10
“Kiah.. meh duduk sini.” Ajak lelaki itu setelah mereka berdua
selesai menikmati makan malam. Kiah sudah siap membasuh pinggan dan dapur sudah
habis dikemasnya. Kini masa untuk dia berehat pula.
Tanpa bantahan Kiah menghampiri Jeffrey. Dia duduk bersebelahan
dengan suaminya itu, menghadap ke arah tv sambil menjadikan kerusi panjang di
belakang mereka sebagai penyandar.
“Esok kita ke kena pergi mahkamah,” ucap Jeffrey
perlahan.
“Kume ingat..” jawab Kiah perlahan sahaja sambil menghela
nafas sendiri. Berdebar memikirkan apa yang akan dilaluinya esok.
“Kita gerak awal pagi ya?” ucap Jeffrey lembut. Kiah
sekadar mengangguk.
“Kau dah sedia ke nak menghadap hakim esok?” tanya
Jeffrey lagi.
“Entoh le, Yop.
Kume sebenonye.. takut!” jawab Kiah
jujur.
“Alah.. Hakim tu tak makan orang.” Mudah sahaja jawapan
diberikan Jeffrey.
Kiah diam memandang tv. Fikirannya masih terus
membayangkan apa yang bakal berlaku esok hari. Inilah pengalaman pertama dia
berurusan di mahkamah syariah. Jangan dia kena tengking dengan majistret
sudahlah. Meraung dia nanti.
“Kalau hakim tu tanya kenapa kita kahwin emergency kau
nak jawab apa?”
Kiah diam seketika sambil memikir sendiri. Seketika
kemudian dia menoleh ke arah Jeffrey. “Kume kabor
le yang Pak Berahim suruh.”
“Ish! Janganlah cakap macam tu.. nanti kantoilah aku yang
gatal masuk rumah kau waktu tu. Kau cakap macam ni.. kau cakaplah sebab kau dah
cinta sangat kat aku waktu tu. Sebab aku ni jejaka idaman sekampung.. so
terpaksalah kau rebut aku cepat-cepat. Takut nanti perempuan lain yang kebas
aku. Kau melopong!” sambut Jeffrey sambil tersengih-sengih.
Kiah mula memandang wajah lelaki itu dengan pandangan
jengkel. Eee.. idok le aku lalu nak kabor gitu ke oghang! Buat malu aku aje.. dengus hati Kiah seorang.
“Habis tu kalau majistret tu tanye ke kamu macam tu. Kamu
nak jawab ape?” tanya Kiah semula.
“Aku jawablah.. Aku redhooo..” jawab Jeffrey sambil
mendepangkan tangannya penuh senang hati.
“Takde kume sior
nak jawab ghope tu kat majistret esok!
Tak pasal kume pulok yang dikatenye mengelenyo(gatal)! Kume nok kabor.. kamu tu yang gatai masuk ghomah kume.”
Jeffrey mengekek ketawa sambil mengalihkan tangannya ke
arah belakang Kiah. Kemudian tubuhnya didekatkan kepada wanita itu. Buat sesaat
dua sisi paras itu dipandangnya sahaja. Entah kenapa semakin dipandang semakin
manis pula si Kiah di mata lelakinya. Kiah menoleh sekilas. Berderau darahnya
melihat renungan sarat kemesraan daripada lelaki itu.
“Eee.. jangan le
pandang kume macam tu, Yop!” getus Kiah mula rasa tidak selesa. Hangat wajahnya
tanpa dapat ditahan.
“Bini aku.. takkan tak boleh pandang? Habis tu aku nak
pandang siapa kalau bukan kau?” sambut Jeffrey selamba.
Kiah tidak menjawab sebaliknya dia menunduk. Lain macam
perasaannya kala ini. Pandangan seperti itu tidak pernah diterimanya daripada
mana-mana lelaki melainkan lelaki ini seorang. Tetapi bak kata Jeffrey.. dia
isteri. Apa salahnya?
Namun dalam hatinya dia selalu tertanya. Apa maknanya
kemesraan yang diberikan Jeffrey selama ini? Adakah ini maknanya Jeffrey telah
menerima dia sebagai isteri dalam erti kata sebenarnya. Sayangnya dia tidak
pernah mendengar Jeffrey berkata begitu. Mahu bertanya dia malu. Main teka teki
dia tidak pandai.
“Kiah..” panggil lelaki itu lunak.
“Ye..” Kiah menjawab tanpa memandang. Tidak tentu arah
rasanya mendengar nada miang-miang keladi lelaki itu.
“Lepas ni kita pergi KL ya? Cuti aku dah nak habis. Isnin
ni aku kena mula kerja semula,” ucap Jeffrey lembut.
Kiah diam. Tidak tahu apa mahu dijawabnya dalam keadaan
dia masih sarat dengan kekeliruan.
“Kenapa buat muka macam tu?” suara Jeffrey kedengaran
lagi.
“Takde apa-apa..” ucap Kiah agak rendah.
“Kau ada nak tanya aku apa-apa ke? Tanya jelah.. aku tak
makan orang.”
“Kamu nak bawok
kume ke KL. Keluarga kamu macamana, Yop? Deme dah tahu ke pasal ni?” perlahan
sahaja suara Kiah mengalunkan pertanyaan itu.
“Belum tahu..” jawab Jeffrey. Sebuah keluhan kedengaran
seketika kemudian.
“Jadi macam mane
nanti? Kamu nak letok kume kat mane?”
tanya Kiah lagi.
“Lah.. kat mana lagi? Kat rumah akulah. Takkanlah aku nak
letak kau kat rumah orang tua-tua.” Jeffrey menyambut pantas. Soalan jenis apa
macam tu?
“Mok dengan apok kamu macam mane?”
“Soal tu nantilah dulu. Papa aku tu aku tak hairan. Tapi
mama tu..” Jeffrey terdiam di hujung kata. Soal mama dan adik beradiknya yang
lain itu yang membuatkan dia sedikit runsing.
“Mok kamu mesti tok
gemor ke kume,” luah Kiah perlahan.
“Mama tak macam tu, Kiah. Kau jangan risau. Aku cuma
perlu jelaskan elok-elok pada mama. Supaya dia tak terkejut. Mama tu tak boleh
stress. Dia ada penyakit jantung.” Jeffrey berkata lembut.
