffrey meluahkan
bicaranya sambil rambut isterinya itu diusap lembut.
“Dengar cakap abang ya? Jangan buat abang susah hati
lagi.” Perlahan ubun-ubun si isteri dikucup lembut oleh Jeffrey.
Kiah tidak menjawab. Sebaliknya tubuh lelaki itu terus
dipeluknya. Mujurlah Jeffrey datang tepat pada masanya. Jika tidak dia tidak
tahu apa yang harus dibuatnya. Cuma ada sesuatu yang dia tidak beritahu kepada
lelaki itu. Tentang apa yang berlaku sebentar tadi. Rasanya biarlah Jeffrey
tidak tahu. Itu lebih baik. Dia tidak mahu memalukan suaminya lagi dengan
tingkah lakunya.
13
Sesampai tingkat 7 Jeffrey segera keluar dari lif. Longlai
langkah yang diatur dek kerana keletihan berkerja sepanjang hari. Tatkala dia
semakin menghampiri rumahnya dia terlihat kelibat dua wanita yang tidak
dikenali sedang berdiri di hadapan pintu rumahnya.
Dua wanita itu menoleh sebaik sahaja ternampak Jeffrey
mendekati mereka. Kedua-duanya segera tersenyum kepada Jeffrey.
“Ni ke suaminya?” tanya salah seorangnya kepada Kiah.
“Iye lee..”
Jeffrey sempat memandang isterinya. Bukan main manis lagi
senyum Kiah kepada dua wanita itu.
“Maaflah ya? Akak ni menganggu aja. Akak balik dulu. Cik
abang Kiah ni pun dah balik. Tak elok kami lama-lama kat sini. Terima kasih
banyaklah..” Wanita itu berkata mesra kepada Kiah.
Jeffrey sekadar tersenyum kepada dua wanita itu. Dua wanita
itu dipandang sehingga kedua-duanya menghilang. Cara berpakaian salah
seorangnya macam pensyarah. Dengan jaket di tubuh dan beg berisi buku-beku
tebal. Seorang lagi entahlah.. tetapi kedua-duanya memang bergaya. Seketika
kemudian Jeffrey memandang Kiah pula. Senyum manis Kiah masih tidak habis
menghantar pergi dua wanita itu.
“Siapa tu?”
“Kawan Kiah lee..”
jawab Kiah lantas mengambil beg kerja suaminya.
Amboi.. dah ada kawan sekarang. Eloklah.. takdelah Kiah
bosan nanti.
“Dia nak apa datang sini?” tanya Jeffrey lantas
membuntuti Kiah masuk ke dalam rumah. Pintu segera ditutupnya.
“Ish! Mane boleh kabor. Ini hal oghang pompuan! Secret!”
Terkedu Jeffrey mendengar jawapan Kiah. Amboi.. dah
pandai cakap omputih bini aku sekarang.
“Dengan abang pun nak rahsia?”
“Rahsia lee..”
Buat seketika dia duduk melepaskan lelah di hadapan tv.
Kiah datang membawa segelas air masak dan mangkuk. Air itu dihulur terlebih
dahulu kepada suaminya.
“Aboh mu..” panggil Kiah cukup lembut.
“Ye..” Jeffrey sempat menjawab sebelum air di dalam gelas
itu diteguknya habis. Kemudian dia memandang mangkuk di atas meja itu. Ada
pengat pisang.
“Mana dapat pisang?” tanya Jeffrey hairan.
“Kedai leee..”
jawab Kiah sedikit meleret.
Tanpa sebarang komen lagi mangkuk itu terus dicapainya. Pengat
yang sudah hampir sejuk itu disuap ke mulut. Kemudian dia memandang Kiah yang
sedang tersenyum-senyum memandang dia makan.
“Kiah tak makan ke?”
“Kiah kenyang..” jawab Kiah. Seronok tengok suaminya
makan. Sentiasa berselera.
“Kiah nak cakap apa tadi?”
“Emm..” Kiah tunduk seketika sebelum kembali memandang
suaminya itu.
“Kiah nak kabor
ni.. Kiah rase nak berjual balik le, aboh mu.”
Spontan Jeffrey memandang semula wajah isterinya itu.
“Nak buat apa? Tak payahlah. Abang tak suka!”
“Kiah boring duduk ghomah.
Kiah tak tahu ape nak buat. Nak kemas
ghomah.. Kiah tak tahu ape nak kemas. Semuenye elok aje,” ucap Kiah rendah sahaja.
Jeffrey terdiam seketika saat memandang wajah isterinya
itu. Teringat peristiwa lebih seminggu yang lepas. Kiah sesat. Mungkin sebab
bosan Kiah keluar dari rumah. Lagipun dia tahu itu memang kebiasaan isterinya.
