Tengku Nur Edrina seorang anak yang terlalu degil. Egonya
melangit tinggi hanya kerana ayahnya berketurunan raja dan emaknya dilahirkan
di kalangan bangsawan. Angkuh dan bangga dirinya membawa hidupnya jauh dari nilai
murni seorang wanita Melayu. Dia lupa siapa pun manusia di atas dunia ini,
darah tetap merah dan semuanya hamba Allah yang sama sahaja darjatnya.
Kudin seorang jejaka tinggal di Kampung Permatang.
Membesar di kampung dia seorang lelaki yang hidup dalam kesederhanaan. Namun
dia punya kisah hidupnya sendiri. Maya gadis yang pernah cuba didekatinya
menolak dirinya bersama dengan seribu penghinaan hanya kerana dia lelaki kolot
yang membanting tulang kepada tanah untuk mendapatkan sesuap nasi. Tidak sesuai
dengan gadis kampung yang mula dirasuk kenikmatan hidup di bandar. Lalu Kudin
meminggir diri, menjalani hidup berdua sahaja bersama emaknya tanpa mahu
memikirkan lagi tentang mana-mana gadis kampung yang rata-ratanya sudah lelah
menetap di kampung mereka itu.
Namun pertemuan dua manusia yang berbeza bak langit dan
bumi mencetuskan seribu konflik jiwa apabila kehadiran Tengku Ahmad Ehsan
mengunjungi Mak Kunah, emak Kudin untuk melunaskan janji lama yang pernah
tersimpul kukuh antara moyang mereka dahulu. Kedatangan lelaki itu untuk membuka
cerita yang terperuk 25 tahun lalu, agar segala amanah dan wasiat dapat
diselesaikan tanpa ada hutang piutang yang tidak dilunaskan sebelum dia menutup
mata.
Tetapi agak-agaknya, bagaimana untuk Edrina memaksa diri
menerima Kudin sebagai suami jika di hati tidak terucap betapa jijiknya dia
untuk menerima lelaki kampung itu sebagai sebahagian dari hidupnya. Baginya
terlalu mustahil untuk dia mengubah dirinya menjadi gadis kekampungan yang
sederhana. Dan agaknya memang bergegak gempitalah dunia jika si kolot itu pula
yang dibawa ke dalam dunianya yang penuh dengan darjat dan protokol sebagai
orang yang berdarah mulia. Sedangkan lelaki itu lelaki kampung!
Bagi Kudin pula
sikap Edrina semakin menjelakkan rasa setelah sekian lama dia tidak berminat
berbicara soal perempuan. Untuk menerima si bongkak sebagai isteri yang sebenar?
Memang taklah kut! Lebih baik dia berkahwin dengan Munah gadis terencat akal
anak Wak Salimun daripada menerima Edrina itu. Biarpun kejelitaan Edrina boleh
membuatkan dia meleleh air liur tetapi tidak mungkin dia membiarkan maruahnya
sebagai lelaki dicalarkan oleh mulut longkang gadis berdarjat tinggi itu.
Jadi bagaimana? Kata orang ikan di laut asam di darat
akhirnya ke dalam kuali bersatu juga. Tetapi itu ikan dan asam, mereka bukan
ikan dan asam yang tidak tahu berkata-kata dan tidak memiliki hati. Hidup
mereka juga bukanlah sekadar satu resepi masakan ikan dan asam. Lalu setiap cerita
yang berkisah dalam hidup mereka hanya berlandaskan benci antara satu sama
lain. Tidak terjangkau oleh mereka ikatan suci yang diangkat untuk menyatukan
manusia dua darjat itu.
Tetapi Tuhan melihat setiap perlakuan hamba-Nya. Mereka
terlupa dunia ini ada putarannya begitulah juga dengan hati mereka. Akan sampai
satu masa Tuhan akan menunjukkan betapa tiada apa yang membataskan kuasa Allah.
Segala yang mustahil bagi manusia, adalah mungkin bagi Allah yang Maha
Berkuasa. Lalu dalam biar pun tidak berada dalam istana yang mewah bersama
Kudin hati Edrina mula terusik resah. Entah kenapa lelaki itu dirasakan terlalu
kacak di matanya sedangkan selama ini lelaki kampung itu cukup hodoh
dirasakannya.
Bagi Kudin pula, dalam kebencian masih ada rasa
tanggungjawabnya kepada kaum Hawa yang lemah. Lalu perasaannya mula berubah
seru apabila Edrina mula didekati sebagai suami. Tetapi sayangnya antara mereka
masih ada tembok yang tinggi menghalang mereka dari saling mencapai tangan
masing-masing.
Edrina tidak mahu terus menetap di kampung dan mula berkain
batik sebagai wanita kampung. Kudin pula enggan meninggalkan lubuk rezekinya di
kampung untuk menyarung tuksedo dan sut untuk menjadi lelaki bandar. Jadi
bagaimanakah asam di darat itu akan bersatu dengan ikan yang mahu terus berada
di laut? Apa yang pasti, Tuhan akan menunjukkan jalan kepada setiap hamba-Nya.
Munah? Lisa la...haha..tpi mmg benci sgt watak tu..
BalasPadamMunah? Lisa la...haha..tpi mmg benci sgt watak tu..
BalasPadam