Kiah mengangguk sedikit. “Apok kamu nanti macamana? Die boleh terime ke kume ni?”
Kali ini giliran Jeffrey pula yang berdiam. Malas mahu
memikirkan lelaki seorang itu. Tetapi masalahnya lelaki itu bukan sembarangan
orang. Kiah akan tahu juga sikap sebenarnya Megat Iskandar itu.
“Kume takde niat pun nak buat apok kamu tu kahwin lain,
Yop. Sumpah! Dulu kume tak tahu dia tu dah ade
bini,” jelas Kiah agak rendah nadanya.
Jeffrey memandang lembut wanita di sebelahnya itu.
Perlahan tangannya berpindah ke bahu Kiah. “Takde siapa salahkan kau pun, Kiah.
Lainlah kalau dia kahwin dengan kau. Tapi sekarang ni Tuhan tentukan kau kahwin
dengan aku. Maknanya rezeki akulah tu!” Jeffrey mengekek sendirian dengan
bicaranya itu.
“Habis tu dulu kamu dendam dengan kume, kenape?”
“Bila aku berdendam dengan kau?” tanya Jeffrey semula.
Riak di wajahnya mula berubah.
“Dulu! Kamu yang pancitkan tayo moto kume.. kan? Lepas tu kamu saje nunggu kume kat ghomah
ni. Sampai kume terkejut nengok kamu!”
ucap Kiah bersungguh.
“Bila masa aku pancitkan tayar motor kau?” balas Jeffrey
dengan kerutan menebal di kening.
“Kalau bukan kamu sape
lagi yang buat ghope tu ke kume?
Waktu tu kamu dengan kakak kamu tu yang sukee..
bermusuh dengan kume,” tuduh Kiah lagi.
“Okay.. memang betul aku suka cari pasal dengan kau. Tapi
takdelah sampai aku nak buat naya kat kau macam tu, Kiah. Aku cari kau dulu
sebab.. emm..” kata-kata itu termati di situ seketika. Jeffrey cuba mencari
jawapan yang sesuai untuk diberikan.
“Ape sebab kamu cari kume dulu?”
“Sebab aku suka kacau kau!” jawab Jeffrey tidak serius.
“Kamu balik jauh-jauh dari Kolumpe tu semata-mata sebab
nak kacau kume?” tanya Kiah langsung tidak percaya.
Jeffrey tersengih tiba-tiba. “Yalah.. aku mengaku. Aku
cari kau sebab aku suka kat kau.”
“Bedeoh bebenor!
Itu lagilah kume tok percaye, Yop!
Kamu dengan kakak kamu tu serang kume kat ghomah
tok penghulu tu ape ke halnye?” sanggah Kiah pantas.
“Okay.. macam ni ceritanya. Aku sebenarnya takde niat pun
nak buat apa-apa kat kau. Tu semua kakak aku punya kerja. Dia cari papa aku
sebab papa aku dah lama tak balik. Aku tak tahu daripada mana dia tahu pasal
papa pernah berurusan dengan kau dulu. Tapi manalah aku tahu Kiah yang tok
penghulu maksudkan tu, yang kakak aku kata supplier ubat kuat tu rupanya muda
lagi. Mula-mula aku ingat makcik-makcik. Rupanya awek-awek lagi. Comel pulak
tu. Memang sesuailah jadi mangsa aku yang belum ada awek ni. Sebab tu aku asyik
cari kau.” Di akhir bicaranya Jeffrey menyeringai seronok.
Bicara Jeffrey membuatkan Kiah menjeling halus.
Namun Jeffrey sekadar ketawa.
“Tengok tu? Jeling-jeling pulak. Cium sekali, baru tahu.”
“Hari tu kamu dengan kakak kamu sama naik aje maghoh ke kume! Kakak kamu tu molotnyeeee.. joghen ya amat! Rase kume
nak bagi penampo aje seliang!” ucap Kiah sinis.
“Alah.. kakak aku tu memang mulut laser. Laki dia aja
yang boleh tahan dengan dia tu. Aku pun tak tahan dengar mulut dia tu. Tapi
dengan kau? Lagilah aku tak tahan.. jom tidur, sayang.” Lelaki itu mula
berbisik gatal dengan mata kuyu.
“Yop!” Kiah mendengus sambil menolak tangan Jeffrey di
bahunya.
“Apa?” balas Jeffrey dengan gaya yang sama. Bahu Kiah
kembali dipeluknya.
“Heee.. kamu kalau tak menggatal memang bukan kamu le!” marah Kiah geram.
“Menggatal apanya? Aku kata jom tidur sebab tak tahan
mengantuk dah ni. Huargghhh!!” lelaki itu buat-buat menguap pula. Kiah
menggertap bibir memandang gelagat Jeffrey.
“Kiah, hari tu aku datang sini sebab aku nak berbaik
dengan kau. Takde kena mengena pun dengan hal papa aku kahwin lain tu. Tapi kau
pengsan dulu depan aku. Bukannya aku nak ambil kesempatan kat kau. Tapi Pak Ali
tu tuduh aku macam-macam. Lepas tu Pak Berahim malukan aku depan orang ramai.
Macamana aku tak marah? Aku bukan sengaja, Kiah.” Jeffrey berkata lembut.
“Habeh tu.. kenape due bulan kamu tak balik? Kamu takde nelepon kume pon? Kume
ingat kamu memang tak mahu ke kume,” ucap Kiah agak rendah.
“Aku kerja, Kiah. Aku kerja makan gaji dengan orang.
Bukannya kerja dengan bapak aku sendiri. Kau ingat senang ke aku nak dapat cuti
seminggu macam ni? Dahlah sebelum ni aku asyik cuti aja. Tu semua kau punya
pasal. Aku asyik ingat nak balik sini cari kau. Pasal tak telefon tu.. memang salah
aku. Aku lupa nak mintak nombor telefon rumah ni. Kau tu dahlah takde
handphone. Macamana aku nak call kalau nombornya takde? Lepas ni aku belikan
kau telefon. Senang aku nak call kau kat rumah bila aku ada kat ofis.”
Kiah membisu seketika sambil memandang wajah lelaki itu.
Cuba mencari kesungguhan di sebalik bicara itu.
“Kiah, aku cuma harap kau akan cuba kenali aku.. terima
aku seadanya. Aku tahu aku ni tak sebaik lelaki-lelaki lain. Tapi aku ikhlas,
Kiah. Aku nak sayangkan kau sebagai seorang isteri. Aku akan cuba jadi suami
yang terbaik untuk kau. Semenjak kau ada dalam hidup aku, aku rasa diri aku ni
dah banyak berubah. Aku bersyukur Tuhan temukan aku dengan perempuan macam kau.
Walaupun kelulusan kau setakat SPM tapi kau dah cukup sempurna macam ni,” ucap
Jeffrey lagi. Kali tidak kedengaran nada nakalnya. Apa yang diluahkan saat itu
jujur dari hatinya.
“Kamu ni jiwang bebenor,
Yop.” Kiah tertunduk mendengar ucapan itu. Namun tidak dapat ditolaknya
sebahagian hatinya mula terasa berbunga-bunga. Seronok rupanya dingorat-ngorat
begini.
“Aku serius ni!”
“Iye lee.. kume
tak tahu ape nak jawab.” Kiah menjawab malu-malu. Tertunduk-tunduk tidak mahu
lelaki itu melihat apa yang tertera di wajahnya. Sukalah tu..
“Cuba bila kau bercakap tu, kau pandang aku.” Jeffrey
berkata lembut. Tangannya mahu mencapai dagu Kiah. Namun wanita itu pantas
menepis.
“Ish! Tak payoh le,
Yop.”
“Kenapa pulak? Suruh pandang aku pun tak boleh?”
“Bile bercakap,
telinge yang dengor.. mate tak pandang pun tok
ngape!” ucap Kiah mula tidak tentu arah.
“Kalau pandang pun takde salahkan?” sanggah Jeffrey
mudah.
“Iye leee..
tapi..” Kiah tidak meneruskan bicaranya. Dia tunduk memandang tikar yang sedang
didudukinya. Malulah nak pandang lama-lama.. bisik hatinya sendiri.
“Takut jatuh cinta kat akulah tu! Sebab aku ni hensem
sangat,” desis Jeffrey perlahan.
“Eeee.. ngantuk rase
mate ni!” dengus Kiah malas mahu melayah usikan lelaki itu.
Jeffrey tergelak nyaring. “Jom kita tidur. Tutup lampu
cepat-cepat. Lepas tu..?” usik Jeffrey lantas tergelak suka melihat Kiah tidak
tentu arah begitu.
Spontan dada Kiah terasa lain. “Lepah tu bacee doa!” ucap
Kiah lantas bangun dari situ.
Jeffrey tersengih. Doa apa tu? doa sebelum tidur ke atau
doa...?
Harap-harap bukan sekadar doa sebelum tidur, bisik hati
Jeffrey sendiri.
Namun ketika di dalam kelambu Kiah sudah mula menguap
membuatkan Jeffrey terkulat-kulat memandang. Dengan selamba Kiah menarik
selimut tanpa mengerti maksud pandangan Jeffrey kepadanya. Seterusnya dia
memejamkan mata.
Aik? Baca doa sebelum tidur aja ke? Takde apa-apa yang
istimewa pun? Keluh hati Jeffrey agak kecewa. Namun melihat Kiah macam letih
dia tidak sampai hati mahu memaksa. Tetapi sayangnya matanya pula yang degil
tidak mahu terpejam. Sudahnya dia memandang wanita yang sudah mengiring
membelakangkan dia.
Cemburu melihat Kiah sudah terlena mulalah datang idea
untuk menganggu. Tangannya diangkat sehingga ke belakang Kiah. Belakang Kiah
dicuit-cuitnya. Kiah menoleh semula.
“Ape, Yop? Tido lee..” ucap Kiah agak lemah.
“Tak boleh tidurlah, Kiah.” Jeffrey menyambut perlahan.
Kiah diam tidak melayan aduan lelaki itu.
“Kiah.. oh.. Kiah.. Ikea.. Ikea..” bisik Jeffrey sambil
memainkan jemarinya di belakang Kiah.
“Yop! Kamu ni ape
kenenye? Asyik memanggil name kume.
Doh tebiat gamoknye!” rengus Kiah rimas.
Jeffrey tergelak seronok di belakang Kiah. “Cepatnya
tidur? Jomlah sembang dulu.”
“Sembang ape lagi? Esok nak bangun awal, Yop. Tido leeee..” jawab Kiah tidak senang.
Jeffrey diam seketika sambil berfikir sendiri.
“Kiah..” panggil Jeffrey lagi.
“Ape, Yop??”
Kiah mendengus malas.
“Mana ubat kuat tu? Aku nak try..” halus sekali nada
Jeffrey. Namun cukup untuk membuatkan mata Kiah terbuka luas semula.
Melihat Kiah diam Jeffrey mengangkat kepalanya. Tubuhnya
dibawa mendekati wanita itu. Wajah Kiah diintainya sedikit. Kiah sedang
terkebil-kebil memandang ke hadapan. Perlahan lelaki itu memeluk Kiah.
“Aku sayangkan kau, Kiah.” Jeffrey berbisik perlahan.
Pipi Kiah dikucupnya tanpa meminta izin dari tuannya. Kiah terus terkaku
menahan perasaan.
Melihat wanita itu seakan-akan tidak bersedia untuk
melayaninya Jeffrey sekadar berbaring di belakang Kiah tanpa melepaskan
pelukannya. Ironinya saat itu matanya mula terasa layu. Namun sempat juga dia
terasa tangan Kiah berpindah ke lengannya. Hatinya bertambah mekar tatkala dia
terasa Kiah menolak pelukannya sedikit untuk berpaling ke arahnya.
“Kume minta maaf, Yop,” bisik Kiah perlahan.
“Takpe.. aku tak marah. Aku tahu kau letih. Esok masih
ada.” Jeffrey menjawab lembut. Dahi Kiah lantas dikucupnya lembut dan tubuh itu
kembali dipeluknya. Ironinya kala itu Kiah akhirnya turut membalas pelukan
Jeffrey sebelum mereka berdua terlena juga.
Dalam perjalanan pulang dari Ipoh hari itu Kiah membisu
sahaja. Daripada pada pagi tadi sehinggalah ke petang mereka berurusan di
mahkamah rendah syariah. Kini barulah dapat dia dapat bernafas dengan lega.
Lega kerana pernikahan dia dan Jeffrey sudah disahkan dan telah didaftarkan.