Melihat wajah mendung Kiah tiba-tiba dia tidak sampai hati. Sekurang-kurangnya
kalau dia benarkan Kiah berniaga Kiah ada kawan. Bukankah itu bagus?
“Mari sini..” panggil Jeffrey lembut. Tangan Kiah segera
dicapainya.
Kiah segera bangun lalu berpindah duduk di sebelah
Jeffrey. Tubuhnya terus dipeluk oleh si suami penuh kasih sayang.
“Janji jangan keluar rumah sampai lupa nak masak untuk
abang,” ucap Jeffrey lembut.
“Kiah janji!”
“Jangan pergi jauh-jauh. Kat sini-sini aja dah cukup,”
tambah Jeffrey lagi.
Pantas Kiah mengangguk.
“Janji jangan cepat percaya pada orang. Jangan terlalu
baik sampai senang orang tipu Kiah. Kalau orang ajak pergi mana-mana jangan
ikut!” bertambah lagi pesan Jeffrey.
“Janji..” jawab Kiah bersungguh.
“Sayang abang dulu baru abang bagi!” ucap Jeffrey serius.
Kiah terdiam seketika memandang sisi wajah lelaki itu.
Namun seketika kemudian pipi lelaki itu diciumnya lembut. Seterusnya Kiah
tunduk. Malu!
“Kat pipi je?? Pipi ajalah yang untung. Tempat lain tak
untung pun,” perli Jeffrey pantas.
Kiah tunduk sambil tersenyum-senyum. “Malulah, aboh mu.
Kiah tak pandai cium macam oghang putih selalu buat dalam tv tu!”
“Tak jadilah macam ni! Jawabnya tak boleh!” ucap Jeffrey
serius.
“Abang..” dengus Kiah mula membuat muka masam.
“Kiah nak naik lif.. abang dah bawak naik lif. Kiah nak
naik LRT abang dah bawak naik LRT.. sampai komuter pun abang dah bawak Kiah
naik. Lif kat KL tower tu pun abang dah bawak. Lenguh kaki abang bawak Kiah
berjalan hari tu pun tak hilang lagi. Sampai dua hari tau! Bukannya sehari. Apa
yang Kiah nak abang dah tunaikan. Abang punya kehendak bila pulak? Mana adil
macam ni?” ucap Jeffrey bersungguh.
Kiah terkebil-kebil memandang tampang suaminya. Kehendak
apa yang Jeffrey maksudkan?
“Tak bersedia lagi? Kesian abang ni, sayang. Ada bini
setakat tengok ajalah..”
“Kiah malu..” jawab Kiah rendah. Hangat rasa wajahnya
saat itu. Anak mata suaminya tidak mampu dipandang.
Jeffrey menghela nafas perlahan tatkala memandang wajah
itu. “Sampai bila, Kiah? Abang tak pernah dengar pun Kiah ucapkan sayang pada
abang. Abang aja yang rasa macam tu selama ni. Kiah masih tak boleh terima
abang ke?”
Tersentak wanita
itu mendengar telahan Jeffrey.
“Bukan macam tu..” hanya itu yang termampu diucap Kiah.
Seterusnya dia terus memeluk lelaki itu. Mampukah dia menolak lelaki sebaik
ini? Tidak mampu! Cuma dia wanita yang pemalu. Dia tidak pandai mengukir madah
yang indah untuk seorang lelaki. Kerana dia kolot. Dia tidak mampu untuk
memulakan kemesraan buat seorang lelaki. Dia hanya pandai untuk menerima dan
dia perlukan masa untuk mengubah dirinya.
Jeffrey menghela nafas perlahan. Tiada jawapan daripada
Kiah. Namun dia terasa tubuhnya dipaut cukup erat dan semakin erat. Jeffrey
sudah mengerti apa maksudnya pelukan itu. Akhirnya pelukan itu dibalasnya juga.
Terbit rasa syukur di hatinya. Biarlah seperti apa pun isterinya. Inilah
perempuan yang dia sayang. Bukankah dia sudah pernah berjanji yang dia menerima
Kiah seadanya?
“Kiah nak berniaga.. abang izinkan. Cuma Kiah kena ingat
apa yang abang pesan tadi,” ucap Jeffrey hampir berbisik. Rambut panjang
isterinya itu diusap lembut.
Perlahan Kiah mendongak memandang tampang suaminya itu.
“Terima kasih, abang..” luah Kiah lembut. Dalam rasa malu
yang masih menebal dia memberanikan diri juga. Namun tidaklah sampai di bibir.
Sekadar kucupan di dagu lelaki itu.
Jeffrey tersenyum lembut melihat gelagat si isteri.
Bolehlah.. Kat dagu pun dagulah!
Malam itu..