Kiah menoleh ke sebelahnya. Jeffrey sendiri sudah nampak
keletihan. Lelaki itu menguap berkali-kali sambil memandu. Memandang lelaki itu
membuatkan dia kembali teringat apa yang berlaku di dalam kamar perbicaraan
pagi tadi. Jeffrey yang paling banyak bersoal jawab ketika sesi perbicaraan.
Sebahagiannya masih berada diingatannya.
“Saya terpaksa sebab nak menyelamatkan maruah bersama.”
Itu jawapan Jeffrey setelah dia ditanyakan mengapa dia bersetuju untuk bernikah
tanpa mendapatkan permohonan terlebih dahulu.
“Tapi apa bezanya kamu tangguhkan dulu, buat permohonan
melalui jabatan agama terdekat dan bernikah?”
“Ada beza!” tegas Jeffrey bersungguh. Lelaki itu menarik
nafas panjang sebelum mengemukakan jawapannya.
“Bezanya dalam tempoh itu kami akan terus hidup dalam
umpat keji masyarakat sekeliling. Tujuan pernikahan tu diadakan untuk
menyelamatkan kami daripada itu semua. Saya tak mahu kerana kesilapan yang saya
dah buat seorang perempuan yang tak bersalah hidup dalam fitnah dan kejian
orang. Dalam tempoh itu juga mungkin hati saya boleh berubah. Mungkin saya tak
balik untuk tunaikan janji. Apa akan jadi pada dia? Saya sedia mengaku bersalah
atas kesalahan yang saya dah buat. Saya tahu keputusan untuk menikahi Nur Ikea
waktu tu dah melanggar undang-undang. Tapi saya tetap berpuas hati sebab
tindakan saya dah menyelamatkan kami daripada fitnah orang sekeliling,” jawab
Jeffrey tenang saja.
“Kamu berkahwin atas dasar nak mengelakkan fitnah. Sejauh
mana kamu akan mempertahankan perkahwinan jikalau dasarnya adalah sekadar nak
mengelakkan fitnah?”
“Saya percaya semua yang berlaku ada hikmahnya. Saya
redha dengan perkahwinan ni. Keredhaan saya terima dia baik atau pun buruk..
itu yang akan membawa saya sejauh mana saya mahu pergi dengan perkahwinan ni.
Allah yang menentukan jodoh seseorang. Tetapi sepanjang mana usia perkahwinan
ni itu adalah terpulang kepada usaha saya sebagai suami dan penerimaan dia
sebagai isteri. Kalau saya tidak menganggap perkahwinan ini sesuatu yang perlu
dipelihara.. saya tak akan datang ke mahkamah hari ni dan mungkin lebih senang
saya ceraikan dia sebelum saya membuat permohonan untuk mendaftar perkahwinan
kami. Hakikatnya untuk diri saya, perkahwinan ni penting untuk saya jaga kerana
saya adalah suami. Amanah tu ada di atas bahu saya.”
Itu antara kata-kata Jeffrey yang membuatkan dia kagum.
Lelaki itu nampak suka bercanda tetapi pendiriannya tentang itu tetap kukuh.
“Kiah nak makan ke?” tanya Jeffrey setelah agak lama
mereka membisu.
“Kume tak lapo,
Yop. Kalau kamu nak makan berhenti le..”
jawab Kiah lembut.
Jeffrey tidak menjawab. Dia terus memandu menuju ke Batu
Gajah. Namun tiba-tiba tangannya diletakkan di atas tangan Kiah. Tanpa kata
jemari wanita itu digenggamnya. Kiah terkaku menahan debar. Sentuhan itu mahu
dibalasnya tetapi dia segan.
Jeffrey mengerling seketika waniya di sebelahnya itu.
Baju kurung ditubuh Kiah menjadi santapan pandangannya buat kesekian kalinya.
Kiah mengenakan baju kurung kain kapas dengan corak bunga kecil-kecil berwarna
kemerahan. Nampak cukup sopan walaupun baju kurung itu tidak berfesyen moden seperti
kebanyakan baju kurung yang dijual dibutik-butik siap dengan labuci. Dan kali
ini Kiah tidak mengenakan tudung bawal kegemarannya. Sebaliknya dia mengenakan
tudung jenis sarung yang agak labuh.
Dalam diam hati lelaki itu memuji. Sebagai suami dia tidak
perlu mengajar Kiah tentang kewajipannya menutup aurat. Wanita itu tahu untuk
melakukannya dengan cara yang sempurna seperti yang dikehendaki oleh agama.
Bukan sekadar menutup aurat tetapi dalam masa yang sama dianggap sedang
bertelanjang.
Tapi masalahnya.. dalam rumah pun Kiah suka baju yang
longgar-longgar. Mana boleh ini macam!
“Kiah..” seru
lelaki itu tanpa mengalihkan pandangannya daripada jalan raya yang tenang.
“Ye..”
“Boleh tak kalau kau jangan panggil aku Yop lagi dah
lepas ni?” pinta lelaki itu dalam nada yang lembut sekali.
“Bo.. boleh,” jawab Kiah sedikit tergagap.
Jeffrey mengangguk. Tangannya dialihkan ke streng semula
dek kerana jalan di hadapan banyak selekoh.
“Habih tu kume nak
panggil kamu ape, Yop?” tanya Kiah
agak polos.
“Orang Perak selalu panggil suami apa?” Jeffrey bertanya
semula dengan tolehan sekilas.
“Emmm..” Kiah berfikir seketika. Malangnya dia tidak
perasan pula tentang itu. Dia kurang mengambil tahu. Namun seketika kemudian
dia teringat apa panggilan arwah emaknya kepada arwah ayahnya dulu. Panggilan
yang sama seperti Wan Temah memanggil Pak Berahim.
“Aboh mu..?” ucap Kiah kemudian.
Spontan Jeffrey menoleh dengan riak wajah tidak puas
hati. “Aboh mu? Apa barang panggil suami dengan panggilan macam tu? Tak
romantik langsunglah, Kiah! Hilang mood cinta-cinta kalau macam tu,” getus
Jeffrey sebal. Ada ke nak panggil aku aboh mu? Tak naklah!!!!
“Eee.. mane le
kume tahu nak panggil kamu ape, Yop?”
“Panggil abang kan boleh? Panggil darling ke? Sayang ke?”
balas Jeffrey sambil tersenyum sendiri.
Kiah terdiam memandang ke hadapan. Malu kerana dia tidak
biasa.
“Cuba sekali.. bila aku panggil Kiah.. kau pun jawab
macam ni.. ya, sayang. Kan best bunyinya tu? Macam manis ajakan?” Jeffrey
berkata lagi sambil memandang wanita di sebelahnya.
Kiah ikut menoleh ke sebelah. Namun sebentar sahaja. Dia
terlebih dahulu mengalihkan pandangan sebab malu.
“Komunikasi dalam perkahwinan pentingkan?” ucap Jeffrey
lagi.
Kiah sekadar mengangguk setuju.
“Jadi kalau boleh kau kena kurangkan sikit bahasa Perak
tu.. sebab aku tak faham,” luah Jeffrey lembut.
“Kume tak pandai cakap Kolumpo.”
“Aku tak suruh kau bercakap bahasa aku. Cuma kurangkan
sikit bahasa yang kuno-kuno tu. Aku susah nak faham,” jelas Jeffrey lembut.
“Kume terai leee..”
“Lagi satu..”
“Ape lagi, Yop?”
“Tengok tu? Baru aja cakap jangan panggil Yop?” Jeffrey
menoleh sekilas kepada Kiah. Wajah Kiah berubah tiba-tiba.
“Kume lupe..”
jawab Kiah rendah. Jeffrey tersenyum. Gelihati dengan gelagat Kiah.
“Cuba panggil abang?” pinta lelaki itu bersungguh.
Kiah tidak segera menunaikan kehendak Jeffrey. Tangan
sendiri diramasnya dalam pada dia cuba mengusir debar di dada. Segan dan malu
asyik menjadi penghalang.
“Panggil abang susah?” ucap Jeffrey tenang sahaja.
“Abang..” Kiah akhirnya memberanikan diri menyebut juga
perkataan itu dalam pada wajahnya mula terasa hangat semacam.
“Senang ajakan? Cuba bahasakan diri Kiah pulak?” balas
Jeffrey. Dah macam cikgu pula dia sekarang.
“Kiah..”
“Pandai pun.. macam tulah barulah suami sayang.” Jeffrey
terus mencubit sedikit pipi Kiah yang sedang merona.
“Sekarang ni Kiah ikut apa yang abang nak cakap ni. Sebut
jelas-jelas..”
Kiah menoleh ke sebelah. Menanti apa yang hendak
diucapkan lelaki itu.
“Kiah.. sayang.. abang.. cuba sebut semula apa yang abang
cakap tadi.”
Kiah terkedu. Ayat itu tidak berupaya disebutnya. Lagi
susah rasanya daripada sekadar memanggil Jeffrey abang.
“Cepatlah!”
“Tak nok leee,
Yop!”
“Tengok? Dia panggil yop lagi! Baru nak beromantika de
amor..” getus Jeffrey tidak puas hati.
Kiah menghela nafas panjang. Haru biru perasaannya dibuat
oleh Jeffrey kala ini. Eee.. menyesal aku tak tido aja tadi.. bisik hati Kiah
kalut. Mulalah dia terasa nak buat-buat mengantuk aja kala ini.
“Cepatlah, Kiah!” pinta Jeffrey sekali lagi.
“Iye lee.. nak sebut le ni. Abang sayang Kiah,” ucap
Kiah buat-buat selamba. Kemudian dia tegak memandang ke hadapan. Takut nak
pandang Jeffrey.
“Bukan abang sayang Kiah. Kiah sayang abang! Sekali
lagi!”
“Abang sayang Kiah..” ulang Kiah sekali lagi.
Kali ini Jeffrey pula yang menghela nafas panjang. Itu
ayat aku! Dia pergi sebut buat apa? Isy! Sabar ajalah bini aku ni!
11
Sebaik sahaja masuk ke dalam kereta kopiah di atas kepala terus
ditanggalkan Jeffrey. Kemudian dia memandang seketika Kiah di sebelahnya.
Wanita itu termenung seorang diri sambil merenung ke arah perkuburan di hadapan
mereka. Sebentar tadi mereka sempat meluangkan masa menziarahi pusara ibu dan
ayah Kiah. Juga arwah datuk dan nenek mereka.
“Aboh mu..” Kiah menoleh ke sebelah.
Aboh mu lagi. Nak kata ada budak kecik kat belakang
panggil aku aboh, takde pulak. Belum ada lagi rasanya.. keluh Jeffrey dalam
hati.
“Ye..” sambutnya perlahan.
“Nanti kita balik kampung lagikan?” tanya Kiah kedengaran
agak sayu nadanya.
“Insya-Allah.. nanti kita balik selalu.” Jeffrey
mengangguk di akhir kata. Dia tahu Kiah tidak akan mampu dipisahkan dari
kampung halamannya ini sehingga ke akhir nyawanya. Dia tahu selama ini Kiah
akan ke pusara emak dan ayahnya pada setiap hari Jumaat.
Kiah menghela nafas perlahan. Sayu di hati tidak
terungkap. Meninggalkan kampung halaman ini bukan impiannya. Tetapi dia harus
sedar resam seorang isteri seperti dia. Dia harus berada di sisi suaminya.
“Nak singgah mana-mana lagi?” tanya Jeffrey sebelum dia
mengundurkan kereta untuk keluar daripada kawasan perkuburan itu.
Kiah sekadar menggeleng tanpa melepaskan pandangan kepada
pusara bernesan putih di celahan pusara-pusara lain. Hatinya berbisik sendiri.
Tidak mengapa jika dia tidak mampu untuk ke sini selalu selepas ini. Dia masih
mampu menitipkan doa di dalam solatnya.
Perjalanan ke Kuala Lumpur mereka mulakan setelah selesai
bersarapan pagi. Sepanjang jalan mereka tidak banyak berbual. Kiah ralik
memandang luar tingkap. Berkali-kali Jeffrey memerhatikan gelagat si isteri.
Riak-riak teruja sudah mula kelihatan kepada Kiah. Membuatkan dia tersenyum
sendiri.
Sehinggalah bayang-bayang Kuala Lumpur semakin hampir
Kiah sudah tidak mampu duduk diam di kerusinya.
“Banyoknye kerete,
aboh mu!” tegur Kiah.
“Kiah, semenjak bila pulak abang ni dah jadi abah? Belum
lagikan?” ucap Jeffrey sambil menggeleng.
Kiah tersengih menayang gigi kepada Jeffrey. “Bior le. Baru le manje dengonye..” jawab Kiah sambil mengetil sedikit lengan
lelaki itu dengan lagak ala-ala gedik.
Jeffrey menggeleng lagi. “Panggil abang lagi manja.”
“Iye lee.. Kiah
panggil abang le ni. Sesekali panggil
aboh mu. Lagi manis.. gaye ade kapai
toghobang bawok gule jatuh atas atap ghomah!”
jawab Kiah lagi. Moodnya cukup baik kala ini. Gembira hati tidak terkata kerana
sekejap lagi dia dapat menjejakkan kaki ke Kuala Lumpur.
Kapal terbang bawak gula jatuh atas atap rumah? Jeffrey
tergelak sendiri mendengar perumpamaan si Kiah. Suka hatilah, sayang. Kapal
selam bawak gula timbul depan rumah pun boleh!
Sejam kemudian kereta yang dipandu Jeffrey mula mencelah
di dalam kesibukan KL.
“Inilah Kolumpo, Kiah.”
“Ini ke Kolumpo?” sambut Kiah dengan mata terbuntang
tanda teruja yang bukan alang-alang.
“Canggih ye? Mane
tempat yang ade ketapi yang jalan
atas kepale oghang tu?” ucap Kiah
sambil kepalanya meligas memandang sekeliling.
“Keretapi atas kepala?” tanya Jeffrey semula.
“Alah.. ade
selalu dalam tv tu. Iklan yang ada oghang
mude tak bagi oghang tue tempat
duduk tu. Entoh tak sekoloh gamoknye
oghang mude tu. Tak tahu adab!”
“LRT ke?” tanya Jeffrey dengan kerutan di kening.
“Mane le Kiah
tahu ape ke namenye. Kawan Kiah dulu ade
pegi ke Kolumpo sekali. Die naik
ketapi tu, tersepit kat pintu ketapi
tu. Die kabor ke Kiah.. pintunye otometit! Hantu yang membukoknye..”
cerita Kiah becok.
Jeffrey menggaru kepalanya sambil menahan senyum.
Adoilah, sayang oi! Dengar dek orang mahu berguling ketawa. Hantu bukak pintu
LRT? Kalaulah hantu yang buka, takdenya orang nak naik LRT tu.. bisik hati
Jeffrey gelihati.
Ternyata kepesatan kota Kuala Lumpur Kiah semakin tidak
mampu menahan kejakunan Kiah. Macam-macam benda yang dilihatnya membuatkan dia
ternganga. Terutama sekali apabila bangunan megah KLCC menyapa pandangannya.
Semakin luas mulutnya menganga.
“Itu namanya KLCC. Tempat kerja abang kat dalam tu,” ucap
Jeffrey sekadar memuncungkan mulut ke arah bangunan itu.
“Mesti beso
pangkat abang dalam tu kan? Macam piyun
(budak pejabat) tu gamoknye..” ucap
Kiah tanpa mampu mengalihkan pandangan daripada lanskap sekitar bangunan
berkembar dua itu.
Mak ai.. piyun dikatanya aku? Susah-susah mak aku hantar
aku belajar sampai oversea bini aku kata aku keja piyun. Piyun pun piyunlah..
Jeffrey tersenyum seorang.
“Abang kerja sebagai pak guard aja kat dalam tu!” sambut
Jeffrey tanpa memandang lagi
“Wah!!! Besorrrrrnyee.
Tinggi bebenor, abang!” seru Kiah
kekaguman dalam kejakunan. Kemudian dia menoleh semula kepada Jeffrey yang
ralik memandu.
“Dalam pejabat tinggi gitu tu ade lip?” Kiah menoleh semula kepada suaminya itu.
“Lip?” tanya Jeffrey semula.
“Lip leee..
yang ade orang tekan-tekan nombor, lepah tu terus naik atah! Kiah selalu tengok dalam tv, oghang kaye-kaye naik lip
kat pejabat deme. Seghonok!” mulut
Kiah berkicau lagi dengan penuh keriangan.
Jeffrey menggaru kepalanya sambil menggeleng. “Lif,
sayang! Bukannya lip!” jawab Jeffrey tanpa memandang.
“Iye leee.. lip
dengan lif nok same le tu. Kiah nak nerai naik lip kat pejabat abang tu
nanti.. boleh?” Kiah menjawab teruja.
Nak cuba naik lif? Bapak jakun bini aku ni! Tak pernah
naik lif ke apa? Jeffrey mengekek sendiri mengenangkan gelagat lurus bendul Kiah.
Kat KL ni jangan lurus sangat, sayang. Bahaya! Senang orang nak ambil
kesempatan.. ucap hati Jeffrey seorang.
“Besornye..
cantik tempatnya. Kut ade le koje
kosong.. Kiah pun nok koje situ.
Hari-hari boleh naik lip!” ucap Kiah
dengan riak wajah cukup ceria.
“Kiah tak pernah naik lif ke?”
“Mane peghonoh.
Kolumpo punye lip semuenye
tinggi-tinggikan? Abang, jom le kita pegi kat situ kejap. Kejap aje.. Kiah nak terai naik lip,” ajak Kiah dengan muka tidak malunya.
“Tak payah singgahlah. Lain kali abang bawak Kiah naik lif
yang tinggi-tinggi. Kita balik terus. Abang dah penat. Kat rumah kita nanti ada
lif. Kiah naik lif tu aja. Rumah kita pun tinggi jugak. Ada tingkat satu sampai
tingkat 15.” Jeffrey berkata perlahan.
“Betui ke, aboh
mu? Kiah nak nerai nanti!” ucap Kiah
teruja mendengar kata-kata suaminya.
Astaghafirullah.. Jeffrey hanya mampu menggeleng. Dah
melekat gelaran aboh mu pulak sekarang. Kejap panggil abang. Dah elok bunyinya
tu. Kejap lagi panggil aboh mu balik! Redha ajalah Jeffrey..
Setiba di kawasan kondominium yang disewa Jeffrey lelaki
itu terus mengajak Kiah turun. Beg-beg mereka dikeluarkan daripada bahagian
belakang sebelum mengajak Kiah menuju ke lobi.
“Haaa.. nilah namanya lif.” Perli Jeffrey selamba.
Kiah menyeringai teruja melihat kotak lif yang begitu
banyak.
“Macam best aje,
aboh mu. Kat Kolumpo ni memang banyok lip.
Semua tempat ade lip. Moden!” komen
Kiah sambil menyeringai.
“Abang!” tegur Jeffrey sebal.
“Iye lee..
abang. Kiah cuba ya?” ucap Kiah sambil tersengih.
Lima belas minit kemudian..
“Kiah, dahlah tu. Abang rasa macam nak muntahlah.
Pening..” Jeffrey mengeluh sambil memegang perutnya. Apa ke hal bini aku ni
mabuk naik lif? Aku pun rasa macam nak mabuk dah ni.. bisik hati Jeffrey tidak
mengerti.
Masuk kali ini sudah 10 pusingan mereka turun naik dari
tingkat paling atas sehinggalah ke bawah dengan kotak lif ini. Mual rasa
tekaknya.
“Alah.. kejap leee.
Yang ni last sekali! Lepah tu kite naik lif yang kat sebelah kayor tu pulok ye?” jawab Kiah lantas menekan angka 15. Seketika kemudian
lif itu mula bergerak naik ke atas.
Nak cuba yang kat sebelah kayor pulak?? Lepas tu belah
hulu? Lepas tu..? Mahu pengsan dia menunggu Kiah puas main lif. Jeffrey
tersandar di dinding dengan muka bosan. Best sangat ke naik lif ni??
Namun saat kotak lif itu sudah berada di tingkat 15
Jeffrey cepat-cepat menekan angka 7 sebelum sempat tangan halus si Kiah menekan
lagi butang G.
“Dah! Dah! Sambung tahun depan pulak. Abang dah tak larat
ni,” ucap Jeffrey. Tak sanggup dah dia duduk terkurung di dalam lif itu. Buatnya
lif itu rosak? Tak ke naya mereka nanti?
“Alah..”
“Jangan degil!”
Kiah mula membuat muka masam. Namun kata-kata lelaki itu
diturutinya juga. Sebaik sahaja pintu lif terbuka dia mengekori Jeffrey keluar.
Sambil berjalan di belakang Jeffrey dia memandang sekeliling.
“Takde oghang
ke duduk sini, abang? Sunyi bebenor..”
ucap Kiah hairan melihat kawasan itu lengang sahaja. Semua pintu bertutup.
“Orang semua dalam rumah.” Jeffrey menjawab tanpa
memandang.
“Ini rumah kita..” ucap Jeffrey setelah tiba di hadapan
rumah sewanya. Dia menoleh seketika kepada si isteri di belakangnya. Kiah masih
ralik memandang sekeliling.
“Kiah..” panggil Jeffrey lembut.
“Iye..”
“Jom masuk,” ajak Jeffrey lantas meletakkan beg-beg yang
sedang dibawanya. Tangan Kiah ditariknya agar wanita itu masuk dahulu sebelum
dia.
Di dalam Kiah dibaluti kejakunan tak henti-henti. Apatah
lagi saat memandang permandangan daripada balkoni rumah itu. Dari situ
kelihatan jentera LRT sedang bergerak di atas landasannya.
Seghonoknye duduk Kolumpo niiiii!!! Ketapi atas kepale pun dekat
dengan ghomah.. jerit hati Kiah seorang.
“Kiah, jangan terjun ke bawah je sudah!” tegur Jeffrey
sekadar membiarkan isterinya menikmati apa sahaja yang dimahukan di situ.
Kiah sekadar menoleh sekejap kepada Jeffrey sebelum kembali
memandang permandangan di hadapannya itu. Sesudah memasukkan beg pakaian mereka
ke dalam kamar Jeffrey kembali ke balkoni. Kiah masih berdiri di situ.
“Cantik?” tanya lelaki itu setelah dia berada di sebelah
Kiah.
“Cantik..” jawab Kiah sambil tersenyum.
“Suka duduk sini?” tanya Jeffrey lagi.
Cepat-cepat Kiah mengangguk dengan riak senang di
wajahnya. Jeffrey segera memaut bahu si isteri.
“Mulai dari hari ni.. ni tempat Kiah. Hidup dengan abang.
Mana abang pergi Kiah akan ikut,” ucap Jeffrey lembut.
“Pergi koje pun
Kiah kene ikut aboh mu ke?”
Ya Allah.. bendul pulak bini aku ni.. Jeffrey tersengih
tiba-tiba sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal.
“Maksud abang.. mana abang berpindah lepas ni, Kiah kena
ikut. Kerja abang bukannya duduk di sini aja. Kadang-kadang majikan suruh
bertukar kerja. Abang kena pergi, sayang. Takkan abang nak tinggal Kiah?” jelas
Jeffrey lembut.
“Oh..” Kiah melopong seketika.
Mereka kembali memandang ke hadapan. Tatkala terlihat
gerabak LRT melalui landasannya Jeffrey memandang semula isterinya.
“Kalau naik itu tu.. boleh nampok kat bawoh ke, aboh
mu?” tanya Kiah.
“Nampaklah..”
“Eee.. mesti bestkan? Nanti Kiah nak duduk belakang drebor,” sambut Kiah. Tadi dia dah
merasa naik lif. Sekarang dia teringin benar nak naik LRT.
Jeffrey sudah menepuk dahi. “Benda tu takde orang yang
bawak, sayang. Dia bukannya macam bas. LRT ni dia jalan sendiri. Automatik!
Driver dia duduk kat tempat lain,” ucap Jeffrey lembut.
“Iye ke, aboh mu? Macam mane drebornye nampok jalan? Idok
ke eksiden kalau drebor dok kat
tempat lain? Ish! nanti kalau kite petit
loceng die tak dengor. Nanti langsung dihantornye
ke tempat lain!” bebel Kiah.
Sekali lagi Jeffrey menggaru kepala. Tidak tahu macam
mana mahu menjelaskan kepada Kiah tentang itu.
“Itulah Kolumpo namanya, Kiah. Semua benda kat sini
pelik-pelik. Tapi orang suka.” Akhirnya jawapan itu yang terdaya diadakan oleh
Jeffrey.
“Kiah nak naik LRT?” tanya Jeffrey kemudian.
“Nak..”
“Nanti abang bawak. Kita pergi jalan-jalan. Tapi bukan
sekarang. Hujung minggu nanti ya? Esok abang kerja. Nanti kalau Kiah dah
pandai.. nak pergi mana-mana Kiah boleh naik benda tu. Senang..” ucap Jeffrey
lembut. Dia tahu Kiah pastinya mahu merasai segala keistimewaan yang ada di
kota ini.
Kiah terus mengangguk-angguk sambil memandang gerabak
transit aliran ringan itu berlalu pergi.
“Dah.. jom masuk. Abang nak rehat kejap.”
Kiah akur apabila tangannya ditarik oleh Jeffrey. Tidak
perlu di luar.. di dalam rumah itu juga permandangannya sudah cukup mendamaikan
matanya. Apatah lagi ada tv berskrin leper yang bersaiz segedabak besarnya.
Rumah dia?? Hanya tv 14 inci aja. Itu pun dibelinya 5 tahun dulu.
“Canggihnye tv
ni, aboh mu.” Kiah mula jakunkan tv pula.
Jeffrey sekadar membiarkan. Namun seketika kemudian ruang
tamu itu mula bingit. Jeffrey mula memandang ke arah tv. Signal volume sedang
bergerak laju di kaca tv itu membuatkan ruang tamu itu menjadi semakin hingar.
Jeffrey memandang pula isterinya. Kiah sedang terkial-kial mencari sesuatu pada
alat kawalan jauh itu. Habis semua butang ditekannya sehinggalah skrin itu
berkelip tiba-tiba. Siaran tadi menghilang dan kini berganti dengan jutaan
bintik-bintik hitam putih. Desiran yang dihasilkan oleh tv itu membuatkan ruang
tamu itu menjadi cukup bising.
“Mane ke gaye ni, aboh mu? Habeh rosak tv ni. Kiah tak pandai nak beki (baiki)!” spontan alat kawalan jauh itu dicampaknya ke arah
Jeffrey dalam keadaan menggelabah. Dan dia menekup kedua-dua belah telinganya.
Jeffrey terus mencapai alat kawalan jauh itu. Suara tv
itu diperlahankan.
“Jangan tekan lama-lama. Sebab tu suara dia jadi kuat
macam tu. Kiah.. Kiah.. kalut betullah. Tadi jakun main lif. Sekarang jakun
dengan remote tv. Esok jakun apa pulak entah.” Jeffrey hanya mampu menggeleng
melihat ragam isterinya. Gelihati!
“Mane le Kiah
tahu!” cebir Kiah mula terasa malu
dengan kelakuan sendiri.
“Kalau Kiah jakun dengan abang ni kan elok? Asyik nak
belek abang aja. Abang jugak yang untung asyik nak kena belek aja!” ucap
Jeffrey sambil ketawa kecil.
“Eee.. aboh mu ni! Dah sampai Kolumpo pun meghonyam lagi! Nasib le tak ade batang rebung sini. Kalau idokkk..
Kiah sebat dengan batang rebung,” sambut Kiah dengan senyum malu-malu.
“Elleh.. nak sebat dengan batang rebung konon! Sayang
cakap jelah sayang. Janganlah jual mahal. Tak mahu bawak naik lif nanti baru
tahu!” sambut Jeffrey mula tergedik-gedik melayan si Kiah. Pipi Kiah dicubitnya
manja.
“Kiah boleh naik lip sendiri. Kat depan tu kan banyok lip?” balas Kiah dalam nada
manja-manja mengada.
“Lip tu tak best! Lip yang abang nak bawak Kiah naik ni
best! Boleh nampak kat luar..” ejek Jeffrey.
Mendengar itu wajah Kiah mula berubah. Spontan dia
mendekatkan dirinya kepada Jeffrey yang sedang tersandar di sofa.
“Ade lip pesen lain
ke, aboh mu?”
“Ada..”
“Kat mane?” tanya
Kiah dengan mata terbuntang.
“Adalah..” sambut Jeffrey meleret.
“Cakaplah, aboh mu. Cepat
lee..”
“Tak nak panggil aboh mu lagi!” tegas Jeffrey serius.
“Iye leee..
abang, cakaplah. Kat mane?” pujuk
Kiah mendayu-dayu.
“Cium abang dulu..” pinta lelaki itu lantas menyuakan
pipinya.
Kiah terkedu tiba-tiba. “Cium-cium ni Kiah tak pandai!”
“Dok KL kena pandai cium. Kalau tak nanti majlis
perbandaran saman,” jawab Jeffrey selamba mengelentong Kiah.
“Nape pulok,
abang?” tanya Kiah bersungguh.
“Ini memang peraturan untuk suami isteri yang duduk kat
KL,” jawab Jeffrey dengan lagak bersungguh.
Terkulat-kulat Kiah memandang wajah si suami. Tak pernah
pulak dia dengar peraturan jenis macam tu..
“Cepatlah, sayang! Lemau dah pipi abang ni tunggu kena
cium.”
Perlahan Kiah mendekatkan bibirnya. Namun sebaik sahaja
hujung bibirnya terkena kulit pipi lelaki itu dia cepat-cepat menjauhkan
wajahnya. Wajahnya sudah terasa panas semacam. Nak pandang lelaki itu pun dia
tidak mampu. Malu bebenorlah tu gamoknye!
“Macam tak ikhlas aja.. sini abang ajarkan. Kiah belajar
baik-baik ya?” ucap Jeffrey lantas menarik isterinya dekat kepadanya. Dagu Kiah
dialihkan agar wanita itu memandang kepadanya.
“Abang..” Kiah cuba menolak lelaki itu jauh daripadanya.
Tetapi tidak mampu. Wajah lelaki itu terlalu dekat dengannya. Redup pandangan
lelaki itu membuatkan dia resah. Dadanya sudah berdegup tidak tentu hala.
“Apa dia, sayang. Kiah nak cakap apa?” jawab lelaki itu
separuh berbisik.
Kiah tidak menjawab pula. Hilang tiba-tiba apa yang mahu
diucapkan. Cuma yang tinggal rasa indah mendengar alunan suara lelaki itu.
Sangat lembut. Jiwa perempuannya terasa dibuai. Hilang aboh mu.. hilang Kuala
Lumpur.. hilang Yop.. hilang LRT.. hilang semuanya dari minda.
Sebaliknya yang tinggal hanya Kiah dan lelaki ini.
Seorang lelaki yang datang tiba-tiba ke dalam hidupnya lalu mengaku sayang
kepadanya. Dan Kiah tidak pernah merasa perasaan seindah ini hanya kerana
seorang lelaki!
Best best best !!!!
BalasPadam