Si perempuan itu terjeling-jeling si lelaki yang sedang
membelek dokumen kerjanya di atas katil. Teringat apa yang dikatakan suaminya
petang tadi.. dia tidak sanggup terus membiarkan keadaan itu berlarutan lebih
lama. Tetapi sekarang dia lihat Jeffrey macam tidak berminat pula.
Kiah berfikir-fikir seketika. Apa nak buat ya?
Selalunya perempuan kalau nak goda suami kena pakai
wangi-wangi..
Perlahan Kiah bangun ke meja solek. Mula-mula tubuhnya
disembur dengan minyak wangi di atas meja solek itu. Kemudian dia menjeling
suaminya di atas katil. Jeffrey masih ralik menyelak helaian kertas di atas
ribanya.
Ai.. pekok gamoknye
hidung laki aku ni! Getus hatinya.
“Tak boleh jadi ni. Sembur satu bilik aje senang!” bisik Kiah seorang. Botol berwarna jernih itu
diangkat ke udara. Habis kawasan sekeliling disemburnya.
“Habis minyak wangi abang tu nanti, Kiah..” tegur Jeffrey
tanpa memandang.
Perlakuan Kiah terhenti serta merta. Botol itu
dipandangnya.
Iye
tak ye juge. Minyok wangi die.. bisik hati Kiah. Botol itu diletakkan semula di atas meja
solek. Dirinya dibelek di dalam cermin itu.
“Nok pakai baju
seksi.. aku mane ade baju seksi,”
ucap Kiah agak perlahan sambil merenung dirinya yang dibaluti baju kelawar itu.
“Kalawo lagi
seksi dari aku..” komen Kiah pada cermin itu.
Kemudian dia ke tepi katil. Sambil duduk di birai katil
dia mengeliat. Kononnya dengan melentikkan tubuhnya Jeffrey nampaklah dia
sedang menggoda. Tapi sayangnya Jeffrey masih tak pandang. Kiah dah kehabisan
idea.
Eee.. aku tarik
juge kain pelekat dia ni karang! Bisik hati Kiah sebal.
“Aboh mu..” panggil Kiah mendayu-dayu.
“Iya..” balas Jeffrey perlahan.
“Jom le tutup lampu. Dah malam ni kan? Tido lee eloknyeee..” ucap Kiah
malu-malu.
“Kejaplah.. abang ada kerja sikit ni,” balas Jeffrey
tanpa memandang Kiah. Dia masih tidak sedar akan gelagat isterinya itu.
Kiah bangun. Tanpa mempedulikan bicara suaminya dia terus
menuju ke suiz lampu.
Tap! Bilik itu tiba-tiba menjadi gelap gelita. Langsung
tidak cahaya!
“Kiah..” getus Jeffrey sambil mendecit.
Kiah cepat-cepat berjalan menuju ke katil. Namun
sayangnya di dalam gelap itu..
Buk!!!
“Aboh mu!!!! Aduh.. sakitnye..” jerit Kiah di dalam gelap itu.
Jeffrey kelam kabut bangun. Suiz lampu kembali
dipetiknya. Serta merta bilik itu terang benderang semula. Kelibat Kiah
dicarinya segera. Namun dia lihat Kiah sedang terduduk di atas permaidani
sambil memegang dahi.
“Kenapa ni, sayang?” tanya Jeffrey lantas mendekati
wanita itu.
“Kiah langgo
tiang katil tu! Itu le.. nape beli
katil ade tiang beso ghope tu? Sakitnye,
aboh mu..” rengek Kiah sambil menekup
dahi.
Jeffrey terkebil-kebil seketika memandang Kiah. Kemudian
dia memandang penjuru katil itu. Yang pergi langgar tiang tu buat apa??
“Sakit sangat ke? Meh abang tengok..” Jeffrey segera
mengalihkan tangan Kiah. Dahi Kiah merah dilihatnya.
“Sakit le! Penat
aje Kiah buat macam-macam. Aboh mu bukan nak nengok Kiah pon!” rungut
Kiah sebal.
“Kiah buat apa tadi?” tanya Jeffrey hairan.
Kiah menjeling. Malu sendiri. Jeffrey memang tidak
perasan rupanya.
“Malah kume nak
kabor. Nak tido!” ucap Kiah lantas bangun dari situ.
Terkebil-kebil Jeffrey melihat gelagat aneh isterinya.
Puas dia berfikir apa yang dibuat Kiah tadi? Dia memang tidak perasan.
Sebaik sahaja berbaring dia atas katil sebiji bantal
terus diambil lalu ditekup ke wajah oleh Kiah.
Tobat aku tak mahu buat dohhhhhh..
jerit hatinya benar-benar malu.
Nasib baiklah Jeffrey tak faham apa dia cuba sampaikan
tadi. Kalau tidak entah macamana dia nak menutup muka dan benjol yang mula
timbul di dahinya ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan